Ahad, Oktober 06, 2013

Hari Raya Aidiladha 1434H jatuh 15 Oktober 2013

Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha pada Selasa, 15 Oktober 2013 ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad pada malam Sabtu.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1434 Hijrah ialah pada 6 Oktober 2013 Masehi.

"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijjah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Selasa, 15 Okt 2013 Masihi," katanya.

Pengumuman itu disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

- BERNAMA



Perkahwinan bawah umur meningkat

Di Malaysia, dari segi undang-undang, kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun tidak boleh memandu atau membeli rokok.

Mereka juga tidak boleh menonton filem tertentu atau pergi ke kelab malam. Tetapi mereka boleh berkahwin - dan ia sah di sisi undang-undang.

Malah, semakin ramai yang berbuat demikian, berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Pada tahun 2012, terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin, di mana satu pihak, kebiasaannya bakal pengantin perempuan, adalah lebih muda berbanding usia yang dibenarkan dalam undang-undang berkahwin.

Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan itu.

Ini merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim.

Mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Malaysia, bersama-sama dengan lebih daripada 90 negara-negara lain, menerima pakai satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan perkahwinan awal atau paksa kanak-kanak, pada Majlis Hak Asasi Manusia minggu lepas.

Bagaimanapun, data JKSM menunjukkan bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah sangat berleluasa di Malaysia.

Sisters in Islam (SIS) berkata adalah mengejutkan apabila perkahwinan kanak-kanak masih wujud di negara ini kerana kelemahan undang-undang perkahwinan dan kepercayaan yang berterusan bahawa kanak-kanak perempuan perlu dibenarkan berkahwin apabila mereka mencapai akil baligh.

"Kami berdiri bersama-sama PBB bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah berbahaya kepada kanak-kanak dan anak gadis, khususnya terdedah kepada penderaan, masalah kesihatan, masalah dalam mengakses pendidikan dan kehilangan zaman kanak-kanak dan remaja," kata Pegawai Undang-Undang SIS Kartina Mohd Sobri.

Memandangkan bilangan yang ketara, kerajaan perlu mengkaji semula peruntukan-peruntukan dalam undang-undang Syariah, adat dan sekular yang kini membenarkan kanak-kanak perempuan di bawah umur 18 tahun untuk berkahwin, kata Penasihat Program United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia Saira Shameem.

"Kita perlu membangunkan alternatif dan pilihan yang lebih progresif yang akan membolehkan anak-anak kita sepenuhnya mencapai tahap potensi mereka.

"Terdapat juga risiko terhadap kesihatan fizikal kanak-kanak perempuan yang berkahwin dan hamil terlalu awal.

"Hasilnya, hari ini di Malaysia kita mempunyai kanak-kanak perempuan bawah umur yang mati kerana komplikasi kesihatan ibu semasa bersalin," katanya.

"Ini tidak boleh diterima, dan usaha-usaha perlu diambil untuk menyediakan alternatif dan pilihan yang sebenar untuk menyelamatkan nyawa orang-orang muda."

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Haji Othman Mustapha, berkahwin pada usia awal "tidak dilarang dalam Islam tetapi pasangan yang berkahwin perlu cukup matang untuk memahami bahawa perkahwinan datang tanggungjawab yang besar".

"Pasangan itu perlu tahu bahawa mereka telah bersedia untuk kehidupan di alam perkahwinan dan bahawa mereka telah dilengkapi dengan pengetahuan yang betul, terutamanya maksud dan peranan sebenar sebagai suami atau isteri dalam Islam. Paling penting, mereka perlu memahami sebab sebenar mengapa mereka berkahwin," katanya.

"Jika ia semata-mata untuk memuaskan nafsu seksual mereka, mereka perlu tahu bahawa ia tidak akan membawa kepada penyatuan yang bahagia dan berkekalan."

Beliau menegaskan bahawa Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) menyatakan bahawa umur minimum undang-undang untuk kanak-kanak lelaki Islam adalah 18 tahun, dan anak-anak gadis Islam 16 tahun.

"Mereka yang berusia lebih muda dibenarkan untuk berkahwin dengan kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah selepas kedua-dua belah ibu bapa membuat permohonan untuk melangsungkan upacara perkawinan anak mereka," katanya.

"Perkahwinan dan memulakan sebuah keluarga adalah satu tanggungjawab yang besar, sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan," kata Othman, sambil mengakui persoalan sama ada anak-anak muda hari ini mampu untuk mengendalikan perkahwinan pada usia muda timbul.

"Tetapi Mahkamah Syariah akan membuat penilaian yang teliti terhadap kesediaan mereka," katanya, sambil menambah Mahkamah Syariah juga akan melakukan pemeriksaan terhadap ibu bapa sebelum memberi kelulusan.

- mSTAR

Posted in

Penjagaan selepas pembedahan caesarean

SOALAN:

Selepas melahirkan anak melalui pembedahan caesarean, bilakah masa yang sesuai untuk melakukan hubungan kelamin? Adakah perlu menjaga makanan selepas berpantang berbanding bersalin secara normal?

JAWAPAN:

Berkenaan soalan tentang bilakah masa sesuai untuk mengadakan hubungan kelamin selepas bersalin secara pembedahan caesarean, sebaik-baiknya pastikan darah nifas telah kering dan mandi hadas telah dilakukan.

Bagi yang tidak mempunyai pengalaman bersalin secara caesarean, sebenarnya bersalin caesarean juga sama seperti bersalin normal iaitu akan ada darah nifas selepas bersalin. Hukum Islam menetapkan seseorang wanita hendaklah mandi hadas besar apabila darah nifas telah kering sebelum hubungan kelamin boleh dilakukan dengan suami.

Luka caesarean biasanya akan sembuh sebulan selepas bersalin. Jadi, sebaik-baiknya lakukan hubungan kelamin selepas 6-8 minggu selepas bersalin. Berkenaan adakah hubungan kelamin selepas bersalin secara pembedahan caesarean akan sama seperti sebelum mengandung, ia bergantung kepada faktor-faktor seperti perubahan hormon.

Biasanya ibu-ibu yang menyusukan bayi akan menghadapi sedikit masalah disebabkan pengeluaran cecair (pelincir) di faraj yang berkurangan kerana badan lebih fokus kepada pengeluaran hormon prolaktin untuk penyusuan bayi. Ibu juga mudah mengalami keletihan kerana menguruskan bayi kecil terutama yang asyik meragam pada waktu malam menyebabkan ada yang tidak cukup tidur.

Selain itu, pasti ada yang merasa was-was dan takut luka caesarean akan terbuka atau terasa sakit. Luka tersebut sepatutnya sembuh selepas sebulan. Tetapi jika anda memang terasa sakit sewaktu hubungan kelamin, pergilah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Anda boleh meminta doktor melakukan imbasan ultrabunyi (ultrasound scan) pada bahagian luka caesarean untuk memastikan tiada sebarang masalah dan komplikasi. Rasa sedikit ngilu pada tempat pembedahan caesarean adalah perkara biasa.

Pengambilan vitamin tambahan seperti kalsium (atau boleh juga gantikan dengan susu), multi vitamin dan vitamin C sangat digalakkan untuk diambil selepas bersalin secara pembedahan caesarean bagi mempercepatkan penyembuhan. Jangan terlalu berpantang dan perlu mengelak daripada mengambil makanan yang tidak berkhasiat.

- UTUSAN


Hidangan Nasi Kandar dalam Malindo Air


Jika anda telah menikmati sate dan nasi ayam dalam penerbangan, kini terdapat satu lagi hidangan tempatan yang dapat dinikmati.

Malindo Air menyediakan nasi kandar, dengan lauk ayam masak pedas dan kari kambing, kurma ayam dan acar di atas kapal penerbangannya - yang pertama bagi syarikat penerbangan - disediakan khas oleh rangkaian restoran popular 'Original Penang Kayu Nasi Kandar'.

Hidangan nasi kandar adalah percuma dalam Kelas Perniagaan dan dijual pada harga RM12 setiap satu untuk penumpang kelas ekonomi.

"Pelancong tidak benar-benar sukakan makanan syarikat penerbangan jadi kami mengambil keputusan menanganinya dengan sesuatu yang berbeza dan sejak kita memperkenalkan hidangan nasi kandar bulan lepas, ia menjadi makanan paling laris dalam semua penerbangan kita," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy.

Pengarah Urusan Original Penang Kayu Nasi Kandar Burhan Mohamed berkata ini adalah kali pertama bagi rangkaian restoran itu menjalinkan kerjasama seumpama ini dengan syarikat penerbangan komersial.

"Kami telah menyediakan nasi kandar untuk VVIP untuk jet peribadi,'' katanya semasa penerbangan ke Langkawi.

Burhan mengendalikan lapan restoran nasi kandar di negara ini - satu di Pulau Pinang dan tujuh di Lembah Klang.

Penumpang Malindo diberi diskaun 10 peratus untuk tempoh terhad apabila mereka makan di lapan restoran berkenaan tetapi mesti menunjukkan pas pelepasan penerbangan mereka dalam masa 24 jam perjalanan.

Malindo adalah syarikat penerbangan ketiga Malaysia yang merupakan syarikat penerbangan hibrid - di antara perkhidmatan penuh dan syarikat penerbangan kos rendah, kerana ia menyediakan makanan ringan semasa penerbangan, menawarkan 20kg bagasi percuma, dan hiburan dalam penerbangan.

Malindo mula beroperasi tujuh bulan lalu dan kini terbang dari Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Seterusnya, kami sedang mengkaji untuk memperkenalkan mee goreng mamak mee tetapi yang memerlukan lebih perancangan," kata Chandran.

Malaysia Airlines telah menawarkan sate turut memenangi anugerah, manakala AirAsia menghidangkan Nasi Ayam Hainan yang terkenal dalam penerbangannya.

- mSTAR

 

Susu bukan penyebab gemuk

Susu mengandungi karbohidrat, protein, lemak, vitamin A, kalsium dan zat besi selain dapat menguatkan lagi daya tahan penyakit.

Justeru, susu baik untuk kanak-kanak dan golongan dewasa jika mereka meminumnya.

Namun, terdapat sebahagian orang dewasa yang tidak mahu meminum susu kerana berpendapat minuman itu boleh menyebabkan kegemukan.

Menurut seorang pakar pemakanan dari Fakulti Kedoktoran Universiti Indonesia, Dr. Fiastuti Witjaksono, kerap meminum susu tidak akan membuatkan seseorang itu menjadi gemuk.

“Seseorang itu menjadi gemuk kerana dia mengambil terlalu banyak kalori tetapi bukannya disebabkan meminum susu,” katanya pada satu diskusi kesihatan yang diadakan di Jakarta pada Selasa lalu.

Menurutnya, susu mengandungi kalori sama seperti makanan lain.

Namun, kata Fiastuti, kalori yang terdapat dalam susu atau makanan lain tidak akan mengakibatkan kegemukan jika seseorang itu turut melakukan senaman untuk membakar lemak dalam tubuh badan.

“Misalnya, satu gelas susu mengandungi 122 kalori. Justeru, untuk membakar lemak, kita perlu melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan dengan kadar yang laju selama 25 minit.

Dia menggalakkan orang dewasa meminum susu sebanyak satu atau dua gelas sehari demi kebaikan kesihatan mereka.

- KOSMO!

Misteri cahaya berbentuk bulat di Amerika Syarikat


Sejak lebih satu abad lalu, satu cahaya misteri yang berbentuk bulat kelihatan di banjaran gunung Ozark di tengah Amerika Syarikat (AS).

Kawasan pergunungan itu terletak di selatan negeri Missouri dan timur laut negeri Oklahoma di AS.

Fenomena itu dikenali sebagai lampu hantu telah menyebabkan ramai penduduk tempatan bingung kerana mereka tidak tahu punca yang menyebabkan kemunculan cahaya tersebut pada waktu malam.

Cahaya tersebut kelihatan terapung-apung di kawasan hutan di kawasan pergunungan itu yang dikenali sebagai Devils's Promenade yang terlepas di sempadan barat daya Missouri dengan timur laut Oklahoma.

Kawasan itu terletak tidak jauh dari bandar Hornet, Missouri.

Cahaya lampu ganjil itu dikenali dengan pelbagai nama seperti Ozark Spook Light, Hollis Light, Hornet Spook Light, Hornet Ghost Light, Joplin Ghost Light, Devil's Jack-O'Lantern dan Tri-State Spook Light.

Menurut portal berita Examiner.com kelmarin, pada tahun 1948, Kor Jurutera Tentera AS telah menyiasat tentang cahaya misteri itu.

Bagaimanapun, pihak tentera itu gagal menemui punca yang menyebabkan cahaya tersebut muncul.

Pihak kerajaan AS memutuskan punca kemunculan cahaya itu masih tidak diketahui.

Baru-baru ini, kumpulan Pemburu Hantu Missouri berjaya merakamkan gambar cahaya misteri itu bagi membuktikan tentang kewujudannya.

Berdasarkan rakaman itu yang turut disiarkan di laman YouTube, terdapat dua cahaya ganjil di atas kawasan pergunungan tersebut.

Satu cahaya bulat itu kelihatan berkelip-kelip.

Terdapat satu lagi cahaya kecil yang berbentuk hampir bulat bersinar-sinar di langit.

Namun, bentuk cahaya itu tidak dapat dilihat dengan sepenuhnya kerana ia dihalang dengan ketinggian banjaran gunung tersebut.

Cahaya yang kecil itu kadangkala membesar dengan tiba-tiba.

Klip video yang menunjukkan cahaya itu dimuat naik sejak 29 September lalu.

Antara teori lain yang mengaitkan kewujudan cahaya itu adalah ia disebabkan pembiasan lampu kereta dan papan tanda iklan.

Namun, teori itu tidak boleh digunakan kerana cahaya lampu itu wujud sejak sebelum adanya papan tanda iklan.

Cahaya itu juga telah muncul sebelum kereta dicipta.

Ia telah wujud sejak tahun 1866 yang dapat dilihat dari sebatang jalan raya di kawasan luar bandar di kawasan berdekatan cahaya misteri itu muncul.

Terdapat cerita legenda yang menyatakan dua cahaya itu adalah roh dua Orang Asli Quapaw yang meninggal dunia di kawasan tersebut.

Ada juga cerita legenda yang menyatakan bahawa lampu itu merupakan roh seorang ketua Orang Asli Osage yang kepalanya dipenggal di kawasan tersebut.

Roh tersebut dikatakan mencari kepalanya yang hilang menyebabkan cahaya itu muncul.

Cahaya itu muncul pada pukul 10 malam waktu tempatan walaupun terdapat angin kuat dan hujan.

Cahaya misteri yang berbentuk seperti bulan juga dapat dilihat oleh sejumlah penduduk di Zimbabwe pada 29 September lalu.

Ia kelihatan bergerak di langit di antara pukul 7 dan 7.15 malam waktu tempatan.

Sejumlah penduduk di Karoi, Mashonaland Barat, Gunung Darwin di Mashonaland dan Mutoko dan Mashonaland Timur mendakwa mereka melihat cahaya tersebut.

Cahaya tersebut berjaya dirakamkan oleh penduduk dan disiarkan di YouTube.

Sebahagian penduduk juga menyaksikan cahaya ganjil itu di Botswana, Afrika Selatan dan Malawi di Afrika.

Ada beberapa penduduk mendakwa ia merupakan objek terbang tidak dikenali (UFO). Cahaya itu muncul selama dua minit.

Menurut portal berita New Zimbabwe.com pada 1 Oktober lalu, seorang pensyarah sains dan pemerhatian bumi di Universiti Zimbabwe, Prof. Amon Murwira berkata, cahaya itu mungkin berasal daripada serpihan satelit yang sedang mereput atau daripada sebuah peralatan untuk melonjakkan ketinggian roket ke angkasa lepas.

- KOSMO!




 

Kadar pinjaman mikro peniaga kecil naik

Kadar pinjaman mikro untuk peniaga dan penjaja kecil di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan ditingkatkan, berbanding RM3,000 ketika ini.

Berita baik itu pastinya melegakan kira-kira 1.5 juta peniaga dan penjaja kecil seluruh negara, termasuk 850,000 yang mendaftar dengan kementerian berkenaan.

Menterinya, Datuk Hasan Malek, berkata perkara itu dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini, dan beliau akan memberikan perincian mengenai kemudahan Skim Pinjaman Mikro Penjaja dan Peniaga Kecil yang kini disalurkan KPDNKK melalui Bank Rakyat.

Saya tahu RM3,000 ini terlalu kecil, jadi kita tunggu Bajet nanti. Apa yang boleh kita bantu, kita bantu cuma dari segi perinciannya saya akan terangkan selepas Bajet tetapi saya memang bersimpati dan bersetuju atas pandangan dan rintihan mereka (peniaga dan penjaja kecil) supaya kadar RM3,000 itu dinaikkan.

Begitu juga koperasi dan francais yang ada bantuan kita akan dapat turunkan kepada peniaga, apatah lagi Perdana Menteri sudah umum soal memperkasakan ekonomi Bumiputera yang saya lihat sebahagian daripada peruntukan ini, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Taklimat Isu-Isu Semasa dan Kempen Kesedaran Pengguna Bersama Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di Ipoh, perak.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia, Masyarakat Sivil dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali dan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perak, Datuk Omar Ahmad.

Kelompok peniaga dan penjaja kecil adalah mereka yang memperoleh hasil jualan tahunan di bawah RM200,000.

Omar dalam ucapannya menyuarakan sungutan ahli yang menganggap kadar pinjaman RM3,000 itu terlalu kecil hingga mahu membuka gerai burger sekalipun tidak mencukupi.

Hasan berkata, beliau maklum masalah itu dan berusaha meningkatkan kadar termasuk memohon peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta daripada Kementerian Kewangan melalui bajet kali ini bagi membolehkan pinjaman skim pinjaman mikro berkenaan diperbesarkan.

- BERITA HARIAN

Khamis, Oktober 03, 2013

JAWATAN KOSONG TERKINI - 2 OKT 2013

JAWATAN KOSONG TERKINI - 2 OKT 2013

Kepada calon yang akan menghadiri temuduga kerja, boleh mendapatkan Panduan Lulus Temuduga Kerja di : http://www.kerja-kerajaan.com/index.php?ref=my

Sila like dan share FB Jawatan Kosong Terkini : http://www.facebook.com/jawatankerjakosongterkini

Jawatan Kosong Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) - Tarikh Tutup : 21 Okt 2013
http://jobmalaysia2u.blogspot.com/2013/10/jawatan-kosong-pusat-perubatan.html

Jawatan Kosong Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) - Tarikh Tutup : 15 Okt 2013
http://jobmalaysia2u.blogspot.com/2013/10/jawatan-kosong-lembaga-lebuhraya.html

Jawatan Kosong Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) - Tarikh Tutup : 8 Okt 2013
http://jobmalaysia2u.blogspot.com/2013/10/jawatan-kosong-suruhanjaya-koperasi.html

Jawatan Kosong Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) - Tarikh Tutup : 14 Okt 2013
http://jobmalaysia2u.blogspot.com/2013/10/jawatan-kosong-majlis-agama-islam.html

Jawatan Kosong Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) - Tarikh Tutup : 8 Okt 2013
http://jobmalaysia2u.blogspot.com/2013/10/jawatan-kosong-cuepacs-kongres-kesatuan.html

Jawatan Kosong Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) - Tarikh Tutup : 9 Okt 2013
http://jobmalaysia2u.blogspot.com/2013/10/jawatan-kosong-universiti-sains-islam.html

Jawatan Kosong Jabatan Akauntan Negara (ANM) Pahang - Tarikh Tutup : 2 Okt 2013
http://jobmalaysia2u.blogspot.com/2013/09/jawatan-kosong-jabatan-akauntan-negara.html



PBSMR ganti PMR untuk capai matlamat PPPM 2013-2025

Format peperiksaan baru untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah bagi mencapai matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, peperiksaan baru dikenali Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) bagi menggantikan PMR itu masih belum dapat disahkan.
“Apabila ada pelan berkenaan, sudah pastinya akan berlaku perubahan format. Bagaimanapun, saya hanya akan membuat komen apabila semuanya sudah dimuktamadkan dan diterima umum.

“Saya tidak gemar komen sesuatu yang tidak pasti dan masih belum diwujudkan, malah saya tidak boleh sahkan perkara itu,” katanya selepas melancarkan program Karnival Perpaduan Bahasa Inggeris 2013 peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka.

Beliau mengulas laporan muka depan BH kelmarin mengenai peperiksaan PMR yang dimansuhkan tahun depan, dijangka diganti dengan PBSMR. Peperiksaan baru itu dijangka hanya membabitkan empat subjek teras.

- BERITA HARIAN



Selasa, Oktober 01, 2013

PPPM melahirkan murid kritis

Keperluan pembelajaran negara menjelang abad ke-21 menyasarkan agar murid di negara ini mempunyai minda yang kritis dan kreatif, tidak semata-mata lagi berlandaskan buku atau memenuhi kehendak peperiksaan awam untuk lulus cemerlang semata-mata.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Dr. Azian Tengku Syed Abdullah berkata, perubahan itu hanya mampu dicapai melalui pelaksanaan berkesan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Melalui peringkat itu, katanya, PPPM bermatlamat mahu melahirkan bukan sahaja murid-murid yang cemerlang tetapi yang mempunyai daya fikir yang tinggi.

"Untuk mencapai hasrat ini, kemahiran berfikir aras tinggi atau Higher Order Thinking Skills (HOTS) di kalangan murid dan guru akan dimantapkan lagi dengan memberi pendedahan yang komprehensif untuk golongan sasaran tersebut.

''Hal ini agar HOTS dapat diintegrasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara sistematik dan efektif, '' katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut beliau, sistem pendidikan negara perlu ditambah baik berdasarkan tanda aras sistem pendidikan negara lain mengikut standard antarabangsa antaranya termasuklah bidang matematik, sains dan bahasa Inggeris, serta kemahiran berfikir aras tinggi yang melibatkan aplikasi, penaakulan, dan penyelesaian masalah.

Jelas beliau, elemen itu bukan sahaja menekankan kepentingan pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga pembangunan kemahiran pemikiran kritis, kreatif dan inovatif, kemahiran memimpin, kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional yang kuat.

PPPM juga, ujarnya, mengkehendaki murid memiliki kemahiran berfikir dan mempunyai skil kepimpinan di samping mempunyai semangat ingin tahu, dan belajar cara untuk terus mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat, serta mampu menghubung kait pelbagai pengetahuan.

Selain itu, menurutnya, PPPM menggariskan hala tuju dasar jangka panjang bagi menampung perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan antarabangsa sekali gus menuntut murid di Malaysia bersaing dengan murid terbaik di peringkat antarabangsa.

"Oleh itu, demi melahirkan bakat yang kompetitif di peringkat global, kita tiada pilihan lain selain bersedia menyahut cabaran tersebut dan pada masa sama menyediakan sistem pendidikan yang mampu berdaya saing.

"Usaha ini boleh dicapai melalui inisiatif mengikut bidang keutamaan ke arah memastikan pulangan atas pelaburan yang optimum dalam bentuk keberhasilan murid,'' kata beliau.

Pada masa yang sama, kata Azian, penyediaan PPPM bukan rancangan yang dirangka dengan mudah dan disiapkan dalam tempoh yang singkat, sebaliknya disiapkan selepas mengambil kira analisis, temu bual, tinjauan dan kajian.

Beliau menambah, PPPM melibatkan cadangan panel pakar pendidikan negara dan antarabangsa terutama UNECSO, perbincangan berterusan di peringkat kementerian, guru, pemimpin sekolah dan ibu bapa.

"Laporan ini menegaskan semula matlamat Malaysia terhadap sistem pendidikan berfokuskan pendidikan murid secara holistik, dan menyediakan negara untuk masa depan.

''Perubahan yang dibuat dalam sistem pendidikan negara melalui PPPM ini berdasarkan kehendak dan perubahan ekonomi dunia yang dengan itu memerlukan murid kita mampu berfikir dengan lebih kritis, kreatif dan inovatif,'' katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, bagi memenuhi permintaan globalisasi yang sentiasa meningkat terutama aspek pendidikan, Malaysia juga perlu menganjak perubahan, sama seperti tindakan yang diambil oleh negara-negara lain yang maju bersaing di peringkat antarabangsa.

- UTUSAN


Tawaran menjadi Guru hanya kepada graduan terbaik

Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran kepada hanya graduan terbaik untuk ditempatkan sebagai guru di sekolah-sekolah merupakan antara usaha meningkatkan taraf pendidikan negara.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, syarat kemasukan ketat itu dapat membantu memperkasa mutu pendidikan negara selain melonjak imej profesion perguruan sebagai profesion yang hanya menerima calon terbaik.

Menurut beliau, jika sebelum ini lepasan institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dijamin lantikan mereka sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi, keadaan itu telah diubah bagi memastikan hanya graduan terbaik layak menjadi guru.

"Jaminan pelantikan ini akan digantikan secara berperingkat dan hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik serta berkelayakan ditawarkan jawatan guru," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perjumpaan khas bersama warga IPG Kampus Zon Sabah, di Kota Kinabalu, Sabah.

Yang hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Pengarah Pendidikan Negeri, Jame Alip.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kementerian mengambil perhatian serius mengenai isu pelantikan dan penempatan graduan pendidikan sama ada graduan lepasan IPTA mahupun IPG.

Menurut beliau, isu tersebut telah diperhalusi dengan mengambil kira keperluan guru terlatih yang diunjurkan pihak kementerian untuk jangka masa panjang.

Katanya, bagi memastikan pelantikan guru baharu dipilih dalam kalangan calon yang berkualiti, prosedur penempatan secara automatik selepas tamat pengajian tidak lagi dilaksanakan.

"Mulai tahun lalu, semua graduan pendidikan yang berjaya menamatkan pengajian di IPTA dan IPG perlu mengemukakan permohonan jawatan PPPS Gred DG 41 kepada pihak berkuasa melantik iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang mana mereka perlu menjalani penilaian serta temuduga," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak RM15.9 juta diperuntukkan oleh kerajaan baru-baru ini bagi meningkatkan infrastruktur sekolah dan rumah guru di Sabah.

- UTUSAN