Selasa, Jun 13, 2017

Ayu Raudhah & Zaquan Dapat Anak Perempuan



Pelakon Ayu Raudhah selamat melahirkan cahaya mata ketiganya pada pukul 10.52 pagi Isnin di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. Lebih menggembirakan isteri kepada pemain bola sepak Perak, Mohd Zaquan Adha Abd. Radzak itu menimang cahaya mata perempuan.

Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 4 dan Muhammad Aisy Aryann, 3. Berita itu dimaklumkan oleh Mohd Zaquan menerusi Instagram miliknya.

"Alhamdulillah dengan izin Allah, isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan pada pukul 10.52 pagi tadi. Syukur padaMu Ya Allah," tulisnya yang turut memuat naik gambar anak perempuannya di Instagram.

Sebelum ini, Ayu dalam satu temubual bersama mStar Online memberitahu impiannya untuk menimang cahaya mata perempuan akhirnya dimakbulkan tuhan. Ayu dan Mohd Zaquan berkahwin pada 2011.

- mSTAR

Senarai Lokasi Kamera AES Di Malaysia



Berikut adalah Senarai Lokasi Kamera AES Di Malaysia:

Had Laju (Lebuhraya)
1. KM 375.9 Lebuhraya PLUS - Slim River (Arah Utara)
2. KM 7 Jalan Maharajalela - Teluk Intan (Arah ke Bagan Datoh)
3. KM 91 Jalan Ipoh - Butterworth (Arah ke Selatan)
4. KM 85.5 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur (Arah ke Selatan)
5. KM 204.6 Lebuhraya PLUS - Taiping (Arah ke Utara)
6. KM 6.6 SKVE (Puchong ke Kajang)
7. KM 301.6 Lebuhraya PLUS - Kajang (Arah ke Utara)
8. Jalan Lebuh Sentosa, Putrajaya (Kajang menuju ke PICC)
9. Jalan Persiaran Timur, Putrajaya (PICC menuju ke Kajang)
10. KM D7.9, Sungai Besi, Kuala Lumpur (Arah ke Selatan)

Lampu Isyarat
1. KM 26 Jalan Ipoh - Kuala Kangsar (Persimpangan Kg Kerdah)
2. Jalan Pasir Putih - Ipoh (Persimpangan Jalan Temenggung, Jalan King)
3. Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Sepadu)
4. Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Perhentian, Sentul)

Lokasi Kamera AES Baru Terkini
KM 151.4 Lebuhraya PLUS - Pagoh
KM 299.9 Lebuhraya PLUS - Kampar
KM 17 Gua Musang - Kuala Krai
KM96.3 Lebuhraya PLUS - Kuala Muda
KM256.1 Lebuhraya Pantai Timur 2
KM 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2
KM 146.8 Lebuhraya PLUS - Pagoh

Ahad, Jun 11, 2017

Julia Perez Meninggal Dunia Akibat Kanser



Pelakon dan penyanyi Indonesia Julia Perez meninggal dunia pada Sabtu selepas tiga tahun melawan penyakit kanser servik tahap akhir.

Kapan Lagi melaporkan khabar duka itu dimaklumkan sendiri oleh adiknya, Anggita Perez menerusi Instagram miliknya.

"Innalilahiwainailahirojiun telah berpulang kakak kami tercinta Julia Perez. Minta doanya ya semua, terima kasih semua atas sokongan selama ini. I Love You Yuli," tulisnya.

Anggita turut memuat naik gambarnya bersama Julia atau nama sebenarnya Yulia Rachmawati yang terbaring lemah di atas katil sambil dia memegang tangan kakaknya itu dengan air mata sedang mengalir.

Jupe mula bergelar penyanyi sejak tahun 2002 dan dia telah menghasilkan empat buah album iaitu Kamasutra, Aku Rapopo, Dangdut Galau dan The Best Of Julia Perez.

Dia disahkan mengidap kanser servik pada tahun 2014 dan telah menjalani rawatan kimoterapi.

Rabu, Jun 07, 2017

Siaran Digital MyFreeview Dilancar 6 Jun 2017



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Selasa membuka lembaran baharu dunia penyiaran negara dengan melancarkan perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) myFreeview yang boleh dinikmati secara percuma oleh rakyat.

Ini secara rasmi menandakan industri penyiaran negara kini bertukar daripada analog ke sistem digital dalam usaha kerajaan menyediakan khidmat penyiaran televisyen dan radio terbaik untuk rakyat.

Sehubungan itu, Najib mengumumkan 4.2 juta dekoder percuma untuk diagihkan kepada mereka yang layak termasuk golongan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bilangan itu merangkumi 2.2 juta set dekoder percuma sumbangan kerajaan sebagai tambahan kepada dua juta set dekoder yang diperuntukkan MYTV Broadcasting Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk mengendalikan infrastruktur dan kemudahan rangkaian DTT.

"Kerajaan melalui SKMM telah melantik syarikat MYTV pada 2014 sebagai pemegang lesen penyedia infrastrukur tunggal dan MYTV bertanggung jawab untuk membina dan mengendali infrastruktur myFreeview untuk tempoh 30 tahun akan datang."

"Pemberian dekoder percuma ini membolehkan mereka menikmati Siaran Digital myFreeview yang percuma tanpa yuran bulanan. Pemberian dekoder percuma ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga suku kedua 2018," katanya ketika berucap melancarkan myFreeview.

Najib berkata pemberian dekoder percuma kepada isi rumah yang layak daripada senarai BR1M itu antara lain bagi mempercepatkan proses migrasi daripada analog ke digital dan berbanding negara-negara maju serta tetangga dalam ASEAN.

Malaysia merupakan negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan.

Perdana menteri berkata myFreeview termasuk dalam Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang bakal membolehkan kerajaan meraih pulangan dividen digital dengan pelepasan spektrum yang diguna pakai oleh penyiaran TV analog selama ini.

Katanya, spektrum tersebut akan diperuntukkan semula bagi tujuan perkhidmatan komunikasi moden yang lain seperti menambah baik rangkaian selular dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi.

Najib menegaskan, projek di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah sebahagian daripada agenda nasional untuk mentransformasikan industri penyiaran negara melalui pendigitalan dengan tujuan mempertingkatkan taraf hidup rakyat ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

- BERNAMA


Selasa, Jun 06, 2017

Cuti sekolah seminggu sempena Aidilfitri 2017



Sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bakal menikmati ‘cuti panjang’ selama seminggu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 25 Jun 2017.

Kementerian Pendidikan dalam satu pekeliling sebelum ini memberitahu, bagi sekolah kumpulan A yang terdiri daripada Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, akan mula bercuti pada 23 Jun sehingga 1 Julai ini.

Bagi sekolah Kumpulan B yang terdiri daripada Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan pula akan bercuti pada 24 Jun sehingga 2 Julai ini.

“Kementerian telah menyelaraskan tarikh-tarikh cuti perayaan bagi sesi persekolah bagi 2017 yang melibatkan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Natal.

“Semua sekolah hendaklah mematuhi cuti perayaan yang diperuntukkan kementerian dan cuti ini tidak perlu diganti,” kata pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, di sini baru-baru ini.

Kekeliruan timbul ekoran penyebaran jadual cuti persekolahan selama seminggu di media sosial yang didakwa terlalu hampir dengan cuti pertengahan tahun selama dua minggu bermula 26 dan 27 Mei lalu.

Ini bermakna, murid dan pelajar akan bersekolah selama dua minggu selepas berakhir cuti pertengahan pada 11 Jun ini, sebelum kembali bercuti selama seminggu sempena Aidilfitri.

Sementara itu, cuti pertengahan tahun kali ini serentak dengan cuti perayaan Hari Kaamatan pada 30 dan 31 Mei sementara Hari Gawai pula jatuh pada 1 dan 2 Jun. 

- UTUSAN


Video Gadis Ceti Tuntut Hutang Viral



Masih ingat lagi video tular sebelum ini mengenai seorang gadis yang menuntut hutang daripada rakannya dengan aksinya yang mencuit hati?

Kali ini, gadis tersebut kembali dengan video baharu yang masih dengan telatah lucu membuatkan sesiapa sahaja yang menontonnya tidak kering gusi.

Menerusi video yang dikongsikan dalam laman sosial termasuk di Facebook Nurhayati Tahir (Bunga Marshelloop), gadis tersebut berkongsi ‘berita gembira’ mengenai rakannya telah melangsaikan hutang.

Menariknya, ‘rakannya yang berhutang’ itu kali ini sendiri menghubunginya berbanding sebelum ini enggan menjawab panggilan apabila dihubungi.

“Hello aku nampak video engkau, nasib baik engkau tak letak muka aku. Terima kasihlah, malunya kalau ada muka aku. Baru empat tahun tak bayar, aku nak bayarlah ni,” katanya yang melakonkan watak ‘rakan berhutang’ itu dengan gaya bersahaja.

“Hutang dah langsai! Sekarang dah tak payah makan tahi gigi, dah gosok bersih bersih dah. Boleh raya cantik cantik, terima kasihlah dah bayar balik duit itu,” katanya sambil terus menunjukkan reaksi wajah ceria melucukan.

Video berdurasi dua minit dan 16 saat itu kemudiannya diakhiri dengan pantun dua kerat buat rakannya.

“Empat tahun makan tahi gigi, lepas ini tak bagi pinjam lagi,” katanya sambil menambah bahawa dia dahulu bukannya bodoh kerana bagi pinjam, tetapi kurang cerdik.

“Cukuplah sekali saja bagi pinjam,” katanya.

Nurhayati sebelum ini mendapat perhatian netizen kerana banyak menghasilkan video gurauan tetapi sarat dengan mesej dan dekat dengan kehidupan masyarakat.

- mSTAR

Berpuasa bagi wanita hamil

Oleh Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain

Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi zat makanan bayinya. Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius oleh ibu-ibu hamil . Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu harus memikirkan keperluan dirinya dan juga anak yang sedang dikandungnya.

Jika tidak mengubah tabiat pemakanan, anak yang di dalam kandungan akan turut terjejas. Kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka.

Alhamdulillah, puan sudah berada pada trimester kedua (bulan keempat hingga keenam kandungan). Kebiasaannya, semasa awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaik-baiknya tidak berpuasa.

Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa. Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu juga dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.

Ibu-ibu yang mempunyai penyakit, disarankan agar tidak berpuasa jika mengalami alahan yang teruk ( sentiasa lemah, mual dan mengalami kekurangan air dalam badan), penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang, anemia semasa mengandung, oligohidramnios (air mentuban yang sedikit), pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil .

Seseorang ibu juga tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang. Pengambilan pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting.

Untuk memastikan ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan dengan kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar. Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.

Banyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya. Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan seseorang itu tidak mengalami dehidrasi. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.

Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka.

Tujuannya memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan. Ingat, jangan makan berlebihan dan elak makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi seperti telur dan ikan masin. Berbuka puasalah perlahan-lahan agar perut tidak terkejut. Untuk membantu penghadaman, kunyah makanan dengan baik.

Untuk anda yang mampu menahan lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadam makanan banyak serat.

Selain makanan berserat dan protein, sebaik-baiknya sediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari.

Kesimpulannya, wanita hamil boleh berpuasa jika mempunyai kekuatan dan tidak mengalami komplikasi kehamilan. Bagi yang tiada kekuatan akibat penyakit semenjak sebelum berkahwin atau dihidapi semasa hamil , dibenarkan berbuka dan harus menggantikannya semula.

- Utusan

Punca Nahas Helikopter Di Sarawak Didedah



Punca nahas helikopter Eurocopter AS350 di Batang Lupar, berhampiran Sebuyau, Sarawak pada Mei tahun lepas adalah disebabkan keadaan cuaca buruk dan juruterbang yang tidak biasa dengan kawasan persekitaran, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata perkara itu dikemukakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara dalam laporan akhir nahas helikopter itu, yang akan dimuat naik ke laman web Kementerian Pengangkutan (www.mot.gov.my) dalam masa terdekat.

Liow berkata laporan akhir yang telah dibentangkan di Kabinet pada bulan lepas itu mendapati ketika kemalangan berlaku, helikopter berkenaan telah memasuki kawasan yang mengalami hujan lebat dan ribut.

"Kita buat siasatan dan dapati bahawa helikopter tersebut memasuki kawasan ribut dan ketika itu laporan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi juga menunjukkan kawasan kemalangan itu adalah kawasan hujan lebat.Kemalangan tidak melibatkan masalah teknikal sebaliknya cuaca dan juruterbang.

"Kalau orang biasa dengan laluan tersebut mungkin mereka akan elak tetapi juruterbang itu daripada luar negara dan tidak fasih (biasa) dengan keadaan sini, jadi juruterbang ikut GPS (sistem kedudukan global) dan itu kemungkinan kemalangan berlaku," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pelancaran Buku Sejarah Penubuhan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di Setapak.

Liow berkata laporan akhir itu turut mengesyorkan mana-mana syarikat, individu atau agensi yang menggunakan juruterbang luar negara perlu melalui kursus khas penerbangan helikopter dalam negara sebelum dibenarkan menerbangkan pesawat.

"Kursus ini bagi juruterbang warga asing biasakan diri dengan suasana, cuaca dan keadaan sekeliling kawasan di negara ini sebelum dibenarkan untuk menerbangkan mana-mana helikopter di negara ini," katanya.

Pada 5 Mei tahun lepas pesawat malang itu terhempas di Batang Lupar dengan mengorbankan enam penumpang termasuk juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Noriah Kasnon dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

- Bernama

Model Iriz Dipertingkat



Proton Holdings Bhd secara rasmi memperkenalkan Proton Iriz yang dipertingkat pada Isnin dan kereka itu boleh diperoleh di semua bilik pameran di seluruh negara.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, Proton Iriz baharu itu mempunyai tahap bunyi dan getaran yang lebih rendah, petunjuk bantuan pemanduan eko dan kalibrasi unit kawalan enjin yang dipertingkat bagi tindak balas linear untuk meningkatkan pemanduan.

"Kami tidak akan berkompromi dengan standard dan ciri-ciri keselamatan dan Iriz terkenal kerana ciri-ciri keselamatannya yang cemerlang.

"Sejak diperkenalkan pada September 2014, kami telah menjual lebih 45,000 unit, menjadikannya kereta Proton kedua paling laris sejak memulakan pengeluaran, selepas Saga," katanya.

Iriz dikeluarkan dalam empat varian, iaitu 1.3L Standard (MT dan CVT), 1.3L Executive CVT dan 1.6L Premium CVT.

Dijual dengan harga daripada RM43,800 hingga RM58,800 seunit, ia boleh didapati dalam lima warna, iaitu Ruby Red, Carnelian Brown, Graphite Grey, Atlantic Blue dan Cotton White.

- Bernama

Jumaat, Jun 02, 2017

Tarikh Pembayaran Bonus Raya 2017 Kakitangan Kerajaan




Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri 2017sebanyak RM500 kepada hampir 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2017. Bantuan Khas ini juga akan turut dinikmati oleh hampir 775,000 pesara Kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM250.

Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat sebelum 9 Jun 2017.

Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara Kerajaan ini membabitkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM1 bilion.

Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri 2017.

Kementerian Kewangan
Putrajaya

Khamis, Jun 01, 2017

Jambatan Pulau Sekati mula dibuka 30 Mei 2017



Fasa pertama Jambatan Pulau Sekati yang menghubungkan bandar raya Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus mula dibuka kepada pengguna mulai petang 30 Mei 2017.

Laluan sepanjang tiga kilometer itu menghubungkan Pulau Sekati yang berada di tengah-tengah Sungai Terengganu ke Losong dan Paloh.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ia merupakan satu lagi laluan alternatif untuk orang ramai ke pusat bandar dengan perjalanan yang lebih cepat dan selesa.

Menurut beliau, pembukaan sebahagian daripada jambatan tersebut dapat memberikan kelegaan kepada pengguna terutama menjelang Aidilfitri.

“Laluan fasa kedua sepanjang tiga kilometer ke Banggol Tuan Muda dan Jeram Tok Kong, Manir di sini pula akan dibuka 19 Jun2017.

“Keseluruhan projek Jambatan Pulau Sekati sepanjang enam kilometer ini melibatkan peruntukan sebanyak RM245 juta,” katanya.

- Kosmo!

Recent Posts