Sabtu, Januari 05, 2013

Had gaji mohon Skim Rumah Pertama naik

Mulai Januari 2013, had pendapatan peminjam individu yang ingin memohon Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan manakala bagi pendapatan bersama peminjam naik sehingga RM10,000 sebulan.

Langkah kerajaan menambah baik kriteria kelayakan permohonan itu bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman pertama.
Di samping itu, keperluan rekod simpanan bersamaan tiga bulan ansuran dan had perkhidmatan minimum enam bulan juga akan dimansuhkan.

Pembiayaan penuh

Berdasarkan kriteria itu, skim itu membolehkan pembeli rumah mendapatkan pembiayaan sepenuhnya daripada institusi kewangan, sekali gus peluang memiliki rumah tanpa bayaran pendahuluan 10 peratus.

Cagamas SRP Bhd (CSRP) akan menjamin 10 peratus pembiayaan di bawah skim itu.

Tahun lalu, CSRP diberi mandat untuk memainkan peranan membantu golongan muda dan rakyat Malaysia yang bekerja dalam sektor swasta memiliki kediaman di bawah CSRP.
Syarikat itu dibentuk untuk menjamin pembayaran 10 peratus daripada pinjaman yang diperoleh di syarikat perbankan yang mengambil bahagian dalam skim itu.

Antara bank yang menawarkan pembiayaan untuk skim perumahan berkenaan ialah Affin Bank Berhad (AFFINBANK), Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank), AmBank (M) Berhad (AmBank), Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), CIMB Bank Berhad (CIMB Bank), Hong Leong Bank (HLB), Malayan Banking Berhad (Maybank), OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC), Public Bank Berhad (Public Bank), RHB Bank Berhad (RHB Bank), Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (Standard Chartered) dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.

Ketika pembentangan Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mencadangkan kenaikan had gaji pekerja berpendapatan RM5,000 ke bawah layak memohon skim perumahan itu.

Skim dilancarkan Mac 2011 pada mulanya bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan bulanan kurang RM3,000, namun kini boleh dinikmati pembeli perumahan pertama melalui pinjaman bersama suami isteri. Ia kemudian dikaji semula pada awal tahun lalu dari segi had kelayakan pendapatan isi rumah bersama kepada RM6,000 berbanding RM3,000 sebelum dinaikkan kepada RM10,000 tahun ini.

- BERITA HARIAN

Gajet popular sepanjang 2012

Nokia Lumia 900

Dinobatkan sebagai Telefon Pintar Terbaik pada Pertunjukan Elektronik Pengguna 2012 (CES 2012) di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS). Menerusi model telefon pintar Lumia 900, kemunculan telefon mudah alih terkini Nokia Inc di pasaran mampu menyaingi produk Apple iPhone dan Samsung Galaxy.
Lumia 900, yang beroperasi menerusi sistem Windows Phone 7.5 diperkenalkan pada paparan 4.3 inci dengan disokong ciri teknologi skrin sesentuh AMOLED 800 x 480 skrin.


Malah, penampilan telefon pintar Nokia Lumia 900 turut diperkemaskan dengan warna pelbagai termasuk putih, hitam dan Cyan.

iPhone 5

Model telefon pintar paling nipis dan ringan pernah dihasilkan ini direka bentuk semula sepenuhnya untuk menampilkan paparan Retina sepanjang empat inci.
Ia dilengkapkan dengan cip A6 Apple untuk prestasi lebih pantas dengan jangka hayat bateri di pertingkatkan.
Peralatan itu dilengkapi iOS6, sistem operasi mudah alih tercanggih dengan 200 ciri-ciri baru seperti Shared Photo Streams dan Facebook Integration.

Samsung Galaxy SII

Galaxy Note II

Galaxy Note II yang dikuasakan dengan perisian Android Google, dilengkapi dengan prosesor empat teras 1.6 GHz yang berupaya melancarkan pelbagai aplikasi serentak yang lebih pantas berbanding prosesor sebelum ini.

Berukuran 15.1 sentimeter x 8 sentimeter x 9.4 milimeter dan menampilkan skrin sesentuh 5.5 inci, yang membolehkan pengguna memisahkan skrin kepada dua bahagian bagi melancarkan dua program serentak.

Gajet ini adalah lebih besar daripada telefon pintar siri Galaxy S yang didatangkan dengan ‘pen S’ bagi menulis nota atau melukis pada skrin.



Mungkin menjadi gajet yang paling polarisasi untuk teknologi 2012 adalah tablet Microsoft Surface. Surface dihasilkan dalam dua versi iaitu Windows RT iaitu sistem yang menggunakan rekaan berasaskan cip sama seperti produk tablet lain di pasaran dan sistem operasi Windows 8 Pro, bertujuan menandingi komputer notebook ringan di pasaran.

Kindle Fire

Kindle Fire adalah kemasukan terbaru siri tablet yang memberikan pengalaman yang menarik dari spektrum tablet Amazon. Sejak dilancarkan, Amazon telah membawa pasaran Kindle Fire HD, melalui paparan-resolusi tinggi, tambahan audio, pelbagai saiz model dan aplikasi menarik.

Nexus 7

Tablet Nexus 7 tablet, tablet Android berkuasa yang ditawarkan oleh Google, adalah salah satu penambahan tablet dalam pasaran.

Ia diterima agak baik diterima terutama di pasaran Amerika Syarikat dan Eropah. Setakat ini ramai yang menantikan kehadiran Nexus 7 kerana ia dikatakan mempunyai kelajuan yang sangat luar biasa.

Samsung Galaxy S3

Telefon pintar yang didatangkan dengan paparan skrin 4.8 inci super AMOLED ini dibekal dengan kekuatan dari mobile processor yang dikembangkan sendiri Samsung, quad-core Exynos 1,4GHz.

Bukan hanya dari sisi prosesor saja, rekaan telefon pintar terbaru Samsung ini pun patut dipuji kerana rekaannya sangat menepati kehendak pengguna.

Mempunyai ketebalan 8.6 milimeter dan berat sekitar 133 gram, Samsung Galaxy S3 hadir dengan warna warna putih dan biru. Pilihan untuk golongan bekerja kerana ia mempunyai akses yang lengkap untuk semua.

iPad mini

Sejak diperkenalkan, rangkaian keluarga iPad muncul dalam saiz paparan 9.7 inci saja dan menyedari keperluan pengguna ketika ini yang mementingkan keselesaan dengan mudah, iPad Mini didatangkan dengan saiz lebih kompak 7.9 inci.

Menariknya, ia dijual dengan harga yang murah berbanding dengan iPad lain. Tidak mustahil jika ia terus menjadi pilihan kerana harga dan saiznya yang kompak.

iPad 3

Walaupun kemunculan iPad 4 sudah diumumkan, dan dilancarkan pada November lalu, iPad 3 masih mendapat permintaan tinggi sebagai paling dicari untuk alat berteknologi di seluruh dunia pada tahun 2012, menurut Google.

Ini bukanlah lagi kejutan, kerana ia adalah tablet pertama membawa paparan kualiti visual Retina untuk tablet. Tidak mustahil jika ia menjadi pilihan semua sebagai gajet paling dicari dan popular 2012.

- BERITA HARIAN

Angry Birds, Instagram, Facebook aplikasi 2012

Angry Birds, Instagram dan Facebook kekal menjadi aplikasi yang mencatatkan jumlah muat turun paling tinggi pada 2012.

Namun begitu, beberapa aplikasi baru lain turut menarik perhatian pengguna telefon pintar dan komputer tablet.

Tahun lalu, secara purata setiap pengguna menghabiskan dua jam sehari menggunakan aplikasi mudah alih, yang mana ia naik 35 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut firma penganalisis, Flurry.

Data itu dijangka terus meningkat pada tahun ini.

“2012 adalah titik transformasi mengenai kaedah penggunaan memanfaatkan perisian,” kata Craig Palli, Naib Presiden Fiksu, syarikat pemasaran mudah alih.

Beliau berkata, perubahan terbesar adalah kecenderungan pengguna beralih kepada aplikasi bagi pelbagai tugasan harian.

Kategori seperti rangkaian sosial, media dan hiburan, penggubahan gambar, dan permainan, terus menarik minat pengguna, dengan Youtube dan Angry Birds menjadi aplikasi tiga paling utama, masing -masing bagi kategori percuma dan berbayar dalam App Store Apple.
Sementara itu, beberapa aplikasi dilancarkan tahun ini, menyertai kedudukan aplikasi yang paling banyak dimuat turun sepanjang tahun itu.

Permainan Draw Something bagi iPhone dan Android meraih populariti pantas selepas ia dilancarkan pada Februari, dan walaupun mencatatkan penurunan, ia masih menjadi aplikasi berbayar kedua paling dimuat turun bagi Android dan peranti Apple.

“Ia adalah satu yang besar dan pelbagai permainan cantuman membabitkan ramai pemain seperti LetterPress dan ScrambleWithFriends juga popular,” kata Palli.

“Tetapi dalam banyak kategori aplikasi, ia rata-rata menerima inspirasi daripada Words With Friends yang disifatkan sebagai suatu pembaharuan.” Songza, aplikasi pencarian lagu bagi iPhone, Android dan Kindle Fire, menyaksikan pertumbuhan tinggi dalam kedua-dua, Amerika Syarikat dan Kanada, yang mana ia kini adalah salah satu daripada tiga aplikasi utama dalam App Store.

Paper, aplikasi buku lakaran bagi iPad, dijangka menjadi salah satu aplikasi utama yang dilancarkan tahun ini menurut Dismo, satu syarikat penganalisis aplikasi.

Tetapi revolusi sebenar, menurut Palli, adalah dikalangan pengguna yang cenderung beralih kepada aplikasi untuk tugasan harian mereka, seperti mendapatkan teksi atau hotel, mengikuti perkembangan semasa atau melakukan bayaran dengan lebih banyak.

“Ia adalah pengguna yang beralih kepada aplikasi terlebih dulu dan kaedah tradisi menjadi perkara kedua,” kata Palli.

- Reuters

Fasa pertama MRT siap 2016

Fasa pertama pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT) diyakini dapat disiapkan mengikut jadual asal iaitu pada akhir tahun 2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan fasa pertama Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang yang melibatkan kos pembinaan tidak melebihi RM23 bilion, bermula dari stesen Sungai Buloh ke stesen Semantan, menepati bajet yang ditetapkan.

Laluan pertama MRT (Sungai Buloh-Kajang) membabitkan dua fasa iaitu Sungai Buloh ke Semantan (fasa satu) dan Semantan ke Kajang (fasa dua).

Projek itu melibatkan jarak 51 kilometer dengan 31 stesen perhentian yang turut melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi sebelum ini untuk pelaksanaan projek itu sebahagian besarnya dapat diselesaikan dengan baik terutama berkaitan pengambilan tanah.

Najib berkata demikian selepas membuat tinjauan ke tapak pembinaan stesen MRT bawah tanah Jalan Cochrane di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Azhar Abdul Hamid, Pengarah Bawah Tanah-Terowong Blaise, Mark Pearce dan Pengerusi MRT Corp., Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Perdana Menteri berkata, secara umumnya, reaksi rakyat terhadap projek itu semakin positif kerana mereka melihat projek itu bukan sahaja membantu penghuni di Kuala Lumpur daripada segi pengangkutan awam malah peningkatan nilai tanah yang begitu ketara terutama di kawasan yang terdapat stesen MRT.

“Dengan pelaksanaan projek MRT ini, peluang perniagaan yang baharu akan disediakan dan ia juga akan meletakkan imej Kuala Lumpur sebaris dengan bandar raya utama di dunia,” katanya.

Najib berkata, fasa kedua dari stesen Semantan ke Kajang pula dijangka siap pada akhir Julai 2017 seperti yang dijadualkan.

Katanya, selepas pelaksanaan kedua-dua fasa itu, kerajaan akan membuat keputusan sama ada perlu untuk menyambung projek itu.

– BERNAMA

Guru wanita tiada masalah kewangan

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID

SATU kajian yang dijalankan bagi mengukur tahap kewangan guru wanita di negara ini mendapati tahap kesukaran kewangan golongan tersebut adalah rendah manakala kesejahteraan kewangan mereka pula berada di tahap sederhana.

Kajian itu yang dibentangkan dalam kertas kerja bertajuk 'Kesukaran dan Kesejahteraan Kewangan: Kajian Kes Guru Wanita' oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Zaimah Ramli memilih 325 orang guru wanita di Bandar Baru Bangi sebagai responden.

Guru wanita difokuskan dalam kajian itu kerana mereka mewakili hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan guru yang terdapat di Malaysia.

Berdasarkan statistik Kementerian Pelajaran setakat 31 Januari lalu, jumlah guru wanita adalah sebanyak 285,299 orang.

"Hasil kesimpulan yang dilakukan daripada kaji selidik guru-guru wanita di Bandar Baru Bangi mendapati golongan tersebut tidak menghadapi masalah kesukaran kewangan serius namun kajian mencadangkan agar beberapa perkara perlu diberi perhatian bagi mengelak kesulitan kewangan pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja dalam International Conference on Social Sciences and Humanities 2012 di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Menurut Zaimah, terdapat petunjuk berlakunya masalah ketidakcukupan wang dalam kehidupan harian guru yang mungkin disebabkan peningkatan kos sara hidup di bandar.

"Hal ini dikesan dalam perkara 'menggunakan simpanan untuk keperluan harian' yang menunjukkan peratusan tertinggi iaitu pada skala 'jarang-jarang'," jelasnya.

Perkara lain yang wajar diberi perhatian dalam aspek kewangan guru wanita adalah 'berbelanja melebihi 20 peratus daripada gaji untuk bayaran ansuran' pada skala 'tidak pernah'.

"Kegagalan mengurus wang serta membezakan antara keperluan dan kehendak boleh menyebabkan guru terjebak dalam situasi beban kewangan yang serius," katanya.

Selain itu, ujarnya, faktor lain yang perlu diberi perhatian ialah 'menyimpan kurang 10 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan' pada skala 'ja- rang-jarang' dan 'kadang-kadang'.

"Merujuk kepada pakar kewangan peribadi, setiap individu perlu menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan bagi menjamin keteguhan dan kesejahteraan kewangan.

"Namun pada masa yang sama, kajian tidak mengenal pasti punca kegagalan sebahagian guru-guru wanita ini menyimpan pada kadar ditetapkan," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan beberapa contoh tingkah laku kewangan positif yang penting dan perlu diamalkan setiap individu seperti mempunyai belanjawan peribadi dan mematuhinya, membuat simpanan secara konsisten, mengurangkan pinjaman terutama pinjaman peribadi, amalan membayar bil-bil utiliti dan ansuran bulanan tepat.

Kajian dijalankan ke atas purata guru wanita berusia 40 tahun dan separuh atau 44.3 peratus berusia 35 hingga 45 tahun dengan 92 peratus sudah berkahwin manakala 85 peratus pula daripada mereka berpendidikan lepasan universiti.

Bagi tempoh perkhidmatan, purata daripada responden sudah berkhidmat selama 15 tahun dan hampir 30 peratus berkhidmat melebihi 20 tahun.

Dari segi purata pendapatan, guru wanita merekodkan pendapatan sebanyak RM4,450 sebulan dengan 70.2 peratus mencatatkan pendapatan pada RM3,500 hingga RM4,500 sebulan manakala 27 peratus pula menikmati pendapatan melebihi RM4,500.

- UTUSAN

Fahami rebat cukai bagi Muslim

Soalan

SAYA difahamkan bahawa di Malaysia, setiap individu Muslim yang menunaikan kewajipan pembayaran zakat berhak memperoleh rebat ke atas cukai pendapatannya. Tetapi, bagaimana pula mekanisme rebat ke atas cukai perniagaan syarikat? Harap mendapat penjelasan daripada pihak ustaz.

Jawapan

tanyaan ini dan mudah-mudahan ia mampu memberikan pencerahan kepada ramai umat Islam di luar sana, Amin. Hakikatnya, di Malaysia memang mempunyai dua jenis cukai yang berbeza. Pertama, cukai ke atas individu dan keduanya cukai ke atas perniagaan. Cukai ke atas individu akan dikenakan kepada setiap individu yang bekerja dan apabila mereka memperoleh amaun pendapatan tertentu yang melayakkan mereka dikenakan cukai pendapatan, maka pihak kerajaan akan mengutip cukai pendapatan tersebut.

Pendeknya, ia adalah suatu kewajipan yang dikenakan kepada rakyat dan individu yang bermastautin dan bekerja di Malaysia demi pembangunan negara. Benar, apabila seseorang Muslim itu menunaikan zakat, maka mereka berhak memanfaatkan setiap sen yang dizakatkan itu untuk memperoleh rebat ke atas cukai pendapatannya. Harus diingat, apa yang disebutkan di dalam Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 hanyalah kalimah 'zakat' dan 'sebarang pembayaran wajib kepada agama Islam', maka ia tidak hanya terhad kepada zakat pendapatan semata-mata.

Malah, semua jenis zakat termasuklah zakat fitrah, sebenarnya layak dimanfaatkan untuk memperoleh rebat ke atas cukai pendapatan tahunan individu berkenaan.

Berikut adalah petikan daripada ACP 1967, Seksyen 6A (3): "Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis."

Maka, seseorang individu Muslim itu sewajarnya memahami, bahawa akta ini memberikan kita keistimewaan di sisi perlembagaan dan undang-undang, kerana kita boleh mendapatkan pengurangan ataupun penghapusan cukai pendapatan seandainya amaun zakat yang dikeluarkan adalah sama ataupun melebihi jumlah amaun cukai yang dikenakan.

Walau bagaimanapun, rebat yang diizinkan oleh pihak kerajaan ke atas cukai perniagaan adalah berbeza. Ini kerana, sehingga ke hari ini pihak kerajaan hanya mengizinkan, mana-mana perniagaan muslim, sama ada berbentuk syarikat, koperasi mahu pun badan amanah, maka rebat ke atas cukai perniagaan yang dibenarkan hanyalah sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan agregat; dan bukannya berdasarkan jumlah zakat perniagaan yang telah ditunaikan pada tahun berkenaan.

Menurut perisytiharan pihak kerajaan, rebat 2.5 peratus ke atas pendapatan agregat ini diberikan kepada pihak syarikat muslim yang membayar zakat bermula pada tahun 2005 dan bagi koperasi dan badan amanah pula, ia diberikan bermula tahun 2007. Rebat yang diberikan untuk tahun taksiran cukai perniagaan itu pula, mestilah sama seperti mana tarikh pembayaran zakat yang telah dilakukan oleh pihak syarikat. Walau bagaimana pun, jika ada lebihan daripadanya, maka ia diberikan keizinan untuk dibawa ke tahun hadapan.

Mungkin ada yang bertanya, apakah makna pendapatan agregat? Pendapatan agregat bermakna, pendapatan statutori (yang tertakluk kepada undang-undang atau peraturan tertentu) daripada punca perniagaan setelah ditolak apa-apa kerugian perniagaan yang dibawa dari tahun sebelumnya dan ditambah lagi dengan pendapatan statutori daripada pelbagai punca lain (pada tahun semasa), iaitu pendapatan perniagaan, dividen, faedah atau royalti.

Kesimpulannya, rebat ke atas cukai pendapatan dan cukai perniagaan adalah berbeza dan pihak pengurusan zakat di Malaysia sentiasa berusaha untuk memperoleh rebat yang lebih baik atau sewajarnya daripada pihak kerajaan, agar ia sama seperti rebat ke atas cukai pendapatan yang diizinkan sebelum ini. Sama-samalah berdoa semoga usaha ini mendatangkan hasilnya kelak, insya-Allah. Wallahua'lam

- UTUSAN

Bukti kekuasaan Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SETELAH Allah SWT menyebut tiga prinsip kebuktian iaitu Keesaan Allah SWT, adanya hari kebangkitan dan risalah, kemudiannya Dia membicarakan tentang keesaan-Nya dengan menyebut beberapa dalil-Nya.

Firman Allah SWT: Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? (Yasin: 71)

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT menyebutkan nikmat-nikmat yang diberikannya kepada para makhluk-Nya berupa binatang ternakan yang ditundukkan untuk mereka.

Qatadah berkata: Mereka memiliki kemampuan memaksanya. Binatang itu tunduk kepada mereka serta tidak mampu melawannya.

Al-Maraghi berkata: Tidakkah orang musyrik yang menyembah patung-patung itu menyaksikan bahawa Kami telah menciptakan binatang-binatang ternak seperti unta, lembu dan kambing yang mereka gunakan mengikut kehendak mereka. kami menjadikan binatang tersebut patuh kepada mereka, bahkan seorang hamba wanita kecil, jika dia mahu menundukkan unta atau gajah yang besar, pasti boleh dilakukannya.

Firman Allah SWT: Dan Kami jinakkan ia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan. (Yasin: 72)

Ibnu Kathir berkata: Ada yang ditunggangi dalam perjalanan serta untuk membawa pelbagai barang yang berat menuju berbagai arah dan daerah. Dan jika mereka mahu, mereka boleh memotong atau menyembelihnya.

Al-Maraghi berkata: Kami tundukkan binatang-binatang ternakan tersebut untuk mereka. Antaranya ada yang mereka jadikan sebagai kenderaan untuk mengangkut bebanan berat ke tempat yang mereka kehendaki atau disembelih untuk dimakan dagingnya atau mengambil manfaat daripada lemaknya.

Firman Allah SWT: Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur? (Yasin: 73)

Ibnu Kathir berkata: Pada bulu tebal, bulu nipis dan rambutnya sebagai barang hiasan atau sebagainya daripada binatang ternakan kami mendapat manfaatnya. Susunya boleh diminum. Mengapakah mereka tidak juga mengEsakan Pencipta dan menyekutukan-Nya?

Al-Maraghi berkata: Mereka juga menerima manfaat daripada binatang ternakan seperti kulitnya untuk dibuat pakaian atau kasut, dijadikan bajak ke sawah dan susunya boleh diminum. Oleh yang demikian, mereka disuruh bersyukur kepada Allah SWT.

Kata Malikun yang memberi makna pemilik bertujuan menekankan dan menghadirkan manfaat dan nilai binatang-binatang itu dalam benak minda bicara sebelum mengingatkan mereka tentang nikmat kepemilikannya.

Daripada sudut lain, penggunaan bentuk nakirah pada kata malikun untuk menggambarkan betapa besar dan mantap kepemilikan itu. Lihatlah bagaimana bintang-bintang itu, meskipun demikian besar, namun sepenuhnya dikuasai dan ditundukkan oleh manusia.

Bandingkanlah dengan lalat yang sangat kecil; manusia tidak ada kuasa merebut kembali apa yang direbut daripadanya oleh lalat itu. Sesungguhnya anugerah binatang ternakan itu adalah nikmat yang besar dan hak pemilikan serta menguasainya pun merupakan satu anugerah yang besar.

- UTUSAN

Lebih 10 juta rakyat akan terima Kad Diskaun 1Malaysia - KDR1M

Lebih 10 juta rakyat akan menerima Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M) yang akan menawarkan diskaun dari 10 hingga 50 peratus di kedai-kedai dan perkhidmatan terpilih di seluruh negara.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, sehingga kini lebih 4,500 peniaga bersetuju menawarkan diskaun itu untuk kegunaan semua lapisan masyarakat dan menjangka angka itu terus meningkat.

KDR1M merangkumi perkhidmatan perubatan klinik; restoran makanan & minuman; hotel penginapan; arena sukan & kecergasan; pemborong & runcit; taman tema tertutup & luar; pembinaan & hiasan dalaman; resort peranginan; pakaian & aksesori kenderaan; perlindungan insurans am dan sebagainya.

"Pada masa ini telah diwujudkan kad diskaun untuk polis, tentera dan siswa. Selepas ini kita akan keluarkan KDR1M, di mana lebih ramai rakyat Malaysia boleh menikmati diskaun apabila membeli barang keperluan mereka," katanya ketika merasmikan ibu pejabat baru Informasi Malaysia di No 30B, Jalan Diplomatik 3/1 Presint 15, hari ini.

Maglin berkata, KDR1M akan diurus oleh Informasi Malaysia iaitu sebuah agensi yang ditubuhkan pada 22 Oktober 2009 untuk menjalankan program dan aktiviti dalam usaha menerangkan objektif dan fungsi gagasan 1Malaysia melalui penerbitan Buletin Informasi Malaysia.

"Melalui transformasi nasional, kejayaan demi kejayaan telah dinikmati oleh semua golongan rakyat di negara ini." katanya.

Sementara itu, Pengerusi Informasi Malaysia, Datuk Abd. Rahman Manan berkata, KDR1M akan dilancarkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat selepas memperincikan pelaksanaan dan kriteria pemberian kad itu.

"Kami sudah mereka kad diskaun itu dan akan kemukakan kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan persetujuan," katanya.

- BERNAMA

Kanang Anak Langkau meninggal dunia



KUCHING 3 Jan. - Pahlawan Negara, Pegawai Waran 1 (B) Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, 68, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 1.45 pagi ini dipercayai akibat serangan jantung.

Isterinya, Datin Brawang Chunggot, 55, berkata, mendiang sebelum itu mengadu sakit dada sewaktu berada di kediaman mereka di Kampung Sungai Apong di sini.

"Semalam saya dan suami menonton siaran berita di televisyen sekitar pukul 11 malam, tiba-tiba dia mengadu sakit dada dan batuk seperti tersedak sesuatu.

"Saya kemudiannya memberi suami minum air suam sebelum dia jatuh pengsan," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat HUS pagi ini.

Kanang yang bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran 1 merupakan penerima tunggal dua pingat keberanian utama negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1981.

Brawang berkata, beliau menghubungi ambulans dan meminta pertolongan daripada anak bongsunya serta jiran-jiran untuk membantu.

Katanya, suaminya itu kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke HUS kira-kira pukul 1 pagi dan disahkan meninggal dunia 45 minit kemudian.

"Saya terkejut selepas doktor memberitahu suami saya sudah meninggal dunia sedangkan sebelum ini dia sihat dan tidak pernah mengadu sebarang penyakit.

"Sebelum ini, suami saya ada merancang untuk kami berdua pergi ke Kuala Lumpur menemui rakannya bagi berbincang mengenai produk Kopi Komando," katanya.

Kanang meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak serta lapan cucu hasil perkahwinannya dengan isteri pertama, Helen Latai Intie yang meninggal dunia pada Januari 2011.

Antara yang terawal melawat mendiang ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri, Puan Sri Empiang Jabu yang mewakili kerajaan negeri Sarawak.

Turut berbuat demikian ialah Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar dan isteri, Datin Noraihan Ibrahim serta Panglima Markas Briged Ketiga Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin.

Mayat mendiang kini ditempatkan di Rumah Mayat HUS dan akan dibawa ke Dewan Suarah Kuching pukul 8 pagi esok manakala upacara sembahyang akan dilaksanakan di Gereja St. Thomas, Jalan McDougall sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan Jalan Budaya, Ahad ini.

- UTUSAN

Jumaat, Januari 04, 2013

506 Majikan Didakwa Atas Pelbagai Kesalahan Pada 2012

Sebanyak 506 majikan di Semenanjung Malaysia telah didakwa dan disabitkan dengan pelbagai kesalahan sepanjang tahun lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Mohd Jeffrey Joakim.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 80 peratus majikan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 69 Akta Kerja 1955 berikutan kegagalan menjelaskanbayaran kepada pekerja.

"Bayaran itu termasuk tunggakan gaji, gaji ganti, notis penamatan perkhidmatan, faedah penamatan kerja, bayaran baki cuti tahunan dan lain-lain bayaran yang diperintahkan melalui Mahkamah Buruh," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Selain itu sebanyak 103 tindakan pendakwaan telah dikenakan mengikut Akta Pampasan Pekerja 1952 berikutan kegagalan majikan menginsuranskan pekerja asing yang digajikan dan gagal melaporkan kemalangan pekerja asing ke Pejabat Tenaga Kerja, katanya.

Beliau berkata selain kesalahan di bawah dua akta itu, beberapa kesalahan mengikut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 turut direkodkan.

Jeffrey berkata sebanyak lima buah syarikat telah didakwa mengikut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 kerana beroperasi tanpa lesen.

Katanya selain tindakan pendakwaan, sebanyak 461 kompaun telah dikeluarkanJTKSM kepada majikan yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kerja 1955sepanjang tahun lalu.

"Daripada 461 kompaun yang dikeluarkan itu, 67 peratus daripada majikan dikenakan kompaun kerana gagal melaporkan penggajian pekerja asing dalam tempoh 14 hari dari tarikh penggajian.

"Sebanyak sepuluh peratus majikan pula dikompaun kerana gagal membayar gajidalam tempoh yang ditetapkan dan sembilan peratus lagi dikompaun kerana gagalmemberikan terma dan syarat perkhidmatan kepada pekerja," katanya.

Selain itu katanya mengikut statistik yang direkodkan sejak tahun 2010 sehingga kini, sebanyak RM1.47 juta bayaran kompaun telah dijelaskan oleh majikan.

Jeffrey berkata JTKSM menubuhkan satu pasukan penguat kuasa khas di setiapnegeri bagi tujuan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang perburuhan danmembanteras pelanggaran undang-undang.

- BERNAMA

Selasa, Januari 01, 2013

SUMBANGAN DANA KEPADA BLOG MY ADHA

 


MY ADHA adalah web blog maklumat yang memaparkan berita, politik, pendidikan, kerjaya, isu semasa, dunia, ekonomi, hiburan dan sebagainya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sebarang sumbangan dana untuk kos mengendalikan blog ini adalah sangat-sangat dialu-alukan.

Sumbangan boleh dibuat ke salah satu akaun bank berikut:

Jika bayaran melalui Perbankan Internet, masukkan e-mail penerima : mdadha(at)gmail.com
* Gantikan (at) dengan @







MAYBANK ISLAMIC BANK
ADHA ZAIN NETWORK
563064147551







CIMB ISLAMIC BANK

ADHA ZAIN NETWORK

8603573079





TERIMA KASIH KERANA MEMBERI SUMBANGAN DAN MENYOKONG BLOG MY ADHA