Isnin, Mac 04, 2013

Dilarang guna suntikan kimia kepada pelanggan

Pengusaha pusat kecantikan dilarang dilarang menyediakan perkhidmatan membabitkan suntikan bahan kimia dan bahan lain termasuk vitamin dalam tubuh pelanggan.

Ketetapan itu adalah sebahagian garis panduan yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kepada pengusaha pusat kecantikan, restoran dan katering bagi memastikan pengendali beroperasi dalam persekitaran terjamin dan menjaga hak serta keselamatan pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengendali yang gagal mematuhi garis panduan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perubatan 1971, Akta Pembantu Kesihatan 1977, Akta Jururawat 1950, Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 serta Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2012.
 
Pihak kementerian akan mengedarkan garis panduan kepada 48,000 pengusaha kecantikan di seluruh negara dalam tempoh terdekat," Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Garis panduan itu adalah berikutan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) menerima 3,586 aduan berhubung industri kecantikan sejak tahun 2010," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata pihak kementerian memandang serius berhubung aduan berkenaan.

"Pihak kementerian akan mengedarkan garis panduan kepada 48,000 pengusaha kecantikan di seluruh negara dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata menerusi garis panduan itu, pusat rawatan kecantikan dilarang menyediakan perkhidmatan penyuntikan, pil dan menggunakan cecair kimia kerana ia hanya tertakluk kepada pihak berkuasa Kementerian Kesihatan.

Selain itu, garis panduan turut dikeluarkan kepada pengusaha restoran dan katering selepas TTPM menerima masing-masing satu dan 13 aduan dalam tempoh sama.

“Pengusaha restoran dan katering pula, mereka perlu ikut garis panduan penyediaan makanan lebih bersih," katanya sambil menambah garis panduan berkenaan akan diedarkan kepada semua pemilik pusat kecantikan, katering dan restoran dalam masa terdekat.

Katanya, pemilik yang gagal mempamerkan dan mematuhi garis panduan itu boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Sumber : BERITA HARIAN


6 polis mati ditembak di Semporna


Seorang pegawai dan lima anggota polis terkorban selepas mereka diserang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sultan Sulu di Kampung Seri Jaya, Simunul dekat Semporna lewat petang kelmarin.

Kejadian di perkampungan atas air itu turut menyebabkan enam orang dipercayai anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar kecil) berkata, kejadian itu tercetus kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin ketika 25 orang polis mengadakan pemeriksaan di kampung berkenaan setelah menerima maklumat mengenai kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata di situ.

Menurut beliau, sepasukan 25 orang pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kemudian telah melakukan pemeriksaan ke kampung berkenaan yang mempunyai kira-kira 300 buah rumah.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di kampung tersebut, kumpulan bersenjata yang dipercayai daripada kumpulan penceroboh Sulu terbabit menyerang hendap pasukan berkenaan dengan melepaskan tembakan.

"Pasukan kita telah diserang dan ditembak oleh kumpulan terbabit sehingga mengorbankan seorang pegawai dan lima anggota," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid.

Ismail memberitahu, anggota polis itu ditembak ketika mereka sedang menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

Menurut beliau, pihak polis kemudian telah mengerahkan pasukan bantuan ke kampung tersebut untuk membantu baki 19 orang anggota yang terperangkap di situ.

Operasi pasukan bantuan tersebut selama hampir 24 jam yang berakhir pada pukul 6.30 petang semalam berjaya menyelamatkan 19 anggota terbabit dan mengeluarkan mayat semua anggota polis serta enam anggota kumpulan pengganas.

Ismail berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan lebih 150 orang kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Semporna.

Setakat ini, jelas beliau, kampung tersebut telah dikepung oleh pasukan keselamatan.

"Baki ahli kumpulan itu masih berada di dalam kampung berkenaan dan kita telah mengepung mereka," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, dua anggota komando VAT 69, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, terbunuh sementara tiga yang lain cedera dalam insiden pertempuran di Kampung Tanduo.

Dalam kejadian itu, seramai 12 anggota pasukan penceroboh terbunuh.

Sementara itu, Ismail berkata, polis turut menahan tiga daripada lebih 150 orang kumpulan bersenjata rakyat Selatan Filipina yang menceroboh dan berpangkalan di Kampung Tanduo di sini sejak 12 Februari lepas.

"Mereka dipercayai cuba keluar daripada kumpulan itu," katanya yang enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai tangkapan tersebut.

Sumber : KOSMO!
 

Tips Membeli Kamera Digital

Oleh Abd. Rahman Saleh

Sebenarnya ramai di kalangan kita mampu membeli pelbagai jenis kamera digital namun adakalanya kita terlepas pandang akan beberapa faktor utama sebagai asas pembelian.

Ini kerana kita terlalu ghairah ketika hendak membeli gajet itu tanpa memikirkan keperluan sebenar memiliki kamera tersebut dengan kegunaan kita sebagai seorang jurugambar.

Ada beberapa faktor yang menentukan pilihan ketika membeli sebuah kamera DSLR kerana ada pelbagai jenama dan jenis dari peringkat asas hingga ke peringkat yang lebih tinggi (professional) sehingga menimbulkan kekeliruan ketika membuat pilihan.

Semoga tips yang diberikan ini dapat membantu anda membuat pilihan yang tepat agar tidak membazir.

HARGA, anda perlu ada bajet yang sesuai dengan pilihan kamera yang anda ingin mengikut jenama dan jenis kamera yang diidamkan. Jangan nanti setelah tiba di kedai kamera, anda menukar kepada pilihan kamera yang lebih mahal daripada bajet kerana lebihan bajet boleh digunakan untuk membeli aksesori dan sebagainya.

ANDA juga digalakkan membeli kamera yang sesuai dengan aksesori yang telah ada dalam simpanan anda seperti kamera yang hendak dibeli sama jenis dengan lensa atau lampu denyar (speedlight) yang telah anda beli sebelum ini. Kecuali sekiranya anda memang mahu menukar keseluruhan set kamera yang anda hendak beli.

ANDA perlu tahu keperluan atau sebab anda perlu memilikinya - adakah ianya sebagai hobi baru, tugasan di pejabat, membuat liputan sesuatu majlis besar atau tugasan anda adalah seorang jurugambar profesional yang berkaitan media ataupun pengiklanan. Sekiranya anda merasakan ia hanya sebagai hobi, memadailah memiliki kamera DSLR yang biasa atau kamera kompak yang mudah dibawa ke sana sini dan mudah menguasai fungsi yang ada padanya.

SEKIRANYA anda memang sudah cekap menguasai semua perkara asas dan mahu menjadikan kamera sebagai sumber pendapatan sampingan, barulah anda memikirkan untuk membeli sebuah kamera yang berkemampuan tinggi, sesuai dengan tugasan yang hendak diceburi seperti fotografi perkahwinan dan sebagainya.

ANDA juga tidak digalakkan membeli kamera yang mempunyai resolusi terlalu tinggi kerana harganya agak mahal jika anda hanya mencetak gambar bersaiz sederhana. Kamera yang digunakan oleh jurugambar profesional sememangnya memerlukan resolusi tinggi kerana hasil kerja mereka kadangkala akan dicetak dalam saiz besar untuk kegunaan pengiklanan.

Jadi sebelum membeli sesebuah kamera, anda perlu membuat pilihan yang sesuai dengan kegunaan agar anda tidak merasa ia suatu beban atau pelaburan yang merugikan selepas anda mendapatkan sebuah kamera kesayangan anda.

- MINGGUAN MALAYSIA

Konsep adil asas utama hidup aman

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi

Islam menganjurkan umatnya supaya melaksanakan keadilan dalam setiap aspek kehidupan mereka. Perintah ini seiring dengan sifat Allah sendiri yang Maha Adil dan juga telah mengharamkan diri-Nya daripada melakukan kezaliman.

Adil menurut konotasinya membawa erti meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya seperti yang difahami oleh kebanyakan umat Islam kini bahawa adil itu ialah sama rata atau persamaan hak.

Islam dengan jelas memerintahkan umatnya supaya bersikap adil dalam segala perkara. Oleh sebab itulah, umat Islam dilabelkan Allah sebagai Ummatan Wasata iaitu umat pilihan lagi adil dan umat yang pertengahan. Umat Islam adalah generasi yang mengamalkan sikap pertengahan dalam segala pembawaannya, tidak melampau dan juga tidak keterlaluan dalam menganut dan mempraktikkan kepercayaannya.

Kesilapan persepsi seumpama ini mengakibatkan kecelaruan pemikiran umat Islam dan mencetuskan pertelagahan sesama Islam.

Akhirnya kemelut tersebut membarah di kalangan umat Islam menatijahkan keretakan kesatuan ummah yang mengundang kelemahan dan kejatuhan umat Islam dalam pelbagai lapangan hidup.

Justeru, umat Islam perlu merujuk kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan hadis sebagai wacana utama dalam meneruskan kesinambungan ummah di bumi Allah ini.

Banyak ayat suci yang membicarakan mengenai keadilan supaya ia dapat dijulang untuk mendasari dalam setiap ruang hidup manusia sejagat.

Perlu diingat bahawa keadilan yang diuar-uarkan Islam ini tidak terhad kepada golongan pemimpin semata-mata, bahkan ia membabitkan sama semua lapisan masyarakat Islam yang terdiri daripada suami isteri, penjual dan pembeli, kadi, sesama Muslim dan antara pemimpin dengan rakyatnya.

Islam dengan jelas memerintahkan umatnya supaya bersikap adil dalam segala perkara. Oleh sebab itulah, umat Islam dilabelkan Allah sebagai Ummatan Wasata iaitu umat pilihan lagi adil dan umat yang pertengahan.

Dengan lain perkataan, umat Islam adalah generasi yang mengamalkan sikap pertengahan dalam segala pembawaannya, tidak melampau dan juga tidak keterlaluan dalam menganut dan mempraktikkan kepercayaannya.

Demikian juga akhlaknya dan amalannya, segala-galanya berkeadaan di tengah-tengah dan seimbang antara tuntutan dunia dan akhirat.

Pada masa sama, Allah memberi amaran kepada umat Islam supaya jangan terperangkap dengan penyakit hati seperti dengki, benci dan sebagainya yang hanya akan mengakibatkan keruntuhan dan kehancuran bangsa itu sendiri.

Yang paling istimewa, sifat adil ini akan menghiaskan diri seseorang Muslim dengan perhiasan takwa dan ia sebenarnya neraca piawaian utama untuk memburu darjat yang istimewa di sisi Allah.

Takwalah juga sebaik-baik bekalan yang sewajibnya dipersiapkan oleh setiap Muslim sebagai tiket yang tiada nilainya untuk menjejakkan kaki ke pintu syurga yang penuh kenikmatan.

Seterusnya, Islam menuntut kepada suami supaya berlaku adil kepada isterinya kerana Islam melarang sama sekali sebarang bentuk kezaliman dan penderaan berlaku dalam institusi rumah tangga.

Ini kerana objektif utama perkahwinan dalam Islam supaya suami dan isteri dapat menyimpulkan erat jalinan kasih dan kemesraan dalam hidup kekeluargaan mereka di samping dapat melahirkan generasi penyambung tradisi keluarga mereka.

Sekiranya seseorang suami merasakan tidak dapat berlaku adil terhadap isterinya, maka Islam mengarahkan agar memadai dengan mengahwini seorang isteri saja supaya bahtera kehidupan dapat dikemudikan bersama dengan harmoni dan aman tenteram.

Begitu juga, seorang Muslim yang diamanahkan untuk memikul jawatan kadi agar dapat bersikap adil dan berwaspada serta tidak berat sebelah dalam memutuskan satu-satu hukuman kepada pesalah dan pengadu biarpun yang bersalah itu daripada kalangan kaum keluarga dan kerabatnya.

Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa kehancuran umat zaman silam adalah disebabkan oleh pelaksanaan hukum yang bersifat berat sebelah iaitu membiarkan saja atau melepaskan hukuman jika dia dari kalangan orang berada dan dijatuhi hukuman kepada orang yang hina dina dan lemah.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW terus bersumpah dengan nama Allah bahawa jika Fatimah anak perempuannya sendiri mencuri, sudah pasti Baginda akan memotong tangannya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, seorang penjual juga dituntut supaya bersikap adil dalam urusan jual beli mereka agar tidak terselit unsur penipuan dan penindasan kepada pembeli. Islam memerintahkan supaya seorang penulis yang adil diwujudkan dalam proses perjanjian akad jual beli mengikut hukum syarak. Tidak ketinggalan juga, seorang saksi juga hendaklah seorang yang adil lagi dipercayai dalam perjalanan urusan kehakiman dan undang-undang Islam.

Akhirnya, seorang pemimpin juga dituntut untuk bersikap adil dan saksama dalam kepimpinannya dan jangan sama sekali melakukan kezaliman kepada manusia sejagat. Kepimpinan adalah satu amanah yang cukup berat lagi getir yang akan dipersoalkan satu persatu di hadapan persidangan agung Mahsyar.

Demikianlah betapa luasnya konsep keadilan dalam Islam yang merangkumi segenap lapisan warga Islam dalam lapangan hidup mereka. Oleh itu, untuk menjamin kelangsungan Islam agar terus bertapak di bumi Allah ini, konsep keadilan ini perlu disemai dan dibajai supaya bertunjang dalam kehidupan ummah sejagat.

- BERITA HARIAN

Jangan bergantung pada nasib

Oleh DR. TENGKU ASMADI T.MOHAMAD

Kita sering mendengar orang berkata bahawa dia gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan atau gagal mendapat tempat ke universiti atau temuduga bagi mendapatkan pekerjaan.

Apabila ditanya kenapa gagal, jawapan yang sering kita dengar ialah, "Apa nak buat sudah nasib. Belum ada rezeki." Begitu juga apabila seseorang itu dapat projek yang nilainya berjuta, berniaga menjadi, dapat menyambungkan pelajaran ke luar negara maka akan ada orang berkata, "dah nasibnya baik".

Adakah benar wujud apa yang dikatakan nasib dalam kehidupan?

Satu hari ketika berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah di kotaraya, saya dihampiri oleh seorang penilik nasib. Dia memberitahu yang dia mampu meramal masa depan saya. Saya senyum lalu berkata: "Kalau begitu tidak perlu tilik jauh-jauh, tiliklah sekarang juga sama ada saya akan melangkah kaki kiri atau kanan selepas ini."

Dia kata dia tidak tahu. Dia kata kalau dia kata kaki kiri, nanti saya langkah kaki kanan dan begitu juga sebaliknya.

Lalu saya membalas, "Lihat, awak tidak tahu apa yang akan saya lakukan sebentar lagi, bagaimana awak akan tahu apa yang akan saya lakukan setahun, dua tahun, lima tahun selepas ini?"

Saya terus berkata lagi: "Baiklah, biar saya beritahu awak sekarang, saya meramalkan yang saya langkah kaki kiri (Lalu saya angkat kaki kiri ke depan). Lihat ramalan saya tepat! Jadi biarlah saya beritahu awak sekarang, saya mampu meramal masa depan saya lebih tepat daripada awak, maka saya tidak memerlukan awak dalam hidup saya."

Saya tinggalkan penilik nasib itu terpinga-pinga. Itu belum lagi kita ambil kira dosa syirik bagi mereka yang suka sangat tilik nasib.

Kesimpulannya, kita lebih tahu akan nasib kita. Allah telah memberikan kita kuasa akal untuk memilih dan membuat keputusan. Apa sahaja yang mahu dilakukan Allah tidak akan halang sama ada baik atau buruk. Namun, kita mesti bertanggungjawab atas setiap tindakan. Sebab itulah hidup ini ada peraturan, perundangan dan hukum-hakam.

Jadi bagaimana untuk sentiasa bernasib baik?

1. Tahu apa yang kita mahu. Cara paling tepat meramal masa depan ialah dengan menciptanya sendiri. Apa yang kita mahukan itu mestilah sesuatu yang besar serta mampu menggoncang jiwa. Ia juga perlu spesifik dan jelas. Tidak cukup dengan berkata aku mahu kaya, tetapi kena jelas kaya yang bagaimana. Berapa jumlah wang yang dimahukan? Apa rumah yang mahu dimiliki? Kereta apa yang mahu dibeli? Dan sebagainya.

2. Dapatkan maklumat tentang apa yang dimahukan itu. Boleh dikatakan apa sahaja yang kita mahu capai dalam hidup ini telah pun dicapai oleh orang lain. Oleh itu, dapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang apa yang dimahukan itu.

3. Tahu apa yang perlu dilakukan. Setelah kita tahu apa yang dimahukan dan segala maklumat tentangnya maka tibalah masanya mengatur perancangan. Senaraikan pelan tindakan jangka pendek dan panjang.

4. Berdisiplin dan konsisten dalam melaksanakan perancangan. Disinilah perlu sikap yang positif dan hasrat yang sungguh-sungguh. Ramai orang gagal kerana mereka tidak lakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Mereka kurang disiplin dan tidak kurang juga ramai yang sekadar rajin memulakan tetapi tidak rajin menghabiskan. Disiplin dan kesungguhan tinggi inilah yang menjadi kekuatan kepada bangsa Jepun dan Korea.

5. Tahu siapa yang boleh membantu kita. Kejayaan itu 99 peratus bergantung kepada usaha dan satu peratus bergantung kepada siapa yang kita kenal. Tetapi usah remehkan faktor yang satu peratus itu kerana ia mampu membezakan antara usahawan biasa dengan luar biasa. Oleh itu, cari cara untuk rapat dan kenal dengan mereka yang telah berjaya. Ia mempercepatkan jalan menuju kejayaan.

6. Banyakkan berdoa. Manusia hanya mampu berusaha dan Allah yang menentukan rezeki dan segalanya. Persiapkan diri dari segi ilmu dan ketahanan mental sebab apabila peluang berada di depan mata, kita sudah bersedia untuk memulakan langkahnya. Kalau sudah lakukan yang terbaik tetapi belum berhasil, itulah namanya takdir.

- MINGGUAN MALAYSIA


Jaga rahsia pasukan keselamatan - Bekas Pegawai Tentera

Tiga bekas pegawai tentera menggesa rakyat menyokong usaha pihak berkuasa menangani pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, serta menjaga kerahsiaan pergerakan pasukan keselamatan negara.

Mejar (B) Wan Hashim Wan Ahmad yang pernah berkhidmat di Bosnia Herzegovina berkata orang ramai tidak sepatutnya mempertikai apa jua langkah yang diambil pasukan keselamatan untuk menyelesaikan krisis itu.

"Orang ramai termasuk blogger-blogger politik diminta beri kerjasama dan jangan mengeluarkan kenyataan negatif yang akan memecah belahkan masyarakat.

Jika benar insiden ini ada kaitan dengan orang luar, ternyata musuh negara sudah berjaya memesongkan moral kita," katanya kepada Bernama hari ini.

Sokongan juga bermaksud menjaga kerahsiaan negara dan tidak terlalu ghairah membuat mengemaskini pergerakan tentera, polis serta gambar-gambar operasi pasukan keselamatan di Sabah, katanya.

Beliau juga meminta rakyat yang mempunyai rakan di kalangan anggota keselamatan supaya tidak lagi memaparkan kandungan mesej pesanan ringkas di dalam laman sosial seperti Facebook atau Twitter.

"Maklumat seperti ini semua boleh disalah guna, ada individu tertentu yang membuat "print screen" paparan sms dengan menyiarkan nombor telefon pegawai polis yang sedang terlibat dalam operasi memburu pengganas di sana, bayangkan jika maklumat ini disalah gunakan," katanya.

Blogger Komando Kedai Kopi yang lebih dikenali sebagai Mejar (B) Naza Talib turut menyeru orang ramai agar terus memberikan sokongan kepada polis dan tentera tanpa perlu mempertikai pasukan mana yang lebih berhak menangani isu itu.

Tidak perlu timbul perbalahan pasukan mana yang terbaik untuk menangani krisis ini kerana masing-masing mempunyai bidang perundangan sendiri, katanya.

"Jika keadaan ini melarat, ada kemungkinan pihak tentera akan campur tangan terus. Sokongan harus juga diberikan kepada kerajaan kerana soal keganasan yang ditimbulkan orang-orang Sulu ini sangat kompleks kerana melibatkan mereka yang telah tinggal lama di Sabah," katanya kepada Bernama.

Beliau turut memuji keberanian pasukan polis berhadapan dengan pengganas Sulu yang bersenjata automatik dan mempunyai pengalaman perang gerila selama bertahun-tahun dalam hutan di Filipina.

Seorang pesara bekas tentera berpangkat Mejar yang tidak mahu namanya dikenali yakin negara mempunyai kelebihan dari segi taktikal dan strategi.

"Kita tahu kedudukan mereka, lokasi mereka, ini adalah satu kelebihan sebagai contoh, mungkin kita boleh memotong bekalan utiliti seperti elektrik, air dan sebagainya, supaya mereka tidak dapat bertahan lama," katanya.

- BERNAMA


Buku : Mengapa doa ditolak?


Doa itu senjata orang Mukmin. Setiap hari kita berdoa supaya dipanjangkan usia, sihat tubuh badan, bertambah rezeki, bertemu jodoh yang baik dan macam-macam lagi. Ada kalanya doa itu dimakbulkan Tuhan dan ada juga doa yang tidak dikabulkan.

Pernah kita terfikir mengapakah doa tidak dimakbulkan Allah? Apakah silapnya sehingga doa tersebut ditolak? Adakah kita tidak ikhlas ketika memanjangkan hajat ketika berdoa kepada Allah?

Sebenarnya ada banyak sebab mengapa doa diibarat layang-layang putus benang, dihempas angin ke hulu dan ke hilir tanpa kepastian. Selain faktor manusia yang mungkin kurang ikhlas dan banyak melakukan dosa, malah salah faktor kejayaan atau kegagalan mungkin disebabkan oleh isi kandungannya.

Ketika saat doa-doa dibaca dan dihafal, kebanyakannya kandungannya tidak jelas sedangkan syarat hajat dimakbulkan kerana isinya mantap dan mempunyai sumber rujukan yang sahih.

Sehubungan itu, Must Read Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah karya bertajuk, Mengapa Doa Ditolak untuk merungkai permasalahan yang dialami oleh umat Islam. Penulisnya, Muhammad Adlin Yani menulis buku itu dengan berdasarkan susunan ayat di dalam al-Quran disertai dengan penjelasan ringkas tentang riwayat doa berkenaan.

Sebanyak 62 doa dihimpun dalam buku tersebut dengan doa induk iaitu surah al-Fatihah, diikuti doa berlindung daripada kejahilan dan diakhiri dengan berlindung daripada kejahatan tersembunyi.

Selain itu, Muhammad Adlin menyelitkan penerangan ringkas setiap doa-doa berkenaan dengan bersandarkan hujah al-Quran dan al-Sunnah serta pendapat ulama tersohor. Bahkan beliau turut menampilkan kata-kata motivasi sebagai perangsang semangat kepada pembaca.

Buku setebal 154 muka surat yang berharga RM16.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM19.90 (Sabah/Sarawak) itu wajar dimiliki dalam mencari punca mengapa doa kita ditolak sedangkan puncanya bermula daripada diri sendiri kerana tidak menghayati dan mengenal isi kandungan doa berkenaan.

Anda boleh mendapatkan buku itu di pasaran berhampiran atau boleh melayari www.mustread.com.my untuk maklumat lanjut.
 


Sukan lasak mempengaruhi haid

SOALAN:

Saya amat berminat berjogging dan juga berlari dalam acara sukan. Masalahnya, sejak berat badan saya berkurangan akibat aktiviti-aktiviti ini, saya mula mengalami masalah haid kerana hanya datang sekali setiap lima hingga enam bulan. Apakah aktiviti sukan yang menjadi penyebab masalah haid saya ini?

JAWAPAN:

Tepat sekali, aktiviti sukan yang lasak dan juga berat badan yang tidak ideal boleh menimbulkan masalah haid! Haid tidak akan berkitar secara normal. Haid yang dialami mungkin lima hingga enam bulan sekali. Masalah haid sebegini juga dikenali sebagai amenorea sekunder.

Amenorea sekunder didefinisikan sebagai tidak datang haid berturut-turut selama tiga hingga enam bulan bagi wanita yang kedatangan haidnya tetap setiap bulan. Amenorea sekunder berlaku kepada kurang daripada lima peratus dalam kalangan remaja perempuan dan lebih 50 peratus dalam kalangan orang yang aktif bersukan.

Terdapat pelbagai penyebab amenorea sekunder iaitu senaman yang melampau dalam kalangan ahli sukan atau berlebihan berat badan atau berkurangan berat badan (tidak mempunyai berat badan yang ideal), mengalami tekanan perasaan yang teruk dan gangguan pada emosi, pengambilan pelbagai jenis ubatan, kesan sampingan apabila berhenti mengambil pil perancang keluarga, mengalami sindrom ovari polisistik dan gangguan hormon lain seperti tiroid dan juga aras hormon prolaktin yang tinggi.

Berat badan tidak ideal

Seperti yang anda nyatakan bahawa saudari adalah seorang yang underweight kerana mempunyai berat badan yang berkurangan dan tidak ideal. Kemungkinan besar ini juga penyebab kepada masalah yang saudari hadapi. Elok berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan penyiasatan awal. Mengambil sejarah medikal yang penuh, seperti sejarah keluarga, pekerjaan, sejarah aktiviti seksual, gangguan emosi, perubahan berat badan dan sejarah perubatan lepas.

Bagaimanapun, untuk menentukan hasil diagnosis pemeriksaan penuh sakit puan dan pelbagai ujian perlu dilakukan. Ini termasuklah ujian darah untuk mengenal pasti aras pelbagai hormon. Ujian fungsi tiroid dan prolaktin juga patut diambil. Ini adalah penting untuk mendapat diagnosis yang tepat dan rawatan yang sepatutnya.

Di samping itu, ada baiknya jika saudari mengamalkan pemakanan yang lengkap dengan mendapatkan bantuan pakar pemakanan bagi meningkatkan berat badan saudari ke tahap ideal. Moga dengan itu kitaran haid saudari akan berkitar secara normal.

- MINGGUAN MALAYSIA

Ahad, Mac 03, 2013

Serangan terbaru di Sabah, seorang lagi anggota polis terbunuh di Semporna

SEMPORNA 2 Mac - Kumpulan bersenjata asing dipercayai penyokong Tentera Diraja Kesultanan Sulu melancarkan serangan terbaharu mengakibatkan seorang pegawai polis terbunuh dan seorang cedera di Kampung Simunul, kira-kira tiga kilometer ke bandar Semporna, pukul 7.30 malam 2 Mac (Ahad).

Utusan difahamkan kumpulan penyerang adalah Tentera Diraja Kesultanan Sulu yang telah mula memasuki dan menetap di beberapa kawasan di Sabah secara berperingkat sejak empat bulan lalu.

Difahamkan siren kecemasan dibunyikan di Kampung Simunul dan semua penduduk termasuk di kampung berdekatan iaitu Kampung Air dan Kampung Sri Jaya diarah tidak keluar dari rumah masing-masing.


KPN sahkan tembak-menembak di Semporna ada kaitan pencerobohan di Lahad Datu

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan berlaku kejadian tembak-menembak di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna, Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

Menurut Ismail di dalam laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia, kejadian itu susulan daripada pemeriksaan pihak polis ke atas sebuah premis di situ.

"Pemeriksaan tersebut bertujuan mengesahkan penglibatan kejadian pencerobohan di Lahad Datu.

"Pihak polis masih belum dapat mengesahkan jumlah mereka yang terlibat dalam kejadian terbabit. Bagaimanapun jumlah yang terlibat dipercayai tidak melebihi 10 orang," katanya.

Beliau berkata dalam kejadian itu beberapa anggota polis dilaporkan tercedera.

Sementara itu di LAHAD DATU, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, dua anggota polis cedera dalam kejadian tersebut.

Hamza bagaimanapun menafikan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna diserang dan berkata keadaan di Semporna terkawal serta tidak ada perintah berkurung dilaksanakan.

Menurut Hamza setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung kejadian tembakan itu dan polis masih menyiasat suspek yang bertanggungjawab.

Sumber : UTUSAN

Jumaat, Mac 01, 2013

Dua komando Malaysia dan 10 penceroboh Sulu terbunuh krisis Lahad Datu


Dua komando polis terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata  dari selatan Filipina hari ini.
   
Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.
   
Wartawan Bernama yang berada di kawasan Felda Sahabat 17 di perkampungan itu berkata mayat dua anggota keselamatan itu diusung oleh polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke Hospital Lahad Datu.
   
"Sehingga kini tiada pengesahan polis, kami hanya melihat mayat dengan boot hijau diusung ke dalam trak tersebut," katanya yang terpaksa keluar dari kawasan Felda itu setelah diarahkan pihak berkuasa.

Pada 2 petang, beliau berkata pihak berkuasa mengarahkan wartawan keluar kerana khuatir keselamatan mereka berikutan insiden tembakan masih berlaku.
   
Setakat ini, tiada pihak berkuasa boleh mengesahkan identiti anggota yang maut.

Sementara itu, Seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.

ABS-CBNnews melaporkan jurucakap Abraham Idjirani sebagai berkata dia baru bercakap sendiri dengan adik Sultan Sulu Jamalul Kiram - Azzimudie Kiram - yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu.

Azzimudie mengesahkan bahawa 10 lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam insiden tersebut.

"Dia melihat sendiri mayat-mayat tersebut," kata Idjirani dalam satu sidang akhbar di Manila.

"Yang terbunuh termasuk seorang wanita."

Idjirani merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan serangan itu, dan berkata orang-orang Azzimudie hanya bersenjatakan bolos (parang) dan pisau dan hanya beberapa orang bersenjatakan senapang.

Beliau mendakwa bahawa komando polis Malaysia telah menggunakan penembak tepat ke atas pengikut Azzimudie.

AKhbar berbahasa Cina, China Press pula memetik sumber yang tidak disahkan di tempat kejadian, yang mendakwa dua penceroboh telah ditembak mati, manakala tiga anggota tentera Malaysia cedera.

Bagaimanapun, ABS-CBNnews melaporkan bahawa Duta Malaysia ke Filipina telah mengesahkan berlaku insiden menembak antara kedua-dua pihak tetapi tiada sebarang kematian.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) Raul Hernandez memberitahu agensi berita bahawa Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario baru sahaja berbincang dengan duta Malaysia, yang mengesahkan berlaku insiden menembak di Lahad Datu tetapi ia sudah dihentikan.

Beliau berkata Manila sedang memantau keadaan.

Sumber : MALAYSIAKINI

Semaklah Akaun Bank - Lisa Surihani

Aktres Lisa Surihani menasihati orang ramai agar sentiasa menyemak akaun bank masing-masing supaya simpanan mereka berada dalam keadaan selamat dan tiada berlaku sebarang penipuan.

Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 27, berkata, pengalaman kehilangan wang simpanannya berjumlah RM50,772.40 pada Januari lepas memberi pengajaran besar terhadapnya dan berharap kejadian tersebut tidak lagi berulang kepada sesiapa sahaja.

"Kejadian seperti ini sesiapa pun boleh terkena. Sebab itu saya ingin menasihatkan supaya semua orang agar peka dengan segala simpanan bank yang telah dibuat dan kalau boleh, pantaulah setiap hari.

"Selepas kes hilang wang simpanan berlaku, saya menjadi fobia. Insya-Allah perkara ini tidak akan berulang," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.

Seorang bekas kerani bank iaitu Shawallinah Jaffar, 31, yang berasal dari Kudat, Sabah, pada Khamis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas dakwaan mengeluarkan wang dari akaun bersama milik Lisa dan ibunya, Siti Amirah Ahmad, 62.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Taman Tas, Taman Pandan Damai, Kuantan antara 7 dan 10 Januari lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan sekeping kad mesin teller automatik (ATM) milik mangsa di tempat dan tarikh yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda. Suspek mengaku tidak bersalah dalam semua pertuduhan itu.

Dalam pada itu isteri kepada Yusry Abdul Halim ini turut bersyukur apabila kes kehilangan wangnya itu diselesaikan dengan pantas oleh pihak polis serta bank terbabit.

"Alhamdulillah, pihak polis memberikan kerjasama yang sangat baik, malah mereka sentiasa menghubungi saya untuk beritahu perkembangan tentang kes ini.

"Malah wang saya yang hilang itu sudah pun dikembalikan oleh pihak bank. Ini menunjukkan mereka melakukan kerja dengan pantas. Saya menghargai kerjasama mereka,” ujarnya.

- mSTAR