Selasa, November 18, 2008

Anjur majlis perkahwinan ikut kemampuan & syariat Islam

Sinonim dengan musim cuti panjang persekolahan sekarang, maka orang ramai mengambil kesempatan mengadakan walimah atau kenduri kahwin bagi menggambarkan kegembiraan dan kesyukuran apabila bercantumnya dua hati insan yang dinobatkan sebagai raja sehari dalam ikatan pernikahan.

Kemeriahannya lebih terasa kerana sesuai dengan pengertian walimah sendiri bermaksud mengadakan majlis makan yang turut mengundang sanak saudara dan sahabat handai sama ada dekat dan jauh untuk turut sama menyerikan lagi majlis.

Anas Malik dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhori dan Muslim bahawa Rasulullah SAW melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan seekor kambing untuk isteri-isterinya dan juga untuk Zainab.

Sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyatakan Rasulullah SAW mengundang sahabat untuk menghadiri majlis walimah Baginda sesudah mencampuri isterinya, Zainab r.a.

Pada kisah Abi Usaid juga didapati walimah dilakukannya yang dihadiri Rasulullah, beliau menghidangkan kurma yang disimpan pada malam hari.

Kurma itu yang dihidangkan kepada tetamu lain. Ia bermakna, apa jenis makanan sekalipun yang ingin dihidangkan pihak keluarga yang mengadakan walimah, terpulang kepada kemampuan mereka.

Namun, janganlah pula ada keluarga Islam yang mengadakan kenduri kahwin melampau batas syariat seperti menyerlah sikap ingin menunjuk dengan mengadakan kenduri besar-besaran. Boros berbelanja sehingga memberi kesan kepada keadaan kewangan kemudiannya melakukan pembaziran wang dan harta benda.

Membuat pinjaman bank dan berhutang besar semata-mata kerana menurut nafsu dan keinginan yang melampau.

Firman Allah dalam surah al-Isra' bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya."

Sudah menjadi budaya masyarakat, apabila golongan mewah dan kaya mengadakan kenduri kahwin, jarang yang mendahulukan orang miskin dan kurang berada sebagai tetamu untuk meraikan majlis.

Hal ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari yang bermaksud: "Sejelik-jelik makanan ialah makanan daripada majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak pula diundang untuk makan bersama."

Dari aspek memenuhi tuntutan sebagai tetamu majlis kenduri kahwin pula Rasulullah menyatakan dalam hadis Baginda yang diriwayatkan Bukhari yang bermaksud: "Jika salah seorang di antara kamu dijemput ke majlis perkahwinan, maka hendaklah ia mendatangi majlis itu."

Jika diteliti hadis di atas, menghadiri jemputan kenduri kahwin dituntut Islam sebagai sunat muaakad. Dalam kita ditulis Syed al-Bari menyatakan syarat undangan yang wajib dipenuhi antara lain perlu meliputi perkara berikut:

Orang yang mengundang adalah mukallaf, merdeka serta sihat pemikirannya.
Tidak dikhususkan kepada orang kaya saja.
Orang yang mengundang beragama Islam.
Tidak ada kemungkaran di majlis itu.
Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran syarie.
Usah dicemar dengan perkara bercanggah dengan syariat Islam. Pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, pertuturan keji dan lucah, nyanyian dan tarian melalaikan, senda gurau melampau adalah contoh yang sering berlaku pada majlis kenduri kahwin.

At-Tirmizi meriwayatkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perbezaan antara majlis perkahwinan yang halal dan haram ialah ada nyanyian dan pukul rebana."

Dari mafhum hadis itu, maka kita perlu menepati kehendak sebenar syariat Islam apabila memeriahkan kenduri kahwin dengan persembahan hiburan agar tidak tercemar dengan unsur yang ditegah agama dan melanggar ketertiban budaya orang Melayu.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tempoh mengadakan kenduri kahwin yang bermaksud: "Walimah pada hari pertama adalah suatu hal yang benar. Pada hari kedua adalah suatu perkenalan, sedangkan pada hari ketiga adalah pamer dan mencari kemasyhuran."

Dalam hadis di atas Rasulullah SAW menyatakan keharusan mengadakan kenduri kahwin dalam tempoh masa tertentu seperti dinyatakan.

Sesuatu tersirat yang ingin disampaikan Baginda dalam hadis di atas ialah sikap berpada-pada apabila mengadakan majlis kenduri kahwin agar tidak dipandang serong oleh orang lain.

Bersederhanalah ketika melakukan apa juga perkara dalam kehidupan kerana kesederhanaan itu yang amat dituntut dalam ajaran Islam.
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts