Selasa, April 06, 2021

TNB menjadi penyedia gentian optik internet melalui talian elektrik

 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo), berjaya melengkapkan pembinaan infrastruktur gentian optik di Melaka.
Pembinaan infrastruktur itu mampu menghubungkan lebih 17,000 kediaman di negeri berkenaan bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Dengan pembinaan infrastruktur tersebut, Allo sebagai penyedia akses terbuka berjaya meluaskan potensi capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) sehingga 1Gbps di Melaka yang kini disediakan oleh pembekal perkhidmatan runcit (SRP) iaitu Maxis, Astro, Digi dan Celcom.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kejayaan itu susulan projek perintis HSBB yang siap dalam tempoh kurang tiga bulan bermula Januari 2019, menghubungkan 1,100 kediaman di Taman Maju, Taman Merbau Perdana dan Felda Kemendor.

“Penyediaan infrastruktur HSBB ini secara tidak langsung menggambarkan sokongan TNB dalam merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar di negara ini.

“Justeru melalui Allo, TNB menawarkan perkhidmatan segmen ini dalam bentuk yang lebih pantas, lagi diyakini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau sebelum itu berucap di majlis pelancaran perasmian rangkaian infrastruktur jalur lebar peringkat Melaka bagi menyokong Jendela. Majlis disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri, Dr. Sulaiman Md. Ali.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din; Pengerusi Allo, Lim Fu Yen dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rodzi Ahmad.

Mahdzir berkata, kemudahan infrastruktur gentian optik itu membuka peluang kepada lebih ramai penduduk Melaka untuk mendapat akses kepada internet jalur lebar pada harga lebih berpatutan, seterusnya capaian kepada pelbagai sumber maklumat selain pendidikan dalam talian.

Tambah beliau, ia juga menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pemerkasaan bidang ekonomi digital, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar akibat wabak Covid-19.

“Penglibatan TNB untuk menjayakan Dasar Digital Negara adalah sesuai dengan peranan TNB selama ini sebagai penggerak kemajuan negara dan kini peranan itu diperkukuhkan bagi menangani cabaran ekonomi digital serta revolusi perindustrian keempat (IR4.0),” katanya.

Dengan memanfaatkan rangkaian gentian optik sepanjang 18,000 kilometer (km) yang melalui pencawang elektrik milik TNB di Semenanjung Malaysia, Allo berjaya menghubungkan 60,000 kediaman dengan rangkaian gentian optik di Melaka, Perak dan Kedah. 

Sumber : Utusan

JPA diarah laksana pusingan kerja pegawai di jawatan sensitif

 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah diarahkan untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan-jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku rasuah.

Dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan sindiket kartel tender kerajaan, Mohd Zaki menyatakan kekesalannya terdapat segelintir penjawat awam yang membenarkan diri mereka diperguna oleh pihak berkepentingan untuk habuan lumayan.

"Saya memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terbabit dalam isu ini ataupun sebarang salah laku yang menjejaskan imej perkhidmatan awam sekiranya dibuktikan bersalah," katanya.

Mohd Zuki berkata, pendedahan SPRM berkenaan sindiket kartel tender kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion amat membimbangkan.

Menurutnya, kes itu mula dikesan sejak 2014 dan hasil pemerhatian serta risikan berterusan pihak SPRM berjaya membawa kepada penahanan beberapa individu yang menjadi suspek utama siasatan.

Dilaporkan, SPRM menumpaskan sindiket kartel projek yang memonopoli 345 tender kementerian dan agensi kerajaan bernilai RM3.8 bilion dengan penahanan tujuh individu, termasuk ketua sindiket pada Ahad lalu.

Ketua sindiket berusia 47 tahun dikatakan mengawal lebih 150 syarikat yang berfungsi untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terbabit.

Menurut laporan, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada 'orang dalam' untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender dan sebut harga.

Mohd Zuki berkata, beliau menyokong penuh usaha untuk membanteras apa juga bentuk salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam sistem penyampaian kerajaan terutama isu berkaitan rasuah yang dikendalikan oleh SPRM.

"Saya sudah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi dengan memperkukuh program kesedaran dan pencegahan selaras dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP)," katanya. 

Sumber : BERNAMA

 

Isnin, April 05, 2021

ECRL: Jajaran Utara tak rentas Empangan Batu, Permatang Kuartza

 

Jajaran Utara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Mentakab ke Pelabuhan Klang yang kembali ke jajaran asal cadangannya, tidak akan merentasi kawasan Permatang Kuartza Gombak dan Empangan Batu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ini kerana Jajaran Utara direka untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

Oleh itu, Kementerian Pengangkutan akan memastikan projek ECRL tidak akan menjejaskan Permatang Kuartza Gombak yang sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Reka bentuk laluan rel yang dicadangkan untuk bahagian jajaran itu adalah laluan bertingkat yang akan menyusuri jalan sedia ada yang merentasi permatang itu. 

"Pendek kata, laluan ECRL akan dapat mengelak Permatang Kuartza Gombak serta tidak akan menjejaskan zon perlindungannya," katanya dalam sidang media mengenai ECRL.

Jajaran Utara juga tidak akan menceroboh kawasan tadahan air seperti Empangan Batu iaitu antara empangan yang membekalkan air kepada penduduk Selangor dan Lembah Klang serta mengelak kawasan berpenduduk padat di daerah Gombak.

Walaupun terdapat tujuh hutan simpan antaranya Ulu Gombak, Templer, Serendah dan Rantau Panjang yang mungkin dilalui Jajaran Utara, beberapa terowong sepanjang 15.22 kilometer (km) akan dibina untuk mengurangkan penebangan hutan simpan.

ECRL Jajaran Utara dijangka melintasi tiga kawasan tadahan air antara Mentakab dan Pelabuhan Klang manakala Jajaran Selatan dijangka melintasi sekurang-kurangnya empat kawasan tadahan air.

"Impak sosial Jajaran Utara juga tidak sebesar Jajaran Selatan. Contoh di bawah Akta Pengambilan Tanah, Jajaran Utara dijangka membabitkan 4,302 lot berbanding Jajaran Selatan, 6,038 lot," katanya.

Beliau berkata semakin kurang jumlah tanah diambil bermakna semakin kurang pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada pemilik tanah kerana kebanyakannya membabitkan tanah dan trek Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Secara amnya, Jajaran Utara mungkin memberi kesan kepada 11 kawasan perumahan di sepanjang 201km Jajaran Utara berbanding 19 kawasan perumahan di Jajaran Selatan.

"Daripada aspek pembabitan Orang Asli, ia memihak kepada Jajaran Utara kerana hanya dua kebarangkalian kawasan Orang Asli mengalami kesan berbanding tujuh kawasan di Jajaran Selatan," katanya.

Berhubung isu pembabitan Tanah Rizab Melayu pula, Jajaran Utara menjejaskan dua kawasan iaitu di Gombak dan Rantau Panjang manakala Jajaran Selatan akan menjejaskan sekurang-kurangnya tiga kawasan iaitu di Beranang, Jenderam serta Dengkil.

Sumber : BERNAMA

 

Sabtu, April 03, 2021

Asap rokok punca asma jadi lebih teruk

 

Penyakit asma yang membabitkan radang sistem saluran pernafasan bukanlah berpunca sejak lahir.

Namun, ia akan menjadi lebih teruk apabila pesakit terdedah kepada pencetus atau perangsang  sehingga menyebabkan  sistem saluran pernafasan akan menjadi bengkak dan menghasilkan lendir.

Sekiranya ia berlaku, saluran akan menjadi sempit dan menyebabkan mereka sukar untuk bernafas.

Pakar pediatrik, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Melanie Majaham, berkata faktor persekitaran berperanan penting sebagai pencetus untuk kanak-kanak yang menghidap gejala asma.

"Apabila kanak-kanak itu terdedah dengan faktor pencetus seperti jangkitan virus, debu, asap rokok, perubahan cuaca dan sesetengah makanan, asma boleh menyerang.

"Memandangkan gejala asma boleh berlaku berulang, ibu bapa perlu memastikan kanak-kanak itu menjauhkan diri daripada faktor pencetus.

"Biarpun sukar mengawal pencetus apabila kanak-kanak berada di luar rumah, ibu bapa perlu memberi perhatian penuh keadaan persekitaran di rumah," katanya.

Pakar pediatrik, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Melanie Majaham

Dr Melanie berkata, kanak-kanak bukan sahaja perlu mengelakkan asap rokok, tetapi habuk yang mungkin melekat pada baju perokok.

"Sebaiknya, perokok yang baru pulang ke rumah perlu membersihkan diri dan pakaian sebelum bersama dengan anak," katanya.

Kesan jangka panjang

5.8 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia dalam lingkungan umur 6 hingga 7 tahun adalah penghidap asma.

Penyakit asma adalah disebabkan pelbagai faktor  termasuk  unsur genetik dan persekitaran.

Sekiranya ibu atau bapa mempunyai asma, risiko untuk anak itu menghidap asma adalah antara 25 hingga 50 peratus.

Dr Melanie berkata, pengambilan ubat pencegah, pelega dan menjauhkan diri daripada faktor pencetus perlu diambil serius supaya tidak memberi kesan jangka panjang kepada pesakit.

"Sekiranya tidak dikawal dengan baik, kanak-kanak berkenaan tidak boleh membabitkan diri dalam aktiviti sukan seperti berkhemah yang berkemungkinan mampu memberi kesan kepada perkembangan sosial mereka," katanya.

Di samping itu, terdapat cara alternatif untuk mengurangkan serangan asma seperti perubahan diet, probiotik dan penggunaan penapis udara di rumah.

Kata Dr Melanie, keberkesannya tidak dijamin namun sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan serangan asma apabila pesakit berada dalam keadaan persekitaran sekeliling yang bersih.

Tapis habuk dan partikel kecil

Pelbagai jenis penapis udara boleh didapati di pasaran namun tidak semua mampu menapis habuk dan partikel kecil yang menjadi pencetus serangan asma.

Panasonic menawarkan ECONAVI Humidifying nanoe Air Purifier yang mampu menapis 99.97 peratus partikel mikron sehalus 0.3.

Hadir dengan penapis HEPA, ia mampu menghalang alergi, virus, bakteria dan mengelak pembiakan kulat dengan enzim antibakteria.

Ia juga dilengkapi ciri melembapkan kawasan sekeliling bagi memberi kesan positif terhadap kesihatan dan menjaga kulit serta sistem pernafasan anda supaya tidak terlalu kering pada musim sejuk atau di kawasan kering.

Layari laman web Panasonic untuk mengetahui lebih banyak produk bermanfaat bagi memastikan anda supaya menikmati kualiti hidup yang terbaik.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

Elak ubah kedudukan meter tanpa kebenaran TNB

 

Pemilik kediaman yang berhasrat untuk mengalihkan pepasangan termasuk meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dinasihatkan untuk memaklumkan TNB terlebih dahulu.

TNB dalam satu kenyataan berkata, kebenaran TNB diperlukan sebelum melakukan pengalihan pepasangan supaya sebarang kerja yang dilakukan mengikut spesifikasi TNB dan tidak menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

“Penglibatan diri dalam apa-apa aktiviti berhampiran pepasangan elektrik tanpa kebenaran sah termasuk tindakan mengusik atau mengalihkan kedudukan meter elektrik TNB menjadi kesalahan berdasarkan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Individu yang disabitkan melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya,” katanya di sini hari ini.

Selain itu katanya, bagi sebarang pertanyaan berkaitan akaun dan bil, pelanggan disarankan untuk menghubungiTNB CareLine di talian 1300885454 atau e-mel kepada tnbcareline@tnb.com.my atau kunjungi Kedai Tenaga yang berhampiran.

Jumaat, April 02, 2021

Fasa kedua program imunisasi COVID-19 diawalkan 17 April 2021

 

Pelaksanaan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sepatutnya diadakan pada 19 April, diawalkan dua hari sebelum itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Susulan itu, beliau berkata, kempen pendaftaran perlu digiatkan kerana golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi hanya 30 peratus daripada tujuh juta rakyat yang sudah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

"Kita perlu giatkan kempen untuk meningkatkan pendaftaran vaksinasi melalui lima kaedah iaitu menerusi MySejahtera atau laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), menghubungi talian hotline, hadir ke pusat kesihatan daerah dan menerusi program badan bukan kerajaan (NGO) yang juga memberi fokus kepada golongan gelandangan serta pendatang tanpa izin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian antara KKM dan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio) yang menguruskan vaksin COVID-19 jenis CanSino dari China.

Dr Adham berkata, sebanyak 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua membabitkan golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbiditi.

Beliau berkata, program vaksinasi akan terus dilaksanakan pada Ramadan dan menawarkan penerima vaksin untuk menerima suntikan pada waktu malam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu.

Ditanya tindakan larangan eksport vaksin di beberapa negara bagi memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan kekurangan bekalan, Dr Adham berkata, ia tidak akan menjejaskan program imunisasi yang sedang berjalan di Malaysia kerana pembekal sudah memberi komitmen kepada kerajaan bahawa penghantaran akan mengikut jadual.

Sebagai contoh, katanya, Malaysia akan mendapatkan vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand menerusi pemerolehan langsung, manakala bekalan vaksin AstraZeneca menerusi kemudahan COVAX pula dari Korea Selatan.

"Perkara ini semua dijamin, jadi isu kelewatan bekalan vaksin daripada pembekal tidak berlaku pada Malaysia. Kita dapat laksanakan semua jadual dan penghantaran dalam waktu ditetapkan, tetapi kita harap penghantaran dapat dipercepatkan jika boleh," katanya.

Dilaporkan India menghentikan buat sementara semua eksport utama bagi vaksin AstraZeneca yang dihasilkan Institut Serum India (SII) untuk memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan jangkitan COVID-19 di negara itu.

Langkah itu seperti dilaporkan, akan turut menjejaskan bekalan kepada kemudahan perkongsian vaksin COVAX yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana banyak negara dijangka mendapatkan dos masing-masing. 

Sumber : BERNAMA

 

Tarantula kenderaan perisai pertama buatan Malaysia

 

Tarantula secara rasmi dipilih sebagai nama kenderaan nasional berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4), buatan tempatan yang pertama, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, pemilihan nama kenderaan itu berdasarkan spesis labah-labah daripada keluarga Theraphosidae atau di Asia digelar 'Earth Tiger'.

Katanya, karakter dan keupayaan yang ada pada labah-labah Tarantula menggambarkan 'kekuatan' kenderaan perisai yang dibangunkan bakat tempatan.

"Saya sangat berbesar hati diberi peluang melancarkan dan menamakan kereta perisai tempatan buatan Malaysia sebagai Tarantula.

"Kereta perisai ini melalui pelbagai ujian daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Kementerian Pertahanan.

"Dari segi ujian atas jalan raya selama sembilan hari, ia merangkumi perjalanan 700 kilometer (km) dan 300 km lagi ujian panduan 'offroad'.

"Ia dinamakan Tarantula HMAV4x4 kerana Tarantula adalah kumpulan labah-labah bertaring besar dan berbulu, mempunyai keupayaan mengubah warna serta tingkah laku mengikut persekitaran. Sebab itu kekuatan kereta perisai ini sama dengan Tarantula," katanya pada sidang media selepas mengumumkan nama HMAV4x4 pertama Malaysia di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Penasihat Mildef International Technologies (MILDEF), Jeneral (B) Tan Sri Raja Muhammad Affendi Raja Muhammad dan Pengarah Urusan MILDEF, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa.

Pada majlis sama, turut dilancarkan adalah logo rasmi kenderaan berperisai itu.

Mengulas pencapaian hasil inovasi syarikat tempatan, Ismail Sabri berkata, apa yang ditonjolkan MILDEF adakah bukti bakat dan syarikat tempatan juga mampu menghasilkan kenderaan pertahanan yang sama kualiti seperti dihasilkan negara luar, malah lebih hebat.

Justeru, beliau berkata, Kementerian Pertahanan komited untuk terus menumpukan industri pertahanan dalam usaha memastikan Malaysia tidak lagi bergantung terhadap 'produk' negara luar.

"Kementerian akan memberi fokus industri pertahanan supaya pakar dalam negara iaitu anak Malaysia mampu keluarkan senjata sendiri bagi mengelak pergantungan dengan negara luar. 

"Sebelum ini, kita berjaya menghasilkan peluru, komponen pesawat dan kita sedang membina kapal perang. Dari segi fokus, kita akan mengeluarkan lebih lagi untuk industri pertahanan.

"Saya harap Tarantula ini bukan saja mampu digunakan dalam negara, tetapi di luar negara kerana kualiti ketahanannya. Syarikat tempatan juga perlu fokus pasaran luar negara supaya tidak bergantung pasaran tempatan untuk membeli produk ini," katanya.

Tarantula HMAV4x4 adalah kenderaan berperisai dengan keupayaan lasak untuk bergerak pantas di atas pelbagai bentuk muka bumi dengan mampu mencapai kelajuan sehingga 110 kilometer per jam.

Dengan keupayaan dimiliki kenderaan itu, ia terbukti mampu melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan dan memberi perlindungan kepada pengendali serta kru kenderaan itu.

Ia dibina berlandaskan pelantar modular dengan rangkaian spesifikasi daripada yang asas sehingga paling canggih untuk memudahkan sebarang pengubahsuaian dan memenuhi mana-mana spesifikasi diinginkan negara tertentu.

Dilengkapi sistem persenjataan moden bersama pelancar grenet, kenderaan berperisai ini direka menggunakan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) yang membolehkannya menembak secara 360 darjah ketika bertempur, memberikan keupayaan untuk menembak sasaran menggunakan sistem kawalan jauh dengan bantuan skrin paparan.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

Penerima vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus

 

Pakar kesihatan awam memohon kerajaan meneliti semula cadangan membenarkan penerima dos lengkap vaksin COVID-19 untuk merentas negeri dan mungkin boleh menuju ke negara tertentu.

Ia berikutan, penerima vaksin itu masih berisiko menjadi pembawa virus tidak bergejala, selain berpotensi membawa pulang mutasi baharu virus COVID-19 dari luar negara, yang berisiko menjejaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata cadangan itu akan menjadi galakan untuk orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, penerima vaksin masih berisiko menyebarkan jangkitan, sekali gus mungkin menyebabkan individu lain yang belum menerima vaksin, dijangkiti wabak itu melalui mereka.

"Vaksin COVID-19 berfungsi melindungi penerimanya daripada mendapat penyakit yang serius, namun vaksin ini belum terbukti boleh mencegah penerimanya mendapat dan menyebarkan jangkitan.

"Ertinya, penerima vaksin masih berisiko mendapat virus itu dan menyebarkannya kepada orang lain, sekali gus memberi kesan kepada orang yang belum divaksin.

"Cadangan membenarkan penerima vaksin rentas negeri atau ke luar negara belum sesuai dilaksanakan kerana masih ramai individu belum divaksin, menyebabkan risiko jangkitan kekal tinggi, selain timbul isu ketidakadilan pada yang belum divaksin," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh ke luar negara tertentu, dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.

Sijil pengesahan itu akan diberikan kepada individu sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, sekali gus menjadi 'pasport' untuk mereka bergerak, di samping kerajaan sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat negara ini melakukan perjalanan ke negara terbabit.

Dr Zainal berkata, cadangan membenarkan penerima vaksin ke luar negara, dibimbangi berisiko menyebabkan seseorang individu itu membawa pulang varian baharu virus COVID-19 ke Malaysia, yang bakal memberi impak kepada trend penularan pandemik itu di negara ini.

"Jika penerima vaksin tidak dikuarantin atau dikuarantin dalam tempoh terlalu singkat, dia berisiko dijangkiti dan membawa mutasi baharu. Harap cadangan ini tidak dilaksanakan secara umum, tetapi bersyarat," katanya.

Sementara, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, juga berpandangan penerima vaksin COVID-19 berisiko menjadi pembawa virus tidak bergejala, kerana mereka masih memiliki kebarangkalian dijangkiti virus berkenaan.

Katanya, kerajaan perlu mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu sebelum melaksanakan cadangan berkenaan, khususnya mengenai risiko penerima vaksin menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain.

"Selagi belum ada kajian membuktikan penerima vaksin tidak lagi menjadi pembawa virus itu, maka cadangan ini belum sesuai untuk dilaksanakan dan wajar diteliti lebih lanjut.

"Beberapa isu juga perlu dikaji, seperti rentas negeri membabitkan keluarga. Vaksin hanya diberi kepada individu 18 tahun ke atas, jadi adakah satu keluarga akan dibenarkan rentas negeri atau individu tertentu sahaja," katanya.

Dr Hanafiah turut sependapat dengan pandangan Dr Zainal bahawa mutasi baharu yang dibawa dari luar negara bakal dikhuati memberi kesan negatif kepada pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Banyak negara melaporkan menemui varian baharu COVID-19. Persoalannya, adakah vaksin yang kita miliki boleh melindungi daripada varian baharu ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Khamis, April 01, 2021

Perjanjian sewa beli kenderaan tak boleh tawar sifar wang pendahuluan

 

Syarikat jual kenderaan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk didakwa di mahkamah jika menawarkan kemudahan sifar wang pendahuluan (zero downpayment) bagi perjanjian sewa beli (HPA).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid memberi amaran kepada syarikat menjual kenderaan yang menggunakan taktik menawarkan sifar wang pendahuluan bagi urusan jual beli kenderaan membabitkan perjanjian sewa beli dengan pihak bank adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 31 (1) Akta Sewa Beli 1967 dan mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi badan korporat dan denda tidak melebihi RM250,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya, manakala bagi individu pula denda tidak melebihi RM25,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, tawaran sifar wang pendahuluan hanya boleh dibuat peniaga jika membabitkan jualan kredit dengan pihak kedai.

"Mengikut Akta Sewa Beli 1967, jika kenderaan dibeli secara HPA, syarikat sewa beli (penjual) wajib mengambil wang pendahuluan. Namun jika pembeli melakukan pembelian dengan cara jualan kredit, mereka boleh dikecualikan daripada wang pendahuluan," katanya pada sidang media selepas merasmikan bilik pamera NWP Access, di sini hari ini.

Rosol berkata, kementerian itu percaya ramai dalam kalangan pembeli masih tidak jelas mengenai perkara terbabit sekali gus berdepan risiko 'ditipu' syarikat sewa beli.

"Kita memandang serius perkara ini dan jika ada syarikat yang menyalahi undang-undang berkenaan, mereka akan dikenakan tindakan tegas. Bagi pembeli, saya berharap mereka yang mahu membeli kenderaan, pastikan dahulu jenis pembiayaan yang ditawarkan," katanya.

Rosol berkata, berdasarkan Seksyen 31 (1) Akta Sewa Beli (ASB) 1967, mana-mana penyewa atau pembeli perlu membayar tidak kurang daripada satu persepuluh harga tunai kenderaan yang termaktub dalam perjanjian.

Ini bermakna, katanya, deposit minimum yang ditetapkan ialah 10 peratus daripada harga tunai kenderaan.

"Mana-mana syarikat jual beli yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Sewa Beli 1967. Tawaran sifar wang pendahuluan akan menarik lebih ramai pembeli kerana tidak perlu menyediakan simpanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga kenderaan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, jika pembeli ditetapkan membayar 10 peratus wang pendahuluan daripada harga kenderaan, ia menunjukkan keupayaan pembeli untuk membayar harga bulanan dan juga mampu mengurangkan komitmen bulanan pembeli.

Katanya, selain itu, ia dapat mengelak pembeli disenarai hitam atau diisytihar bankrap akibat kegagalan membuat bayaran tunggakan disebabkan bayaran bulanan yang tinggi.

Pada majlis itu, NWP turut menawarkan pembelian 10,000 motosikal tanpa wang pendahuluan menerusi jualan kredit kepada golongan B40 bagi membantu meringankan bebanan mereka terutama ketika ekonomi negara tidak menentu ekoran ancaman pandemik COVID-19.

Rosol berkata, inisiatif NWP menawarkan pembelian motosikal berkenaan dilihat sebagai langkah baik bagi memastikan kelangsungan hidup mereka yang terjejas akibat dibuang kerja atau menganggur ketika ini.

"Tawaran ini membolehkan mereka yang terjejas memiliki motosikal bagi bekerja sebagai penghantar makanan atau lain-lain pekerjaan tanpa bebanan menyediakan wang pendahuluan untuk membeli kenderaan berkenaan.

"Ini satu usaha baik dan sejajar dengan inisiatif KPDNHEP yang menggalakkan usahawan supaya lebih kreatif bagi menjana ekonomi terutama dalam tempoh pandemik ini," katanya.

Pada masa sama, Rosol juga turut menggalakkan penggunaan transaksi digital dan elektronik dalam perjanjian sewa beli serta jualan kredit yang dapat memudahkan pembeli motosikal atau kenderaan bermotor serta syarikat penjual kenderaan.

"Langkah ini amat digalakkan ke arah mendidik komuniti peniaga dan pengguna ke arah urus niaga digitalisasi," katanya. 

Sumber : Berita Harian

 

Bayar tanpa tunai melalui PayNet di Agensi Kerajaan

 


Trend pembayaran tanpa tunai dilihat makin digemari rakyat Malaysia apabila ia mula aktif digunakan bagi mengelakkan wabak COVID-19 daripada terus merebak.

Selain itu, pembayaran tanpa tunai juga mempercepatkan urusan pembayaran di kaunter dan memudahkan pengguna menjejak perbelanjaan bulanan bagi mengelakkan mereka daripada terlebih berbelanja.

Ia sejajar dengan inisiatif kerajaan bagi menggalakkan penggunaan transaksi tanpa sentuhan di agensi awam sekali gus meningkatkan jumlah pengguna sehingga 15 juta.

Namun, tahukah anda sekiranya anda melakukan pembayaran tanpa tunai hari ini, anda layak menerima hadiah lumayan seperti kereta idaman, telefon pintar dan wang tunai?

Lakukan transaksi tanpa tunai atau cek sebelum 30 April 2021 menggunakan empat saluran popular seperti JomPAY, FPX, MyDebit dan DirectDebit di lebih 10 agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia dan banyak lagi senarai agensi yang boleh disemak melalui www.paynet.my.

Anda berpeluang merebut hadiah bulanan menarik seperti Proton X70, Perodua Myvi, Yamaha Y15ZR dan telefon pintar bersempena dengan peraduan Cashless Boleh.

Pengguna boleh memanfaatkan saluran pembayaran tanpa tunai popular berkenaan di kaunter atau pembayaran dalam talian mengikut kesesuaian dan keselesaan.

Anda boleh menyelesaikan pembayaran atau pembelian menggunakan MyDebit yang ada pada kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank.

Melakukan transaksi tanpa sentuh (wave) adalah digalakkan dan anda perlu memasukkan enam digit nombor pengenalan peribadi (PIN) untuk urusan pembayaran dan pembelian melebihi RM250.

Untuk membayar bil, gunalah JomPAY yang mudah dan selamat. Ia membolehkan anda membuat pembayaran bil daripada 42 bank di Malaysia.

Transaksi boleh dibuat melalui perbankan internet atau mudah alih menggunakan wang dari akaun simpanan, simpanan atau kad kredit.

Buat anda yang sering membeli-belah secara dalam talian, FPX adalah pilihan tepat kerana ia membolehkan pelanggan membuat pembayaran untuk pembelian dalam talian melalui perbankan internet atau mudah alih kepada pedagang menggunakan wang dari akaun simpanan, semasa atau kad kredit.

Gunakan DirectDebit sekiranya anda ingin membuat pembayaran bil berkala secara automatik terus dari akaun bank.

Lakukan pembayaran tanpa tunai menggunakan empat saluran popular di agensi kerajaan hari ini bagi merebut hadiah bulanan menarik!

 

Neelofa terima anugerah Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith

 

Selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, terima anugerah Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith Bagi Kategori Tokoh Berpengaruh Mega atau Influencer daripada Kerajaan Negeri Kelantan.

Neelofa menerima anugerah berkenaan sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2021.

Anak kelahiran Pasir Mas yang juga usahawan berjaya itu adalah salah seorang daripada 14 wanita menerima anugerah pada majlis berkenaan.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di Kota Darulnaim.

Bagaimanapun, Neelofa tidak dapat hadir ke majlis berkenaan kerana dipercayai berada di Langkawi atas urusan perniagaan selepas melangsungkan perkahwinan pada Sabtu lalu.

Bukan itu sahaja, wakil keluarga Neelofa juga tidak hadir ke majlis untuk menerima anugerah itu.

HSK adalah program tahunan yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi meraikan, mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan di negeri ini.

Program itu dianjurkan oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan.

Penerima tokoh menerima sijil, plak, dinar emas dan kitab tafsir Al-Azhar, selain hadiah iringan seperti kerongsang, selempang, hamper, persalinan batik dan sejambak bunga.

Sumber : Berita Harian