Jumaat, Mac 29, 2013

Tarikh Akhir Pembubaran Parlimen 30 April 2013 - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memperjelaskan bahawa tarikh sebenar pembubaran Dewan Rakyat secara automatik ialah pada 30 April dan bukan 28 April seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berikutan tarikh 28 April itu jatuh pada hari Ahad.

Beliau berkata tempoh matang dibawa ke hari Isnin, 29 April dan Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik pada tengah malam hari itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

"Perubahan tarikh itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan SPR dan disahkan oleh bahagian undang-undang suruhanjaya ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

"Ini adalah pengiraan yang dibuat oleh bahagian undang-undang SPR di mana ada tarikh-tarikh cuti yang tidak boleh dikira," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak membuat andaian bahawa Dewan Rakyat sepatutnya terbubar sendiri pada 9 Mac lepas berikutan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun pilihan raya umum dikira berdasarkan tarikh hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum diadakan, bukan berdasarkan tarikh pilihan raya berlangsung.

Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama pada 28 April 2008, iaitu 51 hari selepas tarikh PRU ke-12.

- BERNAMA



Penjawat awam sementara dan kontrak terima faedah Perkeso mulai 1 Mei 2013

Seramai 63,000 anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak akan turut menikmati pelbagai faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 Mei ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan mengambil keputusan itu bagi memastikan kebajikan pekerja dan anggota keluarga mereka turut dijamin di bawah Skim Perlindungan Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat seperti pekerja di sektor swasta.

"Keputusan ini memberi faedah kepada semua pekerja sementara dan kontrak di dalam perkhidmatan awam, termasuk 15,000 pekerja yang sedang berkhidmat di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan taraf sementara dan kontrak sekian lama," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Dr. Subramaniam berkata, Perkeso akan mengambil tindakan serta-merta untuk mendaftar semua pekerja bertaraf sementara dan kontak yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan awam persekutuan/negeri, badan berkanun persekutuan/negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Jemaah Menteri membuat keputusan itu minggu lalu...Dengan ini semua pekerja terbabit secara automatik akan didaftarkan di bawah Perkeso. Perkeso akan menghubungi jabatan dan agensi berkenaan untuk menguruskan pendaftaran ini," katanya.

Dr. Subramaniam berkata, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM30 juta setiap tahun dengan perluasan skim itu.

Katanya, skim bencana pekerjaan akan melindungi pekerja ditimpa kemalangan semasa waktu kerja, kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja dan juga penyakit khidmat.

Skim ilat pula akan memberi perlindungan 24 jam akibat daripada keuzuran atau penyakit dan pencen penakat pula disebabkan oleh kematian kepada pekerja yang menikmati keilatan atau disebabkan oleh penyakit.

Faedah-faedah lain yang turut dinikmati ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat dan kemudahan pemulihan untuk pekerja kembali bekerja.

Semua faedah ini akan diterangkan oleh Perkeso dalam taklimat kepada pekerja terlibat di jabatan dan agensi berkenaan, katanya.

Dalam pada itu Dr. Subramaniam berkata, sebanyak 1,912 majikan, dikesan gagal mendaftar pekerja mereka di bawah Perkeso, tahun lalu.

"Mereka dikenal pasti di bawah Ops Kesan yang dilakukan terhadap 20,003 majikan tahun lalu, dan majoriti daripada mereka ialah majikan sederhana dan kecil.

"Daripadanya sebanyak 1,802 kes didakwa di mahkamah (sivil) kerana gagal mencarum, gagal mendaftar, lewat daftar atau kesalahan-kesalahan berkaitan," jelasnya.

Menurutya bagi kesalahan itu majikan boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

- BERNAMA



Khamis, Mac 28, 2013

28 Mac 2013 DUN Negeri Sembilan terbubar automatik



Sistem pentadbiran dan pilihan raya negara ini menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri hari ini.

Mandat semasa kerajaan Negeri Sembilan berakhir tengah malam tadi, membolehkan pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ini kali pertama Dun sebuah kerajaan negeri terbubar dengan sendiri - berbeza dengan apa yang disaksikan sepanjang 12 pilihan raya umum yang lalu.

Dun terbubar dengan sendiri di sebalik spekulasi berterusan Parlimen akan dibubarkan.

Ketika ditemui wartawan di Seremban semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Adun negeri itu perlu terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing walaupun tidak lagi bergelar 'Yang Berhormat' selepas pembubaran Dun secara automatik.

Kata beliau, biarpun mandat rakyat selepas dipilih pada Pilihan Raya Umum 2008 tamat, mereka masih boleh menabur bakti sebagai anggota atau pemimpin dalam parti politik masing-masing.

Beliau yang juga Adun Rantau berkata, semua Adun terutama daripada Barisan Nasional (BN) perlu memainkan peranan itu bagi memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan dan meningkatkan sokongan mereka terhadap BN.

Parlimen penggal ke-12 akan terbubar secara automatik pada 30 April ini dan Dun Negeri Sembilan pula merupakan Dewan pertama yang terbubar sendiri iaitu tengah malam tadi.

Mohamad berkata, beliau telah menghadap Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini bagi memaklumkan Dun akan terbubar secara sendiri dan memberi taklimat kepada baginda mengenai fungsi kerajaan sementara untuk menguruskan negeri.

Katanya, kerajaan sementara itu tidak akan membuat keputusan besar dan hanya meneruskan apa yang telah dilaksanakan sebelum ini selain mengurus soal kebajikan rakyat dan penjawat awam.

Lazimnya, hampir kesemua Dun dan Parlimen telah dibubarkan serentak sepanjang 12 pilihan raya umum lalu.

Malah ini juga kali pertama Dun negeri yang diperintah oleh BN terbubar dengan sendiri sementara mandat penggal ke-12 Parlimen berterusan.

Kesemua negeri kecuali Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh perikatan bernama Pakatan Rakyat.

Pada 8 Mac 2008 lalu, BN memenangi 21 kerusi manakala Pas (satu), DAP (10) dan PKR (empat). Pada Oktober 2009, BN menerusi calonnya Tan Sri Isa Samad mengekalkan kerusi Dun Bagan Pinang.

- SINAR HARIAN
 

Kampung Tanduo ditutup, penduduk dipindah ke lokasi baru

LAHAD DATU - Pasukan keselamatan memutuskan bahawa Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh militan Sulu akan ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan petempatan penduduk.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata semua penduduk kampung itu yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan  dipindahkan ke satu lokasi baharu yang akan diputuskan kemudian.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pihak keselamatan mendapati kawasan yang menjadi kubu pengganas sejak pencerobohan 12 Feb lepas itu terjejas teruk susulan gerakan ofensif yang dilancarkan 5 Mac lepas.

"Setakat ini, itu yang kita putuskan, kita akan bincang perkara ini lagi tetapi perbincangan di peringkat pasukan keselamatan mendapati lebih sesuai penduduk kampung itu yang jumlahnya tidak begitu ramai ditempatkan di satu tempat yang akan dikenal pasti kemudian," katanya pada sidang akhbar  di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Beliau berkata penempatan semula penghuni 12 rumah di kampung itu akan dibuat di kawasan berdekatan Kampung Tanduo dan lokasinya akan dikenal pasti dengan kerjasama pengurusan Felda Sahabat.

Hamza turut memaklumkan kawasan Kampung Tanjung Batu kini bebas daripada ancaman pengganas dan pihaknya akan bermesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Daerah Lahad Datu dan ketua masyarakat kampung berkenaan bagi membincangkan proses membenarkan  penduduk untuk kembali ke rumah masing-masing.

Proses penggeledahan dan pembersihan kini diteruskan ke Tanjung Labian dan Tanagian sebelum memasuki kawasan Sungai Bilis dan beliau yakin  proses itu mampu diselesaikan segera sebelum memutuskan untuk membenarkan penduduk kembali ke rumah atau sebaliknya, katanya.

Terdahulu, Hamza berkata pasukan keselamatan merampas sepucuk pistol, enam butir peluru dan sebilah parang yang ditinggalkan militan selepas  berlaku pertempuran di kawasan Sungai Bilis, Gugusan Labian pagi ini.

Beliau berkata kejadian pada 7.30 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi pembersihan di kawasan itu sebelum terserempak dengan tiga pengganas yang bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.

Pengganas kemudian melarikan diri apabila diserang balas dan tiada kecederaan dilaporkan di kedua-dua pihak, katanya.

- BERNAMA

Pendapatan Isi Rumah Bulanan Rakyat Malaysia Meningkat 7.2 Peratus Setahun

Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 tahun lepas, menyaksikan peningkatan sebanyak 7.2 peratus setahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata peningkatan pendapatan isi rumah bandar meningkat pada kadar 6.6 peratus setahun daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 tahun lepas manakala bagi kawasan luar bandar, bertambah pada kadar 6.4 peratus iaitu daripada RM2,545 kepada RM3,080.

"Peningkatan ketara ini dicapai hasil usaha kerajaan Persekutuan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan stabil secara berterusan. Impaknya adalah ketara melalui peningkatan peluang ekonomi secara meluas yang berupaya bukan saja menjana peluang pekerjaan bahkan pembangunan perniagaan dan perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi," katanya ketika mengumumkan statistik itu, Rabu.

Beliau berkata semua negeri mencatat peningkatan pendapatan isi rumah purata dengan Kuala Lumpur pertumbuhan tertinggi sebanyak 14.9 peratus (daripada RM5,488 kepada RM8,586) diikuti Labuan 12 peratus (RM4,407 kepada RM6,317), Perlis 10.1 peratus (RM2,617 kepada RM3,538), Terengganu 9.1 peratus (RM3,017 kepada RM3,967) serta Negeri Sembilan (RM3,540 kepada RM4,540) dan Sabah (RM3,102 kepada RM4,013) yang masing-masing mencatat 8.6 peratus.

Dari segi etnik, kaum India mencatat peningkatan tertinggi iaitu 9 peratus (daripada RM3,999 kepada RM5,233) diikuti Cina 8 peratus (RM5,011 kepada RM6,366) dan bumiputera 6.9 peratus (RM3,624 kepada RM4,457).

Nor Mohamed berkata PPIR 2012 juga menunjukkan pengagihan pendapatan di kalangan isi rumah keseluruhan bertambah baik dengan pengurangan Pekali Gini daripada 0.441 bagi 2009 kepada 0.431 pada tahun lepas, yang menyaksikan pengurangan di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing daripada 0.423 kepada 0.417 dan 0.407 kepada 0.382.

Beliau berkata insiden kemiskinan keseluruhan juga berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus tahun lepas dengan jumlah isi rumah miskin berkurangan sebanyak 52.7 peratus, iaitu daripada 228,400 kepada 108,000 dalam tempoh sama.

"Dengan pencapaian ini, sasaran Rancangan Malaysia ke-10 untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada 2 peratus pada 2015 telahpun tercapai tiga tahun lebih awal. Ini adalah hasil pertumbuhan pesat ekonomi negara serta keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan," katanya.

Nor Mohamed berkata pengurangan insiden kemiskinan adalah menyeluruh yang menyaksikan di kawasan bandar merosot daripada 1.7 peratus kepada 1 peratus manakala di luar bandar berkurangan daripada 8.4 peratus kepada 3.4 peratus.

Beliau berkata kadar kemiskinan bumiputera turun daripada 5.3 peratus kepada 2.2 peratus, Cina daripada 0.6 peratus kepada 0.3 peratus dan India daripada 2.5 peratus kepada 1.8 peratus.

"Sabah mencatat pengurangan yang ketara daripada 19.7 peratus kepada 8.1 peratus diikuti Perlis daripada 6 peratus kepada 1.9 peratus dan Terengganu daripada 4 peratus kepada 1.7 peratus. Putrajaya telah mencapai status kemiskinan sifar pada 2012," katanya.

- BERNAMA

PRU13 : Lim Kit Siang ramal Pakatan menang 7 negeri



Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang meramalkan Perlis dan Negeri Sembilan adalah dalam jangkauan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13, sekaligus meningkatkan bilangan kerajaan negeri Pakatan daripada lima pada 2008 kepada tujuh pada 2013.

Dalam temubual eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, ahli parlimen Ipoh Timor itu menyatakan keyakinan bahawa gabungan itu boleh mengekalkan kuasanya di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, dan menawan semula Perak.

Dengan kemampuan untuk menawan Perlis dan Negeri Sembilan, maka beliau mendakwa harapan Pakatan untuk menawan Putrajaya adalah cerah.

Bagaimanapun, Lim (kiri) mengakui bahawa kerajaan PAS Kedah dalam keadaan yang goyah.

Walaupun begitu, Lim berkata, 'tsunami politik' pada pilihan raya umum 2008 masih belum mencapai kemuncaknya.

"Pada pilihan raya umum lepas, angin anti-establishment bermula dari utara dan berhenti di Negri Sembilan. Ia bukan tsunami penuh. Ia belum mencapai kemuncaknya.

"Tsunami akan hanya reda apabila ia mencapai puncaknya. Saya percaya akan ada tsunami politik yang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang yang akan melanda seluruh negara," Sin Chew Daily memetik Lim sebagai berkata.

- MALAYSIAKINI
 

Pantau Kenderaan Dari SMS

<a href="https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEigKOpEfj95MeuY58gCyYy8AClXJ_S0EYeIKi9qo0skGqaTdrT_u3CateMVEh97E6DEMdyoUEdmINrDrYy-MeF2ICy7D7rkywFOZ1zMspG2797a99RvG6OcWki7wBuABPru3Gj2NgFkCSRP/s1600/pantau+kenderaan+dari+sms.jpg" imageanchor="1" ><img border="0" src="https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEigKOpEfj95MeuY58gCyYy8AClXJ_S0EYeIKi9qo0skGqaTdrT_u3CateMVEh97E6DEMdyoUEdmINrDrYy-MeF2ICy7D7rkywFOZ1zMspG2797a99RvG6OcWki7wBuABPru3Gj2NgFkCSRP/s320/pantau+kenderaan+dari+sms.jpg" /></a>

Kes kecurian kenderaan berlaku di mana-mana sahaja. Bagaimanapun, sesetengah kecurian berlaku disebabkan kecuaian pemilik itu sendiri seperti terlupa mengunci kereta dan meletakkan kereta di tempat gelap dan sunyi.

Malahan, berdasarkan perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 45,707 kes kecurian kenderaan berlaku di seluruh negara dari awal Januari hingga Ogos tahun lalu.

Kecurian yang paling besar membabitkan motosikal iaitu 32,451 diikuti kereta (10,425) dan gabungan van, lori serta jentera berat (2,560).

Menyedari senario itu, Jabatan Pembangunan Reka Cipta Inovasi dan Kecemerlangan, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang tampil dengan inovasi aplikasi Sistem Kereta AutoStart Java-Android.

Menerusi aplikasi itu, pengguna boleh memantau keselamatan kenderaan mereka daripada telefon pintar atau tablet. Ia boleh dipantau walau mereka berada di mana-mana sahaja.

Menurut ketuanya, Sarizan Saaidon, 34, ia mula dibangunkan pada September tahun lalu dan mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiapkan sistem berkenaan.

Apa yang menarik mengenai sistem itu, sekiranya penjenayah telah melarikan kenderaan, sistem itu akan bertindak segera memaklumkan kepada pemilik kenderaan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dalam tempoh empat saat sahaja.

“Pemilik kenderaan akan menerima mesej yang berbunyi alarm triggered. Kemudian pemilik kenderaan itu boleh menghantar kod keselamatan khas iaitu *B1# melalui SMS.

“Justeru, enjin akan dimatikan serta-merta. Kereta akan bergerak terenjut-enjut sebelum berhenti sepenuhnya,” kata Sarizan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau memberitahu, ia berlaku disebabkan sistem telah memutuskan bekalan petrol ke enjin.

Lantaran itu, enjin tidak boleh dihidupkan kembali sehingga pengguna menghantar SMS kod pelepasan keselamatan dengan menaip *B0# bagi menetapkan semula enjin seperti biasa.

“Lokasi kenderaan juga boleh diperoleh dengan menggabungkan aplikasi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS),” ujar Sarizan sambil memberitahu, pihaknya akan memasang sistem kod itu ke dalam telefon pengguna.

Dalam pada itu, sistem tersebut dibangunkan menggunakan perisian PIC Microcontroller oleh Microchip Technology.

Malah, sistem itu telah diuji menerusi tiga model kereta tempatan iaitu Proton Perdana V6, Waja dan Satria, manakala Renault Kangoo bagi kenderaan luar.

Pelbagai fungsi

Ia bukan sahaja sekadar menjaga keselamatan kenderaan, tetapi lebih daripada itu.

Sistem Kereta AutoStart Java-Android itu juga mampu menjaga enjin kereta, pendingin hawa, menjaga suhu, kelembapan kenderaan dan memantau keselamatan kenderaan.

Bagi pengawalan enjin kereta, jelas Sarizan, ia sebenarnya bermanfaat kepada pengguna yang sering bertugas di luar daerah dan meninggalkan kenderaan mereka dalam tempoh yang lama.

Pada kebiasaan, kereta yang lama yang ditinggalkan akan mengalami kesukaran untuk menghidupkan enjin.

Namun demikian, jika pengguna mempunyai Sistem Kereta AutoStart Java-Android, mereka perlu menghantar kod yang telah ditetapkan iaitu *21# menerusi SMS.

Justeru, secara automatik enjin kereta akan dihidupkan selama empat minit. Bagi mematikan semula enjin kereta itu tadi, pengguna hanya perlu menaip kod *20#.

Begitu juga dengan menghidupkan pendingin hawa. Jika dibandingkan secara manual, pengguna perlu menghidupkan enjin terlebih dulu untuk menyejukkan kenderaan.

“Ia mengambil masa yang terlalu lama, namun dengan sistem AutoStart Java-Android, ia membolehkan pengguna hanya perlu menghantar kod SMS (yang telah ditetapkan) untuk menyejukkan kenderaan.

“Jika suhu di dalam kereta melebihi 40 darjah Celcius, kesemua tingkap kecuali tingkap pemandu akan diturunkan sehingga empat sentimeter dan kipas akan dihidupkan untuk mengeluarkan udara panas.

“Sebaik suhu berada di bawah 40 darjah Celcius, tingkap tersebut akan ditutup secara automatik, enjin dan pendingin hawa akan dihidupkan,” jelasnya lagi.

Apabila selesai, pengguna akan menerima satu SMS yang memaklumkan kereta tersebut telah sejuk.

Oleh itu, sebaik pengguna menghidupkan kenderaan, kesemua inovasi itu akan dimatikan dengan serta-merta selepas kunci dimasukkan bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku.

Sarizan mengakui penciptaan sistem keselamatan kenderaan itu memberi pelbagai manfaat selain meyakinkan pengguna sewaktu meninggalkan kenderaan mereka.

Apatah lagi, dengan hanya menghantar SMS untuk mengetahui status kereta, anda akan berasa lebih selesa untuk menjalankan tugas harian.

“Malahan, sistem ini bukan sahaja untuk kegunaan kereta, tetapi boleh digunakan untuk keselamatan rumah, pemantauan sistem saliran untuk mengawal limpahan air banjir termasuk sistem pemantauan pengudaraan di dalam sub-stesen penjana elektrik.

Walau bagaimanapun, sistem itu digunakan menerusi SMS dan Sistem Komunikasi Global (GMS).

Operasi

Sistem itu beroperasi mengikut kepada kehendak pengguna itu sendiri sama ada untuk tempoh 24 jam sehari atau sebaliknya.

Lagipun, alat keselamatan itu sesuai dihidupkan jika pengguna tersebut meletakkan kenderaan mereka di kawasan yang sunyi, meninggalkan kenderaan dalam tempoh yang lama.

“Terdapat satu suis khas di sekitar sistem itu bagi membolehkan pengguna mematikan dan menghidupkan sistem berkenaan,” katanya sambil menyifatkan penggunaan sistem itu sangat ringkas.

Menurutnya lagi, sistem tersebut akan diletakkan di bawah tempat duduk penumpang atau di bawah papan pemuka (dashboard).

“Ia bagi mengelakkan penjenayah mengetahui kenderaan tersebut dipasang sistem keselamatan kenderaan,” tuturnya lagi.

Menyentuh mengenai perancangan ILP, beliau berkata, jika mendapat sumber kewangan atau geran penyelidikan, pihaknya merancang untuk membangunkan pelbagai sistem yang menarik.

Antaranya, pengesan alkohol yang tidak membenarkan pengguna memandu sekiranya melebihi paras yang dibenarkan, memberi maklum balas jika suhu enjin panas dan memberi maklum balas jika lampu terbakar.

Selain itu, pihaknya juga bercadang membangunkan sistem untuk mengesan kenderaan yang telah dicuri oleh trak tunda dan menghidupkan sistem pendingin hawa tanpa menghidupkan enjin kereta bagi mengurangkan pembaziran bahan bakar.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada sistem AutoStart Java-Android telah dikomersialkan, beliau berkata: “Kami sedang menunggu kelulusan untuk mendapatkan dana prakomersial daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” jelasnya.

Sehubungan itu, pihak ILP Kepala Batas mengalu-alukan mana-mana pihak atau syarikat berkaitan permotoran yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam mengembangkan teknologi tersebut.

- KOSMO!


Hari Tidur Sedunia dan Masalah Tidur

Residen Permasalahan Tidur Malaysia (SDSM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, mereka yang ada masalah tidur mempunyai tujuh kali ganda risiko mendapat kecederaan akibat kemalangan.

Ini amat penting bagi mengatasi masalah berkaitan tidur bagi menjadikan jalan raya lebih selamat.

“Walaupun masalah berkaitan tidur boleh dirawat tetapi hanya satu pertiga saja pesakit mendapatkan rawatan profesional," katanya semasa majlis pelancaran Hari Tidur Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hari Tidur Sedunia disambut setiap Jumaat, minggu ketiga dalam bulan Mac, bertujuan memberi penerangan khusus kepada mereka yang mempunyai masalah tidur tentang cara mengatasi dan panduan penjagaan tidur yang baik.

SDSM memfokuskan kesedaran kepada permasalahan tidur bagi mendapatkan kehidupan lebih berkualiti kerana tidak ramai menyedari mengenainya

Menurut Dr. Muhammad Muhsin, pesakit dengan masalah tidur dan gagal mendapatkan rawatan akan memberikan kesan besar kepada ekonomi.

“Di Amerika Syarikat (AS), masalah insomnia melibatkan kos USD90 (RM280)hingga USD 100 (RM300) bilion setahun," katanya.

Kajian menunjukkan 46 peratus pekerja dengan masalah tidur melakukan pelbagai kesilapan berbanding 15 peratus pekerja sihat.

Dr. Muhammad Muhsin berkata, bagi mengenalpasti masalah tidur, makmal tidur yang sedia ada perlu ditambah bilangannya memandangkan 40 peratus penduduk mempunyai masalah tidur.

“Kajian juga menunjukkan kanak-kanak dan remaja mempunyai masalah tidur dan 15 peratus pelajar sekolah rendah mempunyai masalah pernafasan ketika tidur," katanya.

Beliau menambah, kesedaran lebih tinggi perlu diwujudkan terhadap bahaya masalah tidur di kalangan rakyat Malaysia kerana ia bukan saja menggugat produktiviti seseorang tetapi turut mengakibatkan obesiti, diabetes, serangan jantung dan pelbagai penyakit berbahaya lain.

“Kami berharap agar program yang dilaksanakan tahun ini akan mencapai kejayaan berterusan untuk mencetuskan minat dan menarik perhatian dunia perubatan dan orang ramai terhadap masalah tidur," katanya.

Jika kita mempunyai pakar pemakanan, kata Dr. Muhammad Muhsin, kita juga perlu mempunyai pakar mengenai tidur kerana ia adalah keperluan asas setiap manusia.

Antara masalah tidur biasa adalah insomnia, parasomnia (berjalan semasa tidur, mengigau, sindrom makan tengah malam), kecelaruan tidur REM, narcolepsy, sleep deprivation dan obstructive sleep apnea.

- UTUSAN


Kapal tentera Amerika dipotong di Laut Sulu


Badan depan sebuah kapal pembersih periuk api milik tentera Amerika Syarikat (AS), USS Guardian dipotong selepas ia terperangkap di Terumbu Tubbataha di Laut Sulu, lapor akhbar Philippine Daily Inquirer semalam.

Jurucakap Pasukan Pengawal Pantai Filipina, Leftenan Komander Armand Balilo berkata, sebuah pasukan berjaya melakukan operasi tersebut.

Badan kapal yang dipotong itu diletakkan di dalam sebuah tongkang kelmarin.

Menurutnya, pasukan penyelamat akan melakukan operasi memotong baki bahagian badan kapal itu.

Operasi memotong bahagian kapal sepanjang 68 meter itu bermula sejak 22 Februari lalu.

Bagaimanapun, operasi memotong itu terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk.

Operasi memotong kapal itu dilakukan dengan menggunakan sebuah kren di atas sebuah kapal lain.

Kapal itu terkandas pada 17 Januari lalu selepas ia tersilap memasuki kawasan terumbu karang.

- Agensi


 

Modul latih graduan dilancar

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam melancarkan lapan 'Modul Kejurulatihan Kurikulum Berkredit' (KKB) bagi meningkatkan mutu pembelajaran, pengajaran, kemahiran tenaga pengajar dan kebolehpasaran graduan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata pelancaran lapan modul itu adalah antara usaha berterusan KPT untuk memastikan IPTA melahirkan pelajar yang mampu menguasai ilmu generik iaitu kemahiran insaniah atau ‘soft skill’.

Lapan modul itu dirangka menerusi Majlis Kukurikulum Unversiti-Universiti Malaysia (UniCC) yang diketuai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohammad Shatar Sabran.

Rujhan berkata, modul itu merangkumi teras kesukarelawan, khidmat masyarakat, daya usaha dan inovasi, pengucapan awam, kepemimpinan, sukan, keusahawanan serta kebudayaan.

Garis panduan

“Kita harap modul ini akan dijadikan garis panduan dan petunjuk seragam kepada fasilitator atau pensyarah di IPTA untuk melaksanakan program kurikulum berkredit bagi melahirkan pelajar memiliki kemahiran insaniah yang tinggi.

“Saya juga yakin penekanan terhadap KKB tidak akan membuatkan pensyarah atau fasilitator di IPTA terpesong jauh daripada sasaran asal ditetapkan pihak berkepentingan terbabit,” katanya berucap pada majlis pelancaran dan penyerahan buku KKB kepada wakil IPTA.

Dalam pada itu, Rujhan berkata KPT percaya penggunaan modul itu mampu meningkatkan keyakinan dalam kalangan majikan di Malaysia untuk mengambil lepasan IPTA sebagai kakitangan atau pekerja mereka pada masa depan.

- BERITA HARIAN


Penduduk Malaysia belanja RM1,074 beli dalam talian secara online

Kajian yang dilakukan oleh laman sesawang e-dagang Jepun, Rakuten, mendapati perbelanjaan purata rakyat Malaysia yang membeli belah secara dalam talian sepanjang tahun lalu berjumlah RM1,074.

Nilai itu adalah lebih tinggi berbanding perbelanjaan purata di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia iaitu sekitar AS$239 (RM746).

Namun, menurut Rakuten, perbelanjaan purata itu lebih kurang berbanding United Kingdom (UK) yang mencatatkan perbelanjaan purata sebanyak AS$1,700 (RM5,308).

Perbelanjaan purata global bagi 2012 adalah sebanyak AS$725 (RM2,263)

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Online Shopping, Masaya Ueno berkata, hasil kajian itu menunjukkan rakyat Malaysia tidak ketinggalan di dalam industri perniagaan menerusi talian seperti negara-negara lain.

"Kadar itu meningkat berbanding dua tahun lalu. Hal itu disumbangkan oleh rangkaian Internet yang baik serta bilangan pengguna laman-laman sosial seperti Facebook dan pelbagai jenama lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, kajian itu juga mendapati rakyat negara ini masih selesa menggunakan komputer peribadi jika mahu membeli belah secara talian, daripada menggunakan telefon pintar atau tablet.

Sumber : UTUSAN



Zikir bantu tenangkan perasaan

Perasaan risau, kusut hati, sedih dan resah boleh menimpa sesiapa saja. Walaupun selalunya perasaan negatif ini timbul selepas berlaku perkara tidak diingini dalam kehidupan tetapi ada masanya ia datang secara tiba-tiba.

Tanda-tanda seseorang itu sedang mengalami kerisauan dan kesedihan ialah rasa letih atau tidak bermaya, pening kepala, jantung sentiasa berdebar-debar, tidak nyenyak tidur, sudah tidur, resah gelisah dan cepat naik darah.

Kurang daya tumpuan, tidak lalu makan atau makan secara berlebihan, tidak boleh membuat keputusan, selalu dalam keadaan muram, suka mendiamkan diri serta menjadi anti sosial.

Banyak zikir tenang hati

Perasaan risau, kusut hati, sedih dan resah ini sungguh bahaya kerana ia akan membuatkan kita membenci diri serta kehidupan. Justeru, mereka yang dilanda perasaan ini boleh menenangkan hati dengan banyakkan berzikir.

Berzikirlah dengan nama Allah SWT, ‘Ya Allah’ seberapa banyak yang mungkin di mana saja kita berada. Jika dibaca dengan penuh iman dan khusyuk, nescaya Allah SWT akan menghilangkan segala perasaan negatif yang ada serta melapangkan dada kita.

Begitu juga asmaul husna yang lain seperti Ar-Rahman bererti mempunyai rahmat yang luas dan melimpah. Barang siapa berzikir ‘Ya Rahman’, Allah SWT akan menghilangkan perasaan kusut di hatinya dan memudahkan urusan dunia.

Al-Quddus bererti Allah SWT itu suci dan bersih daripada segala kesilapan, kecacatan, kegagalan , dan kekurangan. Barang Siapa membaca ‘Ya Quddus’ sekurang-kurangnya 100 kali setiap hari akan menghilangkan kepadanya perasaan risau dan kusut fikiran.

Hilangkan rasa sedih

Al-Ghaffur bererti yang Maha Pengampun dan Pemaaf. Berzikir ‘Al-Ghaffur’ sebanyak mana yang boleh dengan penuh iman, nescaya Allah SWT akan menghilangkan perasaan kusut, resah dan sedih di hati hamba-Nya.

Barang siapa berzikir ‘Ya Baaqiy’ sebanyak 1000 kali semasa dalam kesedihan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, Insya Allah, Yang Maha Pencipta akan membantunya semasa kesusahan dan menghilangkan perasaan sedih serta duka di hatinya.

As-Sabuur ertinya yang Maha Sabar. Berzikir ‘Ya Sabuur’ sebanyak mana yang boleh, di mana saja kita berada, perasaan sedih atau risau akan hilang secepat mungkin dengan izin Allah.

- BERITA HARIAN


Recent Posts