Rabu, Mac 10, 2021

COVID-19 antara punca utama kemahiran 3M murid terjejas

 

Oleh Hazhari Ismail

Pensyarah, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Antara hala tuju pendidikan prasekolah negara ialah menyasarkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) berada pada tahap yang sepatutnya sebelum murid masuk ke Tahun Satu.

Kemahiran 3M mempunyai proses tertentu untuk dikuasai dengan baik supaya pembelajaran di sekolah rendah menjadi lebih mudah.

Bagaimanapun, sehingga Oktober 2020, murid kehilangan 54 hari atau 3240 jam waktu persekolahan yang menyebabkan mereka tidak berpeluang untuk meningkatkan kemahiran 3M.

Dua bulan pertama persekolahan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan adalah tempoh kanak-kanak ini hendak menyesuaikan diri dengan keadaan persekolahan yang menyeronokkan, namun ia terhenti. 

Nyanyian lagu kanak-kanak, bacaan buku cerita, contengan bebas di tadika bersama kawan-kawan terpaksa dilupakan dan digantikan dengan gajet yang ada sebahagiannya berebut dengan adik beradik lain atau terputus talian internetnya malah terdapat murid yang tiada sebarang peranti pun.

Secara jelas, penutupan sekolah antara punca utama kenapa pencapaian kemahiran 3M berada di tahap yang membimbangkan jika tiada sokongan dan bimbingan yang baik.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) jumlah keciciran pelajar sedia akan meningkat enam kali ganda jika tiada langkah pencegahan diambil sekali gus meningkatkan jurang sistem sosio ekonomi negara.

Melihat daripada hasil kajian #untukMalaysia, 79.5 peratus atau lapan daripada 10 kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai mereka yang tercicir adalah golongan B40.

Jurang ekonomi yang tinggi, menyebabkan peluang mereka kepada akses pendidikan dipinggirkan. Inilah gangguan pembelajaran atau 'interrupted learning' yang dicanangkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai kesan yang merugikan kepada negara.

Usah bercerita mengenai teknologi untuk pembelajaran dalam talian jika mereka masih berjuang untuk mendapatkan sesuap nasi.

Kesan pada murid luar bandar

Apabila proses kemahiran 3M ini tidak dijadualkan dengan baik kepada kanak-kanak, mereka mempunyai masalah di sekolah rendah. Pada 2018, di daerah Kuantan sahaja 3,677 daripada 8,256 murid Tahun Satu masih lagi tidak tahu mengenal huruf seperti yang dihebahkan sebelum pandemik berlaku. Itu hanya statistik untuk Tahun Satu, bagaimana pula dengan tahun yang berikutnya? Lebih membimbangkan, ia adalah hasil kajian dari kawasan bandar, bagaimana pula dengan luar bandar?

Kanak-kanak ini perlu mendapat akses pendidikan yang sepatutnya kerana ia adalah hak dan bukan pilihan. Hanya dengan pendidikan mampu merubah status kelas sosial mereka dan keluar daripada kemiskinan. Kita tidak mahu kanak-kanak di bandar sedang bermewah dilimpahi teknologi dan kemudahan, sedangkan di satu kawasan yang lain, mereka masih tidak tahu membaca.

Banyak badan bukan kerajaan bersiap siaga untuk membantu kanak-kanak tercicir ini daripada pelbagai aspek kerana masalah kanak-kanak bukan sahaja dari segi kognitif dan sosialnya, malah emosi mereka juga turut perlu dibantu. Pengabaian kanak-kanak boleh menyebabkan kita mendera bukan sahaja secara fizikal, malah mencakupi pengabaian emosi. 

Murid tercicir

Dasar penutupan sekolah ini bagaimanapun diamalkan di seluruh dunia sebagai respons pantas bagi mengurangkan hubungan sosial sebagai usaha menghentikan penularan wabak COVID-19.

Tindakan itu membabitkan sekitar 1.5 bilion kanak-kanak seluruh dunia dari 192 buah negara.

Bagaimanapun, sehingga hari ini keberkesanan tindakan penutupan sekolah masih diragui, dan dalam pada masa yang sama pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak berdepan dengan akibat yang buruk.

Kajian menunjukkan antara implikasi negatif yang dihadapi oleh kanak-kanak ialah masalah pengambilan makanan (kurang makan daripada biasa), corak tidur yang tidak tetap, tempoh penggunaan skrin yang lebih lama, kekurangan aktiviti fizikal, peningkatan stres, serta kekurangan interaksi sosial bersama rakan-rakan. Hal ini mampu mengakibatkan risiko masalah kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak pada masa akan datang.

Dalam situasi yang biasa, persekolahan yang formal menyediakan ilmu dan pengetahuan untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak secara optimum.

Namun, hal ini ini tidak dapat disediakan di era pandemik COVID-19 sekali gus menyaksikan 150 juta daripada kanak-kanak seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada pendidikan. Apa yang lebih membimbangkan ialah kanak-kanak ini bukan sahaja berdepan dengan masalah akses pendidikan, malah turut diburukkan dengan tidak mendapat kesihatan dan nutrisi yang baik.

Sekurang-kurangnya pertambahan 140 juta kanak-kanak hidup di dalam keadaan kemiskinan tegar sejak COVID-19 melanda. Sekolah bertukar dalam talian yang mana 463 juta kanak-kanak yang berdepan dengan kemiskinan sebelum era COVID-19 terus keciciran.

Malaysia juga tidak terlepas daripada bencana ini. Hampir 36 peratus atau 1.8 juta kanak-kanak di Malaysia tidak mempunyai akses kepada pembelajaran dalam talian atas pelbagai faktor.

Apa yang menambah kerunsingan ialah jika tiada pembaikan dijalankan, kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah akan tercicir sekali gus mampu meningkatkan kadar buta huruf dalam kalangan rakyat pada masa hadapan. Ketika ini Malaysia berada pada kedudukan ke-53 dengan 94.85 peratus kadar celik huruf.

INFO Langkah menangani impak COVID-19 kepada kemahiran 3M

• Guru perlu mengenal pasti dengan mengumpulkan data dan pengesanan keciciran 3M kanak-kanak

• Menggunakan khidmat agensi bukan kerajaan seperti Untuk Malaysia, Helping Hands, Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia yang menjadi sukarelawan membantu kanak-kanak dari golongan B40 yang tercicir.

• Sistem persekolahan hari ini tidak secara sepenuhnya bergantung kepada guru sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa. Kembali kepada yang asas, kemahiran membaca bermula dari rumah.

• Ibu bapa yang rajin membaca dan menyediakan suasana membaca yang baik membantu memberikan kesediaan 3M kepada kanak-kanak.

• Ibu bapa membaca juga boleh kembali menjadi amalan membaca sebagai sebahagian norma baharu, jika sudah lama tidak berbuat demikian.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Semakan Keputusan ke MRSM Tahun 2021

 


Tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sesi 2021, bagi ke Tingkatan 1 dan 4, boleh mula disemak mulai 10 Mac 2021.

MARA memaklumkan, kemasukan pada tahun ini mengambil kira dua kriteria, iaitu lulus Ujian Kecenderungan Kecemerlangan Kemasukan ke MRSM (UKKM) atau Ujian Khas Ulul Albab dan merit Status Sosio Ekonomi (SES) keluarga.

Katanya, calon berjaya ditawarkan ke MRSM akan menerima sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang didaftarkan semasa permohonan.

"Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi MARA di www.mara.gov.my. Pemohon atau ibu bapa perlu mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan menerusi pautan sistem mymrsm dalam portal MARA.

"Sekiranya calon tidak membuat pengesahan penerimaan tawaran dalam tempoh tujuh hari, tawaran kepada calon berkenaan dianggap terbatal," katanya.

Katanya, permohonan rayuan ke MRSM dibuka pada 7 April sehingga 30 Mei depan secara atas talian dan pemohon tidak perlu menghantar permohonan fizikal kerana proses dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian.

"Pada tahun ini, MARA menerima 102,329 ribu permohonan bagi kemasukan ke Tingkatan 1 dan 4. Kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 seramai 7,783 orang pelajar, manakala bagi Tingkatan 4 pula seramai 2,426 orang pelajar.

"Pelajar MRSM sedia ada kini berjumlah 28,087 orang pelajar setakat Februari lalu di 53 MRSM," katanya turut memaklumkan dua MRSM baru akan mula beroperasi awal Jun, iaitu MRSM ATM Bera, Pahang dan MRSM Bagan Datuk, Perak.

Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata MARA masih meneruskan dasar sedia ada dengan 60 peratus pengambilan daripada golongan berpendapatan rendah atau B40.

"Keutamaan juga diberi kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar. Bagi memastikan pelajar B40 dapat meneruskan pengajian di MRSM, MARA akan meneruskan program BUDI MARA. Pelajar B40 tidak perlu bimbang kerana MARA menyediakan program bantuan di bawah program BUDI MARA.

"Pelajar terpilih akan diberi bantuan wang tunai berjumlah RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian persekolahan, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan dan sebagainya," katanya.

Melalui pendekatan ini, katanya, akan memberi peluang yang lebih besar kepada pelajar dari kalangan B40 untuk mengikuti pengajian di MRSM.

Sumber : Berita Harian

Selasa, Mac 09, 2021

Kira anggaran penggunaan elektrik di rumah

 

Orang ramai boleh membuat kiraan penggunaan perkakas elektrik menggunakan kalkulator tenaga di rumah di laman web myTNB, Tenaga Nasional Bhd (TNB).

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/home-energy-..., anggaran pengiraan itu berdasarkan keadaan peralatan yang berfungsi dengan sempurna, kerana kecekapan peralatan akan berkurangan jika semakin lama ia digunakan berikutan faktor usia.

"Pengguna yang berhasrat untuk membeli peralatan elektrik yang baharu dinasihatkan memilih perkakas elektrik berpandukan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Peralatan berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang lebih menjimatkan penggunaan elektrik," kata kenyataan itu.

Sementara itu, TNB menyatakan akibat taburan hujan yang agak rendah sejak Februari serta gelombang haba baru-baru ini, permintaan elektrik puncak bagi Semenanjung Malaysia melonjak kepada 18,035 megawatt (MW) pada 2 Mac lalu, berbanding 17,501MW pada Februari dan 16,585MW pada Januari. 

Mengikut TNB, permintaan elektrik yang tinggi itu antaranya didorong oleh penggunaan penyaman udara yang lebih kerap dan tempoh yang panjang.

Untuk rekod, permintaan puncak tertinggi pernah direkodkan adalah 18,808MW pada 10 Mac 2020, lapan hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan. 

Sumber : Berita Harian

 

 

Isnin, Mac 08, 2021

Pemohon IPTA, ILKA dikecualikan bayaran UPUOnline

 

Tiada caj dikenakan untuk membuat permohonan melanjutkan pengajian melalui UPUOnline membabitkan pemohon bagi sesi akademik 2021/2022.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata ini kerana pihaknya bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran proses berkenaan.

Keputusan itu diharapkan dapat meringankan beban pelajar dan melancarkan urusan mereka untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah.

"Untuk makluman, bayaran proses UPUOnline sebelum ini dikenakan kepada pemohon untuk mendapatkan nombor Unik ID Bank Simpanan Nasional sebagai syarat untuk mengisi borang permohonan bagi melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA). 

"Justeru, melalui pengecualian ini, permohonan kemasukan ke IPTA dan ILKA bagi sesi akademik 2021/2022 boleh dibuat terus oleh pemohon di laman web upu.mohe.gov.my," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai proses permohonan, Noraini menjelaskan pengecualian bayaran itu membabitkan empat kategori permohonan iaitu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM); matrikulasi dan Diploma atau setaraf. Ia membabitkan tempoh permohonan bermula 4 Januari hingga 31 Mac.

"Bagi pilihan program pengajian, lepasan SPM boleh berbuat demikian bermula 21 Mac hingga 31 Mac. Lepasan STPM, Asasi dan STAM pada 16 Mac hingga 31 Mac.

"Lepasan Matrikulasi pula boleh memohon mulai 23 Mac hingga 31 Mac manakala lepasan Diploma dan setaraf pada 9 Mac hingga 31 Mac," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Khamis, Mac 04, 2021

Vaksin AstraZeneca berkesan bagi golongan lebih 80 tahun

 

Vaksin COVID-19 AstraZeneca/Oxford didapati berkesan lebih 80 peratus mencegah penyakit serius dalam kalangan warga emas yang berisiko selepas satu dos pengambilan, demikian hasil penyelidikan awal yang diterbitkan semalam.

Keputusan yang belum dikaji semula itu meningkatkan bukti bahawa vaksin yang dinasihatkan tidak diberikan kepada golongan berusia lebih 65 tahun di beberapa negara itu adalah selamat dan berkesan kepada warga emas.

Penyelidik di University of Bristol melakukan analisis terhadap pesakit berusia lebih 80 tahun, yang dimasukkan ke hospital di Britain dengan penyakit pernafasan.

Semua pesakit menjalani ujian COVID-19 dan kes positif serta negatif diasingkan kepada dua kumpulan data.

Penyelidik kemudian melihat jumlah individu dalam setiap kumpulan itu yang sudah menerima satu dos vaksin sama ada AstraZeneca atau yang dibangunkan Pfizer.

Mereka mendapati sembilan dari 36 pesakit (25 peratus) positif COVID-19 menerima suntikan AstraZeneca.

Dalam kalangan pesakit negatif COVID-19, 53 daripada 90 pesakit (58.9 peratus) menerima suntikan.

Penyelidik berkata, perbezaan antara bahagian kes positif dan negatif yang menerima satu dos vaksin mewakili keberkesanan 80.4 peratus dalam mengurangkan COVID-19 yang teruk.

Bagi vaksin Pfizer, 18 daripada 245 pesakit positif COVID-19 menerima satu dos suntikan, berbanding 90 daripada 269 pesakit negatif. Ia menunjukkan keberkesanan sebanyak 71.4 peratus.

"Satu dos sama ada vaksin (Pfizer) atau (AstraZeneca) menyebabkan penurunan yang ketara terhadap risiko kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19 dalam kalangan warga emas, pesakit yang lemah dengan penyakit komorbid," katanya.

Profesor farmakepidemiologi di London School of Hygiene and Tropical Medicine, Stephen Evans, berkata hasil kajian itu 'memberi bukti lebih lanjut vaksin itu berkesan kepada kumpulan usia yang lebih tua, yang kurang dikaji dalam ujian percubaan'.

Kedua-dua vaksin ini dibangunkan dan diuji secara klinikal untuk diberikan dalam bentuk dua dos dalam tempoh selang beberapa minggu. -

Sumber : AFP

 

Contoh Soalan Peperiksaan Pembantu Pustakawan S19

 

Format Peperiksaan Online Pembantu Pustakawan S19

Peperiksaan online ini bertujuan untuk mengukur kebolehan daya pemikiran calon, kemahiran mengaplikasi maklumat yang dipelajari ketika pembelajaran dan pengalaman.

Berikut merupakan format peperiksaan online  yang melibatkan 2 seksyen sahaja :

  • Seksyen A : Daya Menyelesaikan Masalah
  • Seksyen B : Kefahaman Bahasa Inggeris 

 Untuk mendapatkan contoh-contoh soalan untuk peperiksaan ini, sila dapatkan di : https://go.infotambahan.com/ebookextra/28

BONUS percuma seksyen A

 

 

Rabu, Mac 03, 2021

Perodua Ativa dilancarkan, guna 95 peratus komponen tempatan

 

Ativa, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terbaharu keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) secara rasmi diperkenalkan ke pasaran Malaysia hari ini.

Model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build (PSB) itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans antara RM61,500 hingga RM72,000.

Lebih menarik, ia dijual pada harga lebih rendah daripada harga tentatif iaitu RM62,500 hingga RM73,400 seperti yang diumumkan sebelum ini.

Perodua Ativa ditawarkan dalam tiga varian iaitu X yang dijual pada harga bermula RM61,500, manakala varian H (bermula RM66,100) dan AV (RM71,200).

Ativa adalah kenderaan pengecas turbo pertama PERODUA dan model pertamanya menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT).

Ia juga model pertama PERODUA yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2, selain menjadi kenderaan paling mampu milik di Malaysia yang memenuhi standard berkenaan.

Semua teknologi itu menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 kilometer per liter (km/l), sekali gus menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima PERODUA.

Lebih menarik, banyak teknologi terkini diterapkan dalam model SUV kompak itu.

Antaranya, Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 3.0 membuat kemunculan pertamanya pada Perodua Ativa dan teknologi itu terdapat pada semua varian.

ASA 3.0 berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi sehingga 120 kilometer sejam (km/j) untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki, berbanding sistem ASA 2.0 semasa, selain boleh mengesan kenderaan beroda dua dan berfungsi pada waktu malam.

Semua varian juga ada enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan 'Auto High Beam' dan 'Lane Departure Warning and Prevention'.

Varian H dan AV didatangkan dengan 'Adaptive Driving Beam', paparan pelbagai maklumat info TFT tujuh-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh sembilan-inci dengan 'voice recognition'.

Untuk varian tertinggi iaitu AV, ia secara eksklusif mempunyai Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata harga SUV kompak yang berpatutan adalah disebabkan kadar kandungan komponen tempatan sebanyak 95 peratus.

"Kandungan tempatan ini menjadi kadar permulaan tertinggi bagi mana-mana model Perodua. Malah, enjin dan transmisinya juga dihasilkan di Malaysia," katanya.

Zainal Abidin berkata, sehingga kini PERODUA sudah menerima kira-kira 5,000 tempahan bagi Perodua Ativa sejak ia dibuka untuk tempahan pada 19 Februari lalu.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan mereka. Penghantaran akan bermula esok dan kami menyasar untuk menjual sebanyak 3,000 unit sebulan secara purata," katanya.

Perodua Ativa dilancarkan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin secara digital.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, Perodua Ativa adalah hasil kerjasama pintar pertama antara PERODUA dengan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu.

"Perodua Ativa dibina atas platform global kerana PERODUA dan Daihatsu telah berjaya menyatukan sumber yang mampu menghasilkan model paling berdaya saing," katanya.

Beliau berkata, pengenalan Perodua Ativa amat penting kerana ia membawa kerjasama antara PERODUA dan Daihatsu ke tahap baharu, membolehkan pengeluar kereta nasional itu dan

pembekalnya berkongsi komponen serta proses untuk memaksimumkan kecekapan kos.

"Semua ini dilakukan tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri dan citarasa Malaysia yang unik. Pembabitan kami dalam pembangunan Ativa bermula dari papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera kami bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018.

"Kerjasama erat ini membolehkan kami membabitkan ekosistem automotif Malaysia dalam pembangunan model ini dan pembekal kami berjaya mengatasi cabaran dan mampu mengurangkan kos mereka," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai model baharu itu, Zainal berkata, Ativa berasal daripada Bahasa Portugis yang bermaksud 'aktif' dan ia dipercayai sesuai dengan gaya hidup aktif di bandar yang dialami ramai.

Dengan Ativa kini sebahagian daripada keluarga Perodua, pengeluar kenderaan itu menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM6.5 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan tahun ini.

"Kami menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk mengunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara di mana garis panduan COVID-19 dipatuhi ketat demi kesihatan dan keselamatan semua – untuk melihat, merasai dan memandu uji Perodua Ativa sebelum pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30 Jun nanti," tambah Zainal Abidin.

INFO
Harga atas jalan tanpa insurans Perodua Ativa

• Varian X - Warna Metalik (Glittering Silver/Granite Grey/Cobalt Blue): RM61,500

• Varian H - Warna Metalik (Glittering Silver/Granite Grey/Cobalt Blue): RM66,100

• Varian H - Warna Metalik Khas (Pearl Diamond White/Pearl Delima Red): RM66,600

• Varian AV Warna Metalik (Glittering Silver/Granite Grey): RM71,200

• Varian AV Warna Metalik Khas (Pearl Diamond White/Pearl Delima Red): RM71,700

• Varian AV Warna Metalik Khas dwi-tona (Pearl Diamond White/Pearl Delima Red): RM72,000

 

 

 

 

 

Selasa, Mac 02, 2021

Menghasut tolak pengambilan vaksin, satu kesalahan

 

Perbuatan menghasut orang ramai supaya menolak daripada mengambil vaksin COVID-19 adalah satu kesalahan berdasarkan Ordinan Darurat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu boleh dianggap sebagai mendatangkan khianat awam dengan niat menakutkan orang ramai.

"Semalam, saya difahamkan polis sudah membuat kenyataan. Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara sudah membuat kenyataan bahawa ia satu kesalahan yang boleh diambil tindakan.

"Jadi, melalui Ordinan Darurat yang dipinda, tindakan segera boleh diambil terhadap mereka," katanya pada sidang media berhubung perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, walaupun ada pihak mendakwa kerajaan gagal menangani pandemik COVID-19, Malaysia sebenarnya sedang menuju je arah kejayaan berbanding negara maju lain.

Katanya, menurut laporan Lowly Institute, badan pemikir berpusat di Australia, Malaysia berada di tangga ke-16 daripada 98 negara lain dengan skor 70.1 peratus.

"Amerika Syarikat (AS) berada di kedudukan 94 dengan 17.3 peratus, Perancis di kedudukan ke-73, United Kingdom (66) Jepun (45) dan Korea Selatan (22).

"Lebih membanggakan apabila kita berjaya mengawal kadar kematian. Ini terbukti apabila kadar kematian di negara masih rendah iaitu sekitar 0.38 peratus manakala kes sembuh 90.9 peratus," katanya.

Beliau berkata, data KKM turut menunjukkan kes sembuh mengatasi kes baharu harian dan ia perkhabaran baik yang dinantikan rakyat.

Sumber : Berita Harian

 

Isnin, Mac 01, 2021

Petron tawar minyak percuma setahun

 


Petron dengan kerjasama pengusaha stesennya akan memberi ganjaran bekalan minyak percuma selama setahun kepada 180 pelanggan bertuah, bersamaan 150,000 mata Petron Miles melalui peraduan 'FuelSyok'. 

Pemenang akan menerima 150,000 mata ganjaran Petron Miles dalam jangka masa setahun sementara 1,500 pelanggan lagi akan memenangi hadiah saguhati bernilai 3,000 mata ganjaran Petron Miles.

Semua stesen minyak menyertai peraduan itu akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemenang dari 1,680 nama yang akan dipilih. 

Pelanggan akan dapat menyertai peraduan secara automatik dengan setiap pembelian minyak terkumpul berjumlah RM50 dengan menggunakan kad Petron Miles dalam tempoh promosi iaitu 1 Mac hingga 31 Julai 2021. 

Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy, berkata inisiatif itu adalah khusus untuk membantu masyarakat setempat di mana Petron adalah sebahagian besar dari komuniti berkenaan.

"Kami berasa bangga untuk bekerjasama dengan pengusaha stesen kami dalam inisiatif ini bagi membantu pelanggan dalam masa yang mencabar ini," katanya.

 Sumber : Berita Harian

Sesi persekolahan Tahun Satu, Tahun Dua bermula 1 Mac 2021

 

Segala persiapan telah diatur bagi menyambut kehadiran murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua di sekolah rendah seluruh negara hari ini, selepas ditutup berikutan pandemik COVID-19.

Bagi murid yang belum mempunyai pakaian seragam, Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan mereka memakai pakaian biasa ke sekolah dan kebenaran itu diberikan sehingga 26 Mac ini (apabila cuti penggal pertama bermula).

Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka selepas ia ditutup di seluruh negara mulai 9 November tahun lepas, juga menyaksikan murid dan guru menyesuaikan diri dengan norma baharu serta prosedur operasi standard (SOP).

Tidak mengambil mudah aspek SOP, KPM mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah untuk semua sekolah di seluruh negara.

Ia mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek merangkumi bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan SOP ketika pulang ke rumah.

Selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga dibuka hari ini.

Bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 5 April bagi negeri-negeri lain.

Sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta akan dibuka semula pada 8 Mac.

Bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka di daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri di Sarawak ditangguhkan sehingga 14 Mac disebabkan situasi semasa COVID-19 di kawasan itu.

Walaupun keadaan pandemik COVID-19 masih belum reda di Malaysia dan terdapat juga beberapa negeri yang masih di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembukaan semula sekolah dilihat perlu.

Ia bagi mengimbangi keperluan akses pendidikan dalam persekitaran yang selamat bagi memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dalam pembelajaran. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Data peribadi penerima vaksin tidak dikongsi dengan syarikat pengeluar

 

Kerajaan memberi jaminan data peribadi rakyat yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak akan didedahkan kepada syarikat pengeluar vaksin terlibat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, menegaskan data yang mungkin akan dikongsikan dengan syarikat farmaseutikal terlibat hanyalah maklumat berkaitan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) dilakukan.

"Rakyat tidak perlu risau, kita (kerajaan) tidak akan dedahkan data peribadi mereka kepada syarikat pengeluar vaksin, hanya data umum seperti AEFI akan dikongsi.

"Bagi situasi antara Pfizer-BioNTech dengan negara Israel, mereka memang sudah ada perjanjian untuk kongsi maklumat (penerima) yang terperinci… tambahan Israel negara yang lebih dahulu terima vaksin," katanya. 

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian pada sesi sidang video program 'Sembang Vaksin' menerusi aplikasi Zoom anjuran gabungan doktor dan petugas kesihatan di Twitter atau MedTweetMY, malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sedang berbincang dengan pihak hospital dan pengamal perubatan swasta tentang penglibatan mereka dalam Fasa 2 dan 3 PICK.

Jelasnya, kedua-dua fasa itu memerlukan petugas kesihatan yang lebih ramai termasuk yang bertugas di hospital dan fasiliti kesihatan swasta bagi melaksanakan aktiviti imunisasi melibatkan jutaan penduduk di negara ini.

"Harus ditekankan, walaupun sebahagian rakyat akan menerima vaksin di hospital atau fasiliti kesihatan swasta pada Fasa 2 dan Fasa 3 PICK itu nanti, mereka tetap terima vaksin secara percuma," tegasnya.

Beliau berkata, buat masa ini JKJAV menetapkan semua pembelian vaksin daripada syarikat pengeluar dan pemberian vaksin adalah menerusi kerajaan bagi menjamin kesaksamaan dalam aktiviti imunisasi kepada rakyat yang layak divaksinkan.

Katanya, apabila bekalan vaksin itu tersedia untuk pasaran terbuka kelak, kerajaan akan memantau dan menetapkan harga siling bagi penggunaan di hospital swasta.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti cadangan menggubal undang-undang baharu berkaitan penyebaran berita palsu vaksin COVID-19 yang boleh mencetuskan kekeliruan dan ketakutan dalam kalangan rakyat. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Recent Posts