Selasa, Mac 26, 2013

Seorang Lagi Pengganas Sulu Serah Diri Di Tanjung Batu

LAHAD DATU: Seorang pengganas Sulu ditahan selepas menyerah diri ketika terserempak dengan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi penggeledahan di Tanjung Batu, di Lahad Datu, Sabah, lewat hari Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, sepasukan unit Gerak GempurKhas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melakukan operasi di satu kawasan paya sebelum terserempak dengan pengganas itu.

Dia kemudian melarikan diri sebelum dikejar dan akhirnya menyerah diri.

Lelaki dipercayai tanpa senjata itu menyerah diri dengan mengangkat tangandan meminta pasukan keselamatan tidak melepaskan tembakan terhadapnya. Difahamkan dua kereta perisai berantai dikerahkan untuk operasipemantauan berterusan bagi mengesan pengganas lain.

Kereta perisai itu dipercayai dikerahkan kerana bimbang penyerahan diri yangdilakukan itu sebagai taktik kotor untuk pengganas lain melepaskan tembakanterhadap pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, sebaik mendapati tiada yang mencurigakan dan tidak membahayakan, pasukan keselamatan menahan pengganas berkenaan.

Pengganas itu kemudian diserahkan kepada pasukan VAT69 dan dibawa ke lokaptahanan sementara untuk disoal siasat.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Dato' Seri Zulkifli Zainal Abidin ketikadihubungi mengesahkan kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula berkata pasukannya(VAT69) telah menerima pengganas tersebut dari GGK ATM dan sidang media bersama ATM akan diadakan esok.

Sehingga kini, jumlah tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) meningkat kepada 111 orang, pengganas ditembak mati 67 dan mayat dibawa keluar 42.

- BERNAMA


HTC One - Perspektif baru telefon pintar



Menawarkan aplikasi terbaru iaitu HTC BlinkFeed, HTC Zoe dan HTC BoomSound kini telefon pintar HTC One bakal menambat hati para peminatnya.

Aplikasi HTC BlinkFeed antaranya merupakan keupayaan live stream untuk memaparkan maklumat seperti di laman sosial, hiburan, berita, foto dan juga gaya hidup tanpa perlu menggunakan aplikasi yang berbeza-beza.

Kelebihan semua dalam satu tersebut memudahkan pemilik HTC One membuka lebih daripada satu halaman aplikasi dalam satu-satu masa.

Malah, dalam mendepani cabaran agar menjadi sebuah telefon pintar yang lebih dinamik, HTC One turut menawarkan sebanyak 1,400 kandungan media daripada dalam dan luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HTC Corporation, Peter Chou, masyarakat kini mahukan sebuah peranti yang sentiasa memudahkan mereka mengikuti perkembangan dunia semasa.

"Biarpun telefon pintar merupakan cara termudah untuk memastikan kita sentiasa berhubung bersama orang yang tersayang mahupun maklumat, namun rekaan konvensional dilihat gagal memastikan keperluan tersebut dipenuhi," katanya.

Justeru, katanya, satu pendekatan yang lebih menarik dalam dunia peranti telefon pintar diperlukan dan itu yang sedang dilakukan oleh HTC menerusi HTC One.

Menurutnya, hasil kajian di peringkat pengguna telah menghasilkan HTC One yang bakal memenuhi segala keperluan mereka.

Seterusnya kelebihan HTC UltraPixel Camera bersama HTC Zoe yang merupakan antara kamera yang terbaik dalam kelasnya.

HTC UltraPixel Camera juga merupakan satu tawaran terbaik kepada mereka yang sentiasa mahu saat-saat indah dirakam dan dikongsikan bersama rakan-rakan.

Aplikasi HTC Zoe menawarkan kelebihan untuk merakam imej yang berkualiti tinggi dalam cara yang tersendiri dan unik.

Aplikasi Zoe itu juga mampu 'menghidupkan' galeri dan menukarkan galeri gambar pegun tradisional kepada galeri memori yang lebih menarik.

Malah, aplikasi tersebut juga memudahkan kerja-kerja menyunting dan menambah kesan khas pada video.

Seterusnya, aplikasi HTC Sense TV yang menawarkan kelebihan panduan interaktif dan juga alat kawalan jauh bagi televisyen, set-top boxes dan juga penerima isyarat.

Hanya perlu sentuh sahaja butang cloud, pengguna sudah boleh memilih rancangan kegemaran di kaca televisyen.

Bagi memenuhi peningkatan aplikasi yang ditawarkan, HTC turut menghasilkan reka bentuk yang lebih menarik agar lebih bersesuaian.

Dengan kemasan aluminium zero-gap serta skrin sesentuh seluas 4.7 inci dengan HD penuh (1080p), HTC One baru juga turut dijana oleh sistem operasi Android Jelly Bean.

Bagi melancarkan aktiviti melayari laman web, HTC One turut dilengkapi bersama teknologi talian LTE yang terbaru.

HTC One bakal menemui peminat pada hampir 185 operator telefon bimbit diseluruh negara dan untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web www.htc.com


 

VAT 69 Bravo Selamatkan Lebih Ramai Anggota Lain Daripada Terkorban Krisis Lahad Datu

'Ibarat hujan peluru' itulah ungkapan angota-anggota Komando VAT69 bagi menggambarkan pertempuran dengan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu 1 Mac lepas.

Insp Azwanazlee Saffiai, 33, berkata terdapat dua pasukan yang bertempur dengan kumpulan militan itu iaitu Pasukan Gerakan Khas (PGK) VAT 69 Bravo dan Charlie.

Bertindak sebagai komander kumpulan bagi sektor Bravo terdiri daripada 34 anggota dan pegawai, beliau berkata pertempuran berlaku selepas pengganas cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie.

"Sewaktu cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie yang juga dianggotai 34 anggota dan pegawai, pengganas memasuki kawasan sektor Bravo dan mereka kemudian mengeluarkan arahan supaya sektor kami (Bravo) beredar meninggalkan kawasan.

"Kami (Bravo) enggan berganjak sebaliknya cuba mendapatkan arahan daripadaKomander untuk melepaskan tembakan. Pihak pengganas yang sebelum itu memberiamaran 'berambus Tiger, balik' (kepada kami) telah melepaskan tembakan keranakami tidak mahu berundur," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

"Mereka (pengganas) cuba rapat dengan kami dan mengacukan senjata sertamelepaskan tembakan bertubi-tubi dalam jarak kira-kira 10 meter," katanya.

Pertempuran yang berterusan selama sejam itu mengorbankan dua anggota polisiaitu ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabaruddin Daud, 46. Pasukan keselamatanmenembak mati 15 musuh.

Azwanazlee berkata dalam pertempuran di kawasan kelapa sawit yang berpayaitu, beliau mendapati beberapa anggota pengganas sukar ditumpaskan walaupunditembak bertubi-tubi.

"Kami rasa mereka seolah-olah memakai ilmu kebal kerana walaupun telahditembak berkali-kali tetapi tidak jatuh. Arahan untuk menembak di bahagiankepala diterima dan ia akhirnya berjaya menumpaskan pengganas itu," katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Kpl Muhammad Imran Abd Talib, 28, yang diaturgerak dalam satu lagi pasukan iaitu sektor Alpha di Kampung Tanduo, berkatabeliau dapat menumpaskan pengganas dalam jarak yang paling dekat iaitu kira-kiradua meter.

"Saya masuk kampung Tanduo pada 28 Feb dan pada pagi 1 Mac saya dan rakan lain diletakkan dalam keadaan siap siaga. Ketika itu kami sedang menyediakan makanan sebelum mendengar bunyi tembakan di kawasan sektor Bravo," kata anakbekas komando itu.

Beliau berkata pokok kelapa sawit menjadi tempat perlindungan daripada serangan pengganas.

"Bertempur dalam hutan tidak sama dengan bertempur di kawasan ladang kelapasawit dengan binaan rumah yang tidak banyak. Pemandangan menjadi lebih luas dania mudah untuk dilihat musuh, itu antara cabaran yang harus ditempuhi ketikaitu.

"Selepas bertempur saya lihat tempat perlindungan saya dipenuhi kesantembakan. Saya bersyukur kerana peluru yang datang seperti hujan itu tidakmengenai saya," katanya.

Muhammad Imran yang terpaksa menangguhkan pertunangannya, berkata beliaubangga kerana dapat menyumbang kudrat demi mempertahankan negara.

- BERNAMA



Berselawat setiap nama Rasulullah SAW disebut

Daripada Jubair bin Muth’in, katanya: “Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ‘Aqib (penghabisan).” (Riwayat Bukhari)

Siapa yang tidak kenal nama Muhammad? Jika pertanyaan: Siapakah Muhammad itu ditujukan kepada seorang Muslim, tentu mereka sangat mengenalinya. Muhammad adalah purnama. Cahayanya di atas cahaya. Begitu syair pujian untuk dirinya.

Seperti disebutkan dalam hadis, terdapat banyak nama-nama yang diberikan kepada Rasulullah dan sebagai seorang Islam kita wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad SAW atau ganti namanya, pangkat kenabian juga pangkat kerasulannya.

Sebakhil-bakhil manusia

Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar penyokong Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, mereka berpendapat sesiapa yang tidak berselawat pada masa itu telah melakukan dosa besar.

Banyak hadis menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda SAW pada masa disebutkan nama atau ganti nama baginda, maka dialah sebakhil-bakhil manusia.

Dialah mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan, dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka jika tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu. (Hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami)




Isnin, Mac 25, 2013

Bagaimana Menyediakan Resume Yang Memikat Majikan?

 
 
Boleh dikatakan semua orang mampu menulis resume dengan hanya melihat contoh-contoh resume yang ada di internet mahupun resume kenalan anda. Tetapi tahukah anda dengan hanya menulis resume sahaja tanpa melihat kepada strategi penghasilan resume yang menarik dan memikat, anda mungkin akan mengalami sedikit masalah.

Masalah yang saya maksudkan ini adalah resume yang dihasilkan mungkin mendatar sahaja. Tiada elemen-elemen memikat. Penulisan resume tanpa perancangan akan menghasilkan satu resume yang mendatar. Maksud saya resume yang dihasilkan kurang menarik jika bakal majikan melihatnya nanti. Mungkin anda seorang sahaja yang tertarik kepada resume anda.

Misi anda adalah mendapatkan pekerjaan pertama anda. Sebelum anda diterima bekerja di sesebuah organisasi tempat kerja anda perlu mempromosikan diri anda sehabis baik untuk pastikan bakal majikan berminat dengan anda. Segala yang hebat tentang diri anda seperti pencapaian anda memerlukan teknik penulisan yang betul untuk menarik perhatian bakal majikan.

Ramai diantara kita yang menulis resume hanya menulis mengikut perspektif diri sendiri.  Tidak salah jika anda menulis sebegini tetapi misi anda adalah buatkan bakal majikan tertarik dengan diri anda untuk diterima bekerja. Jadi, lebih baik jika anda menulis resume yang memenuhi kemahuan pihak syarikat. Ini bermakna anda menulis satu resume yang ada sasaran. Ia berbeza jika anda terus sahaja menulis resume tanpa memikirkan aspek keperluan majikan. Penulisan resume sebegini hanya akan memberi kepuasan kepada diri anda sahaja bukan kepada bakal majikan. Jadi, agak susah untuk resume anda dipilih ke temuduga.

Anda perlu mengetahui tentang syarikat yang bakal anda mohon. Apabila anda mengetahui sedikit sebanyak tentang syarikat tersebut maka mudahlah bagi anda menulis resume mengikut keperluan syarikat itu sendiri. Walaupun anda cuba untuk memenuhi keperluan syarikat di dalam resume anda, pastikan jangan anda unsur-unsur penipuan. Anda perlu jujur dalam penulisan resume.

Sebaik mana pun resume anda, tetapi jika terdapat unsur penipuan anda mungkin akan mengundang perspektif negatif bakal majikan. Lakukan kajian tentang kemahuan syarikat anda mohon kerja terlebih dahulu kemudian penuhi kemahuannya melalui resume anda.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Tips dan Panduan untuk menyediakan Resume memikat: http://www.resumekerja.com/hop.php?ref=my







Aaron Aziz Sertai 'Oh My English'


Pelakon popular Aaron Aziz menerima tawaran untuk menyertai siri sitkom Oh My English! selepas diminta anak-anaknya.

Aaron, 33, berkata, ketiga-tiga anaknya sering mempersoalkan mengapa dia tidak mahu berlakon dalam sitcom tersebut.

"Mereka memang peminat siri Oh My English!, mereka suka watak-watak dalam drama tersebut sehingga sering kali meminta agar saya menyertainya.

"Saya sudah jelaskan kepada mereka tidak semua drama atau filem perlukan saya," ujarnya pada perlancaran drama Oh My English!, baru-baru ini.

Pelakon berasal Singapura ini mempunyai tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Diyana Halik, iaitu Danish Anaqi, 8, Dwi Ariana, 6 dan Dahlia Arissa, yang berusia dua tahun.

Tambahnya, ketika mendapat tawaran menyertai musim kedua siri itu, dia tidak berfikir panjang untuk menerimanya selain berjanji untuk membawa anak-anak bertemu para pelakonnya.

"Selama ni saya banyak berlakon untuk tontonan golongan dewasa dan kali ini peluang saya untuk menghiburkan golongan kanak-kanak pula.

"Anak-anak saya adalah yang paling teruja mendengar berita ini. Mereka minat dan nak jumpa Lisa Surihani dan Jibam", ujarnya.

Sitkom berkonsepkan pendidikan Oh My English! Musim ke-2 akan disiarkan pada setiap Ahad pukul 7.30 malam bermula 31 Mac ini menerusi Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Mustika HD (saluran 134).

Aaron memengang watak sebagai Cikgu Malik iaitu cikgu pendidikan Jasmani yang juga karekter baru untuk musim kedua itu.

Antara pelakon lain yang terlibat adalah Tiz Zaqyah, Zain Saidin, Lisa Surihani, Adibah Noor, Harus Salim Bachik, Rozita Che Wan, Izzara Aishah dan Nur Fazura.

- mSTAR 

PBB akui Sabah sebahagian Malaysia

Malaysia tidak akan melayan hasrat ketua kumpulan pengganas, Jamalul Kiram III untuk membawa isu pencerobohan di Lahad Datu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana Sabah diakui sebahagian daripada Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, perkara itu juga jelas termaktub dalam keputusan Suruhanjaya Cobbold 1963 yang menentukan majoriti rakyat Sabah bersetuju agar negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia.

"Oleh itu, Sabah merupakan negeri yang merdeka dalam Malaysia dan pihak dari luar yang menceroboh negeri merupakan musuh negara.

"Mereka tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong serta kedaulatan undang-undang Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta perasmian Dewan Hajjah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat di Bagan Datoh, Perak.

Dewan tersebut dinamakan sempena nama arwah ibu Ahmad Zahid, Tuminah Abdul Jalil.

Laporan akhbar hari ini memetik portal akhbar The Manila Times.net bahawa Jamalul Kiram sedang menyiapkan kertas tuntutan mahkamah untuk menyaman kerajaan Malaysia sebanyak RM77.8 bilion atas dakwaan membangun dan merampas Sabah secara haram.

Ahmad Zahid berkata, adalah sesuatu yang pelik apabila sebuah kumpulan pengganas yang menyerang dan membunuh tentera sesebuah negara, tiba-tiba hendak mengambil tindakan saman ke atas negara berkenaan.

"Mereka yang menceroboh negara dan membunuh anggota keselamatan kita, bermain kotor angkat bendera putih kemudian serang hendap menembak anggota kita dengan kejam dan kini mereka hendak saman kita pula," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid juga menyangkal dakwaan Jamalul Kiram kononnya pasukan keselamatan negara sedang cuba membawa masuk anggota komando ke Filipina untuk membunuhnya.

Menurut beliau, pemimpin pengganas itu sengaja berbuat demikian sebagai mainan psikologi semata-mata untuk meraih simpati para penyokongnya.

"Saya minta Jamalul Kiram jangan khuatir, kita tidak sejahat dia untuk melakukan pembunuhan di negara orang. Jangan bermain psikologi bagi meraih simpati.

"Kalau ditakdirkan dia dibunuh orang lain, jangan ada tuduhan bahawa perkara itu dilakukan oleh komando Malaysia. Kita tidak akan masuk ke negara orang semata-mata untuk membunuh seseorang. Kita minta Jamalul Kiram tolong duduk diam," tegas beliau.

- UTUSAN


Perspektif IKIM: Kecemerlangan akademik seiring usaha manfaat ilmu

Oleh Nor Hartini Saari (IKIM)

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah diumumkan Khamis lalu dan segala penantian berakhir sudah. Bagi mereka yang cemerlang, tahniah diucapkan.

Namun, bagaimana nasib segelintir pelajar yang dikatakan kurang cemerlang atau gagal memperoleh sebarang ‘A’ dalam mata pelajaran. Adakah mereka ini dianggap gagal untuk meneruskan kejayaan atau kelangsungan hidup yang cemerlang pada masa depan?

Kecemerlangan dalam akademik saja masih tidak memadai. Kecemerlangan akademik tidak sepatutnya menjadi sasaran utama pelajar secara menyeluruh tetapi bukan sesekali kita mengabaikannya, namun faktor lain yang berkaitan patut diambil kira.

Cuba kita perhatikan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, ramailah orang sekeliling akan sibuk bertanya bilangan ‘A’ yang diperoleh pelajar itu. Sama ada dia cemerlang di sekolah atau tidak, masyarakat sekeliling tetap menilai berdasarkan bilangan ‘A’ yang diperoleh pelajar.

Persoalannya, adakah dengan ukuran bilangan ‘A’ yang mereka peroleh mencerminkan kejayaan dan kecemerlangan diri pelajar itu?

Tidak dinafikan mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam akademik telah melepasi piawaian atau prasyarat yang ditetapkan Kementerian Pelajaran. Mahu tidak mahu pelajar perlu mencapai hasrat murni KPM dan akur kepada sistem yang telah ditetapkan.

Graduan menganggur

Melepasi standard yang ditetapkan oleh kementerian ini antara tiket untuk pelajar lulusan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melangkah masuk ke alam universiti dan mendapat kelulusan tinggi. Sehinggakan kerajaan meletakkan sasaran 40 peratus penduduk mesti mempunyai kelulusan tertinggi.

Soalnya berapa peratus pelajar yang berjaya masuk ke universiti adalah kelompok yang akan berjaya sesudah tamat pengajian kelak. Dulu menggenggam keputusan cemerlang dalam akademik bermakna sudah pasti masa depan cerah atau mendapat pekerjaan hebat. Kini semuanya berubah.

Walhal mereka ini boleh dikatakan antara kelompok yang cemerlang dalam akademik sebelum memasuki universiti. Begitulah kitarannya apabila melihat seseorang yang berjaya dan cemerlang dalam perlumbaan mencari ilmu tetapi jika tidak dimanfaat ilmu itu ibarat pohon yang tidak berbuah.

Mereka inilah sebenarnya dianggap gagal. Akan tetapi bagi seseorang yang bangkit dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki taraf hidup pendidikannya sehingga berjaya, maka dialah yang dianggap telah berjaya dengan cemerlang.

Bukan peluang terakhir

Hari ini kita lihat berapa ramai pelajar yang dulunya gagal di peringkat SPM namun bangkit dan berjaya dalam bidang perniagaan. Apa yang penting, bagi yang gagal jangan menganggap inilah peluang terakhir mereka.

Mereka perlulah berusaha dengan tekun, bersungguh-sungguh serta berterusan untuk menjadikan mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Justeru, kecemerlangan dalam akademik saja masih tidak memadai. Kecemerlangan akademik tidak sepatutnya menjadi sasaran utama pelajar secara menyeluruh tetapi bukan sesekali kita mengabaikannya, namun faktor lain yang berkaitan patut diambil kira.

Hal ini kerana dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kecemerlangan pendidikan adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini bukan saja untuk melahirkan pelajar cemerlang dan berilmu, malah apa yang lebih penting ialah melahirkan lebih banyak individu berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia, bertanggungjawab, amanah serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Perkara inilah dianggap dapat membantu menghadapi cabaran hebat dalam kehidupan masa kini yang sangat mencabar. Selain itu, penguasaan kemahiran insaniah yang mencakupi aspek kualiti peribadi adalah pendekatan yang baik dalam memajukan diri.

Justeru, kecemerlangan diri bukan hanya diukur dengan pencapaian akademik semata-mata atau ukuran berapa bilangan ‘A’ tetapi apa yang penting ialah pelajar itu dapat melahirkan keperibadian dan akhlak yang baik, seterusnya menjadi umat yang hebat sepanjang zaman.

- BERITA HARIAN



Lahad Datu: Empat Mayat Rakyat Asing Ditemui, Seorang Askar Cedera Dalam Pertempuran Di Tanjung Batu


LAHAD DATU: Empat mayat dipercayai rakyat asing ditemui di dalam sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu selepas pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas militan semasa operasi penggeledahan di kampung itu, Ahad.

Pertempuran pada pukul 9.15 pagi itu turut menyebabkan seorang anggota tentera cedera di paha kanan akibat terkena tembakan musuh, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Beliau berkata insiden itu berlaku selepas pasukan keselamatan menjejaki dua musuh yang memasuki sebuah rumah berhampiran dan berlaku tembak menembak sehingga mencederakan anggota itu.

"Berlaku beberapa minit pertempuran di situ, dan semasa pertempuran pasukan keselamatan mendapati seorang musuh telah lari dari rumah itu menghala ke sebuah rumah di sebelah sebelum bertindak membakar rumah berkenaan.

"Pasukan keselamatan kemudiannya melepaskan tembakan bagi membersihkan rumah yang mula-mula dimasuki dua pengganas itu sebelum memasukinya dan menjumpai empat orang mati ditembak," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 di sini, Ahad.

Zulkifeli berkata mayat itu terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Tiada pengenalan diri ditemui.

Beliau berkata hasil penggeledahan, pasukan keselamatan menemui seorang lagi kanak-kanak lelaki yang cedera, juga tiada pengenalan diri dan dia diterbangkan ke Hospital Sandakan untuk rawatan.

Pasukan keselamatan turut menemui sejumlah bekalan makanan yang dipercayai dikumpul di rumah berkenaan, katanya.

Zulkifeli berkata kesemua mayat itu dibawa keluar dari lokasi pertempuran, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dikeluarkan sehingga kini 42.

Beliau berkata militan pengganas yang semakin terdesak kini bergerak dalam kumpulan kecil dan mengaplikasikan 'Small Unit Tactic', iaitu cuba mendatangkan seberapa banyak mungkin kecederaan kepada pasukan keselamatan yang menjejaki pergerakan mereka.

"Daripada pertempuran yang dialami, kami dapati Modus Operandi musuh ialah apabila bertempur mereka akan membawa pasukan keselamatan ke satu kawasan di mana penembak tepat mereka dapat melepaskan tembakan.

"Selepas bertempur di situ, mereka kemudiannya berundur dan memasuki kawasan rumah yang telah dikenal pasti untuk bertahan dan bertempur semula sebelum bertindak membakar rumah itu dan rumah berdekatan sekiranya tidak lagi mampu bertahan," katanya.

Beliau berkata taktik melengahkan pergerakan anggota keselamatan itu diteruskan dengan militan berundur ke kawasan paya berdekatan yang telah dikenal pasti sebelum menggempur pasukan keselamatan yang menghampirinya.

Zulkifeli yang yakin semua penembak tepat musuh berjaya ditembak mati dalam pertempuran sebelum 20 Mac, berkata taktik yang diguna musuh sekarang ini memerlukan pasukan keselamatan lebih berhati-hati.

"Sejak pertempuran pada 20 Mac pasukan keselamatan tidak lagi mendapat tentangan daripada penembak tepat musuh dan kami yakin kumpulan 'sniper' pengganas telah dapat ditewaskan kerana kebelakangan ini tidak ada lagi ancaman daripada kumpulan penembak tepat itu," katanya.

- BERNAMA
 

Polis Sahkan Datu Amir Bahar Hushin Kiram Ditahan Di Semporna

LAHAD DATU: Pasukan keselamatan pada Ahad mengesahkan panglima tentera Sulu yang ditangkap di Semporna, semalam ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia lewat 40-an yang juga menteri pertahanan Sulu itu bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak pencerobohan di Lahad Datu 12 Februari lepas.

"Dia kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini Ahad.

Pada Sabtu, pasukan keselamatan menahan seorang pemerintah kumpulan penceroboh itu bersama isterinya di sebuah kawasan paya pada pukul 1.30 pagi.

Mengenai penduduk Kampung Tanduo yang dipindahkan, Khalid berkata pihaknya telah mencapai persetujuan bersama ketua-ketua keluarga dan ketua kampung itu untuk membawa mereka masuk ke kampung berkenaan Selasa ini.

Langkah itu adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara dan mereka akan diiringi pegawai daripada Pejabat Daerah Lahad Datu dan pasukan keselamatan.

Mengenai statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini 416 individu ditangkap dan daripada jumlah itu 110 orang ditahan mengikut Sosma.

Dua tangkapan terbaharu Sosma itu ialah panglima tentera Sulu terbabit dan isterinya.

Sementara itu, Zulkifeli berkata kawasan Kampung Tanduo kini bersih sepenuhnya daripada ancaman pengganas dengan bilangan pasukan keselamatan yang ditugaskan di kampung itu turut dikecilkan.

Mengenai Operasi Daulat, beliau berkata operasi itu masih diteruskan.

"Kini, fokus utama Operasi Daulat ialah meneruskan pembersihan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan yakin ia mampu diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.

- BERNAMA



Pemberian 1,000 Lesen Teksi Individu dan Geran RM5,000 untuk beli Proton Exora

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad mengumumkan pemberian lesen teksi individu kepada 1,000 pemandu teksi terpilih sempena Majlis Janji Ditepati bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Najib berkata selain membolehkan pemandu teksi beroperasi sendiri, Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) akan memberikan geran RM5,000 kepada pemegang lesen individu terbabit untuk membeli kereta Proton Exora.

"Setiap pemandu yang menerima lesen individu itu diwajibkan membeli kereta Proton Exora untuk digunakan sebagai teksi.

"Ia merupakan satu lagi komitmen kerajaan bagi memastikan pemandu teksi menyediakan kenderaan sesuai untuk kemudahan dan keselesaan penumpang terutamanya pelancong asing," kata Najib ketika berucap pada majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 6,000 pemandu teksi.

Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan 200 lesen individu bagi kumpulan pertama manakala selebihnya akan diuruskan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Beliau berkata, dengan adanya geran tersebut, harga sebenar Proton Exora bernilai RM64,000 akan dikurangkan kepada RM59,000.

Selain itu, katanya pemandu teksi berkenaan juga akan dibenarkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2.

Najib berkata, inisiatif tersebut merupakan satu lagi 'janji ditepati' kerana kebajikan pemandu teksi perlu dijaga bagi membolehkan mereka menyara keluarga dan menikmati masa depan lebih baik.

"Tidak dinafikan syarikat teksi telah memberi peluang pekerjaan kepada pemandu teksi tetapi ada juga yang mengeksploitasi golongan ini seakan-akan sistem penghambaan zaman moden," katanya.

Justeru, katanya usaha kerajaan itu sekaligus dapat memelihara kebajikan pemandu teksi dan menjadi titik permulaan modal baru kepada sistem teksi di negara ini.

Sementara itu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata lesen individu itu diberikan berdasarkan merit dan kriteria tertentu seperti rekod bebas jenayah, tiada kesalahan trafik, rekod pemanduan baik dan memandu teksi lebih lima tahun.

Menurutnya, pemberian lesen tersebut juga tidak akan membawa kepada lambakan teksi di negara ini kerana syarikat-syarikat teksi telah menyerahkan kembali sejumlah lesen mereka atas program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Dari semasa ke semasa, jika lebih ramai daripada mereka mahu menyerahkannya, dengan itu kami akan mengeluarkan lebih banyak lesen. Kita juga akan membuat kajian dari segi pertambahan penduduk dan permintaan. Kita tidak akan keluarkan lesen sewenang-wenangnya. Kita nak tentukan semua orang boleh cari makan," katanya.

Mengulas mengenai pemberian geran RM5,000, Syed Hamid berkata ia merupakan peluang terbaik diberikan kerajaan untuk membolehkan pemandu teksi memiliki kereta sendiri.

"Penerima akan menikmati tempoh bayaran balik selama tujuh tahun dan kadar bayaran bulanan di samping kadar faedah yang lebih rendah.

"Kereta tersebut juga tidak boleh dipindah milik tetapi pemilik lesen itu boleh mendapatkan pemandu kedua untuk teksi mereka. Saya berharap mereka akan memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

- MSTAR



Ancaman Pencerobohan Pengganas, JSJ Tingkat Elemen Siasatan

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang meningkatkan usaha bagi memperkasakan penyiasatan jabatan itu memandangkan cabaran jenayah kini melibatkan ancaman pencerobohan pengganas.

Dalam usaha itu, pegawai penyiasat dihantar mengikuti kursus di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada untuk menimba pengalaman bagi memastikan jabatan itu setaraf polis antarabangsa dalam aspek penyiasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang optimis dalam memastikan aspek penyiasatan diperkukuh, berkata pihaknya kini bukan sahaja menumpukan perhatian terhadap jenayah harian bahkan ancaman jenayah dari luar.

"Kalau kita lihat keadaan sekarang, siasatan kita lebih menjurus kepada penyiasatan kes lebih besar melibatkan keselamatan negara seperti insiden pencerobohan militan di Lahad Datu, Sabah yang mengorbankan 10 anggota keselamatan.

"Kita mainkan peranan penting dalam buat penyiasatan dari sudut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan memegang tanggungjawab yang besar kerana mengetuai aspek siasatan bagi insiden tersebut," katanya kepada pemberita pada wawancara khas sempena Hari Polis ke-206 di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Mohd Bakri berkata siasatan perlu dijalankan secara teliti terutamanya dalam pengumpulan bahan bukti sebelum dikemukakan kepada pihak pengadilan dan memastikan ia diterima Jabatan Peguam Negara untuk dibawa ke mahkamah.

Siasatan yang menyeluruh itu termasuk bagaimana kumpulan pengganas mendapat senjata dan bantuan, selain kawasan tumpuan lebih meluas dari Lahad Datu dan Semporna, katanya.

"Sebagai jabatan yang mengetuai aspek siasatan insiden tersebut, tidak dinafikan kita berhadapan dengan pelbagai halangan dalam mengumpul bahan bukti memandangkan kawasan kejadian masih 'panas' dan berisiko tinggi kerana dikhuatiri masih terdapat saki-baki pengganas," katanya.

Beliau berkata polis juga akan berhadapan dengan cabaran untuk mengumpul bahan bukti di lokasi kejadian memandangkan mayat pengganas masih belum dibawa keluar dari lokasi pertempuran.

Selain itu, mayat-mayat itu sudah mula mereput dan ini menyukarkan untuk mendapatkan cap jari dan mengesan identiti, katanya.

Mohd Bakri bagaimanapun berkata siasatan mengenai penceroboh bersenjata di Lahad Datu itu akan dijalankan sebaik mungkin bagi memastikan tiada sebarang pertikaian timbul dalam bukti yang dikumpul.

Mengenai kes jenayah harian, beliau berkata pihaknya turut memandang serius aspek siasatan bagi kes tersebut, walaupun menghadapi pelbagai cabaran iaitu tempoh reman yang tidak mencukupi, pengumpulan bahan bukti, serta memastikan penyiasatan tidak melangkaui hak asasi manusia.

"Kadang-kadang kita tidak mendapat tempoh reman yang cukup untuk menjalankan siasatan terhadap orang kena tuduh kerana dalam tempoh reman banyak perkara yang perlu dijalankan.

"Dari segi pengumpulan bahan bukti, kita perlu kemukakan bahan bukti yang cukup berdasarkan piawaian ditetapkan untuk memastikan kes dapat didakwa di mahkamah yang adakalanya menjadi rintangan yang hebat di bahagian siasatan," katanya.

Beliau berkata dalam menyiasat, hak asasi manusia juga menjadi elemen penting bagi memastikan siasatan yang dijalankan tidak melanggar hak asasi manusia dari awal proses siasatan seperti mengambil keterangan, tangkapan sehingga peringkat seterusnya.

Mohd Bakri berkata selain itu jabatan itu juga berharap dapat memenuhi sasaran 30 peratus kadar pendakwaan kes dibawa ke mahkamah tahun ini bagi meningkatkan kualiti sekali gus meletakkan unitnya setaraf dengan penyiasatan di peringkat global.

Untuk itu, pelbagai aspek perlu diperkemaskan termasuk aspek siasatan, kemampuan pegawai penyiasat dan aset penyiasatan, katanya.

"Ketika ini, jabatan ini sedang dalam usaha mengurangkan bebanan tugasan yang ditanggung pegawai penyiasat bagi memastikan kualiti siasatan sesuatu kes dapat diberi fokus sepenuhnya hingga berjaya dibawa ke peringkat pendakwaan," katanya.

"Untuk itu, pegawai penyiasat perlu fokus hanya purata 1.5 kes sebulan berbanding 10 hingga 15 kes sebulan pada masa ini," dan menambah kerajaan bersetuju untuk menambah bilangan pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau berkata pada masa ini jabatan itu mempunyai seramai 12,000 anggota dan pegawai.

Katanya JSJ juga sedang melihat keperluan kepada pertambahan aset yang menjurus kepada siasatan forensik, dan kini setiap kontinjen telah memiliki alat mengesan suspek melalui cap jari termasuk ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan 'lie detector'.

Mohd Bakri yang memegang pucuk pimpinan JSJ Bukit Aman sejak 2008 meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat kualiti penyiasatan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM bahawa Malaysia merupakan negara selamat daripada jenayah luar dan dalam.

- BERNAMA


Recent Posts