Rabu, November 05, 2008

Cabaran umat Islam jadi masyarakat pengeluar

Kehidupan kita hari ini yang dihidangkan dengan pelbagai makanan, minuman serta barang gunaan menuntut sifat berwaspada dan berhati-hati kerana masalah halal dan selamat. Justeru, umat Islam perlu mengambil berat faktor mencari produk halal dan bersih di pasaran.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi halal lagi baik; dan jangan kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Kesedaran masyarakat berkaitan isu halal perlu dipertingkatkan kerana industri pengeluaran makanan dan barang gunaan serta perkhidmatan semakin maju. Pengeluar berlumba-lumba mengeluarkan barang dan perkhidmatan dengan pelbagai kaedah untuk tujuan pemasaran.

Hakikatnya ramai yang hanya mengetahui sebahagian daripada status halal, suci serta baik barang makanan atau perkhidmatan di pasaran. Masih banyak makanan dan gunaan serta perkhidmatan di pasaran yang tidak diketahui status halalnya.

Contoh ubat yang tidak diketahui isi kandungan serta skim perniagaan cepat kaya yang beroperasi melalui internet dan kaedah biasa. Semua itu menuntut kita berhati-hati daripada terjerumus kepada perkara haram dan membahayakan diri.

Umat Islam kini menjadi masyarakat pengguna bukan masyarakat pengeluar. Inilah cabaran besar dalam menghadapi isu makanan dan barang gunaan. Oleh itu, menjadi fardu kifayah kepada umat Islam menghasil dan mengeluarkan produk kegunaan harian yang dijamin halal serta kesuciannya.

Di samping berperanan memperkasa ekonomi umat Islam, penghasilan produk oleh orang Islam mengelak pergantungan kepada masyarakat lain. Sesungguhnya inilah tanggungjawab fardu kifayah yang perlu diperjuangkan secara bersepadu, berterusan dan bersungguh-sungguh.

Pentingnya kesedaran mengenai isu halal kerana mempengaruhi tingkah laku. Dibimbangi makanan yang bertukar menjadi darah daging ialah daripada sumber syubahah atau haram akan menjadikan kita keras hati, malas beribadah, sukar menerima kebenaran serta sukakan maksiat.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang dan di antara keduanya terdapat perkara syubhah (yang tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia.

Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah akan masuk ke dalam perkara yang haram laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan yang akhirnya lalai dan masuk ke dalam tempat larangan itu. Bagi setiap raja ada sebuah kawasan larangan dan tempat larang Allah itu adalah segala yang diharamkan. Ketahuilah pada setiap jasad ada seketul daging jika ia baik, baik seluruh jasad dan jika maka rosak seluruh jasad itu. Itulah hati."

Demi menjamin makanan, minuman dan barang gunaan halal, suci dan selamat dicadangkan:



Umat Islam menyedari besarnya tuntutan syarak dalam memelihara halal dan haram


Sentiasa pastikan makanan, minuman, ubat dan barang gunaan mempunyai logo halal yang sah


Memilih untuk makan di restoran milik umat Islam atau yang mempunyai logo halal daripada pihak berkuasa


Tidak terbabit dalam sebarang perniagaan yang mengandungi unsur gharar (tipu) dan riba.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, makanlah daripada benda baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukur kepada Allah jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 172)
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts