Sabtu, November 21, 2020

Individu pulang dari Sabah perlu kuarantin

 

Individu yang tiba di Semenanjung dari Sabah serta telah menjalani ujian saringan terlebih dahulu dan keputusannya negatif, masih perlu memakai gelang kuarantin bagi menjalani kuarantin wajib 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun terdapat kelonggaran pengembara yang sudah menjalani ujian tiga hari sebelum ke Semenanjung, mereka perlu ke kaunter saringan untuk dipakaikan gelang kuarantin.

Menurutnya, berdasarkan situasi Kluster Bah Bercham yang dilaporkan semalam, lelaki tersebut sudah menjalani saringan tiga hari awal di Tawau, Sabah namun tidak ke kaunter saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sebaik sampai di KLIA disahkan pada sistem memang dia menjalani saringan dan ia negatif. Sepatutnya walaupun negatif, dia kena ke kaunter pakai gelang kuarantin dan seterusnya dikeluarkan perintah pemantauan di rumah (HSO).

“Tetapi kita tidak tahu macam mana dia tidak ke kaunter dan terus keluar. Ini yang terjadi apabila ada gejala, barulah datang ke klinik dan dikesan positif,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menerusi kenyataan Noor Hisham semalam, Kluster Bah Bercham dikesan di Kinta, Perak iaitu kes indeks saringan pulang dari Sabah yang menjangkiti lima individu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan memperketatkan tindakan di pintu masuk bagi memastikan semua individu walaupun ujian awal didapati negatif, perlu memakai gelang kuarantin.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, pihaknya ada menerima permohonan untuk individu tertentu seperti petugas dan penjawat awam dikecualikan daripada menjalani kuarantin 14 hari.

Bagaimanapun, ujarnya, KKM tidak membenarkan kerana pihak kementerian bimbang berlaku jangkitan berikutan tempoh dua minggu adalah tempoh inkubasi.

Selain itu, katanya, data yang dikumpul oleh KKM mendapati sebanyak tujuh peratus daripada mereka yang kembali dari Sabah dikesan positif pada hari ke-13 walaupun ujian hari pertama mereka adalah negatif. 

Sumber : Kosmo!

Jumaat, November 20, 2020

'Siapa ketuk pintu, jadi misteri penduduk kampung di Sabak Bernam'

 

Bunyi ketukan pintu yang kuat hingga mengejutkan penghuni rumah, mencetuskan tanda tanya dan menjadi misteri dalam kalangan penduduk beberapa kampung sekitar daerah ini sejak kelmarin.

Ketukan itu menimbulkan persoalan dengan pelbagai ulasan daripada netizen, antaranya mendakwa ada individu tidak bertanggungjawab sengaja melakukan perbuatan itu hingga tular menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.

Difahamkan, gangguan ketukan itu berlaku pada waktu malam hingga awal pagi itu dan membabitkan beberapa kampung lain, antaranya Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting. 

Penduduk Kampung Tengah, Nor Zaihana Yaakob, 38, mendakwa turut mengalami pengalaman sama ketika berada dua anak dan ibunya ketika berada di rumah.

"Mulanya saya ingatkan dua anak saudara pulang dari kerja. Namun, sangkaan itu meleset apabila tiada siapa di luar rumah sewaktu saya menjenguk menerusi tingkap.

"Seram jugalah dengan peristiwa ini. Tambahan pula, suami tiada di rumah kerana bekerja malam," katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman, memaklumkan pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu.

Muhammad Nazri berkata, gangguan itu turut berlaku kepada dirinya ketika berada di rumah kira-kira 11 malam kelmarin.

"Difahamkan, hampir separuh penduduk kampung ini mengadu berkenaan kejadian (ketukan pintu) itu.

"Saya menasihatkan mereka agar berhati-hati dan tidak membuka pintu sekiranya terdengar bunyi mencurigakan," katanya.

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan menghubungi polis atau pihaknya, selain jiran terdekat sekiranya ternampak individu mencurigakan.

"Kami kini mengambil tindakan dengan melakukan rondaan membabitkan sukarelawan MPKK bermula 10 malam hingga 3 pagi di sekitar kampung ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Paris, Zurich bandar raya paling mahal di dunia

 

Paris dan Zurich menyertai Hong Kong tahun ini, apabila berada di kedudukan teratas sebagai bandar raya dengan kos sara hidup paling tinggi di dunia, berdasarkan satu tinjauan.

Sementara itu, Singapura dan Osaka yang sebelum ini menduduki posisi teratas jatuh 'anak tangga' akibat COVID-19 yang melemahkan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

Kedudukan Tehran melonjak 27 anak tangga berikutan sekatan oleh AS, kata The Economist Intelligence Unit (EIU) dalam laporan Kos Hidup 2020 Seluruh Dunia yang diterbitkan Rabu lalu.

Bagaimanapun, menurut kumpulan penyelidik kewangan itu, kesan pandemik COVID-19 terhadap dolar AS adalah faktor terbesar mempengaruhi kedudukan carta.

Ketua Sara Hidup Seluruh Dunia EIU, Upasana Dutt, berkata penularan COVID-19 mengakibatkan dolar AS melemah, sementara mata wang Eropah barat dan Asia utara pula mengukuh sehingga memberi kesan terhadap harga barang dan perkhidmatan.

"Singapura dan Osaka jatuh dari kedudukan teratas bersama Hong Kong sebelum ini, meletakkan bandar raya berkenaan di kedudukan keempat dan kelima. Osaka kini sama kedudukan dengan Tel Aviv di tangga kelima.

"Pergerakan kedudukan Paris dan Zurich setara dengan Hong Kong di tempat teratas, didorong kenaikan mata wang euro dan Swiss franc terhadap dolar AS serta penurunan perbandingan kos sara hidup di dua bandar raya Asia yang sebelumnya berada di posisi atas," katanya.

Menurut laporan itu, harga di Singapura jatuh berikutan penghijrahan besar-besaran pekerja asing.

New York dan Los Angeles kedua-duanya jatuh anak tangga.

New York, bandar jolokan Big Apple jatuh satu anak tangga menyertai Geneva dan Los Angeles di kedudukan kesembilan bersama dengan Copenhagen.

"Dengan jumlah keseluruhan penduduk Singapura yang menguncup untuk pertama kalinya sejak 2003, menyaksikan permintaan menurun dan deflasi pula meningkat.

"Osaka memperlihatkan trend yang sama dengan harga pengguna tidak berganjak dan kerajaan Jepun menanggung subsidi seperti pengangkutan awam.

"Pandemik COVID-19 mempengaruhi tabiat perbelanjaan di seluruh dunia dengan harga barang keperluan terbukti lebih berdaya tahan berbanding barang tidak penting," menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, situasi sekarang tidak semestinya meningkatkan harga barang ruji seperti kopi, keju, beras dan jus oren.

Pakaian pula adalah satu-satunya kategori yang mengalami purata penurunan indeks kerana ramai pengguna menangguhkan tabiat membeli.

"Dengan bekerja di rumah, peralatan elektronik menyaksikan kenaikan harga terbesar kerana kekurangan pengeluaran," kata EIU. - AGENSI

Info:

Bandar paling mahal untuk diduduki 2020

1. (terikat) Paris, Perancis

1. (terikat) Hong Kong

1. (terikat) Zurich, Switzerland

4. Singapura

5. (terikat) Osaka, Jepun

5. (terikat) Tel Aviv, Israel

7. Geneva, Switzerland

8. New York, Amerika Syarikat

9. Copenhagen, Denmark

10. Los Angeles, Amerika Syarikat

Sumber : Berita Harian / AFP

 

PKPB dilaksana di Kelantan Mulai 21 Nov 2020

 

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan mulai esok sehingga 6 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPB itu dilaksana bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksana saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di seluruh negeri itu.

"Berdasarkan penilaian risiko dilaksanakan KKM mendapati terdapat peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di beberapa daerah dan mukim di negeri ini.

"Sehubungan itu, atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di seluruh Kelantan bermula 21 November (esok) sehingga 6 Disember depan," katanya pada sidang medianya di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, dengan pelaksanaan PKPB itu, rakyat di negeri berkenaan perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) PKPB termasuk kebenaran untuk rentas daerah dan negeri.

"Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan. Hanya tiga orang saja dari sebuah rumah dibenar keluar untuk membeli barangan.

"Individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak. Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, TADIKA, TASKA, pusat tahfiz adalah ditutup. Semua aktiviti sosial dan budaya tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti laungan azan, solat lima waktu dan solat Jumaat pula akan ditentukan pihak berkuasa agama negeri.

Sumber : Berita Harian

 

PKPB di Johor, Melaka, Terengganu dan Kedah ditamatkan 21 Nov 2020

 

Kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan esok, lebih awal berbanding 6 Disember depan seperti diumumkan sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun beberapa daerah seperti Kulim di Kedah, Kota Tinggi dan Mersing di Johor masih dikenakan PKPB.

"PKPB ditamatkan selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan yang menunjukkan trend penurunan kes positif dan keadaan terkawal," katanya pada sidang medianya hari ini.A

Di Kedah katanya sehingga Rabu lalu, hanya terdapat 85 kes aktif yang direkodkan di seluruh negeri berkenaan dan keadaan terkawal kecuali bagi daerah Kulim yang masih merekodkan 23 kes aktif.

"Bagi Johor, sejak 5 November lalu, sebanyak 82 kes positif COVID-19 direkodkan namun sehingga Isnin lalu, kes aktif merekodkan penurunan di seluruh negeri dan keadaan adalah terkawal kecuali daerah Kota Tinggi dan Mersing dengan masing-masing masih merekodkan 36 dan lapan kes aktif," katanya.

Bagi Melaka, beliau berkata secara kumulatif sejak 5 November lalu, sebanyak 61 kes positif COVID-19 direkodkan, namun sehingga Rabu lalu, hanya terdapat 48 kes aktif yang direkodkan di seluruh negeri.

"Di Terengganu, secara kumulatif sejak 4 November lalu sebanyak 230 kes positif COVID-19 direkodkan bagaimanapun, sehingga Selasa lalu, hanya terdapat 19 kes aktif yang direkodkan di seluruh negeri dan tiada kes sporadik dilaporkan dalam 14 hari kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata, biarpun PKPB di empat negeri ini ditamatkan, namun ia masih tertakluk di bawah prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuat kuasa di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat Rabu lalu, situasi pendemik semasa di seluruh negara masih menunjukkan trend peningkatan kes positif COVID-19 dengan jumlah kes aktif dan kadar kebolehjangkitan masih lagi tinggi.

PKPB sebelum ini diumumkan di seluruh negara kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis.

Sumber : Berita Harian

Kadar dividen KWSP bakal terjejas jika pengeluaran besar-besaran

 


Pengeluaran tunai dalam kuantiti besar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi menjejaskan kadar pulangan dividen tabung simpanan persaraan itu dalam tempoh jangka panjang.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, program i-Lestari dan i-Sinar dijangka menyaksikan pengeluaran berjumlah RM45 bilion.

Jelasnya, dengan inisiatif pengurangan kadar caruman KWSP melibatkan nilai RM8 bilion tahun ini, ditambah RM9 bilion lagi tahun depan, impak keseluruhan kepada KWSP diunjurkan sekitar RM60 bilion.

“Itu jumlah kos peluang yang hilang bagi KWSP. Untuk tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen 5.45 peratus bagi simpanan konvensional dan lima peratus simpanan shariah, melibatkan jumlah pembayaran RM45.82 bilion.

“Sekiranya KWSP ingin memberi dividen sekurang-kurangnya lima peratus tahun ini, anggaran jumlah yang diperlukan adalah RM46 bilion,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurut Ahmed Razman, berhubung kadar dividen tahun ini, KWSP menyatakan mereka mempunyai mandat untuk memberikan pulangan sekurang-kurangnya 2.5 peratus dan mengatasi kadar inflasi sebanyak dua peratus dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Tambahnya, KWSP berkemungkinan besar mampu memenuhi mandat berkenaan, dengan kadar inflasi yang rendah tahun ini namun kadar pulangan minimum mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan sasaran pemberian RM46 bilion adalah lebih realistik.

“Sekiranya KWSP terus mengekalkan strategi biasa, mereka tidak mampu membayar sebanyak itu, jumlah pembayaran dividen oleh KWSP memperlihatkan trend penurunan dengan RM45.82 bilion pada 2019, RM47.3 bilion (2018) dan RM48.13 bilion (2017).

“Mereka mungkin terpaksa menjual ekuiti dan saham di pasaran, yang seterusnya menambah kehilangan kos peluang serta berpotensi menjejaskan pulangan dividen untuk jangka panjang,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, pencairan aset oleh KWSP boleh menggoncang ekonomi negara disebabkan kedudukannya sebagai pelabur gergasi di pasaran domestik.

Menurutnya, pegangan aset KWSP berlainan dengan dana lain seperti Amanah Saham Bumiputera mahupun Tabung Haji kerana pengeluaran simpanan KWSP secara besar-besaran amat jarang berlaku.

“KWSP mungkin terpaksa menjual aset mereka yang paling cair dan aset sebegini kebiasaannya banyak memberikan keuntungan.

“Sudah pasti KWSP terjejas dengan perkembangan semasa, isunya adalah sejauh mana,” katanya. 

Sumber : Kosmo!

Penggunaan beg plastik ‘diharamkan’ di seluruh negara

 

Beg plastik tidak lagi digunakan di semua premis di seluruh negara selepas pelaksanaannya dipersetujui oleh semua kerajaan negeri.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataannya memberitahu, mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 semalam meluluskan Kertas Cadangan Pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibentangkan KASA.

Menurutnya, MNKT turut bersetuju meluluskan pelaksanaannya di semua premis seluruh negara dengan mengenakan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran.

“Pengenaan caj ini berpandukan prinsip ‘user-pay-principal’ yang bertujuan menghindari penggunaan plastik sekali guna.

“Justeru, kutipan ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik ini dibuat dalam dua fasa iaitu fasa pertama mulai Disember ini hingga 2021.

“Ia tertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya hiper, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian serta farmasi.

“Bagi pelaksanaan fasa kedua bermula 2022 hingga 2025, kempen itu akan diperluaskan kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya,” katanya

Mengulas lanjut, usaha ini selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 – 2030 bertujuan membendung pencemaran plastik sekali guna dan beralih kepada alternatif lain lebih mesra alam.

“Sehubungan itu, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan PBT dalam usaha gerak kerja pelaksanaan kempen ini termasuk memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai keperluan menghindari penggunaan plastik sekali guna.

“Orang ramai adalah digalakkan untuk membawa beg guna semula semasa membeli-belah dalam usaha bersama melestarikan alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, dalam mesyuarat MNKT tersebut, KASA diwakili Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad yang turut menyatakan inisiatif kempen itu untuk menangani masalah pencemaran plastik sekali guna.

Malah, beliau mengucapkan penghargaan atas sokongan dan komitmen semua kerajaan negeri untuk melaksanakan inisiatif tersebut dalam meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Sumber : Kosmo!

Modenas Elegan 250 ABS

 

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan skuter maxi, Modenas Elegan 250 versi ABS yang ditawarkan pada harga RM15,315.

Berdasarkan tanda harga yang ditawarkan untuk Modenas Elegan 250 versi ABS, ia dikatakan skuter yang memberikan lebih nilai untuk wang yang dibelanjakan dalam segmennya.

Walaupun reka bentuk skuter ini mungkin tidak banyak berbeza dengan model sebelum ini, namun varian ini ada menawarkan beberapa ciri tambahan.

Modenas Elegan 250 versi ABS dilengkapi dengan enjin suntikan bahan api, 4-lejang dan silinder tunggal, SOHC 250cc yang menghasilkan kuasa maksimum 16.5 kW pada 7000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6500 rpm.

Ia memiliki sistem penyejukan cecair untuk meningkatkan prestasi penyejukan serta memberikan perlindungan dan ketahanan pada enjin.

Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan speedometer digital pelbagai fungsi yang memaparkan beberapa maklumat tambahan seperti meter perjalanan, jam digital, penunjuk voltan bateri dan terutamanya peringatan penukaran minyak.

MODENAS mendakwa ciri berkenaan tidak didapati pada model yang harganya jauh lebih tinggi di pasaran.

Satu lagi ciri yang sangat berguna yang ditawarkan menerusi model ini adalah soket pengecas USB yang dipasang secara strategik di kotak simpan pada papan pemuka, yang membolehkan penunggang mengecas telefon pintar mereka ketika sedang berada di atas jalan atau pada bila-bila masa.

Dari segi keselamatan, skuter maxi Modenas baru ini mendapat sistem ABS dua saluran iaitu di bahagian depan dan belakang, yang mengelakkan roda daripada terkunci dan memberikan daya berhenti yang unggul dalam semua keadaan cuaca.

 

Ia juga dilengkapi dengan lampu depan projektor yang lebih bergaya dengan lampu nyalaan siang (DRL) jenis LED yang membantu penglihatan bagi penunggang dan pengguna jalan raya lain pada bila-bila masa, sementara lampu belakang berbentuk 'X' jenis LED memberikan penglihatan yang lebih terang dan mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain ketika tunggangan pada waktu malam.

Aspek reka bentuk pula menyaksikan Modenas Elegan 250 ABS direka untuk keselesaan dan praktikaliti.

Skuter maxi ini menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk yang cukup besar dan boleh memuatkan dua helmet, atau barangan membeli belah; ataupun apa sahaja yang mungkin anda ingin bawa semasa percutian pendek anda.

Tempat duduknya memberikan keselesaan tambahan bagi penunggang dan pembonceng, sementara tempat letak kaki direka secara dinamik untuk kedudukan kaki yang lebih fleksibel dan relaks yang menjanjikan keselesaan yang lebih baik dalam semua jenis situasi tunggangan.

Selain daripada peningkatan prestasi dan gaya, Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan perjalanan yang lebih selamat dan selesa dengan kerangka tinggi serta lengan ayun belakang yang memberi tunggangan yang lebih stabil.

Modenas Elegan 250 ABS hadir dengan dua pilihan warna iaitu Matte Satin Merah dan Matte Satin Hitam.

Model ini boleh didapati di semua pengedar sah MODENAS bermula bulan ini.

 

Khamis, November 19, 2020

PNB lancar Minggu Saham Digital, adaptasi digital MSAM

 

 

Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini melancarkan Minggu Saham Digital (MSD), adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM).

MSD meneruskan objektif MSAM untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kepentingan menyimpan dan melabur dalam format hibur didik, sambil mempamerkan portfolio syarikat pelaburan PNB dan operasi perniagaan mereka.

Menteri Kewangan dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn merasmikan pelancaran maya karnival digital itu yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube dan laman Facebook rasmi MSD.   

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi YPB, mengucapkan tahniah kepada PNB atas inisiatif membawa acara literasi kewangan tahunannya dengan format digital baharu melalui perutusan video.

Dalam perutusannya, Perdana Menteri berkata, sejak 20 tahun lalu, PNB berjaya menawan hati rakyat dengan acara MSAM yang diadakan setiap tahun.

Beliau berkata, pastinya kejayaan MSAM akan diteruskan lagi dengan penganjuran MSD yang julung kalinya dianjurkan menerusi landskap digital.

"Saya amat yakin PNB akan terus komited dalam menangani cabaran ekonomi semasa dan terus melangkah melangkaui mandat yang diberikan bagi meningkatkan nilai pulangan unit mamah selain meneruskan agenda pendidikan pelaburan di negara ini.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mendokong institusi milik rakyat yang amat disayangi ini dalam menjayakan hasrat murni melalui Minggu Saham Digital ke arah membangunkan masyarakat yang bukan saja celik pelaburan, malah celik digital. Tahniah kepada warga PNB yang bekerja keras menjayakan Minggu Saham Digital ini," katanya.

Sementara itu, Zeti berkata, MSD adalah satu lagi detik penting dalam perjalanan transformasi PNB.

Beliau berkata, sebagai institusi pelaburan utama negara, PNB berpegang teguh kepada mandat yang diberikan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan bagi membantu membangunkan ekonomi Bumiputera dan semua rakyat Malaysia.

Katanya, sejak penubuhan, PNB sentiasa menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan literasi kewangan, serta meluaskan akses kepada dana unit amanah yang ditawarkannya.

"Selama dua dekad, PNB telah menganjurkan MSAM sebagai satu usaha mendekati masyarakat dan meningkatkan tahap celik pelaburan mereka. Secara keseluruhan, MSAM telah berjaya menarik penyertaan 3.9 juta rakyat Malaysia.

"Dalam tempoh ini, aset bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat daripada RM61 bilion pada 2000 kepada RM315 bilion setakat September 2020," katanya pada majlis perasmian MSD.

Zeti berkata, PNB juga sebagai salah satu ahli pengasas Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di bawah Financial Education Network (FEN) bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Pendidikan Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memajukan pendidikan kewangan.

Beliau berkata, strategi itu bermatlamat meningkatkan tahap literasi kewangan dan memupuk tabiat dan sikap yang bertanggungjawab dan berdisiplin dalam pengurusan kewangan.

"Justeru pada tahun ini, kami telah merombak MSAM ke format digital selaras dengan perkembangan era teknologi. Format baharu ini mudah dilayari dan boleh diakses oleh lebih ramai lagi rakyat Malaysia. Maka, lahirlah Minggu Saham Digital (MSD) yang bertemakan "Labur Bersama"," katanya.

Zeti berkata, MSD berlangsung sepenuhnya secara digital dan program yang diaturkan adalah menyeluruh dan boleh disertai oleh segenap lapisan rakyat secara serentak di seluruh negara.

Beliau berkata, acara yang berlangsung selama tujuh hari, dibawa secara 'livestream' sehingga 24 November.

Katanya, seperti acara MSAM sebelum ini, MSD padat dengan aktiviti interaktif serta hibur didik untuk membimbing masyarakat tentang pelaburan dan perancangan kewangan.

MSD dianjurkan bersama dengan syarikat pelaburan dan rakan korporat PNB, yang mana Maybank, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd adalah dalam kategori Rakan Premier.

Sime Darby Bhd, Sime Darby Property Bhd, S P Setia Bhd, MIDF Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) adalah dalam kategori Rakan Utama; manakala MNRB Holdings Bhd (MNRB), CCM Bhd, Duopharma Biotech Bhd, Velesto Energy Bhd, Sapura Energy Bhd, dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd adalah dalam kategori Rakan.

MSD bersiaran setiap hari dari jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 November 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD.

Penonton dapat menyaksikan pelbagai program hibur didik dengan topik kewangan, pelaburan, keusahawanan dan ekonomi, seperti Cikgu CEO, Makan Dulu, Sembang-Sembang ASNB dan ASB-Iclif MBA Masterclass Series.

Sepanjang minggu, MSD juga mengadakan sesi Khidmat Nasihat 1-1 untuk orang awam dan pemegang unit untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaburan mereka.

Konsultasi peribadi selama 30 minit akan diadakan menerusi Google Meet. Temu janji boleh dibuat di laman mikro MSD.

Personaliti dan selebriti yang akan merancakkan MSD antaranya ialah Awal Ashaari, Dahlia Shazwan, Fahrin Ahmad, Imam Muda Asyraf, Dato' Fazley Yaakob, Fizo Imar dan Chef Sherson Lian.

Peserta MSD berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM500,000 termasuk Ford Ranger 2.0L XLT Plus 4WD (10AT), Toyota Vios 1.5 G (AT), motosikal Yamaha R25, lapan motosikal Honda Dash 125 S, wang tunai menerusi aplikasi mudah alih pelaburan mikro Raiz, dan sebuah Perodua Aruz 1.5 AV (AT).

Pertandingan pencarian harta karun maya, 'Eh, Mana Kod?' juga telah dibuka kepada orang ramai dan akan berlangsung sehingga 30 November 2020.

Untuk maklumat lanjut dan jadual program, layari www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook.

 

Agong perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat Parlimen Batu Sapi

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk membatalkan tarikh yang ditetapkan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Sabah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perisytiharan itu adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150.

Menurut Ahmad Fadil keputusan dicapai setelah baginda memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Dengan pengisytiharan ini juga, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK itu.

“Maka dengan itu, Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara hari ini.

Menurut beliau, Baginda berpendapat wajar PRK itu dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

“Perkenan Seri Paduka Baginda ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian Batu Sapi yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi,” jelas Ahmad Fadil.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, jumlah pemilih berdaftar P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen itu, termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

Sumber : Kosmo!

Isnin, November 16, 2020

OdeJee tawar peluang kerja kepada penghantar makanan

 

Syarikat penghantar makanan halal pertama tempatan, OdeJee yang bakal memulakan operasinya bulan depan mempelawa orang ramai untuk menjadi sebahagian daripada ahli ‘Keluarga OdeJee’.

Pengerusi OdeJee, Datuk Seri Ismail Alwasi Khan berkata, pihaknya mempelawa orang ramai untuk menjadi penghantar makanan sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.

“Penghantar makanan OdeJee bakal menerima pelbagai insentif menarik dan kebajikan mereka juga akan sentiasa dijaga dengan baik.

“Untuk menjadi penghantar makanan, pemohon perlu memiliki lesen memandu dan motosikal berserta cukai jalan dan insurans tidak tamat tempoh,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

Menurut Ismail, penghantar OdeJee akan diberi beg penghantaran makanan, dua helai baju berlengan panjang, tag nama serta barangan keperluan lain.

Tambah beliau, selain penghantar makanan, OdeJee mempelawa pengusaha restoran, kedai makan,  kenderaan saji (food truck)  serta pe­ngusaha makanan dan minuman untuk menjadi vendor.

Jelasnya, vendor juga akan diberi pelbagai insentif dan dibantu untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka.

“Semua vendor makanan dan minuman yang berdaftar di bawah OdeJee adalah berstatus halal, dimiliki serta diusahakan 100 peratus oleh umat Islam.

Dengan tagline Halal, Amal dan Berkat’ aplikasi OdeJee dijadualkan memulakan opera­sinya pada awal bulan depan di Johor Bahru dan di Pasir Gudang, Senai, Kulai sebelum ke seluruh negeri Johor,” katanya.

Sumber : Kosmo!

Recent Posts