Jumaat, November 28, 2008

Melayu perlu berniaga jika mahu kuasai ekonomi

Motto Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MeCD) "Keusahawanan Kerjaya Pilihan" jelas menunjukkan komitmen dan visi kementerian dan kerajaan ke arah melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera pada masa akan datang. Tetapi kebanyakan mahasiswa Melayu masih mengharapkan kerja makan gaji dengan swasta atau kerajaan.

Pada masa ini banyak program keusahawanan dijalankan. Jika di sekolah kita ada Program Usahawan Muda (PUM) sementara di Institusi Pengajian Tinggi pula ada Program Siswaniaga (PSN). Ini ditambah dengan program 'kemahiran insaniah' (softskill) yang sedang dilaksanakan di pusat-pusat pengajian tinggi yang berasaskan kepada beberapa teras utama. Dan salah satu terasnya ialah keusahawanan.

Nilai-nilai keusahawanan seperti kreatif, berdaya saing dan sentiasa mencari peluang merupakan contoh nilai keusahawanan yang bagus diterapkan di kalangan pelajar dan mahasiswa.

Apa yang ingin diterapkan melalui nilai-nilai keusahawanan ini sebenarnya bukanlah semata-mata untuk menjadikan seseorang sebagai usahawan tetapi ia boleh digunakan dalam kehidupan seharian dan dalam kerjaya mereka suatu hari nanti. Dan pelajar yang aktif dengan program keusahawanan semasa di sekolah atau IPT ini akhirnya menjadi eksekutif syarikat swasta atau pegawai kerajaan.

Mungkin kerana hanya menerapkan nilai keusahawanan sahaja menjadikan pelajar-pelajar yang pernah aktif dengan PUM atau yang menyertai PSN akhirnya tidak juga memilih keusahawanan sebagai kerjaya mereka. Ini kerana mereka tidak diprogramkan untuk menjadi usahawan tetapi sekadar untuk mengambil nilai keusahawanan itu sahaja.

Tetapi pada masa sekarang kita sebenarnya menghadapi masalah kurangnya minat di kalangan orang Melayu untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Mengapa kita tidak menerapkan terus kepada pelajar-pelajar Melayu bahawa mereka mesti menjadi usahawan? Dengan itu menjadikan objektifnya lebih jelas dan mereka betul-betul faham hasrat sebenar arus perdana bangsa.

Masalah penguasaan ekonomi di kalangan orang Melayu harus diberi perhatian yang amat serius. Mungkin ramai yang berkata taraf hidup orang Melayu sekarang sudah meningkat berbanding dahulu. Orang Melayu kini ramai yang berpendidikan tinggi dan memegang jawatan sebagai pegawai tinggi kerajaan atau eksekutif di syarikat-syarikat swasta.

Sebenarnya orang Melayu harus berfikiran jauh ke arah menguasai ekonomi. Memegang jawatan tinggi dalam syarikat-syarikat swasta sebagai pengurus atau CEO sekali pun tidak dikira sebagai menguasai ekonomi. Begitu juga dengan sesetengah orang Melayu yang menjadi ahli lembaga pengarah atau pengerusi syarikat atas keperluan kuota Melayu tetapi tidak mempunyai apa-apa saham dalam syarikat juga tidak boleh dikira sebagai menguasai ekonomi. Menguasai ekonomi bermakna memiliki aset dan perniagaan. Perniagaan tersebut milik kita, bukan kita hanya sebagai pekerja.

Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum. Malangnya sehingga sekarang orang Melayu masih leka dan tidak bersungguh-sungguh untuk menguasai ekonomi dan bidang perniagaan, walau pun sudah banyak usaha dilakukan dan pelbagai agensi ditubuhkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang keusahawanan.

Ramai siswazah Melayu yang ingin menjadi usahawan sebenarnya tidak diberikan kefahaman yang jelas mengapa mereka perlu menjadi usahawan.

Sekadar menyatakan bahawa dengan menjadi usahawan mereka 'boleh jadi kaya' sahaja belum mencukupi.

Dan lebih menyedihkan apabila penceramah-penceramah dalam program keusahawanan untuk siswazah menyatakan "kalau tak dapat kerja jadilah usahawan". Kenyataan ini seolah-olah menggambarkan bahawa keusahawanan ini hanyalah pilihan terakhir sekiranya gagal mendapat pekerjaan dan bukannya keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Siswazah Melayu seharusnya diberikan kefahaman yang jelas bahawa mereka perlu menjadi usahawan adalah untuk memastikan survival Melayu pada masa akan datang. Mereka ini sebenarnya penyelamat kepada bangsa Melayu.

Mereka juga harus diberikan kefahaman bahawa perniagaan adalah fardu kifayah. Sekiranya tidak ada orang Islam yang menjalankan sesuatu perniagaan untuk memenuhi keperluan umat Islam setempat maka semua orang Islam di sesuatu tempat itu akan berdosa. Dan mereka yang terlibat dengan perniagaan telah menyelamatkan orang Islam yang lain daripada menanggung dosa.

Pada masa ini pemikiran mereka harus dibentuk untuk meminati kerjaya sebagai usahawan. Mereka harus diterapkan rasa yakin dan berani untuk mengambil risiko melibatkan diri sebagai usahawan apabila menamatkan pengajian kelak. Agar mereka tidak mengulangi kesilapan generasi Melayu sekarang yang terlalu mengagung-agungkan kerja makan gaji dan takut rugi jika menjadi usahawan.

Kita semua tahu bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kerana itu kita harus mengubah strategi daripada hanya menekankan kepada nilai keusahawanan semata-mata ke arah menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan kepada para pelajar Melayu. Jika tidak, orang Melayu akan terus menjadi bangsa makan gaji dan yang menguasai ekonomi adalah orang lain.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts