Selasa, November 24, 2020

Anggota PGA maut ditembak di Padang Besar

 

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut dipercayai akibat ditembak manakala seorang lagi parah ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat sini kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Anggota yang maut ialah Koperal Baharuddin Ramli, 54, manakala Koperal Norihan Tari, 39, mengalami kecederaan parah.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua anggota itu sedang bertugas dengan membuat kawalan di Pos TS9.

Sumber PGA ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador akan melawat mangsa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), yang terkorban ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi.

Beliau menyifatkan pemergian mendiang Koperal Baharuddin merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin yang terkorban ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi.

“Saya berasa dukacita apabila mendapat tahu mendiang meninggal akibat terkena tembakan semasa penugasan dalam Op Benteng,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin turut menzahirkan rasa sedih terhadap seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan a/l Tari yang cedera terkena tembakan di bahagian perut.

“Mendiang dan Norihan adalah petugas barisan hadapan yang bertugas mengawal sempadan negara daripada dicerobohi khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan mendiang dan Norihan serta semua petugas barisan hadapan negara yang berkhidmat dengan penuh semangat dan dedikasi.

Sumber : Kosmo!

 

China lancar kapal angkasa ambil batu Bulan

 

China hari ini melancarkan sebuah kapal angkasa kawalan jauh untuk membawa kembali batu Bulan dalam percubaan pertama oleh mana-mana negara bagi mengambil sampel dari Bulan sejak empat dekad lalu.

Roket Long March 5 membawa kapal angkasa Chang’e-5 yang dinamakan sempena dewi bulan dalam mitos Cina, dilancarkan dari Pusat Angkasa Wenchang di Pulau Hainan, selatan China pada pukul 4.30 pagi (waktu tempatan), lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Beijing membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk program angkasa lepas ketenteraannya dengan harapan akan memiliki sebuah stesen angkasa di orbit Bumi pada tahun 2022 dan seterusnya menghantar manusia ke Bulan.

Matlamat misi kali ini adalah untuk mengambil sampel batu dan tanah Bulan bagi membantu saintis mempelajari asal usul, pembentukan dan aktiviti gunung berapi di permukaan Bulan.
Misi asal dirancang pada 2017 tetapi ditangguhkan kerana kerosakan enjin roket Long March 5.

Sekiranya berjaya, China akan menjadi negara ketiga dunia yang mengambil sampel dari Bulan selepas Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, masing-masing pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Kapal angkasa itu akan mengumpulkan dua kilogram sampel di kawasan yang belum diterokai sebelum ini di Bulan, dikenali sebagai Oceanus Procellarum atau ‘Lautan Ribut’. Kawasan itu terdiri daripada dataran lahar yang luas, demikian menurut jurnal sains Nature.

Kapal angkasa itu dijangka mendarat hujung November ini mengumpulkan sampe selama satu hari waktu Bulan atau sekitar 14 hari di Bumi.

Sampel itu kemudian dikembalikan ke Bumi dalam kapsul yang diprogramkan untuk mendarat di wilayah Inner Mongolia awal Disember ini. 

Sumber : AFP

Barang kemas bentuk lego berharga RM96,000

 

Pereka barang kemas tersohor, Nadine Ghosn melancarkan koleksi terbaharu yang diinspirasikan daripada mainan kanak-kanak iaitu lego.

Ghosn yang terkenal dengan rekaan barang kemas pelik seperti cincin burger tampil dengan koleksi baharu yang diberi nama ‘Building Blocks’.

Koleksi unik ini mengambil masa dua tahun untuk direalisasikan kerana proses mengukir berlian mengikut bentuk lego adalah sangat sukar.

“Meskipun saya dapat melihat dengan jelas apa yang saya inginkan daripada koleksi ini sejak awal lagi tetapi projek ini memakan masa.

“Setiap proses bermula dengan mencari bahan paling sesuai dan menyempurnakan konsep sambil bekerja rapat dengan tukang ukir berlian adalah perkara paling penting dalam menjayakan koleksi ‘Building Blocks’,” katanya dalam status di Instagram.

Tambahnya, koleksi barangan kemas berbentuk lego ini seperti melawat semula zaman kanak-kanak yang mengajarnya tentang bagaimana untuk membina sesuatu.

“Melawat alam kanak-kanak dengan memori tentang blok mainan pertama. Kali ini dalam bentuk lebih besar, lebih cantik dan lebih baik,” tulisnya.

Harga koleksi ini dilaporkan bermula dari AS$4,480 (RM18,312) hingga $23,380 (RM95,565). 

Sumber : ETX Studio

Aqilah Fauzi sasar miliki 50,000 subscriber

 

Siapa sangka dengan hanya bermula sebagai hobi bermain permainan video bertemakan battle royale terkenal, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile, nama si cantik manis, Nurul Aqilah Mohd Fauzi, 23, kini semakin dikenali di dalam dunia maya.

Menggunakan nama Aqilah Fauzi di alam maya, dia yang merupakan pemilik laman penstriman secara langsung itu berjaya meraih perhatian peminat PUBG dan memiliki lebih 10,000 subscribes hanya dalam tempoh enam bulan.

Aqilah yang tinggal di Bukit Jambul, Pulau Pinang berkata, dia mencipta laman penstriman secara langsung sendiri kerana melihat potensi besar dalam bidang permainan video secara dalam talian.

Dia yang bekerja sebagai pegawai jualan di sebuah syarikat swasta mengambil pendekatan bijak mengatur masa dengan hanya bermain PUBG bersama pengikut laman Aqilah Fauzi pada waktu malam iaitu sekitar 8.30 malam hingga 11 malam selepas tamat bekerja.

“Saya juga menyambung pe­ngajian di peringkat ijazah di sebuah kolej di Pulau Pinang secara sambilan, jadi masa yang ada perlu saya gunakan sebaiknya.

“Saya perlu bahagikan masa dengan sebaiknya sebagai seorang pekerja, pelajar dan juga pemain PUBG agar jadual saya tidak terganggu.

“Walaupun sibuk, namun saya tidak merasa tertekan kerana segalanya bergantung kepada bagaimana kita mengatur masa sendiri,” katanya baru-baru ini.

Menurut Aqilah, pada peringkat awal dia hanya menyasarkan 10,000 subscribes sehingga hujung tahun ini, namun jumlah tersebut sudah berjaya dicapai pada masa ini.

“Jadi, saya mahu sasarkan laman saya akan menarik sekurang-kurangnya 50,000 ­subscribes lagi menjelang hujung tahun nanti.

“Bagi saya, permainan video secara langsung mampu membentuk saya untuk lebih berani berdepan dengan orang ramai dan belajar untuk berkomunikasi dengan khalayak awam yang mempunyai hobi sama,” kata­nya.

Aqilah berkata, bermain PUBG juga membantu dirinya menambah pendapatan sendiri menerusi penyertaan kejohanan dan juga pendapatan hasil penstriman video dalam talian.

“Saya sendiri tidak sangka boleh memperoleh wang sendiri hasil bermain PUBG dan juga penstriman video dalam talian.

“Sepanjang bergiat aktif, jumlah pendapatan yang diperoleh adalah sekitar empat angka dan wang itu digunakan sebaik mungkin untuk dana pengajian saya di kolej,” katanya.

Aqilah berkata, potensi bidang permainan video di negara ini sudah mula mendapat per­hatian banyak pihak dan mampu menjana pendapatan kepada golongan muda.

“‘Dahulu ramai yang memandang serong apabila kita bermain permainan video sebagai membuang masa.

“Namun, kini ramai mula sedar bidang ini mampu memberi masa depan yang cerah,” katanya.

Aqilah menambah, dia sendiri tidak mahu menoleh ke belakang lagi dalam bidang berkenaan bagi mencapai impian sebagai pemain profesional e-Sukan.

“Saya akan terus berlatih dan memahirkan diri dalam bidang ini agar mampu menjadi seorang profesional dalam bidang e-Sukan.

“Sebagai pemain permainan video saya mengidamkan kerjaya seperti atlet e-Sukan popular negara iaitu Soloz yang mencipta nama di dalam dan luar negara,” katanya.

Sumber : Kosmo!

 

Isnin, November 23, 2020

Peranan Perunding Hartanah

 


Perunding atau ejen hartanah adalah individu penting dalam setiap transaksi hartanah membabitkan pembeli atau penjual.

Malah perunding hartanah (REN) dan ejen hartanah (REA) ialah dua golongan profesional berkelayakan yang bekerja dalam industri hartanah dengan akreditasi tertentu.

Namun tahukah anda apa perbezaan antara perunding dan ejen hartanah?

Menurut Ketua Estet Agensi, Nilai Harta Consultant Sdn Bhd Cawangan Shah Alam, Ahmad Firdaus Mahmod, perunding hartanah adalah individu yang dilantik atau bekerja untuk ejen hartanah.

Kata Ahmad Firdaus, untuk melayakkan seseorang menjadi perunding hartanah, mereka perlu menghadiri Kursus Pensijilan Perunding Hartanah (NCC) yang dianjurkan Malaysia Institute of Estate Agent (MIEA) .

Katanya, dalam kursus itu, peserta akan diajar untuk memahami perkara yang berkaitan hartanah, undang-undang, akta dan piawai Industri.

"Selepas mendapat sijil NCC, barulah mereka boleh memohon untuk menyertai agensi hartanah yang berdaftar dengan Lembaga Penilai Pentafsir dan Ejen Hartanah (LPPEH).

"Agensi hartanah itu akan mengeluarkan surat lantikan dan mendaftarkan nama seseorang itu sebagai perunding hartanah di LPPEH.

"Selepas itu, tag pengenalan akan diberikan dan secara rasmi individu berkenaan boleh mewakili penjual, pemilik hartanah, pembeli hartanah dan penyewa untuk menguruskan sebarang transaksi hartanah," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Ahmad Firdaus berkata, ejen hartanah pula adalah individu yang memperoleh lesen daripada LPPEH, iaitu kebenaran untuk menjalankan dan menguruskan proses jual beli, sewaan dan pajakan hartanah.

Apa yang menariknya kata Ahmad Firdaus, seseorang ejen hartanah boleh melantik sehingga 50 perunding hartanah untuk membantu dalam pelbagai aktiviti hartanah yang dinyatakan.

"Untuk menjadi ejen hartanah bagaimanapun bukan mudah kerana seseorang itu perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan berkaitan kelayakan akademik dan pengalaman selain indeks petunjuk prestasi (KPI) dan kemahiran yang ditetapkan LPPEH," katanya.

Ahmad Firdaus berkata, sebagai perunding hartanah, seseorang itu terikat di bawah kod tingkah laku dan undang-undang menerusi Akta Penilai Pentafsiran dan Ejen Harta Tanah 1981 (Akta 242).

Kata Ahmad Firdaus lagi, setiap perunding hartanah yang melanggar undang-undang boleh diambil tindakan oleh LPPEH seperti penggantungan, pembatalan pendaftaran dan denda.

Bagaimanapun, perunding hartanah boleh dilantik oleh pemilik atau pembeli hartanah untuk menguruskan proses jual, beli, sewa dan pajakan hartanah.

"Biasanya perunding hartanah akan membantu pemilik untuk menguruskan proses jual beli, sewa dan pajakan hartanah.

"Mereka juga akan melakukan pemasaran untuk mencari pelanggan yang berminat dengan hartanah yang sedang diuruskan.

"Oleh kerana perunding hartanah mempunyai hubungan baik dengan jurunilai, bank dan peguam, biasanya mereka juga akan menjadi penasihat kepada penjual serta pembeli berkaitan harta pasaran selain membantu pembeli mendapatkan pinjaman dan memperkenalkan peguam yang bertauliah untuk menguruskan proses jual beli," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Firdaus turut menasihatkan mana-mana individu yang mahu menjadi perunding hartanah supaya mencari agensi yang berdaftar dengan LPPEH dan agensi yang mengendalikan kursus secara komprehensif.

"Ia penting bagi memastikan seseorang itu mampu berjaya sebagai perunding hartanah," katanya.

Sementara itu, ada juga yang tertanya-tanya berapakah caj yang dikenakan ke atas perkhidmatan diberikan pihak terbabit dalam transaksi hartanah di negara ini.

Menurut Ahmad Firdaus, caj maksimum yang boleh diambil adalah tiga peratus daripada nilai jual beli hartanah dan perkara itu boleh dirujuk di Jadual Ketujuh (Peraturan 48).

Katanya, yuran itu juga mesti dipersetujui oleh ejen hartanah dan pelanggan.

"Untuk sewaan sehingga tiga tahun misalnya adalah pada kadar 1.25 bulan sewa kasar. Manakala tiga hingga empat tahun sewa pula adalah pada kadar 1.5 bulan sewa kasar.

"Bagi sewaan hartanah antara empat hingga lima dan lebih lima tahun pula kadarnya adalah pada 1.75 bulan sewa kasar.

"Jika sewaan lebih lima tahun dengan opsyen pembaharuan, kadar caj perkhidmatan adalah 1.75 bulan sewa kasar tambah 0.25 bulan sewa untuk setiap tahun tambahan," katanya.

Sumber : MyMetro

 

 

Ahad, November 22, 2020

Takaful Ikhlas perkenal IKHLAS Home Protect

 

Orang ramai kini mempunyai pilihan bagi perlindungan lengkap untuk kediaman serta isi rumah daripada kerugian seperti banjir dan kebakaran apabila Takaful Ikhlas General Berhad memperkenalkan pelan takaful dalam talian, IKHLAS Home Protect Takaful (IKHLAS Home Protect).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Eddy Azly Abidin berkata, IKHLAS Home Protect merupakan pelan perlindungan komprehensif ke atas kediaman dan isi rumah daripada kerugian atau kerosakan akibat kebakaran, kilat, petir, letupan dan limpahan tangki air.

Menurut Eddy Azly, IKHLAS Home Protect turut memberi perlindungan atas kerosakan akibat banjir pada kediaman dan isi rumah peserta.

“Pelan ini juga menyediakan manfaat tambahan meliputi tunai pendahuluan, bantuan pembiayaan kediaman dan kerosakan pada cermin kaca serta isi rumah yang merangkumi perlindungan harta di kawasan kediaman, kehilangan wang, kebakaran belukar dan lalang, kerosakan harta benda akibat pokok tumbang dan lain-lain.

“Pelan ini kini boleh didapati secara dalam talian yang mana sebelum ini dipromosikan melalui ejen takaful, kaunter cawangan dan saluran e-mel. Ia boleh diakses dihujung jari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Eddy Azly memberitahu, selain menyediakan perlindungan komprehensif untuk kediaman dan isi rumah, pakej tersebut memberi pulangan lebihan sekiranya tiada tuntutan dibuat terhadap sijil.

“Peserta juga mendapat manfaat IKHLAS Wakaf & Endowmen (IWE).

“Melalui IWE, pihak kami akan memperuntukkan RM1,000 atas nama peserta untuk sumbangan wakaf atau endowmen kepada institusi yang diiktiraf sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan,” katanya.

Bersempena Minggu Saham Digital (MSD), orang ramai berpeluang melanggan pelan perlindungan itu secara dalam talian di www.takaful-ikhlas.com.my dengan rebat sebanyak 15 peratus.

“Orang ramai yang mahu mendapatkan produk-produk Takaful IKHLAS sepanjang tempoh MSD turut berpeluang menyertai Cabutan Rezeki IKHLAS dan memenangi hadiah-hadiah menarik yang disediakan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti Takaful IKHLAS sempena MSD, layari media sosial rasmi Takaful IKHLAS iaitu @takafulikhlas.official di Instagram dan @TakafulIKHLAS di Facebook serta lawan web rasmi www.takaful-ikhlas.com.my

Kolam paling dalam di dunia dibuka di Poland

 

Sebuah kolam selaman sedalam 45.5 meter lengkap dengan gua bawah air dan runtuhan Maya buatan manusia,  dibuka dekat ibu kota Poland, Warsaw kelmarin.

Kolam selaman tersebut adalah yang paling dalam di dunia

Kolam yang diberi nama Deepspot itu turut menempat sebuah bangkai kapal kecil untuk diterokai penyelam skuba.

Kolam itu mempunyai kapasiti 8,000 kubik meter air atau lebih 20 kali ganda lebih banyak daripada kolam renang biasa.

Tidak seperti kolam renang biasa, Deepspot dibuka walaupun Poland menguatkuasakan sekatan koronavirus. Ini kerana kompleks itu menawarkan kursus selaman dan bukannya kolam renang awam.

“Ini ialah kolam paling dalam di dunia,” kata pengarah Deepspot, Michal Braszczynski, 47 kepada agensi berita AFP.

Pemegang rekod dunia Guinness sekarang adalah sebuah kolam di Montegrotto Terme, Itali yang mempunyai kedalaman 42 meter. Kolam di Poland itu masih menunggu pengesahan rasmi Guinness.

Kolam Blue Abyss yang dirancang untuk dibuka di Britain pada tahun 2021 pula akan memiliki kedalaman 50 meter. 

– AFP

Pesawat mendarat cemas di lebuh raya akibat masalah teknikal - PLUS

 

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan sebuah pesawat ringan telah melakukan pendaratan cemas di lebuh raya kendaliannya berhampiran Sedenak, Johor, pagi tadi.

Menurut PLUS dalam satu kenyataan, hari ini, pendaratan itu dibuat berikutan pesawat terbabit mengalami masalah teknikal.

Bagaimanapun, PLUS memaklumkan, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.

Selain itu, katanya, pesawat terbabit berjaya dialihkan ke kawasan selamat berdekatan lokasi kejadian dengan kebenaran Jabatan Penerbangan Awam (DCA), dan keadaan trafik lancar serta terkawal.

"Pusat Kawalan Trafik (TMC) PLUS mendapat maklumat mengenai kapal terbang hilang dari radar di Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Senai pada jam 10.55 pagi tadi dan memohon PLUS memantau kawasan lebuh raya untuk memberikan bantuan sekiranya perlu.

"Pada jam 10.56 pagi, TMC mendapat panggilan daripada pengguna lebuh raya mengenai kehadiran sebuah pesawat ringan di lebuh raya di Kilometer 47.8 (arah selatan).

"Susulan itu, pasukan PLUSRonda dihantar bagi memberi bantuan, manakala pasukan bomba dan penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dihubungi untuk tindakan lanjut.

"Sejurus tiba di lokasi, pasukan PLUSRonda membantu menguruskan trafik serta menyediakan zon selamat, dan bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta pihak polis," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Artis positif COVID-19, malam akhir SFMM35 ditunda

 

Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) mengumumkan seorang artis yang menyertai Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35, yang berlangsung sejak kelmarin, dijangkiti COVID-19 berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan.

STMB dalam kenyataan menyebut, artis terbabit sedang menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Menurut kenyataan itu, artis terbabit menjalani ujian saringan COVID-19 selepas mengetahui kontak rapat yang ditemuinya, Selasa lalu, didapati positif wabak itu, semalam.

Artis terbabit menjalani ujian mandatori COVID-19 yang dikendalikan KKM semalam dan disahkan positif, hari ini.

"STMB sedang bekerjasama rapat dengan KKM dan artis berkenaan untuk mendapatkan maklumat terperinci pergerakan beliau bagi mengurangkan risiko kebarangjangkitan kepada warga kerja dan semua yang terbabit dalam program SFMM35.

"Pada masa sama, kerja sanitasi di lokasi acara, Sri Pentas 2 juga dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKM," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, STMB memutuskan siaran langsung pentas akhir SFMM35 yang dijadualkan malam ini, ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"STMB sentiasa mengutamakan kesihatan kakitangan dan pelanggannya serta sentiasa akur dengan setiap SOP ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kakitangan yang terbabit dalam produksi sudah memulakan kuarantin dan bekerja secara virtual di rumah masing-masing bermula hari ini.

"Kakitangan STMB yang juga kontak rapat dengan artis terbabit turut menjalani ujian calitan COVID-19," katanya.

Sumber :  Berita Harian

 

Alif Satar sah positif Covid-19

 

Penyanyi, pelakon dan juga pengacara terkenal, Alif Satar mendedahkan bahawa dirinya sah positif Covid-19.

Perkara tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran gambar berserta status dalam Instagramnya hari ini.

Menurut pelantun lagu Jangan Nakal itu, dia melakukan beberapa ujian saringan Covid-19 selepas bimbang kerana terlalu sibuk menjalani penggambaran.

“Assalamualaikum, dalam kesibukan Alif menjalani penggambaran, Alif telah melakukan beberapa ujian saringan Covid-19. Malangnya, keputusan terkini yang Alif terima hari ini telah menunjukkan bahawa Alif didapati positif Covid-19.

“Perkara ini amatlah mengejutkan dan mendukacitakan. Perkara pertama apabila Alif dapat tahu keputusan ini semestinya tahap keselamatan keluarga , isteri dan anak-anak, rakan-rakan di set penggambaran dan semestinya kontak-kontak rapat yang telah berjumpa dengan Alif.

“Alif juga telah memberi nama kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), kontak rapat yang Alif bertemu dalam tempoh 14 hari. Alif mohon maaf atas segala kesulitan ini dan mohon doa semua agar diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk menempuhi dugaan Allah S.W.T. Alif doa agar semua terhindar daripada sebarang kemudaratan,” katanya yang menjalani kuarantin.

Berdasarkan sekeping gambar yang dikongsikan, pengacara rancangan realiti Big Stage yang berpasangan dengan Sherry Al-Hadad itu dilihat turut mengenakan pakaian pesakit hospital.

Pada Jumaat lalu, Alif merupakan salah seorang penyanyi yang turut bertanding dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 dengan menyanyikan lagu berjudul I Want You To Love Me.

Terdahulu, pelakon Ashraf Muslim dan Puteri Aishah juga pernah dijangkiti Covid-19 pada April lalu selepas pulang menjalani penggambaran drama bersiri Demi di Inverness, Scotland.

Sumber : Kosmo!

Hawaya mudah urusan cari jodoh

 

Seringkali kita mendengar jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan. Ada yang mudah jodohnya dan mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan di awal usia.

Begitu juga sebaliknya, ada yang sukar mendapat jodoh walaupun pelbagai usaha dilakukan, namun rezeki untuknya membina keluarga masih belum berpihak kepadanya.

Dalam mencari pasangan hidup, usaha itu sesuatu yang penting kerana jodoh tidak datang bergolek.

Kini dengan perkembangan teknologi, hal demikian menjadi semakin mudah kerana banyak aplikasi mencari jodoh telah dibangunkan.

Berdasarkan satu kajian yang dijalankan pada tahun 2017, seramai tiga daripada 10 rakyat Malaysia adalah pengguna aktif aplikasi mencari
jodoh.

Ini menunjukkan bahawa masyarakat negara ini sudah bersedia menggunakan teknologi itu sebagai salah satu medium untuk mencari jodoh.
Hawaya antara salah satu aplikasi mencari jodoh yang dibangunkan dalam membantu mereka di luar sana yang ‘berat’ dalam hal jodoh untuk mencari pasangan hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Hawaya, Sameh Salleh berkata, Hawaya adalah satu aplikasi mencari jodoh yang dibangunkan di Mesir pada mulanya.
Menurutnya, perkataan Hawaya diambil daripada perkataan ‘Hawa’ yang membawa maksud cinta dalam bahasa Arab.

“Hawaya diilhamkan oleh saya sendiri pada tahun 2017, sebagai cara untuk membantu adik perempuan saya mencari jodoh dengan cara yang mudah, selamat dan selesa.

“Aplikasi ini juga bertujuan untuk memperkasa umat Islam yang belum berpasangan bagi membina hubungan yang bermakna, disamping menghormati budaya dan tradisi agama Islam,” jelasnya.

Tambahnya, dia gembira kerana berpeluang untuk membawa aplikasi itu ke Malaysia dan digunakan oleh masyarakat Islam di negara ini.

Menyemai silaturahim yang berkekalan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, dan ia juga memerlukan komitmen yang tinggi.

Sameh menegaskan, dia faham cabaran yang dihadapi oleh jejaka-jejaka dan kaum Hawa dalam mencari pasangan hidup. Justeru, dia mahu membantu mereka di luar sana mencari pasangan hidup.

Dari saat pertemuan hinggalah ke hubungan yang berkekalan terjalin, Hawaya memastikan platform kami selamat untuk digunakan, di samping menitikberatkan dan menghormati kehendak budaya dan tradisi agama Islam.

Hawaya menggunakan teknologi dan pendekatan saintifik untuk membina platform mencari jodoh yang sesuai dengan agama dan budaya.

Pengguna yang mendaftar masuk ke aplikasi Hawaya perlu menjawab beberapa soalan mengenai pendidikan atau sektor pekerjaan, serta soalan-soalan berkenaan pilihan peribadi seperti hobi dan minat.

Aplikasi ini juga mementingkan keselamatan pengguna dan setiap profil perlu disahkan melalui proses pengesahan selfie gambar untuk menapis profil-profil palsu.

Sebagai tambahan, pengguna juga boleh mengaktifkan fungsi guardian untuk mengajak dan melibatkan ahli keluarga atau rakan yang dipercayai untuk turut serta dalam perbualan dengan pengguna yang lain dalam aplikasi ini.

Antara fungsi lain yang disediakan Hawaya termasuklah blur option yang mana pengguna wanita mempunyai pilihan untuk mendedahkan gambar mereka hanya kepada pengguna yang mereka selesa menghubungi.

Selain itu terdapat juga fungsi exclusive mode, apabila dua pengguna dipadankan, mereka boleh memilih untuk memulakan perbualan eksklusif.

Ini sekaligus akan menyahaktifkan semua perbualan mereka bersama pengguna-pengguna lain dalam aplikasi berkenaan.

Melalui fungsi itu juga, pengguna mempunyai peluang untuk memberi tumpuan, berkenalan, dan berbual dengan lebih mendalam dengan hanya satu orang pada satu-satu masa.

Dengan niat untuk bina hubungan yang tulen dan jujur, Hawaya juga membantu dengan memberikan topik-topik pengenalan dan perbualan permulaan yang diperibadikan untuk membantu pengguna mengambil langkah pertama.

Aplikasi tersebut boleh dimuat turun melalui platform Google Play dan App Store.

Dalam budaya Islam di Malaysia, ahli keluarga dan masyarakat akan menyarankan lelaki dan wanita mencari pasangan hidup dan mendirikan rumah tangga.

Ia sudah menjadi suatu kebiasaan, terutama sekali bagi lelaki dan perempuan yang sudah mencecah usia 30-an.

Untuk membantu kaum Adam dan Hawa dalam mencari pasangan yang tepat untuk membina hidup bersama, Hawaya akan memperkenalkan inisiatif yang dikenali sebagai program #sisterinhearts.

Ia tujuan untuk memudahkan perbincangan mengenai pencarian cinta dan pasangan yang tepat di dunia moden, sambil memberikan tumpuan utama kepada nila-nilai tradisi Islam dan adat Melayu.

“Dalam masyarakat dan budaya Islam, kita meletakkan kepentingan untuk memulakan kehidupan berkeluarga sebaik saja mencapai umur yang sesuai.

“Tetapi, untuk membina sebuah institusi perkahwinan, setiap individu selalunya akan melalui proses kenal mengenal antara satu sama lain,” kata Sameh lagi

Tambahnya, melalui aplikasi itu dia ingin membantu dengan menemukan setiap individu yang mempunyai pemikiran yang selari dengan nilai budaya sama, untuk bertemu dan berhubung secara bebas dalam persekitaran yang selamat melalui platform itu.

Sumber : Kosmo!

 

Recent Posts