Isnin, Oktober 01, 2012

Pakar Melihat Keuntungan Dalam Pemotongan Cukai

Isi rumah di Malaysia akan dapat menjimatkan purata sebanyak RM1, 000 setahun dengan kadar cukai individu dikurangkan bermula tahun depan, kata pakar.

Mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan sederhana dan sederhana rendah berpeluang untuk mendapat manfaat paling besar daripada pengurangan tersebut.

"Pembayar cukai yang jatuh dalam lingkungan RM35,000 hingga RM50,000 Pendapatan setahun, mampu berjimat sekurang-kurangnya RM475, tanpa kemasukan pelepasan rebat cukai dan lain-lain," Pengarah Komunikasi Korporat, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Norazirah Mohd Said memberitahu The Star.

Menurut akauntan bertauliah dan perunding ekonomi Tan Sri Dr Lau Ban Tin, keluarga berpendapatan sederhana dengan pendapatan isi rumah bulanan gabungan antara RM6,000 dan RM7,000 sebulan dijangka mendapat penjimatan terbanyak dari pemotongan cukai.

"Sebilangan besar daripada keluarga di Malaysia terdiri dalam kumpulan ini dan mereka akan dapat menjimatkan purata sebanyak RM1,000 dalam pembayaran cukai setiap tahun," katanya.

Dr Lau berkata kumpulan ini biasanya terdiri daripada graduan yang berusia antara 27 dan 35 yang baru berkahwin atau mempunyai keluarga muda.

"Ia adalah satu langkah yang baik yang akan memberi manfaat kepada majoriti berpendapatan pertengahan, namun tidak banyak perbezaan bagi golongan kaya atau miskin," katanya.

Bagaimanapun, Dr Lau berkata masih banyak perlu dilakukan untuk memperbaiki struktur cukai negara.

"Sesuatu yang masih tidak kena dengan sistem pencukaian ini ialah golongan berpendapatan tertinggi bagi cukai individu adalah 26 peratus manakala syarikat-syarikat hanya membayar 25 peratus.

"Ini memberi gambaran yang salah bahawa individu yang berpendapatan lebih daripada syarikat dan adalah tidak adil kepada pembayar cukai Malaysia," tambah Dr Lau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu oleh satu peratusan bagi setiap cukai pendapatan tahunan yang dikumpulkan antara RM2,500 dan RM50,000 pada tahun 2013 dalam ucapan bajet beliau pada Jumaat.

Beliau menyebut contoh profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan sebanyak RM5,000, dapat menjimatkan kira-kira RM425 setahun.

Pengurangan ini juga telah mengeluarkan 170,000 rakyat Malaysia daripada senarai pembayar cukai.

Pengurus Deloitte Malaysia, Tan Theng Hooi berkata walaupun satu mata peratusan pengurangan adalah kecil namun ia memberi manfaat kepada rakyat negara ini.

"Malah jika isi rumah dapat menjimatkan hanya purata antara RM900 atau RM1,000 setahun, ia bermakna terdapat baki untuk perbelanjaan lain," katanya.

Bagaimanapun, Tan berkata beliau percaya bahawa pengurangan itu adalah selaras dengan rancangan Kerajaan untuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak lama lagi.

- MSTAR

Maya Karin dilamar

Tanpa angin dan tanpa ribut, Maya Karin membuat pengakuan dirinya dilamar.

Tentunya ia berita mengejutkan kerana selama ini, apabila ditanyakan soal hati dan perasaan, jawapan daripada wanita popular berdarah kacukan Melayu-Jerman ini cukup mengecewakan.
Meskipun pernah dikaitkan dengan beberapa personaliti lelaki sebelum ini, semua itu gosip yang akhirnya lenyap begitu saja. Bila masanya pelakon dan penyanyi ini bercinta, dan siapakah jejaka yang berani melamar wanita yang bukan mudah menyerahkan hatinya kepada sebarang lelaki ini?

Walaupun mengaku dirinya disunting, pinta Maya, janganlah perkara itu diperbesarkan kerana dia belum membuat sebarang keputusan.

“Memang saya dilamar, tetapi yang membuat lamaran ialah sebuah syarikat rakaman antarabangsa, yang mahu menjadi pengedar album saya. Jika segala perancangan berjalan lancar, mereka juga mahu saya bernaung di bawah payung mereka sebagai artis rakaman.

Belum ada kata putus “Buat masa ini, belum ada sebarang kata putus diberikan. Saya juga masih menimbang tawaran berkenaan.

Bagaimanapun, melihat kandungan kontrak, saya amat berpuas hati dengan apa yang mereka ingin berikan.
“Tengoklah, jika ada rezeki bersama mereka, pasti akan ada pengumuman rasminya nanti,” kata Maya ketika ditemui pada majlis Hati Ke Hati bersama duta Inner Shine, Maya Karin, di sebuah restoran terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.

Majlis penuh santai itu diadakan bertujuan memperkenalkan saiz baru produk minuman berkhasiat terbabit, dengan 60 peratus lebih kandungan berbanding saiz biasa.

Sebelum ini, Maya pernah merakamkan tujuh lagu sebagai usahanya untuk membuat kemunculan semula dalam dunia nyanyian. Sebelum ini dia pernah muncul bersama dua album, masing-masing berjudul Erti Cinta dan Bukan Qalamaya.

Nasib lagu jadi tanda tanya Bagaimanapun, jika jodohnya dengan syarikat rakaman itu menjadi, nasib lagu yang sudah dirakam juga menjadi tanda tanya.

“Saya sendiri tidak pasti apakah syarikat rakaman itu akan menggunakan lagu terbabit untuk dimuatkan dalam album saya nanti. Jika mereka ada perancangan lain, nampak gayanya lagu itu terpaksalah saya simpan.

Saya sudah pun berbincang dengan penerbit album itu, Audi Mok, mengenai nasib lagu berkenaan.

“Dia bersikap positif dan katanya, jika lagu dalam album itu tidak digunakan, dia tidak kisah dan mahu saya menjadikan pengalaman merakamkan lagu itu sebagai ilmu cukup berharga untuk kerjaya nyanyian saya,” kata Pelakon Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 ini.

Panjat gunung di Nepal Sementara itu, dia yang bakal menyambut ulang tahun yang ke-33 pada 29 Oktober berkata, hari istimewa berkenaan bakal disambut bersama lelaki tersayang.

Membuat acara itu lebih bermakna, sambutannya akan diadakan di kawasan pergunungan Langtang, di Kathmandu, Nepal.

“Bapa yang beriya-iya mengajak saya mendaki di Langtang.

Selepas puas memujuk, tiga minggu lalu baru saya beri kata persetujuan. Hanya kami berdua yang akan melakukan pendakian. Tapi bila memikirkan tempoh perjalanan, iaitu empat hari untuk naik dan empat hari untuk turun, rasa gementar juga.

“Sebagai seorang yang gemarkan cabaran dalam kehidupan, situasi seperti itu sedikit sebanyak menggembirakan hidup saya. Sesekali lari daripada dunia glamor seronok juga. Barulah hidup saya seimbang,” katanya yang banyak menghabiskan masa dengan mengembara sejak kebelakangan ini.

Suka aktiviti sukan Selain menjadikan kembara sebagai hobi, Maya juga antara artis yang gemarkan aktiviti sukan. Jika sebelum ini dia sanggup ke Jerman untuk menonton Kejohanan Bola Sepak Euro 2012, terbaru Maya turun ke Singapura untuk menyaksikan perlumbaan Grand Prix F1. Bukan sekadar menonton, Maya secara eksklusif diundang melawat garaj pasukan Formula Satu Lotus.

“Kebetulan kawan saya ialah pemilik Lotus, jadi dialah yang mengundang saya melawat kawasan garaj itu. Dapatlah juga melihat pelumba membuat persediaan sebelum ke litar. Ada juga artis antarabangsa lain berada di situ, termasuk Katy Perry. Tinggi betul orangnya,” kata Maya yang turut ditawarkan menjadi perantara jemputan program hiburan E! News.

- BERITA HARIAN

Qada tinggal solat 10 tahun

Bersama Dr Salam

SOALAN:

BAGAIMANAKAH cara untuk qada solat yang ditinggalkan selama hampir 10 tahun?

JAWAPAN:

SETIAP umat Islam hendaklah menjaga solat pada setiap hari dan masa. Meninggalkan solat dikira berdosa besar. Sesiapa yang meninggalkan solat hendaklah bertaubat dan memohon keampunan Allah.

Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa kita. Sebenarnya, qada solat tidak dapat menggantikan solat yang pernah ditinggalkan kerana masanya sudah luput kecuali kerana tidak sengaja atau tertidur.

Waktu solat ialah pada masa itu juga. Ada pendapat menyatakan solat itu tidak dapat diqadakkan lagi. Lebih-lebih lagi apabila sudah sampai 10 tahun lamanya.

Bagaimanapun, sekiranya solat yang ditinggalkan diqadakkan juga, ia tentu dapat menampung kelalaian lalu. Segala amalan baik tentu diterima Allah apabila datang daripada hati yang penuh ikhlas.

Justeru, qada solat boleh dilakukan sedaya yang mampu saja tanpa ada cara yang afdal. Anda juga boleh melakukan amalan sunat lain seperti membaca al-Quran, sedekah dan sebagainya bagi menampung dosa lalu.

- HARIAN METRO

Wanita berbulu sukar hamil

SETIAP pagi sebelum suaminya, Bill, bangun, Marianne Ponsonby-White, 30, bergegas ke bilik air untuk meneliti mukanya di hadapan cermin.

Dia tidak mencari jerawat ataupun kedutan tetapi pertumbuhan rambut yang tidak diingini. Setiap kali bangun tidur, sekurang-kurangnya satu dozen bulu-bulu halus muncul di pipi dan dagunya.

Menurut pengurus pemasaran dan jualan dari Buckinghamshire, England ini, dia disahkan menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS) iaitu gejala ketidakseimbangan hormon apabila ovarinya menghasilkan jumlah hormon testosteron lebih tinggi daripada tahap normal.

"Saya berdepan dengan masalah pertumbuhan rambut berlebihan dan adakalanya membuatkan saya berasa seperti tidak feminin. Saya akan mencukur bulu yang tumbuh di muka saya setiap dua minggu, manakala epilator digunakan pada abdomen saya.

"Jika tidak, bulu pada muka dan badan saya yang tebal dan sangat hitam akan kelihatan menjijikkan. Suami saya berlagak seperti dia tidak perasan tentang masalah ini.

"Saya sudah melakukan pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah bulu yang tumbuh di tempat yang tidak sepatutnya dipunyai oleh seorang wanita," beritahu beliau yang percaya sindrom itu merupakan penyakit keturunan.

Tambahnya, ibu saudaranya juga mengalami penyakit yang sama. Dia masih mengingati bahagian dagu ibu saudaranya yang tidak dikurniakan anak itu ditumbuhi janggut.

Misai

Marianne memberitahu, dia mula perasan pertumbuhan bulu berlebihan di mukanya ketika berusia 22 tahun.

"Saya terkejut apabila mendapati saya mempunyai misai dan beberapa bahagian badan lain yang ditumbuhi bulu. Ia amat mengerikan.

"Saya membiarkan keadaan ini selama dua tahun sebelum meminta bantuan daripada pakar perubatan. Ujian ultrabunyi yang dilakukan menunjukkan saya menghidap PCOS.

"Walaupun kini saya mengetahui punca pertumbuhan bulu luar biasa ini, saya tidak menerima apa-apa bantuan mahupun nasihat sebaliknya membiarkan ia menjadi bahan penyelidikan. Ternyata ramai wanita yang menghidap penyakit ini tetapi dengan sindrom sukar untuk hamil," ujarnya.

Jelas Marianne, dia sangat bernasib baik kerana mengandungkan anaknya, Beatrice secara semula jadi lima tahun lalu pada usia 25 tahun, dan kini hamil lapan bulan anak keduanya.

Seorang wakil dari kumpulan sokongan untuk pesakit PCOS di Britain, Rachel Hawkes Verity berkata, sindrom ovari polisistik boleh mengakibatkan kemusnahan pada diri wanita.

"Saya mempunyai ahli keluarga yang mahu membunuh diri kerana mereka tidak lagi mampu berhadapan dengan masalah pertumbuhan bulu berlebihan selain bergelut dengan masalah berat badan.

"Salah seorang daripada wanita itu terpaksa bercukur tiga kali sehari. Dia turut membawa pisau cukur ke tempat kerja bagi memudahkannya bercukur pada waktu rehat.

"Bagi seorang wanita, wajah ditumbuhi janggut dan misai adalah perkara yang tidak boleh diterima dan ini bukan terjadi disebabkan faktor kosmetik," jelas Rachel.

Gejala

Menurut Konsultan Obstetrik dan Ginakologi, Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Dr. J. Thaneemalai, PCOS ialah gangguan yang berpunca daripada tahap hormon tertentu yang tidak normal. Ia biasa dialami 20 peratus daripada wanita.

"Antara simptom PCOS ialah kitaran haid tidak teratur, sukar hamil, berat badan berlebihan, kulit berminyak serta berjerawat selain mengalami perubahan dari segi mood. Simptom yang ditunjukkan berbeza bagi setiap wanita.

"Wanita dengan PCOS sering mempunyai tanda-tanda yang berbeza. Gejala ini kadang-kadang datang dan pergi menyebabkan ia sukar untuk didiagnosis.

"Diagnosis biasanya dibuat apabila ada simptom seperti kitaran haid yang tidak teratur, sukar hamil dan pertumbuhan rambut yang berlebihan di muka atau badan," beritahu beliau.

Tambahnya, kaedah rawatan bagi PCOS bergantung kepada simptom yang dialami. Rawatan jangka panjang mungkin perlu jika seseorang itu mempunyai penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, peningkatan gula dalam darah dan penyakit jantung.

"Yang penting, penghidap PCOS perlu menjalani gaya hidup sihat dan mengamalkan diet yang seimbang serta kerap bersenam sekurang-kurangnya 30 minit, tiga kali seminggu," ujarnya.

- KOSMO!

Tangani Panik Dan Ketakutan Ketika Dalam Bahaya

Panik dan ketakutan pasti dirasai oleh sesiapa sahaja semasa berdepan dengan perompak tetapi apakah yang wajar dilakukan pada saat-saat genting itu?

Pengalaman seorang pemuda ketika berhadapan dengan sekumpulan penjenayah baru-baru ini mungkin boleh dijadikan iktibar.

Beliau yang memandu sendirian di sebuah lebuh raya di Lembah Klang pada tengah malah dengan tiba-tiba dipintas dan dihalang laluannya oleh sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki.

Beliau bertambah panik apabila melihat kelima-lima lelaki itu menyerbu ke arahnya dengan seorang daripada mereka mengacukan sebilah pisau.

Tidak ada apa yang mampu dilakukannya selain akur dengan penjenayah itu dan merayu agar tidak dicederakan. Tidak sampai lima minit, selepas mendapat wang dan beberapa barang lain daripada keretanya, penjenayah itu terus berlalu.

Tindakan pemuda itu, yang tidak melawan dan mengikut apa yang diminta oleh penjenayah demi menyelamatkan nyawanya, adalah tindakan yang bijak menurut Master Saiful Hamiruzzaman, Perunding Keselamatan Peribadi dan Anggota Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Ketika berhadapan dengan suasana genting seperti itu, apa yang perlu dilakukan oleh mangsa bukan mempertahan wang atau harta yang dimiliki sebaliknya melepaskan diri dan menyelamatkan nyawa.

"Namun ramai yang tersilap langkah dan bertindak mempertahan wang dan harta tanpa mengukur kemampuan sendiri hingga akhirnya dicederakan atau dibunuh oleh penjenayah," katanya ketika berkongsi tip dan teknik menyelamatkan diri ketika berhadapan penjenayah dalam bengkel Pencegahan Jenayah anjuran Pusat Kecergasan, Celebrity Fitness di Wangsa Maju baru-baru ini.

MENANGANI PANIK   

Walau sehebat mana ilmu pertahanan diri yang dimiliki seseorang itu, ketika berhadapan penjenayah kemahiran itu kadang kala gagal dipraktikkan dengan sempurna akibat perasaan takut dan panik.

Lagipun lawan mereka itu mungkin lebih hebat lagi.

Perasaan panik dan takut adalah tindak balas lumrah pada manusia. Namun menurut Saiful, kajian yang dilakukan menunjukkan dalam keadaan terdesak, manusia akan mempunyai lebih tenaga dan semangat untuk melawan.

"Ketika semangat dan tenaga untuk melawan itu tinggi, seseorang akan bertindak sama ada secara positif atau sebaliknya. Jika positif mungkin dia boleh menyelamatkan dirinya dan jika negatif ia boleh membawa padah," kata Saiful yang menerima gelaran Master daripada Majlis Pertahanan Diri Sedunia.

Saiful berkata, langkah paling mudah untuk mengatasi perasaan panik dan takut terutama berhadapan situasi mendesak adalah dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya melalui jeritan padu "huhh" seperti yang sering dilakukan dalam seni pertahanan diri.

Nampak mudah, namun jika tidak dibiasakan melalui latihan pernafasan dan jeritan yang betul, seseorang akan gagal untuk melakukannya ketika berhadapan situasi genting sebegitu.

"Kena buat latihan pernafasan dan menjerit. Harus selalu dipraktikkan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Anda mampu melepaskan perasaan takut, panik dan segala yang negatif dalam diri dan kembali lebih tenang serta bersemangat.

"Jeritan itu juga mungkin boleh membantu membuatkan penjenayah terkejut dan membolehkan anda melepaskan diri," katanya.

Namun, teknik ini tidak boleh dipraktikkan dalam semua situasi ketika berhadapan penjenayah. Ia harus mengikut keadaan dan persekitaran.

"Jika penjenayah mengacu senjata seperti pisau, senjata api atau sebagainya, anda tidak boleh menjerit kerana provokasi seumpama itu boleh menyebabkan penjenayah bertindak balas dengan mencederakan atau membunuh mangsa.

"Jadi pertimbangan akal dan pengetahuan risiko perlu sebelum bertindak," katanya.

BERTINDAK CEPAT   

Jika sebelum ini anda berfikir, jenayah tidak akan berlaku kepada anda dan hanya berlaku pada orang lain, anda pasti tersilap kerana sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa sekiranya tidak ada kesedaran dan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan.

Penjenayah sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan kegiatan mereka kerana itu setiap orang harus sentiasa berwaspada.

Tindakan pantas perlu diambil untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.

Saiful berkata, kajian menunjukkan sekiranya seseorang itu gagal melepaskandiri apabila terancam dalam tempoh 30 saat, mereka berpotensi menjadi mangsa penjenayah.

Kebiasaannya, pada lima saat pertama kejadian mangsa akan berada dalam keadaan keliru kerana terkejut atas apa yang berlaku.

"Jangan biarkan diri terus dalam keadaan itu, sebaliknya mula fikirkan tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan diri.

"Dalam tempoh kurang 20 saat itu, cuba berkomunikasi dengan penjenayah akan apa yang diinginkannya. Jika mahukan duit, barang atau sebagainya berikan sahaja bagi mengelak diri dicederakan kerana matlamat akhirnya adalah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Saiful juga merujuk kepada trend membimbangkan kebelakangan ini di mana penjenayah mencederakan mangsa terlebih dahulu sebelum melakukan samun atau sebagainya.

Sekiranya penjenayah bertindak agresif, individu boleh melakukan tindakan yang minimum seperti pijak kaki, tendang lutut, tampar muka atau menepuk kedua-dua belah telinga bagi membolehkannya melepaskan diri dan bukannya bertindak mempertahan diri.

"Jika berhadapan dengan ancaman seperti orang tidak siuman atau mabuk, cuba tepuk kedua-dua belah telinga mereka dengan tangan. Ia akan menyebabkan mereka hilang imbangan badan dan seterusnya akan membolehkan anda melepaskan diri," katanya menerangkan beberapa teknik mudah yang boleh digunakan.

LELAKI MANGSA TERTINGGI PENJENAYAH?

Mengikut statistik lebih ramai lelaki menjadi mangsa jenayah.

Kenapa lelaki sedangkan keadaan fizikal dan kudrat mereka lebih hebat daripada wanita?

Saiful berkata, ini berlaku kerana lelaki sering mengambil mudah soal keselamatan diri kerana sifat ego dan beranggapan mereka mampu mempertahan diri.

"Mereka juga beranggapan mencegah jenayah hanya untuk wanita dan kanak-kanak selain mereka mampu melawan dengan kekuatan yang mereka ada.

"Selain itu majoriti lelaki, kononnya anggap mereka mempunyai kemampuan atau sudah biasa bergaduh dan bertumbuk," katanya.

Dalam situasi bahaya seperti itu, lelaki lebih mudah membuat provokasi atau cepat melenting sedangkan wanita pula memberi reaksi sebaliknya di mana mereka lebih banyak menangis dan merayu untuk dilepaskan.

"Apa yang lebih penting adalah melakukan pencegahan awal daripada menjadi mangsa penjenayah. Selain itu harus mempelajari cara-cara yang boleh digunakan untuk menyelamatkan diri," katanya yang turut menubuhkan kelab KickStart yang menawarkan program latihan intensif untuk mengkaji, mengelak atau bertindak apabila berada dalam keadaan bahaya.

TINGKAT PENGETAHUAN

Sementara itu, Choi Kwang Ho, Naib Presiden Jualan Celebrity Fitness Malaysia, berkata usaha yang dilakukan dengan mengadakan bengkel pencegahan jenayah bertujuan memberi pengetahuan dan petua berguna kepada anggota kelabnya cara menyelamatkan diri ketika berhadapan situasi bahaya.

Beliau berkata, Celebrity Fitness juga menyediakan latihan yang boleh digunakan sebagai langkah menyelamatkan diri ketika berhadapan situasi jenayah melalui kelas Body Combat.

"Melalui teknik yang diajar oleh Master Siful dengan apa yang dipraktikkan dalam Body Combat, diharapkan membantu ahli-ahli Celebrity Fitness dalam langkah pencegahan dan persediaan mereka ketika berhadapan situasi bahaya," katanya.

- BERNAMA

Minyak kelapa cegah kerosakan gigi


MINYAK kelapa ternyata tidak hanya boleh dimanfaatkan untuk memasak tetapi juga melindungi gigi. Bahan aktif dalam minyak kelapa mampu melawan bakteria penyebab gigi berlubang.

Gigi berlubang terjadi disebabkan beberapa faktor, iaitu pertumbuhan bakteria, gula dalam makanan dan permukaan gigi yang rosak.

Bakteria Streptokokus (bakteria yang menjadikan gula di dalam mulut sebagai makanannya) akan mengubah gula yang menempel menjadi asid.

Menurut Dr. Damien Brady dari Institut Teknologi Athlone di Ireland, minyak kelapa yang bercampur dengan enzim pencernaan akan menghasilkan pembunuh bakteria yang kuat.

"Penyelidik kini berusaha menghasilkan ubat gigi dan ubat kumur yang mengandungi minyak kelapa sebagai bahan aktifnya.

"Menggabungkan enzim minyak kelapa yang dimodifikasi menjadi produk rawatan gigi mampu menjadi alternatif kepada bahan kimia yang digunakan sekarang," katanya.

- KOSMO!
 

Konsep guru penyayang tangani masalah disiplin pelajar

Kementerian Pelajaran merancang membudayakan konsep Guru Penyayang di setiap sekolah rendah dan menengah di seluruh negara kerana pelaksanaannya terbukti berkesan dalam menangani gejala disiplin di kalangan pelajar.

Ketua Unit Kaunseling, Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Ab. Rahim Othman berkata, program yang diperkenalkan sejak Februari lalu itu terbukti memberi impak positif terhadap perkembangan pembelajaran pelajar.

"Impaknya, pelajar lebih berminat untuk datang ke sekolah setiap hari tanpa berasa sebarang tekanan serta mempunyai hubungan akrab dengan guru dan pihak sekolah.

"Minat itu didorong oleh rasa selesa dengan guru yang sebelum ini dikatakan bersikap garang atau terlalu tegas dengan anak murid mereka,'' katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Guru Penyayang Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Konvensyen itu melibatkan 200 peserta terdiri daripada pengetua dan guru besar, guru kaunseling, guru disiplin, pegawai kaunseling dan disiplin jabatan pelajaran negeri serta wakil persatuan guru.

Menurut Ab. Rahim, konsep Guru Penyayang bertujuan membudayakan sikap kasih sayang di kalangan guru terhadap murid di sekolah dengan harapan besar bahawa murid merupakan aset yang perlu diberi perhatian dan disayangi setiap masa.

Konsep tersebut dilaksanakan melalui tiga amalan iaitu dengan guru-guru mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah, memberi penghargaan kepada murid seperti sambutan hari jadi dan program mentor mentee.

- UTUSAN

Istilah-Istilah dalam Twitter


Oleh Johardy Ibrahim

PERNAHKAH anda menerima soalan secara khusus tentang tahap penggunaan Twitter. ''Jika anda tidak memiliki akaun Twitter atau baru membuka akaun, sila nyatakan diri anda sebagai, Baru Bermula. Jika anda sudah memiliki akaun dan aktif, sila nyatakan diri anda sebagai, Sudah Arif''.

Termenung juga memikirkannya. Tidak mungkin masuk kategori 'baru bermula'. Sudah lama ada akaun Twitter. Tetapi hendak mengaku 'Sudah Arif' pun was-was. Memang ada sahabat yang diistilahkan 'pengikut' atau follower yang telah menjalin komunikasi Twitter mengikut kaedah yang disarankan.

Dalam konteks Twitter saya, secara jujur saya akui belum menguasai sepenuhnya perbendaharaan kata dan metodologi Twitter. Bermakna saya belum menggunakan sepenuhnya peluang dan kemungkinan yang wujud dalam alam Twitter.

Acapkali bila membaca tweet (istilah untuk ayat perutusan) menerusi telefon bimbit, anda pasti perasan penggunaan perkataan ringkasan yang terlalu ringkas dan mungkin tidak sama makna dengan ringkasan yang biasa anda guna. Dalam kebanyakan masa, ringkasan adalah menggunakan Bahasa Inggeris.

Terdapat lebih 130 ringkasan, perkataan, frasa dan alat untuk tweet. Apa? Lebih 130!!!... Hendak menghafal nombor telefon kawan pun terkial-kial, ini hendak mengingat 130 perkara Twitter!

Tetapi percayalah, kebanyakan remaja berusia bawah 25 tahun menguasai antara 90 hingga 110 istilah dan alat dalam Twitter. Bagi anda yang berusia melebihi 35 tahun ke atas dan rasa berat hendak mengingat benda-benda itu (kerana ada benda lebih realistik untuk diingat seperti menyiapkan tugasan di pejabat, membayar bil dan menghantar anak ke sekolah): jangan bimbang. Ingat dan guna mana yang berkaitan sahaja. Lainlah jika anda seorang pengguna Twitter tegar seperti ramai golongan remaja hari ini.

Sebelum itu, anda kena pilih bagaimana anda hendak menyebut Twitter. Jika anda sebut cara orang Malaysia, maka sebut 'twit-ter'. Jika rasa nak pamerkan anda hanya menonton televisyen Hollywood dan tidak pernah RTM, maka sebutlah gaya Amerika: 'twi-derr'.

Ringkasan asas dalam Twitter yang mesti anda ketahui ialah RT bermaksud ringkasan daripada ReTweet atau diulang siar. Anda dapati pernyataan itu menarik, lalu anda RT, supaya orang yang mengikuti anda boleh pula sama-sama membacanya, dan mungkin melakukan RT juga.

Butang RT memang tersedia pada kotak Twitter.com. Anda juga boleh memasukkan komen anda menggunakan butang Quote Tweet. Ada cabaran di sini. Disebabkan had 140 perkataan, komen anda hendaklah diringkaskan. Atau anda juga boleh ringkaskan pernyataan asal, Cuma waspada tidak hilang maknanya.

Hash tag bukan istilah tetapi alat simbol #. Ia adalah kaedah anda menyusun perutusan terkini bagi enjin carian Twitter anda. Simbol # diguna oleh kumpulan khusus mengikut minat. Misalnya, #LFC adalah khusus bagi penyokong kelab Liverpool FC dan anda akan dapati penyokong dari seluruh dunia di situ. Setelah mengutus pernyataan, anda pergi ke enjin carian Twitter dan taip #LFC.

Istilah

Simbol # juga boleh digunakan untuk memulakan trend. Misalnya #Merdeka55 yang berjaya mencatat 3.6 juta kali penggunaan semasa 31 Ogos lalu.

Istilah diringkaskan lain yang penting anda ingat ialah FollowFriday (FF) yang mesti dengan simbol #followfriday. Ia adalah bersifat cadangan iaitu menarik perhatian tentang orang tertentu dalam Twitter.

Direct message (DM): adalah mesej ringkas, yang disediakan fungsinya dalam Twitter untuk anda menghantar mesej secara terus kepada seseorang. Ia tidak boleh dibaca oleh pengikut lain. Tetapi orang yang dihantar hendaklah mengikut anda juga bagi membolehkan DM itu berfungsi.

Di Malaysia, penggunaan Twitter yang semakin meningkat setelah ramai yang jemu di Facebook, turut mencipta istilah Twitter tempatan. Paling popular ialah 'retis' atau 'artis'.

Difahamkan, retis bukan merujuk kepada artis sebenar (pelakon, penyanyi) tetapi kepada perlakuan seseorang yang perasan diri popular seperti artis. Khabarnya, baru-baru ini ada seorang artis menulis dalam Twitter membantah penggunaan retis. Difahamkan juga, pernyataan artis itu diketawakan sebab ia tidak berkaitan dia pun!

Bagi yang sudah arif menggunakan Twitter, mesti ketawakan saya kerana paparkan perihal istilah di atas. Benar, RT adalah sangat asas. Seumpama belajar A,B,C tetapi saya tujukan kepada sahabat-handai yang masih keberatan untuk mengaktifkan akaun Twitter mereka.

Apa keseronokan Twitter, bukankah sudah ada Facebook? Anda berkomunikasi dengan orang yang anda kenali dalam Facebook (hatta namanya pun Facebook) dan 'tidak anda kenali' dalam Twitter. Hal ini demikian kerana penggunaan # atau ringkasan tertentu boleh dibaca oleh sesiapa sahaja dalam enjin carian Twitter.

Secara umumnya, seseorang itu mengutus tweet semata-mata untuk mendapatkan perhatian. Sama naiwatu dengan Facebook. Jika anda menafikannya, elok anda tulis buah fikiran anda dalam diari. Mungkin dibaca oleh anak cucu suatu hari nanti. Itu pun jika mereka kenal apa itu 'diari' ketika itu. Jika anda benci jadi perhatian, elok anda berhenti menggunakan internet sama sekali.

Namun, sekiranya alasan anda lemah dalam Twitter disebabkan 'tidak tahu nak tulis apa' atau merasakannya bosan (asyik tweet gambar makanan), sila guna kaedah ini: Ikut (follow) pemilik Twitter yang menarik di hati anda.

Mungkin ada pelawak yang tampil dengan pernyataan kelakar. Misalnya jenaka ini: ''teman wanita anda berisi? Bantu dia kurus, berjalan 5 km sehari. Dalam sebulan dia akan 300 km jauh dari anda''.

Jika anda peminat bola, ini paling seronok mendapatkan seberapa ramai kawan baru Twitter. #LFC yang saya ikuti memberi peluang saya berkenalan dengan penyokong Liverpool di Amerika Syarikat dan Afrika.

Seandainya anda minat kisah-kisah mitos atau fakta luar biasa (Incredible Facts!), anda boleh ikuti Twitter ahli silap mata tertentu. Mereka ini pernah tweet gambar jet eksekutif yang diberi pinjam oleh sahabat tanpa niat minta balasan.

- UTUSAN

 

Borang BR1M 2.0 Mula Diedar Oktober, Penerima BR1M 1.0 tidak perlu mengisi borang baru


Borang untuk mendapatkan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia saringan kedua (BR1M 2.0) dijangka mula diedarkan bulan ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Donald Lim Siang Chai.

“Kerajaan akan membuat pengumuman mengenai BR1M 2.0 dalam tempoh antara satu hingga dua minggu lagi. Menjelang Oktober, borang itu sepatutnya sudahtersedia," katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak InsuransMalaysia 2012.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan program BR1M buat kali kedua, dengan kriteria penerima diperluas kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, yang akan menerima bantuan RM250.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata bantuan yang melibatkan peruntukan RM3 bilion dan mula dibayar awal tahun depan itu akan memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah serta 2.7 juta individu bujang.

Lim berkata isi rumah yang telah membuat tuntutan untuk BR1M 1.0 tidak perlu mendaftarkan diri untuk BR1M 2.0, manakala kepada isi rumah yang merasakan mereka layak, permohonan baru perlu dilakukan dan akan diteliti semula.

Katanya pemohon di bawah kategori individu bujang yang sedang belajar di peringkat universiti tidak layak untuk mendapatkan BR1M 2.0.

“Mereka tidak berhak mendapat BR1M 2.0 kerana mereka telah menerima baucar buku RM250. Mereka tidak boleh mendapatkan kedua-duanya sekali," katanya, sambil menyatakan golongan yang sudah tamat pengajian di universiti tetapi masih belum bekerja adalah layak untuk mendapatkan bantuan tersebut.

- BERNAMA

10,000 kunjungi Karnival Kerjaya


SEREMBAN 30 Sept. - Kira-kira 10,000 orang tidak melepaskan peluang mengunjungi Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) di Dataran Senawang yang berakhir hari ini.

Pengarah Karnival, Mohd. Yassin Mohd. Ismail memberitahu, sambutan yang diterima tersebut mencapai sasaran yang ditetapkan pihaknya.

"Semalam, kebanyakan yang hadir di sini terdiri daripada graduan yang masih belum mendapat tawaran pekerjaan, manakala hari ini kebanyakannya yang hadir sudah bekerja.

"Sebanyak 42 majikan mengambil bahagian dalam karnival kerjaya yang menawarkan 5,620 jawatan kosong ini," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yassin, sebanyak tujuh agensi kerajaan mengambil bahagian antaranya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sementara itu, seorang pengunjung, Shamsudin Saari, 20, berkata, karnival tersebut sebagai satu platform untuk pencari kerja sepertinya.

"Saya sudah lama mencuba mencari pekerjaan yang sesuai dengan minat tetapi belum ada rezeki. Saya berharap dengan program seperti ini, peluang untuk mendapat pekerjaan adalah lebih cerah," katanya.

Katanya, dia berminat untuk bekerja di dalam bidang perindustrian, namun, tidak menolak peluang seandainya pekerjaan lain ditawarkan.

M. Devalai, 23, pula berkata, meskipun agak kecewa kerana sehingga kini masih belum mendapat sebarang pekerjaan, dia tetap optimis dengan program yang dianjurkan tersebut.

"Segulung ijazah bukanlah penentu untuk seseorang mendapat pekerjaan di zaman ini yang penting adalah keyakinan diri dan cara kita berkomunikasi.

"Karnival kerjaya seperti ini sedikit sebanyak dapat membuka peluang kepada siswazah yang masih mencari kerja seperti saya," katanya.

Sementara itu, Aznani Adnan, 23, yang memiliki ijazah dalam bidang perakaunan, nekad untuk mencari pekerjaan dalam bidang sama.

"Saya memang selalu mengunjungi karnival kerjaya yang pernah diadakan di beberapa tempat sebelum ini. Saya harap kali ini dapat pekerjaan yang diidamkan," katanya.

- UTUSAN