Selasa, September 23, 2008

Ketepikan perbezaan demi masa depan, keharmonian negara

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah supaya pemimpin Islam dan Melayu perlu sentiasa menunjukkan contoh yang baik dengan menyemarakkan semangat persaudaraan, memperkukuh perpaduan, menghentikan pertelingkahan dan tumpu kepada pembangunan kesejahteraan ummah perlu diambil iktibar semua pihak. Jika ada sebarang perbezaan pendekatan atau kelainan fahaman dan tafsiran, umat Islam tidak sewajarnya melakukan sesuatu yang menggugat keharmonian dan semangat ukhuwah sehingga mereka berpecah-belah.

Ingatan Raja Nazrin itu memang kena pada waktunya kerana sejak kebelakangan ini, disebabkan perbezaan fahaman politik, hubungan sesama Melayu bukan saja mula renggang tetapi lebih dikhuatirkan apabila ada pihak lain cuba laga-lagakan umat Islam hingga menyebabkan mereka tidak sehaluan dan terus bercakaran. Umat Islam sepatutnya berjiwa besar dan menumpukan fikiran dan usaha untuk melaksanakan kerja yang produktif bagi menangani keadaan ekonomi dunia yang lembab sekarang.

Sudah sampai masanya umat Islam mengikis sikap pentingkan diri sendiri kerana persaudaraan dalam Islam melangkau jauh batas sempadan serta jurang perbezaan. Segenap lapisan masyarakat mesti menjaga keharmonian dengan sentiasa mengamalkan semangat muhibah bagi menangkis sebarang ancaman yang mahu menggugat perpaduan. Perpaduan yang kukuh saja membolehkan negara menghadapi pelbagai cabaran dan membawa rakyat ke tahap lebih baik. Islam menganjurkan umatnya memupuk perpaduan dan menekan aspek perdamaian.

Kita perlu berpegang kepada semangat biduk lalu kiambang bertaut sekali gus mengamalkan semangat musyawarah dan persaudaraan, bermaaf-maafan, memberi dan menerima yang akan membawa kepada kata sepakat. Masyarakat Islam akan rugi jika terus bertelagah kerana akhirnya 'yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu'. Mereka seharusnya lebih bijaksana memastikan antara permata dan kaca. Semangat berpijak di bumi yang sama dan menjunjung langit yang sama perlu dipupuk dan dihayati supaya terbina kekuatan warga yang teguh berpadu dan cekal bersatu untuk bersama-sama membangunkan negara yang kekal merdeka dan berdaulat.

Negara harus sentiasa dalam keadaan aman supaya daya pengeluaran dapat ditingkatkan, makanan mencukupi dan harganya stabil, manakala pelabur asing pula tidak bimbang untuk mengintai pelaburan di negara ini. Usaha menangani kemelut ekonomi tidak akan dicapai jika di kalangan barisan kepemimpinan sama ada dalam atau di luar kerajaan terus bersengketa.

Hanya kerajaan yang kukuh dan dipercayai rakyat dapat membetulkan segala kepincangan dan membawa negara ke mercu kegemilangan. Justeru, jika minda masyarakat Melayu berada dalam suasana stabil dan selesa, pandangan prejudis antara kaum di negara ini akan hilang dan seterusnya hubungan harmoni akan terjalin.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts