Selasa, September 23, 2008

Malaysia iklankan destinasi pelancongan di Yahoo! dan MSN

Malaysia menjadi negara pertama yang mengiklankan destinasi pelancongannya dalam enjin carian Internet Yahoo! dan MSN hari ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, iklan dalam Internet adalah langkah pertama sebelum Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia melancarkan iklan televisyen melalui Internet (web TV) tidak lama lagi.

''Sebagai permulaan, iklan dalam Yahoo! dan MSN memberi tumpuan kepada para pelancong dari India, Australia dan New Zealand.

''Ia akan disiarkan mulai bulan ini sehingga Disember. Kempen iklan ini melibatkan kos sebanyak RM1 juta untuk Yahoo! serta RM500,000 untuk MSN,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Iklan Pelancongan Malaysia dalam Yahoo! dan MSN di Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang di sini hari ini.

Jelas beliau, iklan secara dalam talian terutamanya web TV yang akan dilancarkan itu merupakan strategi kementerian untuk memberi gambaran sebenar tentang Malaysia kepada pelancong asing dengan pantas.

Tambah Azalina, pihaknya menjangkakan iklan melalui Yahoo! dan MSN akan dapat ditonton oleh 12 juta pengguna Internet di India dan 17 juta lagi di Australia dan New Zealand.

''Pengguna hanya perlu klik pada iklan Tourism Malaysia berkenaan dan mereka boleh mengakses laman web rasmi Pelancongan Malaysia untuk membuat sebarang tempahan dan pertanyaan.

''Mulai sekarang, saya akan memberi tumpuan untuk mengiklankan destinasi pelancongan Malaysia melalui Internet memandangkan ia lebih murah berbanding pengiklanan secara konservatif seperti papan iklan, siaran televisyen dan pelbagai penerbitan asing,'' jelasnya.

Berdasarkan statistik terkini, lebih 78 peratus pelancong yang datang ke Malaysia adalah melalui tempahan dalam talian.

Yahoo! merupakan enjin carian paling popular di India dengan lebih 649 juta pengguna sementara MSN digunakan oleh lebih 70 pengguna Internet di Australia dan lebih 60 peratus pengguna di New Zealand.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts