Khamis, November 24, 2011

RM300 Juta Jangkaan Kos Kendalikan Pilihan Raya Ke-13

Kos mengendali pilihan raya umum ke-13 nanti dijangka mencecah RM300 juta berbanding RM200 juta bagi pilihan raya umum yang lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Beliau berkata anggaran itu adalah sekiranya pilihan raya itu dijalankan secara serentak di semua negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang kini dikuasai pembangkang.

"Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan untuk proses pilihan raya umum akan datang ialah pertambahan bilangan pemilih serta peralatan-peralatan bantuan seperti kotak undi, penindik dan kenderaan," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Umum ke-13 di Melaka Rabu.

Abdul Aziz berkata langkah melaksanakan undi pos di luar negara juga menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan proses pilihan raya akan datang kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Beliau berkata SPR perlu membelanjakan sekurang-kurangnya US$10 bagi kos penghantaran untuk seorang pengundi pos di luar negara.

Abdul Aziz berkata setakat ini, semua perancangan yang dilakukan termasuk Taklimat Pegawai dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya adalah di peringkat awal dan proses berkenaan memerlukan perancangan rapi dan teratur.

"Saya ingin menyatakan bahawa persediaan ini merupakan persediaan yang sangat awal di mana daripada segi peratusan perkembangan penyediaan ke arah proses pilihan raya adalah sangat kecil.

"Maknanya kita masih dalam proses penyediaan belanjawan dan penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata SPR juga telah merancang beberapa pembaharuan berhubung proses pilihan raya di negara ini tetapi ia masih di bawah penelitian dan perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambah baikan proses pilihan raya.

Pembaharuan itu melibatkan penamaan calon, undi awal, undi pos, pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya, penggunaan dakwat kekal dan bahan kempen.

- BERNAMA

'Fahaman Wahabi tak sesuai diamal di Malaysia'

Kerajaan berpendirian bahawa fahaman Muhammad Abdul Wahab (Wahabi) tidak sesat namun ia tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan memandang berat terhadap kekeliruan dan perselisihan faham yang timbul berhubung isu ini tetapi setakat ini ia masih terkawal.

"Kumpulan yang menyokong pegangan Muhammad Abdul Wahab ini tidak terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun apa yang mesti diatasi dan ditangani adalah isu-isu kontroversi yang bersangkut dengan masalah furu'iyyah (cabang) yang cuba dibangkitkan mereka," katanya ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Nor ingin tahu sejauh manakah fahaman Wahabi meresap dalam kalangan masyarakat.

Jamil Khir berkata keputusan itu berdasarkan hasil beberapa perbincangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998).

Ia juga turut dibincangkan dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali ke-14 tahun 2000 dan kali ke-20 pada tahun 2002 serta kali ke-23 pada 2003, katanya.

Beliau berkata kesemua keputusan itu adalah untuk menyekat penularan isu atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan dan boleh menggugat perpaduan umat islam di Malaysia.

Kepada soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok) tentang aspek ancaman yang boleh dilihat dari gerakan Wahabi, Jamil Khir berkata situasi yang berlaku hari ini adalah khilaf yang diperbesarkan sehingga menimbulkan sensitiviti umat.

"Keadaan ini sekali gus menimbulkan pandangan berbeza kepada kelompok masyarakat. Justeru, demi menjaga kesejahteraan rakyat, kerajaan memberi pendekatan bahawa Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan akidah dalam konteks negara Malaysia dan Mazhab Syafie menjadi pegangan," katanya.

- BERNAMA

Sekolah Menengah Vokasional Dinaik Taraf Kolej 2013

Sebanyak 78 sekolah menengah vokasional akan dinaik taraf menjadi kolej vokasional menjelang 2013, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat pada Rabu, bahawa kurikulum vokasional dirombak secara komprehensif supaya mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja dan pasaran semasa.

"Sebagai permulaan, 15 sekolah menengah vokasional telah dikenal pasti untuk dijadikan program rintis mulai tahun depan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong-BN) yang bertanya bilakah kementerian akan menukarkan status sekolah vokasional kepada kolej vokasional sebagai sebahagian usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara.

Mohd Puad berkata kesemua pelajar yang mengikuti pengajian di kolej vokasional ini akan mengikuti pengajian selama empat tahun, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik.

Pelajar yang menamatkan pengajian di kolej ini akan mendapat diploma vokasional kerana mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun).

Pelajar sekolah menengah Tibngkatan Satu hingga Tiga yang mengikuti peringkat Program Asas Vokasional (PAV) akan diberi sijil Tahap Dua, katanya.

Mohd Puad berkata antara 15 sekolah perintis yang terlibat adalah, Sekolah Menegah Kebangsan Vokasional Shah Alam, Sekolah Menengah Kebangsan Vokasional Kluang dan Sekolah Menegah Kebangsaan Teknik Datuk Seri Mohd Zin.

Pada tahun 2013, sebanyak 150 sekolah akan dipilih untuk mengikuti program asas vokasional yang melibatkan 9,450 orang pelajar, katanya.

- BERNAMA

Kenderaan baharu teroka Marikh


Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan kenderaan baharu sebesar sebuah kereta yang akan meneroka planet Marikh.

Kenderaan itu yang diberi nama Curiosity mempunyai lengan sepanjang dua meter dan dilengkapi laser untuk memusnahkan batu di planet tersebut.

"Ini ialah mesin impian saintis Marikh," kata timbalan ketua projek saintis Marikh di NASA, Ashwin Vasavada.

Kenderaan itu bernilai AS$2.5 bilion (RM7.94 bilion) dan ia akan bergerak ke kawasan yang mempunyai organik dan karbon di Marikh pada Ogos tahun depan.

Kenderaan itu membawa seberat 4.8 kilogram plutonium yang boleh menjana kuasa selama dua tahun di Marikh.

Ia sepanjang dua meter, lebar sembilan meter dan setinggi dua meter.

- Agensi

Bantuan RM100 Diperluaskan Kepada 500,000 Pelajar Sekolah Swasta

Kerajaan bersetuju meluaskan bantuan persekolahan RM100 setiap seorang kepada 500,000 pelajar sekolah swasta di seluruh negara membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi menghadapi persekolahan tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata peruntukan kepada pelajar sekolah swasta sama ada sekolah agama rakyat atau sekolah swasta Cina itu diputuskan memandangkan kerajaan tidak mahu pelajar terbabit merasakan diri mereka terpinggir.

"Kita memikirkan mereka juga akan berhadapan dengan sesi persekolahan yang memerlukan bantuan pakaian sekolah dan sebagainya. Mereka ini juga menghadapi masalah yang sama seperti pelajar sekolah kerajaan.

"Jadi, kita beri keadilan kepada semua yang bersekolah. Kita prihatin kepada masalah rakyat," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dengan penduduk kawasan peti undi Kampung Kluang, Rengit, Johor, malam Selasa.

Sehubungan itu, Mohd Puad mahu guru besar atau pengetua sekolah swasta dapat mengagihkan bantuan tersebut kepada pelajar dalam sedikit masa lagi tanpa membuat sebarang pemotongan.

Terdahulu berucap pada majlis tersebut beliau meminta semua rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya terus mengekalkan semangat perpaduan seperti yang dicetuskan oleh pasukan bola sepak Harimau Muda yang berjaya mengekalkan pingat emas dalam pertandingan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26.

Pada majlis yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang penduduk itu, Mohd Puad turut menyampaikan bantuan kerusi roda kepada tujuh Orang Kurang Upaya (OKU), bantuan cermin mata dan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik.

- BERNAMA

Ilmuwan Islam saingi National Geographic

SIRI dokumentari Islam di media tempatan sering mempunyai ciri yang tipikal. Nasihat, fakta sejarah, emosi dan juga kerangka fahaman Islam konvensional.

Isi kandungan dokumentari Islam juga seringkali dapat diagak oleh para penonton kerana persamaan pendekatan, skrip dan juga elemen normatif yang disogokkan.

Tidak mustahil jika pihak media penyiaran di Malaysia sendiri tidak bersungguh di dalam mempromosikan dokumentari Islam, hatta yang mereka terbitkan sendiri.

Hal ini berlainan pula dengan sambutan yang mereka tunjukkan kepada rancangan ala-hiburan seperti rancangan realiti. Para penonton pun seringkali merupakan kelompok yang sama dan majoriti penonton sering gagal disentuh oleh dokumentari-dokumentari Islam berkenaan.

Akhirnya, apa sahaja dokumentari Islam yang diterbitkan, seakan ada persepsi di kalangan masa tentang isi kandungannya, penyampaian dan fakta yang seringkali bersifat stereotaip.

Atas kesedaran inilah, penerbit rancangan Ilmuwan Islam Primeworks Media cuba menongkah arus dan menyanggah persepsi. Walaupun siri dokumentari Ilmuwan Islam diterbitkan sejak tahun 2005, namun di dalam siri tahun 2011, ia diterbitkan dengan banyak pembaharuan dan penambahbaikan.

Penerbit cuba menggabungkan di antara dunia akademik dan juga dunia penyiaran. Untuk tujuan tersebut, khidmat pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Maszlee Malik ditagih untuk menjalankan kajian ke atas topik yang menjadi subjek utama perbincangan Ilmuwan Islam siri 2011.

Konsep pembuatan dokumentari berteraskan kajian akademik dan kerjasama di antara pihak media penyiaran dengan menara gading bukanlah sesuatu yang baru di dunia barat.

British Broadcasting Corporation (BBC), al-Jazeerah, National Geographic dan lain-lain media penyiaran terkemuka telah berdekad mengamalkan budaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kerjasama bijak tersebut.

Hasilnya, dokumentari mereka mempunyai mutu dan kualiti bertaraf antarabangsa dan mempunyai nilai akademik dan keilmuan yang tinggi.

Bukan sekadar budaya baru yang diperkenalkan, malah pihak penerbit melalui penerbitnya, Hisham Abdullah cuba membawa konsep mempromosikan idea dan kesan rekaan ilmuwan Islam terdahulu kepada zaman moden.

Berbanding konsep menceritakan biografi ilmuwan silam yang kebanyakannya bersikap fakta yang membosankan, Ilmuwan Islam tahun 2011 membawa kesan idea dan rekaan para ilmuwan Muslim terdahulu di dalam kehidupan manusia di zaman ini.

Untuk tujuan tersebut, idea dan karya tujuh Ilmuwan Muslim silam dipilih. Sepanjang lapan episod dokumentari yang disiarkan setiap Jumaat pada pukul 6.30 petang, penonton dibawa berkenalan dengan Al-Jazari melalui konsep kejuruteraan mekanikal melalui menara jam gajah, di mana replikanya boleh didapati di British Museum dan juga di dalam Ibn Batuta Mall di Dubai.

Demikian juga al-Kindi dan al-Farabi sebagai pencipta nota muzik telah dipilih untuk melihat konsep terapi muzik yang mereka hasilkan dan juga pengunaannya sepanjang zaman dulu dan kini. Juga Ibn Khaldun dan juga teori Division of Labour' dan kesannya kepada ekonomi pasaran-bebas masa kini dan juga Banu Musa tiga beradik dan juga tekonologi 'automata' yang merupakan konsep primitif kepada tekonolgi robotik moden.

Selain pendekatan isi kandungan yang menongkah arus itu, pihak penerbit juga melakukan revolusi di dalam dunia dokumentari Islam dengan mengambil pengkaji dan perunding siri tersebut sendiri, Dr. Maszlee sebagai hos dokumentari.

Berbanding tugas penyampai dokumentari Islam yang berbentuk stereotaip, beliau cuba memperkenalkan konsep baru di dalam penghasilan dan penyampaian dokumentari.

Caranya, membawa para penonton bersama menyelami falsafah dan makna-makna tersirat di sebalik perjalanan beliau menerokai Ilmuwan Muslim-Ilmuwan Muslim yang agung itu dengan membawanya ke kerangka kehidupan seharian mereka.

Maka, bukan hanya sekadar penyampaian terhadap maklumat dan fakta yang tersedia, Dr. Maszlee cuba meletakkan para penonton sebagai penilai, pengamat dan juga pengkritik sumbangan dan idea ilmuwan yang diperbincangkan.

Menyelami

Pelbagai aspek pendidikan, budaya, politik, ekonomi, keagamaan, sikap, psikologi, sosiologi dan juga motivasi dipersembahkan di dalam keadaan para penonton berfikir, bersikap kritis dan menyelami idea-idea yang dipersembahkan melalui 'perjalanan' ilmu para ilmuwan tersohor yang dibincangkan merentasi kurun-kurun yang lampau.

Objektif utama yang cuba diperkenalkan oleh Dr. Maszlee melalui lapan episod tersebut adalah 'mencari makna kehidupan para penonton melalui perjalanan ilmuwan silam dan idea mereka yang kekal sehingga kini'.

Lebih menarik, demi membawa para penonton berkenalan dengan idea-idea hebat ilmuwan silam yang dibincangkan lebih intensif, Dr. Maszlee membawa para penonton menemui cendekiawan hebat antarabangsa, di kalangan Muslim dan bukan Muslim untuk memahaminya.

Tokoh falsafah Muslim di Eropah, Prof. Tariq Ramadan dari Universiti Oxford, tokoh perbankan Islam di United Kingdom, Prof. Rodney Wilson dan Dr. Mehmet Asutay, ahli Royal Society dan juga pengarah pusat kajian sains dan tamadun Islam yang berprestij, The Foundation for Science Technology and Civilisation (FSTC), Prof. Selim Husseini, pakar perubatan Osmaniyyah dan juga muzik terapi Prof. Nil Sari adalah di antara tokoh yang diwawancara sepanjang lapan episod Ilmuwan Islam tahun 2011.

Konsep profesionalisme dan juga usaha mencapai standard dokumentari bertaraf antarabangsa selari dengan BBC dan National Geographic menjadi tema penerbitan dokumentari Ilmuwan Islam musim ini. Pendek kata, para penonton seolah-oleh menyaksikan rancangan dokumentari yang dihasilkan oleh penerbit luar negara yang ditayangkan tanpa sebarang stereotaip dan norma-norma kebiasaan.

Apa yang lebih menarik, konsep participant-observant yang dibawa oleh penerbit Ilmuwan Islam kali ini yang dihayati oleh penyampaian luar kebiasaan oleh pengkaji dan penyampainya membawa para penonton menyelami sejarah silam tanpa meninggalkan realiti moden mereka.

Banyak tempat-tempat yang dipaparkan sepanjang 'perjalanan' Dr. Maszlee bersama penonton untuk mereka mengutip makna-makna kehidupan untuk diaplikasikan.

Ini termasuklah, hospital muzik terapi di Edirne Turki, muzium perubatan Uthmaniyyah di Universiti Istanbul, Ibn Batuta Mall di Dubai, ladang ternakan unta di padang pasir di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu, Royal Society di London, Picardlly Garden di Manchester, padang ragut biri-biri dan juga gereja kuno (Cathedral) berusia lebih 1000 tahun di Durham University, England, pusat mandian umum (Hamam) dan saliran air Aqueduct di Istanbul dan pusat pemulihan muzik terapi di Yalova.

Pendek kata, dokumentari Ilmuwan Islam 2011 yang bermula 4 November lalu adalah gabungan di antara beberapa teknik.

Iaitu teknik penyampaian hos dokumentari terkenal Tim Mackintosh Smith dan Datuk Bandar London, Boris Johnson di BBC, konsep penyelidikan dan misteri novel Da Vinci Code karya Dan Brown, Thriller filem National Treasure lakonan Nicholas Cage, konsep falsafah kehidupan dan perjalanan ala novel Alchemist' oleh Paulo Coelho dan novel The Little Prince (Le Petit Prince) karya Antoine de Saint-Exupéry, dan juga sikap pengamatan kritis Ibn Khaldun lewat karya agungnya al-Muqadimmah.

Kesimpulannya, inilah dokumentari Islam pertama di Malaysia.

- UTUSAN

Sahsiah Shera pikat Zahiril


AIR MATA yang bercucuran di pipinya menjadi simbol betapa pelakon dan pengacara Wanita Hari Ini di TV3, Shera Aiyob cukup terharu dan bersyukur kerana akhirnya dia selamat dan sempurna bergelar isteri pelakon Zahiril Adzim atau nama penuhnya, Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar.

Pemilik nama sebenar Nur Syahira Aiyob itu turut berkongsi emosi tersebut bersama ibunya, Nor Asmah Mohd. Ali, 50, yang turut menyaksikan anak sulungnya itu anggun duduk di pelamin rekaan Zaha Wedding Planner.

Mengenakan busana putih suci rekaan Hatta Dolmat, Zahiril, 27, dan Shera, 25, tidak dapat menyembunyi keterujaan bergelar suami isteri.

Pasangan pengantin yang sama padan itu selamat diijabkabulkan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Taman Tasek Indra, Ipoh, Perak Ahad lalu, sejurus ketibaan rombongan pengantin lelaki seramai 50 orang terdiri daripada sanak saudara dan kenalan kesemuanya sepakat menyarung kostum berwarna merah hati tiba di kediaman pengantin perempuan.

Majlis akad nikah disempurnakan dengan pasangan dinikahkan oleh bapa Shera, Aiyob Shaharuddin, 53, dengan sekali lafaz sambil disaksikan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Ipoh, Yusri Abdul Rani pada pukul 10.10 pagi.

Pada majlis perkahwinan itu, Shera atau nama sebenarnya Nur Syahira Aiyob menerima wang hantaran sebanyak RM18,000 berserta mas kahwin RM1,001 dan 13 dulang barangan hantaran dan membalas 11 dulang barangan hantaran.

Antara hantaran yang diterima pengantin lelaki termasuklah telefon pintar BlackBerry, al-Quran, set pewangi badan, kasut, buku bimbingan agama dan kek cawan. Barangan hantaran yang diterima pengantin perempuan pula termasuklah sepasang kasut, seunit i-Pad 2, seutas rantai mutiara, beg tangan, alat solek, coklat dan al-Quran digital.

Tegas tetapi manja

Usai menyarung cincin emas putih ke jari manis Shera, Zahiril yang tak lekang mengukir senyum secara spontan menyeka air mata yang masih tersisa di anak mata isterinya seraya mengucup dahi wanita yang bertakhta di sanubarinya itu.

"Syukur hasrat saya untuk memperisterikan Shera tertunai sudah. Selama ini saya mendambakan seorang wanita yang tidak berpura-pura dan sentiasa menjadi diri sendiri walaupun dalam apa keadaan sekalipun.

"Sebagaimana ketika dia masih anak dara, itulah juga peribadi yang bakal dibawanya selepas berumah tangga. Alhamdulillah, saya yakin ciri-ciri itu ada pada isteri saya," tuturnya.

Mula berkenalan ketika sama-sama membintangi drama Ada Sesuatu Yang Tertinggal awal tahun lalu sebelum hubungan mereka menjadi lebih rapat sejak hujung tahun lalu, ternyata sahsiah Shera yang berdikari, tegas tetapi manja benar-benar memikat hati Zahiril Adzim.

"Shera seorang yang manja tetapi dalam masa yang sama dia tegas dan berdikari, inilah antara ciri-ciri yang membuatkan hati saya sangat terpaut kepada Shera," luah Zahiril.

Dalam pada itu bagi Shera pula, Zahiril Adzim pada matanya adalah seorang lelaki yang mementingkan hubungan kekeluargaan dan yakin suaminya itu mampu membimbingnya ke arah membina keluarga yang direstui keluarga kedua-dua pihak dan dibekati Illahi.

"Dia seorang yang penyayang, kelakar dan sentiasa manis di mata saya. Paling membuatkan saya 'cair' kepadanya ialah sifat romantisnya. Malah, menurut Shera sikap suaminya yang juga berbakat dalam bidang penulisan terserlah dalam karya buku pertamanya yang berjudul, Bogel Menuju Tuhan.

"Puitisnya dia dalam nukilan buku pertamanya, Bogel Menuju Tuhan, begitulah juga dia meluahkan rasa cinta dan bahagianya ketika bersama saya," luah anak sulung daripada tiga beradik itu.

11 orang anak

Diusik dengan bilangan anak diidamkan, Shera yang pernah membintangi filem genre seram Karak menegaskan dia tidak merancang dan menyerahkan urusan itu kepada Tuhan.

"Bagi saya, kalau satu pasukan bola sepak (11 orang) tak jadi hal, jika Allah kurnia seorang zuriat pun saya sudah bersyukur," seloroh Shera.

Zahiril yang mengukir senyum di samping Shera memberitahu ekoran jadual karier yang agak padat, mereka belum memikirkan destinasi bulan madu.

"Rasanya tak perlu tergesa-gesa berbulan madu, Allahamdulillah yang penting iaitu upacara akad nikah sudah selesai. Bila mempunyai cuti panjang, barulah kami berbulan madu," katanya.

Menyentuh soal karier, pemenang anugerah Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem ke-23 pada tahun 2003 menerusi filem Kami The Movie itu menegaskan tidak pernah menghalang penglibatan Shera dalam industri hiburan biarpun sudah bergelar isteri.

Tambahnya, disebabkan dia dan Shera sama-sama pelakon, dia menyedari berlakon bukan sekadar lubuk mencari rezeki tetapi lebih kepada ruang untuk mencari kepuasan diri bagi pencinta seni.

"Saya beritahu Shera, kalau dia perlu berlakon sebagai pasangan kekasih dengan pelakon lelaki lain, hayati watak itu betul-betul. Tapi setakat di set penggambaran sahajalah, selepas itu Shera tetap hak saya," pesannya ringkas tetapi penuh makna.

Sementara itu tiga jam usai majlis akad nikah pasangan mempelai itu bernikah, mereka berangkat ke Dewan Perdana Kinding Hill, Bercham Height yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah keluarga Shera bagi majlis persandingan.

Majlis yang bertemakan perkahwinan ala Inggeris bermotifkan warna krim, putih dan hijau itu dimeriahkan hampir 3,000 tetamu termasuk rakan artis yang hadir menyerikan majlis persandingan antaranya Bront Palarae, Beto Khusairy, Azhan Rani, Intan Nor Saina, Zain dan penyampai radio Hot FM, Ikhwan.

Dalam pada itu, majlis resepsi pengantin lelaki pula akan berlangsung di Kelab Shah Alam, Selangor pada 27 November ini.

- KOSMO!

Manusia diuji dalam pelbagai bentuk

ANTARA ujian-ujian yang disebut oleh Allah adalah berkaitan dengan ujian berkaitan dengan harta, keluarga dan berhubung dengan negara.

Ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; Sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar Dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nahl: 110)

Selain itu, hijrah juga dapat dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad, kerana hijrah merupakan salah satu cara untuk mempertahankan akidah Islam yang suci dan menjaga kehormatan diri.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

* Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)

* Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha melihat akan apa yang kamu lakukan. (al-Anfal: 72)

Sempena sambutan tahun baru hijrah 1433 ini, sewajarnya setiap individu muslim melakukan muhasabah diri atau tindakan pembetulan serta melakukan sesuatu amalan atau kegiatan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam agar sambutan yang diadakan agar lebih bermakna.

Ini selaras dengan persetujuan para ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi merupakan satu titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat yang lebih bermakna bagi membawa seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.

Dalam konteks umat Islam di Malaysia pada hari ini, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang sarat dengan pengajaran dan iktibar itu perlu difahami dan diserap segala pengajaran dan hikmatnya.

Ia merangkumi aspek hijrah pembinaan masyarakat yang lebih harmoni, penghayatan Islam yang lebih bermakna dan juga mengajak diri masing-masing meninggalkan perbuatan yang kotor dan maksiat dengan berhijrah ke arah memperbaiki diri, hati dan jiwa menjadi suci dan bersih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam.

Ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nisa': 100)

Selain dari itu semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering kita baca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud,

"Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia.

"Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka."

- UTUSAN

Rabu, November 23, 2011

Sukan SEA Ke-26 Berakhir, Myanmar Tuan Rumah 2013

PALEMBANG: Tirai Sukan SEA ke-26, yang berlangsung selama 12 hari di dua venue di Indonesia iaitu Jakarta dan Palembang, dilabuhkan dengan acara penuh warna-warni, persembahan tarian dan nyanyian di Stadium Gelora Sriwijaya malam ini.

Bertemakan 'Harmony in Victory', seramai 600 penari mempamerkan satu siri koreografi yang menggabungkan kesenian tradisi dan moden diikuti perbarisan atlet.

Naib Presiden Indonesia Boediono yang mempengerusikan majlis itu mengisytiharkan bahawa temasya Sukan SEA ke-26 ditutup secara rasmi sebelum menyerahkan bendera kejohanan kepada Menteri Sukan Myanmar Tin Sann.

Myanmar akan menjadi tuan rumah edisi ke-27 yang dijangka berlangsung di Naypyidaw pada 2013.

Majlis kemudian diteruskan dengan persembahan tarian kebudayaan Myanmar dan penyanyi popular Indonesia seperti Agnes Monica, Afghan serta kumpulan Nidji.

Persembahan bunga api yang menerangi ruang angkasa Palembang menandakan majlis penutup tiba ke penghujungnya.

Indonesia muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA kali ini dengan 182 pingat emas manakala Malaysia di tempat keempat dengan 59 emas.

- BERNAMA

Cadangan Perhimpunan Aman haramkan protes jalanan

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman di Dewan Rakyat bagi menjamin kebebasan berhimpun.

Antara kandungan penting undang-undang yang dicadangkan itu:

(1) Notis awal 30 hari untuk berhimpun, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dtetapkan oleh menteri dalam negeri.

(2) Selepas memaklumkan, perhimpunan boleh diteruskan, kecuali terdapat bantahan daripada polis.

(3) Tiada protes jalanan dibenarkan.

(4) Tiada protes dalam 50 meter daripada kawasan yang dilarang, termasuk hospital, sekolah dan rumah ibadat.

(5) Seksyen 9(5) membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000 sekiranya tiada notis awal mengadakan perhimpunan diserahkan kepada polis.

(6) Seksyen 21(3) membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000;

(7) Individu bawah umur 21 tidak dibenar menganjurkan perhimpunan; dan

(8) Kanak-kanak bawah 15 tahun tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam perhimpunan. Ini tidak termasuk perhimpunan berkaitan kebudayaan dan acara keagamaan seperti perarakan kematian yang diluluskan oleh menteri dalam negeri.

Dijadual untuk bacaan kedua pada minggu depan, rang undang-undang itu dibentangkan serentak dengan rang undang-undang lain untuk meminda Akta Polis, yang antaranya menyaratkan permit polis diperoleh sebelum mengadakan perhimpunan.

- MALAYSIAKINI

Recent Posts