Sabtu, Februari 25, 2012

Ana Raffali, Naim Selamat Diijabkabulkan


KUALA LUMPUR: Penyanyi Ana Raffali, 26, akhirnya sah bergelar isteri kepada Ahmad Aznaim Abdullah, 30, selepas sekali lafaz dalam majlis pernikahan mereka yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini, Sabtu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa Ana, Mohd Raffali Mohd Nor kira-kira pukul 12 tengah hari dengan disaksikan oleh Jurunikah Masjid Al-Hidayah, Abdullah Mat.

Acara sebelum itu dimulakan dengan majlis pertunangan antara Ana dan Naim pada pukul 11 pagi.

Majlis dihadiri kira-kira 500 jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga kedua-dua pasangan pengantin dan wakil media.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM11,412 daripada pihak lelaki.

Dalam pada itu, pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang.

Antara barang hantaran yang diberikan oleh pihak perempuan seperti bunga rampai, buah, kek, dompet, kamera, iPad, jam tangan, minyak wangi, sebentuk cincin dan sirih junjung.

Manakala pihak lelaki membalas dengan sirih junjung, coklat, telekung, minyak wangi, manisan dan gelang tangan perak. Kesemua hantaran itu direka dan digubah sendiri oleh Ana.

Ana tampak anggun dengan mengenakan busana baju kurung moden rekaan pereka fesyen, Ezuwan Ismail dari rona kelabu manakala Naim segak dengan baju Melayu lengkap bersamping dengan warna sedondon dari pereka sama.

Sementara itu, majlis resepsi perkahwinan mereka turut diadakan di tempat sama sejurus selepas majlis pernikahan.

- mSTAR

Golongan jin yang beriman

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Menurut al-Biqaie surah yang lalu menerangkan tentang Nabi Nuh a.s. yang merupakan Rasul Allah yang pertama diutus kepada para penentang dan penyembah berhala.

Mereka menolak ajakan dan seruan sedangkan beliau salah seorang anggota masyarakat. Surah yang lalu diakhiri dengan doa Nabi Nuh a.s. ke atas mereka.

Nabi Muhammad SAW rasul yang terakhir dan kaum baginda mempunyai banyak persamaan dengan kaum Nabi Nuh. Ini disebabkan keagungan al-Quran dan ayat ini mengingatkan hal tersebut sambil mengisyaratkan kecaman kepada masyarakat Arab yang tidak menyambut ajakan beliau dan nabi yang menyampaikannya dari suku bangsa bahkan yang terdekat dengan mereka.

Sheikh Muhammad al-Hindi dalam kitabnya pada majlis yang ketujuh berkata: "Aku telah mengumpulkan ajaran yang dibawa oleh agama Islam dengan ajaran yang dibawa oleh penemuan moden, seperti ucapan mereka. Sesungguhnya setiap ilmu, kebaikan dan keburukan yang berlaku dalam hati itu ditimbulkan oleh roh yang mulia dan roh yang hina. Dalam hadis diungkapkan yang bermaksud di dalam hati itu ada dua kemahuan (kehendak). Kemahuan (kehendak) dari malaikat dan kemahuan (kehendak) dari syaitan.

Firman Allah SWT: Katakanlah (hai Muhammad): Telah diwahyukan kepadamu bahawasanya: Telah mendengarkan sekumpulan jin (akan al-Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Quran yang menakjubkan.

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW memberitahu kepada umatnya, bahawa jin mendengar al-Quran, lalu mereka beriman, membenarkannya serta tunduk kepada Allah SWT."

Menurut Al-Maraghi, Allah SWT mengeluarkan perintah kepada rasul-Nya agar memberitahu kepada para sahabatnya tentang kisah-kisah jin yang diwahyukan kepadanya kerana ia mempunyai banyak faedah dan manfaat kepada manusia, antaranya:

* Sebagai makluman bahawa Nabi SAW itu diutus kepada bangsa manusia juga kepada bangsa jin.

* Sebagai makluman bahawa jin itu mendengar pembicaraan dan memahami bahasa kita.

* Sebagai makluman bahawa jin itu dibebankan dengan tanggungjawab (mukalaf) sama seperti manusia.

* Sebagai makluman bahawa jin yang beriman telah berdakwah kepada jin lain dari kabilahnya agar mengaku beriman.

* Supaya kaum Quraisy mengetahui bahawa jin itu asalnya bersikap derhaka ketika mendengar al-Quran dan apabila mengetahui kemukjizatannya jin itu beriman kepadanya.

Secara zahirnya, ayat ini menunjukkan betapa nabi mengetahui para jin yang mendengar wahyu yang diturunkan kepadanya, tetapi bukan melalui kesaksian mata.

Dalam Ensiklopedia Abad XX karya Muhammad Farid Wajdi dinyatakanmakhluk yang bersifat hawa (udara) atau api, berakal dapat dibentuk dan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan yang berat.

Sayyid Sabiq seorang ulama Mesir mendefinisi jin sebagai roh berakal, berkehendak, mukalaf (dibebani tugas keagamaan oleh Allah seperti manusia) tetapi tidak berbentuk materi, kasar dan mereka mempunyai kemampuan untuk tampil dalam pelbagai bentuk.

Firman Allah SWT: (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seseorangpun dengan Tuhan kami.

Menurut Al-Mawardi, ayat itu ada dua pendapat:

* Segala perkara yang mendapat petunjuk.

* Ke arah makrifatullah.

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu jalan yang lurus."

Hamka berkata: "Inilah kesan pertama yang tinggal dalam diri mereka setelah mendengar al-Quran dibaca Nabi. Mula-mula mereka takjub, merasa hairan tercengang mendengar ayat itu dibaca".

Ini kerana isi kandungannya tidak ada jalan membantah dan menolak jika hatinya benar-benar bersih.

Firman Allah SWT: Dan bahawasanya Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami, dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak.

Sebenarnya perkataan jaddu dalam ayat ini ada sepuluh tafsiran:

* Urusan tuhan kami seperti pendapat al-Suddi.

* Perbuatan tuhan kami seeperti pendapat Ibn Abbas.

* Peringatan tuhan kami seperti pendapat Mujahid.

* Kekayaan tuhan kami seperti pendapat Ikrimah.

* Ujian tuhan kami seperti pendapat al-Hasan.

* Kerajaan tuhan kami seperti pendapat Abu Ubaidah.

* Kemuliaan dan keagungan tuhan kami seperti pendapat Qatadah.

* Kenikmatan tuhan kami atas makhluk-Nya seperti pendapat al-Dahhak.

* Ketinggian tuhan kami seperti pendapat Sa'id bin Jubair.

* Mereka yang prihatin dengan datuk, iaitu bapa kepada ayah. Ini pendapat daripada ucapan jin kerana kejahilan.

Syed Qutub berkata: "Kata-kata al-jad bererti bahagian, habuan, kedudukan dan martabat iaitu kebesaran dan kekuasaan semuanya merupakan makna-makna yang terpancar dari kata-kata itu dan sesuai dengan tempatnya."

Maksud umum dari makna tersebut adalah mengungkapkan perasaan hati bahawa Allah SWT Yang Maha Tinggi dan Maha Agung yang suci dari mempunyai isteri dan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan.

- UTUSAN

Guru perlu kreatif dan inovatif

Oleh Ali Mahmood

Guru sains dan matematik perlu kreatif serta menggunakan pendekatan yang menarik bagi mengatasi masalah kemerosotan minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Ketua Sektor Pembangunan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Jailani Ludin berkata, kedua-dua mata pelajaran itu penting kerana ia merupakan tunjang bagi melahirkan pelajar sebagai modal insan yang kreatif dan inovatif.

Katanya, bagi mencapai status negara maju, rakyat negara ini perlu menguasai dan meneroka kemajuan sains dan teknologi.

"Ini merupakan satu cabaran buat warga pendidik, khususnya guru-guru yang mengajar mata pelajaran sains dan matematik bagi meningkatkan semula minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

"Guru perlu menyahut cabaran ini kerana kemajuan dan masa depan negara terletak di bahu kita bagi melahirkan pelajar yang mampu menguasai teknologi serta pakar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)," kata Jailani.

Beliau yang mewakili Pengarah Pelajaran Pahang berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Pelancaran Produk dan Program Sains dan Teknologi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah, Aishah Hamzah dan Pengetua SMK Seri Tualang, Hussin Hamid.

Menurut beliau, mata pelajaran sains dan matematik juga memerlukan transformasi serta penambahbaikan seiring dengan perkembangan ilmu dan teknologi supaya para pelajar tidak berasa bosan semasa mengikuti subjek tersebut.

Jailani juga menasihati para pelajar supaya menanam cita-cita untuk berjaya dalam kerjaya berasaskan teknologi serta R&D dan bukannya bekerja dalam sektor kerajaan apabila tamat pengajian daripada universiti.

"Kita perlu membuang minda untuk makan gaji dengan kerajaan semata-mata.

"Hal ini kerana jawatan dalam kerajaan adalah terhad tetapi sebaliknya dunia kerjaya hari ini lebih terbuka kepada mereka yang mampu menguasai kemajuan sains dan teknologi," ujar Jailani.

Beliau menambah, kerjaya dalam bidang berkaitan sains, matematik dan teknologi menawarkan gaji yang lumayan dan ini yang menjadi cita-cita kerajaan untuk membolehkan rakyat meraih pendapatan tinggi.

- UTUSAN

Lisa Surihani dan Yusry berkahwin


SEBELUM ini pernah timbul spekulasi bahawa pasangan popular Lisa Surihani dan Yusry bakal mendirikan rumah tangga pada tahun 2012, sehinggakan pihak KRU Studio terpaksa membuat kenyataan akhbar untuk menafikan perkara tersebut.

Kini spekulasi berkenaan akhirnya menjadi kenyataan setelah Lisa sah menjadi isteri kepada Yusry selepas diinikah dan diwalikan abang sulung Lisa, Mohamed Azan Mohamed dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya kelmarin.

Pada upacara akad nikah, Lisa yang kelihatan anggun dengan busana baju kurung moden rekaan Cosry berwarna putih menerima tujuh dulang hantaran iaitu tepak sirih, cincin, wang hantaran, kelengkapan sembahyang, manisan, kek dan seutas rantai platinum sebagai mas kahwin.

Pengantin lelaki pula menerima sembilan dulang hantaran seperti tepak sirih, cincin, kelengkapan sembahyang, kelengkapan lelaki, keyboard, koleksi lagu kumpulan The Beatles, bunga rampai, kek dan coklat.

Pada satu sidang akhbar sebaik sahaja selesai upacara pernikahan, Yusry meluahkan rasa leganya apabila majlis tersebut berjalan dengan lancar dan dia selamat bergelar suami kepada Lisa.

"Pasti ramai tetamu yang melihat saya cukup tenang semasa upacara akad nikah berlangsung. Hakikatnya, saya tetap rasa cukup gementar dan perasaan tersebut harus saya ketepikan supaya menjadi lebih tenang.

"Apa pun saya sangat gembira dan bersyukur apabila impian untuk mendirikan rumah tangga telah termakbul dan sekarang Lisa sudah menjadi isteri saya yang sah dan saya berharap hubungan ini akan berkekalan sampai bila-bila," ujar Yusry yang segak mengenakan baju Melayu moden berwarna putih pada majlis tersebut.

Ketika ditanya tentang keistimewaan yang dimiliki oleh Lisa, pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa itu menjelaskan isterinya itu telah membuka semula pintu hatinya untuk menerima kehadiran seseorang sebagai teman hidup.

Menurut Yusry lagi, sudah agak lama dia tidak percaya kepada cinta setelah gagal dalam perkahwinan terdahulu, namun kehadiran Lisa telah mengubah persepsi cinta dalam dirinya.

"Apabila menjalinkan hubungan cinta bersamanya, saya seolah-olah seperti kembali ke usia remaja. Malah, semenjak mula berkenalan dahulu saya dapat merasakan keserasian di antara kami berdua.

"Sewaktu berkenalan dan bercinta dengannya saya melihat dia adalah seorang wanita yang sangat baik dan menghormati kedua-dua ibu bapa serta ahli keluarga saya serta sangat penyayang kepada kanak-kanak," ujarnya.

Sementara itu, Lisa yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut menyatakan keputusannya untuk menerima Yusry sebagai suaminya yang sah adalah satu pilihan yang tepat dan terbaik.

Menurut pelakon itu lagi, pada usia yang sudah mencecah 26 tahun dia merasakan sudah tiba masanya untuk menuju ke gerbang perkahwinan dan bersedia untuk bergelar sebagai seorang isteri.

"Tentang keistimewaan Yusry di mata saya pula, sebenarnya ia agak sukar untuk dijelaskan. Namun, kehadiran Yusry dalam hidup saya sekarang sudah dianggap sebagai sesuatu yang cukup istimewa.

"Sepanjang mengenali diri dan hati budi Yusry dengan lebih mendalam semasa berkawan dan bercinta, saya rasakan dia ialah lelaki yang paling sesuai untuk menjadi teman hidup saya," ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon yang popular menerusi watak Mila dalam filem Ombak Rindu itu turut meluahkan rasa sedihnya apabila arwah ayahnya tiada di sisi meraikan hari yang bersejarah buat dirinya.

Bilangan anak

Sudah menjadi lumrah kepada mana-mana pasangan selebriti yang mendirikan rumah tangga pastinya tidak terlepas daripada diajukan pertanyaan mengenai perancangan untuk memiliki cahaya mata.

Mengenai zuriat mereka, kata Lisa, dia dan suami tercinta tidak pernah membuat sebarang perancangan. Lisa menjelaskan, dia sendiri sudah bersedia untuk bergelar sebagai seorang ibu pada bila-bila masa sahaja.

"Memang tiada sebarang perancangan untuk kami memiliki anak sama ada pada tahun ini atau tahun berikutnya. Kepada saya, perkara mengenai cahaya mata ini kami hanya serahkan pada rezeki yang akan dikurniakan.

"Berkenaan jumlah anak yang ingin diperoleh pula, sebenarnya saya tidak kisah sangat mengenainya. Kalau dikurniakan seramai empat orang anak ia sudah pun memadai buat diri saya," ujarnya.

Mengenai karier lakonan pula, Lisa menyatakan dia masih akan tetap berlakon seperti biasa dan akan mempertimbangkan apa sahaja tawaran yang diterima dan status sebagai isteri bukanlah satu penghalang untuk meneruskan kerjayanya.

"Suami pun masih tetap menyokong saya sepenuhnya untuk terus berlakon, malah saya rasa sangat beruntung kerana mendapat seorang suami yang sememangnya terbabit dalam industri hiburan dan faham dengan kerjaya masing-masing," tuturnya.

Berbulan madu

Beberapa hari selepas berlangsungnya majlis resepsi yang diadakan secara serentak oleh kedua-dua belah keluarga pengantin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari ini, Lisa dan Yusry akan berbulan madu di Eropah.

Jelas Yusry, mereka memutuskan untuk berbulan madu di beberapa lokasi di negara Eropah. Yang menjadi pilihan dan destinasi pertama mereka berdua untuk berbulan madu nanti ialah Switzerland.

"Kami akan memulakan destinasi bulan madu di Switzerland dan berada selama beberapa hari di sana. Tentang tempoh berada di sana pula kami tidak pasti kerana ia bergantung kepada kesesuaian tempat tersebut.

"Selepas berada di Switzerland, kami akan pergi pula ke Cannes, Perancis dan Milan, Itali. Paling lama kami akan bercuti untuk berbulan madu adalah kira-kira dua minggu," ujarnya.

Mengenai pemilihan negara-negara tersebut sebagai lokasi bulan madu, tiada sebarang keistimewaan di ketiga-tiga lokasi berkenaan. Sebaliknya, ia dipilih berdasarkan cadangan beberapa orang rakannya.

"Kami hanya sempat untuk berbulan madu selama dua minggu sahaja. Selepas itu saya akan sibuk untuk menyiapkan kerja-kerja posproduksi filem Vikingdom, manakala isteri saya pula akan terbabit dengan filem Tingkat 4," jelasnya.

- KOSMO!

Jumaat, Februari 24, 2012

Jadual Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTDL) 2012


Stage 1
Putrajaya Individual Time Trial
24 Februari 2012

Stage 2
Putrajaya - Melaka
25 Februari 2012

Stage 3
Melaka - Parit Sulong
26 Februari 2012

Stage 4
Batu Pahat - Muar
27 Februari 2012

Stage 5
Ayer Keroh - Pandan Indah, Ampang
28 Februari 2012

Stage 6
Proton, Shah Alam - Genting Highlands
29 Februari 2012

Stage 7
Bentong - Kuantan
1 Mac 2012

Stage 8
Pekan - Cukai
2 Mac 2012

Stage 9
Kemasik - Kuala Terengganu
3 Mac 2012

Stage 10
Tasik Kenyir - Kuala Terengganu Loop
4 Mac 2012


http://www.ltdl.com.my

Khamis, Februari 23, 2012

Proton dan Yes tawar akses internet 4G dalam kereta pertama Malaysia


Proton Holdings dan Yes, penyedia rangkaian 4G di bawah YTL Communications Sdn Bhd, hari ini mengumumkan kerjasama untuk menawarkan akses internet 4G dalam kereta yang pertama di Malaysia dalam kereta-kereta mewah dan sedan baru P3-21A Proton yang akan dilancarkan bulan depan.

Dalam kerjasama itu, pengguna Proton akan menikmati saling hubung 4G sebagai ciri standard tambah nilai yang baharu. Ia akan memanfaatkan rangkaian internet mudah alih 4G Yes yang pada masa ini meliputi lebih 65 peratus daripada kawasan berpenduduk negara.

Pengarah urusan kumpulan Proton, Datuk Seri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata inovasi ini, usaha pertama dalam langkah penjenamaan semula Proton, membuka kemungkinan spektrum baharu dan menawarkan para pengguna dengan kelajuan, keselesaan dan produktiviti yang lebih hebat ketika berada di jalan raya.

"Kami telah bekerjasama dengan YTL selama setahun dan menandatangani perjanjian tahun lepas. Hari ini, ia cuma satu langkah kecil. Selepas ini, kami akan bekerjasama untuk mengintegrasikan lebih banyak ciri untuk diletakkan di dalam kereta," katanya kepada pemberita selepas pelancaran majlis itu.

Beliau berkata inisiatif ini akan menjadikan jenama Proton lebih menarik dan menambah pendapatan kepada syarikat. Kos yang terlibat dalam kereta internet 4G Proton baru adalah amat minimal kepada pengguna kerana tujuan utama ialah menyediakan mereka kereta yang berkualiti dan mampu milik, kata Syed Zainal sambil menyatakan Proton telah berunding mendapatkan pakej yang baik dengan YTL.

Yes merupakan satu-satu pengendali rangkaian wayarles di Malaysia yang menawarkan saling hubung 4G tanpa sempadan sepanjang 960km Lebuh Raya Utara-Selatan dan sebahagian besar Lebuh Raya Pantai Timur.

Sebanyak lima peranti mudah alih boleh dihubungkan ke rangkaian wayarles mikro kereta pada masa yang sama.

- BERNAMA

Bahaya tersedak susu


Kes bayi tersedak susu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Malah lebih menyedihkan apabila ia melibatkan kematian.

Terbaru, kes Siti Nur Balkis Ahmad Zahir berusia tujuh bulan, yang dipercayai tersedak susu di rumahnya di Simpang Empat, Kangar, Perlis, di bawah jagaan ibunya sendiri.

Biarpun ia sebagai kes yang terpencil, namun tidak boleh dipandang ringan kerana risiko kelalaian tidak mengira sama ada dilakukan oleh pihak pengasuh mahupun ibu bapa bakal meragut nyawa.

Bagi yang tidak mengetahui puncanya, agak pelik bila mendengar bayi tersedak susu boleh menyebabkan kematian sedangkan susu hanyalah sejenis cecair.

Pakar Diet Pemakanan, Norul Hazliza Sham Hashim berkata, insiden lemas susu biasanya terjadi kerana kedudukan dan posisi bayi yang tidak betul ketika menyusu botol.

"Keadaan itu menyebabkan susu tersebut akan memasuki paru-paru dan dalam masa yang sama akan menghalang saluran pernafasan lalu menyebabkan bayi tersedak dan lemas,'' ujarnya.

Malah lebih parah, sekiranya keadaan itu berlaku apabila bayi itu memegang sendiri botol yang menyebabkan dia tersedak.

Tambah beliau, keadaan itu juga akan menyebabkan bayi dijangkiti bakteria dan memberikan kesan kepadanya.

Bagaimana pun dalam masa yang sama, masalah injap yang tidak matang juga merupakan faktor berlaku bayi tersedak susu.

Keadaan itu terang beliau berlaku sekiranya bayi tersebut berusia empat bulan ke bawah dan berada dalam keadaan terbaring.

Bagaimanapun ia berbeza dengan situasi anak-anak yang berusia empat bulan ke atas di mana mereka boleh minum susu dalam keadaan duduk .

Kata Haliza lagi, sebagai pengasuh atau ibu bapa, amalan meletakkan kain atau bantal untuk menyokong botol susu ketika bayi menyusu adalah sangat tidak baik kerana ia boleh meningkatkan risiko insiden.

"Sebaiknya cuba letakkan kepala bayi lebih tinggi dari perutnya manakala botol susu pula perlu dipegang dalam kedudukan tidak lebih 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak dan menyebabkan bayi lemas.

"Keadaan ini mengelakkan bayi termuntah semasa sedang menyusu dan muntah tersebut akan memasuki hidung dan mengganggu laluan pernafasan mereka,'' katanya.

Kebiasaannya apabila susu termasuk ke dalam paru-paru, seorang bayi akan tersedak atau batuk. Tindakan refleks itu sebenarnya adalah satu mekanisme perlindungan untuk bayi tersebut.

Beliau berkata, walaupun bayi tersedak susu dalam jumlah yang amat sedikit, ia sudah cukup untuk melemaskan mereka.

"Sebab itu, elakkan bayi meminum susu dalam keadaan terlentang sebaiknya pangku bayi dalam keadaan kepalanya lebih tinggi dari perutnya bagi tujuan memudahkan penghadaman,''kata Haliza.

Begitupun, cara terbaik untuk mengelak bayi tersedak atau lemas susu ialah dengan memberi susu badan.

Ini kerana katanya, apabila menyusu badan, susu hanya akan keluar apabila bayi menyedut sahaja.

"Jadi apabila bayi tertidur ketika menyusu badan, susu tidak akan mengalir dan mengurangkan risiko tercekik susu," jelas beliau.

Keadaan itu, jelas beliau berbeza dengan susu formula yang akan sentiasa mengalir dari botol dan melambatkan proses penghadaman.

Tambahnya, selepas setiap kali penyusuan pastikan bayi disendawakan, keadaan ini penting supaya angin keluar dan memastikan bayi tidak muntah ketika tidur.

"Letakkan bayi di bahu dan urut belakang badannya dengan perlahan, keadaan ini memudahkan bayi sendawa dan sekali gus melegakan bayi tersebut dan juga mengelakkan daripada si bayi termuntah," kata Haliza.

Beliau berkata, ibu bapa boleh mempraktikkan beberapa kaedah untuk memastikan bayi sendawa. Antaranya tiarapkan bayi dengan meletakkan perutnya di atas lutut dan gosok belakangnya dengan lembut sambil menghayun atau mengenjut lutut secara perlahan-lahan.

"Ibu juga boleh mencuba kaedah dengan menelentangkan bayi, angkat ke hadapan dan ke belakang seperti mengayuh basikal sehingga lututnya rapat ke perut,'' ujarnya lagi.

Akhir sekali tuam atau tekap perut bayi dengan kain hangat atau botol yang mengandungi air suam bagi mengelakkan si kecil mendapat kembung perut.

- UTUSAN

Saintis India temui haiwan seperti ular


NEW DELHI - Sejak sebelum era dinosaur lagi satu spesies amfibia yang tidak berkaki hidup bebas di bawah tanah yang beriklim monsun di pedalaman utara India tanpa diketahui saintis.

Sekumpulan saintis India yang menemui spesies baharu amfibia memberikan ia nama chikilidae setelah menggali tanah untuk mencari haiwan berkenaan di hutan selama lima tahun.

Ketua kajian tersebut, Profesor Sathyabhama Das Biju dari Universiti New Delhi berkata, chikilidae tergolong dalam keluarga caecilian iaitu yang paling primitif antara tiga kumpulan amfibia termasuk juga katak dan salamander.

Disiarkan dalam jurnal Royal Society of London semalam, penemuan mereka mengukuhkan lagi bukti bahawa India dipenuhi hidupan amfibia dengan habitat yang perlu dilindungi.

Menurut Sathyabhama, chikilidae bukan sahaja tidak berbahaya tetapi ia turut membantu petani dengan memakan ulat dan serangga yang merosakkan tanaman manakala pergerakan spesies itu di bawah tanah dapat membantu menyuburkan tanah.

Namun, penduduk tempatan kerap membunuh chikilidae kerana tersilap anggap bahawa amfibia itu merupakan seekor ular berbisa.

- AGENSI

Mewujudkan lebih ramai bilionair Melayu

Oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

BEBERAPA akhbar nasional minggu lalu melaporkan senarai warga Malaysia terkaya. Laporan yang memetik artikel majalah Malaysian Business menonjolkan Robert Kuok sebagai warga Malaysia terkaya dengan nilai harta RM45.7 bilion. Kuok diikuti Ananda Krishnan dengan RM42.9 bilion milik beliau.

Daripada jumlah 10 orang terkaya dalam senarai itu terdapat cuma seorang anak Melayu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary di tempat kelima (RM9.5 bilion). Ini bermakna, dari segi jumlah bilangan 10 bilionair terkaya, Melayu mempunyai bahagian 10 peratus. Namun, dari segi nilai kekayaan, nilai harta Syed Mokhtar cuma merupakan 6.1 peratus daripada jumlah RM155.7 bilion yang dimiliki oleh 10 bilionair terkaya di Malaysia.

Dalam senarai 40 orang warga terkaya Malaysia pula terdapat lapan orang Melayu-Muslim, iaitu cuma 20 peratus. Namun dari segi nilai harta, lapan orang Melayu- Muslim memiliki hanya RM19.9 bilion, atau 1.03 peratus daripada jumlah besar RM193.2 bilion nilai harta milik 40 warga terkaya. Jelas sekali ketinggalan dan betapa jauh terpinggirnya Melayu dalam pembahagian harta kekayaan negara berdasarkan pembahagian milik individu.

Laporan menyenaraikan individu jutawan dan bilionair terkaya menjadi satu ‘trend’ yang semakin menarik perhatian masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya mencontohi negara kapitalis Barat, terutama Amerika Syarikat (AS), yang ghairah menjadikan jutawan dan bilionair individu sebagai ikon masyarakat menerusi senarai “Fortune 500” dan majalah Forbes.

Di Barat, khasnya di AS yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis berciri individualistik ekstrem, keghairahan menonjolkan individu terkaya sememangnya menjadi tradisi. Semua warga bisnes dan korporat akan berlumba- lumba mendapat tempat dalam senarai seperti ini. Siapa yang tidak mahu jadi kaya-raya! Memasuki dan mendapat tempat dalam senarai jutawan dan bilionair menjadi aspirasi hidup setiap warga bisnes dan korporat Amerika, iaitu dalam konteks sebuah negara sekular-materialis dengan falsafah hidup mengutamakan kebendaan. Justeru, mana-mana golongan dalam masyarakat Barat yang kecil jumlah jutawannya, akan dianggap lemah berbanding golongan lain, tidak berjaya, dipandang rendah dan disifatkan “masih belum sampai - has not arrived!”

Apakah dengan rendahnya bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim, umat Islam Malaysia harus turut memandang diri mereka kerdil, lemah dan “belum sampai” ke satu taraf ekonomi yang boleh membanggakan? Adakah kerana itu mereka ketinggalan, justeru darjat sosial mereka juga harus di pandang jauh lebih rendah daripada kaum lain? Ada bahayanya jika kita terlalu terpengaruh dengan persepsi Barat terhadap hak milik harta kekayaan peribadi dan individualistik. Kerana persepsi ini membuat ramai Melayu memberi keutamaan kepada dasar dan strategi menambah bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim. Kesannya, ada yang akan sanggup mencipta “ bilionair segera” dengan menswasta atau “memfaraidkan” ekuiti milik GLC kepada individu.

Kerajaan juga boleh terpengaruh dengan pendekatan liberalisasi sehingga merancang untuk melepaskan pegangan dalam GLC tanpa berfikir panjang terhadap kesan sampingan yang memudaratkan kepentingan masa depan bangsa dan negara.

Apakah ada pilihan alternatif bagi Melayu- Muslim menguasai syarikat berbilion ringgit tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa mengakibatkan ketidakadilan meluas yang berlaku sekiranya hak milik GLC diswastakan? Paradoks ini penting diatasi dengan penuh hikmah. Kerana, berlainan dengan nilai hidup Amerika yang berciri individualistik, masyarakat Melayu yang beragama Islam adalah berciri umat jamaah. Nilai hidup berjemaah menuntut pendekatan dasar dan strategi bercorak ijtimaai yang berupaya menggembleng tenaga dan keupayaan individu, tetapi bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Islam tidak anti kekayaan, malah kuat pro-bisnes sebagai salah satu sunnah besar Rasulullah SAW. Demikian juga, Islam tidak anti harta milik peribadi. Malah harta kekayaan peribadi dan swasta dilindungi dengan tegas oleh syarak. Masyarakat Islam Malaysia telah pun menyambut seruan ini, menjadikannya falsafah dan prinsip yang diterap ke dalam pendekatan dan strategi nasional, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jutawan individu diketengahkan, tetapi bukan dengan mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat besar dan kepentingan jangka panjang generasi muda dan generasi akan datang.

Di sinilah letaknya rasional dan pertimbangan utama negara dalam menentukan supaya sebahagian daripada hak milik ekuiti negara dipegang oleh institusi amanah dan GLC. Perhatikan, dengan kehadiran GLC sebagai institusi amanah dari sejak DEB dilancar, kepentingan besar masyarakat Malaysia untuk semua kaum dan keturunan lebih terjamin, terlindung dan terpelihara. Hasil daripada DEB, keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial dapat kita nikmati sampai ke hari ini.

Perhatikan juga betapa hak milik GLC sebagai institusi amanah berupaya memperkasa rakyat majoriti dan membela kedudukan mereka. Kehadiran GLC besar impaknya kepada pemerkasaan ummah, sekalipun semuanya bukan milik mereka secara langsung di sisi undang-undang.

Sebagai bukti, daripada 20 syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia pada 17 Februari, 2012, 8 adalah milik GLC. Nilai pasaran modal (market capitalization) 8 syarikat ini berjumlah RM304.7 bilion, iaitu 42.9 peratus daripada jumlah nilai untuk ke 20 syarikat PLC teratas. Seterusnya, GLC seperti Johor Corporation memiliki 4 syarikat PLC dalam senarai 100 syarikat terbesar. Nilai keseluruhan syarikat PLC ini berjumlah RM13.7 bilion, iaitu memberikan kumpulan JCorp kedudukan ke 25 antara syarikat PLC di Malaysia, mengatasi syarikat Nestle Bhd. Selain itu, peranan GLC sebenarnya diiktiraf di beberapa negara lain seperti China, Singapura dan Brazil.

Majalah The Economist, The World in 2012 menyatakan nilai pasaran modal Bursa China membabitkan 80 peratus milik GLC, dan di Brazil 38 peratus. China, Singapura dan Brazil berpendirian tegas tidak menciplak sepenuhnya sistem kapitalis Barat dan sedang giat membina sistem pasaran alternatif. Kenapa pula Malaysia harus menciplak Kapitalis Barat secara membabi-buta?

Malangnya, nilai tinggi harta milik GLC sebagai institusi amanah langsung tidak diambil kira dalam senarai 40 warga terkaya Malaysia, kerana tumpuan masyarakat turut keterlaluan memberi keutamaan kepada harta milik peribadi. Seperti dinyatakan, ekuiti milik GLC dalam syarikat tersenarai melebihi 42 peratus, iaitu satu jumlah yang bukan kecil. Dalam kata lain, setelah diambil kira kepentingan nilai aset milik GLC yang mewakili semua warga negara, golongan majoriti rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bukan dari kalangan bisnes dan korporat, termasuk golongan miskin, turut mendapat tempat dan diperkasa kedudukan ekonomi dan sosial mereka.

Justeru, kedudukan kepentingan majoriti rakyat dalam ekuiti negara yang dimiliki menerusi institusi amanah GLC wajar dan wajib dipertahankan. Alangkah baiknya, untuk memantapkan lagi kepentingan rakyat jelata supaya lestari dan kekal berpanjangan, sekiranya sebahagian daripada ekuiti amanah milik GLC ini diwakafkan di bawah kendalian institusi Waqaf Korporat! Mewakafkan sebahagian ekuiti milik GLC menepati potensi wakaf sebagai penjana pembangunan umat, di samping menjanjikan hak milik kekal berpanjangan insya Allah, sekali gus menegakkan keadilan masyarakat. Mewakafkan ekuiti sebenarnya juga merupakan langkah “penswastaan”, iaitu mengikut kaedah Islamik.dah berasaskan institusi. Ia jelas menepati seruan titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Seminar Wakaf di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara lain, Baginda berpendapat Waqaf Korporat “…adalah kaedah yang berupaya menampung lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali DEB yang dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan menyimpang di masa lalu.”

- UTUSAN

Ada Cara Untuk Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Berkesan

Oleh KUMARATHEVAN BALAKRISHNAN-JOSEPHINE

PERBAHASAN mengenai pembelajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang penting dengan penekanan yang lebih akan berterusan sehingga kerajaan mencari jalan penyelesaian yang drastik dan baik untuk semua pihak.

Semoga ia akan dapat dilaksanakan dengan cepat, sebelum terlambat.

Adalah amat menyedihkan untuk melihat para pelajar sekolah menengah serta graduan universiti kita bergelut untuk bercakap Bahasa Inggeris dengan sempurna.

Baru-baru ini, semasa kami membincangkan isu ini dengan seorang kawan, K.Andrew Raj yang merupakan seorang tutor Bahasa Inggeris, beliau berkata bahawa beliau juga menghadapi masalah yang sama untuk mendidik pelajar yang menghadiri kelas Bahasa Inggerisnya.

Beliau berkata, tahap pemahaman Bahasa Inggeris, sama ada dalam bentuk penulisan ataupun lisan di kalangan generasi muda masa kini secara keseluruhan agak menurun.

Malah, kekurangan kemahiran komunikasi yang baik dalam Bahasa Inggeris di kalangan graduan universiti telah sering dikatakan sebagai salah satu daripada sebab utama ketidakupayaan mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.

Dalam era ledakan maklumat dan kemajuan komunikasi yang pesat, kita tahu bahawa ilmu pengetahuan adalah kunci ke arah meningkatkan pembangunan ekonomi negara kita dan hubungan antarabangsa.

Justeru itu, kemahiran dalam bahasa berkenaan dalam semua aspek - membaca, kefahaman, penulisan, mendengar, kosa kata, ungkapan dan pertuturan adalah amat penting.

Bahasa Inggeris merupakan medium yang paling penting di mana pengetahuan disebarkan.

Malangnya, menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ramai pelajar masih tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris walaupun mereka belajar bahasa tersebut di sekolah selama 13 tahun.

Dua tahun yang lalu, ada laporan mengatakan bahawa pihak berkuasa di Beijing mahu kebanyakan penduduknya belajar Bahasa Inggeris dalam proses mentrasformasikan ibu negara Cina itu menjadi sebuah "bandar dunia".

Bagaimana pula dengan kita?

Kita perlu menguasai pengunaan Bahasa Inggeris jika kita hendak mencapai kemajuan secara global. Tidak cukup jika hanya beberapa menteri, pemimpin korporat, para penulis dan warga yang berpendidikan sekolah Bahasa Inggeris di samping sebilangan kecil golongan muda boleh bertutur dalam bahasa berkenaan dengan lancar.

Kita harus bersepakat dan segera mencari jalan untuk memulihkan keadaan yang semakin buruk ini.

Terdapat beberapa sebab mengapa seseorang itu gagal untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris: malu; takut; enggan cuba untuk bertutur; bercampur dengan orang yang tidak memberi galakkan; membandingkan diri sendiri dengan orang yang lebih fasih; segan bercakap dengan orang yang lebih fasih; masalah pemahaman dan akhir sekali, tidak yakin pada diri sendiri.

Kita perlu mewujudkan peluang untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris di sekolah, tempat kerja, semasa waktu rehat, bergaul dengan orang lain yang boleh bertutur bahasa tersebut, menjawab panggilan telefon, di restoran berbahasa Inggeris dan dengan ahli keluarga.

Penggunaan bahasa itu juga boleh ditingkatkan ketika menggunakan internet – menghantar email, semasa bertemu dengan orang asing (pelancong), di premis perniagaan (pasar raya, agensi pelancongan, klinik, syarikat insurans, panggung wayang, dan lain-lain), menghadiri kelas Bahasa Inggeris atau menyertai kelab/persatuan Bahasa Inggeris.

Pelajar-pelajar kami sering bertanya, 'Mengapakah sesetengah orang boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik dan lancar?' Jawapannya ialah 'persekitaran'.

Kami sering memberitahu mereka bahawa sesetengah orang boleh bercakap Bahasa Inggeris dengan sempurna kerana mereka telah dibesarkan oleh ibu bapa atau penjaga yang bertutur dalam berbahasa Inggeris dalam konteks harian.

Ia mungkin juga kerana mereka berpendidikan Inggeris dari kecil. Ada yang fasih sebab mereka sering merantau atau pernah bermastautin di negara yang bertutur dalam berbahasa Inggeris.

Sesetengah orang boleh bercakap dengan baik mungkin kerana mereka telah menemui pasangan hidup atau pembantu rumah yang hanya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Ada yang pandai bertutur dalam bahasa berkenaan setelah bekerja dalam persekitaran pejabat/syarikat yang hanya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantaran atau bekerja dalam industri pelancongan dan hospitaliti.

Kami sentiasa memaklumkan kepada pelajar kelas Bahasa Inggeris kami bahawa terdapat beberapa perkara yang "Boleh dan Tidak Boleh" dilakukan dalam pembelajaran bahasa ini.

Seseorang pelajar tidak boleh duduk diam apabila mendengar Bahasa Inggeris bahkan berdiri atau duduk dengan postur yang tidak baik semasa belajar.

Mereka tidak harus menyimpan tanggapan negatif tentang Bahasa Inggeris atau diri sendiri seperti, “Bahasa Inggeris adalah susah untuk dipelajar."

Apakah yang perlu dilakukan ialah, sentiasa memberi tumpuan di dalam kelas. Kami menggalakkan mereka untuk menggerakkan badan mereka semasa belajar Bahasa Inggeris selain menggunakan gerak isyarat kerana pergerakan itu boleh membantu mengingatkan perkataan/frasa yang sukar.

Mereka juga diingatkan supaya belajar untuk mendengar secara teliti, sentiasa mengamalkan kepercayaan positif mengenai Bahasa Inggeris dan diri sendiri.

Contohnya, “Bahasa Inggeris adalah baik bagi saya dan saya akan belajar bertutur dengan fasih!”

Kami sering mengingatkan para pelajar supaya sentiasa senyum semasa belajar Bahasa Inggeris, membaca cerita-cerita pendek untuk belajar dengan cepat.

Mereka juga dilatih supaya menggambarkan diri mereka berbahasa Inggeris dengan lancar selain memberi tumpuan dan menikmati pembelajaran tanpa tekanan.

Terdapat juga sepuluh cara untuk meningkatkan kebolehan mereka yang mahu belajar untuk bertutur Bahasa Inggeris iaitu mereka harus mendengar stesen radio Inggeris, menonton filem dan saluran televisyen Inggeris, nyanyi lagu karaoke bahasa tersebut dengan menggunakan liriknya di samping melancong ke negara-negara yang berbahasa Inggeris.

Yang paling penting, mereka harus mendaftar dengan pusat latihan yang memberi kursus pertuturan Bahasa Inggeris.

Seseorang itu harus sentiasa bergaul dengan rakan sekolah atau sekerja yang fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris. Kita mesti belajar bahasa berkenaan seolah-olah mempelajari sesuatu ‘permainan baru’ yang penuh dengan keseronokan dan rasa teruja.

Kami sentiasa mengingatkan kelas kami bahawa: "Bahasa Inggeris adalah seperti satu permainan yang mudah dipelajari jikalau seseorang itu mendengar dengan teliti, memberi tumpuan di dalam kelas, cuba bertutur dengan yakin dan rindu untuk mencapai matlamat!"

- MSTAR

Recent Posts