Selasa, Mac 06, 2012

Aliran berbahaya politik semasa Melayu

DATUK RADZI LATIF
Bekas Presiden Yayasan Kepimpinan dan Strategi Malaysia (YKSM)

SEMAKIN ramai orang Melayu kini meminggirkan diri dari arus perdana politik dengan menganggap diri mereka sebagai "kumpulan apolitical" yang berkecuali. Kononnya, mereka tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Faktor bosan dengan kerenah orang politik serta hilang kepercayaan terhadap sistem politik adalah antara alasan utama yang sering diberikan golongan terbabit. Sementara itu, golongan usahawan Melayu dan Melayu profesional pula mengambil sikap berkecuali dengan mengeluarkan kenyataan "kami berniaga, tak boleh campur politik" dan "kami tak boleh campur hal ehwal politik sebab kami berniaga dengan kerajaan dan kami akan teruskan perniagaan kami dengan kerajaan walaupun berlaku pertukaran kerajaan selepas pilihan raya".

Namun, berbeza pula halnya dengan orang bukan Melayu yang dilihat semakin peka berpolitik. Golongan ini didapati semakin ramai menyertai arus perdana politik. NGO mereka pula sedia menyokong mana-mana parti politik yang boleh membantu mencapai agenda mereka, termasuk agenda perniagaan, kerakyatan, sekolah vernakular dan sebagainya. Tiada istilah berkecuali dalam NGO massa bagi masyarakat bukan Melayu. Justeru, tidak hairanlah suara politik bukan Melayu semakin lantang dan semakin kuat.

Ini disebabkan majoriti masyarakat bukan Melayu sudah sedar maju atau mundurnya bangsa mereka bergantung kepada "political bargaining" atau "kuasa tawar menawar politik" yang ada pada mereka.

Oleh itu, istilah "kami tidak mahu berpolitik" atau "kami apolitical" tidak lagi relevan dalam masyarakat bukan Melayu.

Lain pula halnya dengan masyarakat Melayu. Semasa memperjuangkan kebebasan dari jajahan British, orang Melayu lah yang bertungkus-umus dan bermati-matian berjuang dalam landasan politik demi mencapai kemerdekaan. Di era pasca Merdeka, Melayu hebat berpolitik demi memajukan bangsa, agama dan negara.

Pasca 13 Mei, Pas dan UMNO sanggup mengetepikan perbezaan politik demi memantapkan kuasa politik Melayu Muslim yang terhakis dan tercabar dalam peristiwa pra-13 Mei 1969.

Hari ini, walaupun kerajaan UMNO dan Barisan Nasional berjaya melahirkan ramai usahawan, graduan dan profesional Melayu, masih ramai di kalangan mereka dilihat selesa berada dalam zon selesa.

Mereka menganggap politik sebagai instrumen merosakkan Melayu sehinggakan ada yang menganggap amat popular jika tidak berpolitik dan kekal dengan jenama ahli korporat, usahawan dan profesional yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik. Maka, semakin ramai yang tidak mahu menyertai UMNO dan tidak mahu masuk Pas. Akibatnya, semakin kurang gema suara politik Melayu berbanding gema politik bukan Melayu.

Maklumlah, ramai Melayu yang tidak mahu menyertai UMNO dan ramai yang tidak mahu menyertai Pas. Justeru, mereka duduk di atas pagar atau menyertai NGO di atas pagar.

Jika dulu laungan "biar putih tulang asal jangan putih mata" menjadi pegangan semua orang Melayu, kini majoriti yang di atas pagar dan dalam NGO berpendapat sekiranya mana-mana parti politik menang sekali pun tidak mengapa, dunia tidak akan kiamat dan Melayu tidak akan dipinggirkan. Ada yang begitu yakin bahawa "nasib yang menimpa Melayu Singapura tidak akan menimpa Melayu Malaysia" walaupun Melayu Malaysia hilang kuasa memerintah dalam kerajaan.

Ramai juga golongan atas pagar ini menganggap tindakan DAP memperbanyakkan penyertaan ahli Melayu dan akan meletakkan ramai calon Melayu dalam PRU13 sebagai petanda nasib Melayu akan terus dibela. Golongan atas pagar ini tidak percaya jika dikatakan tindakan DAP memperbanyakkan ahli Melayu bertujuan menjadikan Pas tidak relevan dalam Pakatan Rakyat.

Terkini JATI pula ditubuhkan sebagai NGO yang dijangka amat berpengaruh tetapi apolitical. Kalaulah tiada perancangan untuk JATI dibubarkan akhirnya dan kesemua ahlinya memasuki mana-mana parti politik Melayu Muslim, maka kehadiran JATI (Jalur Tiga) yang mempunyai tujuan murni, sebenarnya adalah aliran baru yang berbahaya kerana ia dilihat mampu mengurangkan lagi gema politik Melayu dan Islam dalam arena politik.

Kalau usaha menubuhkan NGO atas pagar atau NGO berkecuali ini berterusan, status Melayu dibimbangi akan berubah di masa hadapan. Masyarakat Melayu tidak lagi akan menjadi "game changer", sebaliknya akan ditakrifkan sebagai "harmless political observer" atau "pemerhati politik yang tidak berbahaya".

Maka, akan terhapuslah jenama politik Melayu pra-merdeka. Melayu era pra-merdeka ketika itu amat gah dijenamakan sebagai "janakuasa atau prime mover" kepada kebangkitan gerakan kemerdekaan, pencetus arus kemajuan dan pemodenan negara" yang sanggup menggadai nyawa demi memperkukuhkan politik Melayu Muslim.

Kembali kepada aliran Melayu memasuki NGO dan bersikap atas pagar. Sesuatu perlu dilakukan. Yang pasti, mewujudkan NGO demi NGO dan membentuk barisan bertindak NGO bukanlah jawapannya. Tindakan sedemikian amat berbahaya kerana ia akan mengajak Melayu supaya meninggalkan arus perdana politik. Penyelesaian terbaik adalah supaya UMNO mahu pun Pas menjenamakan dirinya sedemikian rupa agar menjadi parti pilihan utama orang Melayu Islam. Jika, ini tidak dapat dilakukan, elok juga difikirkan bagaimana Barisan Jemaah Islamiyah Malaysia atau BERJASA diaktifkan semula. Parti BERJASA ini yang dulunya pernah memerintah Kelantan boleh menjadi pilihan alternatif kepada NGO Melayu atau Melayu atas pagar.

Yang penting semua umat Melayu Islam perlu memasuki arus perdana politik agar gema politik Melayu lebih kuat daripada gema politik bukan Melayu. Ini bukanlah seruan berbentuk rasis, namun ia sekadar mengingatkan bangsa Melayu yang kini dianggap semakin mundur dari aspek ekonomi, politik, sosial dan nilai agama memerlukan gema politik yang lebih lantang.

- UTUSAN

Saling membantu, membela sesama Islam, mengerat ukhwah

Oleh Lokman Ismail

ISLAM adalah agama yang mementingkan persaudaraan kerana ia menjadi pemangkin ke arah kekuatan, kejayaan dan kecemerlangan. Antara ciri persaudaraan ialah saling membela, yakni membantu dan mempertahankan hak orang Islam lain.

Orang Islam yang tidak mempedulikan nasib saudaranya yang lain dianggap sebagai tidak sempurna imannya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang dalam kalangan kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Prinsip persaudaraan yang kukuh semata-mata kerana patuh kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah faktor kepada kegemilangan umat Islam pada zaman Rasulullah SAW dan empayar Islam selepas itu.

Malangnya, sikap membela sesama umat Islam kini di lihat semakin lemah. Faktor ini menjadi punca mengapa umat Islam dalam keadaan lemah dan menjadi mangsa kekejaman musuh Islam. Umat Islam dilihat lebih suka menyokong atau berdamping dengan kuasa bukan Islam semata-mata untuk kepentingan diri.

Muslim sejati tidak akan membiarkan saudaranya dihina dan disiksa. Penderitaan ditanggung saudara muslim diibaratkan turut ditanggung oleh dirinya. Maka, muslim sejati tidak akan membiarkan saudaranya menghadapi bahaya sendirian melainkan wajib baginya membela mengikut kemampuannya.

Pihak yang memerangi muslim wajib diperangi atau ditentang. Islam membenarkan tindakan berperang untuk melindungi keselamatan dan hak. Musuh muslim adalah juga menjadi musuh kepada seluruh muslim lain.

Ironinya, ada muslim yang berikrar akan melindungi musuh nyata yang sekian lama bertindak kejam terhadap umat Islam seperti kekejaman rejim Zionis Israel terhadap umat Islam Palestin. Individu yang berada di pihak musuh muslim, maka dia juga adalah sebahagian daripada musuh seluruh muslim yang mesti ditentang. Ini kerana, Islam menyuruh menolong ke arah kebaikan, bukan mendatangkan keburukan.

Firman Allah bermaksud: “Dan sentiasalah tolong menolong dalam kebaikan dan yang mendorong kepada takwa serta jangan tolong menolong dalam perkara membawa dosa serta permusuhan.” (Surah al-Maidah, ayat 3).

Soalnya, mengapa ada orang Islam termasuk yang bergelar pemimpin sanggup menyokong musuh Islam? Perkara ini tidak harus berlaku jika umat Islam memahami ajaran Islam. Jangan gadaikan maruah dan kepentingan Islam semata-mata untuk mendapat sedikit pertolongan daripada musuh untuk kepentingan peribadi.

Sesungguhnya bantuan yang dihulurkan itu sudah tentu satu jerat yang akan membinasakan diri sendiri dan agama. Persaudaraan muslim tidak dibatasi bangsa dan sempadan geografi. Maka, setiap muslim perlu membantu muslim lain walaupun berlainan bangsa dan berada jauh di negara lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia. Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan.” (Surah al-Hujrat, ayat 13).

Setiap muslim perlu menunjukkan kesungguhan untuk membantu muslim lain yang ditimpa bencana atau dizalimi. Apa yang dilakukan itu tidak sia-sia dan mendapat balasan kebaikan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya bantuan yang dihulurkan adalah jalan yang membawa kepada dimurahkan rezeki.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya kalian hanya akan dibantu dan diberikan rezeki oleh Allah jika kalian semua membela orang yang lemah.” (Riwayat Bukhari)

Ingatlah, kekuatan muslim tidak hanya melalui kelompok atau kumpulan tertentu saja. Kekuatan muslim perlu dibina secara keseluruhan kerana ia saling memperkuatkan antara satu sama lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ibarat seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seumpama sebuah binaan yang terdiri daripada bahan binaan yang saling sokong menyokong, lengkap melengkapi antara satu sama lain hingga terciptanya sebuah binaan yang tersergam kukuh.” (Riwayat Bukhari).

- BERITA HARIAN

Ahad, Mac 04, 2012

Pandangan Tun Daim Zainuddin mengenai Pilihanraya Umum (PRU 13)


SEBELUM Pilihan Raya 2008 berlangsung, TUN DAIM ZAINUDDIN adalah satu-satunya tokoh yang secara terbuka meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kehilangan beberapa negeri dan akan mencatatkan keputusan terburuk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu.

Memang mengejutkan apabila ramalan itu terbukti benar dan akhirnya mengakibatkan peralihan kuasa dari Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Melihat kepada kemungkinan Pilihan Raya Umum ke 13 akan berlangsung pada tahun ini wartawan Mingguan Malaysia ZIN MAHMUD, MOWARDI MAHMUD, MARHAINI KAMARUDDIN, AINUL ASNIERA AHSAN dan HAFIZAHRIL HAMID telah bertemu beliau di pejabatnya pada Khamis lepas.

Beliau seperti biasa seperti mana pertemuan sebelumnya gemar berpakaian ringkas dan sederhana namun kali ini turut sama membawa sekeping kertas dan sebatang pen bersama.

Kelihatannya di permukaan kertas itu sudah tertulis antara topik yang mahu disuarakan beliau secara khusus, tidak seperti sebelumnya.

Dalam pertemuan selama lebih dua jam itu beliau secara jelas menjawab semua soalan yang dikemukakan tanpa berselindung. Namun apabila ditanya mengenai ramalan sempena pilihan raya yang bakal berlangsung Tun Daim menjelaskan beliau tidak mahu dilihat sebagai peramal politik namun tetap memberikan pandangan bahawa UMNO dan BN tetap mempunyai kelebihan berbanding pakatan pembangkang.

Selain politik, beliau turut bercakap mengenai soal perpaduan Melayu, masalah ekonomi dan hutang negara, Anwar Ibrahin serta masa depan politik Malaysia.

MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat perkembangan politik tanah air pada tahun 2012?

DAIM: Seperti yang kita lihat, pembaharuan politik yang diamalkan oleh kerajaan kelihatannya lebih berkesan. Pihak kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif dan tindakan yang dahulunya akan diambil oleh pihak Pakatan seperti langkah memansuhkan ISA. Saya melihat Akta Perhimpunan Aman adalah pemangkin utama perubahan. Pada mulanya ia mencetus pelbagai kritikan tetapi keputusan untuk membenarkan penyokong Anwar berkumpul di luar mahkamah pada 2 Januari lepas, dalam semangat akta baru yang pada ketika itu masih belum diwartakan, telah menyebabkan para pengkritik terdiam. Saya tidak akan mengulas mengenai pembebasan Anwar memandangkan pihak Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan.

Jika anda membezakan ciri-ciri di antara kedua-dua pemimpin, Anwar dan Najib, anda akan terdorong untuk memberi markah yang lebih tinggi kepada Najib. Najib pada hemat saya telah mendapat banyak manfaat sebagai anak kepada Tun Razak. Dari tahun 1976 dan seterusnya, beliau telah menunjukkan kebolehan menyelusuri dan mengasah bakat dalam arena politik, berkemahiran, kelebihan senioriti, pengalaman serta mempunyai rangkaian yang lebih baik berbanding mereka yang seusia mahupun yang lebih senior. Beliau telah berada di dalam Pemuda UMNO beberapa tahun sebelum kemasukan Anwar, beliau telah biasa dengan personaliti dan isu-isu yang melanda dan terbukti pemikirannya amat tajam di dalam mesyuarat tertutup, beliau sangat berkeyakinan dan mampu untuk berdepan dengan khalayak ramai. Saya sangat optimis tentang suasana politik pada tahun 2012. Saya melihat Najib telah diuji dengan pelbagai dugaan serta ranjau yang paling sukar dan beliau kini bersedia untuk membawa negara ke hadapan, tetapi isu yang paling penting adalah sama ada Barisan Nasional (BN) bersedia untuk bergerak ke hadapan bersama-samanya.

Tahun ini yang paling menjadi fokus utama pastinya Pilihan Raya Umum ke 13, bagaimana Tun melihat perkembangan ini sama ada BN masih mampu mengekal majoriti atau lebih baik atau sebaliknya?

DAIM: Bila masa yang sesuai untuk pilihan raya adalah terpulang kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan. Perdana Menteri masih boleh mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 2013 atau pun membenarkan Parlimen berlalu dan pilihan raya boleh diadakan selepas 60 hari pembubaran Parlimen. Anda boleh merujuk kepada Perlembagaan. Mandat tidak luput dan tugas-tugas kerajaan adalah mengemudi negara dengan betul, memulihkan keyakinan dalam pengurusan ekonomi dengan beringat mengenai apa yang sedang berlaku di Eropah dan Jepun, memberikan penjelasan mengenai arah tuju yang sedang diambil, menyerlahkan kepimpinan yang berkesan, memerangi rasuah dan bertekad dengan semangat nasionalisme di tengah-tengah gelombang globalisasi.

Terdapat tanda-tanda keyakinan baru terhadap ekonomi negara. Ada kepastian dan kebolehpercayaan; saya sentiasa memberi penekanan terhadap kedua-dua perkara ini apabila ditanya mengenai keadaan ekonomi pada bila-bila masa. Saya percaya BN mempunyai kelebihan yang lebih baik untuk mendapat keputusan lebih cemerlang sekarang berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika anda menonton perlawanan tenis, maka saya akan berkata BN mempunyai kelebihan; ia adalah seperti Nadal vs Federer atau Nadal vs Djokorvic. Ini adalah perlawanan hebat, yang pada akhirnya, siapa membuat kesilapan yang kurang akan memenangi perlawanan.

Pengundi Cina merasa dipinggirkan dan menginginkan sesuatu yang lebih baik kerana dipengaruhi oleh pengatur agenda seperti Lim Kit Siang. Ia adalah sesuatu yang tidak berasas hanya dengan memainkan sentimen kemarahan tetapi malangnya gagal melihat beberapa isu-isu penting yang telah dibangkitkan.

Orang-orang Cina telah melabur dengan banyak dalam bidang pendidikan. Saya fikir mereka ingin melihat jaminan masa depan mereka; dan ia adalah persoalan tentang komunikasi. Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan Cina, ia adalah mengenai apa yang boleh meyakinkan mereka sebagai contoh mengetengahkan semua statistik berkaitan mereka; saya fikir pertubuhan politik Melayu tidak pernah berniat untuk menjatuhkan peluang orang Cina dan lebih objektif dalam menangani isu-isu sebegini. Saya lihat keadaan kini semakin baik dan tenang dan pengakhirannya Perlembagaan akan menjadi jaminan terbaik untuk keharmonian semua kaum. Perlembagaan telah dilengkapi jaringan keselamatan dan sistem kehakiman yang adil untuk semua, tidak ada satu kumpulan pun boleh menarik apa-apa keistimewaan dari kaum lain; cabaran utama sekarang adalah untuk terus mengembangkan kek ekonomi untuk kesejahteraan semua. Orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Orang Asli, segala bentuk perniagaan perlu terus berkembang dan dilabur dalam bakat dan kawasan-kawasan yang baru. Semua orang tidak perlu pentingkan kawasan diri sendiri sahaja. Anda tidak akan berkembang jika hanya pentingkan hak diri sendiri sahaja tanpa memikirkan orang lain; ekonomi lama adalah mengenai peruncitan, pemborong, perladangan, perdagangan dan perumahan (pembinaan): Semua komuniti perlu bekerjasama untuk menghasilkan bakat-bakat yang boleh dikembangkan di dalam sektor tersebut. Dunia adalah pasarannya. Melayu bukanlah saingan kepada kaum Cina dan begitu juga sebaliknya. Kita mesti mengemudi pelajar yang bercampur gaul di semua peringkat pendidikan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat universiti.

Jika anda bertanya kepada saya adakah politik Malaysia telah menjadi lebih perkauman? Jawapan saya tidak, akan tetapi perkara retorik telah berubah. Media baru telah membawa perubahan. Ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab telah memasuki radar dan mereka telah memperkenalkan retorik baru untuk mendapatkan populariti: mereka telah mendapat beberapa kejayaan tetapi ia adalah kewajipan rakyat Malaysia yang berfikiran waras untuk beralih daripada retorik sebegini di peringkat arus politik perdana dan menumpukan masa dan tenaga kepada falsafah baru politik. Kita mesti sentiasa ingat ini adalah negara kita. Kita semua cintakan negara kita. Kita mahu melihat ia terus makmur kerana kita semua akan mendapat manfaat dari kemakmuran. Oleh itu kita mesti kekal bersatu. Perpaduan akan membawa kestabilan dan keamanan dan dengan sumber alam yang kaya, negara akan terus berjaya. Untuk mencintai Malaysia, kita mesti menyemat perasaan cinta negara di tempat pertama , kedua dan ketiga. Malaysia perlu kekal tersemat di hati tanpa berbelah bahagi.

Mungkin ada negeri-negeri yang pada jangkaan Tun dapat ditawan kembali oleh BN atau ada yang terlepas kepada pembangkang?

DAIM: Saya bukanlah seorang yang boleh membuat suatu ramalan dengan tepat. Ramalan negeri yang dikaitkan dengan saya menjelang PRU 12 telah membuatkan saya menjadi seorang peramal politik. Saya ingin membantu mendalami perdebatan politik, untuk mengemudi politik lari daripada isu-isu perkauman dan kebencian. Jadi saya akan memberikan beberapa pandangan.

Dari apa yang saya lihat, PKR, parti yang paling mahir berpolitik berbanding parti-parti pakatan yang lain, mempunyai kelebihan suara dalam menyuntik idea-idea tentang fitnah dan sebagainya. Perkataan fitnah mempunyai kuasa dalam konteks arena politik tempatan. Ini adalah kerana PKR telah terbina dari konsep fitnah dan konspirasi. Saya fikir PKR adalah sebuah parti yang bergantung kepada terhadap masa. Selagi ada orang yang mahu menerima “fitnah dan konspirasi”, maka PKR akan terus wujud. Tetapi pada fikiran saya peluang PKR kini telah tertutup.

Saya harus mengucapkan tahniah kepada semua kepimpinan hal ehwal Islam Selangor. Saya fikir khutbah-khutbah Jumaat yang disampaikan di Selangor telah bersikap adil dan tidak terlibat dalam politik. Ia telah memelihara perpaduan sosial di Selangor. Jika khutbah telah dipolitikkan, masyarakat akan lebih berpecah.

Saya fikir kesilapan tragik Pakatan di Selangor adalah semasa mengendalikan situasi Hasan Ali. Dia telah cuba untuk menyuarakan pandangan beliau dan akibatnya telah dipecat. Tiada surat tatatertib mahupun tunjuk sebab, terus sahaja dilayangkan kad merah. Dari satu segi, kita menyokong kemuliaan demokrasi dan semua idea-idea Universalis: Sekiranya anda percaya pada nilai-nilai sejagat dan anda zahirkan ke seluruh dunia, anda perlulah menyokong keadilan asasi. Seseorang mempunyai hak untuk didengari, sama ada anda bersetuju atau tidak bukan isunya di sini.

Pas dan PKR tidak dapat menafikan hujah UMNO bahawa keputusan itu adalah dipengaruhi oleh DAP. Saya tidak berniat untuk membangkitkan isu politik kaum, saya tidak mengaitkan DAP dengan satu etnik, saya ingin menyatakan bahawa jika dikaji dengan teliti DAP tidak selesa dengan Hasan Ali. Saya juga melihat Anwar tidak pasti mengenai Hasan Ali, maka dia (Hasan Ali) terpaksa pergi. Saya pasti terdapat sebilangan ulama dan profesional dalam Pas yang menentang pemecatan Hasan Ali. Mereka hanya enggan menentang hasrat Tok Guru , Nik Aziz. Ia akan mendedahkan kelemahan-kelemahan sebenar dan tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

BN perlulah bersedia dengan calon seorang pemimpin baru di Selangor yang berkelayakan akademik yang menarik bagi kelas menengah yang semakin meningkat, golongan di bandar universiti lama seperti Shah Alam, Bangi, Serdang dan kampus-kampus di Gombak, Sunway, Damansara. Ia adalah kawasan pilihan raya baru. Politik lama tidak akan mengembalikan semula Selangor. Anda mestilah mempunyai hujah-hujah tersendiri untuk membuktikan warlord personaliti perlu disingkirkan sekaligus dapat meyakinkan pengundi baru untuk mengundi bagi anda. Sudah tentu kita perlu menghormati penyokong tradisional UMNO, tetapi kebanyakan mereka juga semakin bijak dan bermaklumat, malah mereka di luar Kuala Lumpur mempunyai lebih masa untuk membaca dan mengkaji perkara baru: oleh itu UMNO - BN mesti cepat dalamm berkongsi pengetahuan dan maklumat dengan mereka. Politik telah berubah, BN mesti bergerak selari dengan masa jika tidak mereka perlu menghadapi akibatnya.

Apakah yang membimbangkan penduduk bandar di Selangor dan Wilayah Persekutuan? Satu, mereka ingin melihat anak-anak mereka mendapat peluang pendidikan yang terbaik. Mereka mahu melihat hala tuju yang jelas oleh Kementerian Pelajaran. Mereka akan merasa gembira setiap kali kita menghasilkan hujah-hujah yang kukuh dan tepat. Kedua, mereka ingin membeli hartanah yang mampu dimiliki serta melihat hartanah yang dibeli mempunyai nilai yang tinggi. Saya tidak suka melihat harga rumah yang melambung tinggi walaupun saya adalah seorang pemaju. Saya ingin melihat harga hartanah meningkat seiring dengan peningkatan keseluruhan, dari infrastruktur, ke ruang terbuka dan sekolah-sekolah yang berkualiti dalam kawasan kejiranan.

Ketiga, keselamatan adalah menjadi isu utama dan kejayaan dalam menurunkan indeks jenayah adalah satu input politik yang utama, tetapi banyak lagi perlu dilakukan untuk menurunkan kadar jenayah supaya rakyat berasa selamat. Saya cukup yakin tentang peluang BN di Selangor; infrastruktur politik sudah wujud di sana dan jika BN bersatu dan bertekad untuk memenangi semula negeri Selangor, apa yang anda perlukan adalah untuk memperkenalkan seorang pemimpin baru yang boleh diterima oleh pengundi.

Jika anda bertanya kepada Guan Eng dan Anwar mengenai peluang Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, saya pasti mereka tidak betul-betul yakin. Saya fikir mereka mengesan bahaya dalam populariti Najib yang semakin meningkat. Ramai orang yang hadir untuk mendengar dia bercakap ketika beliau melawat Pulau Pinang pada 24 Januari lepas. Ini adalah satu perkara yang baik dan mereka terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Akan tetapi kehadiran orang ramai tidak semestinya akan menjadikan undi besar. Pulau Pinang masih sukar bagi BN.

Saya sangat mengenali Mustapa Mohamed. Beliau adalah seorang lelaki budiman yang bekerja selama 18 jam sehari tanpa henti dengan penuh kejujuran dan boleh kembali bekerja semula seawal pagi esoknya. Ini adalah kualiti pemimpin yang diinginkan oleh rakyat. Kejujuran, keinginan untuk berkhidmat, kesediaan untuk berkorban. Kelantan mempunyai seorang pemimpin semula jadi seperti Tok Pa. Saya tidak pernah mendengar Pas berkata sesuatu perkara buruk mengenai beliau. Beliau merupakan satu ancaman tulen kepada Nik Aziz. Tapi dia tak harus menumpukan perhatian di Jeli sahaja. Mustapa mesti ingat beliau adalah pemimpin Kelantan. Pada masa lalu, perbalahan dalaman telah menggagalkan UMNO di sana.

Begitu juga di Terengganu, saya ingin melihat UMNO di Terengganu membuang sama sekali perbezaan mereka. Demi perjuangan parti, penyumbang utama kepada perpecahan perlulah memberi laluan kepada muka-muka baru seperti mana kepimpinan MCA menyerahkan kuasa kepada anak didik mereka pada tahun 2002-2003. UMNO telah berjaya di Terengganu manakala Pas tidak mempunyai wajah baru. Apakah Abdul Hadi Awang sebagai calon Menteri Besar sekali lagi? Saya tidak fikir bahawa beliau adalah calon pilihan yang terbaik. Berbanding dengan Hadi, Menteri Besar UMNO adalah antara calon yang lebih dinamik dan bertenaga. UMNO mesti kekal bersatu dan pengundi akan memilih mereka.

Kita lihat keadaan di Kedah, Negeri Sembilan dan Sabah. Kedah adalah negeri Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir. Adalah menyedihkan kita untuk melihat negeri ini di bawah pimpinan Pas, dan Pas gagal menunjukkan perubahan ketara. Ia adalah sukar bagi sebuah negeri miskin seperti Kedah merancang projek-projek besar tanpa bantuan kewangan daripada kerajaan pusat. Terdapat beberapa personaliti yang bercita-cita tinggi mahu mengambil alih tampuk pimpinan dari Menteri Besar sekarang kerana mereka fikir beliau tidak begitu baik. Pas Kedah berada dalam kegawatan. DAP dan PKR tidak berpuas hati dengan pimpinan beliau dan mereka berfikir dia terlalu bebas. Terdapat peluang yang utama di sini untuk menggabungkan darah baru dan jenis kepimpinan yang baru. Terpulang kepada UMNO untuk memperkenalkan muka baru yang dinamik untuk mencabar Pakatan Rakyat.

Di Negeri Sembilan, sekali lagi UMNO mesti kekal bersatu. Sabah seperti Negeri Sembilan, UMNO juga mesti kekal bersatu.

Bagaimana Tun melihat mengenai pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya dan pada pandangan Tun apa perancangan beliau seterusnya dalam politik tanah air?

DAIM: Ini telah membuktikan teori konspirasi dan badan kehakiman tidak bebas adalah tidak benar. Sekarang terpulang kepada rakyat untuk menilai rekod beliau. Beliau berjanji untuk mengambil alih kerajaan pada 16 Sept 2008. Kini telah terdedah bagaimana beliau merancang untuk melakukannya. Menurut satu laporan, beliau mahu menggunakan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk membeli Ahli Parlimen BN. Bercakap tentang memerangi rasuah tetapi cuba membentuk kerajaan dengan cara memberi rasuah kepada Ahli Parlimen. Semestinya perkara ini benar kerana jika tidak sudah pasti beliau akan bertindak menyaman? Tetapi setakat ini, beliau hanya berdiam diri dan ia adalah sangat tipikal bagi sesetengah ahli politik. Bercakap lantang dan menuduh orang lain tetapi pada hakikatnya mereka juga mengamalkan salah laku seperti tuduhan yang dilemparkan kepada orang lain. Akhirnya paku dulang paku serpih, kata orang dia lebih.

Adalah ganjil melihat DAP dan Pas turut mendiamkan diri juga. Adakah mereka juga bersubahat dengan PKR untuk melakukan rasuah demi untuk ke Putrajaya? Saya pasti semua rakyat Malaysia ingin mendengar dari mereka.

Rancangan Anwar dari dulu hingga sekarang tidak bertukar. Beliau tetap bercita-cita jadi PM.

Sepanjang menjadi anggota Kabinet dan ahli kanan UMNO, bagaimana Tun melihat Anwar Ibrahim ketika masih di dalam Kabinet, selepas pemecatan dan pada masa sekarang?

DAIM: Saya fikir soalan ini sesuai ditanya kepada Tan Sri Sanusi Junid. Sanusi dan Anwar bersama-sama di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), ABIM dan kemudian dalam Kabinet. Beliau lebih mengenali Anwar berbanding saya. Saya enggan bercakap tentang orang lain tetapi kerana anda bertanya saya akan menjawab.

Apabila kami berada di dalam Kabinet kita memang rapat. Kami adalah kawan. Selepas sahaja dia dipecat, dia melayan saya sebagai musuh. Tidak wujud dalam karakternya untuk mengakui kelemahannya sendiri dan saya berfikir bahawa dia perlu mencari kambing hitam untuk dipersalahkan dan Anwar telah memilih saya sebagai salah seorang daripada mereka. Ini kerana dia tahu bahawa saya tidak akan menjawab pengkritik saya secara terang-terangan dalam debat terbuka. Pada penilaian saya, Anwar adalah seorang yang sentiasa bercita-cita tinggi dan cita-citanya itu telah membutakan beliau mengenai kebenaran, kejujuran dan kesaksamaan. Anwar mahu menjadi Perdana Menteri dan tidak peduli bagaimana dia melakukannya. Sayang sekali dia tidak dapat mengatasi kelemahannya untuk menyerlahkan kebaikan beliau. Kami tidak pernah berjumpa sejak tahun 1999.

Dengan pembebasan Anwar, pasti beliau akan lebih agresif dalam kempen menjatuhkan kerajaan serta memburukkan kerajaan di luar negara. Dari satu sudut ia dilihat menyuburkan sistem demokrasi tetapi pada masa yang sama tidakkah beliau dilihat keterlaluan dalam menyemai kebencian sama ada terhadap rakyat mahupun negara luar?

DAIM: Anda bercakap mengenai kehadiran Anwar di setiap laluan kempen dan kekerapan beliau dalam temu bual dan ucapan di luar negara yang digambarkan sebagai “memburuk-burukkan” negara. Bagi Anwar dilihat di luar negara dan mendapat perhatian adalah sesuatu yang amat disukainya untuk menarik populariti sedangkan dia sedang berjuang untuk pilihan raya di Malaysia. Sebelum ini pun beliau telah menarik perhatian dari luar negara, jadi apa yang baru?

Jika saya masih ingat dengan betul, temu bual utama beliau di peringkat dunia adalah semasa selepas episod 2 September 1998 kepada majalah TIME. Temuramah telah dijalankan di Malaysia, sehingga beliau ditangkap. Ini kerana sebelum itu beliau sibuk menggesa rakyat Malaysia untuk marah pada kerajaan dan Dr. Mahathir ke atas apa yang telah menimpa beliau. Sejak Anwar dibebaskan pada tahun 2004, terdapat beberapa temu bual yang dijalankan di Malaysia. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa media antarabangsa, lebih suka wawancara dilakukan di pejabat atau di bandar-bandar di luar negara. Adakah ini menunjukkan penurunan yang ketara dalam populariti Anwar sebagai bahan berita? Dalam hal ini, adalah perkara biasa bahawa sesetengah berita akan berkurangan popularitinya dalam satu tempoh tertentu. Dari satu sudut, berita Anwar lawan Mahathir sudah tidak lagi wujud. Mahathir telah digantikan dengan Abdullah Badawi yang mana cerita mengenai Saiful timbul, dan diambil alih oleh Najib Razak.

Di satu sudut Najib-Anwar tidaklah membangkitkan satu situasi seperti mana banyaknya episod Mahathir-Anwar. Sebahagiannya kerana Najib tak ambil peduli pun untuk menyatakan sentimen yang kuat untuk menentang Anwar. Mungkin terdapat pelobi yang menjelajah ke luar negara untuk bercakap dari sudut berita Najib-Anwar untuk memastikan berita itu tidak surut.

Salah satu sebab kenapa Anwar mahu melakukan semua wawancara di luar negara adalah untuk menunjukkan kepada pengundi di Malaysia bahawa beliau adalah personaliti utama dunia oleh itu berita itu mesti diambil secara serius. Anwar telah mengambil risiko yang berhati-hati. Beliau pasti sedar bahawa beliau harus ‘menghasilkan’ kata-kata’ yang kuat dan hujah-hujah yang kontroversi, ‘berani dan meyakinkan’, supaya lebih ramai wartawan mahu menemubual beliau agar mereka dapat menjadi orang pertama yang memetik hujah-hujah kukuh daripada Anwar pada saat mereka berharap untuk mewujudkan semula model seorang pemimpin Islam yang ideal. Seorang pemimpin Islam ideal kepada mereka adalah:

* liberal

* menerima trend sejagat seperti hak gay

* tidak bermusuhan terhadap Israel dan Amerika Syarikat

* mengutuk ekstremisme.

Itulah mengapa kita lihat BBC memintanya mengulas mengenai undang-undang mengenai homoseksual dan Wall Street Journal mengenai Israel. Anwar kini cuba untuk menampilkan dirinya sebagai ‘pemimpin Islam yang diterima ramai’ dan beliau berjaya mendedahkan kenyataan yang mereka mahukan. Tetapi di peringkat tempatan, kita tahu bahawa pendirian Anwar ini telah didorong oleh pihak asing.

Rakyat Malaysia mesti menganalisis aspek lain yang dilakukan melalui kempen media oleh Anwar, seperti dakwaan beliau terhadap kerajaan dan negara dalam penipuan pilihan raya yang tersebar luas atau amalan rasuah yang keterlaluan. Lebih banyak usaha beliau melanjutkan kempen di luar negara, Anwar akan cuba mendedahkan apa yang dikatakan sebagai ‘dosa kerajaan’. Sedangkan dalam istilah politik Amerika beliau sedang melancarkan kempen negatif.

Apakah beliau perlu menyerang Malaysia di luar negara? Padahal Anwar hanya perlu menonjolkan kejayaan negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat kepada pengundi di Malaysia dan kemudian barulah mencadangkan agar Pakatan Rakyat diberi peluang untuk melakukan keajaiban apabila memegang Putrajaya. Anwar tidak melakukan ini kerana dia menghabiskan terlalu banyak masa di luar negara. Beliau misalnya adalah penasihat ekonomi kepada Kerajaan Selangor. Kekurangan ilmu dalam bidang-bidang ekonomi telah mencacatkan kerjaya politik beliau. Anwar tidak mempunyai keupayaan untuk memahami isu ekonomi yang kompleks. Beliau cenderung untuk menghafal dan kemudian mengulang seolah-olah dia membaca dari lirik lagu. Apabila dicabar atau ditanya soalan yang sukar, beliau akan hilang keseimbangan. Beliau bukan seorang pemikir ekonomi. Anwar adalah seorang pemidato dengan gaya Sukarno. Dia adalah acuan Sukarno. Cuba anda dengar semula semua wawancara beliau, dan dengan mudah anda akan dapat membuat senarai frasa yang beliau gunakan sepanjang masa.

Saya melihat lebih kerap Anwar ke luar negara ataupun dalam negara ‘hanya untuk menyerang’, akan lebih teruk kerenggangan antara pengundi di negara ini.

Bagaimanapun Anwar telah berhadapan dengan pelbagai masalah peringkat tempatan kerana wawancara di luar negara. Beliau telah menyalahkan media arus perdana kerana “memanipulasi” pada hal petikan temu bual beliau boleh diperolehi.

Anwar adalah ancaman kepada UMNO dan BN tetapi pada pendapat saya, ancaman yang lebih besar adalah Pas. Saya melihat Pas sebagai lawan yang lebih hebat. Tetapi ia perkongsian dalam tindak balas terhadap Anwar kerana pakatan terdesak untuk menjadikan Anwar sebagai pemimpin mereka. Saya boleh melihat dia cuba untuk menjadi PM sepanjang hidupnya. Tidak ada yang salah dengan tindakan itu. Beliau boleh terus mencuba. Bagaimanapun beliau harus menjadi kurang negatif dan menawarkan fakta dan bukti empirik dalam melakukan perubahan. Seperti yang saya katakan tadi, hari demi hari golongan menentang Anwar semakin ramai kerana beliau masih berada di landasan, retorik dan dakwaan yang sama sejak beberapa tahun yang lalu.

Saya fikir strategi terbesar dan paling berkesan bagi UMNO-BN adalah untuk terus menambah baik hal-hal ekonomi, menyediakan perumahan yang lebih baik, lebih banyak taman-taman, pengangkutan awam bertaraf dunia dan universiti-universiti bertaraf dunia.

Kita perlu mengalihkan isu mengenai Anwar dan kita harus menghantar beberapa orang pemimpin muda untuk menangani semua dakwaan yang beliau lemparkan. Pemimpin-pemimpin yang lebih berketerampilan dan berpersonaliti tinggi perlu bercakap mengenai isu-isu yang melibatkan rakyat Malaysia seperti pendidikan dan ekonomi. Pemimpin tidak harus terperangkap dengan taktik Anwar. Ia bukan satu keperluan serta bukan mandat untuk dibentangkan kepada kerajaan. Mandat sebenar adalah untuk melaksanakan kesejahteraan, kualiti hidup, melindungi persekitaran, memastikan hidup yang lebih selamat, membanteras rasuah dan pembaziran serta mempunyai kerajaan yang cekap dan amanah. Semua ini harus disampaikan dan diambil perhatian.

Harapan Anwar paling besar adalah untuk mengalihkan perhatian kerajaan. Jika kita bermain mengikut rentak beliau, Anwar akan bergembira dan melekakan kita lebih lama daripada apa yang kita sangkakan.

Pembebasan Anwar, dalam jangka panjang mampu meningkatkan lagi peluang UMNO-BN untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik pada PRU 13 kerana ia telah meminggirkan alasan utama beliau untuk menyalahkan kerajaan.

Setiap orang adalah berhak menyatakan pandangan masing-masing dan dalam kes Anwar, ia adalah survival politik beliau dan dia akan berbuat apa-apa untuk menjadikannya relevan. Apa yang saya tidak boleh diterima adalah semua itu dilakukan untuk agenda peribadi beliau. Anwar telah melemahkan institusi-institusi penting seperti mahkamah, polis, institusi kerajaan dan pelbagai lagi yang mana ia adalah penting dalam proses mewujudkan sebuah masyarakat sivil. Dengan serangan berterusan terhadap institusi-institusi ini, Anwar telah membuatkan masyarakat hilang keyakinan dan penghormatan terhadap institusi ini. Jika anda mengikuti pemikiran beliau, jadi ia adalah dibenarkan untuk melanggar peraturan lalu lintas kerana polis mengamalkan rasuah, ia adalah dibenarkan untuk hidup tanpa undang-undang kerana beliau berkata, polis dan badan kehakiman tidak telus dan sebagainya. Memang benar, terdapat ‘epal buruk’ di mana-mana institusi tetapi institusi itu sendiri perlu dipelihara, malangnya Anwar telah sentiasa mengganggu gugat kesejahteraan masyarakat kita. Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.

Apa perubahan paling penting perlu dilakukan UMNO dan BN bagi memastikan survival mereka terus diterima rakyat yang majoritinya dilahirkan selepas merdeka?

Daim: Paling penting adalah berubah dalam cara melakukan kerja. PM pernah berkata ubah atau rebah. UMNO mesti telus serta memerangi rasuah dan pembaziran habis-habisan. Mereka yang lahir selepas merdeka berbeza dengan pengundi sebelumnya. Mereka kini berpendidikan, selain sangat bermaklumat selain celik IT. Dalam tahun 60-an, ibu bapa yang mempengaruhi mereka tetapi hari ini mereka cuba mempengaruhi ibu bapa mereka melalui pengetahuan hal semasa serta berdebat dengan disokong fakta dan angka yang meyakinkan. Mereka memahami maksud inflasi selain turut dipengaruhi dengan keadaan tersebut. Mereka juga memahami perkara berkaitan ekonomi dan kewangan. Ini adalah generasi yang berbeza. Jika BN tidak menghargainya, mereka tidak akan mendapat undi.

Bagaimana Tun melihat generasi baru dalam UMNO, apakah masih bersemangat seperti golongan sebelum ini?

DAIM: Sebenarnya mereka tidak mahu lagi sebuah kerajaan yang korup mengamalkan perkauman. Mereka mahu melihat isu diselesaikan dengan cara Malaysia dan bukan melalui perkauman.

Ekonomi adalah sangat penting bagi mereka. Mereka mahu melihat negara menuju ke jalan yang betul dengan dipimpin oleh pemimpin yang mereka percayai. Mereka tidak percaya dengan janji-janji kosong, Mereka mahukan kerajaan menepati janji mereka. Jadi jangan hilangkan kepercayaan mereka jika anda mahukan undi mereka.

Sebagai bekas Menteri Kewangan bagaimana Tun melihat dakwaan Malaysia bakal bangkrap menjelang tahun 2020 kerana hutang negara bakal mencecah RM1.6 trilion berbanding RM450 bilion sekarang, seperti mana yang berlaku terhadap Greece dan Ireland?

DAIM: Hutang negara masih pada paras yang boleh diuruskan berbanding negara yang bermasalah seperti negara-negara di Eropah dan Jepun. Beberapa penganalisis bimbang kadar hutang meningkat dengan terlalu cepat daripada 53.1 peratus dari KDNK pada 2010 kepada 54.8 peratus pada 2012. Ini adalah kenaikan hanya 1.3 peratus, tidak banyak tetapi kadar kenaikan ini adalah tinggi berbanding tahun sebelumnya. Kadar kenaikan yang tinggi diperlukan sebagai tindakbalas terhadap krisis kewangan global. Krisis berkenaan yang bermula pada hujung 2008 telah mengancam ekonomi Malaysia mengakibatkan ia terus menurun. Kerajaan kemudiannya bertindak pantas dengan menyuntik fiskal stimulus yang besar di bawah beberapa program dan hasilnya ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang baik antara tujuh peratus pada 2010 dan lima hingga enam peratus pada 2011.

Kita patut melihat paras hutang negara secara perspektif. Nisbah hutang kerajaan kepada KDNK telah menurun daripada 75.5 peratus pada 1990 kepada 41.5 pada 2007. Kenaikan terkini adalah disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia dan subsidi besar yang diperlukan untuk menampung kenaikan harga barang makanan dan tenaga. Kerajaan berazam mengurangkan defisit fiskal kepada 4.7 peratus pada 2012 yang akan mengurangkan keperluan kenaikan dana (hutang). Akibatnya paras hutang tidak mungkin mencapai 100 peratus pada 2019. Satu perkara penting mengenai hutang negara adalah kebanyakannya ia diperoleh daripada pinjaman domestik. Jenis pinjaman ini lebih stabil dan tidak mendedahkan Malaysia kepada aliran keluar modal besar secara tiba-tiba

Justeru, situasi hutang negara tidaklah amat mencemaskan seperti yang dicanang oleh beberapa pihak. Secara peribadi saya akan menasihatkan kerajaan untuk mengawal dan menurunkan hutang berkenaan. Ini baik untuk kerajaan dan juga menjawab segala kritikan mengenai isu berkenaan.

Bagaimana Tun melihat keadaan ekonomi negara sekarang berikutan kedudukan negara-negara jiran yang lebih baik seperti Indonesia, Vietnam selain masalah ekonomi global. Apakah sebenarnya yang diperlukan untuk menjana ekonomi negara ke arah yang lebih baik?

DAIM: Negara yang berada pada ‘peringkat pemecutan’ biasanya boleh mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi. Malaysia pernah mencapainya semasa tempoh 1986 hingga 1997. Begitu juga Indonesia dan Vietnam yang sekarang ini pada peringkat pembangunan, mempunyai kos buruh yang rendah selain sumber dan tanah yang banyak. Ini membantu ekonomi mereka berkembang pesat.

Ekonomi Malaysia sekarang mempunyai kelebihan terutama dalam aktiviti berasaskan pengetahuan seperti ICT, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, sektor kewangan, logistik dan pengangkutan. Sektor pembuatan dengan industri elektronik yang besar telah membangunkan tahap kecekapan pada paras yang baik dan kehadiran eksport yang kuat, seperti sektor pertanian terutama dalam industri minyak sawit adalah kompetitif. Malaysia adalah negara berpendapatan sederhana dan rakyat mempunyai kualiti hidup yang boleh dikatakan tinggi.

Bagaimanapun, cabaran bagi ekonomi Malaysia hari ini adalah berbeza berbanding pada ketika negara masih berpendapatan rendah. Pelbagai strategi dan pelan telah disediakan untuk membawa Malaysia kepada peringkat pembangunan yang lebih tinggi.

Model Ekonomi Baru telah memberikan arah masa depan yang perlu diambil oleh Malaysia bagi menjadi negara membangun. Masa depan kita akan bergantung kepada bagaimana kita bersaing dalam aktiviti tambah nilai dan sektor perkhidmatan, bagaimana efisiennya kita dalam menggunakan sumber dan bagaimana tahap kepakaran dan persaingan pekerja di negara ini. Malaysia mempunyai asas untuk menjadikan ekonomi hebat - kita mempunyai tenaga kerja, sumber dan infrastruktur, institusi dan polisi yang fleksibel bagi menghasilkan pertumbuhan ekonomi tinggi yang mapan dan berfaedah. Kita juga sepatutnya mempengaruhi masyarakat pelbagai kaum dan etnik untuk memaksimumkan kelebihan lokasi di Asia, rantau paling cepat berkembang di dunia.

Berdasarkan laporan terkini Bank Pembangunan Asia, ekonomi Asia seperti China, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Thailand akan menanggung 45 peratus KDNK dunia menjelang 2050. Sementara itu, seluruh rantau Asia akan menanggung 51 peratus KDNK global pada 2050. Malah nilai KDNK akan meningkat kepada US$ 148 trilion bagi seluruh rantau Asia.

Laporan HSBC yang dilakukan tahun lepas bertajuk “Dunia pada 2050” mengenalpasti 26 negara yang pantas berkembang menjelang 2050 dengan China, India, Filipina, Mesir diikuti Malaysia termasuk di kalangan negara-negara teratas.

Secara umumnya kemajuan teknologi sekarang telah banyak mengubah landskap sosio politik tanah air yang mana masyarakat lebih bebas dan kritis tetapi mengakibatkan perpecahan terutama di kalangan orang Melayu. Namun paling penting pada pandangan Tun, di sebalik semua kebebasan ini bagaimana caranya untuk memastikan orang Melayu kekal bersatu supaya mereka tetap berupaya mengekalkan survival demi agama dan bangsa?

DAIM: Sebagaimana yang anda maklum teknologi telah membawa pelbagai perubahan. Masyarakat berubah mengikut masa dan sekarang individu bebas melahirkan pandangan dan masyarakat secara terbuka boleh tidak bersetuju. Perpaduan Melayu perlu ditafsirkan dalam konteks Malaysia supaya ia tidak menghasilkan persepsi negatif, di mana ia juga perlu menggabungkan kaum lain.

Tetapi Melayu sentiasa berpecah-belah. Hanya satu waktu dalam sejarah Melayu bersatu iaitu semasa menentang Malayan Union dan ketika UMNO dilahirkan. Apabila kedudukan mereka dan pemerintah terancam dan melibatkan soal survival, Melayu akan bersatu. Setelah mereka mencapai matlamat, kita melihat kelahiran pelbagai parti politik Melayu yang melemahkan mereka. Pas dilahirkan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Parti Rakyat, sosialis kemudian Aziz Ishak, Semangat 46 dan kini Keadilan. Kemudiannya parti-parti berkenaan akan memperjuangkan cita-cita pemimpin mereka.

Tetapi perpecahan Melayu adalah kompleks dan pelbagai dan pada masa ini membingungkan. Bagi Melayu untuk bersatu, ia mesti tidak melibatkan polisi yang boleh ditafsirkan sebagai eksklusif. Melayu mesti bersatu untuk menentang rasuah, pembaziran, pengurusan tidak betul dan bersetuju untuk menghukum mereka yang melanggar undang-undang. Melayu perlu mempunyai pengetahuan dan memberikan keutamaan tinggi kepada pendidikan dan berpegang kepada ajaran Islam dengan menonjolkan kejujuran, disiplin, kerja keras, kejayaan dan sentiasa mengikut jalan yang benar.

Nilai Islam universal akan menyatukan Melayu. Populasi Melayu yang bersatu akan membawa kepada Malaysia yang bersatu dan mewujudkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan kepada semua.

Tetapi lihatlah diri kita sendiri. Semasa era Syed Sheikh Al Hadi, yang menjadi perdebatan adalah antara Darah Keturunan Arab dan Darah Keturunan Keling. Saya tidak melihat bagaimana ini berkaitan dengan kesatuan Melayu?

Apakah cabaran yang dihadapi pasca Munsyi Abdullah, pasca Syed Sheikh Al Hadi dan pasca Tunku Abdul Rahman dalam usaha menyatukan Melayu? Menjadikan Melayu bersatu adalah satu hal tetapi menumpukan hanya kepada Melayu bersatu saja tidak membantu mereka untuk bersaing dan hidup senang. Saya berfikir Melayu juga perlu menumpukan perhatian kepada yang berikut:

* Melayu mesti jangan sia-siakan peluang dan tidak melepaskan generasi muda kepada penagihan dadah.

* Melayu perlu hidup di rumah yang selesa dan menjadi alat kepada sumber manusia dan mobiliti.

* Melayu mesti boleh menulis dan bertutur dalam pelbagai bahasa dan berpengetahuan bagi menjadi pemimpin yang hebat.

* Melayu mesti belajar mensyukuri kejayaan dan tidak berhasad dengki untuk menurunkan mereka yang berjaya. Melayu berjaya di satu pihak perlu bersikap rendah diri dan tidak memberikan tanggapan mereka akan membolot segalanya.

* Memerangi elitisme dengan berani dan bermaruah. Tiada ada orang pada era Melayu-DEB yang mempunyai hak untuk menjadi elit dan hebat berbanding yang lain. Ingatlah kepada penggubal DEB di mana mereka adalah pelajar pergerakan Fabian yang sentiasa melihat cara menyama kan kedudukan dalam peluang hidup.

* Kerjasama tulen dengan bukan Melayu dalam perniagaan dan rundingan.

* Kerja keras dan bijak pada masa sama dan jika anda fikir anda telah bekerja keras, letakkan lebih usaha dan tidak gentar dengan kegagalan. Belajar daripada kegagalan. Kerja keras dan bijak perlu menjadi satu kualiti bagi mentafsirkan orang Melayu. Jika kita mempunyai semua kualiti dan ciri-ciri berkenaan, saya rasa Melayu akan bersatu bagi kebaikan negara ini.

* Perkukuhkan Bahasa Melayu. Ingat banyak novel hebat yang diterjemah ke dalam pelbagai bahasa seperti tulisan penulis Colombia, Gabriel Garcia Martinez dan Mesir, Naquib Mahfouz.

* Bercita-cita menjadi pemimpin. Bercita-cita menjadi penderma. Bercita-cita untuk belajar. Bercita-cita menjadi Melayu yang baik.

Inilah yang sepatutnya mentafsirkan karakter Melayu. Melayu perlu mempunyai sifat berkenaan. Kita tidak perlu menjerit mengenai penyatuan tetapi berterusan membina jalan untuk perpecahan. Jadi Melayu yang berjaya dan penyatuan akan datang dengan sendiri. Jika tidak Melayu akan dieksploitasi dan orang lain akan mengambil kesempatan ke atas kita.

Bagaimana Tun melihat ‘kerjasama plastik’ antara Pas dan DAP pada masa sekarang dan apa akan berlaki jika ditakdirkan mereka memenangi pilihan raya?

DAIM: Pertama sekali kita perlu lihat realiti sebenar:

* Terdapat pihak yang mencukupi dalam tiga parti yang mampu menentukan kumpulan berkenaan berterusan bekerja. Motivasi paling besar adalah Putrajaya. Mereka berfikir untuk ke Putrajaya dulu dan kemudian mengasingkan perbezaannya.

* Penyatuannya adalah Putrajaya bukan Anwar. Buat masa ini pemacu segmen Putrajaya ini-Mahfuz Omar, Nik Aziz, Khalid Samad mungkin Salahuddin tentu saja Mat Sabu, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad. Mereka tidak semestinya penyokong Anwar. Saya tidak rasa Mat Sabu suka kepada Anwar, beliau pernah bertanding menentang Anwar di Permatang Pauh pada 1986. Penyatu ini masih kukuh.

* Masalah muncul kerana PKR sekarang ini adalah parti yang lemah berbanding yang lain. Oleh itu terdapat elemen yang cukup dalam DAP dan Pas yang akan menuntut bahawa mereka dan bukan PKR yang akan memimpin Pakatan.

* Anwar mempunyai masalah lain. Dengan pengecualian Azmin dan mungkin Saifuddin Nasution, pihak lain termasuk keluarganya mungkin berfikir untuk memberikan kepada orang lain memimpin parti. Mereka mungkin melihat Khalid Ibrahim dan sudah tentu bukan Azmin.

* Hadi Awang dalam Pas mesti kecewa kerana beliau tidak berpeluang menguruskan parti dengan cara yang diingini. Siapa yang mengambil keputusan memecat Hasan Ali? Adakah Nik Aziz atau Hadi?

* Saya rasa jika Azizan tidak lagi bertanding, ia akan melengkapkan perpecahan di Kedah dan mendedahkan bahawa Hadi sebenarnya tidak dapat mengawal parti.

* Nik Aziz tidak mempunyai pelan pelapis bagi Kelantan. Kejutan besar pada pilihan raya akan datang apa akan berlaku di Kelantan jika Mustapa menang di sana. Bolehkah BN melakukannya?

* Lebih lama pilihan raya ditangguhkan, lebih banyak perbalahan dalam pakatan akan timbul. Ini tidak akan memindahkan undi kepada BN-UMNO tetapi jentera mereka akan runtuh. Pemilihan Saifuddin Nasution dan Mustafa Ali merupakan strategi. Apabila mereka kekurangan pengaruh yang diperlukan, PKR dan Pas akan menjadi kurang efektif. Pas akan menjadi terdedah kepada perpecahan Kelantan-Terengganu.

* DAP percaya ini boleh menjadi serangan mendadak. Selepas Sarawak mereka yakin untuk menang tetapi saya fikir Najib kini akan melawan balik.

* Usaha Perkasa yang mendekati kaum Cina baru-baru ini patut dipuji. Perkasa perlu melindungi kaum Cina, India dan Kadazan dengan mendukung Perlembagaan dan menentang diskriminasi. Tetapi sudah muktamad dan mereeka dilihat sebagai rasis oleh bukan Melayu.

UMNO perlu melakukan pembersihan dalam rumahnya sendiri. Terdapat mereka yang mempunyai sebab tidak sukakan UMNO seperti dilihat sombong dan ketidakupayaan beberapa segmen dalam UMNO untuk berhubung dengan orang bukan Melayu, tetapi hakikatnya terdapat bilangan penyokong UMNO yang besar yang dilihat berkelayakan dan profesional.

Mungkin akhbar Utusan boleh menulis satu atau dua buah buku mengenai UMNO. Jangan hanya menyelusuri sejarah parti tetapi lihat segmen baru dalam komuniti Melayu, isu yang berlaku, lihat dari sudut perniagaan, tanggungjawab korporat, misi kemanusiaan, sifat dermawan, kemiskinan, perumahan selain mestilah melihat kepada masa depan.

DAP dan Pas mungkin mempunyai perselisihan faham tetapi itu tidak mungkin memindahkan undi kepada UMNO. UMNO perlu mendapatkannya.

Bagaimana Tun melihat masa depan UMNO dan BN dalam senario politik negara pada masa kini. Apakah kerjasama antara UMNO dan parti komponen lain terutama MCA dan Gerakan mampu kembali “rapat dan mesra” seperti dahulu?

DAIM: Saya tidak pasti jika usaha pengambilan ahli baru untuk membawa lebih ramai Melayu, Kadazan dan India ke dalam parti akan membantu. Ia akan memberikan parti bilangan yang lebih baik tetapi jika terdapat mereka yang tidak disukai oleh pengundi ia tidak akan membantu. Pilihan raya lepas jika ahli UMNO/BN mengundi dalam kawasan pilihan raya, BN boleh menang dengan mudah.

Saya fikir kita tidak perlu meranapkan Gerakan. Tunggu sehingga pilihan raya. PPP masih ada. Gerakan dengan asas pelbagai kaum, harus menjelaskan Malaysia baru dan menyebarkan mesej berkenaan.

Tanya semua soalan yang relevan - bila kita sebagai satu bangsa mula menuduh antara satu sama lain sebagai - perkauman? Perkauman telah menjadi hasil produk politik Pakatan. Pakatan telah memperkenalkan perkauman sebagai kuasa pergeseran dan perpecahan bukannya sebagai satu kuasa untuk menyemai perpaduan.

Saya suka melihat pemimpin Gerakan membuat lebih banyak kejutan, dengan lebih banyak temu bual dan memperkatakan sesuatu yang baru. Namun ia tidak berlaku, fikirkan mengenainya. Mengapa mereka tidak melakukannya. Adakah ia berkaitan dengan masalah kepimpinan?

Berdasarkan laporan, komponen BN dilihat bekerjasama rapat sebagai satu kumpulan. Mereka mesti menyokong kepimpinan Najib. Namun semua wajib bekerja keras untuk mendapatkan undi. Terus bersatu dan setia dan BN akan menjadi lebih baik.

Bagi MCA pula, saya fikir Chua Soi Lek berkata benar dan berniat baik. Dia memang bersalah tetapi tiada siapa yang sempurna? Sekurang-kurangnya dia berani. Dia bercakap mengikut apa yang ada di fikirannya. MCA mempunyai beberapa kelebihan untuk ditunjukkan tetapi kelebihan ini tidak kelihatan kerana beberapa ahli MCA tidak mengundi BN pada pilihan raya lepas dan dalam beberapa pilihan raya kecil dan jika ahli tidak berdisiplin, parti menuju ke jalan kehancuran. Saya pasti ini akan berubah.

Majoriti rakyat mahukan BN terus memerintah. Tetapi mereka mahukan perubahan. Mereka mahukan kestabilan tetapi mereka juga mahukan sekatan dan imbangan. Perdana Menteri tahu perkara ini dan dia komited untuk berubah. Tetapi ini adalah perubahan yang perlahan-lahan. Dia tidak mahu negara menjadi tidak stabil kerana beliau tahu akibatnya. Tetapi rakyat tidak sabar. Mereka mahu hasil serta-merta. Ini adalah era komunikasi segera. Pengundi baru tidak boleh menunggu. BN perlu bertindak. Ubah cara mereka melakukan sesuatu. Dengar keluhan rakyat.

Seperti apa yang saya kata, mari kita bercakap mengenai perkara ini lebih banyak, rasuah, pembaziran, keselamatan, pendidikan kemiskinan bandar dan luar bandar, kemudian kita akan pergi mengundi pada pilihan raya yang akan membentuk masa depan negara.

- MINGGUAN MALAYSIA

Diet pesakit kanser

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Diet untuk pesakit atau bekas pesakit kanser amat penting kerana risiko penambahan berat badan adalah tinggi semasa proses penyembuhan.

Ubat yang digunakan semasa rawatan boleh menyebabkan berat badan meningkat dengan drastik dan boleh mengembalikan kanser.

Statistik kanser meningkat secara mendadak di seluruh dunia tanpa diketahui puncanya.

Mungkin gaya hidup termasuk faktor pemakanan serta persekitaran mendorong kepada peningkatan berkenaan.

Kini masyarakat lebih terdedah kepada makanan diproses, tekanan hidup, kurang senaman dan persekitaran yang tidak sihat.

Justeru seluruh masyarakat sama ada pesakit, bekas pesakit atau mereka yang tidak menghidap kanser perlu mengamalkan gaya hidup sihat.

Salah satunya adalah diet sihat bagi mengawal berat badan berlebihan terutama bagi pesakit dan bekas pesakit kanser.

Pakar Pemakanan dan Diet, Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing berkata, berat badan bekas pesakit kanser biasanya bertambah kerana tabiat pemakanan, tidak bersenam selain penggunaan ubat.

"Justeru pesakit serta bekas pesakit kanser disaran mengurangkan pengambilan daging merah dan daging yang diproses serta makanan tinggi tenaga dan lemak.

"Mereka digalakkan mengambil makanan berasaskan tumbuhan dengan tiga hingga empat hidangan sehari," katanya semasa Forum Awam mengenai pemeriksaan kesihatan berkala dan pengesanan awal kanser sempena Hari Kanser Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Lemak dan gula boleh dikatakan sebagai makanan kepada kanser.

"Diet yang tinggi lemak dan gula seperti makanan manis dan bersantan boleh meningkatkan kalori dan menyumbang kepada peningkatan berat badan," katanya.

Selain risiko kanser kembali berulang, gula dan lemak turut menyumbang kepada penyakit kronik lain termasuk darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Yen Sing berkata, nutrisi yang baik amat penting bagi menjadikan pesakit lebih bertenaga dan tidak keletihan.

"Sebenarnya ramai pesakit kanser mati kerana kekurangan zat makanan,'" katanya.

Namun pesakit perlu memastikan pengambilan lemak tidak berlebihan dengan memantau apa yang dimakan.

"Misalnya, jika pesakit mengambil makanan berat pada waktu tengah hari, maka sebelah petang atau makan malam, kurangkan jumlah yang dimakan.

"Mereka hanya perlu mengambil satu cawan nasi atau bubur nasi atau dua keping roti bijirin dengan lauk-pauk yang tidak digoreng berserta sayur-sayuran," katanya.

Kekurangan berat badan memang biasa dalam kalangan pesakit kanser dengan 50 hingga 90 peratus mengalami masalah berkenaan.

Keletihan juga adalah perkara biasa kesan rawatan dan ubat yang digunakan.

Bagi mengatasi masalah keletihan, Yen Sing berkata, pesakit memerlukan makanan dalam kuantiti sedikit secara berterusan. Mereka disaran mengambil makanan yang mudah disediakan seperti sandwich dan biskut rendah lemak.

Pesakit biasanya mengalami rasa pahit di tekak dan bagi mengatasinya cubalah ambil makanan yang masam atau herba.

Mereka juga digalakkan mengambil karbohidrat kompleks seperti roti gandum, beras perang dan oat.

Seelok-eloknya ambil makanan yang dikukus, rebus, bakar atau panggang.

"Penyediaan dan penyimpanan makanan juga penting bagi pesakit kanser kerana makanan perlu disediakan dengan bersih dan disimpan secara betul.

"Misalnya baki makanan perlu disimpan di dalam tempat sejuk beku bagi mengurangkan pembiakan bakteria," katanya.

Sediakan makanan dengan peralatan yang bersih, asingkan papan pemotong untuk memotong sayur-sayuran dan buah-buahan dengan ikan, daging dan ayam.

Basuh tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan bagi memastikan segalanya dalam keadaan bersih.

- MINGGUAN MALAYSIA

Dialog Pendidikan Nasional mulai April

PAGOH: Kementerian Pelajaran akan memulakan siri Dialog Pendidikan Nasional mulai bulan depan, bagi mendapatkan pandangan pelbagai peringkat masyarakat untuk menambah baik sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dialog itu sebahagian daripada kajian menyeluruh yang dimulakan sejak tahun lalu, bagi menilai semula sistem pendidikan negara untuk mencapai matlamat melahirkan rakyat terdidik dengan ilmu berkualiti.

“Sudah banyak kemajuan kita capai tetapi dalam dunia penuh saingan dan kompetitif ini, kita mahu melihat semula apa yang kita lakukan terhadap sistem pendidikan, kelemahan dan kekurangan yang dihadapi, apa yang perlu untuk menambah baik mutunya.

“Kita akan anjur Dialog Pendidikan Nasional bulan depan, bagi mendapatkan apa jua pandangan, cadangan dan idea pemikiran daripada semua lapisan masyarakat pelbagai kaum dan keturunan yang mewakili mereka yang berkepentingan. Kita akan pergi ke semua negeri dan mempelawa pihak yang berminat untuk mengemukakan cadangan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak dalam Parlimen Pagoh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata sesiapa saja termasuk persatuan, pertubuhan dan organisasi boleh mengemukakan cadangan atau memorandum kepada panel dialog itu selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang didukung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, dialog yang akan mengambil masa beberapa bulan hingga akhir tahun ini bagi memberi peluang kepada semua pihak mengemukakan cadangan masing-masing dalam pelbagai bidang untuk penilaian.

“Kita mahu rakyat sama ada Cina, Melayu, India atau di Sabah dan Sarawak supaya tampil ke depan mengemukakan pandangan sistem yang boleh dibaiki, apa perkara perlu ditokok tambah, diubah atau perkara berkaitan dasar, program baik dalam pembelajaran dan pengajaran, kokurikulum dan soal guru di peringkat nasional, negeri atau daerah, ” katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Kolej Komuniti Segamat 2 Batu Anam, Muhyiddin berkata Kolej Komuniti wajar menjadi tonggak dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi kelompok masyarakat terbesar kerana ia berpotensi membantu melonjakkan ekonomi negara.

Katanya, dasar komprehensif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang diperkenalkan kerajaan mengandungi strategi efektif, menyeluruh dan bersesuaian dengan peranan Kolej Komuniti yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata, satu daripada Pelan Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 yang dilancarkan tahun lalu, dirangka dengan objektif menjadikan PSH sebagai satu gaya hidup masyarakat bagi melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran mendalam.

“Dalam konteks ini, Kolej Komuniti dipertanggungjawabkan sebagai hab PSH dan melaksanakan program berorientasikan kemahiran dan berfokus kepada program seperti latihan perantis untuk golongan masyarakat yang kurang mempunyai latar akademik yang tinggi,” katanya.

Selepas majlis perasmian itu, Muhyiddin turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) semalam.

Ketika berucap merasmikan Karnival Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bersama Rakyat sempena Ulang Tahun Ke-10 penubuhannya, di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, Muhyiddin berkata, kerajaan akan membuat pembaharuan terhadap Akta Syarikat supaya bercirikan perundangan korporat yang dinamik dengan mengambil kira keperluan semasa dan situasi akan datang.

Katanya, langkah itu bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif serta kompetitif di negara ini.

- BERITA HARIAN

Foto - Fikir dulu sebelum rakam

Oleh ABD. HALIM HADI
pcdanpen@gmail.com

MERAKAM gambar bukan sesuatu yang sukar untuk koleksi peribadi namun anda boleh mendapatkan gambar yang lebih menarik sekiranya memahami cara dan mematuhi tertib fotografi. Di sini beberapa panduan mudah yang boleh membantu memperbaiki kualiti dan persembahan gambar anda.

Memahami fungsi kamera

Tanpa memahami kegunaan asas pada kamera, anda akan terus mengagumi gambar yang dirakam oleh rakan-rakan sedangkan kamera yang dimiliki sendiri cukup baik dan mampu mendapatkan hasil yang sama.

Luangkan sedikit masa untuk meneliti beberapa ikon dan butang bergambar pada kamera dan cuba fahami apakah fungsinya.

Semua fungsi ini tidak dicipta tanpa sebarang kelebihan jika menggunakannya, misalnya ikon muka manusia membantu rakaman gambar potret yang lebih baik, ikon orang berlari untuk merakam subjek bergerak, ikon gunung untuk pemandangan dan ikon bunga untuk rakaman jarak dekat.

Secara teorinya, semua fungsi automatik ini merakam gambar lebih baik jika digunakan bersesuaian dengan keadaannya.

Gubah dengan cermat

Dalam dunia digital kini ramai berpendapat gambar yang tidak menarik mudah disunting semula di dalam komputer padahal sekiranya rakaman digubah dan dirakam dengan baik ia lebih menjimatkan masa.

Mengubah kedudukan dan sudut sebelum menekan butang kamera merupakan satu daripada kaedah untuk mendapat keseimbangan (komposisi) kandungan dalam gambar.

Asasnya perhatikan supaya paras horizon gambar tidak senget dengan bingkai dan jika merakam gambar manusia di dalam kumpulan, pastikan tiada anggota badan yang terpangkas.

Untuk lebih menarik, cuba manfaatkan perspektif dengan unsur-unsur bentuk, garisan atau susunan yang mampu menarik perhatian.

Menghampiri subjek

Selepas memahami asas penggunaan, sekarang anda boleh keluar untuk merakam gambar. Langkah pertama dan asasnya, gambar yang dirakam pada jarak dekat akan kelihatan lebih jelas.

Subjek yang menjadi fokus utama akan kelihatan lebih menarik jika tampil pada sebahagian besar daripada bingkai gambar. Oleh itu, lebih baik sekiranya anda melangkah lebih dekat dengan subjek berbanding sekadar merakam sesuatu dari dalam kenderaan.

Subjek yang menonjol bukan sahaja dapat menimbulkan impak yang ketara malah mampu menyampaikan kisah di sebalik sesuatu gambar dengan lebih baik.

Perhatikan cahaya

Ini tidak bermaksud anda perlu menghalakan kamera ke arah matahari tetapi gambar dapat dihasilkan dengan lebih menarik sekiranya anda tahu ‘bekerjasama’ dengan arah sinaran matahari.

Simbahan cahaya sering kali memberi kesan warna yang berlainan, membentuk bayang dan menjadikan imej lebih kreatif berbanding gambar yang dirakam di tengah padang.

Antara undang-undang asas yang harus dipatuhi adalah tidak merakam gambar secara setentang dengan sinaran matahari kerana imej yang dirakam akan menjadi hitam.

Dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan, penggunaan flash boleh membantu.

- UTUSAN

Uban di usia muda

UBAN bukan lagi dikaitkan dengan proses penuaan walaupun sebelum ini hanya mereka yang berusia saja mempunyainya.

Melayari Internet semasa mencari maklumat mengenai uban, penulis terserempak ramai remaja yang mengadu rambut beruban malah ada yang ditumbuhi uban seawal usia 13 tahun. Justeru mereka sibuk mencari penawar bagi menangani masalah itu.

Walaupun mewarnakan rambut adalah salah satu alternatif bagi mereka yang beruban tapi puncanya perlu diketahui dan ditangani.

Kajian yang dijalankan mendapati kepadatan warna rambut ditentukan oleh jumlah melanin yang dihasilkan oleh badan.

Biasanya, pada zaman kanak-kanak dan remaja, melanin boleh dihasilkan dengan jumlah yang banyak.

Namun apabila umur semakin meningkat, kebolehan semula jadi untuk menghasilkan melanin mula berkurangan dan akhirnya kepala akan dipenuhi uban.

Punca rambut beruban yang paling utama adalah faktor genetik, iaitu ia diwarisi daripada ibu atau bapa.

Selain itu, rambut beruban juga boleh disebabkan oleh kurangnya zat besi dan zink atau penggunaan ubat-ubatan.

Menurut Pakar Runding Dermatologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Guru Ratnavelu, uban yang muncul pada usia muda biasanya disebabkan oleh faktor nutrisi tidak seimbang.

"Nutrisi tidak seimbang seperti pengambilan makanan segera secara kerap boleh menyebabkan pengeluaran pigmen pewarna rambut yang dinamakan melamin terbantut.

"Pigmen berkenaan dihasilkan oleh sel tubuh yang dikenali sebagai melanosit dan rambut menjadi putih kerana melanosit tidak lagi menghasilkan melanin," katanya.

Biasanya pengeluaran pigmen yang terhenti hanya bersifat sementara bagi mereka yang kekurangan nutrisi.

Jika mendapat nutrisi yang seimbang, secara automatik, pengeluaran pigmen akan kembali normal dan rambut putih akan hilang dengan sendirinya dan kembali menjadi hitam.

"Ini jika uban berlaku kerana kekurangan nutrisi," katanya.

Dr. Guru berkata, nutrisi yang tidak seimbang bukan hanya menyebabkan uban tetapi juga mengganggu kesihatan rambut secara umum.

Itu sebabnya kanak-kanak yang mengalami gangguan gizi yang teruk, rambutnya kelihatan kemerahan dan tidak sihat.

Dr. Guru berkata, ini biasanya dapat dilihat di negara-negara dunia ketiga yang mengalami masalah kebuluran.

"Pengambilan gizi yang cukup saja tidak menjadi jika terdapat gangguan fisiologi yang menyebabkan nutrisi tidak dapat diserap dengan baik sehingga makanan bergizi terbuang begitu saja," katanya.

Bagaimanapun keadaan agak berbeza jika uban disebabkan oleh keturunan.

Selain makanan seimbang, faktor keturunan juga adalah penyebab yang paling biasa munculnya uban pada usia muda.

Informasi mengenai rambut putih yang tumbuh lebih awal tersimpan di dalam gen.

Ini bererti bila ibu bapa dan saudara terdekat mula beruban pada usia muda, kemungkinan untuk cepat beruban akan lebih besar.

Adakah penggunaan sesetengah syampu membawa kepada uban? Dr. Guru berkata, syampu tidak ada kena mengena dengan uban.

"Pengambilan ubat-ubatan misalnya ubat anti malaria seperti Chloroquine boleh membawa kepada kemunculan uban," katanya.

Malah beliau berkata, terdapat juga pesakit yang tiba-tiba saja mempunyai rambut beruban disebabkan gangguan fisiologi.

Dr. Guru berkata, punca mengenai fenomena berkenaan masih belum dapat dijelaskan sehingga kini.

Gaya hidup yang sihat juga turut menyumbang dalam melambatkan tumbuhnya uban.

"Bagi melambatkan proses rambut beruban seeloknya amalkan gaya hidup sihat dengan makanan seimbang dan lakukan senaman.

Menyentuh mengenai mereka yang mewarnakan rambut bagi menutup uban, Dr. Guru berkata, mewarna rambut tidak mendatangkan kesan negatif.

"Malah ini akan memberikan keuntungan kepada ekonomi negara," katanya.

Mengenai kaedah tradisional menggunakan minyak kelapa atau minyak zaitun pada kulit kepala, Dr. Guru berkata, ini satu cara untuk mengurangkan rambut kering.

"Ini baik bagi negara tropika yang panas , penggunaan minyak pada rambut akan melembapkan kulit kepala dan membuatkan rambut lebih sihat," katanya.

Bagaimanapun tidak terdapat bukti dimana kaedah tradisional dapat menghentikan pengeluaran uban.

Dr. Guru berkata, sebenarnya tiada ubat bagi uban kecuali mereka harus mengamalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan seimbang dan lakukan senaman dari awal.

- MINGGUAN MALAYSIA

Boleh minum kopi luwak

PUTRAJAYA: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-98 yang bersidang pada 13 hingga 15 Februari lalu, memutuskan hukum minum `kopi tahi musang’ atau kopi luwak adalah harus.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berkata biji kopi berkenaan mesti masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam, serta perlu disucikan terlebih dulu daripada najis.
Pada masa sama, kopi luwak yang dihasilkan juga perlu mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.

“Selepas meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah menegaskan bahawa Allah memerintahkan umat-Nya supaya memilih rezeki yang halal dan memakan makan yang baik.

“Muzakarah juga berpandangan bahawa kaedah fiqhiyyah (fiqah) menetapkan, hukum asal mengenai sesuatu adalah harus selagi tidak ada dalil muktabar (dalil kuat) yang mengharamkannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, ulama fiqh muktabar menjelaskan bahawa mana-mana bijian yang dimuntahkan oleh haiwan atau yang keluar bersama najis haiwan itu, selagi mana ia tidak rosak dan masih kekal dalam rupa bentuknya yang asal atau jika ditanam ia mampu tumbuh, maka ia dihukumkan sebagai mutanajjis dan bukan najis.

Kenyataan itu, selaras dengan penegasan dan pandangan itu, muzakarah bersetuju memutuskan biji kopi luwak adalah bersifat mutanajjis dan harus dijadikan bahan minuman.

Bagaimanapun, ia mesti memenuhi dua syarat yang dinyatakan.

Sebelum ini, media melaporkan orang ramai dinasihatkan menghentikan sementara aktiviti meminum kopi luwak sehingga Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan sama ada produk berasal dari Indonesia itu halal diminum atau sebaliknya.

- BERITA MINGGU

Khamis, Mac 01, 2012

Surat Dr Mahathir kepada 3 Perdana Menteri Israel

KUALA LUMPUR 29 Feb. – Berikut ialah surat yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel iaitu Yitzhak Rabin pada tahun 1993; Benjamin Netanyahu pada tahun 1997; dan Ehud Barak pada tahun 1999 seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia. – BERNAMA


Surat Dr Mahathir Kepada Yitzhak Rabin

KUALA LUMPUR: Berikut ialah surat yang ditulis bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin pada 1993, seperti yang dikeluarkan Kementerian Luar kepada Bernama di sini, pada Rabu.

PERDANA MENTERI MALAYSIA

21 Disember 1993

Tuan Yang Terutama

Tuan Yitzhak Rabin

Perdana Menteri Israel

JERUSALEM

Saya ingin mengucapkan terima kasih atas surat tuan bertarikh 17 Oktober memaklumkan saya mengenai Perjanjian Prinsip dan Pengiktirafan Bersama antara Israel dan PLO.

Kerajaan saya menyokong perkembangan positif ini dan menganggapnya sebagai satu langkah awal ke arah merealisasikan satu penyelesaian yang komprehensif kepada masalah Timur Tengah.

Sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap perkembangan ini, negara saya telah diwakili pada Persidangan Penderma bagi menyokong proses damai Timur Tengah yang diadakan di Washington dan seterusnya berjanji untuk memberi sumbangan kewangan yang sederhana kepada rakyat Palestin bagi membantu dalam tugas-tugas baru mereka.

Kerajaan saya juga menawarkan bantuan teknikal kepada rakyat Palestin di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.

Demi prinsip umum, Malaysia bersedia untuk membina hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai. Sementara itu, saya ingin melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan perjanjian damai.

Masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan saya berharap perjanjian baru-baru ini antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang berpanjangan di kawasan itu.

Saya berharap kepada hubungan yang biasa dengan Israel (ayat yang terakhir ini bertulis tangan)

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD



Surat Dr Mahathir Kepada Benjamin Netanyahu

KUALA LUMPUR: Berikut adalah surat yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel pada 1997, seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar kepada Bernama di sini, Rabu.

PERDANA MENTERI MALAYSIA

14 Mac 1997

Tuan Yang Terutama

Tuan Benjamin Netanyahu

Perdana Menteri Israel

Jerusalem

Surat tuan bertarikh 23 Januari hanya sampai kepada saya semalam.

Saya amat menghargai susah payah tuan untuk memaklumkan kepada saya situasi di Palestin dan rantau berkenaan.

Malangnya sebahagian besar daripada perkara yang tuan nyatakan itu telahpun berubah dengan begitu pantas.

Malaysia percaya kepada keamanan dan penyelesaian masalah antara negara berjiran menerusi rundingan.

Sebagai jalan keluar terakhir, kami beralih kepada pihak ketiga. Dalam pertikaian berhubung wilayah antara Malaysia dan Singapura dan Malaysia dan Indonesia kami bersetuju menyerahkan kepada Mahkamah Dunia untuk memutuskannya.

Pertikaian antara Malaysia dan Thailand berhubung wilayah perairan diselesaikan dengan persetujuan untuk berkongsi sumber bukan marin dengan saksama.

Di dalam negara, ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan antara penduduk pribumi dan kalangan yang asalnya pendatang diselesaikan menerusi tindakan afirmatif di mana golongan miskin akan memperoleh perkongsian yang lebih besar daripada kek ekonomi yang semakin berkembang tetapi tidak ada tindakan merampas dan mengagihkan semula apa yang telahpun menjadi kepunyaan keturunan kalangan pendatang.

Setiap orang menikmati pembahagian yang agak adil sekarang dan setiap orang agak berpuas hati. Hubungan antara kaum yang berbeza di Malaysia adalah baik dan tidak porak-peranda.

Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah untuk tidak mengambil apa yang telahpun menjadi kepunyaan orang lain sungguhpun daripada segi sejarah, ia mungkin kepunyaan tuan.

Akhir-akhir ini Israel telah merobohkan penempatan Arab dalam usaha mendirikan rumah bagi rakyat Israel.

Seluruh dunia, termasuk sekutu tuan, Amerika Syarikat, mengutuk tindakan ini. Namun Israel tetap meneruskan juga.

Tuan mengutuk Syria kerana membuat ancaman. Bagaimanapun ancaman mereka adalah respons kepada tindakan tuan sendiri.

Jika tuan secara paksa merampas tanah dan harta benda kepunyaan penduduk Palestin, satu-satunya respons sekiranya mereka tidak bertindak secara ganas terhadap tuan, adalah dengan mengancam untuk bertindak menentang tuan.

Jika mereka tidak boleh bertinda balas dan mereka tidak boleh menyuarakan tindak balas yang dihasratkan itu, maka mereka terpaksa tunduk kepada semua tindakan tuan tidak kira bagaimana salah sekalipun.

Apa yang tuan lakukan sekarang bertentangan dengan semangat dan surat proses perdamaian yang dipersetujui oleh pendahulu tuan.

Bagaimanakah kami boleh mempercayai Israel jika sesuatu perubahan dalam kerajaan menyangkal jaminan yang diberi dengan rasminya oleh sebuah Kerajaan Israel.

Tolong pertimbangkan semula keputusan tuan untuk membina penempatan baru Yahudi di tanah Arab.

Belia-belia Israel ada di sini. Hasrat kami ialah untuk menunjukkan kepada mereka bahawa umat Islam adalah manusia rasional biasa yang mahu hidup dalam keamanan dan kebebasan.

Kami berharap mereka akan mempunyai tanggapan baru terhadap umat Islam dan Islam. Akan berlaku penyimpangan dalam kalangan umat Islam tetapi penyimpangan turut berlaku dalam kalangan Yahudi dan Kristian serta penganut setiap agama. Tiada agama yang seharusnya dihakimi berdasarkan penyimpangan ini.

Kami berharap kalangan belia ini akan memahami umat Islam dengan lebih baik dan akan mahu berbaik-baik dengan mereka.

Untuk mengecap keamanan tuan perlu melakukan pengorbanan. Penduduk Palestin tidak lagi mendesak penyingkiran Israel.

Mereka malah bersedia untuk berkongsi Jerusalem dengan tuan. Mereka telah melakukan pengorbanan.

Kita harus ingat apabila Yahudi diperlakukan dengan kejam di Eropah, mereka seringkali menemui perlindungan dalam kalangan umat Islam di negara-negara Islam.

Kami tidak menganggap rakyat Israel sebagai seteru abadi. Namun kami tidak boleh menahan rasa simpati terhadap penduduk Palestin kerana tanah air mereka dirampas daripada mereka sekarang.

Ia mungkin menjadi kepunyaan Yahudi tiga ribu tahun yang lalu. Banyak tanah tradisional Melayu yang telah menjadi sebahagian daripada Thailand. Tetapi kami tidak menuntut Selatan Thailand untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Jika kita pergi terlalu jauh ke masa lampau, kita tidak boleh hidup bersama jiran-jiran kita.

Kami bersedia untuk mengadakan kerjasama ekonomi dan teknologi dengan Israel tetapi kami masih belum boleh berbuat demikian kerana tuan belum memenuhi komitmen yang dibuat oleh Kerajaan Israel yang sah.

Kami ingin memikirkan bahawa sebaik sahaja kami mewujudkan hubungan dengan tuan, ia akan hubungan yang menjadi tetap.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD



Surat Dr Mahathir Kepada Ehud Barak

KUALA LUMPUR: Berikut ialah surat yang ditulis bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak yang baru dipilih pada 1999, seperti yang dikeluarkan Kementerian Luar kepada Bernama di sini, Rabu.

PERDANA MENTERI MALAYSIA

8 Jun 1999

Tuan Yang Terutama

Encik Ehud Barak

Perdana Menteri Israel

TEL AVIV

Tuan Yang Terutama,

Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangan tuan dalam pilihan raya baru-baru ini.

Dengan mandat yang cukup meyakinkan, saya berharap tuan dan rakan gabungan tuan akan dapat memimpin masa depan rakyat Israel di ambang Abad baru.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengulangi pendirian Malaysia yang sentiasa memperjuangkan keamanan dan penyelesaian masalah antara jiran menerusi rundingan.

Oleh itu menjadi harapan kami untuk melihat pelaksanaan bersama perjanjian yang ditandatangani antara PLO dan Israel.

Kami juga percaya jika proses perdamaian hendak diselamatkan, langkah-langkah berkesan mesti diambil untuk memenuhi komitmen.

Sebagai rakan penting dalam proses damai adalah mustahak bagi Israel lebih bersedia bertolak ansur.

Rakyat Palestin telah membuat pengorbanan besar. Mereka tidak lagi menuntut penghapusan negara Israel.

Mereka malah sedia berkongsi Baitulmaqdis dengan anda. Oleh itu kini masanya bagi Israel memberi respons positif demi mempertahankan harapan rakyat di Palestin dan Israel.

Komitmen mulia yang dibuat oleh Kerajaan sebelumnya mesti dihormati. Jika tidak saya bimbang, akan wujud suasana konflik dan ketidakstabilan serantau yang berkekalan menjangkau ke Abad akan datang. Ini adalah prospek yang mesti dielakkan.

Pokok masalah ialah bahawa tiada pihak yang harus kembali kepada cara lama merundingkan apa yang dimiliki pihak lain, di satu nada dan menghasut kebencian dan keganasan, pada nada lain.

Malaysia tidak dapat membiarkan keganasan oleh mana-mana pihak, sama ada rakan atau musuh.

Mana-mana negara yang merampas tanah dan harta orang lain, atau menghapus tempat tinggal orang lain untuk mendirikan penempatan mereka sendiri tidak boleh dianggap bersikap jujur mahukan perdamaian.

Malaysia yakin penuh bahawa keselamatan semua negara di Asia Barat dapat dijamin dengan kewujudan perdamaian yang adil, berkekalan, dan komprehensif di rantau berkenaan.

Ini mestilah berdasarkan pada prinsip "pertukaran tanah untuk perdamaian" dan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Dunia berharap Israel di bawah kepimpinan tuan, mengetengahkan proses damai dengan iltizam yang tulen.

Saya sesungguhnya berharap pencapaian penyelesaian komprehensif di rantau tersebut akan membolehkan Malaysia melihat dengan realistik langkah positif ke arah penubuhan hubungan biasa dengan Israel.

Yang Ikhlas

Dr Mahathir Bin Mohamad

Menara komunikasi tertinggi siap dibina di Tokyo


TOKYO - Pembinaan menara komunikasi paling tinggi di dunia, Tokyo Sky Tree dengan ketinggian 634 meter di sini siap sepenuhnya semalam.

Pembinaan itu lewat dua bulan ekoran kejadian gempa dan tsunami yang melanda Jepun pada Mac tahun lalu yang menyebabkan kekurangan bahan binaan.

Tokyo Sky Tree turut diiktiraf sebagai bangunan kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa di Dubai yang setinggi 828 meter.

Ketua-ketua industri pelancongan di negara ini berharap menara setinggi 634 meter itu akan dapat menarik kehadiran ramai pelancong asing.

Bilangan pelancong asing menurun di Jepun selepas bencana tsunami dan krisis nuklear yang berlaku pada tahun lalu.

Pembinaan menara di timur Tokyo itu bermula pada Julai 2008 dan mengikut jadual asal ia sepatutnya siap dibina pada Disember tahun lalu.

Tokyo Sky Tree turut mengatasi Menara Canton di Guangzhou, China yang setinggi 600 meter dan Menara CN setinggi 553 meter di pusat bandar Toronto, Kanada.

Seramai 580,000 pekerja terlibat dalam pembinaan menara itu yang menelan belanja AS$806 juta (RM2.4 bilion).

- AFP

Perjanjian Hudaibiah kemenangan Islam


PERJANJIAN Hudaibiah antara catatan sejarah yang masyhur di kalangan umat Islam. Peristiwa itu cukup jelas dan tidak ada apa lagi persoalan mengenainya yang boleh ditimbulkan..

Ia merupakan satu peristiwa besar yang menjadi kunci dan permulaan kepada pembukaan Kota Mekah serta kemenangan umat Islam di Semenanjung Arab.

Tetapi tahukah anda bahawa perjanjian itu sebenarnya telah menimbulkan rasa tidak puas hati terutama di kalangan para sahabat Rasulullah sendiri, terutamanya Umar bin Al Khattab.

Sebelum itu dikisahkan bagaimana Umar menceraikan kedua-dua isterinya bagi mematuhi wahyu Allah supaya menceraikan isteri yang masih tidak memeluk Islam, yakni kafir.

Ini kerana, ekoran daripada perjanjian Hudaibiah, perempuan-perempuan Islam mengadu kepada Nabi Muhammad bahawa wali-wali menuntut supaya mereka mesti pulang atau dikembalikan.

Ia sebagaimana termaktub dalam isi atau syarat perjanjian yang keempat: "Orang Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa kebenaran walinya, iaitu melarikan diri kepada Muhammad, hendaklah dikembalikan kepada mereka."

Namun sudah tentu Rasulullah menolak tuntutan yang seperti itu dengan alasan bahawa isi perjanjian tidak termasuk golongan wanita. Hanya golongan lelaki sahaja yang dimaksudkan.

Kemudian turun ayat al-Quran bagi menegaskan lagi alasan Rasulullah itu, iaitu firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka. Allah lebih mengetahui akan iman mereka dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu sebagai isteri dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka sebagai suami…. (al-Mumtahanah: 10)

Ekoran daripada ayat ini juga Umar menceraikan dua orang isterinya yang masih syirik itu.

Setelah bercerai, kedua-duanya berkahwin lain, seorang berkahwin dengan Muawiyah bin Abi Suffian dan seorang lagi berkahwin dengan Safwan bin Umayyah.

Ramai yang berpendapat bahawa Perjanjian Hudaibiah dilihat satu kemenangan kepada pihak Islam atau memberikan banyak faedah kepada Islam berbanding golongan kafir Quraisy.

Walaupun sekali imbas ia nampak sebaliknya, seolah-olah Islam yang banyak 'mengalah' dan terpaksa tunduk kepada kehendak-kehendak pihak Quraisy itu.

Ini terutamanya apabila niat dan kedatangan rombongan umat Islam dari Madinah untuk mengerjakan umrah dan haji dihalang.

Malah mereka dikehendaki supaya pulang dan hanya dibenarkan melakukan ibadat tersebut pada tahun hadapan dan dalam tempoh tiga hari sahaja.

Kejayaan kepada umat Islam dapat dilihat apabila kaum Quraisy mula mengiktiraf Nabi Muhammad dan agama yang disebarkan oleh baginda.

Sebelum ini puak Quraisy hanya ingin memerangi Islam hingga ke akar umbi. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat berakhirnya riwayat umat Islam terutamanya Nabi Muhammad itu sendiri.

Tapi apabila mereka boleh diajak berbincang dan membawa kepada gencatan senjata, itu menunjukkan mereka tidak lagi mempunyai keupayaan menentang Islam.

Walaupun umat Islam hanya dibenarkan mengerjakan umrah dan haji pada tahun berikutnya, ia merupakan satu kemenangan kerana selepas itu mereka boleh melakukan ibadat itu pada bila-bila masa tanpa sekatan.

Malah jika ada orang Quraisy yang lari kepada Islam dan Rasulullah di Madinah dan perlu dipulangkan kepada puaknya di Mekah, ia juga merupakan satu kelebihan kepada Islam dan bukan sesuatu yang merugikan.

Bagi baginda golongan yang lari itu tentunya bukan lagi seorang Islam. Hanya mereka yang murtad sahaja yang akan berbuat demikian.

Justeru kalau ada yang murtad maka dia tidak diperlukan lagi dalam masyarakat Islam.

Maka adalah lebih baik orang seperti itu keluar daripada komuniti Islam.

- UTUSAN

Recent Posts