Isnin, Mac 26, 2012

Pengambilan Polis Di Raja Malaysia - PDRM Tahun 2012



Permohonan bagi jawatan di dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kini boleh dibuat secara online melalui Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), http://www.spa.gov.my/

JAWATAN:
- Inspektor (Lelaki/Wanita)
- Sarjan (Lelaki/Wanita)
- Konstabel (Lelaki/Wanita)
- Konstabel Sokongan (Lelaki/Wanita)

Calon-calon hendaklah berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak lebih daripada 28 tahun bagi permohonan menggunakan kelulusan PMR/SPM/STPM/Diploma/Ijazah Sarjana Muda/Sarjana dan tidak melebihi daripada 35 tahun bagi permohonan menggunakan kelulusan PHD pada tarikh pendaftaran. Sila rujuk di laman web rasmi PDRM : http://www.rmp.gov.my/

Permohonan adalah menggunakan Borang Pendaftaran Pekerjaan di Sektor Awam (SPA8i) yang boleh diperolehi di: http://www.spa.gov.my/ (Permohonan hendaklah dibuat secara online)

Maklumat lanjut, hubungi talian : 03-2266 8350 / 8344 / 8347. (Unit Pengambilan PDRM)



1. JAWATAN INSPEKTOR (IJAZAH SARJANA MUDA atau IJAZAH SARJANA atau PHD)

KLASIFIKASI  :   Inspektor (Lelaki/Wanita)
KUMPULAN PERKHIDMATAN :  Pengurusan dan Profesional
GRED GAJI / JAWATAN :  YA 13
JADUAL GAJI  :  P1T1 RM 2,060.28 - P1T20 RM 4,511.09
SYARAT LANTIKAN  : Syarat permohonan bagi jawatan Inspektor adalah  mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 25 Tahun 2009 seperti berikut :-  a) Terdiri daripada warganegara Malaysia.
b) Berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak lebih daripada 28 tahun (Sarjana Muda/Sarjana) dan tidak melebihi 35 tahun (Phd) pada tarikh pendaftaran permohonan.
c) Kelayakan akademik :i) Ijazah Sarjana Muda Kepujian yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
[Gaji permulaan ialah pada Gred YA13:T1];
atau
ii) Ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
[Gaji permulaan ialah pada Gred  YA13:T2];
atau
iii) Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dalam bidang-bidang yang diperlukan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
[Gaji permulaan ialah pada Gred YA13:T2];
atau
iv) Ijazah Doktor Perubatan Veterinar yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
[Gaji permulaan ialah pada Gred YA13:T2];
atau
v) Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. [Gaji permulaan ialah pada Gred YA13:T3];
atau
vi) Ahli Penuh Badan-badan Ikhtisas Perakunan yang diiktiraf oleh kerajaan. [Gaji permulaan ialah pada Gred YA13:T3];
atau
vii) Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang diiktiraf oleh kerajaan serta menjadi Ahli Penuh Badan-badan Ikhtisas Perakunan yang diiktiraf oleh kerajaan. [Gaji permulaan ialah pada Gred YA13:T4];
atau
viii)Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. [Gaji permulaan ialah pada Gred YA13:T4];

atau
ix) Ijazah Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang Forensik, Matematik atau Perakaunan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. [Gaji permulaan ialah pada Gred YA13:T5];
dan
x) Kepujian dalam subjek Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu (termasuk lulus ujian lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.
d) Kelayakan Fizikal
Pemohon-pemohon hendaklah mempunyai ukuran fizikal dan pancaindera seperti berikut :-
i) Tinggi sekurang-kurangnya 1.63m (lelaki) dan 1.57m (wanita) tanpa sepatu.
ii) Berat badan sekurang-kurangnya 50kg (lelaki) dan wanita sekurang-kurangnya 48 kg.
iii) Mempunyai ukuran indeks jisim badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26.
iv) Ukuran lilitan dada biasa 81 cm (normal) dan semasa menarik nafas 86 cm (lelaki sahaja).
v) Lulus ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasuingan dengan ketetapan V/6/9 tanpa alat bantuan.
vi) Pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat.
vii) Diakui sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan termasuk pemeriksaan x-ray.


DESKRIPSI TUGAS :Menjalankan tugas-tugas kepolisan selaras dengan fungsi di Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Jabatan Logistik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Cawangan Khas, dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Antara tugas-tugas tersebut ialah mentadbir, merancang pencegahan jenayah, menyiasat, menangkap dan mendakwa, mengatur kawalan trafik, mengumpul risikan, menyediakan peralatan dan perhubungan, mengekalkan keselamatan awam di darat, laut dan udara bagi mewujudkan suasana aman dan tenteram di kalangan rakyat dan negara.



2. JAWATAN SARJAN (STPM atau DIPLOMA)


KLASIFIKASI  Sarjan (Lelaki/Wanita)
KUMPULAN PERKHIDMATAN:Sokongan
GRED GAJI / JAWATANYA 5
JADUAL GAJI:PT1 RM 1513.62 - P1T18 RM 3120.12
SYARAT LANTIKAN  :
Syarat permohonan bagi jawatan Sarjan adalah mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 25 Tahun 2009 seperti berikut :- 

a) Terdiri daripada warganegara Malaysia.

b) Berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak lebih daripada 28 tahun pada tarikh pendaftaran permohonan.

c) Kelayakan akademik :

i) Lulus Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan. [Gaji permulaan ialah pada Gred YA5 : T1];

atau

ii) Diploma yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. [Gaji permulaan ialah pada Gred  YA5:T2];

dan

iii) Kepujian Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu (termasuk lulus ujian lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

d) Kelayakan fizikal pemohon-pemohon hendaklah mempunyai ukuran fizikal dan pancaindera seperti berikut :-

i) Tinggi sekurang-kurangnya 1.63m (lelaki) dan 1.57m (wanita) tanpa sepatu.
ii) Berat badan sekurang-kurangnya 50kg (lelaki) dan wanita sekurang-kurangnya 48 kg.
iii) Mempunyai ukuran indeks jisim badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26.
iv) Ukuran lilitan dada biasa 81 cm (normal) dan semasa menarik nafas 86 cm (lelaki sahaja).
v) Lulus ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasuingan dengan ketetapan V/6/9 tanpa alat bantuan.
vi) Pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat.
vii) Diakui sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan termasuk pemeriksaan x-ray.

DESKRIPSI TUGAS:Menjalankan tugas-tugas kepolisan selaras dengan fungsi di Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Jabatan Logistik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Cawangan Khas, dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Antara tugas-tugas tersebut ialah mentadbir, merancang pencegahan jenayah, menyiasat, menangkap dan mendakwa, mengatur kawalan trafik, mengumpul risikan, menyediakan peralatan dan perhubungan, mengekalkan keselamatan awam di darat, laut dan udara bagi mewujudkan suasana aman dan tenteram di kalangan rakyat dan negara.


3. JAWATAN KONSTABEL (SPM atau DIPLOMA)

KLASIFIKASI     Konstabel (Lelaki/Wanita)
KUMPULAN PERKHIDMATAN  :  Sokongan
GRED GAJI / JAWATAN:  YA 1  
JADUAL GAJI:  P1T1 RM 897.00 - P1T21 RM2,065.40  
SYARAT LANTIKAN:  
Syarat permohonan bagi jawatan Konstabel adalah mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 25 Tahun 2009 seperti berikut :- 

a) Terdiri daripada warganegara Malaysia.

b) Berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak lebih daripada 28 tahun pada tarikh pendaftaran permohonan.

c) Kelayakan akademik :

i) Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan. [Gaji permulaan ialah pada Gred YA1 : T1];

atau

ii) Diploma yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. [Gaji permulaan ialah pada Gred  YA5:T2];dan

iii) Kepujian Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu (termasuk lulus ujian lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

d) Kelayakan fizikal pemohon-pemohon hendaklah mempunyai ukuran fizikal dan pancaindera seperti berikut :-

i) Tinggi sekurang-kurangnya 1.63m (lelaki) dan 1.57m (wanita) tanpa sepatu.
ii) Berat badan sekurang-kurangnya 50kg (lelaki) dan wanita sekurang-kurangnya 48 kg.
iii) Mempunyai ukuran indeks jisim badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26.
iv) Ukuran lilitan dada biasa 81 cm (normal) dan semasa menarik nafas 86 cm (lelaki sahaja).
v) Lulus ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasuingan dengan ketetapan V/6/9 tanpa alat bantuan.
vi) Pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat.
vii) Diakui sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan termasuk pemeriksaan x-ray.

DESKRIPSI TUGAS:Menjalankan tugas-tugas kepolisan selaras dengan fungsi di Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Jabatan Logistik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Cawangan Khas, dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Antara tugas-tugas tersebut ialah mentadbir, merancang pencegahan jenayah, menyiasat, menangkap dan mendakwa, mengatur kawalan trafik, mengumpul risikan, menyediakan peralatan dan perhubungan, mengekalkan keselamatan awam di darat, laut dan udara bagi mewujudkan suasana aman dan tenteram di kalangan rakyat dan negara.



4. JAWATAN KONSTABEL SOKONGAN (PMR / SRP)


KLASIFIKASI  Konstabel Sokongan (Lelaki/Wanita)
KUMPULAN PERKHIDMATAN  :  Sokongan
GRED GAJI / JAWATANYT 1
JADUAL GAJIP1T1 RM 753.25 - P1T14 RM 1,512.71
SYARAT LANTIKAN:
Syarat permohonan bagi jawatan Konstabel Sokongan adalah mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 25 Tahun 2009 seperti berikut :- 

a) Terdiri daripada warganegara Malaysia.

b) Berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak lebih daripada 28 tahun pada tarikh pendaftaran permohonan.

c) Kelayakan akademik :

i) Lulus Penilaian Menegah Rendah/Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan. [Gaji permulaan ialah pada Gred YT1: T1]; 

dan

ii) Kepujian Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu pada peringkat peperiksaan tersebut atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

d) Kelayakan fizikal pemohon-pemohon hendaklah mempunyai ukuran fizikal dan pancaindera seperti berikut :-

i) Tinggi sekurang-kurangnya 1.63m (lelaki) dan 1.57m (wanita) tanpa sepatu.
ii) Berat badan sekurang-kurangnya 50kg (lelaki) dan wanita sekurang-kurangnya 48 kg.
iii) Mempunyai ukuran indeks jisim badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26.
iv) Ukuran lilitan dada biasa 81 cm (normal) dan semasa menarik nafas 86 cm (lelaki sahaja).
v) Lulus ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasuingan dengan ketetapan V/6/9 tanpa alat bantuan.
vi) Pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat.
vii) Diakui sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan termasuk pemeriksaan x-ray.

DESKRIPSI TUGAS:Menjalankan tugas-tugas kepolisan selaras dengan fungsi di Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Jabatan Logistik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Cawangan Khas, dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Antara tugas-tugas tersebut ialah mentadbir, merancang pencegahan jenayah, menyiasat, menangkap dan mendakwa, mengatur kawalan trafik, mengumpul risikan, menyediakan peralatan dan perhubungan, mengekalkan keselamatan awam di darat, laut dan udara bagi mewujudkan suasana aman dan tenteram di kalangan rakyat dan negara.





Pengenalan Maskot 'Harimau Biru' PDRM


1.Lebih mesra bersama rakyat dan melihat PDRM sebagai figura badan berkuasa dan sahabat yang boleh dipercayai.

2.Mempunyai kesedaran dan pengetahuan yang mantap mengenai fungsi dan peranan PDRM.

3.Melihat PDRM sebagai inspirasi untuk berhemah, bertanggungjawab dan berintegriti tinggi untuk menjadi yang terbaik.

4.Menghormati PDRM sebagai agensi penguatkuasa undang-undang negara yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keamanan, ketenteraman dan keselamatan negara.

“Harimau Biru” menjadi harapan kepada kesinambungan kehadiran PDRM dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia dan sentiasa mengekalkan minat masyarakat terhadap PDRM.

Sumber : Polis DiRaja Malaysia (PDRM)

Dedahkan anak anda dengan pengurusan kewangan

Menguruskan akaun simpanan, kad kredit atau mendapatkan pembiayaan perumahan adalah perkara biasa yang dilakukan oleh seseorang dewasa. Pengurusan wang ialah salah satu kemahiran asas hidup.

Namun, kemahiran ini tidak diajar secara formal di sekolah. Oleh yang demikian, tanggungjawab terletak di tangan ibu bapa agar memupuk amalan pengurusan wang yang baik di kalangan anak mereka.

Memang sukar untuk menentukan bila untuk bermula. Anda boleh memulakannya apabila mereka sudah pandai mengira. Bagi remaja, anda boleh mempertimbangkan beberapa cadangan berikut.

Langkah permulaan ialah dengan mengajar anak anda tentang cara menyediakan belanjawan atau bajet. Menyediakan belanjawan adalah kemahiran penting yang akan digunakan sepanjang hayat.

Anda boleh memulakannya dengan memberi anak remaja anda elaun dan bil untuk dijelaskan. Sebagai contoh, anda mungkin boleh meminta anak remaja anda membayar bil telefon atau belanja makanan di sekolah. Didik mereka tentang cara menyediakan belanjawan untuk menguruskan perbelanjaan tersebut setiap bulan.

Sejurus selepas itu, anda perlu mengajar mereka cara untuk membezakan antara keperluan dan kehendak. Sebagai contoh, sebuah telefon bimbit baru adalah kehendak dan bukan keperluan.

Ajar mereka untuk menangguhkan perbelanjaan untuk memenuhi kehendak dan tetapkan sasaran masa hadapan dan keperluan menabung mencapai matlamat tersebut.

Jangan terus menurut kemahuan mereka. Galakkan anak anda menabung untuk memenuhi matlamat jangka pertengahan dan jangka panjang mereka, seperti membeli telefon bimbit baru (matlamat jangka pertengahan) dan membeli kereta baru (matlamat jangka panjang). Ini akan membantu mereka memahami nilai sebenar wang dan tidak mengikut gerak hati apabila berbelanja.

Memandangkan kini terdapat banyak pilihan akaun simpanan remaja, dedahkan anak anda kepada cara menguruskan akaun bank.

Lebih baik menabung wang dalam bank daripada menyimpan di dalam rumah. Wang dalam akaun simpanan institusi perbankan Islam akan meraih keuntungan sedangkan wang yang ditabung di rumah tidak mendapat apa-apa manfaat dan mungkin hilang.

Perkenalkan kepada mereka konsep untung simpanan atau pantau penyata atau buku simpanan mereka untuk melihat simpanan dan pengeluaran. Anda juga perlu mendedahkan mereka kepada aspek perbankan seperti ATM atau mesin deposit tunai.

Seterusnya, anda mungkin mahu memperkenalkan mereka kepada konsep pembiayaan atau kad kredit. Di Malaysia, peraturan kita tidak membenarkan remaja untuk mendapatkan kad kredit atau pembiayaan.

Bagaimanapun, mereka mungkin memilikinya pada masa depan, jadi wajarlah mereka memahami fungsi pinjaman. Ini perlu diajar seiring dengan konsep belanjawan.

Kad kredit boleh menjadi satu alat berguna untuk memudahkan urus niaga atau menjadi sesuatu yang menimbulkan beban hutang. Jadi bincanglah tentang caj dan kadar keuntungan dikenakan atas kad kredit dan betapa pentingnya amalan membuat pembayaran penuh.

Mereka hendaklah memahami bahawa mereka harus mengelakkan diri daripada dibelenggu hutang kerana sebarang masalah pembiayaan akan menyebabkan mereka disenaraihitamkan atau dipalit sejarah kredit yang negatif.

Dari sudut yang lebih positif, jika anak remaja anda sudah banyak menabung, anda boleh memperkenalkan konsep pelaburan kepadanya.

Ini termasuk berbincang tentang akaun pelaburan am, pasaran saham dan dana unit amanah, termasuk Amanah Saham. Mereka perlu memahami bahawa terdapat risiko apabila melabur. Tetapi dengan menanggung risiko, terdapat potensi pulangan yang lebih tinggi. Didik mereka tentang apa yang berlaku apabila pasaran saham naik atau turun.

Diharapkan petua ini dapat membantu anda berbincang dan memberikan pendidikan asas kepada anak remaja anda.

- UTUSAN

Buku : Pelajar Bertanya Prof. Dr. Muhaya Menjawab


Dalam era serba moden ini, bergelar pelajar menuntut kekuatan dari pelbagai sudut.
Bukan sekadar mental, spiritual, dan emosi, malah fizikal juga perlu kuat. Tiada individu yang terkecuali, tidak kira siapa pun dia.

Pelajar Bertanya Profesor Doktor Muhaya Menjawab diilhamkan daripada persoalan dan pengalaman yang diajukan kepada Profesor Doktor Muhaya, selama beliau berkhidmat sebagai doktor sehingga sekarang.

Buku ini merangkumi aspek:

- Pelajaran

- Fesyen

- Perhubungan

- Kesihatan

- Kewangan

- Dilema dalam Diri

- Persahabatan

- Politik

- Disiplin

Dengan tagline 'Celik Mata, Reset Minda,' Profesor Doktor Muhaya sentiasa menarik para pendengarnya dengan kata-kata yang penuh inspirasi. Bak sebutir mutiara yang bersinar, beliau tidak pernah jemu berbakti dan berkhidmat untuk masyarakat.

Buku ini boleh diperolehi secara online di : http://www.bookcafe.com.my/en/pembangunan-diri/pelajar-bertanya-prof.-dr.-muhaya-menjawab-en.html

Prof Madya Mohamed Fadzil Che Din guna ilmu matematik selesai masalah


HIDUP dalam keluarga besar dengan sembilan adik beradik, beliau tidak terlepas melalui zaman susah sekitar 1960-an. Makanan terpaksa dicatu, manakala pakaian lusuh dan koyak yang berjahit membaluti tubuh.

Bapanya anggota polis berpendapatan RM90 sebulan dan wang berkenaan perlu digunakan sebaik-baiknya untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Waktu itu, barangan runcit murah dan sebagai langkah berjimat cermat, orang tuanya membeli seguni tepung gandum dan satu tin biskut untuk stok makanan sebulan.

Disebabkan tugas bapanya sebagai anggota polis, Prof Madya Mohamed Fadzil Che Din dan keluarga sering berpindah randah.


Dr Mohamed Fadzil yang juga anak kelima dilahirkan di Perak dan pernah menetap di Kemaman dan Dungun, Terengganu sebelum pulang ke kampung halaman bapanya di Pulau Pinang kerana meneruskan persekolahan di Jelutong Primary School dan Penang Free School.


Pengarah Institut Sosial Malaysia itu pernah menimba pengalaman sebagai guru dan kaunselor di Sekolah Menengah Sungai Acheh, Seberang Prai Selatan selama setahun sebelum menjadi tutor di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Disebabkan kecemerlangannya dalam pelajaran, beliau ditawar melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang kaunseling pekerja di University Hull, England.

“Saya terima cabaran melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran. Sebagai pelajar, pemimpin pelajar dan pemimpin komuniti, saya belajar menguruskan kehidupan di rantau orang.

“Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang di negara orang, termasuk erti keyakinan hidup dan menjadikan konsep kendiri lebih mantap,” katanya yang turut terbabit sebagai pemimpin Kesatuan Melayu United Kingdom dan Persatuan Pelajar Malaysia di universiti terbabit.

Dr Mohamed Fadzil yang diiringi keluarga ketika melanjutkan pengajian di England menghayati budaya berbeza masyarakat di sana.

Beliau berusaha membuka dan memecah minda masyarakat Melayu di negara itu supaya tidak berkelompok antara mereka, selain menggalakkan pergaulan lebih luas dan meneroka kehidupan di sana.

Ini bagi membolehkan mereka mencedok dan mencontohi nilai baik yang diamalkan masyarakat England untuk dimanfaatkan apabila pulang ke tanah air.

“Cabaran ketika melanjutkan pengajian peringkat PhD ialah apabila pensyarah yang menyelia saya mengalami serangan jantung, menyebabkan pengajian saya tergendala hampir dua tahun.

“Waktu itu saya teraba-raba dan sering memikirkan bagaimana masa depan kalau saya gagal menyiapkan PhD. Sudah tentu saya pulang ke Malaysia dengan tangan kosong,” katanya.

Selepas menunggu dengan penuh kesabaran, kesihatan penyelianya pulih dan Dr Mohamed Fadzil berjaya menyempurnakan pengajian.

Pulang ke Malaysia pada 1995, beliau dilantik sebagai pensyarah di UPM. Pengalaman sebagai pensyarah dan pengurus pelajar menjadikan dirinya lebih cekap.

Beliau turut berpeluang menjadi pengetua kolej dan penggerak persatuan pelajar, di samping mempunyai satu rangkaian kerja yang sangat besar dengan 3,000 penuntut di seluruh negara, terutama dalam bidang bimbingan dan kaunseling.

Jika sewaktu menuntut di UPM, beliau pernah meraih pingat emas canselor dan ijazah sarjana muda kelas pertama, Dr Mohamed Fadzil turut boleh berbangga kerana selepas menjadi pensyarah, beliau pula berjaya melahirkan pemimpin pelajar serta pelajar ijazah kelas pertama.

Beliau banyak membabitkan diri dalam lingkungan kaunseling profesional untuk membantu pelajar dan masyarakat, termasuk membantu remaja yang hamil luar nikah.

Menurutnya, minat menjadi kaunselor bercambah ketika bertugas sebagai guru dan kaunselor yang menyebabkannya rapat dengan pelajar serta mendalami masalah mereka.

“Saya pernah menjadi guru Matematik dan dengan ilmu itu, saya membantu pelajar bermasalah dengan logik tertentu serta berfikir di luar kotak.

“Jika orang lain melihat daripada sudut kemanusiaan, keagamaan, bahasa dan sastera, saya pula memahami manusia secara lebih saintifik dengan ilmu matematik,” katanya.

Disebabkan kepakarannya dalam bidang kaunseling, beliau ditawarkan kerusi pengarah di ISM pada 2006. Menerima tawaran itu, Dr Mohamed Fadzil berkata, prinsipnya bukan mencari jawatan tetapi disebabkan tugas atau kerja.

“Apa yang saya teroka dan peroleh ketika menjadi ahli akademik, saya cuba terjemahkan menerusi aktiviti dan program untuk membantu masyarakat,” katanya.

Antara program diperkenalkan ialah satu keluarga satu kaunselor (SKSK) dan menggerakkan aktiviti sukarelawan dengan melatih penuntut institusi pengajian tinggi, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta melatih pekerja sosial secara profesional.

Antara pengalaman dilalui ketika menjadi kaunselor ialah menangani kes gadis terlanjur. Rumahnya menjadi tempat perlindungan sementara sehingga kes berkenaan diselesaikan.

Daripada kebanyakan kes, beliau mendapati gadis terlanjur lebih dipengaruhi rakan, konsep kendiri rendah dan membiarkan diri dikuasai lelaki.

Bagi Dr Mohamed Fadzil, kerja melebihi segala-galanya. Pernah bertugas sebagai guru, kaunselor, pensyarah dan pengarah, fokus dan masa banyak ditumpukan pada kerja.

Beliau bekerja 12 jam sehari dari jam 6 pagi hingga 6 petang, enam jam diperuntukkan untuk keluarga dan enam jam lagi untuk berehat.

Biarpun masa terhad dengan keluarga, seboleh-bolehnya beliau cuba menjadi bapa yang baik.

Antara perkara diamalkan ialah sesibuk manapun, beliau memastikan dapat menunaikan solat maghrib berjemaah bersama keluarga serta makan malam bersama.

“Jika perlu bekerja di luar daerah, saya mengambil penerbangan pagi dan pulang lebih awal bagi memastikan dapat menunaikan solat berjemaah dengan keluarga. Misalnya, untuk tugasan di Sabah, saya menaiki penerbangan pagi dan selesai memberi ceramah pada jam 1 tengah hari, pulang dengan penerbangan petang dan tiba di rumah sebelum maghrib.

“Saya terapkan konsep proaktif ialah berfikiran seperti juruterbang iaitu perlu ­­berjaga-jaga sebelum melanggar awan. Fikir apa yang kita akan hadapi dan perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Antara impiannya ialah meneroka dunia dan ilmu baru yang lebih mencabar, misalnya mengapa manusia bermasalah dan cara orang di negara lain menyelesaikan masalah.

“Saya ingin melihat profil permasalahan manusia, misalnya cara orang di China atau Kemboja menangani masalah mereka.

“Saya mahu mewujudkan rangkaian khidmat bagi membantu masyarakat berteraskan psikososial atau kaunseling,” katanya.



Benci sikap tak tepati masa

1. Sikap anda?

Tidak suka bertangguh dan jika berjanji menyelesaikan sesuatu, saya akan sedaya upaya menyelesaikannya. Saya lebih banyak menggembirakan orang.


2. Tabiat anda yang sering ditegur tetapi sukar diubah?

Banyak pergerakan ketika bercakap. Ada yang memberi komen saya seperti menebar roti canai. Kalau makan, saya makan penuh semangat. Jika makan suplemen, saya sukar mematuhi jadual.


3. Apa yang mudah membuatkan anda ketawa?

Gelagat anak bongsu yang kelakar.


4. Hobi anda?

Mengembara.


5. Apa yang anda tidak suka dalam kehidupan seharian?

Mood terjejas jika ada individu tidak menepati masa ketika menghadiri mesyuarat dan tidak menjelaskan sebab hadir lewat.


6. Jika berdepan perkara tidak disukai, apa yang anda lakukan?

Saya akan tarik diri terlebih dulu, memikirkan cara menangani dan tampil semula untuk bertindak.

- HARIAN METRO

Ahad, Mac 25, 2012

Waspada turun naik darah

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Tekanan darah merujuk kepada tekanan yang dikenakan oleh darah pada arteri atau pembuluh darah ketika ia dipam oleh jantung ke seluruh anggota badan.

Ujian tekanan darah dilakukan dengan mengambil dua ukuran dengan bacaan bagi tekanan darah normal adalah 120/80 mmHg.

Nombor 120 menunjukkan tekanan ke atas arteri akibat denyutan jantung atau sistolik.

Nombor 80 pula menunjukkan tekanan semasa jantung berehat di antara pengepaman dipanggil diastolik.

Masa paling baik untuk mengukur tekanan darah adalah semasa berehat dan dalam keadaan duduk atau baring.

Sekiranya tekanan darah didapati sentiasa tinggi daripada kadar biasa secara berlarutan, seseorang itu dikatakan mengalami masalah darah tinggi.

Pesakit darah tinggi sekurang-kurangnya mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90 mmHg semasa berehat.

Pakar Perubatan Respiratori Hospital Pantai Ampang, Dr. Nor Adina Ahmad Tajudin berkata, mengukur tekanan darah amat penting bagi menunjukkan tahap kesihatan seseorang.

"Biasanya tekanan darah rendah adalah pada 90/50 ke bawah tetapi sebenarnya tekanan darah yang rendah menunjukkan sistem kardiovaskular mereka di peringkat yang amat baik," katanya.

Bagaimanapun masalah timbul apabila tekanan darah turun secara mendadak yang biasanya disebabkan oleh penyakit berkaitan dengan tiroid, pendarahan, kurang darah, kandungan gula yang rendah atau jangkitan kuman.

Jika tekanan darah turun daripada 120/80 kepada 90/60 secara mendadak atau dikatakan sebagai acute change menunjukkan sesuatu yang tidak normal.

"Penurunan tekanan darah secara mendadak amat berbahaya kerana akan menyebabkan kekurangan oksigen di tempat penting seperti jantung dan otak.

"Ini boleh menyebabkan pesakit pitam atau lebih teruk pengsan," katanya.

Biasanya golongan tua sering mengalami tekanan darah rendah disebabkan oleh kerosakan sistem saraf autoimun atau Autoimmune Nervous System.

Mereka yang duduk atau tunduk terlalu lama dan bangun secara tiba-tiba akan rasa pitam kerana tarikan graviti menarik darah ke bahagian bawah badan.

Ini akan mengecutkan salur darah menyebabkan darah tidak sampai ke otak.

"Biasanya 10 hingga 20 peratus warga emas mengalami masalah berkenaan," katanya.

Selain itu kerosakan saraf boleh berlaku disebabkan oleh diabetes atau kekurangan darah.

Bagaimanapun jika tekanan darah memang sedia rendah, ini menunjukkan kesihatan kardiovaskular yang baik.

Berbeza dengan tekanan darah tinggi, yang menunjukkan tahap kesihatan penghidap kronik.

Sememangnya tekanan diperlukan untuk mengalirkan darah ke seluruh badan terutama organ-organ penting.

Bila tekanan darah terlalu tinggi, ia menyebabkan pelbagai kerosakan kepada tubuh badan terutama jantung.

Apa yang penting, pakar perubatan perlu melihat punca, komplikasi dan risiko tekanan darah tinggi.

Dr. Nor Adina berkata, 95 peratus tekanan darah tinggi tidak dapat dikenal pasti puncanya manakala lima peratus lagi disebabkan masalah hormon seperti hipertiroid, hiperadrenalin, penyakit jantung, buah pinggang atau kolesterol selain genetik.

"Biasanya mereka yang menderita tekanan darah tinggi mempunyai risiko penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan diabetes.

"Pesakit bakal menghadapi komplikasi seperti strok, serangan jantung, kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang dan kerosakan mata," katanya.

Lebih malang lagi, pesakit yang diserang strok seperti mati sebelah badan atau tidak boleh bercakap, tidak boleh kembali sembuh seperti sedia kala dan rawatan lebih kepada sokongan.

Dr. Nor Adina berkata, penyembuhan strok banyak bergantung kepada kekuatan dan semangat individu.

Justeru bagi mengelakkan komplikasi, pesakit yang menderita tekanan darah tinggi perlu mengambil ubat untuk mengawal penyakit sebelum bertambah kronik selain mengubah diet dan gaya hidup kepada lebih sihat.

"Pesakit perlu mengambil diet tinggi serat, rendah lemak, kurangkan garam, tidak merokok, tidak mengambil alkohol serta melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

"Selain itu mereka perlu mengambil beberapa ubat," katanya.

Pembunuh senyapTidak keterlaluan menggelarkan tekanan darah tinggi sebagai pembunuh senyap kerana ia tidak menunjukkan sebarang simptom ketara dalam masa lima hingga 10 tahun.

Masalah kolesterol yang amat berkaitan dengan tekanan darah tinggi biasanya berlaku kepada mereka yang berusia 40 tahun ke atas disebabkan salur darah yang menyempit.

Justeru pesakit perlu mengambil ubat kolesterol yang dibekalkan doktor agar dapat mengurangkan lemak di dalam darah.

Pemeriksaan berkala setiap dua hingga tiga bulan juga amat penting bagi mengesan sekali gus mengawal penyakit darah tinggi.

Dr. Nor Adina menyarankan setiap rumah mempunyai sebuah alat memeriksa tekanan darah.

"Ini memudahkan mereka memantau tekanan darah sendiri kerana tekanan yang meningkat secara tiba-tiba boleh menyebabkan mangsa jatuh, pernafasan dan peredaran darah terhenti," katanya.

Pesakit juga terdedah kepada pendarahan atau darah beku di otak menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak dan jantung berhenti dengan tiba-tiba.

Penyakit kardiovaskular termasuk tekanan darah tinggi, kolesterol, obesiti dan diabetes banyak menyerang lelaki pada usia 55 tahun dan wanita 65 tahun.

Bagaimanapun, jelas Dr. Nor Adina, tekanan darah tinggi yang berlaku pada usia bawah 40 tahun mungkin disebabkan tekanan kerja, makanan tidak seimbang atau gaya hidup yang tidak sihat.

Kini ramai kanak-kanak menghidap tekanan darah tinggi mungkin kerana gaya hidup moden yang sedentari.

"Masyarakat pula tidak peka atau kurang kesedaran mengenai tekanan darah tinggi kerana mereka tidak nampak risiko yang bakal dihadapi pada masa akan datang," katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Permohonan Kemasukan ke Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia - ILJTM Sesi Julai 2012

Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) ditubuhkan untuk menyediakan dan melaksanakan program latihan kemahiran pra-pekerjaan bagi memenuhi keperluan sektor perindustrian negara. Objektif utama ILJTM adalah untuk melahirkan tenaga manusia yang optimum melalui program latihan kemahiran perindustrian.

ILJTM terdiri daripada:
  • 23 buah Institut Latihan Perindustrian (ILP) yang menawarkan program peringkat sijil dan sijil lanjutan
  • 7 buah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) yang menawarkan program peringkat Diploma dan Diploma Lanjutan
  • Sebuah Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) yang juga menawarkan program peringkat Diploma dan Diploma Lanjutan. 

Pengambilan Pelajar Baru ILJTM

Pengambilan ke ILJTM dibuat 2 kali setahun iaitu pada bulan Januari dan bulan Julai setiap tahun. Iklan akan dikeluarkan pada bulan Mac dan September. Bagi sesi kemasukan Januari permohonan secara online perlu dibuat melalui laman web JTM. Manakala bagi kemasukan Julai perlu dibuat secara online di laman web JTM dan UPU, bergantung kepada kelulusan pemohon.

Syarat Asas

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur 17 – 35 tahun

Syarat Minumum

  • Lepasan SPM/SPMV – memiliki SPM dengan lulus Bahasa Melayu; atau
  • Lepasan SKM – memiliki SKM Tahap 2/3/4; atau 
  • Lepasan ST – memiliki SKM Tahap 2/3 atau Sijil PW2

Syarat Khas

Tertakluk kepada kursus yang dipohon, sila rujuk Panduan Kemasukan Program Sijil dan Diploma & Diploma Lanjutan serta e-Panduan Kemasukan ke Politeknik & ILKA.

Kemudahan

  • Program Sijil – Penginapan, makan dan minum adalah percuma
  • Program Diploma & Diploma Lanjutan – Pinjaman pelajaran PTPTN
  • Bagi OKU – sama seperi program sijil serta elaun sara diri RM300 sebulan.

Permohonan

Permohonan kemasukan ke ILJTM terbahagi kepada 2 cara;
  1. Untuk Lepasan SPM melalui UPU di Kemasukan Ke ILKA / TEVT-Politeknik.
  2. Untuk Lepasan SKM dan ST melalui ILJTM di Permohonan ILJTM

Maklumat

Maklumat di atas adalah ringkasan sahaja, sila kunjungi laman web ILJTM dan baca iklan pengambilan untuk maklumat lebih terperinci.

Pertanyaan

Jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan permohonan ke ILJTM ini, sila berhubung terus dengan;
Bahagian Pengurusan Latihan,
Jabatan Tenaga Manusia,
Aras6, Blok D4, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62530 Putrajaya

Telefon: 03-8886 5555
Faks: 03-8889 2417
Email: jtm@mohr.gov.my

Tarikh Tutup

  • Permohonan kemasukan ke ILJTM bagi sesi Julai 2012 ini akan ditutup pada 2 April 2012

Sumber : http://eputra.com/permohonan-kemasukan-iljtm-sesi-julai-2012/






Jumaat, Mac 23, 2012

SPA hantar surat tawaran kepada 7,000 pemohon yang berjaya

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sudah menghantar surat tawaran secara berperingkat kepada 7,000 pemohon jawatan sektor awam yang berjaya dalam temu duga bagi gred 17 hingga 41, selepas pembatalan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada 8 Mac lalu.

Pelantikan kepada pemohon yang berjaya dalam temu duga bagi gred 17 hingga 41 sebelum ini ditangguhkan kerana kontroversi skim berkenaan.

Setiausaha SPA, Datuk Lamien Sawiyo, berkata penyelesaian itu dilakukan sebaik saja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembatalan SBPA.

Katanya, sebelum ini SPA terpaksa menangguhkan pelantikan itu selepas kerajaan mengkaji semula SBPA dan mengarahkan pasukan petugas kajian semula itu mengemukakan laporan dalam tempoh tiga bulan iaitu sehingga April.

“Selepas kerajaan membatalkan SBPA pada 8 Mac lalu, kita mengeluarkan surat tawaran pelantikan kepada pegawai berkenaan secara berperingkat bagi membolehkan mereka melapor diri kepada jabatan masing-masing.

“Pada masa sama, SPA juga sedia menerima dan memproses permohonan baru daripada orang ramai bagi mengisi kekosongan jawatan di jabatan dan agensi kerajaan terbabit,” katanya selepas memperkenalkan barisan pemain Pasukan SPA FC yang akan menentang Kelantan dalam suku akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Beliau yang juga Presiden SPA FC berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pembatalan SBPA dan digantikan dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) akan menjejaskan proses pelantikan baru penjawat awam di pelbagai agensi dan jabatan kerajaan ketika ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden SPA FC merangkap Timbalan Setiausaha SPA, Datuk Ramli Juhari dan Ketua Jurulatih SPA FC, Nidzam Jamil.

Semua permohonan untuk mengisi kekosongan jawatan di jabatan dan agensi kerajaan dibuat secara dalam talian menggunakan borang pendaftaran pekerjaan di sektor awam menerusi laman web rasmi SPA : http://www.spa.gov.my/.

Bagaimanapun, selepas kerajaan memperkenalkan SBPA, pelantikan baru ke sektor awam ditangguhkan sementara.

- BERITA HARIAN

PNB umum dividen 6.5 sen untuk ASM 2012


Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan dividen 6.5 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan itu adalah lebih tinggi daripada 6.38 sen seunit yang dibayar tahun lalu.
Beliau berkata, pengagihan pendapatan ini akan membabitkan pembayaran berjumlah RM820.24 juta, meningkat sebanyak 8.6 peratus berbanding RM755.05 juta yang dibayar tahun lalu.
Katanya, pembayaran itu akan dinikmati oleh 546,341 pemegang unit yang kini memegang 12.62 bilion unit ASM.

"Hingga 21 Mac, ASM mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM978.32 juta. Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM774.77 juta atau 79.2 peratus pendapatan kasar," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad Sarji berkata, keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM53.59 juta atau 5.5 peratus, dan pendapatan selebihnya sebanyak RM149.96 juta atau 15.3 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Katanya, pengagihan pendapatan ini akan dilaburkan semula dalam unit-unit tambahan dan akan dikreditkan secara automatik dalam akaun pemegang unit pada 1 April, 2012.
Ahmad Sarji juga mengumumkan pengagihan pendapatan yang lebih tinggi bagi ketiga-tiga tabung di bawah Amanah Saham Gemilang (ASG), iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Persaraan dan ASG-Kesihatan, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012.

Pemegang unit ASG-Pendidikan akan menerima tujuh sen seunit, ASG-Persaraan 7.05 sen seunit dan ASG-Kesihatan 7.10 sen seunit.

"Kadar yang diumumkan ini jauh lebih tinggi daripada tahun lalu, masing-masing pada kadar 5.6 sen seunit, 5.10 sen seunit dan 6.10 sen seunit," katanya.

Ahmad Sarji berkata, ASNB sudah memperuntuk pembayaran berjumlah RM3.6 juta bagi pengagihan pendapatan ASG-Pendidikan yang akan dinikmati oleh seramai 15,262 pemegang unit yang sudah melanggan 52.07 juta unit tabung ini.

Bagi ASG-Persaraan, RM1.49 juta sudah diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 2,909 pemegang unit yang melanggan 21.20 juta unit manakala bagi ASG-Kesihatan, pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM4.57 juta akan dinikmati oleh 9,675 pemegang unit yang melanggan 64.42 juta unit tabung ini.

Urus niaga bagi ASM dan ASG ditangguhkan mulai hari ini hingga 1 April.

Mengulas tentang prestasi tabung-tabung ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata tabung-tabung itu berupaya membayar pengagihan pendapatan yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, kami mengambil keputusan untuk membayar pengagihan pendapatan (sebanyak) ini memandangkan persekitaran yang tidak baik sekarang," katanya.

Hamad Kama Piah berkata, PNB berupaya membayar 14 sen (untuk ASG-Kesihatan), 10 sen (ASG-Pendidikan), 12.2 sen (ASG-Persaraan) dan lapan sen untuk ASM.

Katanya, PNB akan terus memastikan strategi pemilihan stok dalam portfolio tabung-tabung itu akan terus memberi pulangan yang kompetitif setiap tahun dan mempunyai prospek jangka panjang yang baik.

- BERNAMA

Analisis SPM 2011 : Pencapaian sekolah bandar, luar bandar catat peningkatan

Oleh Basir Zahrom

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud semalam mempunyai signifikan penting dalam hala tuju sistem pendidikan negara.

Selain keputusan keseluruhan lebih baik dalam tempoh lima tahun, pencapaian pelajar lulus subjek Sains yang menunjukkan peningkatan sama ada sekolah di bandar mahupun luar bandar, boleh dijadikan landasan mengurangkan kebimbangan terhadap lambakan pelajar sastera di institusi pengajian tinggi.

Walaupun peningkatan peratusan subjek Sains itu hanya 0.3 peratus iaitu 92.6 peratus pada 2011 berbanding 92.3 peratus pada 2010, keputusan berkenaan memberi harapan bahawa generasi muda negara akan meneruskan perjuangan dalam bidang sains dan teknologi pada masa akan datang.

Malah, jika dilihat daripada jumlah pelajar mengambil subjek Sains tahun lalu, ada peningkatan iaitu 259,300 berbanding 257,764 pada 2010, manakala pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu pula hanya 27,171 pada 2011, turun sedikit berbanding 30,222 pada 2010.

Begitu pun, jika dianalisis keputusan SPM semalam, jumlah pelajar lulus subjek berkenaan di bandar turun daripada 124,329 pada 2010 kepada 111,640 pada 2011, manakala luar bandar meningkat dengan jumlah 147,660 pada 2011 berbanding hanya 133,435 pada 2010. Pelajar yang mengambil subjek sains lain seperti Fizik juga meningkat iaitu 126,429, Kimia (131,145) dan Biologi (101,526).

Secara keseluruhan, Abd Ghafar menyifatkan keputusan pencapaian calon peperiksaan SPM 2011 amat membanggakan. Kenyataan itu dibuat bersandarkan prestasi Gred Purata Nasional (GPN) yang bertambah baik sejak lima tahun lalu iaitu 5.60 pada 2007, 5.51 (2008), 5.34 (2009), 5.19 (2010) dan 5.04 tahun lalu.
Pencapaian GPN mahupun Gred Purata Sekolah (GPS) dinilai berdasarkan pengiraan purata gred pelajar dan lebih rendah jumlah yang dicapai adalah lebih baik. Jadi, peningkatan GPN sebanyak 0.56 sepanjang lima tahun adalah sesuatu yang sangat membanggakan walaupun sistem pendidikan negara pernah berubah dalam tempoh terbabit.

Warga Kementerian Pelajaran pula pasti mampu menarik nafas lega apabila setiap tahun prestasi keseluruhan calon menunjukkan peningkatan walaupun ada beberapa mata pelajaran yang menurun.

Pelbagai usaha dijalankan dalam memastikan prestasi terus cemerlang dan calon tahun lalu berjaya membuktikan semua yang dilakukan itu berbaloi apabila mencatat peningkatan daripada jumlah calon yang mendapat Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran iaitu seramai 559 calon berbanding 403 pada 2010 dan 255 (2009).

Daripada jumlah itu, 506 terdiri daripada calon Sekolah Kementerian Pelajaran dan lebih membanggakan tujuh daripada mereka mendapat semua A+ dalam 12 mata pelajaran berbanding hanya empat pada 2010.

Seramai 72 calon mendapat gred tertinggi itu untuk 11 mata pelajaran berbanding 47 calon (2010), 284 calon bagi mereka yang mengambil 10 subjek berbanding 207 dua tahun lalu dan 143 (sembilan mata pelajaran) daripada 105 pada 2010.

Pencapaian sekolah berdasarkan GPS pula, Abd Ghafar berkata, pencapaian sekolah pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan dengan sekolah dalam kategori Cemerlang dan Baik masing-masing bertambah sebanyak 13 dan 60 manakala sekolah dalam kategori memuaskan dan berpotensi masing-masing berkurang sebanyak empat dan 17.

Tahun lalu sebanyak 80 sekolah mencapai kategori Cemerlang iaitu pencapaian GPS 0.00 hingga 2.25 berbanding 67 pada 2010, 400 mendapat kategori Baik (GPN 2.26-4.50) berbanding 340 pada 2010.

Penurunan sebanyak empat dan 17 sekolah bagi kategori Memuaskan (4.51-6.75) dan Berpotensi (6.76-9.00) menunjukkan pertambahan baik kerana kebanyakan sekolah melonjak ke kategori lebih tinggi. Sebanyak 1,679 sekolah mencatat kategori Memuaskan berbanding 1,683 dan Berpotensi 49 berbanding 66 pada 2010.

Walaupun pencapaian keseluruhan membanggakan, masih ada ruang bagi memperbaiki pencapaian SPM pada masa akan datang. Berdasarkan GPN, pencapaian calon mengikut lokasi iaitu bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan masing-masing 0.22 peratus dan 0.13 peratus berbanding 4.89 serta 5.52, namun jurang perbezaan pencapaian calon bandar dan luar bandar bertambah sebanyak 0.9 peratus iaitu daripada 0.63 bagi 2010 dan 0.72 pada 2011. Sesuatu perlu dilakukan dalam merapat atau menghapuskan terus jurang itu.

Prestasi mata pelajaran dinilai berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) pula menunjukkan kemerosotan apabila 35 mata pelajaran menunjukkan penurunan GPMP berbanding 22 pada 2010.

Prestasi Bahasa Melayu juga perlu diberi perhatian serius kerana GPMP nasional mata pelajaran itu turut menurun 0.08 berbanding 2010 iaitu 4.30 kepada 4.38.

Pada 2011, GPMP 63 daripada 112 mata pelajaran meningkat berbanding GPMP 81 daripada 103 subjek pada 2010. Sembilan mata pelajaran baru ditawarkan tahun lalu iaitu satu mata pelajaran bidang bahasa (Bahasa Kadazandusun), enam mata pelajaran Pendidikan Kesenian (Seni Muzik, Seni Visual, Seni Halus, Tari, Teater, Reka Bentuk) dan dua mata pelajaran aliran vokasional iaitu Pelancongan dan Rekreasi serta Asas Kemahiran Pelancongan.

Berdasarkan penelitian, empat daripada mata pelajaran baru yang ditawarkan menunjukkan pencapaian membanggakan apabila empat daripadanya, calon memperoleh keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dengan peratusan 87.5 ke 100 iaitu Seni Visual, Seni Muzik, Seni Tari dan Teater. Lebih membanggakan apabila tiada seorang pun calon yang gagal dalam lapan daripada sembilan mata pelajaran itu.

Diharap semua mata pelajaran itu dapat membantu calon dalam bidang kerjaya yang diidamkan kerana ia lebih berbentuk kemahiran dan bahasa etnik hanya dipelopori mereka yang benar-benar akan mengambilnya sebagai pilihan mata pelajaran dalam SPM.

- BERITA HARIAN

Raih kepercayaan pelanggan

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

SALAH satu cabaran utama sesuatu perniagaan, khususnya perniagaan baru ialah membina perniagaan yang berkualiti. Apabila perniagaan anda mula berkembang, anda perlu berurusan untuk membina hubungan dengan pelanggan baru.

Dalam kaji selidik, sebab terbesar seseorang pelanggan itu membuat keputusan untuk membeli atau tidak membeli ialah apabila mereka merasakan 'kepercayaan dan keyakinan' terhadap barang atau perniagaan berkenaan.

Sememangnya kepercayaan pelanggan (customer trust) itu amat penting di dalam mana-mana perniagaan sekalipun. Tidak kiralah dalam talian (online) atau luar talian (offline), pelanggan adalah elemen penting yang memberi nafas kepada sesebuah bisnes. Pendek kata, tanpa pelanggan tiadalah bisnes.

Dalam perniagaan di Internet, adalah penting untuk kita membina kepercayaan kepada pelanggan. Sebab pelanggan atau bakal prospek melakukan transaksi tanpa bersemuka dengan pihak yang mengendalikan sesuatu perniagaan.

Pelanggan mengenali penjual hanya menerusi internet sahaja. Bakal prospek pasti tidak yakin pada sesuatu perniagaan kalau mereka tidak mempunyai kepercayaan atau keyakinan terhadap perniagaan berkenaan.

Oleh sebab itu, kepercayaan bukanlah sesuatu yang boleh dibina dalam beberapa hari. Ia memerlukan masa yang panjang dan usaha yang berterusan untuk membina kepercayaan, namun ini bukanlah bererti ia satu tugas yang sukar.

Kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap sesebuah perniagaan boleh memberi impak yang mendalam dalam menentukan kejayaan organisasi tersebut.

Lebih-lebih lagi dalam membina keuntungan yang ternyata amat sukar diperoleh. Justeru, sesuatu perniagaan khususnya perniagaan yang baru bertapak perlu dibina di atas dasar yang betul dan jelas.

Berikut adalah dua bahagian penting yang boleh diadaptasikan untuk anda membina kepercayaan pelanggan kepada anda.

Semakin tinggi kepercayaan, semakin banyak bilangan barangan yang anda boleh jual dan semakin mahal harga yang anda boleh letakkan.

1) Bina kepercayaan pelanggan terhadap diri anda

Kepercayaan terhadap diri anda terbina melalui dua aspek utama iaitu pemerhatian pelanggan sendiri terhadap diri anda dan apa yang mereka dengar daripada orang lain.

Pemerhatian mereka meliputi apa yang mereka lihat, apa yang mereka dengar dan apa yang mereka tahu tentang diri anda.

Sebagai contoh, jika anda menjual produk menjadi jutawan, tetapi anda sendiri menggunakan kereta kancil. Mereka tidak akan percayakan anda.

Ini samalah seperti seseorang dengan berat badan 150 kilogram bercerita mengenai ubat menurunkan berat badan.

Anda perlu terlebih dahulu sanggup dan boleh menjadi role model kepada pelanggan anda. Pendek kata perlu ada nilai walk the talk.

Untuk membina kepercayaan, kualiti diri adalah sangat penting. Dalam dakwah lisanul hal lebih memberi impak berbanding dengan pendekatan-pendekatan yang lain.

Ini kerana manusia akan lebih dan mudah terkesan dengan apa yang dilihat berbanding dengan apa yang didengar atau dirasa.

Anda juga perlu sentiasa melakukan sesuatu secara konsisten. Pengurusan masa hendaklah diberi perhatian yang serius, jangan bercakap atau janjikan sesuatu yang anda tidak mampu penuhi.

Jika anda berjanji untuk bertemu pada pukul sembilan, sampai sekurang-kurangnya 10 minit lebih awal. Perkara-perkara kecil sebegini banyak membantu membina kepercayaan pelanggan terhadap diri anda.

2) Bina kepercayaan pelanggan terhadap produk atau servis anda

Membina kepercayaan terhadap produk anda adalah juga sesuatu yang sangat penting kerana pelanggan yang berpuas hati akan terus bercerita kepada orang lain mengenainya.

Promosi mulut ke mulut seperti ini adalah sesuatu yang paling berkesan untuk membina kepercayaan pelanggan supaya mereka membeli daripada anda.

- UTUSAN