Rabu, November 30, 2011

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan November 2011

Stesen Radio Capital FM Mula Ke Udara Mulai 1 Disember 2011

Stesen radio untuk wanita urban, Capital FM bakal ke udara secara rasmi pada 1 Disember 2011 menerusi frekuensi 88.9 di seluruh Lembah Klang, Bidor, Sungkai, Tanjong Malim, Kuala Lumpur, Klang, Petaling Jaya, Cyberjaya, Nilai dan sebahagian tempat di Seremban.

Program yang mula bersiaran seawal 6 pagi itu membabitkan penyampai di kalangan selebriti popular dalam membincangkan topik dan kandungan yang menonjolkan dunia sebenar wanita.

“Tujuan utama kami menubuhkan stesen radio ini untuk memberikan wanita hak untuk bersuara dalam media.

“Kami berusaha untuk menyediakan maklumat yang relevan dan semasa di kalangan wanita moden dan tidak pernah diberikan oleh stesen lain,” kata Timbalan Ketua Penyiaran Kumpulan Star Radio, Tan Chong Kheng di sidang media melancarkan Capital FM di pejabat Capital FM, di sini, Rabu.

Capital FM membariskan penyampai-penyampai popular dan ternama seperti Asha Gill, Joanne Kam, Xandria Ooi, Patricia K, Sheela Haran, April Kuan, Joey G dan Liang.

Joanne Kam dan Joey G akan bergandingan untuk segmen Talk of the Town dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi, Asha Gill (Eat, Love, Play/ 10 pagi-1 petang), Patricia K (My City/ 1 petang-4 petang), Xandria Ooi & Liang (The Jam Break/ 4 petang-8 malam), Sheela Haran (Groovedown/ 8 malam-12 pagi) dan April Kuan (Saturday Global Passport/ 10 pagi-2 petang & Sunday Jazzscapes/ 2 petang-6 petang).

Pada setiap bulan, seorang penyampai jemputan akan turut sama ke udara setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi. Untuk Disember ini, pelakon Tony Eusoff akan menjadi penyampai jemputan stesen radio itu.

Stesen radio ini disasarkan kepada wanita urban yang berumur 25 hingga 35 tahun dengan tagline Women- The New Capital.

Stesen radio ini adalah milik Kumpulan The Star.

- MSTAR

Doktor Peribadi Michael Jackson Dihukum Penjara 4 Tahun


LOS ANGELES: Doktor peribadi Michael Jackson, Dr Conrad Murray telah dihukum penjara maksimum empat tahun setelah didapati bersalah membunuh tanpa niat raja pop itu tiga tahun lalu.

Hakim ketika menjatuhkan hukuman tersebut telah menyelar tingkah laku doktor berkenaan sebagai "money-for-medicine madness."

Sementara terdapat juga kemungkinan doktor tersebut akan hanya menjalani hukuman separuh daripada jumlah tersebut ada kemungkinan juga dia akan diarah membayar ganti rugi kepada keluarga Jackson.

Pihak pendakwaan meminta supaya mahkamah mengarahkan Dr Murray membayar sehingga AS$100 juta.

Ibu Michael Jackson, Katherine yang berusia 81 tahun berkata: "Empat tahun sebenarnya tidak memadai untuk mengantikan nyawa seseorang.Empat tahun tidak akan menghidupkan kembali anak saya tetapi ini adalah ketetapan undang-undang...dan saya berterima kasih kepada hakim di atas keputusan ini."

Secara realitinya, Dr Murray dijangka tidak akan menghabiskan tempoh empat tahun itu di dalam penjara memandangkan di Negeri California masalah penjara yang padat akan mendorong pihak berkuasa penjara untuk memendekkan hukuman.

Dalam kes seperti ini, beliau akan menghabiskan paling maksimum pun dua tahun sahaja di belakang penjara.

Michael Jackson telah didapati meninggal dunia pada 25 Jun 2009 setelah diberikan suntikan sejenis ubat tidur yang sangat kuat oleh Dr Murray.

Ubat tidur itu diberikan setelah penyanyi berkenaan berhadapan dengan masalah tidak dapat tidur yang kronik.

Michael Jackson,50, mengupah Dr Murray dengan bayaran gaji sehingga AS$150,000 sebulan untuk merawat dan menjaga masalah tidurnya sepenuh masa ketika beliau dalam tempoh membuat persediaan dan latihan untuk konsert terbesarnya yang dinamakan "This is It" yang dijadualkan berlangsung di kota London selama beberapa bulan.

Mahkamah telah menetapkan 23 Januari tahun depan sebagai tarikh untuk menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh doktor itu kepada keluarga Jackson dan juga tiga orang anaknya.

Jumlah tuntutan sebanyak AS$100 juta itu walaupun kelihatan tidak realistik tetapi pihak pendakwaan ingin memastikan Dr Murray tidak akan membuat sebarang keuntungan hasil daripada penjualan ceritanya sama ada dalam bentuk buku atau apa sahaja selepas dia dibebaskan nanti.

- MSTAR

Satu laporan daftar kematian sahaja jika berlaku kematian

Mulai 1 Disember, waris orang yang meninggal dunia kini hanya perlu membuat satu laporan untuk mendapatkan permit mengubur dan sijil kematian, berbanding dua laporan berasingan kepada agensi berlainan ketika ini.

Mengikut prosedur baru itu, kematian boleh dilaporkan di mana-mana balai polis atau hospital di seluruh negara menggunakan borang baru Daftar Kematian/Permit Mengubur JPN LM02 (Pin.1/11).

Selain balai polis dan hospital, penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan juga boleh mendaftar kematian di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan borang sama.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd Said, berkata prosedur baru itu dapat mengatasi kerenah birokrasi kerana laporan hanya perlu dibuat sekali bagi sesuatu kematian untuk mendapatkan dua dokumen iaitu permit mengubur dan sijil kematian sekali gus.

“Inovasi baru bagi Dokumen Daftar Kematian/Permit Mengubur di Semenanjung Malaysia dilaksanakan seperti diluluskan Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 39(h) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

“Mengikut kaedah baru ini, sebaik saja laporan kematian diterima, pemaklum akan diberi satu salinan Daftar Kematian/Permit Mengubur JPN LM02 (Pin.1/11) yang akan digunakan bagi urusan pengebumian jenazah/mayat. Ia secara langsung bermakna kematian itu sudah diterima dan didaftarkan dengan JPN.

“Pemaklum hanya perlu hadir ke JPN bagi mendapatkan sijil kematian (JPN LM03) saja. Inovasi ini dapat meningkatkan keupayaan dan kecekapan mengemas kini Sistem Informasi Rekod Kependudukan Negara melalui perkongsian maklumat antara JPN dan agensi kerajaan yang lain, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sistem sekarang memerlukan pemaklum membuat laporan kematian sebanyak dua kali, iaitu di agensi pengesah kematian bagi mendapatkan permit mengubur dan laporan kematian kedua di JPN untuk memohon sijil kematian.

Pada masa yang sama, perkongsian maklumat itu secara langsung dapat membantu SPR dalam usaha mengemas kini rekod kematian di dalam daftar pemilih secara online melalui Agency Link Up System (ALIS).

- BERITA HARIAN

Cantik belum tentu menarik

ADAKAH pada zaman remaja anda sering dimomokkan dengan tanggapan tiada siapa yang akan 'berkenan' dengan anda dan apabila berada di kalangan khalayak, anda berprasangka tiada seorang pun perasan dengan kehadiran anda?

Mungkin juga anda sering berasa keseorangan dan berasa rendah diri disebabkan kekurangan dari segi fizikal berbanding rakan-rakan lain.

Sebenarnya, bukan semua daripada kita dilahirkan istimewa dengan memiliki wajah yang mempesona.

Namun, sekiranya difikirkan lebih mendalam, mungkin bagus dilahirkan 'kurang sempurna' dari segi penampilan wajah agar tidak terasa riak dengan kecantikan yang dianugerah Tuhan.

Siapa kata insan yang tidak dianugerahkan dengan raut wajah yang kurang sempurna tidak boleh menambat hati orang lain?

Apa yang pasti, setiap insan di bumi ini memiliki keistimewaan masing-masing.

Sesungguhnya tarikan kecantikan itu satu perkara yang subjektif. Cantik pada mata anda, mungkin tidak pada mata orang lain.

Banyak kajian menunjukkan biarpun golongan lelaki dikatakan makhluk yang akan tertarik dengan kecantikan fizikal, namun bukan semata-mata itu saja yang memikat hati mereka.

Ini dibuktikan apabila ramai pasangan yang berkahwin dengan pasangan mereka yang sama cantik tetapi akhirnya bercerai dan sebaliknya berlaku.

Percayalah, biarpun ramai di kalangan manusia yang cantik ini digemari dalam kehidupan mereka, namun mereka selalunya tidak bertuah dalam cinta.

Rahsia di sebalik kata orang bijak dahulu kala ialah dalam setiap perhubungan, ia bukan bagaimana cara anda kelihatan (kecantikan) tapi bagaimana lelaki itu rasa terhadap anda, itu yang penting.

Kecantikan sebenar lahir dari dalam diri biarpun seseorang itu hanya dilihat sebagai gadis biasa dan tidak glamor.

Panduan-panduan ini mungkin boleh menjadikan anda seorang wanita yang dapat menambat hati lelaki:

Beri perhatian penuh

Golongan lelaki sukakan wanita yang sering memberi perhatian penuh kepadanya, mendengar cita-cita dan impiannya, keraguannya, hatinya dan selalu memberinya keyakinan.

Anda penghibur yang baik

Ramai di kalangan wanita yang kehilangan cinta mereka kerana membawa terlalu banyak akses bagasi beremosi selain ada agenda yang tersembunyi dan perengus. Jadilah individu yang menyenangkan pandangan pasangan anda dan melembutkan jiwanya.

Boleh memasak biarpun sedikit

Memang benar, memikat lelaki menerusi perutnya. Ambil kelas memasak atau bertanyakan kepada ahli keluarga mengenai hidangan masakan kegemarannya.

Boleh masuk dalam semua keadaan

Sekiranya anda boleh menyesuaikan diri dalam setiap kegemarannya, mempunyai bakat dan boleh pula bergaul dengan semua orang termasuk rakan-rakan si dia tanpa masalah, ini lebih bagus. Menjadi seorang rakan kongsi kepada si dia bukannya seperti tunggul yang tiada berfungsi.

Jadi seorang yang 'pandai'

Lelaki sebenarnya sukakan wanita yang cerdik dan pandai menguruskan diri dan adakalanya mereka akan kagum dengan anda namun janganlah anda berlagak, meninggikan diri dan sering bercakap besar dengan kebolehan anda itu.

Jadi diri anda sendiri dan jangan jadi orang lain ketika bersama golongan ini serta anda perlu baik dengan semua insan penting bagi dirinya seperti ibunya, adiknya, kawan-kawan dan sebagainya. Sekiranya anda seorang perempuan, jadilah seorang perempuan yang feminin dan bukannya maskulin.

Cari persamaan

Persamaan itu menimbulkan tarikan. Apabila anda berjaya menampakkan diri anda sebagai wanita yang mempunyai banyak persamaan dengannya, ini akan menjadikan si dia tertarik untuk mendekati dan mengenali anda dengan lebih mendalam.

Hampir dengannya

Orang yang paling hampir dengan kita, selalu berada dekat dengan kita, adakah kita mudah melupakannya? Mungkin tidak. Selain persamaan, ahli psikologi menjelaskan bahawa kita mudah tertarik dengan orang yang berada dekat atau hampir dengan kita. Jadi, usahakanlah agar anda selalu berada hampir dengannya.

- UTUSAN

300,000 Mohon Jadi Anggota Sukarelawan KBS

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi program Rakan Muda sehingga kini menerima 300,000 permohonan daripada golongan belia di seluruh negara untuk menjadi sukarelawannya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu berkata, KBS meletakkan sasaran untuk mendapatkan satu juta sukarelawan menjelang akhir 2012 kerana jumlah yang besar itu dapat digunakan untuk memberi khidmat masyarakat seperti membantu mangsa banjir dan bencana alam.

"Golongan belia dalam negara perlu mencontohi belia di Australia, contohnya program The Australian Youth Ambassadors for Development (AYAD) yang diasaskan pada 1998 mendapat sambutan baik daripada ramai belia di negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu persidangan media selepas merasmikan The International Symposium On Voluteerism as Catalyst for Nation Building anjuran Pusat Belia Antarabangsa, yang berlangsung sehingga Rabu ini.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Belia Antarabangsa, Datuk Raja Ruslan Raja Samah.

Gan berkata, KBS juga menerima 400 permohonan untuk program My Corps yang melatih anggota sukarelawan menjadi pemimpin dalam sebuah kumpulan dan mempunyai kemahiran yang khusus ketika menghulurkan bantuan kesukarelawan pada masa depan.

- MSTAR

Nabi Musa berhadapan Firaun

Oleh BAHAGIAN ANALISA dan PENYELIDIKAN, YAYASAN DAKWAH ISLAM MALAYSIA

Ketika Bani Israel di Mesir ditindas oleh Firaun, Allah SWT mengutus Nabi Musa a.s untuk membebaskan mereka. Nabi Musa a.s adalah adik kandung Nabi Harun.

Di Mesir, keturunan Nabi Yaakub beranak-pinak selama lebih 400 tahun. Jumlah mereka mencapai ratusan ribu orang. Pada awalnya, mereka diterima oleh raja daripada Kerajaan Hykos.

Namun setelah kerajaan itu berakhir, pemerintahan dikuasai oleh Firaun. Bani Israel diperlakukan sewenang-wenangnya oleh Firaun.

Menurut sejarah, ketika Nabi Musa dilahirkan, Firaun yang memerintah Mesir ialah Ramses II yang menganggap dirinya Tuhan. Nabi Musa diutus oleh Allah bagi mengingatkan Firaun dan membebaskan Bani Israel.

Bersama-sama Nabi Harun, Musa berdakwah kepada Firaun. Namun dakwah mereka ditolak. Nabi Musa dikejar untuk dibunuh tetapi Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya serta membinasakan Firaun.

Berabad-abad lamanya Mesir diperintah oleh raja Firaun. Pemerintahan mereka dijalankan secara turun-temurun. Setiap raja yang memerintah kejam dan menindas rakyatnya, termasuk Bani Israel.

Pada suatu hari, seorang ahli nujum istana menghadap Firaun. Dia meramalkan mimpi Firaun iaitu seorang bayi lelaki daripada Bani Israel akan lahir dan apabila dewasa akan membinasakan kekuasaan Firaun.

Mendengarkan hal itu, Firaun memerintahkan semua bayi lelaki Bani Israel di Mesir dibunuh.

Anak angkat Firaun

Selepas Firaun mengeluarkan perintah itu, seorang wanita bernama Yukabad melahirkan bayi lelaki.

Kerana tidak mahu dibunuh, bayi tersebut dihanyutkan di Sungai Nil. Bayi itu lalu ditemui oleh isteri Firaun. Semasa diberitahu tentang bayi tersebut, Firaun segera memerintahkan supaya dia dibunuh.

Namun, permaisurinya melarang kerana sayang akan bayi itu dan belum dikurniai anak. Akhirnya bayi itu dijadikan anak angkat. Firaun menamakannya Musa.

Bayi Musa sering menangis kerana memerlukan susu. Maka, Firaun mencari wanita yang bersedia mengasuh dan menyusui anak angkatnya itu. Namun, Musa menolak semua wanita yang mencuba menyusuinya, kecuali ibu kandungnya sendiri. (al-Qasas: 7-13).

Membela Bani Israel

Nabi Musa dibesarkan dalam lingkungan kerajaan Firaun. Apabila dewasa, baginda sering berjalan-jalan mengelilingi kota. Pada suatu hari, Nabi Musa berjumpa dua lelaki yang sedang berkelahi.

Salah seorang daripadanya Bani Israel dan seorang lagi berdarah Mesir, keturunan Firaun. Orang Israel itu meminta pertolongan Nabi Musa.

Nabi Musa yang berniat membela kaumnya menumbuk orang berketurunan Firaun tersebut hingga mati.Setelah itu Nabi Musa menyesal dan memohon keampunan Allah atas kesalahannya (al-Qasas: 14-19).

Pelarian ke Madyan

Berita pembunuhan oleh Nabi Musa ke atas rakyat Mesir sampai ke telinga Firaun. Firaun segera menyiapkan bala tenteranya untuk menangkap dan membunuh Nabi Musa.

Oleh sebab berasa terancam, Musa segera meninggalkan negeri itu (rujuk al-Qasas: 20-22). Selama lapan hari lapan malam, Musa berjalan hingga tiba di Madyan iaitu selatan Palestin.

Nabi Syuaib a.s

Nabi Musa selamat tiba di Madyan. Di sana, baginda membantu dua wanita memberi minum ternakan mereka. Kedua-dua wanita itu adalah puteri Nabi Syuaib.

Mereka menceritakan kepada Nabi Syuaib bahawa Musa telah membantu mereka. Mendengar cerita itu, Syuaib ingin membalas budi Musa.

Salah seorang puterinya diutus menjemput Nabi Musa. Nabi Syuaib menyambut Musa dengan gembira dan berterima kasih atas kebaikan serta pertolongan Musa (al-qasas: 23-26).

Nabi Musa gembira tinggal di rumah Nabi Syuaib. Pada suatu hari, Nabi Syuaib menyampaikan hasrat menikahkan Musa dengan puterinya, Safura. Musa terkejut dan gembira mendengar permintaan Nabi Syuaib.

Musa memenuhi permintaan itu dan mematuhi syarat mertuanya. Dalam al-Quran, syarat itu menghendaki Musa bekerja membantu Nabi Syuaib selama 8-10 tahun. (al-Qasas: 27-28).

Dakwah kepada Firaun

Setelah menerima wahyu Allah SWT, Nabi Musa dan Harun menemui Firaun. Firaun terkejut melihat kedatangan mereka. Nabi Musa mula mengingatkan bahawa Firaun bukan Tuhan dan memintanya membebaskan Bani Israel.

Mendengar ucapan itu, Firaun murka dan mahu memenjarakannya. Kemudian, Nabi Musa menunjukkan kebenaran dakwahnya dengan memperlihatkan mukjizat yang diberi oleh Allah agar Firaun mempercayai kenabiannya.

Untuk menyangkal mukjizat Nabi Musa, Firaun mengundang ahli sihir kerajaan. Namun, mereka gagal mengalahkan Musa bahkan sebahagian mereka mengikuti Nabi Musa.

Dakwah Nabi Musa tidak menyedarkan Firaun. Disebabkan hinaan dan ejekan Firaun semakin menjadi-jadi, Nabi Musa berdoa agar Allah menurunkan bencana di Mesir.

Kemarau melanda Sungai Nil dan hasil pertanian tidak dapat dipungut. Allah juga menurunkan rebut taufan dan hujan lebat. Setelah banjir, pelbagai penyakit menyerang. Binatang ternakan binasa.

Semasa ditimpa azab, orang Mesir berjanji akan beriman jika bebas daripada bencana. Firaun sendiri tidak dapat berbuat apa-apa.

Namun, setelah bencana itu berakhir, Firaun kembali menunjukkan keangkuhannya (al-A'raaf: 130-135). Bahkan, Firaun ingin membunuh Nabi Musa dan Bani Israel.

Api daripada Allah SWT

Nabi Musa bekerja untuk Nabi Syuaib selama 10 tahun. Setelah genap tempoh tersebut, Nabi Musa ingin bertemu keluarganya di Mesir. Nabi Musa dan isterinya berjalan merentasi padang pasir. Akhirnya, mereka tiba di Gunung Tursina.

Apabila malam, mereka bimbang untuk meneruskan perjalanan kerana gelap. Tiba-tiba, Nabi Musa terlihat api di suatu tempat yang jauh.

Baginda meminta isterinya tinggal sebentar sementara baginda pergi mengambil api itu. Nabi Musa berjalan ke tempat api dan sampai dekat sebatang pokok. Ternyata api tersebut berasal daripada Allah.

Taurat

Setelah Firaun dan tenteranya tenggelam, Nabi Musa pergi ke Gunung Tursina. Baginda meninggalkan kaumnya dan urusan memimpin mereka diserahkan kepada Harun.

Di sana, Nabi Musa berpuasa selama 30 hari. Puasanya kemudian disempurnakan menjadi 40 hari. Dalam keadaan suci itu, Nabi Musa mendengar firman Allah SWT secara langsung.

Baginda kemudian dikurnia kitab Taurat, yang mengandungi pelbagai nasihat dan penjelasan hukum sebagai pedoman hidup bagi umatnya (al-A'raaf: 142-145).

Nabi Khidir a.s

Nabi Musa diperintahkan Allah mencari orang yang lebih pintar daripadanya. Bersama-sama muridnya, Yusya bin Nun, Nabi Musa pergi dan bertemu Nabi Khidir.

Nabi Musa meminta untuk belajar daripadanya dan mengembara bersama-samanya. Namun, sebelum memulakan perjalanan, Nabi Khidir melarang Nabi Musa bertanya tentang setiap perbuatannya. Syarat itu dipersetujui oleh Nabi Musa.

Di tengah-tengah perjalanan, Nabi Khidir membocorkan perahu, membunuh seorang pemuda dan membaiki rumah yang hampir roboh.

Setiap perbuatan Nabi Khidir memancing rasa ingin tahu Nabi Musa, lalu baginda pun melanggar janjinya.

Di akhir perjalanan mereka, barulah Nabi Khidir menjelaskan tujuan setiap perbuatannya (al-Kahfi: 60-82).

- UTUSAN

90% Khidmat Kerajaan Secara Dalam Talian Menjelang 2015

Perkhidmatan kerajaan bagi E-Kaunter dan perkhidmatan dalam talian disasar pada tahap 90 peratus menjelang 2015, kata Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Datuk Mohamad Zabidi Zainal.

Manakala di bawah program 'paperless government', beliau berkata kerajaan telah mensasarkan, 70 peratus urusan surat-menyurat, memo dan minit mesyuarat dibuat secara online dan 90 peratus bagi urusan panggilan mesyuarat.

"Selain meningkatkan kecekapan urusan berkenaan, usaha itu juga akan menyumbang kepada pencapaian objektif strategik inisiatif teknologi hijau dalam urusan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua Pegawai-Pegawai Maklumat di sini, Selasa.

Kerajaan juga katanya, sedang merangka kaedah baru dalam pengurusan ICT yang dikenali sebagai Pengkomputeran Awam.

Mohamad Zabidi berkata, setakat ini ia telah diaplikasikan di 36 agensi kerajaan dan akan diperluaskan di 100 lagi agensi pada masa hadapan.

Selain itu, beliau berkata Mampu juga sentiasa mengambil langkah-langkah untuk memastikan ciri keselamatan semua sistem dan laman web di bawah kendaliannya sukar digodam pihak tidak bertanggungjawab.

- BERNAMA

Pencari jodoh untuk bujang sibuk

ANDA masih solo dan tiada pasangan hidup. Alasan yang sering diberikan adalah kesukaran mencari pasangan sesuai atau terlalu sibuk dengan kerja sehingga tidak punya waktu terluang untuk memikirkan tentang cinta. Namun, anda masih berhasrat untuk merasai keseronokan hidup berpasangan seperti orang lain.

Kebimbangan seperti itu tidak perlu dipanjangkan kerana terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk menemui teman istimewa yang boleh disunting sebagai cinta sejati.

Kesibukan kerjaya di kota besar seperti Kuala Lumpur yang pantas membangun secara tidak langsung mempengaruhi ketinggian cita rasa diri golongan profesional. Berikutan itu, cabaran bagi golongan yang 'gila' bekerja untuk mencari teman sesuai semakin meningkat.

Kebanyakan golongan profesional muda hari ini terlalu 'leka' dengan kerjaya masing-masing hingga menyebabkan mereka terlupa untuk meluangkan masa mencari teman hidup.

Walaupun janji temu dengan rakan atau teman yang baru dikenali menjadi sebahagian gaya hidup hari ini namun, ia sering kali tidak berkesudahan dengan baik dan tidak membawa makna dalam mencari pasangan hidup.

Menyedari senario itu, syarikat janji temu pertama di Asia Tenggara, Lunch Actually, mengambil kesempatan menyediakan perkhidmatan janji temu makan tengah hari bagi golongan profesional yang 'gila' bekerja tetapi masih berhasrat mencari cinta.

Kisah seorang pegawai bank, Ian Wong, 30, yang dipertemukan dengan Dr. Vanessa Chin, 30, melalui alam maya sehingga membawa mereka ke alam perkahwinan adalah sesuatu yang pasti dikenang sepanjang hayat mereka.

"Kami tidak pernah bayangkan bahawa kami akan bertemu antara satu sama lain melalui agensi janji temu alam maya yang diaturkan Lunch Actually.

"Tetapi pertemuan kami menjadi realiti dengan bantuannya. Terima kasih atas perkhidmatan profesional dan susun atur janji temu yang sempurna untuk kami sehingga hubungan kami sampai ke peringkat ini," kata Ian.

Tambah pasangan itu, model perniagaan dan janji temu makan tengah hari tersebut adalah luar biasa. Vanessa memberitahu, pekerja syarikat laman web janji temu itu sangat komited dalam menjalankan tugas mereka.

"Kakitangan Lunch Actually bagus dan bersemangat. Mereka benar-benar cuba melakukan yang terbaik untuk menjayakan janji temu yang berpotensi.

"Kami bermula dengan baik pada janji temu makan tengah hari yang pertama. Ia merupakan janji temu yang sangat bernilai dalam hidup dan tidak dapat dilupakan," kata Vanessa dan Ian.

Keserasian diatur

Seorang peguam, Christy Chong, 31, berkata, dia pada mulanya tidak pernah percaya dengan soal pencarian jodoh. Dia selama ini percaya bahawa jodoh akan hadir sendiri dalam hidup seseorang.

Namun selepas 'mengaku kalah' pada keadaan semasa dan kesibukan kerja, Christy telah menyertai Lunch Actually dan amat berterima kasih dengan pengasas agensi mencari jodoh terbaik Asia Tenggara itu.

"Dalam kesibukan bidang pekerjaan saya ini, saya berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan ramai orang. Pada masa yang sama, ramai orang cuba melamar saya. Namun, tiada seorangpun daripada mereka memenuhi kriteria yang saya inginkan hinggalah saya berjumpa dengan seseorang yang telah diaturkan.

"Kami mempunyai banyak persamaan dan mula menyukai antara satu sama lain. Semuanya kerana Lunch Actually," katanya yang kini sudah mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Ben CK Leong, 32.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lunch Actually, Violet Lim, berkata, perkhidmatan janji temu makan tengah hari untuk mencari teman hidup yang bermula di Singapura pada April 2004 itu sudah terbukti berjaya di republik tersebut.

Menurutnya, Lunch Actually yang beroperasi secara maya menjadi platform yang sesuai bagi golongan bujang berkerjaya yang terlalu sibuk untuk bertemu pasangan ideal melalui cara yang selamat, mudah dan selesa.

Laman maya yang secara rasmi diperkenalkan di Malaysia pada September 2005 dan diasaskan bersama suaminya, Jamie Lee, itu disahkan oleh Matchmaking Institute di New York.

Katanya, syarikat itu kini bersedia untuk melaksanakan kaedah janji temu yang dipraktikkan secara meluas di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia di negara ini.

"Melalui pemerhatian, saya dapati rata-rata golongan muda profesional mempunyai rutin jadual yang sibuk.

"Selain itu, mereka yang berkahwin pada usia sepatutnya sudahpun berkenalan dengan teman hidup mereka ketika di sekolah atau di universiti. Namun, jika bernasib baik, perhubungan berkenaan dapat berkekalan," jelas Violet.

Bagaimanapun, dakwa pengasas laman web itu, apabila golongan bujang sudah bekerja, mereka akan mula sibuk sehingga terlupa soal teman hidup. Tanpa disedari, usia mereka terus meningkat tua.

Violet yang juga penulis buku Lessons from 15,000 First Dates itu berpendapat bahawa pendekatan mengadakan pertemuan santai pada waktu makan tengah hari merupakan idea yang menarik untuk mencari pasangan.

Berbanding mengadakan temu janji makan malam, mungkin ada yang menganggap ia terlalu romantik atau terlalu terikat dengan hasrat asas mencari jodoh.

Cara baharu

Violet menambah, zaman yang berubah menyaksikan ramai individu berkerjaya kini lebih cenderung mengambil pendekatan lebih realistik dalam bercinta berbanding cara lama.

"Cara lama iaitu ibu bapa yang memain peranan menjodohkan anak mereka kini semakin kurang diamalkan. Justeru, Lunch Actually memperkenalkan satu usaha alternatif," ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Violet berkata, dari tinjauan tabiat janji temu yang dilakukan ke atas kira-kira 2,000 orang responden, kaum lelaki di Malaysia kini berfikiran lebih terbuka berkenaan teman wanita mereka.

Sementara itu, sebaliknya, wanita di negara ini masih inginkan teman lelaki yang lebih tinggi, berpelajaran dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding diri mereka.

"Hasil tinjauan yang dilakukan syarikat saya mendapati 70 peratus wanita Malaysia tidak akan menjalin hubungan dengan lelaki yang lebih rendah daripada mereka," dedah Violet.

Sementara itu, 55 peratus lelaki di Malaysia pula berkata mereka hanya akan menjalin hubungan dengan wanita yang lebih tinggi.

Penemuan itu didedahkan oleh satu tinjauan yang telah dilaksanakan oleh agensi janji temu, Lunch Actually, membabitkan 1,895 responden dari Hong Kong, Singapura dan Malaysia.

Tinjauan yang dijalankan atas talian dari 25 Ogos sehingga 14 September 2011, melibatkan 654 orang rakyat Malaysia, dengan 76.1 peratus daripadanya berusia di antara 26 hingga 40 tahun. Sejumlah 75.1 peratus daripada mereka merupakan lepasan ijazah sarjana muda atau lebih.

Menurut statistik itu, lelaki pada hari ini bersifat lebih terbuka dan akan mempertimbangkan menjalin hubungan dengan wanita yang lebih tinggi, berpelajaran dan memperoleh pendapatan yang lebih banyak daripada mereka.

Ciri pilihan wanita

"Bagaimanapun, keadaan yang berbeza dapat dilihat dalam kalangan wanita Malaysia. Mereka menolak lelaki yang lebih rendah, kurang berpelajaran dan berpendapatan lebih rendah daripada diri mereka," kata Pengasas Bersama Lunch Actually, Jamie Lee.

Tinjauan itu juga mendapati wanita di negara ini semakin fokus terhadap wang dan kuasa pendapatan teman lelaki mereka yang berpotensi.

Menurutnya, 60 peratus daripada mereka berkata bahawa mereka tidak akan menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang berpendapatan kurang daripada mereka.

Angka tersebut merupakan yang tertinggi berbanding wanita Singapura sebanyak 47 peratus dan Hong Kong sebanyak 27 peratus.

Jelasnya, sungguhpun perkahwinan dilihat sebagai satu perkara penting dalam kalangan sebahagian besar lelaki, namun sebanyak 72 peratus lelaki ramai mengakui bahawa mereka takut dengan komitmen kerana bimbang dikongkong dan mengalami masalah kewangan.

Terang Violet, tinjauan itu turut mendapati, satu perkara yang akan menarik perhatian lelaki serta-merta terhadap wanita tidak berubah iaitu muka yang cantik, sementara bagi wanita, ialah keyakinan dan perwatakan lelaki terbabit.

"Di Malaysia, Singapura dan Hong Kong, golongan lelaki dan wanita bujang berpendapat bahawa usaha menjadikan penampilan diri mereka lebih menarik berkait rapat dengan mencari cinta.

"Berbanding tahun-tahun sebelum ini, terdapat peningkatan ketara dalam bilangan individu yang menggunakan kaedah janji temu dalam talian Internet bagi mencari cinta. Ini boleh disebabkan oleh peningkatan keyakinan terhadap janji temu dalam talian dan sifat celik Internet," katanya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web www.lunchactually.com

- KOSMO!

Selasa, November 29, 2011

Panduan dan Contoh Soalan Peperiksaan Perangkawan E41

Panduan dan Contoh Soalan Peperiksaan Perangkawan E41

Panduan Peperiksaan Perangkawan E41

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati

Hadith:

RASULULLAH saw bersabda bermaksud: "Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah."

Riwayat: Riwayat Hadith Al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

1. Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.

2. Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.

3. Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Isnin, November 28, 2011

Malaysia tewas kepada Bahrain 2 - 3 Kelayakan Olimpik 2012


TIGA gol pasukan lawan dalam tempoh enam minit mengundang padah buat Harimau Muda apabila tewas 2-3 kepada Bahrain pada aksi Kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Lebih mendukacitakan, anak-anak buah Ong Kim Swee gagal menggunakan kelebihan dua gol sekalipun Bahrain terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain setelah Fahad Tareq Showaiteb dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.

Ternyata beraksi di depan lebih 40,000 penyokong sendiri bukannya kelebihan buat Harimau Muda yang mungkin sudah boleh melupakan impian untuk menjejakkan kaki ke bumi London tahun depan.

Percaturan jurulatih Bahrain, Salman Shareeda yang membawa masuk dua penyerang gantian, Saad Salah Al-Amer dan Isa Ahmed Muthanna, dalam tempoh 10 minit membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain itu meledak ketiga-tiga gol pasukan pelawat.

Bahrain terlebih dahulu menguji gawang negara apabila rembatan Mohamed Ali Tayeb Al-Alawi terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat seawal minit kedua.

Tersentak dengan asakan itu, Harimau Muda yang kembali mengatur gerak, namun rembatan Wan Zack Haikal Wan Nor hasil hantaran cantik satu dua bersama Irfan Fazail, mudah dibaca penjaga gol pelawat, Ashraf Waheed Al-Sebaie lima minit kemudian.

Gol pendahuluan Harimau Muda akhirnya menjelma apabila rembatan deras kaki kiri Nazmi Faiz Mansor dari luar kotak penalti terus menerjah jaring Bahrain pada minit ke-30.

Jaringan itu ternyata menambah tonik Harimau Muda apabila berterusan menggandakan asakan, namun tandukan Mohamed Amer Saidin sedikit melewati palang gol hasil sepakan penjuru Mahali Jasuli pada minit ke-37.

Sebaik babak kedua bersambung, Bahrain dilihat semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Fahad dilayangkan kad merah gara-gara mengasari Mohd. Affize Faisal Mamat pada minit ke-58.

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya Harimau Muda yang berjaya menggandakan kelebihan apabila kesilapan mudah Ashraf Waheed yang gagal menangkap kemas bola hantaran lintang Mohd. Fandi Othman dihukum Mahali Jasuli yang tenang menyambar bola muntah untuk gol kedua pada minit ke-66.

Bahrain yang tidak berputus asa berjaya merapatkan kedudukan apabila sepakan gunting Saad Salah terus menerjah gawang Harimau Muda pada minit ke-80.

Gegak gempita di Stadium Nasional, Bukit Jalil akhirnya bertukar sunyi sepi apabila Isa Ahmed berjaya menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh dua minit bagi memastikan tiga mata berharga buat Bahrain.

Cubaan Harimau Muda untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan tidak berhasil apabila Mohd. Ferris Danial Mat Nasir yang tidak dikawal gagal menyambut hantaran Mahali pada masa kecederaan.

Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat Harimau Muda dalam saingan kelayakan Olimpik selepas tewas 0-2 dalam dua-dua perlawanan menentang Jepun dan Syria sebelum ini.

Dengan keputusan itu, Harimau Muda kini kekal di tangga tercorot Kumpulan C, sementara Jepun kekal menerajui takhta apabila menjinakkan Syria 2-1 di Stadium Olimpik Nasional, Tokyo semalam.

- KOSMO!

Recent Posts