Selasa, Februari 19, 2013

KiniBiz.com - portal berita niaga dilancar

KiniBiz - portal berita niaga bebas pertama di Malaysia - menemui pembaca dan orang ramai boleh mengaksesnya secara percuma sepanjang tempoh percubaan mulai Selasa, 19 Februari 2013.

Satu usahasama Malaysiakini dengan editor berita niaga terkenal, P.Gunasegaram, portal ini menjanjikan penyajian berita perniagaan yang benar-benar penting dan perlu dibaca.

Ia dilancarkan hari ini dengan berita utamanya yang mempersoalkan penilaian cadangan Malaysian Resources Corp  Bhd (MRCB) mengambil alih Nusa Gapurna Development Sdn Bhd, yang dilihat secara sskeptical oleh beberapa penganalisa, diikuti temubual dengan bos baru MRCB Mohamad Salim Fateh Din selepas itu.

"Kami berhasrat untuk mengisi permintaan pasaran bagi portal berita niaga yang berani, bebas, adil, bermaklumat dan berwawasan, dalam format yang mudah diakses dan digunakan," kata Gunasegaram, yang merupakan penerbit dan editor KiniBiz.

"Kami akan mendedahkan berita penting, menampil rencana, isu-isu,  komen dan ulasan tanpa rasa takut."

Lamanweb ini akan memperjuangkan tadbir urus korporat yang baik, akauntabiliti dan ketelusan di kalangan semua peserta pasaran modal dan dalam semua aspek perniagaan, ekonomi dan kerajaan. Ia juga akan menyediakan forum untuk perbincangan isu-isu perniagaan yang penting, katanya.

Selepas tempoh percubaan, lamanweb ini hanya boleh diakses melalui langganan.

"Sepertimana Malaysiakini, mengenakan yuran langganan memastikan portal ini tidak bergantung sepenuhnya pada pengiklan. Apabila pembaca membayar, mereka menjadi pelanggan yang paling penting," kata Premesh Chandran, yang merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) Kinibiz. Beliau juga adalah CEO Malaysiakini.

KiniBiz.com dimiliki oleh Sdn Bhd KiniBiz, dengan Malaysiakini dan Gunasegaram menjadi pemilik dan pemegang saham.

Ia beroperasi di pejabat Malaysiakini di Bangsar Utama, Kuala Lumpur, tetapi dengan pasukan editorialnya sendiri.

Operasinya, termasuk pengiklanan dan jualan langganan, pembangunan teknologi dan pemasaran, akan dikendalikan dengan kerjasama pasukan Malaysiakini.

Sumber : MALAYSIAKINI


Tatacara penggunaan kata adjektif berkaitan perasaan

Perkataan sayang tergolong ke dalam sejumlah kata adjektif yang membawa konsep perasaan. Contoh lain, antaranya malu, marah, benci, berani, kasih, ragu, takut dan lain-lain lagi.

Dalam bahasa Melayu, jika kata adjektif hendak diluaskan struktur unsurnya (konstituen) dengan menambahkan kata nama selepasnya, maka lazimnya, kata adjektif itu diikuti oleh kata sendi nama seperti 'akan', 'pada', 'kepada' dan seumpamanya.

Perhatikan ayat-ayat contoh berikut ini:

1. (a) Penduduk di kampung itu sangat benci dengan perangai buruk pemuda itu.

(b) Penduduk di kampung itu sangat benci akan perangai buruk pemuda itu.

2. (a) Anak muda kini suka akan hiburan bercorak muzik.

(b) Anak muda kini suka pada hiburan bercorak muzik.

3. (a) Adik bongsu Kuswadi takut akan hantu.

(b) Adik bongsu Kuswadi takut pada hantu.

4. (a) Megawati amat sayang terhadap anak dan menantunya.

(b) Megawati amat sayang akan anak dan menantunya.

(c) Megawati amat sayang kepada anak dan menantunya.

Kata-kata adjektif dalam ayat (1) hingga (4) diikuti oleh kata sendi 'dengan', 'akan', 'pada' 'kepada' dan 'terhadap'.

Ayat-ayat tersebut salah jikalau ayat-ayat itu tidak mengandungi kata sendi nama selepas kata adjektif kerana kata-kata adjektif itu merupakan kata adjektif yang memerlukan kata sendi nama selepasnya.

Oleh yang demikian, salahlah jikalau ayat-ayat di atas ditulis begini:

1. (c) *Penduduk di kampung itu sangat bencikan perangai buruk pemuda itu..

2. (c) *Anak muda kini sukakan hiburan bercorak muzik.

3. (c) *Adik bongsu Kuswadi takutkan hantu.

4. (c) * Megawati amat sayangkan anak dan menantunya.

Lain pula halnya jikalau kata-kata adjektif itu dijadikan kata kerja dengan menambahkan imbuhan yang sesuai.

Misalnya, sayang dijadikan menyayangi, benci menjadi membenci, suka menjadi menyukai dan menyukakan, kata adjektif takut menjadi menakuti dan menakutkan, dan kata adjektif rindu menjadi merindu, dan merindukan.

Bagi kata adjektif rindu, kadang-kadang orang tersilap dalam penggunaan bentuk rindu akan, merindu dan merindukan.

Frasa rindu akan ialah frasa adjektif (kata adjektif + kata sendi), manakala merindu dan merindukan ialah kata kerja transitif. Daripada ketiga-tiga bentuk kata tersebut dapat dibinakan ayat-ayat seperti yang berikut:

5. Latifah rindu akan kekasihnya.

6. Sejak pemergian kekasihnya di perbatasan, sejak itulah dia merindu.

7. Rosnita merindukan kampung halamannya.

Frasa sendi rindu akan tidak boleh menjadi *rindukan seperti dalam ayat:

(9) *Pungguk rindukan bulan.

Ayat ini salah kerana kata adjektif rindu tidak dapat menerima akhiran -kan (semua kata adjektif tidak boleh menerima akhiran -kan dalam bahasa Melayu melainkan jika hendak mengubah kelas katanya). Sebaliknya kata adjektif rindu itu perlu menerima kata sendi 'akan'.

Jikalau akhiran -kan hendak digunakan, maka perlulah kata adjektif rindu diubah menjadi kata kerja merindukan. Jadi ayat (9) itu betul jika kata rindukan menjadi merindukan seperti dalam ayat

(10) Pungguk merindukan bulan.

Harus diingat juga, apabila kata adjektif disertai akhiran -kan, maka kata yang tadinya daripada golongan kata adjektif itu berubah kelasnya menjadi kata kerja pasif, dan hal ini akan melibatkan berlakunya hukum tentang bentuk ayat pasif pula.

Misalnya, kata adjektif takut ditiadakan maka terbentuklah perkataan takutkan. Perkataan takutkan bukan kata kerja transitif, tetapi kata kerja pasif.

Dengan kata kerja transitif menakutkan kita dapat membentuk ayat aktif transitif seperti:

(11) Saya menakutkan kanak-kanak itu.

dengan maksud 'menyebabkan' atau 'menjadikan' kanak-kanak itu takut.

Daripada ayat-ayat aktif ini sebagai ayat dasar, kita dapat membentuk ayat pasif songsang seperti yang berikut:

(11a) Saya takutkan kanak-kanak itu.

Ayat (11a) ini berbeza dari segi semantik dengan ayat (12) di bawah

(12) Saya takut akan kanak-kanak itu.

Makna ayat (11a) ialah bahawa 'kanak-kanak itu takut', sementara makna ayat (12) ialah bahawa 'saya dan bukan kanak-kanak itu yang takut'.

Perhatikan perbezaan ketiga-tiga ayat berikut ini:

(13) Saya gemarkan buah-buahan tempatan.

(13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan.

(13b) Saya menggemari buah-buahan tempatan.

Ayat (13) *Saya gemarkan buah-buahan tempatan, berbeza maknanya dengan ayat (13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan, atau (13c) Saya menggemari buah-buahan tempatan. Ayat (13) bermakna buah-buahan menjadi gemar oleh perbuatan saya, tetapi bukanlah saya gemar akan (menggemari) buah-buahan tempatan.

Demikianlah beberapa tatacara penggunaan kata adjektif bahasa Melayu yang betul. Penggunaan tatacara yang betul ini dapat membantu pengguna bahasa Melayu berbahasa persis.

Sumber : UTUSAN


Lelaki sukar ucapkan kata cinta?

Berbanding wanita, terdapat sesetengah golongan lelaki yang memang dikenali sebagai insan yang sukar untuk meluahkan kata-kata cinta kepada pasangan mereka, selagi mereka bukan lelaki kasanova.

Biarpun bagi wanita apalagi setelah menjadi isteri, luahan kata-kata cinta daripada suami diperlukan untuk menguat atau meyakini kecintaan mereka daripada suami. Perbezaan yang ketara ini adakalanya tidak difahami oleh isteri menyebabkan mereka gagal untuk memahami apakah suami mereka itu benar-benar menyayangi mereka atau sebaliknya.

Sebenarnya terdapat banyak perkara yang golongan isteri boleh perhatikan daripada sikap suami dan bagaimana mereka melahirkan kecintaan itu biarpun tanpa tiga ucapan kata yang bermakna berkenaan sebagaimana sebahagian ciri-ciri yang dibentangkan di bawah.

1. Dia sentiasa memikirkan apa yang anda dapat dalam setiap perancangan masa depannya

2. Dia mungkin keberatan untuk berbelanja barangan yang mewah untuk dirinya namun dia sanggup membelikan barangan berharga untuk anda pada hari yang istimewa

3. Selepas makan malam dia membantu anda membasuh pinggan dan membuang sampah daripada hanya menonton televisyen

4. Dia tidak memaksa anda melakukan seks dengannya sekira memberitahunya anda terasa penat

5. Dia tidak kisah anda menggunakan komputer atau telefon miliknya kerana tiada apa yang dia mahu sorokan daripada anda

6. Dia menggalakkan anda melakukan apa yang anda rasa suka dan selalu memeluk anda

7. Dia akan cuba menenangkan anda sekiranya anda rasa bosan dan sanggup membelikan tuala wanita untuk anda sekiranya anda memerlukan

8. Dia sanggup menghabiskan masa bersama anda melakukan apa yang anda mahu sedangkan dia sendiri bosan dengan aktiviti itu

9. Sekiranya anda merasa tidak selamat dia akan mengambil langkah berjaga-jaga dan sekiranya anda berhadapan dengan insan yang mengkritik dia akan mempertahankan anda

10. Dia merasakan rasa bersalah sekiranya terpaksa meninggalkan anda dan menelefon anda selalu

11. Dia tidak kisah dengan kisah silam anda dan paling penting sekiranya dia ke mana-mana dia mahu anda bersamanya

12. Jika anda sakit, dia akan berada di samping anda

13. Dia memikirkan anda tetap cantik baginya biarpun anda dalam keadaan kusut-masai dan membelikan makanan yang anda gemari

14. Dia sanggup bersama anda memilih baju berjam-jam lamanya di pusat membeli-belah dan rasa risau sekiranya melihat anda tidur awal kerana takut anda sedang sakit

15. Dia akan memegang tangan anda di khalayak ramai dan sanggup pula memegang beg tangan anda tanpa rasa malu

16. Tidak pernah ambil kisah mengenai berat badan anda yang naik dan sentiasa mahu menghabiskan masakan yang anda masak biarpun tidak berapa sedap

17. Dia selalu memakai jam tangan yang anda belikan biarpun tidak mahal berbanding dengan apa yang dia ada

18. Tidak melupakan tarikh-tarikh penting dalam hidup anda. Bila anda mengalami kenaikan pangkat atau apa sahaja yang istimewa, dialah insan yang paling gembira melebihi anda

19. Dia tidak pernah memaksa anda melakukan sesuatu yang anda enggan lakukan dan sekiranya anda silap, dia akan memaafkan dan tidak pernah mengungkit kembali

20. Gemar memuji anda dalam kalangan anak-anak dan mengangkat barang-barang berat untuk anda ketika membeli-belah

21. Anda orang pertama yang akan diberitahu sekiranya menerima perkhabaran baik

22. Dalam permainan dia akan sentiasa memberikan kemenangan kepada anda dan akan sentiasa berkata baik biarpun ketika anda dan suami sedang berbalah

23. Sentiasa meminta pandangan dan pendapat anda dalam beberapa perkara bersama

24. Sekiranya dia mahu anda mengikut caranya, dia mahu anda berfikir kebaikannya terlebih dahulu

25. Menerima anda seadanya

Sekiranya, suami anda mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan, anda adalah tergolong dalam kalangan mereka yang bernasib baik kerana lelaki yang baik sebenarnya sukar untuk dicari.

Apa yang penting anda memberikannya cinta anda yang mendalam demi mengukuhkan hubungan dalam rumah tangga anda. Tidak perlu si dia menzahirkan kata-kata cinta selalu sekiranya tidak ikhlas dan jujur dengan apa yang diluahkan.

Sumber : UTUSAN


Panduan Mengambil Makanan Tambahan dan Suplemen

Obses terhadap makanan tambahan atau suplemen tanpa mengetahui maksud dan fungsi sebenarnya untuk tubuh badan hanya akan membawa keburukan berbanding kebaikan yang cuba dicari.

Pakar pemakanan dari Hospital Pakar Perdana KPJ, Kelantan, Rose Hanizan Mat Hassan berkata, suplemen merupakan makanan tambahan bukannya sebagai makanan gantian kepada pemakanan seharian sebagaimana tanggapan individu selama ini.

Katanya, secara umum suplemen merupakan makanan tambahan dalam bentuk minuman atau makanan. Suplemen boleh wujud dalam bentuk sama ada vitamin, mineral, herba atau tumbuhan lain, atau komponen dalam makanan yang kita makan setiap hari. Ia juga boleh wujud dalam bentuk pil, kapsul, cecair, atau tablet.

“Jika dilihat di sekeliling kita, suplemen dijual dengan meluas . Semua orang boleh mendapatkannya sama ada di farmasi, kedai makanan kesihatan, pasar raya, melalui online di Internet dan sebagainya. “Badan kita sememangnya memerlukan vitamin dan mineral sebagai tambahan untuk memastikan ia bergerak aktif, seperti vitamin C, bagus untuk kulit serta vitamin E, asid amino, zink dan sebagainya.

‘‘Makanan tambahan seperti itu yang kita perlukan dan diambil setiap hari untuk memestikan kulit cantik dan gebu. Cara pengambilan adalah bergantung kepada pengguna. Sama ada melalui minuman atau kapsul," jelas Rose Hanizan.

Tambah Rose Hanizan lagi, sekiranya seseorang ingin memilih makanan tambahan untuk diri sendiri, individu tersebut perlu pastikan kenapa dia perlu mengambil makanan tambahan tersebut dan kepentingan suplemen tersebut kepada kesihatannya.

“Kita perlu tahu adakah penting suplemen tersebut untuk penyakit yang kita hadapi. Kita perlu ingat makanan tambahan tidak akan menyembuhkan sesuatu penyakit tetapi ia boleh membantu mengekalkan kesihatan.

‘‘Kandungan nutrisi dalam setiap makanan tambahan yang diambil juga penting untuk diketahui dan perlu dipastikan ia mematuhi piawaian Recommended Nutrient Intake (RNI) Malaysia 2005.

“Pengguna dinasihatkan mendapat khidmat nasihat doktor yang bertauliah atau pakar pemakanan (dietitian) mengenai pengambilan makanan tambahan," katanya.

Kandungan nutrisi daripada makanan tambahan merupakan nutrien surih yang badan perlukan kerana ia bukan makanan utama seharian kita tetapi memainkan peranan penting kepada badan kita. Sekiranya berlebihan ia boleh memudaratkan kesihatan malah boleh membawa kepada penyakit lain.

Rose Hanizan turut mengingatkan bahawa senaman juga penting untuk mengekalkan tahap kesihatan di samping mengambil suplemen lain seperti asid amino, vitamin C, vitamin E, serta beberapa jenis mineral.

“Antara tip untuk memilih makanan tambahan ialah pastikan keadaan kesihatan betul-betul memerlukan suplemen tersebut. “Di samping jika tubuh benar-benar memerlukan makanan tambahan lebih digalakkan untuk memilih suplemen yang terhasil daripada bahan-bahan organik dan semula jadi yang tiada tambahan bahan kimia selain halal.

“Selagi suplemen tersebut tidak melebihi dos dan mengikut kepada keperluan nutrisi harian kita, ia tidak menjadi masalah. “Sebaliknya jika diambil dalam dos yang berlebihan, kemungkinan menyebabkan keracunan pada tubuh. Jadi pastikan mendapat nasihat daripada pakar sebelum mengambil sesuatu makanan tambahan," tegas Rose Hanizan lagi.

Beliau juga menasihatkan pengguna yang ingin mengambil makanan tambahan untuk kecantikan agar berhati-hati kerana kesan sampingan tidak nampak dalam masa yang singkat. Kebarangkalian ia memberi kesan dalam jangka masa yang lama iaitu selepas bertahun - tahun penggunaan tetap ada.

Paling penting pastikan suplemen tersebut di luluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Jangan terlalu obses dengan sesuatu produk yang kita tidak ketahui kandungan nutrisi produk tersebut. Dapatkan dari nasihat yang pakar untuk semua produk tersebut terutamanya seperti produk pelangsingan badan," ujarnya.

Sumber: UTUSAN




Ekonomi dunia tunjuk tanda-tanda pemulihan

Ekonomi dunia menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah berada di dalam keadaan mendatar sejak enam bulan lalu, demikian menurut kaji selidik global oleh pakar ekonomi yang dijalankan oleh Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Ifo yang berpangkalan di Munich.

Kajian terbaharu itu menunjukkan petunjuk persekitaran ekonomi meningkat kepada 94.1 bagi suku pertama 2013 berbanding 82.4 pada akhir tahun lalu.

Pusat penyelidikan itu berkata, data perniagaan positif dari China dan Amerika Syarikat berjaya memberi sinar baharu kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

Selain itu, jaminan Presiden Bank Pusat Eropah, Mario Draghi pada tahun lalu yang menyatakan: "Kita akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan zon Eropah daripada kemusnahan."

Setiausaha Agung ICC, Jean-Guy Carrier yang gembira dengan hasil kaji selidik tersebut bagaimanapun tetap berhati-hati. "Sementara petunjuk terhadap ekonomi adalah positif yang sekali gus mampu merangsang keyakinan, pendekatan segar daripada kerajaan dan perniagaan sangat diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi," katanya.

Menurut kaji selidik tersebut, penambahbaikan persekitaran ekonomi paling ketara berlaku di Asia di mana petunjuk ekonomi ICC-Ifo meningkat mengatasi purata sejak sekian lama.

Sejak akhir 2012, pakar-pakar ekonomi semakin optimis terhadap pertumbuhan di Asia dan harapan juga semakin meningkat. Dalam pada itu, zon Eropah turut menunjukkan petanda positif.

"Pernilaian terhadap tinjauan masa hadapan ekonomi Eropah untuk tempoh enam bulan akan datang menyaksikan mereka kini berada di dalam keadaan terbaik sejak dua tahun lalu sekali gus memberi harapan kepada pemulihan zon tersebut," katanya.

Secara keseluruhan, kaji selidik tersebut menunjukkan persekitaran ekonomi di kawasan Eropah Barat adalah lembap namun berpotensi untuk dipulihkan.

Responden yang menyertai kaji selidik tersebut melihat Greece, Itali, Portugal, Sepanyol dan Cyprus sebagai 'sedang sakit', hanya ketinggalan sedikit di belakang jiran-jirannya.

Hanya Jerman dan Estonia memiliki pernilaian positif.

Sumber : UTUSAN


Polis sahkan Psy Gangnam Syle terima ancaman bunuh


TASEK GELUGOR, PULAU PINANG - Polis Pulau Pinang mengesahkan wujud ancaman bunuh ke atas penyanyi rap terkenal Korea Selatan, Psy yang terkenal dengan Gangnam Style ketika penyanyi tersebut datang membuat persembahan sempena Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina Barisan Nasional di padang Kolej Han Chiang, George Town pada 11 Februari 2013 lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, ancaman itu diterimanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali.

"Pada 10 Februari lalu, lebih kurang pukul 8 malam iaitu sehari sebelum penyanyi itu membuat persembahan, kita terima satu SMS daripada pengurusnya yang memberitahu ada ancaman bunuh ke atas penyanyi itu.

"Dalam SMS itu juga, pengurus Psy meminta kawalan keselamatan ketat diberikan kepada penyanyi tersebut semasa beliau tiba di lapangan terbang sehinggalah pulang," katanya.

Sumber : KOSMO!

 

 

Hargai nikmat sihat dan masa lapang

Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid

Rasulullah SAW bersabda: “Terdapat dua nikmat (Allah) yang kebanyakan manusia sering lupakan, (iaitu) nikmat sihat dan nikmat kelapangan masa.” (Riwayat Bukhari)

Manusia dikurniakan Allah pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya dan tidak pernah putus. Nikmat itu diberi Allah secara percuma dan tidak dituntut kepada hamba-Nya membalas segala pemberian-Nya kerana se memangnya manusia tidak akan berupaya berbuat de mikian.
" Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan-Nya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. " - Surah an-Nahl (ayat 18)

Allah berfirman: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan-Nya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

Manusia hanyalah bersyukur atas segala nikmat kurniaan-Nya. Tanda mensyukuri nikmat ialah memanfaat kannya kepada perkara kebaikan, manakala mengkufuri nikmat ialah menyalahgunakan nikmat Allah dengan mengundang kemurkaan-Nya.

Persiakan nikmat

Sungguh benar ucapan Rasulullah SAW itu kerana didapati ramai manusia yang dianugerahkan Allah nikmat kesihatan dan kelapangan masa tetapi mereka mensia-siakannya. Sebaliknya, mereka tenggelam dalam ke lekaan dan keseronokan semata-mata.

Manusia mengira bahawa kesihatan dan kelapangan masa yang sedang dikecapinya adalah hal biasa-biasa saja dan tidak akan hilang. Padahal nikmat sihat dan masa lapang diberi Allah supaya Mukmin berlumba melakukan kebaikan dan amal soleh sebagai bekalan menuju ak hirat.

Dalam keadaan sihat, ramai pula yang melakukan pelbagai perbuatan maksiat dan kejahatan tanpa merasa malu kepada Allah. Manusia seperti ini ternyata telah mengkufuri nikmat iaitu menggunakan anugerah Allah untuk menderhaka kepada-Nya.

Perlu diinsafi manusia tidak selalu berkeadaan sihat. Masa sihat boleh bertukar kepada keadaan sakit kerana kedua-duanya adalah pemberian dan ketentuan Allah.

Jika sewaktu sihat seseorang Mukmin itu mensia-siakan ibadahnya kepada Allah dan beramal soleh, maka penyesalan akan menimpanya apabila ditimpa sakit kerana sewaktu sakit, segala ibadah dan kebajikan tidak mampu dilakukan.

Lebih malang lagi jika sakitnya berterusan dan Allah tidak mengembalikan semula kesihatannya, bermakna ia tidak lagi punya kesempatan untuk beribadah dan ber amal soleh serta menebus dosanya yang lalu.

Nikmat kelapangan masa juga banyak dicuaikan manusia. Masa lapang sepatutnya dimanfaatkan untuk banyak mengingati Allah melalui pelbagai amal ibadah, mencari ilmu untuk kebaikan dunia dan akhiratnya serta memperelokkan akhlak.

Namun ramai manusia terpedaya dengan nikmat masa lapang. Masa lapang mereka berlalu begitu saja tanpa pengisian yang berfaedah atau aktiviti berunsur kebajikan. Jika dalam masa yang lapang pun mereka tidak mengingati Allah, apalagi dalam keadaan sibuk mengejar keuntungan dunia.

Tiada penghargaan terhadap nikmat kelapangan masa menyebabkan ramai manusia menghabiskan masanya secara sia-sia, sedangkan setiap detik masa terlalu berharga dan umurnya turut berlalu.

Nasihat ulama Ibnul Jauzi baik dijadikan renungan. Katanya: “Terkadang manusia berada dalam keadaan sakit, tetapi ia tidak mempunyai kelapangan waktu disebabkan kesibukan mengerjakan urusan dunianya. Dan terkadang pula seseorang itu punya masa lapang, namun ia dalam keadaan sakit. Apabila terkumpul pada se seorang waktu lapang dan nikmat sihat, maka sungguh akan datang rasa malas dalam melakukan ketaatan (ke pada Allah). Itulah manusia yang telah terpedaya.

Katanya lagi: “Dunia adalah ladang beramal untuk dituai hasilnya di akhirat. Sesiapa memanfaatkan waktu lapang dan sihat dalam rangka agenda ketaatan, maka dialah yang akan berbahagia. Sebaliknya sesiapa mem pergunakan kedua-dua nikmat itu dalam kancah ke maksiatan, dialah yang benar-benar telah tertipu. Se sudah waktu lapang, akan datang waktu yang dipenuhi kesibukan. Demikian pula sesudah masa sihat, akan datang pula kesakitan yang tidak menyenangkan.

Pesan Nabi SAW: “Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara lain, (iaitu) masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu se belum masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum matimu.” (Riwayat al-Hakim)

- BERITA HARIAN


823,000 tablet terjual di Malaysia pada 2012


Sebanyak 823,000 buah tablet terjual di Malaysia pada 2012 lalu berbanding 439,000 buah pada 2011, menurut maklumat yang dikeluarkan oleh organisasi penyelidikan pasaran, GfK Malaysia.

Menurut kajian yang diumumkan itu, kesemua tablet yang terjual tahun lalu mencecah AS$415 juta (RM1.28 bilion). Bulan Oktober merekodkan jualan tertinggi dengan 81,200 buah tablet terjual.

Pengarah Urusan GfK Malaysia, Selinna Chin berkata, faktor utama peningkatan jualan itu disebabkan pertambahan pelbagai jenis dan jenama tablet di dalam pasaran dengan harga mampu milik.

"Usaha kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur dan kelajuan liputan Internet jalur lebar juga memainkan peranan penting memacu jualan tablet di Malaysia," kata Chin dalam satu kenyataan.

Hasil penyelidikan oleh GfK Malaysia juga mendapati, sehingga tahun lalu terdapat 35 jenama tablet dengan 84 jenis model. Ia meningkat berbanding 18 jenama dan 36 jenis model pada 2011.

Daripada segi sistem operasi, tablet yang berasaskan Android menguasai 70 peratus jualan tahun lalu.

Jelas Chin, kepelbagaian jenama dan jenis tablet bakal menggalakkan persaingan harga sekali gus dijangka berupaya menurunkan harga purata peranti tersebut tahun ini berbanding harga purata tablet tahun lalu sebanyak AS$505 (RM1,565).

"Jualan keseluruhan tablet tahun 2013 juga dipercayai akan meningkat 18 peratus berbanding jualan keseluruhan tahun ini," kata beliau lagi.

Sumber : UTUSAN


Malaysia & Singapura Setuju Bina Kereta Api Laju


Pemimpin Malaysia dan Singapura bersetuju dengan cadangan pembinaan kereta api laju yang menghubungkan republik itu dengan dan Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang sedang dalam lawatan rasmi di sini, dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong menyifatkan projek berkenaan sebagai 'pembangunan strategik'.

Pembinaan rel tersebut akan menjadikan masa perjalanan antara kedua-dua bandar hanya kira-kira 90 minit. Tanpa menyatakan angaran kos, Najib berkata, projek itu akan menjadi titik perubahan dalam hubungan dua hala dan cara dunia melihat Malaysia dan Singapura. Pembinaan sistem kereta api laju itu dijangka siap menjelang 2020.

Dalam satu kenyataan bersama pada Selasa, kedua-dua pemimpin turut membayangkan kemungkinan satu lagi jalan alternatif ketiga yang menghubungkan kedua-dua negara dibina. Mereka turut menjangkakan operasi terminal feri baru di Tanjung Puteriakan memulakan operasinya tahun ini.

Pada Isnin, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meneruskan Hubungan Sistem Aliran Pantas (RTS) yang menghubungkan Johor Baru dan republik Singapura.

Beliau berkata Malaysia dan Singapura mempunyai masa sehingga 12 bulan untuk memutuskan pilihan keutamaan bagi RTS dan di bawah fasa pertama adalah mengenal pasti pilihan skim penjajaran. Difahamkan antara pilihan yang dipertimbangkan adalah jambatan atau terowong bawah tanah.

Sumber : MSTAR

 

Banjir Kilat Terburuk di Puchong


Beberapa buah kenderaan terperangkap selepas ditenggelami banjir kilat sedalam 1.5 meter berhampiran pusat beli-belah IOI Mall di Bandar Puchong Jaya, Selangor pada petang Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, hujan lebat tanpa henti sejak pukul 4.30 petang menyebabkan kawasan itu ditenggelami air. Bagaimanapun, menurutnya, kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.

"Bomba menerima panggilan pada pukul 5.30 petang dan setibanya anggota ke lokasi mendapati beberapa buah kenderaan telah ditenggelami air.

"Punca air naik begitu cepat adalah disebabkan banjir kilat dan hujan lebat tanpa henti sejak pukul 4.30 petang," katanya ketika dihubungi. Menurut beliau, banjir di kawasan itu surut kira-kira pukul 6 petang.

"Banjir kilat sedalam 1.5 meter itu merupakan pertama kali melanda kawasan Bandar Puchong Jaya sejak beberapa tahun lalu dan ia boleh dikatakan agak teruk kerana melibatkan kerosakan beberapa buah kenderaan," katanya lagi.

Sumber : KOSMO!

 

KWSP umum Dividen 6.15% Tahun 2012

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 6.15 peratus untuk 13.42 juta pencarumnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012, iaitu tertinggi dalam tempoh lebih 10 tahun.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman, berkata berkata kadar dividen itu adalah 15 mata asas lebih tinggi berbanding enam peratus yang dibayar pada 2011.
Katanya, KWSP turut mencatat rekod baru pembayaran dividen berjumlah RM27.45 bilion yang diagihkan kepada pencarum KWSP, meningkat 12.20 peratus daripada RM24.47 bilion yang dibayar pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pembayaran dividen tertinggi sebanyak RM27.45 bilion itu diperoleh selepas ditolak perbelanjaan pelaburan operasi, caj berkanun serta peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan.

“Pada 2012, KWSP telah mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi sebanyak RM31.02 bilion, ia meningkat 13.91 peratus berbanding 2011.

Kekal momentum

“Walaupun persekitaran pelaburan semakin kompleks, KWSP mengekalkan momentum kenaikan stabil untuk merekodkan keputusan paling kukuh sejak awal milenium, disokong keberkesanan strategi pelaburan jangka panjang serta pendekatan berdisiplin dan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Samsudin berkata, selaras dengan Alokasi Aset Strategik (AAA) yang diamalkan KWSP, sebahagian besar aset pelaburan KWSP terus dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah dan lebih stabil.

Katanya, pelaburan ekuiti adalah 38.77 peratus daripada jumlah aset pelaburan pada 2012, manakala baki 3.59 peratus dan 2.42 peratus masing-masing diperuntukkan untuk instrumen pasaran wang dan hartanah dan infrastruktur.

Beliau berkata, walaupun KWSP melabur dalam pelbagai pelaburan, sebahagian besarnya dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah, kadar pulangan pelaburan tahunan (ROI) KWSP melebihi enam peratus bagi tiga tahun berturut-turut.

Jana ROI 10.06 peratus

“Ekuiti menjana ROI dua digit sebanyak 10.06 peratus manakala pulangan daripada instrumen berpendapatan tetap melebihi 5.50 peratus di sebalik suasana kadar faedah rendah semasa,” katanya.

Samsudin berkata, bersandarkan pertumbuhan stabil dalam kedua-dua pasaran ekuiti domestik dan global pada 2012, ekuiti menyumbang RM13.91 bilion bersamaan 44.84 peratus pendapatan pelaburan kasar.

“Bagi pelaburan dalam sekuriti kerajaan Malaysia dan bon sama taraf; hartanah dan infrastruktur; serta instrumen pasaran wang pula, masing-masing memperoleh RM6.26 bilion, RM595.63 juta dan RM574.91 juta,” katanya.

Setakat 31 Disember 2012, aset pelaburan KWSP berjumlah RM526.75 bilion, melepasi setengah trilion serta meningkat 12.31 peratus daripada RM469.04 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Sumber : BERITA HARIAN