Ahad, Jun 24, 2012

Kajian - Bunyi enjin jet boleh gugat jantung

MEREKA yang tinggal di kawasan yang mempunyai kepadatan kenderaan tinggi dan sering mengalami kesesakan lalu lintas bukan sahaja berdepan masalah tekanan akibat bunyi bising, malah berisiko menghidap sakit jantung.

Kajian yang dijalankan di Denmark selama 10 tahun mendapati perkara tersebut meningkatkan risiko sakit jantung sebanyak 12 peratus.

"Kita mungkin menganggap bunyi bising kenderaan sekadar mengganggu tidur. Tetapi apabila pada setiap masa anda terdedah kepada bunyi yang sangat bising, anda sebenarnya secara tidak langsung meningkatkan kandungan hormon stres di dalam badan.

"Ia mempunyai kaitan dengan risiko serangan jantung," kata ketua pengkaji daripada Persatuan Kanser Denmark, Mette Sorenson.

Sorenson dan pengkaji lain bersetuju bahawa terdapat hubung kait yang signifikan antara serangan jantung dan lokasi kediaman di kawasan trafik sesak selepas mengambil kira faktor pencemaran udara.

Dalam pada itu, Sorenson menasihatkan orang ramai agar memilih bilik tidur yang tidak terdedah kepada bunyi bising kenderaan atau elakkan daripada mendiami kawasan seperti itu.

Kajian ke atas 50,000 responden itu disiarkan dalam jurnal PLoS ONE.

- KOSMO!

Soal Jawab Agama : Bayar fidyah ganti puasa

Bersama DR SALAM

SOALAN:

SAYA mengidap gastrik yang serius. Saya tidak dapat menggantikan puasa disebabkan penyakit yang dihidapi itu.

Bolehkah saya ganti dengan membayar fidyah saja? Jika sudah bayar fidyah perlukah untuk saya ganti puasa itu lagi?

JAWAPAN:

BERPUASA Ramadan adalah sebahagian daripada rukun Islam. Ia mempunyai banyak hikmah daripada pelbagai sudut termasuk kesihatan dan sebagainya.

Tujuan utama puasa adalah untuk mencapai ketakwaan kepada Allah. Kita hendaklah sedaya upaya melaksanakan kewajipan berpuasa ini.

Islam mengharuskan berbuka puasa bagi mereka yang sakit dan dalam musafir.
Mereka diwajibkan mengganti puasa yang tertinggal di hari-hari lain (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Sekiranya tidak dapat menggantikannya kerana tidak berupaya langsung seperti sakit kuat dan sangat tua, wajib memberi fidyah makanan kepada seorang miskin setiap hari.

Puasa tidak perlu diganti. Sementara bagi penyakit gastrik pula, pesakit masih boleh berpuasa sekiranya penyakit itu tidak menyebabkan perubahan tabiat kepada kerosakan.

Menurut pembacaan umum saya, mereka yang ada penyakit gastrik masih lagi boleh berpuasa tanpa masalah jika mengamal kaedah pemakanan yang betul seperti dianjurkan Islam dan pakar pemakanan.

Antaranya seperti melambatkan bersahur, segera berbuka puasa dan makan secara sederhana, iaitu sedikit demi sedikit (lihat http://annehashim.com/gastrik-boleh-puasa/).

Begitulah dalam kes anda di atas. Bagaimanapun, apabila puasa membawa mudarat kepada diri bolehlah berbuka.

Sekiranya tidak dapat menggantikannya, bolehlah membayar fidyah seperti di atas.

Ada baiknya anda mendapat nasihat yang betul daripada doktor perubatan sebelum mengambil tindakan untuk tidak melaksanakan fardu puasa Ramadan.

Itulah keindahan Islam yang sentiasa meraikan maslahat seseorang Muslim.

- HARIAN METRO

Buku : Hebatnya Android



Handfon Android kian popular. Pada era digital dan Internet masa kini, handfon Android ternyata memberi banyak kemudahan terutama kepada pekerja profesional mahupun bagi mendukung segala pekerjaan mereka. Dengan handfon Android yang mempunyai kemudahan Internet, segala urusan dapat dilakukan dengan mudah.

Kita dapat menguruskan dokumen kerja dan mengadakan mesyuarat secara online pada bila-bila masa. Malah, kita dapat melakukan navigasi semasa dalam urusan luar, dan menjadikannya sebagai hotspot lokasi yang disinggahi.

Tambahan, Android juga dapat menjadi pengawal kesihatan kita pada setiap masa. hasil aplikasi pendukung yang hebat dan maju, Android dapat menjadi pejabat bergerak yang boleh di bawa ke mana sahaja. Buku ini memberikan tip-tip berguna bagi memaksimumkan penggunaan Android dalam urusan pekerjaan.

ISI KANDUNGAN

BAB 1 Android Semakin Popular
BAB 2 Tip Memilih Android
BAB 3 Beraktiviti dan Bekerja dengan Android
BAB 4 Memanfaatkan Market Place
BAB 5 Bekerja Dinamik dengan Android
BAB 6 Komunikasi
BAB 7 Menguruskan Kerja
BAB 8 Pemangkin Pekerjaan
BAB 9 Perjalanan Rasmi Semakin Lancar
BAB 10 Pantau Kesihatan dengan Android

Buku "Hebatnya Android" ini boleh diperolehi secara online di : http://www.bookcafe.com.my/en/komputer-and-internet/hebatnya-android.html

Khasiat kurma Ajwa & madu Sidr



ADAKAH berat badan anda berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Kedua-dua keadaan ini boleh berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Namun lebih ramai yang cenderung menambah berat badan gara-gara membeli makanan tidak menilai keperluan tetapi lebih kepada selera.

Amalan pemakanan Rasulullah SAW iaitu dengan mengambil kurma dan madu sepatutnya menjadi contoh.

Menurut Pengarah Eksekutif pengedar utama kurma Ajwa dan madu Sidr asli, Rasa Resources Sdn. Bhd., Abdullah Abdul Jalil, kurma adalah makanan organik sempurna kerana ia sejenis buah yang mengandungi pelbagai mineral dan vitamin, kaya dengan antioksidan seperti beta-karotena, lutein dan zeaxanthin.

''Antioksidan mempunyai keupayaan untuk membantu melindungi sel dan struktur lain dalam tubuh agar bebas daripada radikal oksigen dan mencegah penyakit seperti kanser kolon, prostat, payu dara, endometrium, paru-paru dan pankreas," ujarnya.

Kurma Ajwa mempunyai fadilat seperti menguatkan urat perut, mengendurkan urat saraf dan melembutkan perangai.

Ajwa sejenis kurma lembut dan kering yang ditanam di kota Madinah. Dalam sejarah ada menyebut, kurma Ajwa yang pertama ditanam oleh Rasulullah SAW di tanah berhampiran Masjid Quba, Madinah.

DisembuhkanMenurut Abdullah, madu Sidr pula paling jarang ditemui dan mempunyai nilai yang tinggi.

"Ia memang sentiasa dicari oleh pencinta madu kerana rasanya yang unik di samping banyak faedah kesihatan," katanya.

Tambah Abdullah, madu ini daripada lebah yang hanya memakan bunga daripada pokok Sidr yang berasal dari Hadramaut, Yemen.

Ia cecair pekat yang telah menjadi sebahagian daripada perubatan tradisional bangsa Arab, Syria, Cina, Greek dan Rom kuno untuk merawat luka dan penyakit usus.

Tokoh perubatan Islam, Ibnu Sina turut menyenaraikan insomnia sebagai antara penyakit yang boleh disembuhkan melalui pengambilan madu .

Biarpun tidak terbukti secara saintifik bahawa madu dapat menyembuhkan insomnia, terdapat enam jurnal perubatan yang menggambarkan madu sebagai sumber yang mempunyai unsur antibiotik.

Dalam pada itu, Rasa Resources turut menerima tempahan hamper atau cenderahati kurma Ajwa dan madu Sidr sempena Ramadan dan hari raya yang akan tiba tidak lama lagi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Sham di talian 012-6642393 atau melayari www.rasaquest.com

Pontianak - Benar-benar wujud atau sekadar mitos?



Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

JIKA anda menganggap puntianak hanya mitos atau kisah seram dalam filem, fikirkanlah semula. Ahli arkeologi Bulgaria baru-baru ini menemui dua rangka manusia daripada Zaman Pertengahan dengan sebatang besi menikam dadanya, dipercayai bagi menghalang si mati daripada hidup semula sebagai puntianak.

Dua rangka itu, dikatakan berusia 800 tahun, ditemui dalam satu ekskavasi berhampiran sebuah biara di bandar Laut Hitam Bulgaria, Sozopol.

Ketua Muzium Sejarah negara itu, Bozhidar Dimitrov berkata, dua rangka yang ditikam itu menyamai amalan penduduk kampung di Bulgaria sehingga dekad pertama abad ke-20.

Bomoh-bomoh di Eropah percaya orang yang berkelakuan jahat semasa hidup akan bertukar menjadi puntianak selepas mati melainkan dadanya ditusuk batang besi atau kayu sebelum dikebumikan.

Mereka yakin batang besi itu dapat menghalang si mati daripada merayau-rayau pada waktu tengah malam dan mengganggu penduduk. Menurut Dimitrov, lebih 100 rangka dengan tikaman besi ditemui di Bulgaria dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya tidak tahu kenapa penemuan rangka seperti itu menjadi begitu popular. Mungkin ia disebabkan misteri perkataan puntianak,” katanya.

Puntianak Eropah kebiasaannya adalah lelaki tetapi bulan lalu, penyelidik Itali menemui rangka puntianak wanita di Venice - ditanam dengan seketul bata disumbat ke dalam mulutnya bagi menghalangnya daripada memburu mangsa di bandar itu. Puntianak wanita itu dipercayai daripada abad ke-16.

Ahli antropologi Universiti Florence, Matteo Borrini berkata, penemuan di sebuah pulau kecil, Lazzaretto Nuovo di lagun Venice itu menyokong kepercayaan lama bahawa puntianak menjadi dalang di sebalik kejadian huru-hara seperti Black Death pada abad berkenaan.

“Untuk membunuh puntianak itu, anda terpaksa membuang kain yang menutup mulutnya. Kain itu umpama makanan sama seperti susu bayi. Sebagai ganti, letakkan benda yang tidak boleh dimakan,” jelas Borrini.

Kisah puntianak ternyata bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk kampung di Malaysia bahkan di negara-negara maju di Eropah.

Cerita itu juga popular di Indonesia hinggakan sebuah wilayah di Kalimantan Barat dinamakan Pontianak. Menurut cerita orang tua-tua, pengasas Pontianak iaitu seorang ulama bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadri sering diganggu oleh hantu itu ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu masuk ke bandar itu dari Laut China Selatan.

Ulama itu dikatakan menggunakan meriam karbaid untuk menghalau atau membunuh makhluk tersebut.

Halia

Sehingga hari ini, meriam yang digunakan itu menjadi satu instrumen untuk menarik pelancong ke situ.

Menurut Datuk Bandar Pontianak, Paryadi, meriam karbaid digunakan untuk menghalau puntianak semasa pemerintahan sultan di Pontianak.

“Kini ia digunakan untuk memaklumkan penduduk di sini waktu solat Maghrib, berbuka puasa dan pengumuman Hari Raya Aidilfitri,” beritahu beliau.

Di Eropah, mitos puntianak memiliki banyak versi. Di Greece ia dikenali dengan nama vrykolakas manakala di Romania, symengol.

Kisah puntianak turut diangkat oleh penulis Britain, John Polidori yang menghasilkan novel bertajuk The Vampyre pada tahun 1819. Cerita hantu penghisap darah itu sangat digeruni hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai pada masa itu.

Di Croatia pada tahun 1672, penduduk sebuah kampung diceritakan gempar apabila seorang penduduk yang mati pada tahun 1656 hidup semula dan menghisap darah penduduk selain merogol wanita janda.

Serangan puntianak turut menggemparkan Britain pada tahun 1970 apabila beberapa akhbar tempatan melaporkan berita kononnya hantu itu telah menyerang kawasan Perkuburan Highgate di London.

Ia menyebabkan ramai pemburu puntianak berkumpul di situ. Sesetengah daripada mereka sempat menulis buku mengenainya hingga memperoleh keuntungan.

Seorang penulis buku dan juga pemburu hantu, Sean Manchester mendakwa telah menghapuskan semua puntianak di kawasan itu. Tetapi tiada bukti jelas mengenai kewujudan hantu itu.

Pada Januari 2005 pula, penduduk Birmingham terkejut dengan kemunculan seorang penyerang yang berkelakuan seperti puntianak iaitu menghisap darah mangsa sebelum membunuhnya. Bagaimanapun, polis yang menyiasat kes itu mengatakan andaian puntianak itu hanya khabar angin

Seorang pakar teologi Perancis, Dom Augustine Calmet pernah membuat kajian komprehensif berdasarkan kes serangan puntianak tetapi tidak menemui bukti tentang kewujudan makhluk itu.

Mitos

Pemerintah Austria pada kurun ke-17, Maria Theresa Walburga Amalia Christina pula meminta doktor peribadinya, Gerard Van Swieten menyiasat entiti puntianak tetapi ia juga berakhir dengan kegagalan.

Kata Swieten, kisah puntianak itu sekadar menggalakkan pengamal ilmu hitam menggali kubur untuk memantapkan ilmu serta mencuri organ manusia untuk dijual.

Pengkaji alam misteri dan sejarah purba Nusantara, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, puntianak sebenarnya ialah jin dan hantu yang ingin mengganggu manusia.

Katanya, tidak mungkin jin serta hantu dapat meragut nyawa manusia.

“Pelbagai teori telah dikemukakan tetapi tidak ada sekeping gambar atau kajian saintifik yang mengesahkan perkara tersebut.

“Malah, cara menghapuskan puntianak mempunyai pelbagai versi seperti mencurahkan air panas pada muka atau abu mayat, melemaskan hantu itu, menusuk paku ke tengkuknya dan menyumbat halia ke dalam mulutnya,” katanya kepada Jurnal.

Merujuk kepada negara ini, puntianak dikatakan hantu wanita yang berwajah cantik selepas dipantak paku di tengkuknya tetapi akan kembali hodoh jika paku itu dicabut.

Mohammad Idrus mengaku pernah membuat kajian dengan pergi ke sebuah lokasi yang dikatakan ada puntianak di Hulu Selangor.

“Di situ, saya berjumpa dengan hantu puntianak yang hodoh. Sebaik sahaja saya mencucuk paku sepanjang 10 sentimeter di tengkuknya, tidak berlaku apa-apa perubahan sebaliknya hantu itu memarahi saya.

“Hantu itu memakai pakaian berwarna putih manakala matanya merah menyala. Ia mempunyai gigi yang tajam, memang tak cantik langsung,” dakwa Mohammad Idrus sambil ketawa.

- KOSMO!

Berkahwin ketika belajar



APAKAH reaksi anda jika anak yang belum menggenggam segulung ijazah membuka mulut memberitahu ingin berkahwin?

Ramai menganggap mahasiswa berkahwin ketika belajar di menara gading hanya memperjudikan nasib dan masa depan.

Apatah lagi tanpa sokongan kewangan kukuh sementelaah usia masih mentah, perkahwinan dianggap landasan merealisasikan perasaan yang membara.

Berilah apa jua alasan, ironinya masyarakat tetap beranggapan perkahwinan semasa belajar bukan pilihan terbaik untuk memiliki kejayaan.


Persoalannya, sejauh manakah tepatnya tanggapan itu?


Bagaimana pula mereka yang berkahwin namun mampu cemerlang?

Timbalan Pendaftar Kanan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zainab Othman, berkata berkahwin atau tidak, ia bergantung kepada kemampuan individu itu menentukan corak pengajian.

Beliau berkata, penerimaan individu mengenai perkahwinan berbeza, justeru tiada jawapan konkrit sama ada ia boleh menghancur atau menjayakan pengajian seseorang.

“Perkahwinan fitrah manusia dan bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Cuma, apabila pelaksanaannya dilakukan sewaktu melanjutkan pengajian, ada pihak akan mempertikaikan.

“Dan, pertikaian itu berkait rapat faktor tertentu seperti ekonomi dan usia.
Pada dasarnya tidak menolak cuma melahirkan rasa kebimbangan.

“Perkahwinan bukan suka-suka kerana komitmennya terlalu tinggi. Cuba yang berkahwin itu tidak belajar, pasti tiada pertikaian,” katanya.

Perkahwinan semasa belajar meskipun tidak menjadi kesalahan, ia masih mampu mengundang kesangsian kerana dianggap penyekat kejayaan mahasiswa.

Meskipun ada yang berjaya membuktikan sebaliknya, ramai beranggapan mereka hanyalah segelintir golongan bernasib baik.

Yang lain, terkandas di tengah jalan atau terpaksa membuat pilihan sukar sama ada meneruskan pengajian atau mengorbankan perkahwinan.

Beliau berkata, aspek perlu ditekankan ialah bagaimana mahasiswa itu pandai membahagikan masa serta membuat perancangan yang baik sepanjang pengajian.

“Ada yang tidak berkahwin namun hidupnya tetap kelam kabut, tidak terurus hingga me­ngakibatkan keputusan diterima mengecewakan.

“Yang berkahwin pula lebih cemerlang. Keadaan sebaliknya juga boleh berlaku sekali gus membuktikan semuanya bergantung pada sikap dan kemahuan diri,” katanya tidak menafikan perkahwinan menuntut mahasiswa berusaha berkali ganda berbanding mahasiswa bujang.

“Berkahwin semasa belajar bukan saja memikul tanggungjawab pengajian malah membabitkan permainan emosi, persefahaman pasangan, keluarga dan sebagainya.

“Jika tiada kekuatan diri dan emosi, semuanya boleh tunggang langgang. Sebab itu, kalau ingin berkahwin, pastikan benar-benar bersedia.

“Faktor inilah menyebabkan masyarakat terutama ibu bapa kurang selesa jika anak meminta kebenaran berkahwin. Bukan tidak faham tapi takut mereka kecundang,” katanya.

Ditanya apakah faktor menyebabkan mahasiswa mengambil keputusan menamatkan zaman bujang ketika rakan lain berseronok melayari alam pengajian, beliau berkata perhubungan terjalin lama selain alasan sudah bertemu teman sehati sejiwa menjadikan mereka bulat tekad berkahwin.

“Ikutkan logik, alasan diterima masih boleh ditangguhkan. Bagaimanapun selepas membuat pilihan, timbul pula persoalan adakah melakukannya selepas berfikir semasak - masaknya atau hanya mengikut gelora hati?

“Paling dibimbangi mereka hanya terbayangkan kesero­nokan berkahwin tanpa peduli tanggungjawab yang lain. Maklumlah sedang asyik dilambung perasaan.

“Pada saya, kahwinlah jika yakin boleh melakukannya selain jangan ketepikan peranan keluarga. Mereka boleh menjadi tempat bimbingan emosi serta kewangan.

“Pastikan jika berkahwin, jangan gadaikan pengajian semata-mata kerana perkahwinan,” katanya.

Bagi pasangan suami isteri dari Tawau, Sabah, Ng King Kwong dan isterinya, Nur Iman Maryam Yusop, perkahwinan mereka penuh dengan cabaran.

Ng, 25, mahasiswa Sarjana Pendidikan Matematik dan isterinya yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi, berkata selain usia muda, soal agama juga menjadi dugaan hebatnya.

“Kami berdua ingin memeluk Islam dan melangsungkan perkahwinan. Biarpun mendapat tentangan keluarga untuk berkahwin, kami harungi juga dengan janji membawa pelajaran bersama.

“Kami akui, cabaran selepas berkahwin lebih hebat. Di samping terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana baru, tanggungjawab juga semakin bertambah.

“Saya akui, ada kalanya timbul emosi negatif, namun cuba mencari jalan penyelesaian supaya perkahwinan ini tidak menjadi cemuhan,” katanya.

Mengakui isterinya sangat memahami, beliau menyifatkan perkahwinan sebagai landasan untuk lebih berjaya.

“Prosesnya lebih mudah kerana kami dapat mengulang kaji bersama-sama di mana-mana jua. Kami saling memberi dorongan dan tunjuk ajar.

“Ini satu motivasi dan nikmat perkahwinan masih belajar. Kami sentiasa pastikan segala perancangan tidak keciciran,” katanya.

Manakala pasangan Ahmad Rafei Ab Halim, 22, dan isterinya, Norhafiza Mahasan, 23, dari Terengganu, lebih bernasib baik kerana keluarga menyokong penuh keputusan mereka berkahwin semasa belajar.

Ahmad Rafei yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kemahiran Hidup manakala Norhafiza Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ekonomi Rumahtangga, berkata keluarga memahami hasrat mereka selain memastikan tidak terjebak perkara tidak diingini.

“Apabila menyuarakan hasrat, keluarga tidak membantah sebaliknya yakin kami bersedia memikul tanggungjawab. Mereka memberi penuh sokongan dan kebebasan.

“Malah, perkahwinan ini satu nikmat apabila prestasi penga­jian lebih meningkat hingga mampu memperoleh Anugerah Dekan bersama.

“Semuanya terpulang pada diri sendiri sama ada mahukan kejayaan atau kegagalan.
Perkahwinan hanya sekelumit penyebab,” katanya.

- HARIAN METRO

Interaksi sains dan Islam

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

MUSTAHIL jika difikirkan, manusia dapat menyeberangi lautan luas dengan menunggang kuda. Agak menghairankan juga, manusia dibakar di dalam unggun api yang marak tetapi tidak memberi sebarang kesan. Begitu juga peristiwa manusia tertidur di dalam gua Kahfi dan dibangunkan semula selepas ribuan tahun.

Semua peristiwa berikut adalah contoh kejadian yang tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata dan fikiran, sama ada melalui kajian sains dan logik akal.

Atas sebab ini juga menjadi punca berlakunya perdebatan antara ilmu sains dan agama yang tidak pernah selesai dibicarakan oleh pakar ilmuan dan masyarakat di serata dunia sejak dahulu lagi.

Sehingga wujudnya perselisihan fahaman antara kedua ilmu tersebut, sama ada menerima atau menentang hubungan antara ilmu sains dan agama.

Namun begitu, oleh kerana pendapat kedua dilihat lebih berpengaruh, fahaman itu kini berjaya disebarkan kepada masyarakat dunia dan telah diterima oleh orang ramai termasuk di negara Islam.

Melalui penyebaran secara sulit dengan mempertikaikan pertembungan antara sains dan agama melalui logik akal, sedikit sebanyak mempengaruhi mentaliti umat Islam bahawa ia adalah dua entiti yang berbeza dengan tanpa kita sedari.

Pengarah Institut Islam Hadhari, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman bagaimanapun menyangkal hujah berkenaan dan dengan tegas menyatakan sains dan agama adalah saling berinteraksi.

Ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Allah adalah tuhan yang bergantung pada-Nya segala sesuatu. (al-Ikhlas: 2)

Menurutnya, firman Allah SWT menerusi ayat ini jelas menerangkan kepada umat Islam bahawa tiada perkara yang terjadi tanpa kehendak dan keizinan daripada Allah SWT, walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang atau melakukannya.

Oleh itu, segala kejadian yang berjaya dirungkai dengan kajian sains, pada asasnya semuanya adalah disebabkan keizinan daripada Allah SWT dan ia perlu diyakini oleh semua umat Islam.

Menyokong hujah itu, Dr. Yusof berkata, terdapat banyak hasil kajian sains yang dilakukan menemui jawapan sama seperti yang telah dinyatakan dalam al-Quran yang merupakan kitab rujukan utama bagi umat Islam sejak ribuan tahun lalu.

Menurutnya lagi, begitu juga proses kejadian manusia dan peredaran bulan dan matahari yang telah jelas diterangkan di dalam al-Quran sebelum teknologi sains mampu mengenalpasti dan menjelaskan kejadian tersebut menggunakan kaedah saintifik.

"Sains tanpa agama, buta, agama tanpa sains, tempang. Walaupun istilah sains dan agama adalah berbeza, tetapi ia tidak boleh dipisahkan antara keduanya.

"Tidak keterlaluan untuk dikatakan, semua firman Allah SWT menerusi kitab al-Quran adalah sains. Sains adalah tuntutan dalam agama, manakala agama memerlukan sains untuk maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Sains dan Agama: Pertembungan, Keserasian dan Kesepaduan di Dewan Senat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Turut hadir penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, Profesor Datuk Dr. Ismail Ibrahim dan Timbalan Pengarah Institut Islam Hadhari UKM, Profesor Dr. Jawiah Dakir.

Dalam pada itu, tambah Dr. Yusof, sebagai umat Islam wajib mempercayai konsep kesepaduan agama dan sains melalui pendekatan sains Tauhidik.

"Berbeza dengan konsep sains konvensional, sains Tauhidik adalah ahli sains Islam yang meyakini bahawa Allah SWT adalah segala-galanya dan hanya Allah sahaja yang mengetahui tabii alam secara fizikal atau spiritual.

"Ini kerana manusia mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat terhad mengenai tabii alam secara saintifik.

"Dalam sains Tauhidik juga terdapat tiga hubungan sepadu iaitu hubungan antara manusia dengan tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Ia berbeza dengan konsep sains konvensional yang hanya menghubungkan perkaitan antara manusia dan hukum alam tanpa mempercayai tuhan," jelasnya.

Tambahnya penemuan teori sains melalui sesuatu kajian saintifik adalah bersifat tidak tetap dan berubah-ubah mengikut peredaran masa dan pengkaji.

Berbeza dengan ayat al-Quran yang tidak berubah-ubah sejak diturunkan pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat terdahulu.

- UTUSAN

Keputusan Suku Akhir EURO 2012 : Sepanyol 2 Perancis 0. Sepanyol mara ke separuh akhir



PENYANDANG juara Sepanyol menepati ramalan akan melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan Perancis 2-0 dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Donestk, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Kemenangan ini ternyata amat bermakna buat Sepanyol apabila semakin menghampiri untuk mencipta hatrik selepas muncul juara Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.

Dalam aksi separuh akhir 28 Jun ini, Sepanyol akan bertemu Portugal yang telah menundukkan Republik Czech Jumaat lalu.

Dilihat ibarat 'buku dan ruas', Sepanyol dan Perancis berentap, walaupun permainan banyak dikuasai penyandang juara antara 65-55%, untuk mengisi slot ke separuh akhir Euro 2012.

Perancis meningkatkan penguasaan bola di separuh masa kedua sehingga 45 peratus.

Sepanyol menjaringkan gol pertama menerusi Xabi Alonso - membolehkannya mendahului Perancis sebelum menambah gol pada minit terakhir permainan menerusi penalti.

Pada babak awal perlawanan, kedua-dua Sepanyol dan Perancis menampilkan permainan yang berhati-hati dan seimbang.

Bagaimanapun, Sepanyol mula menemui rentak di tengah babak perlawanan apabila mula bermain agresif dengan menampilkan serangan-serangan berbahaya ke gawang Perancis.

Asakan demi asakan akhirnya menewaskan pertahanan Perancis. Tandukan menerusi Alonso pada minit ke-19 berjaya membolosi gawang lawan untuk mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Perancis dilihat mula mengatur serangan untuk mencari gol namun tidak mendatangkan hasil apabila setiap percubaan dilakukan tersasar.

Pertahanan yang kental dilakukan oleh Sepanyol nyata mengecewakan Perancis yang semakin terdesak untuk menjaringkan gol.

Alonso sekali lagi menjadi wira Sepanyol apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit-minit terakhir perlawanan.

Jaringan itu sekali gus ini membolehkan anak didik Vicente Del Bosque menamatkan saingan suku akhir dengan penuh bergaya.

Sebaliknya, kegagalan ini terus menghantui Perancis untuk mara ke separuh akhir apabila terus gagal di peringkat suku akhir buat kali kelima dalam lima edisi Euro yang lalu.



Perkembangan di arena (pada minit ke-...):

90: Sepanyol menyempurnakan penalti - menang perlawanan dengan 2-0.

85: Perancis terus buntu dalam menghasilkan gol. Kedudukan Sepanyol (1) - Perancis (0). Kelihatan Sepanyol menghampiri separuh akhir.

80: Kedudukan masih terikat Sepanyol mendahului Perancis

78: Penggantian - Yann M'Vila digantikan oleh Olivier Giroud.

75: Kad kuning kedua diperoleh pasukan Perancis - Jeremy Menez

70: Sepanyol masih di depan dengan 1-0

68: Percubaan Sepanyol di kotak penalti tidak berhasil setelah dikekang pertahanan Perancis.

66: Penggantian Fransesc keluar, Fernando Torres dibawa masuk

65: Sekali lagi tendangan sudut bagi Sepanyol.

64: Penggantian - Rodriguez Pedro menggantikan David Silva

63: Penggantian - Samir Nasri dibawa masuk, menggantian Florent Malouda

63: Perancis semakin terdesk untuk mencari gol penyamaan, namun tidak berhasil,semuanya tersasar.

61: Sepanyol terlepas peluang menambah gol, pertemuan satu lawan satu pemain Sepanyol dan penjaga gol gagal disempurnakan.

60: Tandukan Yohan Cabaye melepasi gawang gol, terlepas peluang keemasan buat Perancis

58: Percubaan Sepanyol berjaya dikeluarkan pertahanan Perancis

57: Tendangan sudut kepada Perancis

55: Kedudukan masih 1-0, Sepanyol mendahului Perancis 1-0.

52: Perancis terus kebuntuan dalam mendapatkan gol; dikawal ketat oleh pertahanan Sepanyol yang sedang mendahului 1-0

51: Perancis menguasai babak kedua dengan melakukan serangan bertubi-tubi ke gawang Sepanyol

48: Perancis terus mengasak lawan untuk menjaringkan gol

46: Perlawanan separuh masa kedua bermula.

45: Perlawanan separuh masa pertama berakhir, kedudukan Sepanyol mendahului Perancis 1-0. Masa tambahan satu minit.

44: Sepakan percuma oleh Sepanyol diselamatkan penjaga gol Perancis

43: Sepanyol berpeluang menambah gol kedua, tapi rembatan tersasar

41: Kad kuning dilayangkan kepada pemain Perancis, Yohan Cabaye

38: Perancis terus melakukan serangan untuk mencari gol penyamaan

37: Tendangan sudut kepada Sepanyol

36: Hantaran cantik Perancis berjaya dikeluarkan oleh pertahanan Sepanyol

32: Kedudukan masih 1-0

31: Sepakan percuma Perancis hampir membolosi gawang Sepanyol, berjaya diselamatkan penjaga gol, Iker Casillas

30.19: Garcia Sergio Ramos dari Sepanyol dilayangkan kad kuning pertama perlawanan.

28: Asakan Sepanyol berjaya dikekang pertahanan Perancis

27.00: Sepanyol menguasai 61 peratus permainan

25.00: Percubaan Perancis tersasar melepasi gawang

24.00: Sepanyol sekali lagi terlepas peluang apabila berada dalam keadaan ofsaid

18.00: Sepanyol menjaringkan gol pertama menerusi Xabi Alonso. Kedudukan Sepanyol-Perancis 1-0.

13.28: Gawang Perancis sekali lagi cemas apabila hampir dibolosi, tapi tendangan tersasar.

12.30: Kedudukan masih 0-0.

10.00: Sepanyol terus melakukan asakan, tapi berjaya diselamatkan penjaga gol Perancis

6.00: Sepanyol melancarkan serangan ke gawang perancis

00.1: Perlawanan bermula.





Statistik pertemuan:

- Kedudukan gol: Sepanyol (12; Perancis (0)

- Penguasaan bola: 53% (Sepanyol); 47% (Perancis)

- Sasaran ke gawang: 10 (Sepanyol); 5 (Perancis)

- Sepakan penjuru: 7 (Sepanyol); 3 (Perancis)

- Kad kuning: 1 (Ramos; Sepanyol); 2 (Cabaye dan Jeremy Menez; Perancis)



Barisan pemain Sepanyol

1 Iker Casillas
17 Alvaro Arbeloa
15 Sergio Ramos
3 Gerard Pique
18 Jordi Alba
16 Sergio Busquets
14 Xabi Alonso
8 Xavi Hernandez
21 David Silva
6 Andres Iniesta
9 Fernando Torres



Barisan pemain Perancis

1 Hugo Lloris
2 Mathieu Debuchy
21 Laurent Koscielny
4 Adil Rami
3 Patrce Evra
6 Yohan Cabaye
18 Alou Diarra
17 Yann M'Vila
14 Jeremy Menez
10 Karim Benzema
7 Frank Ribery

- SINAR HARIAN

Google pelihara bahasa terancam

SAN FRANCISCO - Google semalam melancarkan Projek Bahasa Terancam untuk menyelamatkan pelbagai bahasa di dunia ini daripada dilupakan.

Syarikat aplikasi enjin carian terbesar itu melancarkan laman web Projek Bahasa Terancam dengan kerjasama ahli akademik dan pakar bahasa.

Ia membolehkan pengguna mencari, berkongsi dan menyimpan maklumat mengenai dialek yang semakin dilupakan.

"Orang ramai boleh berkongsi pengetahuan dan kajian mereka secara langsung melalui laman web ini dan membantu mengemas kini kandungannya.

"Mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah mula menyumbang kandungan daripada bahasa dalam manuskrip kurun ke-18 sehinggalah bahasa moden seperti sampel bahasa video dan audio selain artikel,'' kata pengurus projek itu, Ciara Rivera Rodriguez dan Jason Rissman dalam blog Google.

Laman web endangeredlanguages.com itu direka dengan membenarkan pengguna memuat naik video, audio atau fail teks dan menggalakkan mereka menghafal rakaman dialek yang jarang didengari.

Menurut laman web itu, hanya separuh daripada 7,000 bahasa yang digunakan hari ini dijangka kekal sehingga akhir kurun ini.

"Mendokumenkan bahasa terutama yang hampir pupus merupakan langkah penting dalam memulihara kepelbagaian budaya, menghormati pengetahuan warisan dan memperkasakan golongan muda,'' kata Rissman.

- AFP

4,430 Pelajar Ijazah Kelas Pertama Tidak Perlu Bayar Balik Pinjaman PTPTN

Seramai 4,430 pelajar Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang menamatkan pengajian sebelum tahun 2010 tidak perlu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini berikutan keptusan kerajaan yang bersetuju memperluaskan dasar pinjaman boleh ubah kepada pelajar berkenaan.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skim Simpanan Pendidikan Nasional-i (SSPN-i) dan penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN kepada 255 pelajar Parlimen Pasir Gudang.

Mohamed Khaled berkata pinjaman yang ditukarkan kepada biasiswa untuk pelajar cemerlang itu diputuskan pada 15 Jun lepas selaras dengan tindakan kerajaan melaksanakan semula dasar pinjaman boleh ubah bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf yang tamat pengajian mulai 1 Januari 2010.

"4,430 pelajar itu merupakan mereka yang diluluskan pinjaman pendidikan PTPTN selepas 1 Julai 2005 dan menamatkan pengajian sebelum 1 Januari 2010 melibatkan pembiayaan RM116.2 juta," katanya.

Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang berkata peluasan dasar pinjaman boleh ubah itu dibuat selepas kerajaan berpendapat bahawa pelajar cemerlang wajar diberi pengiktirafan selain menggalakkan pelajar terus berusaha mendapatkan keputusan cemerlang.

Beliau berkata kesemua pelajar berkenaan dikehendaki mengemukakan surat permohonan rasmi kepada PTPTN dengan menyertakan dokumen-dokumen termasuk salinan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama yang telah disahkan.

Mereka hendaklah memberikan salinan transkrip keputusan peperiksaan, akuan pelajar dan salinan sijil perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi pelajar graduan institusi pengajian tinggi swasta.

Katanya, pelajar boleh merujuk prosedur melalui laman web PTPTN di www.ptptn.gov.my dan pihak PTPTN akan membayar balik pinjaman sama ada secara penuh atau sebahagian.

Sementara itu, mengenai SSPN-i, Mohamed Khaled berkata produk tersebut selaras dengan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang disahkan sebagai produk mematuhi prinsip Syariah.

Beliau berkata dengan pengesahan tersebut, kesemua pendeposit terdahulu, sekarang dan yang baru serta mempunyai akaun SSPN yang mematuhi Syariah perlu membuka akaun SSPN-i melalui Maybank atau Bank Islam Malaysia Berhad.

Katanya, pembukaan akaun SSPN-i melalui bank lain hanya dibenarkan untuk mereka yang berhasrat memohon pembiayaan pendidikan PTPTN selepas tahun ini.

- BERNAMA

Measat Akan Lancar Tiga Satelit Dalam Tempoh Dua Tahun

Measat Satellite Systems Sdn Bhd (Measat) merancang untuk melancarkan tiga satelit dalam masa dua tahun akan datang untuk memberikan pelanggannya penyelesaian satelit inovatif dan terbaik pada kelasnya.

Pelancaran tiga satelit, AFRICASAT-1a dijadualkan pada Februari tahun depan,MEASAT-3b pada akhir 2013 dan MEASAT-3C pada 2014, kata Naib Presiden Kanan Pembangunan Sistem Angkasa Dr Ali R. Ebadi.

"Kami berterusan melabur dalam kapasiti satelit untuk menampung keperluang pelanggan yang kian meningkat terutamanya untuk perkhidmatan terus ke rumah," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara.

Dr Ali berkata AFRICASAT-1a adalah penggantian satelit sedia ada dalam usahasama dengan Kementerian Komunikasi dan Penerangan.

Measat mengembangkan jaringan satelit ke Afrika pada awal 2008 dengan tempahan satelit AFRICASAT-1, yang sebelum ini dikenali sebagai MEASAT-1.

Mengenai MEASAT-3b, Measat kini pada peringkat akhir rundingan dengan Kementerian Pertahanan Malaysia mengenai komunikasi mudah alih yang direka khas bersama dengan perkhidmatan penyiaran DTH untuk liputan Malaysia, India dan Indonesia, kata Dr Ali.

"Satelit ini akan meningkatkan pengembangan perniagaan Astro di Malaysia, termasuk lain-lain perkhidmatan seperti gerbang pelajaran dalam talian School.net untuk sekolah rendah dan perkhidmatan jalur lebar.Astro adalah jenama syarikat perkhidmatan televisyen berbayar satelit jalur lebar terus Malaysia.

MEASAT-3b dibina oleh Astrium, satu unit aeroangkasa European Aeronautic Defence and Space Company (EADS), menggunakan platform Eurostar E3000 yang akan diletakkan dengan satelit MEASAT-3 dan MEASAT-3a.

Antena satelit dibuat di Stevenage sementara bahagian telekomunikasi di buat di Portsmouth, kedua-duanya di UK.

Sebaik sahaja siap, ia akan dipindahkan dan diintergrasikan di Toulouse, Perancis, di mana kesemua bahagian elektrik dikilangkan sebelum dilancarkan ke orbit daripada Pusat Angkasa Guianadi Perancis .

Kos satelit MEASAT-3b, termasuk perlindungan insurans adalah US$350 juta, yang dibiaya oleh gabungan ekuiti dan pinjaman bank.

"Kami juga dalam rundingan dengan rakan konsi untuk satu lagi satelit dipanggil MEASAT-3C yang juga akan memberikan kapasiti dan akan dilancarkan menjelang akhir 2014", kata Dr Ali.

Beliau berkata ketiga-tiga satelit itu akan dilancarkan oleh Arianespace, syarikat perkhidmatan pelancaran dan penyelesaian utama dunia, yang mempunyai rekod 48 pelancaran berjaya berturut-turut, dengan sembilan tahun tanpa kegagalan.

Arianespace, dengan perolehan tahunan lebih 1.0 bilion euro, telah memenangi lebih setengah kontrak pelancaran komersial yang dibuka untuk bidaan setiap tahun.

Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-Yves Le Gall menjangka perolehan tahun ini melebihi 1.0 bilion euro.

- BERNAMA

Recent Posts