Rabu, November 12, 2008

Telekom catat untung lebih rendah

Telekom Malaysia Bhd. (TM) telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang rendah kepada RM100 juta bagi sembilan bulan pertama tahun ini berbanding RM717.7 juta, dalam tempoh yang sama sebelumnya setelah mengalami kos-kos luarbiasa.

Keuntungan bersih dalam tempoh yang sama juga merosot kepada RM627.1 juta daripada RM1.96 bilion, selepas mencatat perolehan yang rendah berjumlah RM6.18 bilion daripada RM6.19 bilion sebelumnya.

TM dalam kenyataannya di sini berkata, kos-kos luar biasa itu termasuk kerugian tukaran yang belum nyata atas pinjaman wang asing, pernyataan kerugian tukaran asing atas pelupusan Societe Des Telecommunications De Guinee S.A. (Sotelgui) dan caj-caj komitmen kadar trafik dengan pengendali asing pada tahun-tahun terdahulu.

Syarikat telekomunikasi tersebut berkata, kos-kos luar biasa itu juga menyebabkan keuntungan bersih merosot kepada RM165.8 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2008 berbanding RM658.5 juta, tempoh sebelumnya.

Perolehan bagi suku ketiga itu juga merosot sebanyak 3.1 peratus kepada RM2.05 bilion daripada RM2.13 bilion yang dicatatkan tempoh sebelumnya berikutan hasil yang lebih rendah daripada perkhidmatan suara kerana kadar penggunaan yang rendah.

Bagaimanapun, jumlah hasil yang tinggi daripada perkhidmatan jalur lebar telah dapat menangani penyusutan hasil perkhidmatan suara.

Bagi suku ketiga tahun ini, jalur lebar terus menjadi pemacu utama dengan mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 24.6 peratus kepada RM390.6 juta berbanding suku ketiga tahun lalu.

Jumlah pelanggan jalur lebar juga meningkat kepada 1.55 juta orang daripada 1.18 juta yang dicatatkan bagi tempoh sebelumnya.

TM telah membayar dividen kasar interim bagi tahun kewangan ini sebanyak 12 sen ditolak cukai 26 peratus kepada para pemegang saham pada bulan September 2008.

TM berkata, krisis kewangan global sekarang telah memberi kesan ke atas kewangannya, terutama dalam perbezaan tukaran mata wang asing bagi bon TM yang berjumlah AS$1.1 bilion (RM3.85 bilion).

Nilai mata wang asing yang tidak stabil dijangka terus mempengaruhi prestasi kewangan TM bagi tahun 2008.

Bagaimanapun, prestasi perniagaan TM semakin baik disebabkan kesedaran yang kian meningkat dan permintaan terhadap kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi dan perkhidmatan sambungan data.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts