Taubat bukan sekadar manis di bibir

Islam menganjurkan umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dengan itu, barulah individu Muslim mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kamu kepada al-Quran yang diwahyukan kepada kamu kerana sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus." (Surah al-Zukhruf, ayat 43)

Bagaimanapun, dalam kehidupan manusia yang sentiasa berdepan dengan pergolakan dan pancaroba menguji keimanan, ada ketikanya manusia tersungkur dan rebah kerana tergoda ajakan hawa nafsu yang bergelora.

Natijahnya, dia terbelenggu dalam kegelapan, meraba-raba mencari sinar Ilahi yang menerangi hatinya yang tercalit karat dosa. Justeru, Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan dirinya daripada dosa yang membayangi dirinya.

Taubat mempunyai peranan untuk membersihkan dosa. Oleh sebab itulah, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki pengampunan Allah.

Melalui taubat, manusia dapat memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat yang merugikan, seterusnya mempertingkatkan keazaman untuk beristiqamah penuh keikhlasan hanya kepada Allah semata-mata.

Perkara yang lebih penting mengenai taubat ini ialah betapa Allah bersifat Maha Pengasih terhadap hamba-Nya yang tersilap langkah dalam kehidupan sehariannya. Sehubungan itu, Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan dilakukan hamba-Nya kecuali dosa syirik kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Zumar, ayat 53)

Seterusnya, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan atau terpelihara dalam kehidupannya kecuali nabi dan rasul.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah." (Hadis riwayat Darimi)

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Maksud daripada nas suci itu secara jelas mengambil kira kelemahan manusia yang kerdil lagi daif dan sentiasa menghadapi pelbagai tipu daya serta helah yang boleh menyebabkan manusia terbabas dari landasan yang benar.

Tetapi bagi insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah, dia akan segera menyedari serta menginsafi diri terhadap kesilapan dilakukannya. Maka, dia terus bertaubat kepada Allah dengan penuh penyesalan, seterusnya membulatkan keazaman mempertingkatkan amal soleh dalam kehidupannya.

Inilah antara ciri orang yang benar-benar beriman kepada Allah selari firman-Nya yang bermaksud: "Dan (antara ciri orang yang bertakwa itu) ialah apabila melakukan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang dilakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Orang yang demikian sifatnya), balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal." (Surah Ali Imran, ayat 135 –136)

Perlu diinsafi, taubat tidak memadai hanya sekadar manis di bibir dengan melafazkan ucapan taubat saja. Selepas itu, dia mengulangi semula perbuatan dosanya. Taubat yang sebenarnya menuntut seseorang melakukan lebih daripada itu.

Pertama, dia hendaklah meninggalkan terus perbuatan dosanya itu. Kedua, hendaklah menyesal dan insaf terhadap kesilapan terdahulu di samping menangis mengalirkan air mata sebagai tanda keinsafan.

Ketiga, seseorang itu hendaklah berazam dan bertekad tidak akan mengulangi lagi perbuatan terdahulu dan sebagai gantinya mempertingkatkan keimanan serta keikhlasan dalam merealisasikan segala bentuk ketaatan. Akhirnya, dia juga hendaklah mengembalikan atau memenuhi hak orang yang pernah disakiti.

Dalam erti kata lain, selepas bertaubat, dia dikehendaki meninggalkan terus perbuatan dosa dan menggantikannya dengan amalan soleh. Inilah yang tersirat di sebalik firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Aku (Allah) yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya." (Surah Taha, ayat 82)

Lanjutan itu, betapa perlunya kehidupan Muslim dihiasi dengan amalan muhasabah dan menilai diri agar, mengambil langkah berwaspada dalam menelusuri titian hidup yang penuh onak dan duri. Kemudian, disusuli pula dengan amalan salih yang bakal memperkuatkan ketahanan diri dan menggilap kemantapan jiwanya dalam menepis segala bentuk dugaan dan godaan yang mendatang.

Rasulullah SAW adalah contoh teladan terbaik dan sempurna yang menjadi ikutan umat Islam. Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang akan datang.

Lantas Baginda SAW menjelaskan kepada isterinya tercinta, Saidatina Aisyah: "Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalaulah begitu kedudukan Rasulullah SAW yang mendapat keistimewaan pengampunan Allah terhadap segala dosanya, Baginda masih lagi beristighfar dan beramal salih, maka sewajarnya dan lebih sepatutnya bagi setiap insan yang serba kedaifan yang sentiasa terjebak dan terjerumus dalam kancah dosa dan maksiat, melaksanakan lebih daripada apa yang diamalkan Rasulullah SAW.

Menyedari akan hakikat itu, setiap Muslim sewajarnya merebut kesempatan dan peluang hidup keemasan dikurniakan Allah kepadanya di dunia yang fana ini untuk memperbaharui taubat dan seterusnya mempertingkatkan keimanan kepada Allah.

Jangan nanti apabila ajal datang menjemput, barulah mula sibuk hendak bertaubat kepada Allah. Pada masa itu, pintu taubat sudah tertutup dan akhirnya dia akan menyesal tidak berkesudahan. Sedangkan penyesalan itu tidak ada gunanya lagi di sisi Allah.

Tiada lagi alasan dan dalih yang boleh diterima Allah untuk memberikan peluang buat kali keduanya mahupun kesekian kalinya kerana Allah sudah memberikan masa kehidupan yang terlalu lama di dunia ini untuk dia kembali menginsafi diri dan bertaubat kepada-Nya. Taubat bukan sekadar manis di bibir

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.