Sabtu, April 28, 2012

Fasha Sandha & Jejai bergelar Suami Isteri



Aktres sensasi Nur Fasha Sandha Hassan, 28, (Fasha) sah bergelar isteri kepada usahawan Rizal Ashram Ramli, 36, (Jejai) di Hotel Crowne Plaza Mutiara , Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa kandung Fasha iaitu Hassan Umbichi Moideen kira-kira pada pukul 9.45 malam bersaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Sahirman Ahmad.

Rizal Ashram melafazkan nikah sebanyak dua kali.

Majlis itu dihadiri kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada bapa Jejai iaitu bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, ibu kandung Fasha Hatijah Tehman dan bapa tirinya, Mohd Faisal, kaum keluarga, teman-teman rapat, rakan artis dan wakil media.

Fasha menerima mas kahwin sebanyak RM8888.88 tetapi enggan mendedahkan jumlah wang hantaran kepada umum.

Mengulas mengenai pemilihan jumlah tersebut sebagai mas kahwin, Fasha berkata angka lapan adalah kegemaran suaminya.

"Lapan adalah nombor kegemaran Jejai," katanya.

Diusik mengenai jumlah tersebut sehingga memaksa Jejai melakukan akad nikah sebanyak dua kali, lelaki itu mengakui kesukaran menyebut angka berkenaan.

"Saya juga terfikir akan kesukaran untuk menyebut angka itu selepas kami menetapkan jumlah mas kahwin.

"Namun ketika praktis nikah, saya boleh sebut angka itu dengan lancar," katanya.

Fasha menerima tujuh dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang berupa beg tangan berjenama Louis Vuitton, senaskhah Al-Quran dan sejadah, sebentuk cincin, coklat, Samsung Galaxy Note, mas kahwin dan tepak sireh.

Sebagai balasan, Jejai pula menerima sembilan dulang hantaran iaitu sejadah, tepak sireh, sepasang kasut Salvatore Ferragamo, tali leher dan tali pinggang Louis Vuitton, sebuah buku motivasi, set penjagaan lelaki Dolce & Gabbana, coklat dan sebentuk cincin daripada pengantin perempuan.

Pada majlis berkenaan, Fasha tampil anggun mengenakan busana berona putih ungu rekaan Riezman Ruzaini dan dirias juru solek terkenal Saidatul Nisa.

Beberapa rakan artis turut menyerikan majlis seperti Maria Farida, Tomok, Didie Alias, Faradhiya, Nor Aliah Lee, Rebecca Nur Al Islam dan Nadia Mustafar.

Majlis diacarakan oleh penyampai radio popular Linda Onn.

Pemenang enam kali trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian itu mengenali Jejai sejak tujuh tahun lepas.

Hubungan mereka menjadi intim kira-kira empat tahun lalu selepas Jejai bercerai dengan bekas isterinya yang juga pelakon Nora Danish.

Ini merupakan perkahwinan pertama buat Fasha dan yang kedua buat Jejai.

Hasil perkahwinan Jejai dengan Nora Danish selama dua tahun, mereka dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal Ramli, 3.

- MSTAR

Percutian Romantik di Sibu Island Resort


SESEKALI percutian yang sunyi dan tanpa gangguan amat didambakan oleh sesiapa sahaja yang sudah jenuh meredah kesibukan dan hiruk-pikuk kota. Lebih-lebih lagi sekiranya berpeluang untuk menghirup udara segar yang jarang dinikmati di tengah-tengah hutan konkrit.

Rancanglah percutian dan berkunjunglah ke Sibu Island Resort yang terletak 13 kilometer perjalanan menaiki bot dari jeti Tanjung Leman, Mersing, Johor.

Sebelum itu, jangan biarkan perut terlalu kosong atau terlalu kenyang sebelum menaiki feri dari Mersing kerana bimbang nanti kalau ada yang mudah berasa tidak selesa dan mabuk laut dalam perjalanan selama kira-kira 30 minit itu.

Selain barangan cenderamata, Jeti Tanjung Leman menawarkan pelbagai gerai makanan dan juga sebuah restoran makanan segera yang boleh dikunjungi untuk mngealas perut sementara menanti waktu menaiki feri.

Sejurus tiba di jeti Sibu Island Resort, kedatangan pengunjung pasti disapa kakitangannya yang mesra dan peramah. Sambil mengheret beg ke kaunter pendaftaran penginapan, mata pasti tertancap ke arah hamparan pasir pantai yang putih dan padang rumput luas namun diredupkan landskap pokok yang ditanam rapi.

Rusa dan merak

Rusa dan burung merak pula kelihatan bebas bergerak, sama ada bersendiri atau dalam kumpulannya. Ibarat sudah terbiasa dengan kehadiran manusia, haiwan-haiwan ternakan ini tidak pula lari ketakutan biarpun didekati kumpulan tetamu yang ingin bergambar.

Menurut Pengurus Residen Sibu Island Resort, Ab. Latiff Sahat, pengunjung boleh memberi makanan kepada haiwan-haiwan itu secara terus di atas tapak tangan. Makanan kegemaran haiwan tersebut seperti roti boleh dibeli di kedai cenderamata yang turut disediakan berdekatan.

"Haiwan-haiwan ini sekiranya didekati dengan mesra, ia tidak akan lari sebaliknya akan mendekati tetamu yang ingin memberikan mereka makanan tanpa rasa takut," katanya.

Ab. Latiff memberitahu, Sibu Island Resort telah mengalami pengubahsuaian besar-besaran sejak dua tahun lalu membabitkan kesemua 121 unit bilik penginapan, ruang legar dan persekitaran resort yang kesemuanya menelan kos sebanyak RM26 juta.

"Kami turut membaik pulih kawasan pesisiran pantai dan membina loji penyahgaraman air laut. Justeru, air bersih yang digunakan di sini termasuk air minuman adalah diproses sendiri melalui loji ini.

"Pengubahsuaian penuh dan persekitaran yang ditawarkan menjadikan Sibu Island Resort ini destinasi percutian yang cukup eksklusif di negara ini. Ia ibarat mengikuti percutian ke pulau persendirian yang tenang dan mendamaikan," katanya mengenai pulau percutian seluas 26 hektar itu.

Tidak dinafikan, pengubahsuaian yang dilakukan telah berjaya membentuk imej baharu Sibu Island Resort yang kelihatan mewah tetapi berpatutan untuk dikunjungi. Lebih istimewa, Sibu Island Resort menawarkan pelbagai pakej penginapan mengikut bajet percutian masing-masing.

Menurut Ab. Latiff, tetamu boleh memilih menginapan di bilik Superior dan Deluxe ataupun ke unit suite Serindit, Layang-Layang, Honeymoon atau Raja Udang bergantung kepada jumlah tetamu dan bajet masing-masing.

"Semua bilik penginapan mempunyai keistimewaan masing-masing. Sebahagian bilik penginapan dibina menghadap pantai, manakala sebahagian lagi menghadap persekitaran resort. Setiap satunya menerima sentuhan rekaan berasaskan kayu yang berciri moden.

"Bagi mereka yang memilih untuk berbulan madu di sini, Honeymoon Suites sudah semestinya menawarkan pemandangan terbaik malah bilik dihias dengan elemen romantik sebelum menerima ketibaan tetamu," katanya.

Sukan lasak

Sekiranya sudah puas menikmati keindahan alam semula jadi atau merehatkan diri di bawah selimut yang selesa, pilihan aktiviti sukan ekstrem yang disediakan pasti dapat memenuhi jadual percutian bersama keluarga dan teman-teman.

Menurut Ab. Latiff, Sibu Island Resort menawarkan pelbagai kemudahan sukan lasak bertaraf dunia antaranya aktiviti terbang keluang (flying fox), memanah dan memanjat menara setinggi 24 meter yang menjadi tarikan dan pilihan ramai tetamu yang datang berkunjung.

"Sekiranya lebih meminati aktiviti snorkeling, pulau-pulau berhampiran menawarkan lokasi menarik untuk tujuan tersebut. Kemudahan dan perkhidmatan berkaitan snorkeling turut disediakan pihak resort.

"Selain itu, mereka yang datang berkumpulan boleh mencuba aktiviti berkayak, perahu layar, Banana Boat dan pelampung terbang Flying Fish yang pasti mendebarkan dan mencabar terutama bagi mereka yang pertama kali mencubanya," katanya.

Tambah Ab. Latiff, selain aktiviti membabitkan pantai, Sibu Island Resort turut mempunyai hamparan hutan di bahagian belakangnya yang sedia menanti si penggemar aktiviti treking.

"Melalui aktiviti ini yang akan ditemani jurupandu, pengunjung berpeluang mengenali pelbagai tumbuhan hutan dan spesies burung.

"Kaki pancing pula boleh membawa alat pancing masing-masing atau menyewa peralatan di kedai berkaitan," jelasnya.

Sesudah puas mencuba pelbagai aktiviti ekstrem, tubuh yang letih amat sesuai dibawa ke Holistic Spa. Pusat yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari itu memanjakan tetamunya dengan pelbagai rawatan seperti urutan tradisional Sibu, urutan Swedish, urutan bahu, leher dan belakang dan skrub badan herba.

Sup tulang rawan

Dalam pada itu, keperluan menjamu selera tidak sesekali diabaikan pihak resort. Di Lumba Lumba Coffee House yang mampu memuatkan 100 tetamu pada satu-satu masa, selera tetamunya disambut dengan kelazatan hidangan ala carte dan bufet daripada menu-menu Asia dan antarabangsa.

Selain Lumba Lumba yang dibuka seawal pukul 7 pagi hingga 11.30 malam setiap hari, Suji Lounge pula mampu memuatkan 30 orang tetamu dengan rangkaian menu makanan dan minuman yang khusus.

Menurut Sous Chef Kanan, Budi Ali, hidangan istimewa yang disediakan di kafe berkenaan ialah sup tulang rawan yang menjadi menu signatur. Ia bagaimanapun, hanya disediakan pada hari-hari tertentu.

"Sup tulang rawan boleh dinikmati di sini pada hari-hari perayaan utama, istimewa buat mereka yang memilih untuk meraikannya di resort ini.

"Selain sup tulang rawan, hidangan istimewa yang digemari oleh tetamu ialah udang goreng tepung yang mempunyai rasa istimewa yang tidak akan ditemui di tempat lain," jelasnya.

Keistimewaan menu lazim berkenaan terletak pada keenakan salutan tepungnya yang garing dan memiliki rasa seumpama salutan tepung ayam goreng di rangkaian restoran makanan segera popular.

Selain itu katanya, hidangan barbeku yang diadakan pada malam-malam tertentu amat digemari lebih-lebih lagi apabila para tetamu dihiburkan dengan persembahan band live yang dibawakan khas dari Filipina.

"Kumpulan ini juga akan menghiburkan para tetamu yang mengikuti aktiviti kem unggun api yang lazimnya bermula selepas makan malam berakhir," terangnya.

- KOSMO!

Lahar punca lurah terbentuk di Marikh


WASHINGTON - Aliran lahar telah menyebabkan lurah-lurah terbentuk di planet Marikh, kata beberapa saintis Amerika Syarikat menerusi jurnal Science kelmarin.

Menurut jurnal itu, lahar tersebut meninggalkan kesan lingkaran seperti yang dapat dilihat di beberapa bahagian di Bumi termasuk di Pulau Besar, Hawaii.

Teori bahawa lahar mencorakkan landskap Marikh dibuat berdasarkan analisis di kawasan Athabasca Valles di tengah planet berkenaan.

Ketua penulis artikel itu, Andrew Ryan dari Universiti Negeri Arizona membuat kesimpulan tersebut berdasarkan analisis yang dilakukan ke atas lebih 100 imej Athabasca Valles beresolusi tinggi.

Imej itu dirakamkan sebuah satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Beliau berkata, lebar lingkaran yang dilihat di kawasan bergunung berapi, Elysium di Marikh adalah antara lima hingga 30 meter dan tidak mungkin lurah berkenaan terhasil oleh ais atau proses berkaitan dengan air.

"Ia lebih besar daripada lingkaran lurah lahar yang terdapat di Bumi.

"Lingkaran itu hanya dapat dikesan dengan menggunakan imej beresolusi tinggi yang dirakamkan satelit NASA," kata Ryan.

Setakat ini, Ryan dan seorang saintis lain, Philip Christensen telah menemui lebih 200 lingkaran lahar di Marikh dan mereka percaya terdapat banyak lagi lingkaran di planet tersebut.

- AFP

Tuala wanita kitar semula


SEBELUM tuala wanita tercipta, sebahagian besar wanita menggunakan lipatan kain ketika haid sebagai satu-satunya alternatif. Kain tersebut kemudiannya dibasuh dan digunakan semula.

Bagaimanapun, pada hari ini mungkin tiada anak gadis mahupun wanita yang selesa atau mahu meneruskan tradisi tersebut.

Sebaliknya, tuala wanita pakai buang menjadi pilihan kerana ia lebih mudah diurus.

Ketika ramai wanita memilih menggunakan tuala wanita pakai buang, Qhatijah Mohd. Said, 34, tidak kisah menjadi kelompok minoriti. Beliau bukan sahaja menggunakan cara lama setiap kali haid, malah menghasilkan sendiri tuala wanita yang diperbuat daripada kain sejak dua tahun lalu.

Anak kelahiran Taman Melawati, Kuala Lumpur yang lebih mesra dengan panggilan Qaty mula berjinak-jinak menjahit tuala wanita ketika hamil anak ketiga.

Meskipun tidak memiliki kemahiran asas menjahit, Qaty tekad belajar sendiri. "Mula-mula saya menjahit secara manual kerana tidak arif menggunakan mesin. Tidak lama selepas itu, barulah saya gunakan mesin jahit milik ibu yang sudah berusia 30 tahun.

"Apabila seronok buat tuala wanita, saya berikan kepada rakan-rakan dan menjualnya secara suka-suka sehinggalah kini ia menjadi satu perniagaan," katanya yang sebelum ini membeli tuala wanita kitar semula dari Amerika Syarikat secara talian.

Segala-galanya bermula lima tahun lalu ketika Qaty mahu mencari informasi mengenai kain lampin untuk anaknya. Secara kebetulan, dia menemui produk tuala wanita kitar semula yang belum dijual di negara ini.

Harga bagi setiap satu tuala wanita yang dibelinya secara talian mencecah antara RM40 hingga RM50. Bagaimanapun, apabila produk tersebut sudah berada dalam pasaran Malaysia, harganya mencecah antara RM60 hingga RM70 untuk satu tuala wanita.

Kalis air

Menyedari harganya yang agak mahal, Qaty bereksperimen menjahit tuala wanita itu sendiri. Tuala wanita kitar semulanya menggunakan fabrik batik dan kapas.

Selain fabrik batik dan kapas, Qaty menggunakan fabrik bamboo velour dan bamboo fleece yang mempunyai daya resapan dan menakung cecair air. Di AS, tuala wanita guna semula banyak menggunakan kain flanel.

Qaty lebih gemar menggunakan kain batik dan kapas kerana corak dan warnanya yang lembut kerana beliau percaya ia mampu meningkatkan keyakinan diri si pemakai meskipun ia tidak dapat di lihat oleh khalayak.

"Tuala wanita ini dilapisi lapisan kalis air yang mempunyai aliran udara yang baik, tidak panas dan tidak berkuap," jelas Qaty yang menamakan tuala wanita buatannya Bisky Bosky.

Diperbuat daripada fabrik yang bercorak dan warna yang ceria, Qaty punya alasan yang tersendiri.

"Wanita sukakan kecantikan. Jadi, kita berikan kelainan pada tuala wanita supaya mereka mempunyai pilihan untuk memakainya," jelas Qaty.

Menyentuh tentang penggunaan tuala wanita Bisky Bosky, ia sama seperti tuala wanita sedia ada, cuma ia perlu direndam dan dibasuh dengan sabun. Beliau juga berkongsi tip supaya pengguna tidak menggunakan bahan pelembut pakaian bagi memastikan tuala wanita kitar semula ini tahan lama.

"Ia juga tidak perlu diberus, memadai menyental dan menonyoh dengan tangan," katanya.

Menjawab persoalan kemungkinan tuala wanita yang dipakai ini boleh menerbitkan bau yang kurang menyenangkan, Qaty mempunyai jawapan. "Ia boleh disimpan di dalam beg yang dikhaskan," jelasnya.

Berbanding tuala wanita biasa, tuala wanita dan pelapik seluar dalam Bisky Bosky boleh bertahan sehingga lima tahun bergantung kepada cara penggunaannya.

Ia juga mempunyai butang bagi mengelakkan tuala wanita itu beralih posisi ketika dipakai.

Menurutnya, pada masa ini pasaran produknya belum meluas dan masih dalam proses mendidik orang ramai tentang kelebihannya.

"Tuala wanita ini juga bebas daripada bahan kimia yang lazimnya digunakan dalam penghasilan tuala wanita pakai buang di pasaran," kata wanita yang menitikberatkan soal kesihatan dan alam sekitar itu.

Idea bagus

Menyasarkan kepada golongan wanita muda, tuala wanita Bisky Bosky bukan sahaja boleh digunakan ketika haid sahaja, malah wanita dalam pantang dan mereka yang mengalami masalah kawalan kencing juga boleh memanfaatkannya.

Qaty tidak menafikan masih ada pihak yang ragu-ragu dengan tuala wanita kitar semula yang dihasilkannya.

"Ada yang setuju kerana menganggap ia idea yang bagus selain menjimatkan dan ada pula yang tidak boleh menerima konsep ini kerana malas membasuhnya.

"Bahkan, ada yang kurang yakin sejauh mana tuala wanita ini mampu menampung darah haid kerana bentuk fizikalnya yang nipis berbanding tuala wanita biasa," ujar ibu kepada tiga anak ini.

Namun, di sebalik pelbagai pandangan negatif yang diterima, beliau tidak menang tangan untuk menjahit permintaan tuala wanita kitar semula itu.

Menurut Qaty, 80 peratus tuala wanita itu dijual di pasar lambak The Curve, Petaling Jaya pada setiap hujung minggu.

Qaty mengambil masa selama 15 minit untuk menghasilkan sekeping tuala wanita. Dalam sehari dia mampu menjahit sekitar 50 keping tuala wanita.

Pengawal Kewangan di sebuah syarikat swasta itu melakukan kerja-kerja menjahit pada sebelah malam bermula dari pukul 12 tengah malam hingga pukul 5 pagi.

Dalam sebulan, Qaty mampu menjual sebanyak 1,000 keping tuala wanita kepada para pelanggannya yang terdiri daripada kanak-kanak seawal usia lima tahun, remaja, wanita dewasa dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Mahal? Jangan khuatir, Qaty turut menawarkan bayaran secara ansuran bulanan bagi memudahkan pengguna.

Sejak diperkenalkan dua tahun lalu, setakat ini produk Bisky Bosky belum menerima kritikan negatif.

Sementara itu, dianggarkan 60 peratus kaum wanita menghadapi kesukaran untuk menumpukan perhatian kepada tugas harian semasa haid kerana mereka khuatir kebocoran pada tuala wanita.

Kebocoran ini lazimnya berlaku di bahagian tepi tuala wanita pada waktu siang dan di bahagian belakang pada waktu malam.

Cegah kebocoran

Bagi mengatasi masalah tersebut, produk terbaharu Kotex yang dilengkapi komponen ProActive Guards, melindungi wanita daripada kemungkinan kebocoran pada tuala wanita. ProActive Guards merupakan penghadang pintar yang diletakkan di bahagian tepi dan belakang tuala wanita.

"Penghadang ini akan naik secara automatik apabila terkena cecair, sekali gus mengikut bentuk badan wanita dan membentuk sekatan pelindung untuk memberi perlindungan muktamad terhadap kebocoran," kata Pengurus Pemasaran Penjagaan Feminin Kimberly-Clark Malaysia, Edlyn Khoo.

Selama ini, golongan wanita menggunakan tuala wanita yang lebih besar dan panjang untuk cuba menangani masalah kebocoran, malangnya tuala wanita sebegini tidak dapat memberi perlindungan.

Kotex dengan ProActive Guards Technology merupakan tuala wanita yang pertama di dunia yang dilengkapi penghadang di bahagian tepi dan belakang tuala wanita.

Di samping teknologi ProActive Guards, tuala wanita ini juga dilengkapi Rapid Absorb Funnels iaitu boleh menyerap cecair sewaktu aliran berat atau mengejut, sekali gus mengunci cecair ini dengan selamat dan menghalang kebocoran.

- KOSMO!
 

ABN tawar 100 saluran TV lebih murah



ASIAN Broadcasting Network (M) Sdn Bhd (ABN), bakal menyertai pasaran televisyen berbayar tempatan dengan menawarkan perkhidmatan televisyen kabelnya pada harga mampu milik menerusi pengenalan pakej asas yang ditawarkan sehingga 30 peratus lebih murah berbanding stesen televisyen berbayar sedia ada.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Sreedhar Subramaniam, perkhidmatan televisyen kabel digital ABN itu yang akan dilancarkan Jun ini, bakal menawarkan 100 saluran pilihan, dengan memperkenalkan sekurang-kurangnya 50 saluran dalam pakej asas ABN.

Beliau berkata, dalam fasa pertama pelancarannya, perkhidmatan itu akan ditawarkan di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara menjelang pertengahan tahun depan.

Katanya, sistem televisyen kabel ABN berkeupayaan menyalurkan lebih 1,000 saluran merangkumi kandungan pendidikan, maklumat serta hiburan interaktif berkualiti tinggi tanpa sebarang gangguan perkhidmatan.

“Pakej langganan ABN akan diperkenalkan Jun ini secara berperingkat, dan kami menyasarkan menarik 1.2 juta pelanggan menjelang pertengahan tahun depan.

“Dalam fasa pertama, kami menyasarkan menyediakan perkhidmatan kepada sekurang-kurangnya 25 peratus kediaman atau kira-kira 300,000 kediaman pada harga langganan yang sangat berpatutan,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Naib Presiden Kanan Pemasarannya, Michael Chan.
Sreedhar menjelaskan, pihaknya masih belum boleh mengumumkan pakej yang akan ditawarkan kepada pelanggan, kerana syarikat itu masih dalam peringkat akhir memuktamadkan perbincangan dengan beberapa penyedia kandungan.

Selain harga pakej yang sangat rendah, katanya syarikat itu juga akan menawarkan lebih banyak saluran berbeza daripada yang ditawarkan stesen televisyen berbayar lain sebagai strateginya meraih penguasaan pasaran televisyen berbayar tempatan.

Sreedhar berkata, ABN akan melabur kira-kira RM2 bilion dalam tempoh 10 tahun termasuk bagi pembangunan rangkaian kabel, infrastruktur, kos operasi serta kandungan program televisyen kabel itu bagi mengukuhkan jenamanya.

Katanya, semua data ABN akan disalurkan menerusi kabel gentian optik milik pengendali rangkaian kabel gentian optik utama tempatan termasuk Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Fibrecomm Network (M) Sdn Bhd.

Mengenai pelan pengembangan syarikat, beliau berkata, ABN juga akan memperluaskan perkhidmatannya meliputi penyediaan perkhidmatan internet dan suara yang akan diperkenalkan selepas beberapa bulan perkhidmatan televisyen dilancarkan.

Sebelum ini dilaporkan ABN melantik Fibrecomm sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian utamanya yang pertama bagi menyambungkan kabel optik serat muktamad ke kediaman di negara ini.

Berdasarkan perjanjian itu, Fibrecomm akan menyediakan ABN dengan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi dan Kemudahan Lokasi Bersama bagi menempatkan peralatan rangkaian ABN.

Perkongsian itu akan mempercepatkan pelancaran televisyen, jalur lebar berkelajuan tinggi, suara dan perkhidmatan multimedia lain ABN kepada pelanggannya tanpa sebarang gangguan, dengan menggunakan rangkaian utama sedia ada Fibrecomm yang menggunakan kapasiti kelajuan jalur lebar tinggi.

- BERITA HARIAN
 

Jumaat, April 27, 2012

Graduan Pendidikan IPTA Akan Diserap Sekolah Mulai Mei 2012

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pelajaran telah membuat beberapa ketetapan dan penyelarasan bagi memastikan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam yang belum ditempatkan dapat diserap di sekolah-sekolah mulai Mei ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata seramai 29 daripada 4,859 graduan pendidikan yang berjaya dalam temuduga berfasa yang diadakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) telah diberi penempatan di Pusat Anak Permata Negara sejak 8 April lepas.

"Baki seramai 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa dengan penempatan Fasa Satu akan dilaksanakan pada 23 Mei ini dengan melibatkan 4,671 graduan. "Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Muhyiddin berkata baki 159 orang graduan pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa Dua pada Julai ini. Muhyiddin berkata kesemua graduan yang berjaya itu merupakan antara 5,510 graduan IPTA yang mendapat panggilan temuduga daripada SPP mulai Januari lepas. Daripada jumlah itu, SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap, sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila tidak hadir temuduga, katanya.

Beliau berkata kesemua mereka merupakan graduan daripada Universiti Utara Malaysia (90 orang), Universiti Sains Malaysia (368), Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017).

Universiti Putra Malaysia (482), Universiti Malaya (308), Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).

Muhyiddin juga berkata kementerian telah melantik seramai 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan tersebut sebagai guru interim bagi memenuhi keperluan guru di Sekolah Menengah.

"Berikutan penempatan ini, perkhidmatan guru interim tersebut akan ditamatkan.

Walau bagaimanapun, guru interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS)pada 23 Mei ini berdasarkan keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT," katanya.

Muhyiddin berkata bagi 2,484 graduan J-QAF Institut Pendidikan Guru yang akan menamatkan pengajian pada Jun ini, mereka akan melalui temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih dahulu sebelum penempatan diuruskan.

Timbalan Perdana Menteri berkata urusan temuduga dan pengambilan graduan dari institusi pengajian tinggi swasta tidak dapat dijalankan pada masa ini kerana kementerian memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang telah dianjurkan oleh kementerian itu lebih awal kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

"Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan Kementerian Pelajaran," katanya.

Para graduan boleh melayari laman web www.spp.gov.my bagi mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak. Keputusan penempatan akan diumumkan kementerian sedikit masa lagi.

- BERNAMA

SPR Tidak Ubah Sempadan Tapi Perbetulkan Lokaliti - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah melakukan perubahan terhadap sempadan kawasan pilihan raya, tetapi hanya membetulkan lokaliti pemilih yang tersalah letak sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menyedari kedudukan beberapa lokaliti yang tersalah letak di dalam bahagian pilihan raya hanya selepas penggunaan Sistem EGIS (Sistem Maklumat Geografi Pemilih) pada 2004.

"Oleh kerana kedudukan lokaliti berkenaan telah tersalah letak maka selaras peruntukan undang-undang, SPR perlu membetulkan kedudukan lokaliti tersebut di dalam bahagian pilihan raya yang sepatutnya pemilih di dalam lokaliti berkenaan didaftarkan," katanya.

Beliau menjawab dakwaan bahawa SPR telah sengaja membetulkan sempadan kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen bertujuan meramaikan pengundi di satu-satu kawasan bagi membolehkan Barisan Nasional beroleh kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Jawapan itu terkandung di dalam buku yang dikeluarkan SPR bertajuk 'Fakta Sebenar Di sebalik Dakwaan dan Fitnah Terhadap SPR' dan diedarkan kepada media bagi menjawab 12 dakwaan pihak tertentu. Untuk rekod, lokaliti bermaksud unit yang paling kecil yang terdapat dalam daerah mengundi dan ia mempunyai sejumlah pemilih dan alamat masing-masing.

Abdul Aziz berkata berkata langkah membetulkan lokaliti itu membabitkan 19,342 pemilih di seluruh negara. "Pemilih-pemilih mengikut lokaliti-lokaliti berkenaan perlu ditempatkan di dalam kawasan pilihan raya yang sebenarnya seperti yang wujud di lapangan," katanya.

Beliau berkata selepas pembetulan dilakukan, SPR memaklumkan secara rasmi melalui surat pemberitahuan yang dialamatkan kepada semua pemimpin parti politik di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan.

"Kita beranggapan parti-parti politik melalui pemimpin-pemimpin mereka di peringkat daerah mengundi dan DUN menyedari tindakan SPR tersebut dan seterusnya memaklumkan kepada pemilih-pemilih yang terlibat di kawasan masing-masing," katanya. Bagaimanapun kata Abdul Aziz, ramai pemilih memaklumkan kepada SPR mereka tidak tahu berlaku pembetulan lokaliti.

"Jadi untuk PRU-13,SPR akan menulis surat pemberitahuan perkara tersebut kepada semua pemilih yang terlibat di semua kawasan yang berkenaan di seluruh negara," katanya.

Abdul Aziz berkata perubahan sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya hanya dapat dilakukan apabila tiba masanya mengikut peruntukan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, dan SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan perkara itu.

SPR turut menyangkal dakwaan bahawa kawasan mengundi Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dipindahkan secara tidak sah, sebaliknya nama beliau juga terbabit dalam proses pembetulan lokaliti.

Abdul Aziz berkata SPR telah memberi penjelasan terperinci berhubung perkara itu, namun isu tersebut terus diputar belit untuk mengelirukan orang ramai yang tidak faham tentang isu pembetulan kedudukan lokaliti.

Apa berlaku sebenarnya ialah SPR hanya membuat pembetulan kedudukan lokaliti yang telah tersalah letak di dalam kawasan pilihan raya yang mana proses itu dijalankan mengikut Peruntukan sub peraturan 25(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih 2002), katanya.

- BERNAMA

130 Saluran ASTRO untuk semua pelanggan dari 27 April - 6 Mei 2012


Mulai 27 April sehingga 6 Mei 2012 selama 10 hari, semua 130 saluran ASTRO (kecuali ASTRO First) boleh ditonton oleh semua pelanggan tanpa mengira pakej yang mereka ambil. Ini termasuklah Pakej Filem, Sukan, Indo Pek, Dinasti, Maharaja, Pakej Mini dan Metro.
Saluran ini dibuka untuk tontonan semua pelanggan ASTRO sebagai  menghargai para pelanggannya yang memilih ASTRO sebagai pemenang PUTRA Best Brand Award 2012 baru-baru ini.
http://www.astro.com.my/
 
 
 

Soal Jawab Mengenai Jawatan Kosong di KEMAS

1. Bilakah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan membuat iklan jawatan kosong di KEMAS?

 KEMAS akan membuat iklan apabila terdapat keperluan untuk mengisi jawatan-jawatan berstatus KONTRAK.

 Bagi jawatan berstatus TETAP, kekosongan ini akan di isi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Tuan/Puan boleh rujuk ke laman web SPA di www.spa.gov.my dan mengisi borang SPA8i secara online. Jawatan tetap adalah seperti yang tertera pada borang SPA8i berdasarkan kelayakan pendidikan. Tiada spesifikasi untuk KEMAS kerana penempatan adalah ditentukan berdasarkan keperluan Kementerian/Jabatan sekiranya berjaya di dalam proses temuduga tersebut.

 Iklan-iklan jawatan kosong berstatus kontrak ini akan disiarkan di akhbar-akhbar utama berbahasa Malaysia pada hujung minggu (Mingguan Malaysia bagi Semenanjung Malaysia dan Borneo Post bagi Sabah dan Sarawak). Pengumuman mengenai kekosongan jawatan ini akan diwar-warkan di laman web KEMAS di www.kemas.gov.my; dan di laman sosial Facebook KEMAS di www.facebook.com/jabatankemajuankemas



2. Apakah jawatan-jawatan berstatus kontrak tersebut?

 i) Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S17 (Penyelia)

 ii) Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S27 (Pemaju Masyrakat Tabika)

 iii) Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S27 (Pemaju Masyarakat Taska)

 iv) Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S17 (Pemaju Masyarakat Pelbagai Jurusan)

 Bagi jawatan (i) tajuk iklan adalah Iklan Jawatan Kosong Bagi Mengisi Kekosongan Pembantu Pembangunan Masyarakat (Penyelia) Gred S17

 Bagi jawatan (ii) hingga (iii) tajuk iklan adalah Tawaran Bagi Mengikuti Kursus Pendidikan Awal Kanak-kanak Tabika/Taska Bagi Lepasan Diploma

 Bagi jawatan (iv) tajuk iklan adalah Iklan Jawatan Kosong Bagi Mengisi Kekosongan Pembantu Pembangunan Masyarakat (Pemaju Masyarakat Pelbagai Jurusan) Gred S17



3. Apakah jenis borang tersebut?

 KEMAS 1 Pin. 2005



4. Bagaimana untuk mendapatkan borang tersebut?

 Borang-borang boleh didapati di semua pejabat KEMAS Negeri & Daerah berdekatan dengan tempat tinggal tuan/puan.

 Selain itu, tuan/puan boleh mendapatkan borang tersebut dengan memuat turun dari laman web KEMAS di www.kemas.gov.my



5. Adakah dikenakan sebarang bayaran?

 TIADA SEBARANG BAYARAN DIKENAKAN.



6. Apakah dokumen-dokumen yang perlu disertakan?

 Borang yang telah lengkap di isi hendaklah disertakan dengan 2 keping gambar terkini, salinan kad pengenalan yang telah disahkan, salinan surat beranak yang telah disahkan, salinan sijil-sijil keputusan peperiksaan yang telah disahkan, salinan sijil-sijil aktiviti yang telah disahkan.



7. Siapakah yang boleh mengesahkan salinan dokumen-dokumen tersebut?

 Ketua Kampung, Pegawai-pegawai Kerajaan Kumpulan Professional (Gred 41 dan ke atas).



8. Di mana saya perlu menghantar borang yang telah siap di isi?

 Tuan/Puan perlu menghantar borang yang telah siap di isi yang disertakan dengan dokumen-dokumen (rujuk soalan 5) yang diperlukan ke Pejabat KEMAS NEGERI yang berhampiran dengan tempat tinggal tuan/puan.



9. Berapa lama tempoh sah laku permohonan?

 Enam (06) bulan dari tarikh tutup permohonan. Sekiranya tuan/puan tidak menerima sebarang panggilan dalam tempoh enam (06) bulan dari tarikh tutup, permohonan tuan/puan adalah di anggap tidak berjaya.



10. Adakah bukti pos boleh diguna pakai sebagai bukti penerimaan dokumen/borang?

 Bukti pos bukan bukti penerimaan dokumen/borang.



11. Adakah cara lain untuk saya mengisi borang kekosongan jawatan di KEMAS?

 Ketika ini pihak KEMAS masih menggunapakai borang yang di isi secara manual.


http://www.facebook.com/jabatankemajuankemas



Keistimewaan amalan hari Jumaat

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

HARI Jumaat mempunyai banyak keistimewaan yang seharusnya dimanfaatkan dengan melaksanakan amalan hasanah. Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Katsir mengatakan Jumaat bermaksud berhimpun.

Pada hari Jumaat kaum muslimin dihimpunkan di masjid untuk mendengar khutbah dan mendirikan solat Jumaat dua rakaat.
Hari Jumaat cukup istimewa kerana Allah telah mengatakan tawaran hebat iaitu ganjaran pahala besar terhadap amal ibadah dan amalan hasanah yang dilakukan. Disebabkan besarnya pahala dijanjikan Allah, maka rugilah sesiapa yang mengabaikan kehadiran hari Jumaat tanpa amalan salih dan kebajikan.
Kita sering membaca laporan media yang cukup mengguris hati apabila adanya segelintir anak muda tanpa rasa malu dan segan merempit pada waktu khutbah Jumaat dibacakan dan semasa jemaah menunaikan solat Jumaat.

Malah ada yang mengambil peluang berlumba motosikal selepas saja selesai menunaikan solat. Ini suatu gambaran negatif dan mempamerkan kurang hormat kepada hari Jumaat yang mulia itu. Ada juga yang sengaja mengambil peluang pada hari Jumaat melaksanakan aktiviti luar seperti berkelah hingga mengabaikan solat Jumaat.

Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah hari pengampunan yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak meninggalkan seorangpun dalam kalangan orang Islam pada hari Jumaat, melainkan ia pasti diberi-Nya pengampunan.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Jadi, kita sewajarnya memanfaatkan hari Jumaat untuk memperbanyakkan bacaan istighfar memohon keampunan. Rasulullah SAW juga ada memberitahu bahawa pada hari Jumaat ada satu waktu yang begitu eksklusif untuk berdoa kerana amat mustajab.

Abu Hurairah mengatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang mana sekiranya berkebetulan dalam solat seseorang hamba, lalu dia bermohon kepada Allah, pasti akan diberikan apa yang dimintanya sambil Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan Baginda bagi menggambarkan betapa sekejapnya saat itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita seharusnya berusaha mencari waktu yang dikatakan mustajab berdoa pada hari Jumaat. Meskipun tidak dinyatakan waktu yang tepat, kita tidak wajar memandang remeh ruang dan peluang untuk berdoa.

Seperkara lagi pesanan Rasulullah SAW berkaitan keistimewaan hari Jumaat ialah tawaran Allah menggandakan pahala terhadap sesiapa saja yang melakukan amalan soleh, begitu juga perbuatan mungkar dan dosa, turut digandakan kiraan dosanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya pada hari Jumaat seluruh makhluk termasuklah jin dan manusia akan berasa gementar, dan pada hari itu juga dilipat gandakan kebajikan dan kejahatan, dan hari yang mana akan berlakunya kiamat.” (Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan dilipatgandakan pahala yang dilakukan pada hari Jumaat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Antara amal ibadah yang sangat dianjurkan pada hari Jumaat ialah membanyakkan bacaan selawat dan menggandakan kerja kebajikan untuk manfaat masyarakat.

Biasanya pada hari Jumaat ada kalangan masyarakat kita mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan. Ini satu kegiatan yang sangat bernilai tinggi dalam Islam kerana selain memelihara kebersihan tanah perkuburan, aktiviti itu mampu mengeratkan ukhuwah.

Sebagai menghormati hari Jumaat yang mulia, sewajarlah kita beramal sebaik yang terdaya untuk memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah selain menjadikannya landasan membina masyarakat bersatu padu menerusi kerja kebajikan serta amalan hasanah.

- BERITA HARIAN

Recent Posts