Sabtu, Jun 18, 2011

Perodua Myvi versi baru dilancar




Dunia automotif tempatan tidak lagi sama selepas Perodua Myvi diperkenalkan di pasaran pada 2005. Bertitik tolak daripada kejayaan pertama Kancil pada 1994, Kelisa dan Kenari pada awal tahun 2000, Perodua berjaya mengisi kekosongan yang selama ini ditinggalkan oleh segmen kereta murah yang ekonomikal.

Segmen yang satu ketika dahulu dikuasai Proton telah dipecahkan monopolinya oleh Perodua. Myvi juga berjaya melonjakkan Perodua ke tempat teratas sebagai kereta paling laris, selain pengeluar yang menduduki tangga teratas jualan tertinggi dalam pasaran tempatan.

Tidak dinafikan bahawa kereta itu didatangkan dengan pakej kereta urban yang menjimatkan. Myvi dicipta untuk menjadi kereta yang praktikal, mudah dipandu dan diparkir, ergonomik, teknologi yang asas serta mudah diselenggara.

Bagi sebuah negara yang mengadaptasi sistem bayaran balik sehingga sembilan tahun, sudah tentulah faktor nilai jualan balik menjadi isu pokok. Pembeli kereta pertama sudah tentu memikirkan nilai pasaran terpakai yang bagus.

Justeru, Myvi ternyata satu pembelian yang selamat. Lihat sahaja nilainya di pasaran terpakai bagi model pertama tahun 2005. Tidak ada kereta yang mengalami kejatuhan minimum seperti Myvi.

Perodua dikenali kerana kualiti binaan Toyota-Daihatsu. Kereta yang dipasang di Sungai Choh, Rawang itu berkongsi platform dengan model gantian Daihatsu Boon yang baru sahaja diperkenalkan di pasaran Jepun pada tahun lalu. Ironiknya, Boon generasi kedua ini (atau ketiga jika dikira dengan model Storia) turut menggantikan Myvi tempatan.

Berbeza dengan khabar angin yang bertiup kencang sebelum kehadiran gantian Myvi itu, asasnya, ia kekal dengan kapasiti enjin 1.3 dan namanya - Myvi. Sebenarnya saya melihat pengekalan nama pada model gantian adalah perlu dalam pasaran sekecil Malaysia agar sesuatu jenama dapat diperkukuhkan dan mudah diingati.

Walaupun desas-desus bertiup kencang tentang gantian Myvi bakal menggunakan enjin 1.5 liter baru, Perodua mengambil keputusan mengekalkan konfigurasi enjin sedia ada.

Enjin K3-VE berkapasiti 1.3 liter itu terbukti lasak dan ekonomikal sejak divariankan lama sebelum itu di Jepun. Enjin siri K3VE dibangunkan sejak tahun 2000 dan telah dipasangkan pada pelbagai model Toyota/Daihatsu seperti Terios (Kembara/Nautica), YRV, Storia dan Bb. Ia merupakan model gantian siri HC/HD seperti yang dipasang pada Daihatsu Ascend/Espri tempatan.

Perbezaan ketara untuk Myvi baru adalah pengubahsuaian sistem stereng kuasa daripada jenis bermotor kepada berkuasa elektrik. Jika dilihat kepada mana-mana kereta urban moden hari ini, stereng kawalan elektrik lebih mesra pengguna menerusi sensor kelajuan.

Pada posisi pegun, memusing stereng adalah lebih mudah. Sementara apabila kelajuan melebihi 40 kilometer sejam (km/j), alat pengesan (sensor) pada batang rak stereng akan memberatkan putaran, sekali gus menjadikan pemanduan lebih stabil.

Enjin Myvi baru itu sudah ditala semula untuk capai tahap ekonomikal yang lebih baik. Menurut Perodua, menerusi ujian dalaman mereka, versi manual mencatat perjalanan 17.5km bagi seliter (km/l) petrol, berbanding model lama iaitu 17.1km/l. Model automatik nampaknya lebih baik kerana mencatatkan jarak 14.6km/l berbanding 13.5km/l pada model lama.

Walaupun asas platform Myvi baru itu sama seperti sebelumnya, sistem suspensi dan pengendaliannya telah diperbaiki secara keseluruhan. Pada sesi uji pandu singkat yang dijalankan bulan lepas, pihak media berpeluang mengujinya.

Apa yang dapat saya simpulkan, karektor pemanduannya tidak banyak berubah. Cuma suspensinya terasa lebih rigid terutamanya pada bahagian belakang. Tahap membuai yang sinonim dengan Myvi berjaya dikurangkan dengan menggunakan set suspensi yang lebih 'keras'.

Selain itu, konfigurasi dalaman dan luaran tidak banyak berubah. Beberapa penyesuaian ada dibuat. Ruang kepala direndahkan sedikit, sementara kelegaan kaki ditambah. Ruang but simpanan barang dan bahagian penumpang belakang masih tidak berubah.

Bahagian luar menerima perubahan ketara dengan rekaan lampu yang kelihatan lebih 'tersenyum'. Susunan lampu belakang pula berjaya menjadikan kereta ini satu pakej yang lengkap.

Jika anda amati pada model lama, penempatan lampu belakang kelihatan tergantung di posisinya. Jujurnya, saya suka rekabentuk lampu belakang Sirion/Boon versi Jepun yang lebih menyerlah dengan penggunaan kelongsong berbentuk bulat.

Hari ini, pembeli melihat kereta urban daripada perspektif berbeza. Jadi tidak hairanlah jika Myvi terjual lebih 484,000 unit sejak dilancarkan, menang 11 anugerah sepanjang lima tahun dan terbukti rakyat Malaysia memang sukakan Myvi.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rasyid Salleh memberitahu pihaknya menyasarkan jualan Myvi sebanyak 8,000 hingga 8,500 unit sebulan.

“Sehingga kini, sebanyak 10,000 unit Myvi telah ditempah. Penghantaran Myvi baharu kepada para pelanggan bermula esok (Jumaat),” kata Aminar.

Perodua juga sudah memulakan pengeksportan model sama ke Indonesia dengan menggunakan lencana Daihatsu Sirion. Penghantaran pertama itu melibatkan 500 unit Myvi.

Penggantian model baru adalah satu lagi berita gembira kepada bakal pembeli Myvi mahupun kereta subkompak secara keseluruhannya. Harga kereta ini bermula dari RM43,900 hingga RMRM57,400 bergantung pada varian sama ada Standard, Premium atau Elegance.

- KOSMO!

Trend jana pendapatan dari rumah

Rutin harian Siti Sumera Deyana Sukri, 26, sama seperti wanita bekerjaya yang lain. Seawal pukul 6 pagi dia mula sibuk menguruskan anak-anak dan menyediakan sarapan pagi.

Selepas menghantar anak sulungnya, Adam El-Badri Suhaidi Badri, 6, ke tadika dia bergegas pulang ke rumah kerana perlu bersiap-siap untuk ke pejabat.

“Tetapi perjalanan ke pejabat hanya mengambil masa tak sampai seminit pun memandangkan pejabat saya terletak di luar kamar saja (ketawa),” terang Siti Sumera Deyana atau mesra dengan panggilan Mea sambil menunjukkan pejabat mininya yang kemas dan menempatkan para-para kayu yang dipenuhi koleksi fabrik serta pakaian jualannya.

Jelas Mea, meskipun pejabatnya di dalam rumah, tetapi itu tidak bermakna dia bebas melakukan apa saja terutamanya dari aspek masa. Dia menyifatkan setiap detik begitu berharga dalam menentukan untung dan rugi penjualan produknya.

“Setiap hari tepat pukul 8 pagi saya mula bekerja. Tugasan pertama saya memeriksa senarai tempahan produk daripada pelanggan dan mengemaskini stok-stok terbaharu dalam blog.

“Kemudian saya beralih pula pada proses pembungkusan sebelum ke pejabat pos untuk proses penghantaran menggunakan perkhidmatan pos laju,” tutur Mea yang sempat melayan telatah dua permata hatinya walaupun sibuk mencatat senarai tempahan.

Selain ketepatan masa, Mea yang mengasaskan Mea Sukri Shoppe yang menjual pakaian secara dalam talian turut menitikberatkan soal penampilan diri dan pemakaian.

Jelas anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut: “Jika di pejabat pekerja berdisiplin mematuhi etika berpakaian, mengapa etika ini perlu dihapuskan apabila kita bertugas di rumah? Lagipun imej yang kemas dan cantik menyuntik semangat bekerja yang tinggi.

Berbicara tentang keputusannya bekerja di rumah, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu memberitahu segala-segalanya selepas dia melahirkan anak pertama.

Tambah graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL): “Sewaktu menamatkan pengajian, usia anak saya baru saja mencecah setahun. Jadi, saya tak sampai hati keluar bekerja dan membiarkan si kecil dijaga pengasuh.

“Namun, saya akui duduk di rumah saja mengundang kebosanan. Sebab itu, saya meminta izin suami untuk berniaga menerusi internet dan segala perihal perniagaan dijalankan di rumah. Ini bermakna selain berniaga untuk membantu menjana pendapatan peribadi, saya juga dapat memberi tumpuan sepenuh masa kepada anak-anak.

Dalam pada itu, Mea turut menyatakan idea bekerja di rumah timbul hasil pembacaannya di internet mengenai topik konsep pejabat ringkas di rumah atau SOHO (Small Office Home Office). Dia mendapati kebanyakan wanita di negara-negara maju memperoleh pendapatan lumayan menerusi konsep kerja SOHO.

“Lagipun sekitar 2009, peluang pekerjaan di luar amat terhad gara-gara krisis ekonomi,” terang Mea yang merujuk kepada kegawatan ekonomi dunia yang mengakibatkan seramai 17,126 pekerja wanita di Malaysia hilang dan berhenti kerja.

SOHO 30 tahun

Tahun ini hampir tiga dekad terma SOHO digunakan. Sejak kehadiran teknologi canggih seperti komputer dan internet lewat 1990-an, negara maju dilihat semakin rancak mempraktikkan konsep SOHO. Kebiasaannya trend kerja itu menjadi pilihan individu atau syarikat yang menjalankan bisnes kecil-kecilan.

Lazimnya, konsep SOHO dipraktikkan kelompok individu yang menjalankan bidang perkhidmatan seperti perakaunan, perhubungan awam, penulisan, penterjemah atau pun konsultasi berkaitan kertas kerja bagi sesebuah syarikat.

Konsep SOHO dilihat bukan saja menjimatkan kos pengangkutan malah, turut mengurangkan pencemaran udara dan bunyi di jalan raya. Secara tidak langsung mengalakkan orang ramai menjana ekonomi negara tanpa mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), setakat ini di negara berkenaan sebanyak 75 peratus rakyat tempatan selesa bekerja di rumah. Ekoran daripada itu, pihak kerajaan menjangkakan pada tahun 2013, jumlah individu yang bekerja di rumah akan mencecah 119.7 juta orang, manakala 1.19 bilion di serata dunia.

Jimat perbelanjaan harian

Bagi Fatmawati Abdullah, 30, dalam tempoh enam bulan bekerja dari rumah dia tidak terlepas berhadapan dengan cabaran-cabaran tertentu.

Dia yang bertugas sebagai perunding perhubungan awam di sebuah agensi perhubungan awam swasta mengakui pada dua bulan pertama, dia berasa janggal dan sunyi kerana melakukan tugasan tanpa dikelilingi rakan sepejabat. Akui Fatmawati ia sedikit sebanyak menyukarkan dirinya melakukan tugasan dengan baik.

Enggan membiarkan situasi berkenaan berterusan maka Fatmawati atau mesra disapa Bee, mengambil keputusan bekerja di luar rumah untuk sementara waktu.

“Bayangkan selama sedekad saya sudah terbiasa bekerja di pejabat dan dikelilingi rakan sekerja. Jika tertekan atau pun kepenatan menyelesaikan kerja menimbun, rakan-rakan menjadi tempat mengadu. Tetapi situasi ini sukar didapati apabila bersendirian bekerja di rumah. Semuanya perlu diuruskan sendiri tanpa bantuan teman-teman.

“Namun, lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Kini, rutin kerja harian kembali normal. Setiap hari selepas bersiap, saya akan duduk di pejabat yang diletakkan berhampiran meja makan. Selain mengemaskini e-mel, saya akan menghubungi majikan untuk bertanyakan tugasan terbaharu dan mengurusnkan temu janji bersama pelanggan,” ujar Bee kepada Kosmo!.

Tambah graduan Ijazah Hiasan Dalaman, Universiti Sains Malaysia (USM), biarpun konsep kerja sebegitu masih baru dilaksanakan oleh warga tempatan, tetapi Bee menyifatkan SOHO membantu mengurangkan kos perbelanjaan bulanan dan masa.

Bukan itu saja, kini anak kelahiran Kuala Terengganu tersebut gembira kerana tidak perlu lagi tertekan dengan kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke pejabat. Pada masa yang sama berjimat RM800 sebulan daripada membayar caj parkir, minyak kereta dan tol.

“Saya keluar rumah sekali-sekala itupun berjumpa pelanggan, menguruskan acara dan menghadiri mesyuarat bulanan bersama majikan.

“Hakikatnya, tidak sukar untuk bekerja di rumah, asalkan pejabat mini dilengkapi komputer, mesin faksimili, mesin cetak, internet dan telefon. Kelengkapan ini memudahkan urusan komunikasi,” ujar Bee.

- KOSMO!

Kewajipan Majikan

Hadith:

DARIPADA Khaitamah r.a katanya : Kami sedang duduk bersama-sama Abdullah bin Umara r.a. Tiba-tiba datang seorang ketua pelayan, maka Ibnu Umar berkata : Adakah engkau telah memberikan makanan kepada hamba sahaya? "Pelayan itu menjawab: Tidak." Ibnu Umar berkata : Pergilah dan berikanlah kepada mereka. Dan beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda : Cukuplah seseorang itu berdosa, ia menahan makanan terhadap orang yang di bawah kuasanya."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Dalam pengurusan Islam, berlaku adil dalam semua aspek kehidupan sangat dituntut. Maka Islam mengajar umatnya menghormati manusia, walaupun berlainan fahaman dan anutan.

Justeru pekerja dan majikan adalah selamanya terikat dengan aqad (kontrak) yang antara lain menghendaki pekerja menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh kesungguhan lagi amanah, sementara majikan pula berkewajipan melayani atau mengambil peduli para pekerjanya dengan baik, ihsan dan adil.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Khamis, Jun 16, 2011

Pelarasan Harga Astro Belum Muktamad

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang berbincang dengan pihak stesen televisyen berbayar Astro berhubung hasrat syarikat itu melakukan beberapa pelarasan harga kepada pakej-pakej yang ditawarkan berkuat kuasa 11 Julai depan.

Timbalan Menteri Datuk Joseph Salang berkata penyelarasan harga yang diumumkan oleh pihak syarikat televisyen berbayar itu baru-baru ini, masih belum muktamad.

"Kementerian memang sentiasa memantau dan berunding dengan Astro. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, penyelarasan harga yang telah diberitakan belum muktamad.

"Pada masa kini, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berunding, meneliti dan menganalisa apakah hajat Astro untuk naikkan harga ini wajar atau tidak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Mohamad meminta supaya kementerian memantau langkah Astro untuk mengenakan bayaran yang agak tinggi terhadap pakej-pakej yang ditawarkan demi kepentingan rakyat.

Sementara itu, Joseph berkata bagi mana-mana perkhidmatan televisyen berbayar termasuk Astro, penetapan kos langganan adalah berdasarkan kos yang ditanggung dalam menyediakan perkhidmatan termasuklah kos pemerolehan dan pembelian kandungan dan hak penyiaran dari pihak ketiga.

Katanya, ini adalah selaras dengan prinsip mengenai penetapan kadar yang diperuntukkan di bawah Seksyen 198, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Oleh itu, setiap kenaikan harga dianalisa oleh pihak SKMM bagi memastikan ianya adalah tindakan yang wajar dan munasabah berasaskan kos dan tidak hanya bermotifkan keuntungan semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan pemantauan SKMM didapati Astro tidak menayangkan terlalu banyak iklan komersil, malah secara purata masa iklan yang digunakan oleh Astro hanyalah 19 hingga 20 peratus atau 46-50 minit daripada 240 minit masa yang dibenarkan untuk mereka menyiarkan iklan komersil dalam sehari.

Katanya, kerajaan tidak menghalang penyiaran iklan di Astro mengikut syarat lesen yang membenarkannya menyiarkan iklan komersil tidak lebih daripada 10 minit bagi setiap jam di setiap saluran.

"Kebanyakan iklan di saluran Astro adalah berbentuk promosi saluran-saluran atau rancangan-rancangan Astro lain.

"Ini tidak dianggap sebagai iklan komersil kerana masa penyiaran tersebut tidak memberi pulangan kepada Astro," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut menetapkan syarat lesen Astro untuk menyiarkan Pengumuman Khidmat Awam (Public Service Announcement-PSA) selama satu minit setiap jam siaran di 10 saluran.

- MSTAR

Portal kerajaan digodam penjahat Dragon Force

Portal rasmi Jabatan Pengajian Politeknik dan sebuah portal pelancongan swasta menjadi mangsa pertama sekumpulan penggodam yang dikenali sebagai Dragon Force Malaysia di sini awal pagi semalam.

Dalam kedua-dua portal itu, penggodam terbabit menyatakan tindakan tersebut dibuat sebagai protes terhadap kerajaan Malaysia supaya tidak menghalang kebebasan menggunakan Internet.

"Tiada yang selamat, terima kasih ahli Dragon Force. Kepada pentadbir, Dragon Force sudah datang. Terkejut huh? Jangan bimbang banyak yang akan datang lagi.

"Hormati kami, kami masukkan kod, kami ubah sistem anda, kami buka kata kunci anda, kami salah guna jaringan anda bukan kerana kami benci tetapi kami suka. Enjoy!," kata penggodam yang menggelarkan dirinya sebagai Kambeng Merah melalui mesej yang ditinggalkan dalam portal yang digodam.

Bagaimanapun, kedua-dua portal yang digodam selama 13 jam bermula tengah malam kelmarin sehingga kira-kira pukul 1 petang itu boleh diakses semula setelah dibaik pulih oleh pentadbir portal berkenaan.

Dalam pada itu, sumber daripada Jabatan Pengajian Politeknik mengesahkan kejadian tersebut dan sedang menunggu laporan penuh pembekal perkhidmatan laman webnya.

"Kami mempunyai dua portal iaitu www.politeknik.edu.my dan politeknik.gov.my. Yang telah diserang ialah politeknik.gov.my sementara portal yang satu lagi tidak digodam.

"Buat masa sekarang, memang tiada sebarang kerosakan serius dan semua kerosakan itu sudah dibaiki. Selepas pihak kami mendapat laporan penuh daripada pembekal, kami akan buat laporan terus kepada pihak atasan mengenainya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain itu, sebuah lagi portal milik syarikat Impressions Holidays & Resort Sdn. Bhd. iaitu www.tourmalaysia.com.my turut menjadi mangsa kumpulan sama.

- KOSMO!

Tatoo Di Badan Bukan Penghalang Sertai ATM

Lukisan tatoo pada badan tidak menjadi penghalang kepada mana-mana individu untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), persidangan Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata ATM lebih mementingkan calon memenuhi kriteria seperti lulus pemeriksaan perubatan, lulus ujian fizikal, dan untuk pegawai, perlu memenuhi keupayaan memimpin dan merancang.

"Mereka yang mahu menyertai ATM juga perlu lulus beberapa ujian kecerdasan mental (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ). Kalau ada tatoo banyak sekalipun, seseorang itu lulus semua ujian kelayakan, dia pasti akan diterima," katanya ketika menjawab soalan Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti).

Kepada soalan wakil yang sama sama ada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diberi keutamaan menyertai pasukan tentera, Abdul Latiff berkata, mereka ini diberi keutamaan sekiranya berminat menyertai ATM, Polis Diraja Malaysia ataupun Jabatan Pertahanan Awam.

Terdahulu menjawab soalan Ahmad Lai, beliau berkata ATM tidak menghadapi kesukaran mendapatkan anak watan Sarawak untuk berkhidmat dalam pasukan itu.

Malah, katanya, daripada jumlah pengambilan rekrut ATM dalam tempoh 2009 hingga 2011, seramai 661 orang (8.8 peratus) daripada keseluruhan 7,510 rekrut adalah dari dari Sarawak.

Mengenai penggunaan media baru sebagai untuk mengiklankan pengambilan anggota baru untuk tentera, Abdul Latiff berkata kementerian masih mengguna pakai media arus perdana tetapi akan membuat pertimbangan untuk menggunakan Youtube, Facebook dan Twitter untuk tujuan itu.

- BERNAMA

Blogger perlu patuhi undang-undang negara

Penulis blog atau blogger mempunyai kedudukan sama seperti penulis majalah atau surat khabar kerana mereka tertakluk di bawah undang-undang negara.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, golongan tersebut tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan saman oleh individu yang mendapati diri mereka telah difitnah.

“Blogger boleh dikenakan tindakan undang-undang daripada pihak berkuasa jika didapati cuba menghasut dan melakukan kegiatan jenayah sehingga ada pihak mengalami kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Blogger dan Media Sosial Dunia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

- KOSMO!

58,094 Kes Tuntutan Pengguna Berjaya Diselesaikan TTPM - Ismail Sabri

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjaya menyelesaikan 58,094 kes yang difailkan pengguna terhadap pembekal barangan dan perkhidmatan atau pengilang dengan nilaian berjumlah RM135.2 juta bagi tempoh Januari 2000 sehingga 31 Mei lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu membabitkan 97.73 peratus daripada 59,441 kes dengan jumlah tuntutan bernilai RM275.6 juta.

Katanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sebanyak 4,542 tuntutan yang didaftarkan berbanding pemfailan sebanyak 2,272 bagi tempoh sama pada tahun lepas.

"Saya percaya peningkatan ini disebabkan oleh kesedaran pengguna dan promosi secara meluas yang dilakukan melalui program-program kementerian seperti ceramah, seminar, taklimat dan publisiti melalui media massa.

"Malah lebih banyak tuntutan lagi akan dibuat selepas pelancaran portal 1Malaysia Pengguna Bijak pada minggu lepas kerana pengguna boleh mendaftarkan tuntutan mereka hanya melalui SMS (sistem pesanan ringkas)," katanya ketika melancarkan Malaysian Consumer Law Journal (My.Consum.L.J) di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini Rabu.

Turut hadir Timbalannya Datuk Tan Lian Hoe dan Pengerusi TTPM Pretam Singh Darshan Singh.

Beliau berkata pengguna boleh mendaftar tuntutan melalui SMS dengan menaip TTPM Tuntut dan sertakan nama, nombor kad pengenalan, alamat dan aduan dan hantar ke 15888.

Ismail Sabri berkata TTPM kini mempunyai lebih 40 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bagi memperluaskan penyampaian dan perkhidmatan.

Katanya dalam tahun ini 10 cawangan baru TTPM telah dibuka iaitu di Batu Pahat, Muar, Port Dickson, Taiping, Seri Manjung, Kulim, Gombak, Kuala Kubu Baru, Sri Aman dan Keningau.

"Kita memperbanyakkan cawangan TTPM ini adalah untuk memudahkan pengguna membuat tuntutan manakala presiden TTPM akan bertugas secara giliran sama ada seminggu sekali atau sebulan sekali bergantung kepada aduan yang diterima," katanya.

Mengenai My.Consum.L.J yang julung kali diterbitkan di Malaysia, Ismail Sabri berkata ia merupakan suatu percubaan, menerbitkan keputusan TTPM, artikel dan rencana mengenai isu-isu perundangan yang berkaitan dengan pengguna secara spesifik.

"Jurnal ini dijadikan rujukan kepada presiden TTPM untuk membuat keputusan dan dijadikan bacaan umum kepada pengguna bagi meluaskan pengetahuan mereka mengenai hak-hak pengguna," katanya.

Cetakan 500 pertama jurnal itu akan dijadikan rujukan di perpustakaan, mahkamah dan pejabat KPDNKK.


Aduan Kepada Tribunal Pengguna Kini Boleh Dibuat Melalui SMS

Pengguna yang ingin membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna kini boleh melakukannya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sebarang aduan boleh dibuat dengan menghantar sms ke nombor 15888 dan taip TTPM TUNTUT (no kad pengenalan) (nama penuh) (alamat penuh) (tuntutan).

“Ini akan membantu mereka yang tinggal jauh dari bandar daripada terpaksa bergerak ke bandar semata-mata untuk membuat aduan," katanya selepas melancarkan Journal Undang-Undang Pengguna Malaysia, Rabu.

Pengguna yang membuat aduan melalui sms itu katanya akan menerima panggilan dalam tempoh tiga hari bekerja bagi membuat pengesahan untuk memfailkan kes untuk didengar oleh Mahkamah Tribunal nanti.

- BERNAMA

Ujian UKM sahkan Barbican bebas alkohol


Keputusan ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebuah makmal swasta di sini mendapati minuman jenama Barbican bebas daripada elemen alkohol.

Pengarah Suria Wholesaler Sdn. Bhd., Ahmad Al Yateem berkata, laporan itu diterima pada 7 Jun selepas syarikat itu menghantar sampel minuman edaran pihaknya ke UKM pada 1 Jun lalu.

“Perkembangan positif ini membuktikan Barbican bebas alkohol dan selamat diminum oleh pengguna beragama Islam.

“Saya harap orang ramai terutama pengguna yang beragama Islam tidak perlu bimbang lagi untuk meminum Barbican,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat tersebut menjadi syarikat kedua selepas Malaysia Iranian Corporation Sdn. Bhd. yang tampil menegaskan bahawa produk edaran mereka bebas alkohol dan boleh diminum oleh pengguna beragama Islam.

- KOSMO!

Recent Posts