Kepemimpinan berteladan teras integriti

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International pada tahun ini menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-47 daripada 180 negara yang mengambil bahagian berbanding dengan kedudukan ke-43 pada tahun sebelumnya, sungguhpun 5.1 markah yang diperoleh tidaklah begitu berbeza berbanding tahun lalu.

Markah sederhana yang diperoleh itu menunjukkan betapa masih banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk memperbaiki persepsi rasuah terhadap negara, seperti mengekang politik wang, menjadikan urusan yang membabitkan perbelanjaan, pemberian kontrak dan sebagainya, lebih telus.

Pemarkahan yang diberikan adalah berdasarkan kajian persepsi amalan rasuah yang membabitkan ahli politik dan sektor awam di negara yang mengambil bahagian. Indeks Persepsi Rasuah adalah ukuran persepsi atau tanggapan orang asing yang berkhidmat di negara ini seperti pelabur dan pegawai asing.

Kajian yang membabitkan persepsi adalah suatu penemuan hasil kajian terhadap pendapat atau tanggapan, dan mungkin ia tidak begitu tepat. Namun demikian dalam konteks persepsi terhadap rasuah, suatu dasar, strategi dan program perlu diwujud atau dilaksanakan untuk memperbaiki tanggapan atau persepsi terhadap amalan rasuah di negara ini.

Justeru, Pelan Integriti Nasional (PIN) dilancarkan pada 23 April 2004 dan Institut Integriti Malaysia (IIM) diwujudkan untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan PIN. Objektif umum PIN ialah untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri moral dan etikanya dengan warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, ditunjangi budi pekerti luhur.

Objektif khusus PIN ialah untuk memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika, meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti.

PIN juga bertujuan menggalak serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti; menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat; dan meningkatkan daya saing serta daya tahan negara dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.

Bagi tempoh lima tahun pertama, PIN menggariskan lima sasaran yang dikenali sebagai Tekad 2008, iaitu mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan; meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi kerenah birokrasi; meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan; memantapkan institusi keluarga dan komuniti; dan meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat.

PIN adalah suatu pelan strategik membabitkan pelbagai sektor atau komponen dalam negara seperti keluarga, komuniti, masyarakat sivil, sosiobudaya, agama, ekonomi, politik dan pentadbiran. Rasuah bukan satu-satunya faktor yang menjejaskan integriti, walaupun tidak dinafikan ia adalah faktor paling dominan yang memberi impak terhadap integriti.

Justeru, bagi memastikan program pemantapan agenda integriti berdasarkan PIN dijalankan secara berkesan dan untuk menentukan bahawa usaha penambahbaikan terus dirancang dan dilaksanakan, IIM membangunkan kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional, bertujuan menilai kefahaman dan persepsi masyarakat mengenai gejala rasuah, penyampaian khidmat awam, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial, kemantapan keluarga dan komuniti, kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat, serta budi bahasa rakyat di negara ini.

Kajian pada 2007 mendapati indeks Persepsi Integriti Nasional ialah 6.97, sementara dalam konteks persepsi rasuah, indeks Persepsi Rasuah negara pada 2007 ialah 6.76. Keberkesanan dan penentu kejayaan pelaksanaan Agenda Integriti PIN merangkumi lapan komponen utama, iaitu kepemimpinan berteladan, dasar yang jelas dan matlamat utuh, pendidikan berterusan dan berulang, komunikasi berkesan, persekitaran budaya kondusif, kerjasama jentera politik dan jentera pentadbiran, kerangka perundangan berkesan dan kehakiman bebas, kecukupan dan kecekapan sumber, dan kesediaan individu untuk berubah.

Antara lapan komponen utama yang dinyatakan, peranan kepemimpinan berteladan paling penting terhadap integriti. Justeru itu, lahirnya pada suatu ketika kempen tertentu di negara ini berkaitan dengan keperluan untuk pengukuhan kepemimpinan, umpamanya kempen Kepimpinan Melalui Teladan (1983).

Berlakunya pelbagai gejala di kalangan kepemimpinan yang mencalar integriti seperti rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, politik wang dan sebagainya menunjukkan wujudnya keadaan seperti dimaksudkan oleh Machiavelli iaitu bagi mencapai hajat, seseorang itu sanggup membelakangkan nilai moral dan etika.

Berbeza dengan Machiavelli, al-Ghazali menggariskan syarat yang jelas untuk memilih seorang khalifah atau pemimpin. Antara syaratnya ialah seorang pemimpin itu mesti bersifat warak. Syarat ini menunjukkan bahawa al-Ghazali mementing seorang pemimpin yang berakhlak. Pemimpin yang warak dan bermoral tidak akan melanggar atau membelakangkan undang-undang dalam tindakannya termasuk tindakan politik.

Kesedaran rakyat timbul apabila bertambahnya bilangan kelas menengah dalam masyarakat. Dengan bertambahnya kelas menengah ini, bermakna gaya pemikiran dan persepsi mereka juga turut berubah. Tumpuan rakyat bukan lagi kepada memantapkan ekonomi, tetapi beralih kepada meningkatkan nilai sejagat dan kemanusiaan.

Mereka mula membuka mata untuk mengkritik kepincangan dan ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat. Ini termasuk salah laku dan kepincangan yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Umpamanya kebangkitan rakyat dapat dilihat di banyak negara di dunia ini. Banyak pemimpin dunia yang tumbang digulingkan oleh rakyat lantaran rasuah yang mereka lakukan.

Dalam proses pembangunan yang berteraskan hedonism kebendaan dan gelombang globalisasi yang banyak mencorakkan gaya hidup masyarakat kini, maka penekanan kini perlu diberikan kepada pembangunan mapan menurut perspektif Islam iaitu menjadikan nilai akhlak dan kerohanian sebagai dasar yang memimpin setiap kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya manusia. Kepemimpinan berteladan teras integriti

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.