Selasa, Januari 07, 2014

Maybank perkenal pengeluaran wang tanpa kad



Malayan Banking Berhad (MAYBANK) menjadi bank pertama di negara ini yang melancarkan perkhidmatan pengeluaran wang tanpa menggunakan kad menerusi mesin juruwang automatik (ATM).

Ketua Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti dan Ketua Pegawai Eksekutif MAYBANK Singapura Datuk Lim Hong Tat berkata, perkhidmatan baru itu akan mengubah pendekatan pengeluaran wang dalam kalangan masyarakat kerana ia turut membuka ruang bagi penggunaan saluran perbankan MAYBANK kepada masyarakat tanpa perlu memiliki akaun dengan MAYBANK.

“Perkhidmatan pengeluaran tanpa kad MAYBANK ini bersandarkan kepada dua kekuatan kami iaitu perbankan dalam talian menerusi Maybank2u dan perbankan elektronik di ATM.

 “Perkhidmatan baru ini ialah perkembangan yang sentiasa kami bawa ke pasaran dan ia menawarkan kaedah baru terhadap keselesaan dalam pemindahan wang serta pengeluaran tunai,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan itu disediakan dengan langkah keselamatan untuk melindungi penghantar serta penerima dan dua nombor pengesahan diperlukan untuk memastikan wang dapat dikeluarkan dan nombor pengenalan itu sah untuk tempoh 24 jam. Katanya, pengeluaran dibenarkan ialah dalam gandaan RM100, RM200 atau RM300 dengan jumlah maksimum pengeluaran RM300 sehari untuk kemudahan berkenaan.

Beliau berkata, MAYBANK menganggarkan sejumlah 20,000 transaksi tanpa kad akan dimanfaatkan setiap bulan dalam tahun pertama pengenalannya dan ketika ini lebih daripada 45 juta transaksi dikendalikan di lebih 2,800 ATM MAYBANK setiap bulan.

“Pada masa sama, lebih daripada 100 juta transaksi kami kendalikan setiap bulan di Maybank2u dan bilangan transaksi menerusi kedua-dua saluran ini menyediakan anggaran bagaimana ramainya pengguna yang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan baru ini. “Kami merancang untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke pasaran lain yang memiliki ATM MAYBANK bermula dengan Singapura, tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa negara berkenaan,” katanya.

 Caj minimum RM1 akan diperkenalkan kepada penghantar setiap kali mereka memulakan proses perkhidmatan ini dan bagi tempoh promosi sehingga 28 Februari ini, tiada sebarang caj dikenakan.


Bermula 7 Januari 2014, MAYBANK menawarkan ganjaran tunai RM500 setiap seorang kepada tiga orang pemenang bertuah setiap hari yang berjaya melaksanakan transaksi pengeluaran tanpa kad ini. Di bawah perkhidmatan baru ini, pelanggan MAYBANK (pemberi wang) yang mahu menghantar tunai kepada sesiapa saja boleh memulakan fungsi pengeluaran tanpa kad ini menerusi laman web Maybank2u. Pemberi wang itu perlu menaip nombor telefon mudah alih si penerima yang akan menerima nombor pengenalan transaksi (ID-1) menerusi SMS daripada MAYBANK.

Pada masa sama, pemberi juga akan menerima ID transaksi yang berbeza (ID-2) daripada MAYBANK menerusi pesanan ringkas (SMS). Pemberi kemudiannya akan menghantar nombor pengenalan ID-2 kepada penerima.

Penerima terbabit akan menggunakan kedua-dua nombor yang diperoleh untuk mengeluarkan tunai yang diberikan kepadanya. Transasksi di ATM langsung tidak memerlukan kad, cukup dengan hanya menekan butang di paparan sentuh dan mengikut arahan disediakan.

- BERNAMA

 

Yuran daftar masuk UiTM kekal


Kira-kira 200,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dinasihati supaya tidak terpedaya dengan penipuan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan mengenai kononnya yuran pendaftaran universiti itu telah dinaikkan.

Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tiada sebarang kenaikan yuran pendaftaran yang akan dikenakan kepada pelajar semester dua dan ke atas universiti itu di seluruh negara bermula Jun 2014 ini seperti yang didakwa dalam poster tersebut.

Menurut beliau, yuran pendaftaran tetap sama iaitu antara RM300 hingga RM500 setiap pelajar mengikut kos pengajian masing-masing dan bukannya dinaikkan sehingga RM730.

- KOSMO!

Sejarah Pasaraya AEON

Tidak  lama dulu, barangan keperluan asas dan harian kebanyakannya dibeli dari kedai-kedai runcit yang dimiliki dan diusahakan keluarga kecil.

Selepas itu, kemunculan pasar raya menguasai industri barangan keperluan pengguna dengan menawarkan pelbagai produk dari jenama tempatan dan antarabangsa.

Pada dekad lalu, pengguna bagaimanapun tertarik kepada pusat membeli-belah yang lebih besar dan terkemuka iaitu hypermarket.

Ketika pasar raya dan hypermarket terus berkembang, kedua-duanya berlumba-lumba memperluaskan cawangan perniagaan mereka.

Hypermarket menarik sebilangan besar pengguna kerana menawarkan pelbagai produk termasuk makanan dan minuman, pakaian, alat tulis dan barangan elektronik.

Ia menawarkan pusat membeli-belah sehenti yang selesa untuk pengguna membeli apa saja barangan keperluan mereka.

Bukan Sekadar Pasaraya

Aeon Co (M) Bhd atau Aeon Malaysia, bersama-sama dengan gergasi runcit tempatan yang lain di Malaysia, terus berusaha menawarkan barangan dan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna.

Strategi perniagaannya adalah untuk membuka rangkaiannya di kawasan perumahan pinggir bandar yang mempunyai ramai golongan berpendapatan sederhana.

Syarikat tersebut menganggap ia lokasi yang mudah dikunjungi oleh sebilangan besar pengguna.

Strategi tersebut berjaya dan membantu syarikat itu memperoleh pendapatan sebanyak RM3.26 bilion pada 2012.

"Kami tidak mensasarkan bandar-bandar besar. Sebaliknya, kawasan pinggir bandar dimana anda boleh menjumpai kami. Malah, kami membawa intipati bandar ke kawasan-kawasan ini dengan memperkenalkan kafe popular dan pusat membeli-belah untuk dinikmati pengguna dengan mudah," kata Pengarah Urusan Aeon Co (M) Bhd, Nur Qamarina Chew.

"Ini adalah satu contoh bagaimana syarikat itu masih setia dengan slogannya, 'AEON Memperkayakan Gaya Hidup Anda' dimana ia terus berusaha memenuhi keperluan pengguna dengan menyediakan barangan keperluan di sebuah pusat membeli-belah yang menjanjikan pengalaman sempurna," kata Nur Qamarina.

Syarikat tersebut turut mengendalikan Daiso Japan, Aeon Wellness dan Mister Doughnut di cawangannya seluruh negara.

Penjenamaan Untuk Keselesaan

Nur Qamarina berkata, menghampiri tahun ke-30 Aeon menjalankan perniagaan di Malaysia, kekal relevan dengan menggunakan inovasi adalah strategi asas dan penting untuk mengekalkan dan meningkatkan bilangan pelanggan mereka.

Syarikat itu juga sedang menjalani proses penjenamaan semula yang melibatkan pertukaran nama pusat membeli-belah daripada Jusco kepada Aeon yang bermaksud abadi dalam bahasa Latin.

Proses penjenamaan semula itu adalah sebahagian daripada strategi syarikat tersebut untuk meningkatkan keuntungan sebagai peruncit terkemuka.

"Walaupun proses itu memakan masa, pelanggan akan dapat menyesuaikan diri dengan penjenamaan semula tersebut. Kami ingin menganggap diri kami seperti rama-rama yang akan melalui metamorfosis - melakukan perubahan dan memperluaskan pasaran ke seluruh negara dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan," kata Nur Qamarina.

- mSTAR

Deretan Cuti Umum pada Januari dan Februari 2014

Sekali lagi deretan cuti akan berlaku, bermula dengan sambutan Maulidur Rasul dan Thaipusam pada minggu depan, diikuti dengan Tahun Baru Cina dan Hari Wilayah Persekutuan dua minggu kemudian.

Maulidur Rasul dan Thaipusam masing-masing akan disambut pada 14 Januari (Selasa) dan 17 Januari (Jumaat) yang menjadikan pekerja hanya berkerja tiga hari dalam seminggu.

Bagi mereka yang bekerja di Negeri Sembilan, 15 Januari (Rabu) adalah hari cuti ganti untuk hari jadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menjadikannya mereka di negeri itu hanya berkerja dua hari seminggu.

Majikan menjangkakan pekerja mereka akan mengambil cuti sama ada pada 16 Januari (Khamis) untuk cuti empat hari yang disambung dengan cuti hujung minggu atau mengambil cuti pada tiga hari berkerja untuk membolehkan mereka bercuti selama sembilan hari.

Tahun Baru Cina jatuh pada 31 Januari, diikuti dengan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah menggesa majikan supaya membuat perancangan terlebih dahulu untuk memastikan produktiviti tidak terjejas kerana cuti yang berderet.

"Kebanyakan syarikat berdepan pengalaman yang sama tahun lepas dan perlu telah merancang cara-cara untuk mengelakkan terlalu ramai pekerja mengambil cuti tambahan pada masa ini," kata kata Ketua Pengarahnya Mohd Razali Hussain, Isnin.

Oleh kerana cuti-cuti seperti Maulidur Rasul dan Thaipusam bukan "cuti wajib", beliau berkata syarikat-syarikat boleh mengelak daripada membenarkan pekerja mereka mengambil cuti panjang dengan menggantikan cuti-cuti ini pada hari-hari lain.

Pada November tahun lepas, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan bahawa Wilayah Persekutuan akan menikmati cuti tambahan pada 3 Februari (Isnin) disebabkan Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada hari kedua Tahun Baru Cina pada 1 Februari.

Cuti tersebut terpakai untuk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata kebanyakan syarikat akan merancang jadual kerja mereka untuk mengelakkan pekerja daripada mengambil terlalu banyak cuti dalam tempoh ini.

"Kebanyakan pekerja baru kembali bekerja selepas berehat akhir tahun dan syarikat-syarikat masih sibuk memulakan perniagaan mereka bagi tahun ini. Mereka tidak mungkin untuk membenarkan terlalu banyak pekerja untuk mengambil cuti panjang dalam jarak yang dekat," katanya.

- mSTAR


Sabtu, Januari 04, 2014

100,000 Pengambilan SPA Kekosongan Jawatan Kerajaan Tahun 2014



PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan kira-kira 100,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam untuk diisi pada tahun ini.

Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam berkata kekosongan jawatan itu melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

"Kebanyakan kekosongan di peringkat kumpulan sokongan memandangkan lebih 70 peratus jawatan dalam perkhidmatan awam ketika ini diisi kumpulan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini Jumaat.

Mahmood berkata SPA akan sentiasa memastikan calon-calon yang dilantik dalam perkhidmatan awam bukan sahaja memiliki kelulusan, kelayakan dan kebolehan, tetapi juga mempunyai kualiti teras antaranya cepat dan tepat, serta produktif, kreatif dan inovatif.

Sehubungan itu calon-calon yang berminat menyertai perkhidmatan awam dipelawa menyertai seminar dan kursus Tip Panduan bagi Memasuki Perkhidmatan Awam yang akan diadakan di seluruh negara bermula Sabtu, kata beliau.

"Sebab itu fokus kita pada tahun ini untuk menjelaskan kepada orang ramai cara nak mohon kerja, apa (ciri-ciri) yang kita cari. Jadi bagi orang ramai, kalau ada nilai yang kita cari ini dijemput hadir.

"Jadi kalau dia tidak dapat (kerja dalam perkhidmatan awam) pun kita harap dia puas hati kenapa dia gagal dan dia boleh cuba lagi," kata Mahmood.

Sementara itu Mahmood berkata sepanjang tahun lepas 60,059 lantikan dibuat SPA melibatkan 38,659 pelantikan tetap dan selebihnya kontrak.

Ia melibatkan 45,392 calon lantikan Melayu, 2,901 Cina, 2,018 India dan selebihnya bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain.

"SPA menerima 2.1 juta permohonan untuk menyertai perkhidmatan awam pada tahun 2013," katanya.

- BERNAMA


Pendaftaran BR1M 3.0 sehingga 31 Januari 2014

Lebih 70 peratus daripada 900,000 pemohon baharu yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 3.0) pada 2014 masih belum mendaftar, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

"Saya menyeru mereka yang layak untuk segera mendaftar dan mengemas kini maklumat sebelum 31 Jan ini bagi memudahkan mereka untuk turut menerima perlindungan caruman takaful i-BR1M," katanya.

Berhubung caruman takaful i-BRIM, beliau berkata kerajaan sedang memperhalusi perlindungan insurans dengan Bank Negara Malaysia dan beberapa syarikat insurans untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau meminta penerima BR1M 3.0 tidak melewat-lewatkan pendaftaran selain berharap agar kerajaan tidak melanjutkan tarikh pendaftaran itu.

"Sepatutnya rakyat telah belajar melalui BR1M 1.0 dan 2.0 dan tidak perlu memohon tarikh lanjutan kerana ini kali ketiga BR1M diagihkan," katanya dalam sidang media selepas melawat kaunter BR1M di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cyberjaya pada Jumaat.

Ahmad berkata sekiranya penerima melewat-lewatkan proses pendaftaran kesannya kemungkinan perlindungan insurans i-BR1M tidak dapat diperoleh yang mana tempoh perlindungannya bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2014.

Beliau berkata kerajaan menjangkakan untuk tahun ini 7.9 juta rakyat layak menerima BR1M 3.0 dengan peruntukan RM4.5 bilion berbanding RM3 bilion untuk BR1M 2.0.

"Jumlah 7.9 juta ini termasuk 6.8 juta penerima sedia ada dan 900,000 pemohon baharu serta 200,000 'buffer' bagi pemohon yang baru memasuki umur 21 tahun serta mereka yang mempunyai pendapatan RM4,000 ke bawah untuk tahun ini," katanya.

Namun, kata Ahmad, hanya 4.4 juta daripada 6.8 juta penerima sedia ada telah mengemas kini maklumat nombor akaun bank, manakala 2.4 juta lagi masih belum berbuat demikian.

"Sehubungan itu, saya memohon agar penerima BR1M dapat mengemas kini maklumat nombor akaun bank mereka bagi memudahkan urusan," katanya sambil menambah agihan pembayaran BR1M akan dibuat kepada mereka yang layak mulai Februari.

Melalui Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri pada Oktober lepas, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah layak menerima BR1M RM650 dan caruman takaful i-BR1M RM50.

Isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000 turut layak menerima sejumlah RM450 serta caruman takaful RM50 dan bagi individu bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000 juga layak menerima RM300.

- BERNAMA

RM2 Bilion Peruntukan Biasiswa Tajaan MARA Tahun 2014

Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan RM2 bilion kepada kira-kira 25,000 pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata peruntukan itu meningkat sebanyak 10 sehingga 15 peratus dari tahun lepas memandangkan kos pembiayaan dan kos yuran pengajian yang semakin meningkat.

"Ini merupakan peruntukan khas kerajaan persekutuan dan ia tidak termasuk dalam bajet pendidikan RM1 bilion yang telah diumumkan perdana menteri dalam pembentangan Belanjawan 2014," katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Annuar berkata penilaian penajaan perlu dilakukan bagi memastikan perbelanjaan Mara efisien selain meyakini keupayaan pusat pengajian tempatan.

"Sebagai contoh dalam bidang perubatan dan pergigian, universiti tempatan mampu melahirkan 3,000 graduan setahun dan kapasiti ini memungkinkan kita untuk mengurangkan penajaan keluar negara secara terpilih," katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata Mara juga telah menghapus kira sebanyak RM1 bilion daripada dana pinjaman pendidikan kepada pelajar tajaannya.

"Pendekatan ini diberikan kepada pelajar yang dapat mencapai tahap-tahap tertentu seperti pelajar cemerlang, pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah serta pelajar yang tidak mempunyai pekerjaan setelah menamatkan pengajian dan mereka ini telah membuat rayuan dengan memberi alasan-alasan tertentu kepada pihak Mara," katanya.

Beliau berkata pengurangan itu melibatkan kira-kira 80 peratus daripada dana yang telah dikeluarkan kepada pelajar tajaannya.

"Dengan kata lain, kita hanya mengutip 20 peratus daripada jumlah yang diberikan. Kita tiada masalah untuk memberi pengurangan kepada pelajar tetapi yang kita utamakan adalah kecemerlangan mereka," katanya.

Annuar berkata pengurangan yang dilaksanakan sejak dua minggu lepas itu merupakan salah satu kaedah meringankan beban ibu bapa dan para pelajar, terutamanya graduan baru.

"Kita harap dapat lakukan pengurangan pinjaman ini berasaskan kecemerlangan yang dicapai," katanya yang menasihatkan pelajar tajaan Mara yang bakal menamatkan pengajian mengambil kesempatan untuk mendapatkan pengurangan pinjaman yang ditawarkan.

- BERNAMA


Belajar Jadi Pengguna Bijak Untuk Menghadapi Kenaikan Kos - Pakar Ekonomi

Untuk berdepan dengan kenaikan kos, apa yang boleh dilakukan ialah membuat sedikit tugasan dan kajian sebelum membuat pembelian serta sentiasa mencari tawaran terbaik, demikian nasihat pakar.

"Anggap ia sebagai perubahan positif. Mengajar keluarga kita supaya lebih berjimat dalam berbelanja dan mendisiplinkan diri bukanlah satu perkara yang tidak baik," kata perunding kewangan yang diiktiraf dan pengasas Abacus Advisory Sdn Bhd, Carol Yip.

Beliau berkata keluarga perlu berbincang tentang cara-cara yang membolehkan mereka mengurangkan kos.

"Sekarang adalah masa terbaik untuk menukar tabiat kita dan menghentikan pembaziran. Kita perlu lebih sedar tentang bagaimana kita menggunakan air, elektrik dan penghawa dingin," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata individu perlu terlebih dahulu merangka bajet harian tentang berapa banyak yang mereka belanjakan.

"Kaji perbelanjaan anda dan lihat di mana anda boleh mengurangkannya. Jika anda makan di luar setiap hari, lihat jika ada cara untuk makan di rumah lebih kerap," tambahnya.

Pengguna, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana telah menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan tarif elektrik dan kadar taksiran dan juga kenaikan harga perkhidmatan dan barangan.

Setiausaha Agung Fomca Datuk Paul Selvaraj berkata rakyat Malaysia mesti belajar menjadi "pengguna lebih bijak" dengan mencari nilai terbaik untuk wang mereka.

"Sama ada barangan harian kecil atau dalam mendapatkan pinjaman kereta atau perumahan terbaik, pengguna perlu melakukan kajian mereka untuk mencari tawaran terbaik," kata beliau ketika dihubungi.

"Keutamaan penjual dan pembeli tidak mungkin sama. Walaupun pembeli mahu mengurangkan kos, penjual akan mencari jalan untuk mendapatkan keuntungan yang paling tinggi atau komisen," katanya.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh Fomca mendapati 47 peratus daripada 1,000 eksekutif muda di kawasan bandar berkata mereka berbelanja di luar kemampuan mereka.

"Ini adalah masa yang sukar dan perkara hanya akan menjadi lebih sukar, jadi kita perlu memperoleh kemahiran dan pengetahuan untuk menjadi pengguna yang lebih bijak.

"Sama ada mengurangkan penggunaan tenaga, mencari jalan untuk berkongsi kereta atau menggunakan lebih banyak pengangkutan awam, perubahan perlu dibuat sama ada kita suka atau tidak," katanya.

- mSTAR


Pembeli rokok haram berdepan denda dan hukuman penjara

Anda boleh dikenakan denda, malah boleh dipenjara walau hanya membuat kesalahan membeli rokok haram, di bawah peraturan baru yang berkuatkuasa Rabu.

Pindaan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa bukan hanya menjual rokok dalam paket yang tidak mempunyai amaran kesihatan kerajaan dan gambar yang menyalahi undang-undang, tetapi membelinya juga menyalahi undang-undang.

Di bawah pindaan yang diwartakan pada Jun lepas, pembeli adalah sama seperti penjual yang mana mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.

Difahamkan peruntukan baru ini bertujuan untuk membanteras kegiatan penyeludupan rokok haram ke negara ini.

Peraturan 15 (4A) Akta menetapkan: "Tiada seorang pun boleh menjual atau menawarkan jualan, membeli atau ada di dalam miliknya sebarang paket atau karton rokok yang tidak dicetak dengan teks-teks yang ditetapkan dan imej amaran kesihatan."

Paket rokok tanpa tanda amaran berkemungkinan besar diseludup masuk dalam negara kerana pengeluar-pengeluar di Malaysia telah mematuhi kehendak-kehendak percetakan yang ditetapkan beberapa tahun sebelum ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata jabatan itu akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan peraturan baru ini.

Katanya hanya kementerian boleh bertindak terhadap pengguna rokok haram.

"Kita akan membantu kementerian itu dalam apa-apa cara yang boleh dan juga meningkatkan perisikan untuk mengenal pasti outlet-outlet (selain dari kedai-kedai) menjual rokok haram," katanya.

Beliau menambah bahawa jabatan itu akan meningkatkan operasi di pintu masuk utama di negara ini untuk mencegah penyeludupan.

Khazali berkata jabatan itu telah merampas lebih 1.6 bilion batang rokok bernilai lebih daripada RM134 juta sejak 2011.

"Sitaan bernilai RM811 juta duti tidak dibayar.

"Kita telah menunjukkan peningkatan dalam usaha membanteras penyeludupan rokok," katanya.

Pada tahun 2011, jabatan ini menyita rokok bernilai RM61.9 juta dan jumlah sitaan telah beransur-ansur berkurangan kepada RM42 juta pada 2012 dan RM31 juta tahun lepas.

"Kita perlukan kerjasama pengguna untuk mengurangkan permintaan bagi rokok ini," katanya.

Pada bulan September, British American Tobacco mendakwa Malaysia merupakan salah sebuah negara dengan tahap tertinggi penggunaan rokok haram di dunia, mengatakan bahawa penyeludup meraih kira-kira RM1 bilion setahun manakala Kerajaan mengalami kerugian sehingga RM2 bilion dalam duti eksais.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dipetik sebagai berkata bahawa industri tembakau menyumbang RM3.52 bilion kepada cukai pendapatan di negara ini pada tahun 2012, berbanding dengan RM3.42 bilion pada tahun 2011.

- mSTAR


Khamis, Januari 02, 2014

Perisian komputer kepada peniaga berdaftar untuk pantau GST

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan memperkenalkan perisian komputer khusus untuk memantau serta memudahkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April 2014.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad, berkata sistem itu yang dikenali sebagai MyGST sedang diuji untuk kelancaran dan kestabilan sebelum diedarkan kepada kira-kira 300,000 peniaga berdaftar di seluruh negara.

"Sistem baharu itu yang akan mengurustadbir sistem percukaian GST, dibina dengan kos kira-kira RM100 juta.


"Jumlah pelesen (peniaga) ini satu bilangan yang besar, jadi kita kena pastikan sistem yang ada, mampu untuk mendaftar peniaga yang begitu ramai di dalam mengendalikan urusan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra di Taman Perumahan Kastam Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Khazali berkata, kerajaan juga menyediakan subsidi kepada peniaga berdaftar untuk mendapatkan sistem komputer berkenaan, bagaimanapun jumlahnya masih belum diputuskan.

"Sistem MyGST itu ditadbir urus oleh Kastam, cuma pelesen-pelesen, kerajaan akan beri subsidi untuk beli perisian perakaunan, yang sesuai dengan sistem GST itu dan latihan akan diberi kepada mereka.

"Jumlah untuk subsidi belum diterima, tapi peruntukan untuk subsidi telah diumum oleh kerajaan pada bajet tahun lepas. Harga perisian tersebut juga belum ditetapkan lagi," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lalu berkata, cukai tunggal GST pada kadar 6 peratus akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus. GST akan dikuatkuasakan pada 1 April, 2015.

Dalam perkembangan lain, Khazali berkata, jabatan itu berjaya mengutip hasil sebanyak RM33.1 bilion tahun lalu, meningkat 2.38 peratus berbanding 2012.

Selain itu, Kastam berjaya merampas dadah seberat 1.6 tan bernilai RM114 juta pada tahun lepas di pelbagai tempat yang dikawal selia oleh jabatan terbabit.

Mengulas mengenai letupan mercun di Stor Penguatkuasaan Kastam di Pengkalan Kubor pada bulan lepas, Khazali berkata pihaknya telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan perkara itu disahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Tidak ada pelanggaran syarat dilakukan anggota kita. Kita telah merendam mercun yang akan dilupuskan itu dalam air selama sebulan. Bila nak angkat dan musnahkan di mesin pemusnah, tiba-tiba ia meletup. Itu adalah di luar kemampuan kita," katanya.

- BERNAMA

Rabu, Januari 01, 2014

SENARAI CUTI UMUM TERENGGANU TAHUN 2014

SENARAI CUTI UMUM TAHUN 2014

 14-01-2014      HARI KEPUTERAAN NABI MUHAMMAD S.A.W (PERSEKUTUAN)
 31-01-2014      TAHUN BARU CINA (PERSEKUTUAN DAN NEGERI)
 01-02-2014      TAHUN BARU CINA (PERSEKUTUAN DAN NEGERI)
 02-02-2014      HARI KELEPASAN AM NEGERI
 04-03-2014      HARI ULANGTAHUN PERTABALAN KEBAWAH D.Y.M.M. SULTAN TERENGGANU (NEGERI)
 26-04-2014      HARI KEPUTERAAN KEBAWAH D.Y.M.M. SULTAN TERENGGANU (NEGERI)
 27-04-2014      HARI KELEPASAN AM NEGERI
 01-05-2014      HARI PEKERJA (PERSEKUTUAN)
 13-05-2014      HARI WESAK (PERSEKUTUAN)
 07-06-2014      HARI KEPUTERAAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG (PERSEKUTUAN)
 08-06-2014      HARI KELEPASAN AM NEGERI
 15-07-2014      HARI NUZUL QURAN (NEGERI)
 27-07-2014      HARI KELEPASAN AM NEGERI
 28-07-2014      HARI RAYA PUASA (PERSEKUTUAN)
 29-07-2014      HARI RAYA PUASA (PERSEKUTUAN)
 31-08-2014      HARI KEBANGSAAN (PERSEKUTUAN)
 16-09-2014      HARI MALAYSIA (PERSEKUTUAN)
 05-10-2014      HARI RAYA HAJI (PERSEKUTUAN)
 06-10-2014      HARI RAYA HAJI (PERSEKUTUAN)
 22-10-2014      HARI DEEPAVALI (PERSEKUTUAN) - Pindaan (pengesahan dari SUK)
 25-10-2014      AWAL MUHARAM (PERSEKUTUAN)
 26-10-2014      HARI KELEPASAN AM NEGERI
 25-12-2014      HARI KRISMAS (PERSEKUTUAN)