Selasa, Mac 26, 2013

Berita Gembira Untuk Kakitangan Agensi Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan (BBDS)

Perdana Menteri pada Isnin mengumumkan empat berita gembira kepada 40,000 pegawai dan kakitangan tujuh Agensi Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan (BBDS) pada Perhimpunan Perdana yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan dana pencen kepada kakitangan BBDS, memberi imbuhan tetap perumahan, pemberian saguhati kepada mereka yang telah tamat perkhidmatan dan mencadangkan agar caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diselaraskan.

Tujuh badan berkanun terbabit ialah Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bank Simpanan Nasiona (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Najib berkata, pendapatan negara berkembang dengan baik, justeru itu hasilnya harus dikongsi dengan pekerja dan rakyat.

"Inilah ramuan dan formula di mana kita dapat memakmurkan ekonomi, pekerja dan rakyat.

"Dengan ini kerajaan bersetuju menubuhkan dana pencen bagi tujuh kakitangan BBDS di mana potongan KWSP setiap bulan dibahagi kepada dua, iaitu sebahagian dicarum ke dalam KWSP manakala sebahagian lagi dicarum ke dana pencen," katanya.

Menurut Najib, sekiranya pekerja dijaga dengan baik, mereka turut akan memberi respons yang baik sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

"Memakmurkan ekonomi dahulu dan mensejahterakan rakyat adalah ramuan yang dipegang sejak mengambil alih tampuk kerajaan," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan BBDS, Tuan Azman Tuan Yaacob berkata, berita gembira tersebut semenangnya ditunggu-tunggu oleh mereka selama ini.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah meluluskan empat tuntutan tersebut. Ternyata kerajaan hari ini adalah kerajaan yang menepati janji," katanya.

Beliau berkata, keempat-empat tuntutan itu telah diperjuangkan sejak 2009.

Azman turut memberitahu satu jawatankuasa pemandu telah dibentuk untuk membincangkan keempat-empat pengumuman tersebut.

"Mesyuarat antara pegawai-pegawai tujuh agensi terbabit akan dibuat setiap minggu. Saya percaya perkara ini dapat dilaksanakan pada tahun ini juga," katanya.

- BERNAMA




Dr Muhammad Uthman El-Muhammady Meninggal Dunia


Tokoh cendekiawan Islam, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, kembali ke rahmatullah jam 7 malam tadi.

Beliau meninggal dunia di kediamannya di kuarters Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) di Kuala Lumpur.

Allahyarham yang juga Felo Amat Utama ISTAC dan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2005 (1426 Hijrah), meninggalkan seorang balu, Mariam Hussin, 65, serta 12 anak berumur 45 hingga 30 tahun.

Anak Allahyarham, Asma berkata ayahnya meninggal dunia secara mengejut ketika melakukan kerja ilmiah di bilik tidur.

Rebah atas katil

Allahyarham ketika itu duduk di atas katil menguruskan kitab yang diambil, sebelum rebah. Pasukan paramedik kemudian mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, selepas solat Zuhur esok (hari ini) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UIAM, katanya.

Beliau berkata, Allahyarham pernah mengalami masalah jantung tahun lalu, selain penyakit darah tinggi.

Allahyarham yang dilahirkan pada Februari 1943, berasal dari Kampung Teluk Panji, Kota Bharu, Kelantan, terkenal dengan sumbangannya menghasilkan banyak penulisan berkaitan ketamadunan Islam.

Allahyarham juga membentangkan kertas kerja dalam seminar pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa mengenai Islam dari segi akidah, kerohanian, akhlak, budaya dan falsafah, di samping menterjemah buku dari bahasa Arab dan Inggeris.

Antara bahan ilmiah dihasil dan diterjemah Allahyarham ialah Al-Quranul-Karim; Fathul Mu'in; Peradaban dalam Islam; Memahami Islam; Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi serta Islam dan Kebudayaan.

- BERITA HARIAN

 


Seorang Lagi Pengganas Sulu Serah Diri Di Tanjung Batu

LAHAD DATU: Seorang pengganas Sulu ditahan selepas menyerah diri ketika terserempak dengan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi penggeledahan di Tanjung Batu, di Lahad Datu, Sabah, lewat hari Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, sepasukan unit Gerak GempurKhas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melakukan operasi di satu kawasan paya sebelum terserempak dengan pengganas itu.

Dia kemudian melarikan diri sebelum dikejar dan akhirnya menyerah diri.

Lelaki dipercayai tanpa senjata itu menyerah diri dengan mengangkat tangandan meminta pasukan keselamatan tidak melepaskan tembakan terhadapnya. Difahamkan dua kereta perisai berantai dikerahkan untuk operasipemantauan berterusan bagi mengesan pengganas lain.

Kereta perisai itu dipercayai dikerahkan kerana bimbang penyerahan diri yangdilakukan itu sebagai taktik kotor untuk pengganas lain melepaskan tembakanterhadap pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, sebaik mendapati tiada yang mencurigakan dan tidak membahayakan, pasukan keselamatan menahan pengganas berkenaan.

Pengganas itu kemudian diserahkan kepada pasukan VAT69 dan dibawa ke lokaptahanan sementara untuk disoal siasat.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Dato' Seri Zulkifli Zainal Abidin ketikadihubungi mengesahkan kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula berkata pasukannya(VAT69) telah menerima pengganas tersebut dari GGK ATM dan sidang media bersama ATM akan diadakan esok.

Sehingga kini, jumlah tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) meningkat kepada 111 orang, pengganas ditembak mati 67 dan mayat dibawa keluar 42.

- BERNAMA


HTC One - Perspektif baru telefon pintar



Menawarkan aplikasi terbaru iaitu HTC BlinkFeed, HTC Zoe dan HTC BoomSound kini telefon pintar HTC One bakal menambat hati para peminatnya.

Aplikasi HTC BlinkFeed antaranya merupakan keupayaan live stream untuk memaparkan maklumat seperti di laman sosial, hiburan, berita, foto dan juga gaya hidup tanpa perlu menggunakan aplikasi yang berbeza-beza.

Kelebihan semua dalam satu tersebut memudahkan pemilik HTC One membuka lebih daripada satu halaman aplikasi dalam satu-satu masa.

Malah, dalam mendepani cabaran agar menjadi sebuah telefon pintar yang lebih dinamik, HTC One turut menawarkan sebanyak 1,400 kandungan media daripada dalam dan luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HTC Corporation, Peter Chou, masyarakat kini mahukan sebuah peranti yang sentiasa memudahkan mereka mengikuti perkembangan dunia semasa.

"Biarpun telefon pintar merupakan cara termudah untuk memastikan kita sentiasa berhubung bersama orang yang tersayang mahupun maklumat, namun rekaan konvensional dilihat gagal memastikan keperluan tersebut dipenuhi," katanya.

Justeru, katanya, satu pendekatan yang lebih menarik dalam dunia peranti telefon pintar diperlukan dan itu yang sedang dilakukan oleh HTC menerusi HTC One.

Menurutnya, hasil kajian di peringkat pengguna telah menghasilkan HTC One yang bakal memenuhi segala keperluan mereka.

Seterusnya kelebihan HTC UltraPixel Camera bersama HTC Zoe yang merupakan antara kamera yang terbaik dalam kelasnya.

HTC UltraPixel Camera juga merupakan satu tawaran terbaik kepada mereka yang sentiasa mahu saat-saat indah dirakam dan dikongsikan bersama rakan-rakan.

Aplikasi HTC Zoe menawarkan kelebihan untuk merakam imej yang berkualiti tinggi dalam cara yang tersendiri dan unik.

Aplikasi Zoe itu juga mampu 'menghidupkan' galeri dan menukarkan galeri gambar pegun tradisional kepada galeri memori yang lebih menarik.

Malah, aplikasi tersebut juga memudahkan kerja-kerja menyunting dan menambah kesan khas pada video.

Seterusnya, aplikasi HTC Sense TV yang menawarkan kelebihan panduan interaktif dan juga alat kawalan jauh bagi televisyen, set-top boxes dan juga penerima isyarat.

Hanya perlu sentuh sahaja butang cloud, pengguna sudah boleh memilih rancangan kegemaran di kaca televisyen.

Bagi memenuhi peningkatan aplikasi yang ditawarkan, HTC turut menghasilkan reka bentuk yang lebih menarik agar lebih bersesuaian.

Dengan kemasan aluminium zero-gap serta skrin sesentuh seluas 4.7 inci dengan HD penuh (1080p), HTC One baru juga turut dijana oleh sistem operasi Android Jelly Bean.

Bagi melancarkan aktiviti melayari laman web, HTC One turut dilengkapi bersama teknologi talian LTE yang terbaru.

HTC One bakal menemui peminat pada hampir 185 operator telefon bimbit diseluruh negara dan untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web www.htc.com


 

VAT 69 Bravo Selamatkan Lebih Ramai Anggota Lain Daripada Terkorban Krisis Lahad Datu

'Ibarat hujan peluru' itulah ungkapan angota-anggota Komando VAT69 bagi menggambarkan pertempuran dengan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu 1 Mac lepas.

Insp Azwanazlee Saffiai, 33, berkata terdapat dua pasukan yang bertempur dengan kumpulan militan itu iaitu Pasukan Gerakan Khas (PGK) VAT 69 Bravo dan Charlie.

Bertindak sebagai komander kumpulan bagi sektor Bravo terdiri daripada 34 anggota dan pegawai, beliau berkata pertempuran berlaku selepas pengganas cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie.

"Sewaktu cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie yang juga dianggotai 34 anggota dan pegawai, pengganas memasuki kawasan sektor Bravo dan mereka kemudian mengeluarkan arahan supaya sektor kami (Bravo) beredar meninggalkan kawasan.

"Kami (Bravo) enggan berganjak sebaliknya cuba mendapatkan arahan daripadaKomander untuk melepaskan tembakan. Pihak pengganas yang sebelum itu memberiamaran 'berambus Tiger, balik' (kepada kami) telah melepaskan tembakan keranakami tidak mahu berundur," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

"Mereka (pengganas) cuba rapat dengan kami dan mengacukan senjata sertamelepaskan tembakan bertubi-tubi dalam jarak kira-kira 10 meter," katanya.

Pertempuran yang berterusan selama sejam itu mengorbankan dua anggota polisiaitu ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabaruddin Daud, 46. Pasukan keselamatanmenembak mati 15 musuh.

Azwanazlee berkata dalam pertempuran di kawasan kelapa sawit yang berpayaitu, beliau mendapati beberapa anggota pengganas sukar ditumpaskan walaupunditembak bertubi-tubi.

"Kami rasa mereka seolah-olah memakai ilmu kebal kerana walaupun telahditembak berkali-kali tetapi tidak jatuh. Arahan untuk menembak di bahagiankepala diterima dan ia akhirnya berjaya menumpaskan pengganas itu," katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Kpl Muhammad Imran Abd Talib, 28, yang diaturgerak dalam satu lagi pasukan iaitu sektor Alpha di Kampung Tanduo, berkatabeliau dapat menumpaskan pengganas dalam jarak yang paling dekat iaitu kira-kiradua meter.

"Saya masuk kampung Tanduo pada 28 Feb dan pada pagi 1 Mac saya dan rakan lain diletakkan dalam keadaan siap siaga. Ketika itu kami sedang menyediakan makanan sebelum mendengar bunyi tembakan di kawasan sektor Bravo," kata anakbekas komando itu.

Beliau berkata pokok kelapa sawit menjadi tempat perlindungan daripada serangan pengganas.

"Bertempur dalam hutan tidak sama dengan bertempur di kawasan ladang kelapasawit dengan binaan rumah yang tidak banyak. Pemandangan menjadi lebih luas dania mudah untuk dilihat musuh, itu antara cabaran yang harus ditempuhi ketikaitu.

"Selepas bertempur saya lihat tempat perlindungan saya dipenuhi kesantembakan. Saya bersyukur kerana peluru yang datang seperti hujan itu tidakmengenai saya," katanya.

Muhammad Imran yang terpaksa menangguhkan pertunangannya, berkata beliaubangga kerana dapat menyumbang kudrat demi mempertahankan negara.

- BERNAMA



Berselawat setiap nama Rasulullah SAW disebut

Daripada Jubair bin Muth’in, katanya: “Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ‘Aqib (penghabisan).” (Riwayat Bukhari)

Siapa yang tidak kenal nama Muhammad? Jika pertanyaan: Siapakah Muhammad itu ditujukan kepada seorang Muslim, tentu mereka sangat mengenalinya. Muhammad adalah purnama. Cahayanya di atas cahaya. Begitu syair pujian untuk dirinya.

Seperti disebutkan dalam hadis, terdapat banyak nama-nama yang diberikan kepada Rasulullah dan sebagai seorang Islam kita wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad SAW atau ganti namanya, pangkat kenabian juga pangkat kerasulannya.

Sebakhil-bakhil manusia

Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar penyokong Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, mereka berpendapat sesiapa yang tidak berselawat pada masa itu telah melakukan dosa besar.

Banyak hadis menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda SAW pada masa disebutkan nama atau ganti nama baginda, maka dialah sebakhil-bakhil manusia.

Dialah mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan, dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka jika tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu. (Hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami)




Isnin, Mac 25, 2013

Bagaimana Menyediakan Resume Yang Memikat Majikan?

 
 
Boleh dikatakan semua orang mampu menulis resume dengan hanya melihat contoh-contoh resume yang ada di internet mahupun resume kenalan anda. Tetapi tahukah anda dengan hanya menulis resume sahaja tanpa melihat kepada strategi penghasilan resume yang menarik dan memikat, anda mungkin akan mengalami sedikit masalah.

Masalah yang saya maksudkan ini adalah resume yang dihasilkan mungkin mendatar sahaja. Tiada elemen-elemen memikat. Penulisan resume tanpa perancangan akan menghasilkan satu resume yang mendatar. Maksud saya resume yang dihasilkan kurang menarik jika bakal majikan melihatnya nanti. Mungkin anda seorang sahaja yang tertarik kepada resume anda.

Misi anda adalah mendapatkan pekerjaan pertama anda. Sebelum anda diterima bekerja di sesebuah organisasi tempat kerja anda perlu mempromosikan diri anda sehabis baik untuk pastikan bakal majikan berminat dengan anda. Segala yang hebat tentang diri anda seperti pencapaian anda memerlukan teknik penulisan yang betul untuk menarik perhatian bakal majikan.

Ramai diantara kita yang menulis resume hanya menulis mengikut perspektif diri sendiri.  Tidak salah jika anda menulis sebegini tetapi misi anda adalah buatkan bakal majikan tertarik dengan diri anda untuk diterima bekerja. Jadi, lebih baik jika anda menulis resume yang memenuhi kemahuan pihak syarikat. Ini bermakna anda menulis satu resume yang ada sasaran. Ia berbeza jika anda terus sahaja menulis resume tanpa memikirkan aspek keperluan majikan. Penulisan resume sebegini hanya akan memberi kepuasan kepada diri anda sahaja bukan kepada bakal majikan. Jadi, agak susah untuk resume anda dipilih ke temuduga.

Anda perlu mengetahui tentang syarikat yang bakal anda mohon. Apabila anda mengetahui sedikit sebanyak tentang syarikat tersebut maka mudahlah bagi anda menulis resume mengikut keperluan syarikat itu sendiri. Walaupun anda cuba untuk memenuhi keperluan syarikat di dalam resume anda, pastikan jangan anda unsur-unsur penipuan. Anda perlu jujur dalam penulisan resume.

Sebaik mana pun resume anda, tetapi jika terdapat unsur penipuan anda mungkin akan mengundang perspektif negatif bakal majikan. Lakukan kajian tentang kemahuan syarikat anda mohon kerja terlebih dahulu kemudian penuhi kemahuannya melalui resume anda.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Tips dan Panduan untuk menyediakan Resume memikat: http://www.resumekerja.com/hop.php?ref=my







Aaron Aziz Sertai 'Oh My English'


Pelakon popular Aaron Aziz menerima tawaran untuk menyertai siri sitkom Oh My English! selepas diminta anak-anaknya.

Aaron, 33, berkata, ketiga-tiga anaknya sering mempersoalkan mengapa dia tidak mahu berlakon dalam sitcom tersebut.

"Mereka memang peminat siri Oh My English!, mereka suka watak-watak dalam drama tersebut sehingga sering kali meminta agar saya menyertainya.

"Saya sudah jelaskan kepada mereka tidak semua drama atau filem perlukan saya," ujarnya pada perlancaran drama Oh My English!, baru-baru ini.

Pelakon berasal Singapura ini mempunyai tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Diyana Halik, iaitu Danish Anaqi, 8, Dwi Ariana, 6 dan Dahlia Arissa, yang berusia dua tahun.

Tambahnya, ketika mendapat tawaran menyertai musim kedua siri itu, dia tidak berfikir panjang untuk menerimanya selain berjanji untuk membawa anak-anak bertemu para pelakonnya.

"Selama ni saya banyak berlakon untuk tontonan golongan dewasa dan kali ini peluang saya untuk menghiburkan golongan kanak-kanak pula.

"Anak-anak saya adalah yang paling teruja mendengar berita ini. Mereka minat dan nak jumpa Lisa Surihani dan Jibam", ujarnya.

Sitkom berkonsepkan pendidikan Oh My English! Musim ke-2 akan disiarkan pada setiap Ahad pukul 7.30 malam bermula 31 Mac ini menerusi Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Mustika HD (saluran 134).

Aaron memengang watak sebagai Cikgu Malik iaitu cikgu pendidikan Jasmani yang juga karekter baru untuk musim kedua itu.

Antara pelakon lain yang terlibat adalah Tiz Zaqyah, Zain Saidin, Lisa Surihani, Adibah Noor, Harus Salim Bachik, Rozita Che Wan, Izzara Aishah dan Nur Fazura.

- mSTAR 

PBB akui Sabah sebahagian Malaysia

Malaysia tidak akan melayan hasrat ketua kumpulan pengganas, Jamalul Kiram III untuk membawa isu pencerobohan di Lahad Datu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana Sabah diakui sebahagian daripada Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, perkara itu juga jelas termaktub dalam keputusan Suruhanjaya Cobbold 1963 yang menentukan majoriti rakyat Sabah bersetuju agar negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia.

"Oleh itu, Sabah merupakan negeri yang merdeka dalam Malaysia dan pihak dari luar yang menceroboh negeri merupakan musuh negara.

"Mereka tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong serta kedaulatan undang-undang Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta perasmian Dewan Hajjah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat di Bagan Datoh, Perak.

Dewan tersebut dinamakan sempena nama arwah ibu Ahmad Zahid, Tuminah Abdul Jalil.

Laporan akhbar hari ini memetik portal akhbar The Manila Times.net bahawa Jamalul Kiram sedang menyiapkan kertas tuntutan mahkamah untuk menyaman kerajaan Malaysia sebanyak RM77.8 bilion atas dakwaan membangun dan merampas Sabah secara haram.

Ahmad Zahid berkata, adalah sesuatu yang pelik apabila sebuah kumpulan pengganas yang menyerang dan membunuh tentera sesebuah negara, tiba-tiba hendak mengambil tindakan saman ke atas negara berkenaan.

"Mereka yang menceroboh negara dan membunuh anggota keselamatan kita, bermain kotor angkat bendera putih kemudian serang hendap menembak anggota kita dengan kejam dan kini mereka hendak saman kita pula," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid juga menyangkal dakwaan Jamalul Kiram kononnya pasukan keselamatan negara sedang cuba membawa masuk anggota komando ke Filipina untuk membunuhnya.

Menurut beliau, pemimpin pengganas itu sengaja berbuat demikian sebagai mainan psikologi semata-mata untuk meraih simpati para penyokongnya.

"Saya minta Jamalul Kiram jangan khuatir, kita tidak sejahat dia untuk melakukan pembunuhan di negara orang. Jangan bermain psikologi bagi meraih simpati.

"Kalau ditakdirkan dia dibunuh orang lain, jangan ada tuduhan bahawa perkara itu dilakukan oleh komando Malaysia. Kita tidak akan masuk ke negara orang semata-mata untuk membunuh seseorang. Kita minta Jamalul Kiram tolong duduk diam," tegas beliau.

- UTUSAN


Perspektif IKIM: Kecemerlangan akademik seiring usaha manfaat ilmu

Oleh Nor Hartini Saari (IKIM)

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah diumumkan Khamis lalu dan segala penantian berakhir sudah. Bagi mereka yang cemerlang, tahniah diucapkan.

Namun, bagaimana nasib segelintir pelajar yang dikatakan kurang cemerlang atau gagal memperoleh sebarang ‘A’ dalam mata pelajaran. Adakah mereka ini dianggap gagal untuk meneruskan kejayaan atau kelangsungan hidup yang cemerlang pada masa depan?

Kecemerlangan dalam akademik saja masih tidak memadai. Kecemerlangan akademik tidak sepatutnya menjadi sasaran utama pelajar secara menyeluruh tetapi bukan sesekali kita mengabaikannya, namun faktor lain yang berkaitan patut diambil kira.

Cuba kita perhatikan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, ramailah orang sekeliling akan sibuk bertanya bilangan ‘A’ yang diperoleh pelajar itu. Sama ada dia cemerlang di sekolah atau tidak, masyarakat sekeliling tetap menilai berdasarkan bilangan ‘A’ yang diperoleh pelajar.

Persoalannya, adakah dengan ukuran bilangan ‘A’ yang mereka peroleh mencerminkan kejayaan dan kecemerlangan diri pelajar itu?

Tidak dinafikan mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam akademik telah melepasi piawaian atau prasyarat yang ditetapkan Kementerian Pelajaran. Mahu tidak mahu pelajar perlu mencapai hasrat murni KPM dan akur kepada sistem yang telah ditetapkan.

Graduan menganggur

Melepasi standard yang ditetapkan oleh kementerian ini antara tiket untuk pelajar lulusan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melangkah masuk ke alam universiti dan mendapat kelulusan tinggi. Sehinggakan kerajaan meletakkan sasaran 40 peratus penduduk mesti mempunyai kelulusan tertinggi.

Soalnya berapa peratus pelajar yang berjaya masuk ke universiti adalah kelompok yang akan berjaya sesudah tamat pengajian kelak. Dulu menggenggam keputusan cemerlang dalam akademik bermakna sudah pasti masa depan cerah atau mendapat pekerjaan hebat. Kini semuanya berubah.

Walhal mereka ini boleh dikatakan antara kelompok yang cemerlang dalam akademik sebelum memasuki universiti. Begitulah kitarannya apabila melihat seseorang yang berjaya dan cemerlang dalam perlumbaan mencari ilmu tetapi jika tidak dimanfaat ilmu itu ibarat pohon yang tidak berbuah.

Mereka inilah sebenarnya dianggap gagal. Akan tetapi bagi seseorang yang bangkit dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki taraf hidup pendidikannya sehingga berjaya, maka dialah yang dianggap telah berjaya dengan cemerlang.

Bukan peluang terakhir

Hari ini kita lihat berapa ramai pelajar yang dulunya gagal di peringkat SPM namun bangkit dan berjaya dalam bidang perniagaan. Apa yang penting, bagi yang gagal jangan menganggap inilah peluang terakhir mereka.

Mereka perlulah berusaha dengan tekun, bersungguh-sungguh serta berterusan untuk menjadikan mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Justeru, kecemerlangan dalam akademik saja masih tidak memadai. Kecemerlangan akademik tidak sepatutnya menjadi sasaran utama pelajar secara menyeluruh tetapi bukan sesekali kita mengabaikannya, namun faktor lain yang berkaitan patut diambil kira.

Hal ini kerana dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kecemerlangan pendidikan adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini bukan saja untuk melahirkan pelajar cemerlang dan berilmu, malah apa yang lebih penting ialah melahirkan lebih banyak individu berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia, bertanggungjawab, amanah serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Perkara inilah dianggap dapat membantu menghadapi cabaran hebat dalam kehidupan masa kini yang sangat mencabar. Selain itu, penguasaan kemahiran insaniah yang mencakupi aspek kualiti peribadi adalah pendekatan yang baik dalam memajukan diri.

Justeru, kecemerlangan diri bukan hanya diukur dengan pencapaian akademik semata-mata atau ukuran berapa bilangan ‘A’ tetapi apa yang penting ialah pelajar itu dapat melahirkan keperibadian dan akhlak yang baik, seterusnya menjadi umat yang hebat sepanjang zaman.

- BERITA HARIAN



Recent Posts