Khamis, November 20, 2008

Pengguna Harus Bijak Memilih

Pengguna harus bijak pilih makanan

Elak diri tertipu dengan pengaruh iklan bermotif keuntungan, tarikh luput tamat tempoh

PENTING: Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerap memantau penjualan barang bagi memastikan pengguna mendapatkan produk bermutu.

AMINAH, 32, gemar membeli dadih, namun kelmarin, dadih yang dibelinya di sebuah kedai runcit, bukan saja sudah lupus tarikh, tetapi menyebabkan beliau sakit perut hingga terpaksa di bawa ke hospital. Alasan yang diberikan Aminah, beliau tidak membaca label produk terlebih dulu.

Situasi dialami Aminah bukan perkara baru kerana kerap kali ada antara kita yang tidak mengambil berat peranan label.

Tidak membaca label dengan teliti kadang kala menyebabkan apa yang dibeli selalunya dibuang begitu saja apabila tarikh sudah lupus, tiada tanda halal, serta tidak sesuai andai seseorang itu berpenyakit seperti kencing manis.

Sikap terlalu percaya bahawa barang dijual itu adalah yang terbaik, sedangkan kita lupa bahawa mereka sebenarnya mengaut keuntungan. Andai menyimpan resit, boleh juga kita mendapatkan kembali wang, tetapi selalunya kita tidak menyimpan restinya.

Buku Panduan Pelabelan dan Dakwaan Pemakanan terbitan Kementerian Kesihatan (April 2006), ada menyebut, antara makanan diwajibkan mempunyai label ialah kumpulan bijiran, seperti bijirin sarapan pagi dan semua jenis roti. Produk tenusu yang mudah rosak seperti yogurt dan susu cair; makanan berasaskan tepung, seperti pastri, kek dan biskut serta hidangan yang ditinkan seperti buah-buahan serta lauk pauk.

Produk yang baik, memenuhi kehendak kesihatan negara dan keselamatannya terjamin, sebenarnya dilengkapi label yang boleh dijadikan rujukan kepada pengguna, seperti banyak mana kandungan sesuatu bahan pengawet, pewarna dan kandungan gula didalamnya.

Bagi pengguna Islam khususnya, amalan membaca label amat digalakkan supaya kita boleh membeli dengan yakin dan tidak timbul perasaan was-was sesuatu produk itu mengandungi unsur haram seperti lemak haiwan, terutama apabila berada di negara yang majoriti penduduknya bukan Islam.

Pada masa sama, amalan membaca label dapat membantu mengekalkan kesihatan dengan mengelakkan beberapa faktor risiko terhadap penyakit tertentu seperti makanan kaya lemak dan kolesterol yang menjadi antara punca sakit jantung atau terlalu banyak garam yang boleh meningkatkan tekanan darah.

Pakar Pemakanan, Pensyarah Pemakanan dan Diatetik, Prof Dr Fatimah Arshad, ketika ditemui baru baru ini berpesan supaya orang ramai tidak mudah percaya kepada label yang meletakkan sebarang jaminan rendah lemak serta kolesterol kerana kadang kala kandungan gula di dalamnya tinggi.

Individu yang ingin mengurangkan berat badan, contohnya perlu meneliti beberapa perkara sebelum memutuskan untuk membeli. Contohnya, saiz hidangan ditawarkan yang mana jika ia meletakkan saiz dua hidangan maka ia untuk dua orang makan. Justeru, anda perlu mengambil separuh daripadanya.

Begitu juga dengan kandungan kolesterol. Pastikan ia rendah dan dapatkan segala maklumat mengenainya sebanyak mungkin. Bagi garam pula selalunya ia dilabelkan sebagai sodium. Berhati-hati membeli makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi kerana walaupun sedap, ia boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan mudah dihinggapi penyakit lain.

Begitu juga kandungan gula. Ada banyak makanan mengandungi gula dalam pembuatannya, seperti sirap, madu, susu pekat atau gula perang. Pastikan ia tidak terlalu banyak kerana boleh memudaratkan.

Pada masa sama, pengguna dinasihatkan supaya tidak mengetepikan pengambilan buah dan sayur yang diperlukan dalam diet, apatah lagi ia kaya karbohidrat serta vitamin, terutama A, C dan E dan serta kalsium. Ia juga tidak mengandungi lemak, kalori dan natrium.

Kesimpulannya tiada makanan dikategorikan sebagai baik atau tidak baik. Makanan yang dianggap baik dan berkhasiat pun jika diambil secara berlebihan akan mendatangkan mudarat.

Justeru, anda perlu berhati-hati dalam proses pemakanan selain berusaha menambah pengetahuan mengenai kesihatan dengan meneliti label pada setiap makanan.

INFO :


Jabatan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan menetapkan pengeluar menyenaraikan lima nutrien mandatori iaitu kandungan tenaga, karbohidrat, gula, protein dan lemak. Makanan yang disertakan jumlah kalori atau tenaga memudahkan kita membuat pengiraan supaya makanan yang dimakan tidak melebihi kalori keperluan harian.

SEGAR: Makanan segar
pilihan terbaik.


Usah lupa untuk melebihkan pengambilan makanan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran serta minum banyak air. Ketiga-tiga bahan ini membuatkan kita terasa cepat kenyang dan membantu mengeluarkan bahan buangan daripada badan.


Mendapat faedah yang terbaik daripada buah-buahan dan sayur-sayuran, antara panduannya ialah:

- Ketika membeli - pilih bahan yang segar, masih berwarna terang dan elok bentuknya.

- Penyimpanan - simpan dalam bekas tertutup di bahagian bawah peti sejuk, di tempat pengudaraan yang baik dan di tempat yang kering serta dingin, bukannya di atas lantai.

- Penyediaan - basuh dengan sempurna, makan atau masak dengan segera dan elakkan daripada membasuh atau merendam selepas dipotong.

- Cara memasak - Jika merebus, biarkan air berkenaan mendidih terlebih dulu baru masukkan bahan. Gunakan cara memasak yang rendah lemak seperti kukus, rebus dan celur.
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts