Ahad, Oktober 05, 2008

Empat ahli keluarga vitamin E

VITAMIN E tulen yang dijumpai dalam alam semula jadi sudah tentu lebih unggul daripada vitamin E biasa yang terdapat dalam pil-pil suplemen yang kita selalu makan.

Apa sebabnya? Ini kerana kebanyakan pil vitamin E mengandungi hanya alfa tokoferol sedangkan penemuan terkini telah menunjukkan vitamin E semulajadi bukan sahaja memberikan kita hanya satu (alfa) tetapi empat jenis (alfa, beta, gamma, dan delta) ahli keluarga tokoferol.

Ketika vitamin E mula dijumpai pada tahun 1922, ahli sains telah tersilap kesimpulan dengan mengatakan hanya alfa tokoferol sahaja dapat memberikan manfaat.

Oleh itu, selama 70 hingga 80 tahun berikutnya, suplemen vitamin E mengandungi hanya alfa tokoferol sahaja. Sejak itu juga vitamin E menjadi seerti dengan alfa tokoferol.

Hanya baru-baru ini sahaja ahli sains menjumpai ahli keluarga tokoferol yang sebelum ini dianggap tidak berguna dan telah lama dilupakan.

Tokoferol yang dikenali sebagai gamma, beta, dan delta di dalam keluarga vitamin E, kini dianggap mempunyai fungsi-fungsi penting.

Sesetengah fungsi ini berbeza daripada alfa tokoferol. Walaupun alfa tokoferol secara bersendirian boleh memberikan manfaat tertentu, namun didapati bahawa manfaat terbaik daripada suplemen vitamin E boleh diperolehi apabila ia mengandungi semua empat ahli keluarga tokoferol.

Sebagai satu gabungan, keluarga tokoferol ini berfungsi dengan lebih baik berbanding alfa tokoferol bertindak secara bersendirian.

Oleh itu, jika anda mengambil alfa tokoferol secara bersendirian, anda mungkin tidak dapat memperolehi manfaat-manfaat bersinergi yang diberikan oleh keempat-empat ahli keluarga tokoferol dalam vitamin E.

* Gabungan kurangkan risiko Alzheimer

Satu kajian yang diterbitkan dalam majalah American Journal of Clinical Nutrition terbitan Februari 2005 mendapati pengambilan campuran vitamin E daripada sumber makanan (bukan daripada suplemen), dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit Alzheimer (AD).

“Pengambilan vitamin E yang tinggi daripada makanan (tokoferol alfa, beta, gamma, delta) bukan daripada suplemen (yang selalunya mengandungi hanya alfa tokoferol) diperhatikan mempunyai kaitan songsang dengan penyakit Alzheimer,” tulis Dr. Martha Clare Morris, dan rakan-rakannya dari Institut Sihat Berusia Rush di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat (AS).

“Kerana vitamin E terdiri dari empat ahli tokoferol yang berlainan (alfa, beta, gamma, dan delta) sementara suplemen vitamin E lazimnya terdiri dari alfa tokoferol sahaja, maka mungkin satu penjelasan terhadap ketidaksejajaran yang dilihat adalah kesan (manfaat) itu bukan disebabkan oleh alfa tokoferol secara bersendirian, tetapi kerana gabungan ahli-ahli tokoferol itu,” kata Dr. Morris.

* Ciri-Ciri Anti Inflamasi

Radikal bebas boleh merangsang dan memperhebatkan inflamasi dengan menyerang gen-gen yang menggalakkan inflamasi.

Beberapa keadaan penyakit degeneratif yang serius, termasuk aterosklerosis (pengerasan arteri), berbagai jenis kanser dan penyakit Alzheimer, kelihatan digalakkan oleh inflamasi kronik.

Terdapat satu laporan mengenainya yang diterbitkan pada 21 Disember 2004 di dalam Proceedings of the National Academy of Sciences yang diketuai oleh sepasukan ahli sains termasuk Qing Jiang, yang dahulunya dari Hospital dan Pusat Penyelidikan Kanak-kanak di Oakland, California, AS.

Para penyelidik ini bagaimanapun tidak ada sebarang tentangan terhadap alfa tokoferol.

“Alfa tokoferol dengan wajar telah pun memperolehi reputasi yang baik sebagai satu antioksidan,” ujar Jiang, dalam satu siaran akhbar.

Sebaliknya, beliau ingin melihat sama ada ahli yang lain daripada keluarga vitamin E juga mempunyai harapan yang baik (untuk kesihatan).

Jiang, pada masa ini memegang jawatan penolong profesor di bahagian makanan dan nutrisi Universiti Purdue, Indiana, AS, dan telah pun mengkaji gamma tokoferol sebelum ini.

Pada tahun 2000, beliau dan rakan-rakannya mendapati gamma tokoferol dapat menyekat inflamasi, yang dikaitkan dengan penyakit kanser.

Kini, pasukan penyelidikan Jiang mengkaji gamma tokoferol khususnya tentang kesannya terhadap sel prostat manusia dan sel kanser paru-paru.

Mereka mendapati gamma tokoferol dapat menyekat sel kanser prostat dan kanser paru-paru daripada merebak, tanpa menjejaskan sel lain yang sihat.

Ini menunjukkan bahawa gamma tokoferol mungkin dapat menentang kanser tanpa merosakkan sel-sel yang tidak terbabit.

Malah, hasilnya adalah lebih baik apabila gamma tokoferol memperolehi sedikit pertolongan daripada ahli keluarganya yang lain.

Mencampurkan ahli keluarga vitamin E yang lain, termasuklah gamma tokoferol didapati lebih baik untuk menyekat kanser daripada merebak.

“Penggabungan ahli keluarga vitamin E yang berlainan mungkin memberi kesan lebih hebat daripada setiap satunya bertindak secara bersendirian,” tulis para penyelidik itu.

* Manfaat Asid Suksinat d-Alfa Tokoferol (E-Succinate)

Di samping campuran tokoferol, cuba dapatkan juga produk vitamin E yang mengandungi Asid Suksinat d-Alfa Tokoferol (E-Succinate) yang juga pro-alfa tokoferol.

E-Succinate bukan sahaja sejenis antioksidan tetapi juga telah menunjukkan manfaat-manfaat anti kanser yang unik.

Banyak kajian menyarankan E-Succinate boleh menyekat perkembangan kanser payu dara, prostat dan kolon dengan merangsangkan sel-sel kanser itu untuk membunuh diri sendiri.

Penyelidikan juga telah menunjukkan E-Succinate boleh meningkatkan kesan-kesan terapi radiasi dan kemoterapi di samping melindungi sel-sel yang normal.

* Maksimumkan Sepenuhnya Manfaat Vitamin E

Intisari daripada penemuan terbaru ini ialah mengambil alfa tokoferol secara bersendirian mungkin tidak akan memperolehi manfaat sepenuhnya daripada vitamin E.

Adalah didapati bahawa mereka yang mengambil alfa tokoferol sahaja secara bersendirian tidak boleh menikmati manfaat-manfaat yang sangat penting daripada gamma tokoferol.

Ini kerana alfa tokoferol secara bersendirian akan menyingkir keluar gamma tokoferol dari dalam tisu-tisu.

Jika anda mengambil suplemen vitamin E, pilihlah produk vitamin E yang datang dengan dos yang terkini iaitu berbentuk cecair yang diisi dalam kapsul sayuran, kerana ia didapati boleh memulihara kemujaraban vitamin E dengan lebih lama.

Pastikan juga campuran cecair ini mempunyai ahli keluarga vitamin E (tokoferol) yang lengkap (tokoferol alfa, beta, gamma, dan delta) kerana ia berfungsi bersama secara bersinergi sebagai satu pasukan untuk memberikan manfaat maksimum kepada anda.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts