Isnin, Jun 27, 2011

Cabaran, cemuhan penguat semangat memperbaiki diri

Oleh Ashraf Muslim

DULU fitnah tersebar oleh perbualan yang kemudian disampaikan, cerita sengaja direka kemudian dihebahkan atau melalui surat layang yang tiada tandatangan pengirimnya. Kini, fitnah disebar melalui teknologi canggih iaitu internet hingga payah untuk menepisnya.

Betul atau tidak, itu bukan cerita pokok tetapi secepat mana fitnah itu tersebar yang menimbulkan kerisauan kerana masyarakat tidak punya masa untuk menilai satu persatu sebaliknya, persepsi awal ialah ‘jika tiada angin masakan pokok bergoyang’.

Bahaya fitnah ibarat mata pedang yang boleh membunuh sayangnya kesan fitnah tidak pernah diberi perhatian sama ada oleh pihak yang menaburnya atau yang suka-suka menjadi penyampai walaupun tidak pernah di suruh.

Saya bangkitkan isu fitnah kerana bersetuju dengan pandangan betapa sekarang mudah sungguh untuk menjatuhkan orang lain melalui cerita tidak benar, ditambah pula cara penyebaran semakin canggih dan sukar untuk mengesan pihak melakukannya.

Ironinya, lebih kuat semangat seseorang itu berdepan dengan fitnah dilemparkan terhadapnya, lebih sengit pula serangan datang bertubi-tubi selepas itu terpaksa dihadapi.

Ada kala, iblis tidak kacau orang itu tetapi menghasut mereka di sekelilingnya yang suka mencari kelemahan. Ini yang kita tidak perasan. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana dalam yang menyokong, tidak semua suka apa yang kita perjuangkan.
Begitu juga dalam dunia hiburan, fitnah atau bahasa manisnya ‘gosip’ ada memberi kebaikan tetapi kebanyakan masa mendatangkan kerosakan selain memberi aib kepada artis. Apa punca fitnah disebarkan, hanya pihak berkenaan yang tahu.

Untuk bercerita adalah perkara biasa yang kita lakukan. Apabila berjumpa rakan dan berkumpul ramai-ramai, ada saja hendak diceritakan hingga ada kala terceritalah kisah orang lain. Maka timbul cerita tidak sepatutnya boleh merosakkan maruah pihak lain.

Pembabitan saya dalam bidang perubatan Islam tidak lepas daripada cerita tidak enak yang didengar. Masih ada suara yang terus mempertikaikan kemampuan serta kelayakan saya untuk merawat pesakit yang tidak putus-putus datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah. Saya hanya mampu berserah kepada Allah.

Biarpun hati kecewa dengan tanggapan negatif, itu tidak melunturkan semangat saya untuk membantu mereka yang memerlukan dan saya dengan semangat yang ada, berusaha mempertingkatkan pengetahuan mendalami mukjizat al-Quran. Hasrat saya, supaya ilmu itu dapat digunakan untuk dimanfaatkan umat Islam.

Siapa saya untuk mengaku kelebihan yang ada tetapi menjadi tanggungjawab saya untuk berkongsi ilmu diperoleh supaya orang lain turut merasakan nikmat mendekatkan diri dengan kitab Allah dan menjadikan wahyu-Nya santapan harian kepada jasmani serta rohani.

Disebabkan itu, di sebalik rasa terguris dengan tindakan sesetengah pihak mengaitkan kerjaya saya sebagai pelakon sebelum ini dengan pembabitan dalam bidang rawatan menggunakan ayat al-Quran, saya pasrah dan mengharapkan diberi Allah kekuatan.

Semoga berbekalkan semangat serta hasrat untuk melihat wahyu Allah dan mukjizat al-Quran terus dijadikan pedoman umat Islam, perjuangan ini akan diteruskan. Diharap niat murni saya turut dikongsi mereka yang mendapat petunjuk dan hidayah daripada keazaman mendekatkan diri dengan ilmu al-Quran yang menyimpan banyak rahsia.

Bagi yang dimakbulkan Allah doa mereka supaya disembuhkan daripada penyakit dihidapi, janganlah usaha mendekatkan diri kepada Allah berakhir di situ. Ujian Allah sebenarnya untuk mengingatkan kita supaya bermuhasabah serta menilai kembali perjalanan hidup yang kita lalui. Ia juga tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya dan tidak mahu hamba-Nya tersasar daripada syariat agama.

Usaha kita berbuat baik akan ada halangannya kerana musuh Allah tidak mahu hamba-Nya mendekatkan diri dengan Penciptanya maka dilakukan apa saja supaya hamba-Nya itu berdepan pelbagai cabaran. Yang pasti, mereka yang kuat dengan izin Allah akan berjaya. Oleh itu, jangan berputus asa dan sentiasa bertawakal kepada Allah.

Bersama kita hayati sabda Baginda Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah katanya, bersabda Rasulullah SAW: “Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tipu menipu, janganlah kamu saling belakang membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya. (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali). Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya. Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Hadis riwayat Muslim)

- BERITA HARIAN

Jumaat, Jun 24, 2011

Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke Program Pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) Ambilan Julai 2011

Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) Ambilan Julai 2011 boleh dibuat di Laman Web Unit Pusat Universiti (UPU), Kementerian Pengajian Tinggi : https://online.mohe.gov.my/upu/keputusan_dpli/

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI (KPT)
http://upu.mohe.gov.my/

Rabu, Jun 22, 2011

PTPTN Hanya Terima Bayaran Balik Daripada 49 Peratus Peminjam

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya menerima bayaran balik pinjaman sebanyak RM2.45 bilion iaitu daripada 48.56 peratus peminjam.

Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Tajul Urus Md Zain berkata PTPN sepatutnya menerima bayaran balik pinjaman berjumlah RM5.04 bilion daripada pelajar yang telah tamat belajar.

"Setakat ini kita berjaya dapatkan balik bayaran sebanyak RM2.45 bilion iaitu 48.56 peratus sahaja dan sepatutnya kita perlu dapat pulangan berjumlah RM5.04 bilion daripada pelajar-pelajar yang telah tamat belajar," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian komputer Notebook 1Malaysia kepada 1,500 pelajar dalam kawasan Parlimen Merbok di Sungai Petani, Selasa.

Menurutnya PTPTN mengeluarkan pinjaman berjumlah RM25.3 bilion bagi tempoh 1997 hingga 30 April tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar yang telah tamat belajar dan bekerja supaya membayar balik bayaran pinjaman mereka kepada PTPTN bagi memudahkan urusan perbadanan untuk memberi pinjaman kepada pelajar lain.

Tajul juga berkata pihak PTPTN akan melayan sepenuhnya permohonan yang dibuat untuk mendapatkan sambungan pinjaman sekiranya pelajar memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.0.

Sebelum ini, beliau dilapor berkata PTPTN tidak akan berkompromi dengan pelajar yang gagal mencatat keputusan memuaskan dan akan menghentikan pinjaman mereka yang mendapat PNGK 2.0 ke bawah secara automatik.

- BERNAMA

PDRM Tidak Bercadang Batal Senarai Hitam Pesalah Saman Ekor - Hishammuddin

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bercadang membatalkan tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan, terutamanya yang terlibat dengan kesalahan trafik di bawah saman ekor.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata sehingga 30 April lepas sebanyak 11,814,008 saman ekor atau Notis Saman POL 170A masih belum dijelaskan lagi.

"Walau bagaimanapun tindakan menyenarai hitam ini ditangguhkan buat sementara waktu kerana PDRM bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Peguam Negara sedang mengemas kini prosedur berkaitan dengan tindakan tersebut," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) pada sidang Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Sim ingin tahu jumlah tunggakan saman ekor yang masih belum dijelaskan serta adakah benar tindakan menyenarai hitam telah dibatalkan dan sama ada kementerian bercadang menghadapkan Orang Kena Saman (OKS) yang belum menjelaskan saman ke mahkamah.

Hishamuddin berkata, bagi pesalah trafik OKS, mereka boleh menyelesaikan saman masing-masing sama ada dengan membayar kompaun atau melalui perbicaraan di mahkamah. Beliau berkata, dalam hal tersebut, tindakan yang dilaksanakan oleh PDRM terhadap pesalah trafik adalah lebih bersifat prosedural dengan pendekatan awal iaitu melalui khidmat nasihat bagi menyemai budaya pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya kepada pengguna.

Hishammuddin berkata, pendekatan itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai tampil untuk menyelesaikan saman mereka di pusat pembayaran saman seperti ibu pejabat polis daerah (IPD), pejabat pos, kaunter PDRM di pusat beli-belah terpilih serta portal iaitu www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.

"Sekiranya OKS enggan menyelesaikan notis ini, PDRM akan menjalankan operasi mencari dan mengesan pemilik yang melakukan kesalahan untuk menyerahkan saman POL 257 dengan turut menyatakan tarikh serta masa untuk mereka hadir ke mahkamah, bagi mencari pertuduhan,"katanya.

- BERNAMA

Pendidikan radikal racuni pemikiran umat Islam

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Konsep perjuangan dan jihad dalam Islam adalah untuk menegakkan keamanan dan keadilan sejagat, bukan bermusuhan dengan orang yang berbeza akidah dengan umat Islam.

Kemakmuran, keindahan dan tamadun Islam tidak dapat dibina jika hati nurani umat Islam disemat dengan perasaan kebencian dan permusuhan terhadap bangsa yang berbeza agama.

Tugas umat Islam terutama yang berpendidikan Islam adalah menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Maha Esa secara hikmah dan membimbing mereka ke arah kehidupan yang bertepatan dengan syariah Islam. Oleh itu hikmah, kelunakan hati nurani dan kemesraan dengan umat yang berbeza akidah merupakan satu tuntutan dalam Islam.

Konteks sosio-ekonomi dan politik dalam negara-negara Islam amat berbeza di antara satu sama lain. Suasana yang wujud dalam negara-negara Arab dan Islam yang lain amat berbeza dengan konteks dan suasana dalam Malaysia.

Pergolakan politik, kekejaman dan ketidakadilan dalam sistem pemerintahan negara yang menyebabkan rakyat menderita dan terlalu miskin merupakan suasana dalam kebanyakan negara Islam yang mengamalkan dasar kuku besi.

Menggulingkan kerajaan begini merupakan jihad yang dituntut oleh Islam kepada rakyat di negara tersebut kerana negara-negara yang tidak mengamalkan sistem demokrasi sukar untuk mendapat keadilan untuk rakyat. Itu adalah strategi terakhir untuk mendapat keadilan dan keamanan.

Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat memilih pemimpin yang berwibawa. Kekuatan sesebuah kerajaan itu berdasarkan kepada sokongan dan pemilihan rakyat.

Oleh itu rakyat tidak perlu mengangkat senjata untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak digemari oleh mereka dalam negara demokrasi kerana pilihan raya merupakan penentu kepada menang atau kalah sesebuah kerajaan itu.

Berdasarkan kepada suasana yang wujud dalam negara ini maka kegiatan mendidik dan mempengaruhi remaja Islam dengan ideologi radikal adalah bertentangan dengan konteks dan suasana dalam negara ini.

Kegiatan radikal membunuh orang yang dianggap musuh untuk menegakkan sistem khalifah Islam dalam negara ini adalah tidak bertepatan dengan ajaran Islam. Perbuatan begini boleh dikategorikan sebagai kes jenayah yang boleh disabitkan dengan hukuman jenayah.

Dalam era kerajaan Malaysia ingin memperkenalkan sistem perundangan Islam secara hikmah dan berhemah sepatutnya guru-guru di sekolah agama menumpukan perhatian dalam pendidikan Islam secara serius. Mereka sepatutnya berusaha gigih memastikan para pelajar fasih dan mahir dengan ilmu-ilmu wahyu dan akademik agar mereka menjadi para pelajar yang pintar dalam urusan hukum-hakam dan sebagainya.

Kegiatan meracuni pemikiran pelajar dengan ideologi radikal bukan merupakan satu didikan kerohanian sempurna. Ia merupakan satu agenda politik untuk menggulingkan kerajaan secara 'baling batu sorok tangan.'

Ideologi radikal hanya bersesuaian dalam konteks dan masa tertentu sahaja dengan tujuan membangkitkan semangat jihad dan memperjuangkan keadilan dan keamanan seperti mana berlaku di negara-negara Islam yang diserang oleh musuh atau para pemerintah membunuh dan menyiksa rakyat dengan pelbagai bentuk kekejaman.

Jika para guru mendidik dan mempengaruhi pemikiran remaja dengan ideologi radikal maka kegiatan itu tersasar daripada konsep jihad dalam Islam. Mereka bukan sahaja meracuni pemikiran remaja Islam malah ia juga mendorong pelajar melakukan kegiatan jenayah.

Membantu masyarakat Islam yang menghadapi pergolakan politik bukan semestinya menghantar para remaja dari negara ini berjuang bersama para pejuang dalam negara tersebut. Tambahan pula remaja Islam itu tidak mempunyai pengalaman dalam hal ehwal peperangan dan latar belakang geografi negara-negara bergolak.

Dalam konteks negara Islam masih banyak dalam kategori negara-negara membangun dan miskin maka jihad yang paling utama masa kini adalah membangunkan negara Islam dengan pelbagai kegiatan ekonomi dan sosial serta mempereratkan hubungan diplomatik sesama negara Islam.

Strategi begini lebih berkesan untuk membentuk sebuah empayar Islam yang dibatasi oleh sempadan geografi. Dalam era globalisasi sempadan geografi bukan merupakan satu perkara yang sukar untuk ditembusi. Manusia mengenali antara satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa untuk membangun tamadun masing-masing.

Umat Islam dalam era ini perlu menumpukan perhatian kepada aspek yang berbentuk shahadah ala al-nas (menunjukkan kehebatan Islam dengan pelbagai kemajuan teknologi) serta melatih jiwa dan pemikiran umat menjadi orang yang bertakwa bukan menyemarakkan pemikiran ideologi radikal sehingga bermusuhan sesama umat dan bertindak di luar konsep kemanusiaan.

Sistem khalifah Islam pada masa silam bukan hanya bergantung kepada kekuatan senjata tetapi ia merangkumi kelengkapan dalam pelbagai aspek pentadbiran, pemerintahan, sosial dan kebudayaan.

Berdasarkan kepada konteks masa kini maka usah meracuni pemikiran remaja dengan ideologi radikal. Ideologi radikal sering dikaitkan dengan perjuangan politik. Jika negara aman dan rakyat mendapat pembelaan dan anak-anak didedahkan dengan pelbagai bidang pendidikan maka rebutlah peluang ini untuk memajukan diri anak-anak dan masyarakat, bukan meracuni pemikiran mereka sehingga mereka hilang daya pemikiran rasional.

- UTUSAN

Lelaki perlu jalani pemeriksaan prostat

Sempena Hari Bapa, tentunya pelbagai cara tersendiri dipilih untuk meraikannya.

Apa kata pada hari istimewa ini kita mengajak bapa melakukan pemeriksaan kesihatan. Mungkin dalam usianya yang meningkat, dia mempunyai penyakit yang tidak diketahui.

Bagi anda yang tidak pernah dengar tentang prostat, hari ini anda perlu memberi kesedaran kepada insan yang bergelar bapa bahawa statistik penyakit tersebut kian meningkat.

Prostat sering dipandang remeh dengan alasan bahawa simptom-simptomnya hanya hanya berkaitan orang tua.

Sebanyak 98 peratus daripada keseluruhan kes prostat dikesan berlaku pada kaum lelaki yang berusia 55 tahun ke atas.

Manakala purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun.

Bagaimanapun, disebabkan kelenjar prostat mengalami pengembangan dan perubahan dari tahap baligh lagi, adalah digalakkan agar lelaki berumur 50 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kanser prostat setahun sekali.

Bagi kaum lelaki yang mempunyai sejarah kanser prostat di dalam keluarga, mereka dinasihatkan supaya membuat saringan tersebut pada usia 45 tahun.

Prostat merupakan kelenjar di pangkal pundi kencing lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra.

Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani.

Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat . Penyakit dan masalah yang utama adalah Benign Prostatic Hyperplasia - BPH (Pembesaran Kelenjar Prostat ) dan kanser prostat .

Pembesaran Kelenjar Prostat

“BPH adalah pembesaran kelenjar prostat yang disebabkan oleh rangsangan hormon testosterone. Pertambahan saiz prostat sebegini dapat dilihat di kalangan lelaki berumur 50 tahun ke atas.

‘‘Mengikut perangkaan, kelaziman BPH adalah lebih daripada 50 peratus di kalangan lelaki pada umur 60 tahun sementara di kalangan lelaki berumur 85 tahun ke atas, kelaziman BPH adalah lebih daripada 90 peratus,” ujar Ketua Perkhidmatan Urologi dan Jabatan Urologi Hospital Selayang, Datuk Dr. Rohan Malek.

Tambah Dr. Rohan, bilangan kes BPH di Malaysia kian meningkat dengan bertambahnya bilangan warga emas.

Pada ujian saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan 2004, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring didapati mempunyai gejala ini.

Kebiasaannya, saiz kelenjar prostat yang besar daripada normal akan menyebabkan salur kencing yang melalui kelenjar tersebut sempit. Mereka yang mempunyai masalah ini akan kerap mengalami kesukaran membuang air kecil.

Tanda-tanda akibat BPH

* Aliran kencing yang kurang baik (poor stream)

* Kerap membuang air kencing (frequency),

* Tidak dapat mengosongkan pundi kencing selepas membuang air (incomplete emptying)

* Air kencing menitik dari kemaluan selepas selesai membuang air (terminal dribbling).

* Pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu perlu bangun dari tidur pada waktu malam untuk membuang air kecil.

Masalah BPH yang tidak dikawal, menurut Dr. Rohan akan menyebabkan salur kencing tersumbat dan pesakit tidak dapat membuang air kencing secara normal. Malah ia boleh menyebabkan risiko buah pinggang menjadi bengkak dan gagal berfungsi (renal failure). Penyakit lain yang sinonim akibat penyakit ini ialah pembentukan batu karang dan hernia.

Dr. Rohan berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan kajian epidemiologi cross-sectional untuk mengenal pasti kelaziman (BPH) dan pengesanan kanser prostat baru-baru ini.

Menyentuh tentang rawatan BPH, Dr. Rohan memberitahu, pengesahan penyakit memerlukan sejarah kesihatan pesakit dan tanda-tanda penyakit digunakan untuk mengkategorikan sama ada keadaan serius atau tidak.

Kebanyakan diagnosis penyakit boleh dilakukan menerusi ujian rektal digital (DRE) atau pemeriksaan darah dengan antigen khusus prostat (PSA).

“Kebanyakan kes BPH dapat dirawat dengan kaedah perubatan. Pembedahan diperlukan sekiranya tanda-tanda tidak dapat dikawal lagi dengan ubat atau sekiranya terdapat komplikasi seperti batu karang,’’ katanya.

Pembedahan yang biasa dijalankan adalah transurethral resection of prostate (TURP) di mana bahagian prostat yang menyebabkan salur kencing menjadi sempit dibedah untuk membolehkan air kencing mengalir dengan elok semula. Pembedahan ini dijalankan secara endoskopi di mana teropong khas (endoskop) dimasukkan ke dalam salur kencing dan membolehkan kelenjar prostat dibedah dengan hanya menggunakan alat endoskopi.

Terdapat komplikasi yang mungkin terjadi akibat pembedahan ini termasuk pendarahan, masalah pancutan air mani (retrograde ejaculation) serta mati pucuk.

Dalam pada itu wujud kaedah-kaedah baru rawatan termasuk penggunaan tenaga gelombang mikro untuk memusnahkan tisu prostat (transurethral microwave thermotherapy) serta laser protectonomy tetapi memerlukan kos yang tinggi.

Kanser prostat

Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.

Di Malaysia, barah prostat mewakili 7.4 peratus daripada kes-kes barah di kalangan lelaki . Terdapat sejumlah 735 kes yang dilaporkan dan didaftarkan, menjadikannya jenis barah keempat paling biasa di kalangan kaum lelaki. Lazimnya, barah prostat membesar dengan perlahan. Kajian bedah siasat menunjukkan bahawa ramai lelaki berumur (dan kadangkala lelaki muda juga) yang mati akibat penyakit-penyakit lain, juga menghidapi barah prostat yang tidak pernah mendatangkan masalah semasa hayat mereka .

“Kanser prostat dikesan melalui ujian saringan PSA Apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah, kencing kerap serta nokturia. ‘‘Dalam pada itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras,” ujar Presiden MUA dan Ketua Unit Urologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Azad Hassan Abdul Razack.

Pada peringkat akhir, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.

Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.

Tambah Prof. Azad, kanser ini boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy). Terbaru tentang rawatan ini, pembedahan juga boleh dijalankan dengan bantuan robot.

Berdasarkan prosedur ini, radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser.

Ia juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.

“Rawatan perlu dilakukan awal sebelum simptom menjadi parah. Justeru itu, pemeriksaan awal tentang kanser ini perlu dilakukan awal khususnya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas,” katanya.

Kajian BPH dan barah prostat

Didorong oleh kekurangan data mengenai corak gejala saluran kencing bawahan (lower urinary tract symptoms - LUTS) di kalangan kaum lelaki di Malaysia, kajian tersebut telah dibentuk untuk mengumpul maklumat mengenai BPH dan barah prostat bagi memahami dengan lebih baik mengenai pesakit-pesakit yang mempunyai risiko mendapat penyakit-penyakit ini.

Kajian oleh MUA ini telah dilancarkan bagi mengenal pasti kelaziman BPH dan pengesanan barah prostat di kalangan kumpulan pengesanan sasaran dalam masyarakat di Lembah Klang.

Populasi sasaran tersebut terdiri daripada bukan sahaja penduduk di Lembah Klang, malah termasuk juga mereka yang berada di Selatan Perak, Pahang Barat dan Negeri Sembilan Utara.

Kajian ini akan menganalisis data yang diperoleh daripada lapan pusat pemeriksaan di sekitar Lembah Klang. MUA berharap untuk mendapatkan 3,000 peserta dari kedua-dua latar belakang kota dan luar bandar, serta daripada kumpulan etnik yang berbeza bagi kajian ini. Memandangkan kelaziman penyakit-penyakit prostat adalah lebih tinggi di kalangan lelaki yang lebih tua, kajian tersebut akan tertumpu kepada lelaki berumur 50 tahun ke atas.

Mereka yang menepati profil kelayakan digalakkan untuk mengunjungi pusat-pusat pemeriksaan yang berdekatan rumah mereka. Pemeriksaan percuma akan dijalankan setiap hujung minggu dalam bulan Julai di Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Serdang, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

- UTUSAN

Bukan wanita saja ‘berat jodoh’

Oleh Fauziah Arof

Seorang kawan lelaki dari Pahang membuat pengakuan, dia tidak sedikit pun merasa ‘goyah’ apabila golongan lelaki di negeri itu dikata akan ‘berat jodoh’ kerana bilangan mereka yang lebih ramai berbanding wanita.

Dalam reaksinya, beliau berkata, sekiranya wanita tidak ramai di Pahang, berhijrahlah ke negeri-negeri lain – bercampurlah, jangan hanya mencari calon isteri dalam satu negeri saja – tidak mencabar langsung.

Tetapi yang pastinya kawan saya itu, walaupun telah begitu lama bekerja di ibu kota ini, dalam usia memasuki ambang 40-an, beliau masih mempertahankan status bujangnya!

Ini membawa kepada satu isu lain pula, isu kahwin lewat. Selama ini apabila memperkatakan mengenai isu kahwin lewat maka ramai pihak memberi fokus kepada kaum wanita sahaja. Sedangkan, ramai juga lelaki yang berat jodoh. Tetapi tidaklah dapat dipastikan perangkaannya, sama ada ia melibatkan lelaki Pahang atau negeri-negeri lain.

Pun begitu, dalam isu lelaki lebih ramai ini, ada juga yang bertanya, bukankah selama ini di negara kita wanita lebih ramai berbanding lelaki? Ini ketara dilihat apabila wanita yang menguasai pengambilan pelajar-pelajar ke institusi pengajian tinggi setiap tahun. Dalam pada itu negara juga kekurangan guru lelaki sama ada di sekolah rendah mahupun menengah.

Dan bagi saya, kemasukan ramai pelajar wanita ke institusi pengajian tinggi juga satu isu lain yang tidak payahlah diulas panjang, kerana nanti dikata pula satu percubaan untuk mencetuskan perbalahan antara lelaki dan wanita mengenai tahap kebijaksanaan pula!

Berdasarkan banci penduduk yang dijalankan tahun lepas, menunjukkan lelaki di Pahang melebihi wanita pada nisbah 113:100 iaitu satu angka yang melebihi paras nasional pada 105:100. Berdasarkan bilangan sebenar, terdapat 759,587 orang lelaki manakala wanita, 683,778 di negeri berkenaan.

Sementara itu, nisbah lelaki tempatan berbanding lelaki warga asing di Pahang adalah 13:1 iaitu bagi setiap 13 lelaki tempatan terdapat seorang lelaki asing. Perkembangan tersebut, disifatkan akan memberi kesan dari segi persaingan lelaki di Pahang untuk mendapatkan pekerjaan sekali gus memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan.

Ditambah pula dengan bilangan lelaki dalam umur perkahwinan iaitu 20 hingga 34 tahun di negeri itu ialah 198,600 orang berbanding 188,900 wanita.

Sekiranya nisbah bilangan jantina tidak berimbang, ia boleh menimbulkan masalah kekurangan bilangan penduduk antara jantina dalam umur perkahwinan tertentu untuk dijadikan pasangan hidup. Mungkin nanti jarak usia di antara pasangan adalah terlalu jauh, yang akan mencetuskan masalah lain pula.

Pun begitu, tidak perlulah diambil kisah dan dirisaukan akan angka-angka tersebut. Kita percaya kepada jodoh dan pertemuan, qada dan qadar daripada Tuhan. Jalani hidup ini dengan melakukan yang terbaik untuk agama, diri, keluarga dan negara.

- UTUSAN

Selasa, Jun 21, 2011

Semakan Penempatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) Lepasan ISMP - 2/2011

Semakan Penempatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) Yang Telah Tamat Mengikuti Sarjana Muda Pendidikan Dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Bil . 2/2011 boleh di buat di : http://apps.moe.gov.my/gsst/semakan/sm/sessiJun/ . Semakan dibuka dari 20.06.2011 – 27.06.2011.

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)
http://www.moe.gov.my/

Jet Pejuang Singapura Ceroboh Malaysia 2,508 Kali - Ahmad Zahid

Sebanyak 2,508 pergerakan pesawat tentera udara Singapura dikesan menceroboh ruang udara negara sejak tahun 2008, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya Malaysia telah mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan tersebut oleh pesawat udara republik itu.

Menurutnya setiap pergerakan pesawat tentera udara Singapura yang mencurigakan dipantau dengan menggunakan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga kelengkapan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

"Pada tahun ini sahaja iaitu sehingga bulan Mei, sebanyak 19 pergerakan pesawat (menceroboh) dikesan dengan purata sebanyak empat pergerakan pesawat sebulan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya sebanyak 985 pergerakan pesawat Singapura dikesan pada tahun 2008, 1,286 pergerakan (2009) dan 218 pergerakan pesawat (2010).

Beliau juga berkata bantahan tersebut bermula setelah Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 23 Mei 2008.

- MSTAR

Kebaikan makan pisang


PISANG sering menjadi pencuci mulut di negara ini. Secara amnya, kandungan potasium pisang menyebabkan ia disyorkan oleh para doktor untuk pesakit yang kekurangan sumber itu.

Sebagai contoh, sebiji pisang sepanjang 22 sentimeter (sm) mengandungi 600 miligram potasium.

Pakar perunding diet, Indra Balaratnam berkongsi maklumat berguna tentang khasiat buah pisang.

Menurut Penolong Setiausaha Persatuan Pakar Diet Malaysia itu, kajian makmal menunjukkan pisang mengandungi kanji sebanyak 20 peratus dan gula satu peratus.

“Ketika pisang berubah warna menjadi kuning dan sedia untuk dimakan, kandungan gula akan berpecah kepada 66 peratus sukrosa, 14 peratus fraktosa, dan 20 peratus glukosa.

“Pada amnya, pisang bebas daripada lemak, kandungan garamnya rendah serta kaya dengan vitamin serta potasium.

“Ini menyebabkan semua jenis pisang dikategorikan sebagai berkhasiat.

“Apatah lagi ia senang untuk dimakan dan dihadam khususnya oleh bayi berusia enam bulan dan ke atas.

Khasiat

“Tidak ada kesan sampingan pada kesihatan walaupun pisang itu manis kerana kandungan gula dalam pisang adalah semula jadi,” katanya.

Kata beliau lagi, terdapat perbezaan antara pisang yang dimakan begitu sahaja dengan kerepek pisang atau pisang goreng.

Menurut beliau, pisang yang digoreng atau dibuat kerepek mengandungi lemak.

Jadi, adalah selamat jika pengambilan pisang goreng dikurangkan kepada seminggu sekali atau sebulan sekali.

Jika digoreng, kandungan khasiat serta vitamin dan zat-zat lain dalam pisang akan berkurangan sebaliknya kandungan lemak akan bertambah.

Ujar beliau, pisang juga dianggap penting dalam bidang perubatan. Di Thailand, misalnya, wanita hamil digalakkan oleh doktor untuk makan pisang bagi memudahkan proses bersalin. Ia juga membekalkan tenaga bagi melawan dan menyembuhkan penyakit.

Beberapa kajian antarabangsa mendapati hampir 15 jenis masalah kesihatan boleh dikurangkan dengan memakan pisang.

“Antaranya, penyakit anemia iaitu kekurangan hemoglobin dalam darah boleh diatasi dengan memakan pisang kerana ia membantu meningkatkan pembentukan hemoglobin.

“Kandungan potasium tinggi dalam pisang turut menolong merendahkan tekanan darah serta mengurangkan risiko strok,” jelas beliau.

Tambah beliau, selain itu, kandungan fibernya yang tinggi dapat membantu masalah pembuangan air besar secara normal setiap hari.

Ia turut mengurangkan tekanan kerana sejenis protein dikenali sebagai Trytophan yang ada di dalamnya membantu menenangkan fikiran serta otak orang yang berada dalam tekanan.

Katanya lagi, orang yang bergelut dengan penyakit ketakutan, obesiti dan tabiat rokok, digalakkan mengamalkan pemakanan pisang dan mereka dipercayai mampu bebas daripada masalah itu secara beransur-ansur.

Kajian turut membuktikan bahawa seseorang yang berdepan masalah mabuk hamil khususnya wanita yang berasa mual dan muntah pada beberapa bulan pertama kehamilan, boleh mengambil pisang untuk mengelak masalah itu.

Di samping itu, mereka yang menghadapi masalah kegemukan akibat tekanan di tempat kerja boleh diatasi dengan memakan pisang setiap dua jam.

Ia dapat membantu menghilangkan tekanan kerja selain mengawal kandungan gula dalam darah. Bahagian dalam kulit pisang pula membantu memulihkan kegatalan akibat gigitan nyamuk.

“Apa yang penting, kita perlu memberi tumpuan pada kesihatan dengan mengamalkan tabiat makan pisang.

“Bagi anak-anak, kita sangat mudah untuk menyuruh mereka makan pisang kerana ia manis dan lembut. Ia boleh disediakan dalam bentuk kek, mufin dan roti pisang,” katanya.

Laris

Pisang boleh diperoleh sepanjang tahun. Di negara ini, pisang rastali, emas, tanduk, abu dan berangan adalah yang paling laris. Ia turut menjadi tumpuan peniaga pisang goreng dan kerepek.

Seorang peniaga buah-buahan di Pasar Keramat, Kuala Lumpur, Ramli Mat Dalip, 42, berkata, pisang sentiasa menjadi pilihan orang ramai dan ia adalah salah satu buah yang boleh didapati sepanjang tahun.

Kata beliau yang berniaga sejak 15 tahun lalu, pisang berangan dan abu sering dibeli peniaga kerepek atau kuih.

Bagaimanapun, katanya, pisang emas dan berangan memang laris dijual dan dibeli pengguna kerana rasanya manis dan boleh dimakan begitu sahaja.

“Dari segi harga, tidak banyak perbezaan kerana harga pisang mengikut jenisnya iaitu dijual sekitar RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

“Permintaan terhadap pisang pada musim perayaan khususnya Tahun Baru Cina, Hari Wesak dan Deepavali juga memberangsangkan.

“Pengguna kerap datang meminta pisang emas dan rastali kerana saiznya kecil iaitu di antara tujuh hingga 10 sm.

“Mereka akan menggunakan pisang itu dalam upacara sembahyang selain untuk dimakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga Romlah Ahmad, 31 menjelaskan, berbanding buah-buahan lain khususnya yang diimport, pisang tidak menghadapi masalah kenaikan harga.

“Pisang tidak menghadapi masalah itu. Harganya di mana sekali pun lebih kurang sama iaitu kekal sekitar RM2.80 hingga RM3.50 sekilogram.

“Lagipun pisang dikatakan paling berkhasiat dan kaya dengan zat dan vitamin. Tidak hairanlah jika orang ramai gemar memakannya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pensyarah sebuah kolej swasta di ibu negara, Daljit Kaur, 36, berkata, beliau dan keluarga gemarkan pisang kerana kebaikan yang diperoleh daripada buah tersebut.

Katanya, sejak kecil lagi beliau suka makan pisang dan pernah sekali beliau berdepan dengan seorang rakan yang mempunyai masalah kekurangan hemoglobin dalam darah dan mencadangkan supaya dia makan pisang untuk mengatasi masalah tersebut.

“Selepas itu, saya dapati kesihatannya bertambah baik bahkan setahun kemudian, boleh dikatakan dia bebas sepenuhnya daripada masalah itu.

“Selain itu, ketiga-tiga anak saya yang berusia di antara enam hingga 13 tahun juga gemar makan pisang setiap hari.

“Mereka nampaknya sihat dan tidak menghadapi kesukaran untuk membuang air besar lagi,” katanya.

- KOSMO!

Recent Posts