Isnin, September 26, 2011

Pemilik Kenderaan Cermin Gelap Akan Dikompaun

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemilik kenderaan yang memasang cermin gelap dan tindakan kompaun akan dikenakan kepada mereka.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata tindakan kompaun akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang gagal mengikut spesifikasi yang ditetapkan JPJ.

JPJ akan menjalankan operasi dari masa ke semasa bagi mengesan pengguna yang menggunakan cermin gelap, ekoran meningkatnya jumlah penggunaaan cermin gelap di negeri ini sejak akhir-akhir ini, katanya kepada pemberita selepas mengikuti 'Ops Pengarah' di Gong Badak.

Beliau berkata dalam 'Ops Pengarah' yang diadakan hari ini sebanyak 40 notis saman atas pelbagai kesalahan dan 30 notis kesalahan cermin gelap telah dikeluarkan dalam tempoh dua jam.

Sementara itu, beliau meminta pemilik kenderaan yang diberikan notis oleh JPJ agar menghantar kenderaan masing-masing untuk pemeriksaan di mana-mana pejabat JPJ dalam tempoh 10 hari selepas notis dikeluarkan.Sekiranya gagal, pemilik kenderaan tersebut akan dikenakan kompaun RM200, katanya.

Menurutnya cermin kenderaan pada bahagian sisi perlu melebihi 50 peratus dan 70 peratus kecerahan pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan.

- BERNAMA

Ahad, September 25, 2011

Keputusan Perlawanan Piala Malaysia 2011 (Peringkat Kumpulan) - 24/09/2011 (Sabtu)

- Kumpulan A
Kedah 1 - 0 Sabah
Johor 1 - 2 Perak

- Kumpulan B
PKNS 0 - 1 Terengganu
Sime Darby 1 - 2 Negeri Sembilan

- Kumpulan C
Johor FC 1 - 1 Kelantan
Sarawak 1 - 0 Felda United

- Kumpulan D
PDRM 1 - 4 Selangor
T-Team 1 - 1 Kuala Lumpur

Bagaimana mahu gigi kembali putih

Mempunyai sebaris gigi yang putih memang menjadi idaman sesiapa saja, namun bagaimana untuk mendapatkannya?

Pakar Pergigian dari Pusat Perubatan iHeal Kuala Lumpur, Dr. Nazli Haffiz berkata, rata-rata masyarakat negara ini terutama yang berbangsa Melayu dan Cina mempunyai gigi yang sedikit kekuningan.

Namun seandainya warnanya terlalu ketara kuning dan ditambah dengan sedikit warna seakan lebam, ia pasti membuatkan pemiliknya berasa tidak selesa serta kurang berkeyakinan.

Menurut beliau, masalah gigi kuning berpunca daripada beberapa sebab.

“Punca utama adalah faktor usia dan pengambilan makanan yang menyebabkan terhasil kekotoran pada gigi seperti kopi, teh dan minuman kola. Selain itu, tabiat merokok juga menyebabkan gigi mengumpul kekotoran dan berubah warna,” kata beliau.

Jelas beliau, ketika proses pembentukan gigi kekal, pengambilan sesetengah antibiotik atau florida yang berlebihan juga menyebabkan gigi berubah warna.

Rawatan pemutihan gigi

Dr. Nazli berkata, rawatan pemutihan gigi adalah satu prosedur kosmetik pergigian bagi mengembalikan warna asal gigi secara selamat.

Sesiapa saja boleh melakukan rawatan pemutihan gigi, namun begitu, mereka perlu melalui satu ujian terlebih dahulu.

Mereka yang mengalami sensitiviti, gigi berlubang dan sebagainya perlu melakukan rawatan bagi menangani masalah tersebut terlebih dahulu sebelum memulakan program pemutihan gigi.

Menurutnya, prosedur tersebut menggunakan asid cair dengan kepekatan sekitar 22 hingga 27 peratus bagi menghilangkan kesan kotoran pada gigi.

“Pengguna boleh memilih dua cara iaitu membeli kit rawatan dan melakukan sendiri di rumah atau menggunakan khidmat pakar bagi sepanjang rawatan di klinik gigi,” katanya.

Menurutnya, rawatan yang dijalankan oleh pakar lebih terbukti keberkesanannya kerana ia dilakukan dengan betul mengikut prosedur khusus.

Jelasnya, keputusan yang akan dicapai tidaklah terlalu menakjubkan dan biasanya gigi akan menjadi lebih cerah sehingga lima atau enam bayangan pada skala warna gigi.

Menurutnya, warna putih yang biasa kita lihat pada gigi selebriti bukan disebabkan rawatan pemutihan tetapi veneers iaitu menggunakan satu lapisan seperti topeng yang membalut dan memperbaiki struktur luar gigi.

Berbeza dengan rawatan pemutihan gigi biasa, proses ini hanya mengembalikan warna asal gigi. Mungkin ada yang beranggapan prosedur ini berbahaya dan boleh menyebabkan lapisan luar gigi menipis.

Bagaimanapun kata Dr. Nazli, perkara itu tidak benar kerana ia hanya menghakis kekotoran yang melekap pada permukaan gigi kerana asid yang digunakan cair.

Risiko

Ditanya mengenai risiko ketika rawatan dijalankan kata beliau ia sangat rendah seperti rasa pedih dan tidak selesa pada bahagian gusi jika seseorang itu mengalami masalah gigi sensitif.

“Ini disebabkan cecair pemutih terkena pada bahagian yang sensitif. Namun rasa itu biasanya tidak lama. Bahagian gusi juga ditutup sepanjang rawatan dijalankan,” kata beliau.

Menurutnya, keputusan prosedur adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada warna asal gigi mereka.

Rawatan pemutihan gigi juga katanya, tidak sesuai untuk mereka yang berusia 16 tahun ke bawah serta wanita yang mengandung atau menyusukan bayi mereka.

Prosedur hanya mengambil masa sekitar 45 minit dan ia

sesuai buat mereka yang ingin mengubah penampilan untuk sesuatu acara.

Dr. Nazli berkata, disebabkan pemutihan gigi menggunakan asid maka ia hanya dicadangkan dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun.

- UTUSAN

Pelaksanaan Hukum Hudud Boleh Disekat Dengan Akta Mahkamah Syariah - Pakar Perlembagaan

PELAKSANAAN hukum hudud di Kelantan boleh disekat dengan adanya Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1995 pindaan (1984) yang mengehadkan bidang kuasa perundangan kerajaan negeri.

Menurut pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Ab. Aziz, di bawah akta ini mana-mana kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman denda kurang daripada RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebatan tidak melebihi enam kali boleh disekat dengan menggunakan akta berkenaan.

“Dalam kes ini, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan selagi akta ini wujud. Akta ini diluluskan oleh Parlimen, jadi mana-mana undang-undang negeri yang bercanggah dengan akta ini akan terbatal secara sendirinya.

“Berdasarkan jadual 9, senarai 2, butiran 1 Perlembagaan Persekutuan ia memberi kuasa kepada kerajaan pusat untuk menetapkan bidang kuasa perundangan kerajaan negeri,” katanya kepada mStar Online pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan oleh Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mengulas lanjut, Shamrahayu yang juga pakar perlembagaan berkata, sekiranya kerajaan Kelantan masih mahu melaksanakan hukum hudud mereka perlu memohon kepada Parlimen untuk memansuhkan Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah).

“Jika di lihat daripada sudut perundangan kerajaan Kelantan memang tidak boleh laksanakan hudud, kerana badan perundangan negeri tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Hukum hudud juga termasuk di bawah akta ini. Justeru, adalah lebih baik untuk kerajaan negeri merujuk kepada pakar undang-undang terlebih dahulu sebelum mereka mahu melaksanakannya,” katanya.

Sementara itu, Felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammad berkata penerangan yang jelas mengenai pelaksanaan hukum hudud perlu diberikan terutamanya kepada masyarakat bukan Muslim bagi mengelakkan salah faham dan membuang persepsi negatif mereka terhadap Islam.

“Kita faham kerajaan Kelantan bukan takut untuk melaksanakannya, cuma kita khuatir tidak mampu menghadapi tekanan itu.

“Jadi adalah lebih baik mereka membuat persiapan secara rapi termasuklah mendapatkan nasihat pakar sepertimana yang disarankan dalam al-Quran,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad berkata perkara tersebut perlu dibincangkan secara mendalam dan tidak dilaksanakan hanya kerana ingin meraih sokongan politik semata-mata.

“Bincang dahulu, jangan hanya kerana politik kita beria-ria untuk melaksanakan hudud. Kita tidak mahu melakukan sesuatu dalam keadaan tergesa-gesa sehingga membuatkan terlalu banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan,”

Jelasnya, tanpa persediaan yang rapi juga akan kerajaan PAS di Kelantan atau negara ditekan dalam pelbagai bentuk sekiranya negara lain tidak berpuas hati dengan cadangan ini.

Pada Khamis, Nik Aziz dilaporkan berkata beliau tidak kisah sekiranya DAP keluar daripada pakatan pembangkang jika tidak setuju dengan pendirian Kerajaan Kelantan untuk membentuk negara Islam dan melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Mursyidul Am PAS itu dipetik sebagai berkata, DAP pernah keluar daripada kerjasama pembangkang ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dahulu dan menyertai semula pakatan pembangkang selepas itu.

Bagaimanapun, isu mengenai pelaksanaan hukum hudud ini menjadi semakin panas apabila Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyokong Kelantan melaksanakan hukum hudud.

Pengerusi DAP, Karpal Singh dilaporkan terkejut dengan komen Anwar itu dan mempersoalkan hasrat Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan juga hudud kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

- MSTAR

Penggunaan Tayar Toreh Punca Kemalangan Jalan Raya - JPJ

TEMERLOH: Pemilik kenderaan diminta tidak menggunakan tayar toreh dan tayar musim sejuk kerana ia dilihat antara punca berlaku kemalangan jalan raya di negara ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Datuk Zakaria Man berkata tayar toreh atau terpakai kini popular di kalangan pemilik kenderaan kerana harganya lebih murah.

"Walaupun setakat ini belum ada kajian yang dibuat bagi membuktikan kedua-dua jenis tayar tersebut menjadi punca kemalangan tetapi penggunaannya perlu disekat segera kerana banyak kemalangan yang berlaku dilihat membabitkan penggunaan tayar berkenaan.

"Tayar tersebut semakin popular kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding tayar baru yang mahal berikutan harga getah yang meningkat sejak beberapa tahun lepas di pasaran dunia," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri JPJ Temerloh di sini.

Beliau berkata tayar toreh dilihat mudah meletup kerana lapisan tayar menjadi nipis apabila ditoreh untuk membuat bunga baru.

"Manakala tayar musim sejuk iaitu tayar terpakai dari luar negara yang tidak sesuai dengan permukaan dan suhu jalan raya di negara ini yang panas dan dipercayai menyebabkan banyak kenderaan mudah terbabas," katanya.

Pada perkembangan lain, Zakaria berkata kemalangan di Pahang berjaya dikurangkan semasa perayaan Aidilfitri baru-baru ini berikutan penguatkuasaan di beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko kemalangan. "Kita berharap pengguna jalan raya semakin sedar betapa pentingnya sikap berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak," katanya.

- BERNAMA

Mengapa namanya Amerika Syarikat bukan Negeri-negeri Bersatu Amerika?




Mengapakah kita panggil United States of America (USA) sebagai Amerika Syarikat (AS) dan bukannya Negeri-negeri Bersatu Amerika (NBA)?

Ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dalam catatan di Facebooknya mempersendakan penggunaan nama Amerika Syarikat dalam Bahasa Malaysia yang dianggapnya salah dari segi bahasa, yang baginya patut disebut sebagai Syarikat Amerika.

Syarikat Amerika bermaksud lain daripada Amerika Syarikat. Syarikat Amerika bermakna syarikat-syarikat perniagaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat sedangkan Amerika Syarikat ialah nama negara berkenaan.

Nama Amerika Syarikat dalam Bahasa Malaysia adalah betul bukan saja kerana ia adalah nama yang sudah sebati digunakan oleh penutur bahasa Melayu tetapi ia mempunyai latar belakang yang tepat dan tidak ada silapnya.

Walaupun ia kelihatan ganjil berbanding dengan nama-nama negara yang lain apabila digunakan dalam Bahasa Malaysia.

Hakikatnya, nama-nama negara di dunia dalam Bahasa Malaysia mempunyai latar belakangnya tersendiri dan masing-masing kemudian kekal menjadi perkataan yang baku untuk digunakan.

Amerika Syarikat sememangnya bermaksud ‘Amerika yang bersatu’, atau ‘Amerika yang bersekutu’. Atau lebih tepat lagi ‘negeri-negeri Amerika yang bersatu atau bersekutu’.

Sememangnya ‘united’ dalam United States of America bermaksud bersatu seperti mana ‘bersatu’ dalam United Nations Organisation (UNO), dalam Bahasa Malaysianya ialah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kini orang lebih biasa menyebut United Nations (UN) secara pendek.

Tetapi ‘united’ itu juga boleh bermaksud ‘bersekutu’. Ini kerana Amerika Syarikat sememangnya sebuah negara persekutuan, seperti juga Malaysia.

Bagaimanapun, dalam bahasa Inggeris, persekutuan disebut sebagai federation. Federation of Malaya, umpamanya diterjemahkan menjadi Persekutuan Tanah Melayu.

Maka ‘united’ dalam United States of America itu boleh juga disebut sebagai Persekutuan Negeri-negeri Amerika atau Persekutuan Amerika saja.

Tetapi mengapakah dalam Bahasa Malaysia disebut Amerika Syarikat? Dari manakah datangnya perkataan syarikat yang kini merujuk kepada syarikat perniagaan, dan merupakan terjemahan kepada perkataan company dalam Bahasa Malaysia?

Tambahan pula, Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara di dunia yang ada perkataan syarikat sedangkan banyak lagi negara lain di dunia yang ada perkataan ‘united’.

Umpamanya United Arab Emirates menjadi Emiriah Arab Bersatu, tidak pula Emiriah Arab Syarikat.

Dalam hal ini, perlu diingat bahawa bahasa berkembang menurut zaman. Maka begitu juga istilah dan perkataan yang digunakan untuk menamakan negara.

Nama Amerika Syarikat mula muncul ketika bahasa Melayu yang digunakan di negara ini belum berkembang dan dibakukan. Bahasa Melayu di Tanah Melayu belum menjadi bahasa moden. Tulisan bahasa Melayu adalah dalam bentuk jawi. Maka nama-nama negara dalam bahasa Inggeris akan dicetak rumi menurut perkataan asalnya. Maka pada awalnya, United States of America akan dicetak seperti asalnya juga kerana tidak ada terjemahan ke dalam bahasa Melayu.

Tentu pada detik-detik awal kemodenan ini, yang sekitar awal abad ke-20, istilah-istilah bahasa Melayu baru mengikut perkembangan bahasa di Indonesia. Tetapi ketika itu Indonesia sendiri tidak wujud lagi, yang ada hanyalah Hindia Timur Belanda. Indonesia belum merdeka.

Cumanya pada 28 Oktober 1928, Sumpah Pemuda dilaungkan dengan komitmen bahawa bangsa-bangsa Hindia Timur Belanda mengisytiharkan diri mereka memiliki satu negara iaitu Indonesia, satu bangsa iaitu bangsa Indonesia dan satu bahasa iaitu bahasa Indonesia.

Maka Bahasa Indonesia itu berteraskan bahasa Melayu, dan sejak itu mereka berusaha mengembangkan bahasa itu dan mencipta istilah-istilah baru termasuklah nama-nama negara.

Sebelum itu di Indonesia, pada tahun 1912, telah ditubuhkan Sarekat Dagang Islam yang kemudian dikenali sebagai Sarekat Islam (SI) saja. Ia dikenali sebagai pertubuhan politik pertama di Indonesia dan kemudian memperjuangkan kemerdekaan untuknya.

Perkataan ‘sarekat’ itu berasal daripada bahasa Arab, bermakna pakatan atau persekutuan. Iaitu daripada banyak, menjadi satu. Perkataan-perkataan Arab seperti syirik, musyarakah dan masyarakat berkaitan dengan syarikat.

Di Indonesia, perkataan ini dieja dengan sarekat atau serikat. Tetapi dalam tulisan jawi termasuk yang digunakan di Tanah Melayu, ia menjadi syarikat.

Maka asalnya ia bermaksud persatuan, pertubuhan atau apa saja pakatan dan kerjasama. Tidak semestinya syarikat perniagaan. Maka untuk syarikat perniagaan disebut sarekat dagang seperti mana nama asal Sarekat Dagang Islam itu.

Maka apabila berdepan dengan nama United States of America, maka adalah tidak menghairankan, mereka menterjemahkannya sebagai Amerika Serikat, di mana istilah ini terus digunakan di Indonesia.

Bagi PBB pula, mereka menggunakan istilah Perserikatan Bangsa-bangsa. Maka pada awal lagi, di Tanah Melayu, istilah Amerika Serikat itu juga diguna pakai, tetapi ditulis dalam tulisan jawi. Apabila Tanah Melayu mula menggunakan tulisan rumi, maka ia menjadi Amerika Syarikat. Justeru istilah ini telah dibakukan dan terus digunakan sekarang.

Tetapi terhadap PBB, bahasa Melayu tidak mengikut jejak Indonesia. Maka UMNO tidaklah menjadi Persyarikatan Kebangsaan Melayu, sebaliknya disebut sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Maka selepas daripada itu, apabila ada ‘united’ disebutlah sebagai bersatu. Umpamanya United Arab Republic (UAR) menjadi Republik Arab Bersatu.

Tetapi ada negara yang tidak diterjemahkan. Umpamanya United Kingdom. Begitu juga dengan Great Britain.

Nama penuh negara itu ialah United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland. Tetapi dalam Bahasa Malaysia, ia disebut United Kingdom saja.

Kalau diterjemahkan secara tepat, maka ia menjadi Negara Beraja Britain Raya dan Ireland Utara. Tetapi dalam Bahasa Malaysia. Ia kekal dengan istilah asal. Cuma perkataan ‘north’ pada Ireland diterjemahkan menjadi utara.

Perlu disebut perbezaan antara United Kingdom dan Great Britain. UK merujuk gabungan Great Britain dan Ireland Utara. Sementara Great Britain terdiri daripada England, Scotland dan Wales.

Tetapi dalam Bahasa Indonesia, nama United Kingdom penuh itu diterjemahkan menjadi Perserikatan Kerajaan Britania Raya dan Irlandia Utara. Tetapi mereka menyebut Kerajaan Serikat ataupun Britania Raya. Sekali lagi perkataan serikat timbul.

Istilah kerajaan dalam Bahasa Malaysia dengan Bahasa Indonesia berbeza. Kerajaan adalah terjemahan daripada government. Tetapi dalam bahasa Indonesia, kerajaan bermaksud kingdom. Government diterjemahkan sebagai pemerintah.

Semua bahasa mempunyai perkataan masing-masing dan termasuklah nama-nama negara. Dalam Bahasa Malaysia secara turun temurun, United States of America telah pun disebut sebagai Amerika Syarikat. Hormatilah bahasa kebangsaan kita.

- UTUSAN

Darjah dan kedudukan ahli syurga berdasarkan amalan

RASULULLAH SAW menjelaskan bahawa syurga memiliki banyak darjat. Di sana juga ada perbezaan darjat antara hamba Allah yang bergantung pada amal mereka dan Allah yang mendatangkan amal itu.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menegakkan solat, berpuasa pada bulan Ramadan, berjuang di jalan Allah atau tinggal di tanah kelahirannya, menjadi hak Allah untuk memasukkan orang itu ke dalam syurga.

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah tidak seharusnya kita memberi khabar gembira kepada manusia? Rasulullah menjawab: Sesungguhnya di syurga ada seratus tingkat yang disediakan Allah untuk orang yang berjuang di jalan Allah, sedangkan jarak di antara dua tingkat adalah seperti jarak antara langit dan bumi. Jika kamu ingin memohon kepada Allah, mohonlah syurga Firdaus kerana syurga Firdaus berada di tengah syurga dan syurga tertinggi.

Disebutkan dalam sebuah hadis sahih dari Anas bin Malik bahawa Ummu Haritsah datang menghadap Rasulullah SAW sedangkan Haritsah termasuk mujahid yang gugur dalam Perang Badar kerana terkena anak panah.

Lalu Ummu Haritsah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah berbuat untuk Haritsah dari hati saya. Jika sekarang ia di syurga, saya tidak akan menangis untuknya. Namun, jika ternyata tidak, engkau akan melihat apa yang akan saya lakukan.

Rasulullah menjawab: Apakah syurga hanya satu? Syurga itu banyak sekali, sedangkan syurga tertinggi adalah syurga Firdaus.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ahli syurga itu memiliki peringkat, berdasarkan posisi mereka saat berada di syurga.

Dari Abu Said Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ahli syurga itu saling melihat antara bilik dari atasnya, seperti mana saling memandangnya bintang yang beredar dan yang tetap di ufuk timur atau barat kerana di antara mereka saling memiliki kelebihan.

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah di sana ada posisi yang khusus bagi para nabi, yang orang lain tidak akan boleh sampai ke sana? Rasulullah menjawab: Tidak demikian, demi Zat yang diriku berada di dalam kekuasaan-Nya. Nabi akan berada satu posisi bersama orang yang beriman kepada Allah dan yang membenarkan rasul itu. (Sahih Bukhari)

Dalam kitab Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah, serta Sahih Ibnu Hibban, disebutkan hadis dari Abu Said, Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya ahli syurga yang berada pada tingkat tertinggi dapat melihat orang yang berada pada tingkat di bawahnya, seperti mana melihatnya bintang yang tertinggi di langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk golongan yang menikmatinya. (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Kesabaran adalah usaha mengerahkan seluruh kemampuan jiwa dan tetap konsisten berdiri tegak di depan Allah dengan hati penuh pengabdian. Ini adalah ciri orang yang dekat dengan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan bukanlah harta atau anak-anakmu yang mendekatkan kamu kepada Kami, melainkan orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, mereka itulah yang memperbaiki balasan yang berlipat ganda atas apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat yang tinggi (dalam syurga).

Sesungguhnya ramai orang yang memiliki darjat tinggi di syurga Allah antaranya syuhada, pengasuh anak yatim, orang yang mengurus janda dan orang miskin, orang yang hafaz al-Quran dan mengamalkannya.

Petikan daripada buku Bidadari, Syurga dan Penghuninya

- BERITA HARIAN

Empat elemen jadikan penggabungan Semenanjung, Sabah, Sarawak begitu unik

PENGGABUNGAN Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak di bawah nama Malaysia bukan sekadar memberi impak dalam pembentukan sebuah negara baru, tetapi sebenarnya memberi lebih banyak faedah kepada rakyat yang kini mampu hidup dalam kepelbagaian budaya dan masyarakat penuh keunikan.

Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Shamsul Amri, berkata ada empat elemen utama yang dilihat menjadikan pembentukan Malaysia begitu istimewa iaitu berlakunya pinjam-meminjam budaya yang membolehkan masyarakat berkongsi keunikan budaya daripada pelbagai etnik lain.

“Paling unik dalam penggabungan ini ialah kemampuan masyarakat di negara ini menerima budaya dan cara hidup kumpulan etnik lain yang sekali gus membolehkan sebarang kemelut dan masalah sesama kaum mampu diselesaikan dalam rundingan.

“Paling tidak pun, sekadar bertikam lidah, menggunakan media untuk meluahkan rasa tidak puas hati, tetapi tidak sampai berparang dan berperang.

“Konsep penerimaan ini bukan senang diperoleh semua negara, apatah lagi dalam Malaysia yang mempunyai puluhan etnik berbeza agama dan bahasa. Lebih unik lagi ialah berlakunya asimilasi yang jelas dapat dilihat di Sabah dan Sarawak.

“Di sana, tidak ada masalah dalam satu keluarga ada orang Islam dan Kristian. Mereka boleh hidup sebumbung dan bebas mengamalkan kepercayaan beragama masing-masing.

“Keunikan itu mustahil dapat kita lihat jika bukan kerana pembentukan Malaysia”.
Keempat ialah berlakunya percantuman etnik. Kahwin campur sesama etnik lain mewujudkan pelbagai keturunan yang lebih unik menjadikan negara ini begitu istimewa.

Hubungan sosial yang amat kuat ini berlaku sejak Malaysia ditubuhkan dan inilah tiang seri yang merungkaikan keutuhan negara ini.

“Di Sabah dan Sarawak banyak berlaku asimilasi, manakala di Semenanjung pula berlaku banyak penerimaan.

“Orang Melayu, menerima cara hidup orang India dan Cina, begitu jugalah sebaliknya. Kepelbagaian masyarakat ini sebenarnya sudah ada sebelum merdeka, tetapi dengan pembentukan Malaysia, ia lebih dipelbagaikan,” katanya.

Beliau juga mengajak masyarakat menyorot kebanyakan peristiwa bersejarah seperti kemerdekaan dan pembentukan Malaysia yang semuanya berlaku secara aman menerusi perbincangan. Cara penggabungan atas dasar perundingan menjadi dasar perbezaan dan kepelbagaian dalam negara ditangani secara aman.

Kepelbagaian sosial dalam negara ini yang berlaku secara aman membolehkan apa saja pertentangan dan perbalahan diselesaikan di meja rundingan.

Bagi Shamsul, suara yang lantang mempertikaikan itu ini perlu diteruskan kerana itulah kekuatan Malaysia, tidak menyimpan dalam hati yang mungkin boleh buruk akibatnya jika meletus satu hari nanti.

“Bertikam lidah adalah perkara biasa. Yang penting tidak berlaku keganasan. Melepaskan perasaan dan menyuarakan pendapat mewakili etnik masing-masing juga adalah perkara biasa yang menunjukkan sebenarnya rakyat kita cukup matang, tidak mahukan keganasan apatah lagi kita pernah berdepan dengan peristiwa 13 Mei 1969.

“Uniknya Malaysia, rakyat boleh bersantai di kedai mamak luahkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dan sebagainya, kemudian balik begitu saja.

“Tidak pula sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk. Rakyat kita juga sudah mula bijak dan pandai membuat pilihan,” katanya.

- BERITA HARIAN

Facebook versi Timeline bakal dilancarkan

Gambar - MARK ZUCKERBERG mengumumkan perkhidmatan terbaharu Timeline pada persidangan Facebook f8 di San Francisco, California kelmarin.

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Syarikat rakaman dan media meletakkan harapan baharu untuk memajukan perniagaan mereka ekoran penambahan kolum Ticker pada profil pengguna oleh Facebook.

Kolum Ticker memaparkan kemas kini aktiviti pengguna Facebook dalam pelbagai aplikasi media di laman jaringan sosial itu seperti langganan muzik dan filem.

Kolum itu menjadi medan pasaran baharu untuk syarikat rakaman dan media AS mempromosikan produk mereka.

Menerusi Ticker, syarikat rakaman boleh mengesan sama ada aplikasi yang mereka tawarkan popular di kalangan pengguna Facebook atau sebaliknya.

Apabila pengguna mengklik kolum Ticker kenalan mereka, pengguna terbabit secara automatik ditawarkan untuk mencuba secara percuma pelbagai perkhidmatan dalam talian seperti pelan muzik Spotify dan Rhapsody yang digunakan kenalan mereka.

Selepas tempoh tawaran percuma itu tamat, pengguna yang berminat boleh terus melanggan perkhidmatan yang ditawarkan dengan membayar yuran bulanan.

Ketua Eksekutif firma langganan muzik Deezer, Axel Dauchez berkata, penyertaan Deezer dalam Facebook membolehkan syarikat itu memasuki pasaran lebih 130 negara di luar AS dalam tempoh cuma beberapa minggu.

Menurutnya, syarikat itu kini memiliki sekitar 1.4 juta pengguna berbayar di Perancis dan Britain dengan Facebook menawarkan pasaran yang jauh lebih besar.

Kolum Ticker itu dilancarkan oleh Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg kelmarin untuk memudahkan 800 juta penggunanya berkongsi muzik dan media lain dengan kenalan mereka.

Zuckerberg turut memperkenalkan perubahan besar pada profil pengguna Facebook yang dinamakan TimeLine.

Profil baharu itu boleh digunakan oleh pengguna untuk mendokumenkan dan memaparkan kehidupan mereka dalam bentuk buku skrap dalam talian.

"Ia menyimpan semua kisah anda (pengguna), semua aplikasi anda sekali gus satu kaedah ekspresi diri yang baharu," kata Zuckerberg ketika berucap pada persidangan tahunan pembina rangkaian laman sosial di bandar raya San Francisco, AS.

"Saya menggelarkan profil baharu ini sebagai 'kisah hidup anda'" tambahnya.

- Agensi

Jumaat, September 23, 2011

Jawatan Kosong Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di Institusi-institusi Pendidikan MARA (IPMa) Pensyarah / Guru MARA - September 2011

Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mempelawa individu-individu yang berkelayakan, inovasi, berfikiran dinamik, berkeyakinan tinggi, berdisiplin dan berdedikasi serta boleh menyumbang ke arah kecemerlangan MARA untuk mengisi jawatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di Institusi-institusi Pendidikan MARA (IPMa) - Pensyarah / Guru MARA.

Calon mestilah mempunyai keperibadian yang sesuai dan sedia berkhidmat sebagai pendidik yang berpengetahuan, berkemahiran dalam mengajar dan mendidik,serta menyerlahkan kebolehan berfungsi sebagai guru berkualiti dan terbaik.

Pemohon mestilah mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengkhususan yang tepat dan sesuai dengan subjek/bidang yang dipohon :-

Bidang /Subjek :
• Bahasa Melayu
• Bahasa Inggeris
• Bimbingan & Kaunseling
• Bahasa Mandarin
• Sejarah
• Bahasa Perancis
• Geografi
• Bahasa Russia
• Matematik
• Bahasa Jepun
• Perakaunan
• Kemahiran Hidup
• Biologi
• Sains Komputer
• Fizik
• Pendidikan Jasmani & Kesihatan
• Kimia
• Pendidikan Islam/Tassawur
• Pendidikan Senireka/Reka Grafik
• Islamic Economic
• Pengajian Hafazan (Tahfiz)
• Media

Setiap permohonan jawatan akan disemak dan ditapis mengikut kelulusan yang bersesuaian dengan subjek pengajaran yang ditawarkan di Institut Pendidikan MARA (IPMa).

Sila rujuk syarat- syarat permohonan jawatan di lampiran.

Jika berminat sila lengkapkan permohonan jawatan secara online di laman web MARA : www.mara.gov.my

TARIKH TUTUP : 7 OKTOBER 2011

KLASIFIKASI: PERKHIDMATAN PENDIDIKAN
SKIM PERKHIDMATAN: PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH


CARA PELAKSANAAN:

Saringan I

Semua permohonan yang diterima akan ditapis dan disaring berasaskan kepada kriteriakriteria tertentu yang telah ditetapkan mengikut kelayakan yang sesuai dengan bidang pengajaran / subjek yang dipohon. Hanya permohonan yang mengikut dan menepati syarat-syarat lantikan sahaja akan diproses.

Permohonan yang berjaya dikehendaki menduduki Ujian Kecenderungan Keguruan dan Yuran peperiksaan akan dikenakan kepada calon.
 
Sila semak laman web www.mara.gov.my  dari semasa ke semasa bagi mengetahui status permohonan yang berjaya.

Saringan II

 Calon - calon yang melepasi Ujian Kecenderungan Keguruan dan berkelayakan sahaja akan dihubungi melalui laman web untuk sesi penilaian amali pengajaran dalam kelas (micro teaching) dan sesi temuduga

Mereka yang tidak dihubungi dalam masa tempoh enam (6) bulan dari tarikh iklan di keluarkan hendaklah menganggap permohonan mereka sebagai tidak berjaya.

Calon memohon sebagai Guru Pengajian Hafazan, hendaklah mempunyai kelayakan Sijil Hafazan/Tahfiz dari Institut Pengajian yang diiktiraf.

A. SYARAT LANTIKAN
Calon bagi lantikan hendaklah memiliki kelayakan seperti berikut:-
a. Warganegara Malaysia;
b. Berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan;
c. Kelayakan
i. ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi – institutsi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya ; atau
ii. ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi–institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: P1T4) RM1967.20 ; atau
iii. ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi– institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: P1T6) ; atau
iv. ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi–institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: P1T10: bagi ijazah Sarjana Muda Perakaunan serta menjadi ahli Penuh Badan – badan Iktisas Perakaunan yang diiktiraf oleh kerajaan : P1T11: dan Ahli Penuh Institut Akauntan Malaysia:P1T12):
d. Kepujian Bahasa Malaysia/ Bahasa Melayu ( termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan
e. Calon-calon yang tidak memiliki ijazah Sarjana Muda dengan Pendidikan atau Diploma Pendidikan tetapi memiliki kelayakan pengkhususan seperti yang dinyatakan di atas boleh memohon. Calon-calon yang berjaya sahaja akan dilantik secara perkhidmatan Sementara/Kontrak atas lantikan Gred DC41.

Jadual Gaji : P1T1 RM 1598.44 – P1T10 RM 2354.05
Gaji Permulaan :
Ijazah Sarjana Muda Kepujian - Gred DC41: P1T5 RM 1901.80
Ijazah Sarjana Muda Am - Gred DC41: P1T3 RM 1720.90
f. Pemohon mestilah mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengkhususan yang tepat dan sesuai dengan bidang atau subjek yang dipohon.

C. TARAF JAWATAN: Tetap / Sementara / Kontrak

D. CARA MEMOHON:

i. Permohonan hendaklah dibuat secara online/ dalam talian yang boleh dilayari melalui laman web MARA iaitu www.mara.gov.my .
ii. Tarikh tutup permohonan pada 7 Oktober 2011.
iii. Calon-calon yang terdiri daripada pegawai-pegawai yang sedang berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam, Badan Berkanun atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah membuat permohonan melalui Ketua Jabatan terlebih dahulu dan mendapat surat pengesahan perlepasan sekiranya pegawai ditawarkan ke jawatan yang dipohon. Sila bawa bersama dokumen Kenyataan Perkhidmatan, Laporan Prestasi Tahunan terkini dan Pengesahan Bebas Kesalahan Tatatertib semasa sesi temu duga.
iv. Bagi kakitangan yang sedang berkhidmat dengan MARA semua salinan sijil-sijil kelulusan yang disahkan dan lain-lain keterangan peribadi beserta LAPORAN SULIT KHAS yang dimeteri oleh Ketua Jabatan masingmasing hendaklah dibawa semasa temuduga.
v. Pemohon yang mempunyai kelayakan Sijil / Diploma / Ijazah dari Institusi Luar Negara dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) hendaklah membuat semakan pengiktirafan kelayakan melalui laman web JPA iaitu : www.jpa.gov.my  dan hendaklah mengemukakan salinan pengiktirafan tersebut semasa temu duga nanti.

E. PENAKLUKAN DI BAWAH SYARAT-SYARAT SKIM PERKHIDMATAN:
Pegawai-pegawai yang memasuki perkhidmatan jawatan di atas adalah tertakluk kepada syaratsyarat skim perkhidmatan berkenaan yang sedang berkuatkuasa serta pindaan-pindaan yang dibuat ke atasnya dari semasa ke semasa.

F. UMUR :
i. Calon-calon lantikan terus hendaklah berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh iklan ditutup.
ii. Pegawai sedang berkhidmat yang layak hendaklah berumur kurang dari 54 tahun pada tarikh lantikan.

G. UJIAN KHAS:
i. Hanya calon – calon yang telah disenarai pendek yang menepati syarat – syarat permohonan sahaja akan dipanggil untuk menduduki ujian kecenderungan keguruan.
ii. Calon yang berjaya akan dimaklumkan melalui laman web bagi mengetahui tempat menduduki ujian tersebut yang akan diadakan di Institusi Pendidikan MARA (IPMa).
iii. Calon yang berjaya dikehendaki membayar yuran peperiksaan. (Kaedah pembayaran dan jumlah yuran akan dimaklumkan dalam tawaran menduduki ujian)

H. PERTANYAAN:
Sebarang pertanyaan dan masalah mengenai permohonan jawatan ini, boleh dimaklumkan ke Unit Pengambilan &; Penempatan dengan menghubungi talian utama MARA 03 26132000 sambungan 34425/34434/39041.

IKLAN PENGAMBILAN:
http://www.ziddu.com/download/16481917/PengambilanPegawaiSiswazahMARA2011.pdf.html

BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://online.mara.gov.my/vacancy/

Semakan Keputusan Peperiksaan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Gred M41 bagi 2011

Semakan Keputusan Peperiksaan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Gred M41 bagi tahun 2011 boleh dibuat di: http://domino.spa.gov.my/online/keputusan_pe.php?jawatan=Pegawai%20Tadbir%20dan%20Diplomatik%20Gred%20M41&pemerolehan=SM20110113

SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM (SPA)
http://www.spa.gov.my

Recent Posts