Sabtu, Disember 27, 2008

E-Buku - Penggunaan dan Masa Depannya

E-buku merupakan satu peranti yang memuat turun dan memaparkan buku atau isi kandungan buku menerusi format elektronik. Walaupun mungkin ramai yang telah mengetahui akan kewujudannya dalam dunia elektronik tetapi tidak pula dapat dipastikan sejauh mana pula keberkesanannya. Menurut kajian Gartner Group, e-buku memerlukan satu transformasi yang kritikal bagi memastikan ia mampu bersaing dengan pasaran buku secara tradisional. Jika tidak ia mungkin hanya tinggal nama sahaja. Terdapat beberapa persoalan tentang bagaimana masyarakat menilai tentang e-buku serta mengapa masyarakat sukar menerima kehadiran e-buku walaupun telah mengetahui akan kewujudannya. Pertama, walaupun masyarakat tahu tentang adanya e-buku, tetapi masih ramai lagi yang masih tidak tahu akan kepenggunaannya, bagaimana cara hendak menggunakannya dan di mana ia boleh dipaparkan.

Masyarakat biasanya memandang dan menghargai sesuatu benda itu sekiranya ia mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi. Apa yang penting ialah, sesuatu barang atau perkhidmatan itu boleh diguna dimana-mana sahaja ataupun boleh dipelbagai-guna ('multitasking'). Cuba kita bandingkan dengan satu telefon yang mempunyai berpuluh-puluh nada dering tetapi tiada WAP dengan satu telefon mudah alih yang lain yang mempunyai hanya 10 nada dering sahaja, tetapi mempunyai WAP dan permainan dan kedua-duanya sama harga. Sudah tentu telefon yang kedua akan dibeli kerana mempunyai pelbagai ciri walaupun pada hakikatnya WAP dan permainan amat jarang atau mungkin tidak pernah diguna langsung! Itulah sebenarnya persepsi masyarakat terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan. Berbalik pula pada e-buku, masyarakat agak sukar untuk menjustifikasikan nilai sebenar sesuatu e-buku jika dibandingkan dengan buku biasa.

Ini adalah kerana ianya tidak dapat dipegang dan hanya dipaparkan secara maya serta meletihkan mata pengguna yang membacanya menerusi komputer bagi satu tempoh yang lama. Selain daripada itu, tabiat pengguna lazimnya berbeza-beza, ada yang gemar membaca sebelum tidur, membaca di atas katil, di taman tasik, di tepi pantai dan sebagainya dan ini menyebabkan pembacaan menerusi e-buku tidak sesuai digunakan sekiranya bergantung kepada komputer semata-mata. Adalah tidak praktikal sekiranya komputer dipasang 24 jam semata-mata kerana mahu menghabiskan bacaan satu buku?! Bagaimana pula hendak membawa komputer ke taman-taman tasik atau di tepi pantai? Walaupun laptop boleh dibawa, tapi sehingga berapa lama baterinya boleh bertahan dan juga bagaimana hendak mengakses ke Internet. Di sinilah pentingnya kegunaan peranti-peranti tanpa wayar dan bagaimana e-buku seharusnya diadaptasi dan dimanfaatkan menerusi peranti-peranti ini.

Terdapat tiga aspek yang perlu diperbaiki bagi memastikan e-buku mendapat tempat dihati pengguna atau pembaca iaitu peranti, penyampaian dan penggunaan. Dari segi peranti, e-buku seharusnya boleh dicapai dimana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Misalnya, ia boleh dibuka menerusi peranti-peranti tanpa wayar seperti PDA atau telefon mudah alih serta boleh juga dibuka menerusi pemain MP3 dan CD. Dengan adanya pendekatan seperti yang dinyatakan diatas ia memudahkan pengguna menjustifikasikan nilai e-buku serta membandingkan kelebihannya dengan buku tradisional. Ia juga menjadikan e-buku seperti satu perkhidmatan dimana ia boleh dibuka pada mana-mana peranti disamping menarik lebih ramai pengguna untuk membaca menerusi e-buku.

Dari segi penyampaiannya pula, teknologi seperti XML dan Just In Time (JIT) seharusnya digunakan sebaik mungkin dalam aplikasi e-buku bagi memastikan kandungannya boleh dibaca menerusi PDA atau sebarang perkakasan telematik automotif tanpa wayar. Penggunaan XML dengan dibantu perisian JIT membolehkan sesuatu kandungan dalam e-buku ditanda. Dua perkara penting dalam penyampaian ialah pertama, sokongan dari pelbagai media misalnya peranti yang membenarkan capaian Web dan mudah alih dan kedua, format kandungan iaitu sama ada teks, grafik atau audio.

Dari segi penggunaan pula, aplikasi e-buku perlulah lebih efektif bagi memastikan kandungan dan maklumat yang hendak disampaikan kepada pengguna benar-benar berkesan. Dengan menyediakan fungsi-fungsi yang lebih baik misalnya menyediakan hubungan ke glosari bagi setiap kata kunci, hubungan ke laman penulis dan menyediakan ruangan kawalan suara bagi sesuatu bahagian penting akan menjadikan ianya lebih menarik dan yang paling penting lebih berharga jika dibandingkan dengan buku-buku biasa.

Namun apa yang lebih penting ialah kesediaan pihak penerbit buku serta pembangun-pembangun sistem e-buku bergabung dan bekerjasama bagi menghasilkan e-buku yang interaktif dan sangat menarik. Bukan senang bagi sesebuah masyarakat atau komuniti untuk menerima satu benda baru tetapi sekiranya bagus, masyarakat akan terus menggunakannya, menghebahkannya dan menunggu pula keluaran terbaru. Adalah menjadi harapan agar e-buku akan terus berkembang dalam dunia elektronik dan mendapat tempat dihati pengguna.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts