Selasa, April 24, 2012

Burger saiz super


TATKALA melihat hidangan burger sebesar pemeluk, sudah pasti melahirkan perasaan teruja kepada sesiapa sahaja.

Apatah lagi, burger merupakan salah satu hidangan yang menjadi pilihan penggemar makanan segera di negara ini.

Lazimnya, burger gergasi yang mencecah lebih tiga kilogram (kg) sebelum ini hanya dapat ditonton melalui kaca televisyen berdasarkan cerita dari luar negara ataupun Internet.

Ternyata, idea hidangan seumpama itu telah mencetus kreativiti beberapa pengusaha burger di negara ini.

Kini, penggemar makanan tempatan boleh menikmati burger gergasi di gerai burger YB yang terletak di Kompleks Perniagaan Anjung 7, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Burger gergasi buatan sendiri Abu Yazid Abdul Kadir, 32, itu menawarkan tiga pilihan saiz dan pelbagai jenis roti kepada penggemar burger yang inginkan sesuatu yang baharu.

Berbekalkan pengalaman selama hampir 14 tahun dalam bidang perniagaan burger, Abu Yazid berkata, pengenalan burger YB, iaitu singkatan untuk 'yang besar' adalah untuk mencipta kelainan kepada penggemar burger di negara ini.

"Sungguhpun pengenalan burger YB baru mencecah usia sebulan, permintaan terhadap burger berkenaan berjaya mencuri tumpuan orang ramai.

"Ia sesuatu yang di luar dugaan kerana saya tidak menjangka sama sekali burger besar ini akan mendapat permintaan tinggi," ujarnya ketika ditemui Kosmo!.

Pada mulanya, perasaan ragu-ragu menyelubungi pemilik burger YB itu memandangkan pembuatannya disasarkan untuk para tetamu jamuan hari jadi ataupun majlis korporat sahaja.

Lebih melucukan, terdapat segelintir pihak yang meragui kesahihan saiz burger berkenaan apabila gambarnya dimuat turun di laman blog. Bahkan, ada yang mengatakan ia adalah hasil kesan penyuntingan imej.

Bagaimanapun, anak jati Perak itu tidak pernah mengenal erti putus asa, sebaliknya terus berupaya menarik nafas lega apabila burger gergasi mula mendapat permintaan tinggi selepas beberapa minggu beroperasi.

"Saya perlu memastikan tempahan awal dilakukan terlebih dahulu oleh para pelanggan agar permintaan mereka dapat dipenuhi.

"Kualiti dan kesegaran dalam penyediaan burger YB amat dititikberatkan. Ia perlu dilakukan demi memberi kepuasan kepada pelanggan-pelanggan," katanya.

Aneka sos, roti dan patti

Abu Yazid menjelaskan, pelanggan-pelanggan boleh memilih tiga variasi berat patti daging. Mereka boleh memilih patti daging burger seberat satu kilogram (kg), 500 gram (g) atau 250g.

"Patti daging burger yang seberat sekilogram sesuai dimakan sehingga lapan orang, 500g pula untuk empat orang manakala 250g sesuai bagi pasangan.

"Kalau larat, boleh habiskan burger seberat sekilogram tersebut seorang diri," katanya berseloroh.

Selain daripada itu, pelanggan juga boleh memilih salah satu daripada tiga perisa daging patti iaitu lada hitam, cendawan, tom yam dan BBQ (barbeku).

"Pelanggan boleh memilih roti oregano, bawang putih, oat madu ataupun roti mil penuh mengikut selera masing-masing.

"Mengikut selera masing-masing, kami memberi pilihan sayur-sayuran untuk disertakan dalam burger YB iaitu salad, bawang, tomato, timun, kobis dan lobak merah," ujarnya yang sedang mengikuti kursus Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam.

Semua pilihan itu disempurnakan dengan aneka jenis sos tambahan dan buah-buahan termasuk lada hitam, cendawan, jalapeno, epal, nanas, serta zaitun.

Proses

Abu Yazid memberitahu, demi memastikan kesegaran, bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan patti daging, roti dan sayur-sayuran akan dibeli setiap hari mengikut tempahan.

"Pada awal pagi, saya akan ke pasar untuk membeli bahan-bahan mentah. Sekitar pukul 9 pagi, rutin harian mengisar patti daging dan mengadun bahan-bahan membuat roti akan dimulakan sebelum membuka perniagaan pada pukul 5 petang," ujarnya.

Mengimbas kembali tujuan dia membikin patti daging dan roti buatan sendiri, dia memberitahu, ia lebih segar malah enak apabila dimakan.

"Bahkan, saya telah melakukan kerja penyelidikan dan pembangunan terhadap pembikinan roti selama hampir empat bulan untuk memastikan ia lembut dan segar.

"Tidak ramai yang membuat roti burger sendiri apatah lagi apabila menghidangkan burger bersaiz besar kepada pelanggan-pelanggan," ujarnya.

Selain patti daging dan roti yang dibuat sendiri, Abu Yazid menambah, sos seperti lada hitam dan cendawannya merupakan resipi sendiri.

Terangnya, dia banyak menggunakan kaedah cuba-cuba dalam mengecapi kesempurnaan pembikinan produk buatan sendiri.

Tempahan dalam talian

Abu Yazid yang pernah mengikuti kursus pemprosesan daging Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada tahun 2011, memberitahu, dia menggalakkan para pelanggannya membuat tempahan sehari lebih awal sebelum datang ke gerainya.

Untuk tujuan itu, pelanggan boleh membuat tempahan melalui laman blog yazidburger.blogspot.com.

"Ini bagi memudahkan saya membuat persiapan bahan-bahan patti daging dan roti dengan kuantiti yang mencukupi.

"Ia juga dapat memastikan penggemar makanan segera ini tidak berasa hampa apabila mengunjungi kedai untuk menikmati burger YB," ujarnya.

Walaupun masih baru diperkenalkan, dia memberitahu, burger YB sudah menerima kunjungan pelanggan dari segenap negeri di Malaysia.

Justeru itu, dia berasa amat bertuah kerana dapat berkongsi resipi buatan sendiri untuk membawa keceriaan kepada pelanggan-pelanggannya.

Teruja

Sementara itu, seorang pelanggan burger YB, Mohd. Izham Mukhari, 27, mengakui, dia sangat teruja apabila kali pertama melihat burger besar tersebut.

"Kali pertama melihatnya, perasaan membuak-buak untuk merasainya. Ia sama sekali tidak menghampakan kerana apabila mengunyah, kita boleh merasai campuran rempah ratus yang sebati dalam burger berkenaan," katanya yang mencuba burger seberat 500g.

Izyani Zahari, 29, pula memberitahu, keenakan burger berkenaan bukan sahaja terletak pada patti malah rotinya.

"Tekstur roti sangat gebu dan lembut apatah lagi apabila kita menikmati bersama dengan daging burger serta sayur-sayuran.

"Dalam pada itu, ia amat sesuai untuk dinikmati secara beramai-ramai bersama keluarga dan kawan-kawan," kata pekerja swasta itu lagi.

Bagi seorang lagi penggemar burger YB, Norly Azman, 23, dia dapat merasai kelainan pada daging burger dan roti apabila menikmati burger YB.

"Daging yang dimakan terasa lebih segar dan tidak berminyak. Lebih utama, rupa dan rasanya membangkitkan selera," katanya.

- KOSMO!
 

Awas jerat hutang

Oleh Imam Muda Mohd Hassan

DALAM kehidupan dunia yang semakin canggih pada hari ini, segala urusan nampak seperti dipermudahkan. Segalanya berada di depan mata, apa saja yang dihajatkan boleh direalisasikan asalkan berkemampuan.

Namun yang menjadi masalah segelintir anggota masyarakat kita pada hari ini apabila dibebani hutang. Terlalu banyak 'fasiliti' disediakan oleh pihak tertentu untuk ‘memudahkan’ kita berhutang.

Tidak kira kereta, rumah, perabot hatta bajet untuk melangsungkan perkahwinan, tentu ada pihak yang ‘sedia’ memberikan perkhidmatan meminjamkan wang. Kerana hutang juga, realiti yang berlaku hari ini apabila kadar kemuflisan semakin meningkat setiap tahun.

Lebih menyedihkan apabila melihat ramai kalangan mereka diisytiharkan muflis adalah golongan muda-mudi. Jika tidak percaya, pergilah ke mahkamah tinggi dan lihat, setiap hari ada kes bankrap didaftarkan.


Jika diukur pada tahap umur, mereka sepatutnya sedang membina asas tapak yang kukuh untuk kehidupan masa hadapan tetapi malangnya, hutang ini memusnahkan sebahagian perancangan masa depan mereka.


Namun, siapa harus dipersalahkan kalau bukan diri sendiri. Ini kerana, faktor yang membawa kepada gejala ‘berhutang’ atas kehendak serta pilihan sendiri.

Paling utama, ia kerana desakan hawa nafsu serta keinginan untuk memiliki sesuatu di luar kemampuan diri. Pantang melihat orang lain ada, hati juga berkobar- kobar untuk turut memiliki benda yang sama.

Orang ada kereta baru, dia juga tidak mahu kalah untuk memiliki kereta baru. Jiran rumah membeli gelang emas baru, dia juga membeli barang kemas hingga ke siku.

Keduanya, pengaruh daripada sahabat atau jiran tetangga sering memberi galakan untuk berhutang. Lebih sukar lagi jika jiran atau sahabat handai itu sendiri adalah ejen kepada sesebuah produk dan setiap hari mempengaruhi kita untuk memiliki sesuatu yang sebenarnya kita tidak perlukan.

Ketiganya, rasa tidak puas dan bersyukur dengan apa yang ada. Kononnya mahu memperbaiki kehidupan dari semasa ke semasa, tetapi terlupa kesan dan akibat daripada berhutang tersebut.

Antara faktor lain yang dilihat turut menyumbang kepada masalah hutang ini ialah keinginan memiliki sesuatu benda dengan cepat walaupun pada hakikatnya, ia di luar kemampuan individu tersebut.

Kerana itu, sebelum merancang untuk memiliki sesuatu yang berada di luar kemampuan, fikirkan dulu adakah barang itu satu keperluan atau kehendak. Jika ia satu keperluan (dharuriyat), maka Islam mengharuskan untuk berhutang.

Sepertimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah; berkata seseorang: “Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda, Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya.”

Maka berhati-hatilah dan sentiasa berfikir secara bijak sebelum mengambil keputusan untuk ‘berhutang’, terutamanya apabila berhutang dengan pihak yang kini mengamalkan sistem hutang ‘ala Islam’ sedangkan mengamalkan konsep riba.

Menggunakan pelbagai istilah dan konsep Islam hanya untuk mengabui mata masyarakat, padahal hakikatnya, ia tidak lebih daripada sekadar ‘helah’ untuk menarik masyarakat supaya terjebak dalam hutang.

Selain daripada kemungkinan berhadapan dengan tindakan muflis, antara kesan kegagalan untuk melunaskan hutang adalah merasa tidak tenteram. Sentiasa dikunjungi rasa tidak aman, takut dan terancam.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang meminjam dengan ‘along’ atau ‘ceti haram’ kerana bukan mereka saja yang diperhatikan, malah ahli keluarga lain serta harta benda turut menjadi mangsa ketidakperikemanusiaan mereka.

Antara kesan negatif akibat hutang adalah punca ke arah gejala hidup tidak sihat seperti mencuri, menipu dan sebagainya.

Tentunya orang yang tersepit akan melakukan apa saja untuk melepaskan diri tanpa memikirkan halal dan haram. Apa yang lebih ditakuti adalah fakta ada sesetengah orang sanggup menjual diri, isteri atau anak gadis kepada pemberi pinjaman sebagai langkah penyelesaian kepada hutang yang tidak tertanggung.

Saya juga pernah terdengar tazkirah disampaikan seorang ustaz di dalam radio yang memetik sebuah hadis daripada Rasulullah bermaksud: “Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) hinggalah dia menjelaskan hutangnya.”

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud: “Semua orang yang mati syahid diampuni dosanya kecuali hutangnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, An-Nasa’I dan Ibn Majjah)

Dalam sebuah kisah, pernah dinyatakan bahawa Rasulullah sendiri tidak akan menyolatkan jenazah orang yang masih dibelenggu hutang. Hadis diriwayatkan Saidina Ali RA bahawasanya apabila didatangkan kepada baginda satu jenazah, baginda tidak bertanya mengenai amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak.

Jika si mati mempunyai hutang, Rasulullah meminta sahabatnya agar menyembahyangkan jenazah itu atau baginda sendiri yang akan menanggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang jenazah akan diserahkan atau ditanggung oleh Baitulmal.

Begitu berat tanggungjawab apabila berhutang dengan manusia. Apabila tidak dilunaskan, ia akan menjadi dosa yang tidak terampun sehinggalah si pemberi hutang itu meredakannya. Tidak seperti dosa yang dilakukan kepada Allah terhapus sekiranya seorang hamba itu bertaubat atas dosa dilakukan kepada-Nya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seorang hamba itu menghadap Allah nanti selepas dosa-dosa besar yang lain ialah, seorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari hisab dengan mempunyai hutang masih belum diselesaikan.”

Maka beringat-ingatlah sebelum menurut desakan hawa nafsu yang sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang telah kita ada.

- HARIAN METRO

Ragu wang gaji

Bersama Dr Salam

SOALAN:

SAYA berumur 25 tahun dan bekerja di sebuah hotel terkemuka di Melaka. Saya ragu-ragu adakah gaji saya terima halal kerana hotel ada menyediakan minuman keras kepada pelanggan bukan Islam.

Bagaimanapun, saya tidak pernah terbabit langsung dengan penyediaan arak di sini. Apakah pendapat Dr kerana wang gaji yang saya terima ini turut diberikan kepada ibu bapa.

JAWAPAN:

GAJI yang anda terima itu tetap halal untuk digunakan serta boleh diberikan kepada ibu bapa serta menanggung perbelanjaan keluarga.


Bagaimanapun, memandangkan arak haram di sisi Islam, minuman arak hanya dibenarkan kepada bukan Islam.

Kaunter jualan perlu dipantau supaya orang Islam tidak dibenarkan membeli jauh sekali meminumnya. Pihak pengurusan hotel perlu sedaya upaya memastikan orang Islam tidak mengambil minuman keras itu.

Contohnya, pihak hotel jangan meletak minuman keras di dalam peti sejuk di bilik penginapan.

- HARIAN METRO

JPN perjelas isu 'MyKad' bertarikh luput


Gambar 'Mykad' dengan perkataan "Pemastautin Sementara" dan mempunyai tarikh luput bersebar luas di Internet sejak termuat di Facebook minggu lepas.

Dikatakan dikeluarkan kepada warganegara Burma, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada warga asing diberi kerakyatan dan sama ada ia boleh digunakan dalam pilihan raya umum akan datang.

Semakan dengan pangkalan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pemegang MyKad itu bukan pengundi berdaftar.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagaimanapun menjelaskan hari ini bahawa MyKad ini sebagai versi kad lama pemastautin sementara yang dikeluarkan pada 2001.

"Pada masa itu, kerajaan tidak mempunyai pelbagai jenis kad untuk warganegara, permautautin tetap dan pemastautin sementara," kata JPN dalam kenyataannya kepada Malaysiakini.

- MALAYSIAKINI

 

Habbatus Sauda ubat pelbagai penyakit


Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang banyak didapati di kawasan Mediterranean dan di kawasan yang beriklim gurun. Banyak kajian telah dijalankan, bagaimanapun kebanyakkannya ditulis di dalam Bahasa Arab. Oleh itu pendedahan terhadap dunia antarabangsa tidak banyak dibuat.

Habbatus sauda digunakan secara tradisional untuk beberapa keadaan seperti untuk menghasilkan kulit muka yang cerah, membantu merawat batuk dan asma, kencing manis, selsema, keguguran rambut, tekanan darah tinggi, masalah untuk tidur, sakit-sakit otot dan sendi, rasa loya dan muntah, mengurangkan kolesterol, merawat batu karang dan sebagainya.

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda dalam Haditsnya yang dikutip dari kitab Ash Shahihain “‘Gunakanlah Habbatus Sauda’ kerana di dalamnya terdapat sejenis ubat dari segala jenis macam penyakit kecuali As Sam (maut)” (HR.Bukhari, Muslim)

Ibnu Sina di dalam bukunya Canon of Medicine menyatakan Habbatus Sauda merangsang tenaga dan membantu pemulihan kepenatan dan semangat. Ibnu Qayyim di dalam bukunya Medicine of the Prophet menyatakan Habbatus Sauda berupaya memulihkan penyakit-penyakit seperti batuk, bronchitits, masalah perut, kecacingan, masalah kulit seperti jerawat, sakit senggugut dan haid yang lain, menambah susu badan, menambah pengaliran air liur dan sebagainya.

Dr. Ahmad Elkadi pula membuat kajian dan mendapati Habbatus Sauda mempertingkatkan daya tahan sakit (immune system). Antara bahan-bahan kandungan Habbatus Sauda ialah Fixed Oil (saturated dan unsaturated), Minyak-minyak Asas (sterol, thymohydroquinone, carvone, limonine, cymene), Alkaloids, Saponin dan Asid Amino.

Dalam kitab Al Tibb An-Nabawi (Pengobatan Cara Nabi) yang ditulis Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, Habbatus Sauda’ dikenal juga sebagai Al Habbah Al Barokah. Dalam kitab tersebut disebutkan bahwa Habbatus Sauda’ dapat mengubati 50 macam penyakit tanpa kesan.

Suatu ulasan ilmu kedoktoran menampilkan bahawa kandungan Habbatus Sauda’ antara lain :-
  1. Antiinflamasi, mengubati perih/radang tenggorokan.
  2. Antiarthritis, mengubati reumatik.
  3. Analgesik, mengubati sakit gigi dan sakit kepala (migrain).
  4. Aktivitas hormon, mengatur haid dan meningkatkan aliran susu.
  5. Antiseptik, mengubati bau mulut.
  6. Antivirus, mengubati demam dan flu.
  7. Dermatologi, mengubati jerawat dan eksim.
  8. Urinary tract, mengubati saluran kemih dan batu ginjal.
  9. Sistem kekebalan, meningkatkan daya tahan tubuh untuk menangkal penyakit.
  10. Gastrointestinal tract, mengubati mabuk, diare, kejang konstipasi, dan hempedu.
  11. Sistem sirkulasi, meningkatkan kinerja jantung.
  12. Nematocidal, mengubati cacing pita.
  13. Respiratory tract, mengubati sesak nafas (asma).
Sumber : HPA Online

Guru lebih stres dan perlukan Fisioterapi

Oleh NOOR HAMIZAH ABU BAKAR
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM

RAMAI yang pasti terkejut apabila mengetahui hasil kajian mendapati bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan atau stres terutama dari segi fizikal selepas polis, pegawai penjara dan jururawat.

Malah kedudukan itu berada di atas daripada profesion tentera yang menduduki tempat ke lima.

"Kedudukan guru sebelum askar agak mengejutkan. Ini menunjukkan seorang guru berdiri lama ketika mengajar di dalam kelas atau melakukan aktiviti sukan dan sebagai. Jadi tidak mustahil mereka mengalami tekanan seperti kesakitan anggota badan," kata Pengarah Urusan Great Life Physio and Rehabilation, Mohd. Rozaimi Che Kamaruddinata.

Didorong perkembangan itu beliau berkata, sebagai syarikat yang mengendalikan pusat rawatan fisioterapi, pihaknya telah memperkenalkan program latihan fisioterapi khas untuk golongan guru di sekolah-sekolah seluruh negara.

Katanya, program itu disediakan khas oleh pakar-pakar fisioterapi untuk para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stres dan kesakitan anggota badan semasa bertugas.

"Matlamat program ini adalah untuk memperkenalkan kepada masyarakat bahawa rawatan terbaik dalam penyelesaian kesihatan terutamanya berkaitan stres dalam pekerjaan ialah melalui fisioterapi," katanya.

Beliau mengakui, kekangan masa bagi mereka yang bekerja untuk bersenam atau melakukan aktiviti sukan boleh menyebabkan seseorang itu kelihatan lesu dan tidak bermaya.

Ini ditambah pula dengan tekanan yang dihadapi sama ada ketika di tempat kerja mahupun di rumah.

"Fisioterapi adalah salah satu rawatan atau kaedah yang boleh dilakukan oleh semua orang dalam menghadapi tekanan dalam kerja.

"Secara umumnya fisioterapi merupakan kaedah rawatan penyakit atau kecederaan melalui penyembuhan semula jadi badan. Kaedah ini tidak menyakitkan dan tiada ubat digunakan, ia lebih kepada proses pemulihan dan pencegahan," katanya.

Dalam pada itu program pertama latihan fisioterapi di sekolah berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini membabitkan 135 guru dan kakitangan sekolah.

Pengetuanya, Siti Endon Mohamad Dahlan berpendapat program itu baik dalam membantu guru-guru dan sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada mereka.

"Rawatan ini adalah mudah dan boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat terutama yang bekerja. Sedikit sebanyak ia membantu melahirkan kualiti kerja yang bermutu," katanya.

Melalui program tersebut, guru-guru telah didedahkan secara teori dan praktikal daripada aspek fisioterapi oleh kakitangan Great Life Physio and Rehabilation dengan kerjasama pelajar Masterskill.

Sesi ceramah telah diberikan oleh Pakar Fisioterapi Great Life Physio and Rehabilation, Siti Fazilah Jamaluddin, yang menerangkan beberapa aspek mengenai stres yang boleh mengakibatkan seperti pening, sakit belakang, lemah sistem pertahanan badan, mengganggu mutu kerja dan juga boleh berlaku serangan jantung serta obesiti.

Selain itu, tanda-tanda stres boleh dikenal pasti menerusi degupan jantung yang laju, ketegangan otot, proses pernafasan menjadi cepat, berpeluh dan terasa perut kurang selesa, loya dan cirit.

Fazilah menjelaskan antara faktornya adalah disebabkan penat, kurang tidur, postur badan ketika bekerja, bebanan kerja, suasana tempat kerja, skop kerja dan sebagainya.

Malah beliau berharap supaya masyarakat menerima rawatan fisioterapi ini sebagai satu alternatif perubatan dalam kehidupan.

- UTUSAN

Kalogen - Kulit tegang dan lebih cerah

KOLAGEN merupakan elemen penting dalam mengekalkan kecantikan seseorang terutama mereka yang mengidamkan kulit tegang, anjal, cerah dan menawan.

Pengambilan kolagen merupakan pengganti kepada suntikan dalam mendapatkan wajah dan bentuk badan idaman.

Selain itu, suntikan pula kadang-kadang boleh mendatangkan pelbagai kesan sampingan yang memudaratkan.

Kini produk yang mengandungi kalogen boleh didapati secara meluas di pasaran di seluruh negara.

Salah satunya ialah jenama CollaB'utee yang merupakan produk kolagen terbaik untuk golongan lelaki dan wanita.

Ia mengandungi komponen antioksidan Vitamin C yang mampu mengelakkan kulit menjadi kering, mengurangkan kedutan dan menambahkan seri di wajah.

Produk ini terbukti apabila kebanyakan pengguna dapat merasai sendiri perubahan positif kepada diri mereka kerana produk yang dirumus dari Jepun itu mempunyai pelbagai kelebihan.

Antaranya memulihkan keanjalan dan keremajaan kulit, menghilangkan garis halus dan kedutan, membaikpulih sel kulit, menegang dan menggebukan kulit serta mengurangkan pigmentasi.

Produk itu juga membantu mencerahkan kulit, menambahkan kelembapan kulit, melindungi kulit daripada radiasi UV yang berbahaya dan untuk wanita ia turut membantu menegangkan payu dara.

Selain itu, CollaB'utee mengandungi oksidan yang meneutralkan serangan radikal bebas dan memelihara kulit dari dalam, merangsang pertumbuhan kolagen serta menghalang oksidasi sel.

Minuman kolagen halal ini boleh diambil dengan cara mencampurkan satu paket kandungannya dengan air mineral sejuk dan minum sebelum sarapan dan sebelum tidur.

Selain itu, ia juga boleh dicampur dengan jus buah-buahan bagi mempelbagaikan cara pengambilan.

CollaB'utee merupakan minuman kecantikan dan kesihatan yang berasaskan hidrolisis kolagen laut yang mengandungi ramuan yang istimewa.

Setiap pek 10 gram Collab'utee yang dirumus khas dari Jepun terdiri daripada kolagen, vitamin C dan berperisa strawberi.

Golongan yang disarankan untuk mengambil CollaB'utee ialah wanita berusia 25 tahun ke atas, Wanita yang mengidamkan payu dara montok, ingin kulit muka yang berseri dan gebu serta mereka yang mahu menegangkan dan mengurangkan kedutan kulit.

Selain itu wanita yang terdedah kepada pancaran matahari terik juga disaran mengamalkan produk ini selain mereka yang mengalami masalah hormon kurang stabil.

Malah pengambilan produk ini juga boleh membantu mengatasi tona kulit yang tidak sekata dan membebaskannya dari pigmentasi dan jeragat.

CollaB'utee dirumus daripada bahan aktif yang merupakan sumber kolagen dari ikan laut dalam dengan daya keterlarutan tinggi, mudah dihadam dan berdaya serapan kelembapan yang rendah.

Ia turut mengandungi L-Arginine, iaitu bahan utama bagi pembaikpulih tisu dan tulang yang rosak.

L-Lysine yang terdapat dalam CollaB'utee pula merupakan asid amino untuk pertumbuhan dan pemulihan tisu badan.

Bahan aktif lain yang terdapat dalam produk ini ialah oligo bagi membersihkan usus dan melegakan sembelit.

Protein soya yang terdapat di dalamnya pula bagi pembinaan semula sel badan sementara pati soya atau isoflavones membantu menegangkan payu dara dan menyeimbangkan hormon.

Turut terkandung dalamnya ialah bahan antioksidan dan multivitamin yang melindungi tubuh dari radikal bebas, tekanan oksidatif dan membenarkan molekul kolagen terbentuk.

Ia merupakan elemen penting dalam pembinaan semula tisu parut, salur darah dan pembentukan tulang rawan.

Mereka yang berminat untuk mencuba produk ini atau menjadi pengedar boleh melayari www.SunFabulous.com

Pesta Air Malaysia Port Dickson 4-6 Mei 2012

 SEREMBAN: Pesta Air Malaysia Port Dickson 2012 akan berlangsung di Pantai Cahaya selama tiga hari mulai 4 Mei sehingga 6 Mei 2012 ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, berkata pelbagai aktiviti menarik dianjurkan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke pesta tersebut.

Antaranya ialah cabaran ski air antarabangsa, larian pantai di sebelah malam, cabaran paintball, acara sukan, karnival memancing, pertandingan band dan konsert.

Beliau berkata, lebih RM80,000 hadiah berbentuk wang tunai dan sagu hati berserta trofi ditawarkan.

Mohammad Razi berkata, lebih 130,000 orang dijangka mengunjungi pesta tersebut yang dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan dengan kerjasama kerajaan negeri.

- BERNAMA

Hargai pengorbanan polis


Oleh DR. RUSINAH SIRON
Uniten, Bangi

BUKAN mudah untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara kita Malaysia yang tercinta. Kita sebagai rakyat Malaysia sudah semestinya perlu memberi penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang membantu kita rakyat Malaysia dapat tidur lena dan terjaga dari tidur dengan harapan dapat meneruskan kehidupan dengan jaya.

Indeks jenayah di Malaysia semakin menurun seperti mana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Ia sudah tentu melegakan hati dan perasaan masyarakat yang sentiasa takut dan bimbang dengan perbuatan jenayah seperti pembunuhan, penculikan, rompakan, pergaduhan, penyeludupan dan pelbagai lagi aktiviti jenayah yang tidak ada kesudahannya tetapi boleh dikawal peningkatannya.

Terima kasih kepada semua anggota polis yang berpanas, berhujan dan berembun merentas kesesakan jalan raya, banjir kilat, guruh petir, sungai dan parit, lembah dan lurah serta hutan dan belantara untuk mengejar, mencari, menangkap dan menyelesaikan kes jenayah. Tambahan lagi pelbagai cubaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh anggota polis dalam menjalankan tugasan mereka yang terdedah kepada pelbagai bahaya.

Kita sebagai ahli masyarakat sudah sepatutnya menghargai tugas dan peranan polis dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada jenayah dan keganasan. Apabila bercakap tentang polis, apa yang tergambar dalam fikiran kita dan apakah persepsi ahli masyarakat terhadap polis?

Ada yang berfikiran positif dan sentiasa memberi sokongan serta penghargaan di atas jasa dan pengorbanan mereka. Tidak kurang juga masyarakat yang membuat persepsi negatif dengan tindakan polis yang dikatakan memberi impak negatif kepada sesetengah golongan masyarakat.

Persepsi negatif ini adakalanya memberi implikasi terhadap kepercayaan masyarakat kepada polis sedangkan persepsi ini ada kalanya tanpa justifikasi yang relevan dengan data dan fakta tepat, hanya berfokuskan kepada emosi.

Walau apa pun persepsi positif dan negatif yang ada dalam pemikiran masyarakat terhadap polis, marilah kita berganding bahu membantu polis memerangi jenayah bagi memastikan negara kita jenayah sifar, rakyat hidup dengan aman dan damai.

Marilah kita sama-sama memberi tabik hormat di atas jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh warga polis dengan menghargai tugas polis itu, iaitu:

P - Prihatin terhadap tugas dan tanggungjawab polis dan sentiasa memberi perhatian dan kerjasama dalam membantu pihak polis menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

O - Operasi yang dijalankan pihak polis sudah tentunya akan melibatkan pelbagai versi dan variasi siasatan dan terdedah kepada bahaya dan ancaman. Jadi kita sebagai ahli masyarakat perlulah berbaik sangka dalam membantu polis menjalankan operasi kepolisan memerangi jenayah.

L - Latih diri dan ahli keluarga kita dengan aspek keselamatan dan juga titipkan sentiasa dalam minda kita, ahli keluarga dan juga masyarakat tentang rasa penghargaan terhadap warga polis dan warga kerja keselamatan lainnya. Komitmen mereka menjaga keamanan membolehkan kita menjalan tugas seharian dan membina kehidupan dengan lebih baik dengan rasa kebimbangan terhadap jenayah pada tahap minimum.

I - Idea yang bernas boleh kita salurkan kepada polis melalui pelbagai saluran seperti Rakan Cop dan ini akan menjadi inspirasi kepada warga polis untuk terus bekerja dengan integriti yang tinggi.

S - Sikap hormat menghormati dan menghargai warga keselamatan seperti polis ini perlulah menjadi amalan ahli masyarakat bagi menjunjung visi dan misi negara iaitu Sifar Jenayah.

Walaupun Hari Polis telah berlalu, masih tidak terlambat untuk kita semua mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga polis di seluruh negara. Polis wibawa, negara sejahtera!

- UTUSAN
 

300,000 pengguna mungkin kehilangan akses internet Julai 2012 - FBI

WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) hari ini memberi amaran bahawa lebih daripada 300,000 pengguna internet di seluruh dunia mungkin kehilangan akses internet pada Julai 2012 ini susulan satu penipuan bernilai jutaan ringgit.

Bagaimanapun, pengguna boleh menarik nafas lega apabila FBI berjaya mencipta langkah penyelesaian yang mana mangsa siber itu hanya perlu melayari dcwg.org, bagi membolehkan mereka menyemak sama ada dijangkiti virus sekali gus menghapuskan sebarang perisian yang mendatangkan ancaman. Terdahulu, enam rakyat Estonia ditahan atas tuduhan penipuan pada November lalu, dua tahun selepas FBI melancarkan Operasi Hantu Klik bagi mengesan kumpulan yang menyerang komputer di seluruh dunia dengan malware “DNS Changer” mereka, yang berfungsi mendedahkan komputer itu kepada virus.

- AFP