Khamis, Jun 16, 2011

Portal kerajaan digodam penjahat Dragon Force

Portal rasmi Jabatan Pengajian Politeknik dan sebuah portal pelancongan swasta menjadi mangsa pertama sekumpulan penggodam yang dikenali sebagai Dragon Force Malaysia di sini awal pagi semalam.

Dalam kedua-dua portal itu, penggodam terbabit menyatakan tindakan tersebut dibuat sebagai protes terhadap kerajaan Malaysia supaya tidak menghalang kebebasan menggunakan Internet.

"Tiada yang selamat, terima kasih ahli Dragon Force. Kepada pentadbir, Dragon Force sudah datang. Terkejut huh? Jangan bimbang banyak yang akan datang lagi.

"Hormati kami, kami masukkan kod, kami ubah sistem anda, kami buka kata kunci anda, kami salah guna jaringan anda bukan kerana kami benci tetapi kami suka. Enjoy!," kata penggodam yang menggelarkan dirinya sebagai Kambeng Merah melalui mesej yang ditinggalkan dalam portal yang digodam.

Bagaimanapun, kedua-dua portal yang digodam selama 13 jam bermula tengah malam kelmarin sehingga kira-kira pukul 1 petang itu boleh diakses semula setelah dibaik pulih oleh pentadbir portal berkenaan.

Dalam pada itu, sumber daripada Jabatan Pengajian Politeknik mengesahkan kejadian tersebut dan sedang menunggu laporan penuh pembekal perkhidmatan laman webnya.

"Kami mempunyai dua portal iaitu www.politeknik.edu.my dan politeknik.gov.my. Yang telah diserang ialah politeknik.gov.my sementara portal yang satu lagi tidak digodam.

"Buat masa sekarang, memang tiada sebarang kerosakan serius dan semua kerosakan itu sudah dibaiki. Selepas pihak kami mendapat laporan penuh daripada pembekal, kami akan buat laporan terus kepada pihak atasan mengenainya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain itu, sebuah lagi portal milik syarikat Impressions Holidays & Resort Sdn. Bhd. iaitu www.tourmalaysia.com.my turut menjadi mangsa kumpulan sama.

- KOSMO!

Tatoo Di Badan Bukan Penghalang Sertai ATM

Lukisan tatoo pada badan tidak menjadi penghalang kepada mana-mana individu untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), persidangan Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata ATM lebih mementingkan calon memenuhi kriteria seperti lulus pemeriksaan perubatan, lulus ujian fizikal, dan untuk pegawai, perlu memenuhi keupayaan memimpin dan merancang.

"Mereka yang mahu menyertai ATM juga perlu lulus beberapa ujian kecerdasan mental (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ). Kalau ada tatoo banyak sekalipun, seseorang itu lulus semua ujian kelayakan, dia pasti akan diterima," katanya ketika menjawab soalan Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti).

Kepada soalan wakil yang sama sama ada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diberi keutamaan menyertai pasukan tentera, Abdul Latiff berkata, mereka ini diberi keutamaan sekiranya berminat menyertai ATM, Polis Diraja Malaysia ataupun Jabatan Pertahanan Awam.

Terdahulu menjawab soalan Ahmad Lai, beliau berkata ATM tidak menghadapi kesukaran mendapatkan anak watan Sarawak untuk berkhidmat dalam pasukan itu.

Malah, katanya, daripada jumlah pengambilan rekrut ATM dalam tempoh 2009 hingga 2011, seramai 661 orang (8.8 peratus) daripada keseluruhan 7,510 rekrut adalah dari dari Sarawak.

Mengenai penggunaan media baru sebagai untuk mengiklankan pengambilan anggota baru untuk tentera, Abdul Latiff berkata kementerian masih mengguna pakai media arus perdana tetapi akan membuat pertimbangan untuk menggunakan Youtube, Facebook dan Twitter untuk tujuan itu.

- BERNAMA

Blogger perlu patuhi undang-undang negara

Penulis blog atau blogger mempunyai kedudukan sama seperti penulis majalah atau surat khabar kerana mereka tertakluk di bawah undang-undang negara.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, golongan tersebut tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan saman oleh individu yang mendapati diri mereka telah difitnah.

“Blogger boleh dikenakan tindakan undang-undang daripada pihak berkuasa jika didapati cuba menghasut dan melakukan kegiatan jenayah sehingga ada pihak mengalami kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Blogger dan Media Sosial Dunia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

- KOSMO!

58,094 Kes Tuntutan Pengguna Berjaya Diselesaikan TTPM - Ismail Sabri

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjaya menyelesaikan 58,094 kes yang difailkan pengguna terhadap pembekal barangan dan perkhidmatan atau pengilang dengan nilaian berjumlah RM135.2 juta bagi tempoh Januari 2000 sehingga 31 Mei lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu membabitkan 97.73 peratus daripada 59,441 kes dengan jumlah tuntutan bernilai RM275.6 juta.

Katanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sebanyak 4,542 tuntutan yang didaftarkan berbanding pemfailan sebanyak 2,272 bagi tempoh sama pada tahun lepas.

"Saya percaya peningkatan ini disebabkan oleh kesedaran pengguna dan promosi secara meluas yang dilakukan melalui program-program kementerian seperti ceramah, seminar, taklimat dan publisiti melalui media massa.

"Malah lebih banyak tuntutan lagi akan dibuat selepas pelancaran portal 1Malaysia Pengguna Bijak pada minggu lepas kerana pengguna boleh mendaftarkan tuntutan mereka hanya melalui SMS (sistem pesanan ringkas)," katanya ketika melancarkan Malaysian Consumer Law Journal (My.Consum.L.J) di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini Rabu.

Turut hadir Timbalannya Datuk Tan Lian Hoe dan Pengerusi TTPM Pretam Singh Darshan Singh.

Beliau berkata pengguna boleh mendaftar tuntutan melalui SMS dengan menaip TTPM Tuntut dan sertakan nama, nombor kad pengenalan, alamat dan aduan dan hantar ke 15888.

Ismail Sabri berkata TTPM kini mempunyai lebih 40 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bagi memperluaskan penyampaian dan perkhidmatan.

Katanya dalam tahun ini 10 cawangan baru TTPM telah dibuka iaitu di Batu Pahat, Muar, Port Dickson, Taiping, Seri Manjung, Kulim, Gombak, Kuala Kubu Baru, Sri Aman dan Keningau.

"Kita memperbanyakkan cawangan TTPM ini adalah untuk memudahkan pengguna membuat tuntutan manakala presiden TTPM akan bertugas secara giliran sama ada seminggu sekali atau sebulan sekali bergantung kepada aduan yang diterima," katanya.

Mengenai My.Consum.L.J yang julung kali diterbitkan di Malaysia, Ismail Sabri berkata ia merupakan suatu percubaan, menerbitkan keputusan TTPM, artikel dan rencana mengenai isu-isu perundangan yang berkaitan dengan pengguna secara spesifik.

"Jurnal ini dijadikan rujukan kepada presiden TTPM untuk membuat keputusan dan dijadikan bacaan umum kepada pengguna bagi meluaskan pengetahuan mereka mengenai hak-hak pengguna," katanya.

Cetakan 500 pertama jurnal itu akan dijadikan rujukan di perpustakaan, mahkamah dan pejabat KPDNKK.


Aduan Kepada Tribunal Pengguna Kini Boleh Dibuat Melalui SMS

Pengguna yang ingin membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna kini boleh melakukannya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sebarang aduan boleh dibuat dengan menghantar sms ke nombor 15888 dan taip TTPM TUNTUT (no kad pengenalan) (nama penuh) (alamat penuh) (tuntutan).

“Ini akan membantu mereka yang tinggal jauh dari bandar daripada terpaksa bergerak ke bandar semata-mata untuk membuat aduan," katanya selepas melancarkan Journal Undang-Undang Pengguna Malaysia, Rabu.

Pengguna yang membuat aduan melalui sms itu katanya akan menerima panggilan dalam tempoh tiga hari bekerja bagi membuat pengesahan untuk memfailkan kes untuk didengar oleh Mahkamah Tribunal nanti.

- BERNAMA

Ujian UKM sahkan Barbican bebas alkohol


Keputusan ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebuah makmal swasta di sini mendapati minuman jenama Barbican bebas daripada elemen alkohol.

Pengarah Suria Wholesaler Sdn. Bhd., Ahmad Al Yateem berkata, laporan itu diterima pada 7 Jun selepas syarikat itu menghantar sampel minuman edaran pihaknya ke UKM pada 1 Jun lalu.

“Perkembangan positif ini membuktikan Barbican bebas alkohol dan selamat diminum oleh pengguna beragama Islam.

“Saya harap orang ramai terutama pengguna yang beragama Islam tidak perlu bimbang lagi untuk meminum Barbican,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat tersebut menjadi syarikat kedua selepas Malaysia Iranian Corporation Sdn. Bhd. yang tampil menegaskan bahawa produk edaran mereka bebas alkohol dan boleh diminum oleh pengguna beragama Islam.

- KOSMO!

Matahari masuki fasa seperti abad ke-17

WASHINGTON - Saintis-saintis Amerika Syarikat (AS) menyatakan kitaran biasa bintik matahari kini memasuki fasa hibernasi yang tidak pernah dilihat sejak kurun ke-17 dengan suhu global dijangka turun akibat perubahan itu.

Selama bertahun-tahun, para saintis meramalkan bahawa menjelang 2012, matahari akan mengalami fasa dikenali sebagai solar maksimum dengan aktiviti ledakan api dan bintik matahari berada pada tahap paling aktif.

Keadaan tersebut dijangka menyebabkan suhu Bumi meningkat.

Namun, permukaan matahari yang agak tenang sejak kebelakangan ini menunjukkan keadaan yang sebaliknya.

Tanda-tanda perubahan tersebut termasuk ketiadaan pancutan api, sejumlah bintik yang pudar dan kelembapan aktiviti di kedua-dua kutub matahari.

Pendedahan itu dibuat menerusi tiga hasil kajian yang dibentangkan pada pertemuan tahunan Bahagian Solar Fizik Persatuan Astronomi Amerika Syarikat di Las Cruces, negeri New Mexico kelmarin.

"Keadaan ini ganjil dan di luar jangkaan," kata seorang pengarah bersama Agensi Percerapan Solar Nasional, Frank Hill.

Aktiviti matahari cenderung meningkat dan berkurangan setiap kitaran 11 tahun.

Fasa solar maksimum dan solar minimum pula berlaku setiap 22 tahun.

- AFP

Mi Segera Keluaran China Bebas Bahan Kimia

Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan produk mi segera keluaran China jenama 'Shin Ramyun' bebas daripada pencemaran bahan kimia berbahaya Di (2-ethylhexyl) Phthalate (DEHP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata analisa pihaknya ke atas produk itu mendapati kesemua produk tidak tercemar dengan DEHP.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu khuatir akan keselamatan produk mi segera itu memandangkan kawalan telah dikenakan ke atas makanan terbabit dari negara tersebut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini dilaporkan berkata kementerian itu sedang menjalankan analisis ke atas mi tersebut dan keputusannya akan dihebahkan untuk makluman umum.

Kementerian juga telah mengesahkan produk mi segera dengan jenama yang sama keluaran Korea Selatan tidak mengandungi bahan kimia berbahaya DEHP.

Pada 11 Jun lepas Kementerian Kesihatan dilapor telah mengarahkan syarikat-syarikat pengedar mi dari Korea menarik balik produk itu dari pasaran negara ini serta-merta kerana disyaki tercemar dengan DEHP.

Maklumat lanjut mengenai senarai produk makanan keluaran Taiwan boleh didapati di http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833652/ 88833653.

- BERNAMA

Penganjur skim kutu berdepan denda RM500,000

Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011 yang memperuntukkan tindakan lebih tegas terhadap syarikat penganjur perniagaan skim kutu.

Rang undang-undang yang dikemukakan pada sesi persidangan Mac lalu itu memperuntukkan denda sehingga RM500,000 iaitu 100 kali ganda lebih tinggi daripada denda sebelum ini kepada syarikat menganjurkan perniagaan skim kutu.

Pindaan rang undang-undang itu juga bertujuan menambah tempoh penjara maksimum daripada tiga tahun kepada 10 tahun bagi kesalahan sama.

Bagaimanapun, tindakan tidak diambil terhadap penganjur dan pemain wang kutu kecil-kecilan kerana kegiatan itu tidak tertakluk di bawah rang undang-undang berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata akta itu tidak tertakluk terhadap penganjur kutu yang menjalankan kutu pusingan biasa dan membabitkan jumlah wang serta kumpulan kecil.

“Ia fokus kepada penganjur kutu yang membabitkan unsur perniagaan. Kerajaan tidak akan ambil tindakan terhadap penganjur kutu yang menjalankan kutu pusingan biasa sesama kita seperti cari 10 orang atau lebih.

“Jika wujudkan syarikat dan kumpul duit daripada berpuluh-puluh ribu orang serta ada unsur perniagaan seperti penganjur kutu mengambil komisyen misalnya 10 peratus untuk dirinya yang dipanggil caj perkhidmatan atau apa saja, ia tertakluk dalam akta ini,” katanya.

- BERITA HARIAN

Soalan Di Dalam Kubur

Hadith:

DARI Asma' r.a katanya: "Pada masa (hidup) Rasulullah s.a.w pernah terjadi gerhana matahari. Lalu aku pergi menemui ˜Aisyah dan kudapati dia sedang solat. Aku bertanya kepadanya, "Mengapakah orang banyak mengerjakan solat?"

Dia memberikan isyarat kepadaku dengan kepalanya (mendongak) ke langit. Aku bertanya, Ayat? (tanda kebesaran Allah?)

"Jawab ˜Aisyah, Ya! Tanda kebesaran Allah!" Rasulullah s.a.w lama sekali berdiri (dalam solat), sehingga aku pusing (pening).

Lalu aku mengambil air satu qirbah dan kubawa dekat denganku. Kemudian kubasahi kepala dan mukaku.

Kata ˜Asma selanjutnya, "Ketika Rasulullah s.a.w telah selesai solat dan matahari telah terang kembali, baginda berkhutbah di hadapan orang ramai. Mula-mula baginda memuji dan menyanjung Allah. Sesudah itu baginda bersabda, antara lain: "Tidak ada sesuatu pun yang belum pernah kulihat melainkan telah ku saksikan dalam solatku sebentar tadi, syurga dan neraka.

Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku bahawa kamu semua akan disoal di dalam kubur, atau seperti fitnah (bencana) dajal. Masing-masing kamu akan didatangi lalu disoal,: "Apa pengetahuanmu tentang orang (Muhammad) ini?"

Orang-orang yang beriman dengan yakin akan menjawab,: "Dia adalah Muhammad, Rasulullah. Dia datang kepada kami membawa keterangan-keterangan dan petunjuk lalu kami terima dan kami patuhi."

Pertanyaan itu berulang-ulang sampai tiga kali. Sesudah itu dia disuruh tidur. Katanya,: "Kami sudah tahu bahawa kamu betul-betul beriman dengannya.Kerana itu tidurlah dengan nyenyak."

Adapun orang-orang yang munafiq dan orang-orang yang ragu dalam kepercayaan mereka, maka jawab mereka,: "Aku tidak tahu apa-apa. Aku dengar orang ramai mengatakan begitu dan begini, lalu ku ucapkan pula."

Riwayat Muslim

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Gerhana bulan paling gelap

Fenomena gerhana bulan penuh berlaku pada 16 Jun 2011 (Khamis) iaitu gerhana paling gelap dalam tempoh 11 tahun apabila bulan melintasi umbra. Ini akan berlaku bermula jam 1.24 pagi untuk selama 100 minit dan menjadi gelap sepenuhnya pada jam 3.22 pagi.
Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr Kassim Bahali, berkata apa yang lebih menarik ialah fenomena itu berlaku sebanyak dua kali tahun ini, sekali lagi pada Disember nanti selepas kali terakhir berlaku pada 16 Julai 2000.
Katanya, gerhana penuh bulan yang cuma berlaku ketika fasa purnama ini juga boleh dilihat di benua Afrika, Eropah, sebahagian besar Asia dan Australia.

“Gerhana ini dikatakan paling gelap pernah berlaku kerana biasanya walaupun gerhana penuh, kita masih boleh melihat sedikit cahaya pada permukaan bulan. Keadaan ini disebabkan ketika fasa gerhana penuh itu, bulan melintasi bayang paling gelap bumi iaitu umbra. Permulaan gerhana penuh kali ini boleh dilihat penduduk di selatan Chile, timur Argentina dan timur Brazil.

“Di Malaysia, gerhana dapat dilihat ketika bulan terbit di langit timur pada awal pagi. Penghujung gerhana penuh dapat dilihat penduduk Thailand, Kemboja, Vietnam dan barat Australia. Bahagian barat Eropah pula akan melihat bulan terbit yang mengalami gerhana penuh. Mereka melihat bulan gelap terbit di timur yang kebiasaannya terang ketika fasa purnama. Kali ini bulan kelihatan seolah-olah hilang,” katanya.

Kejadian gerhana bulan hanya berlaku ketika fasa purnama dan apabila seluruh atau sebahagian bulan memasuki bayang bumi. Cahaya matahari yang jatuh ke atas bumi menyebabkan sebahagian bumi terang (siang) dan sebahagian lagi gelap (malam) serta menyebabkan bayang bumi mengunjur ke angkasa.
Beliau berkata, ada dua bahagian bayang, di bahagian dalam dan luar. Bayang bahagian dalam dinamakan umbra, yang lebih gelap daripada bahagian luar, penumbra.

“Sekiranya bulan purnama, ia memasuki kawasan bayang akan mengakibatkan terjadinya gerhana. Jika seluruh bulan memasuki umbra, gerhana penuh akan berlaku. Jika hanya sebahagian bulan memasuki umbra, gerhana separa yang akan berlaku dan jika bulan hanya memasuki penumbra, gerhana penumbra yang akan terjadi.

“Bagaimanapun gerhana bulan tidak berlaku setiap bulan. Ini disebabkan satah orbit bulan condong sebesar lima darjah berbanding dengan satah orbit bumi. Gerhana hanya berlaku sekiranya bulan melalui satah orbit bumi,” katanya.

Pada 15 Jun ini, gerhana penuh terjadi disebabkan seluruh bulan memasuki umbra. Magnitud gerhana kali ini ialah 1.71, yang menunjukkan darjah kegelapan permukaan bulan. Nilai ini menunjukkan gerhana bulan kali ini adalah gelap.

Di Malaysia, fasa gerhana kali ini bermula apabila bulan menyentuh penumbra pada jam 1.24 pagi waktu tempatan, 16 Jun 2011. Ketika fasa gerhana ini bermula, bulan berada di langit barat. Ketika berada dalam bayang penumbra, cahaya bulan mula berkurangan tetapi sukar dikesan dengan mata kasar.

“Fasa penuh bermula apabila bulan mula menyentuh umbra pada jam 3.22 pagi. Bulan mula kelihatan gelap secara perlahan-lahan sehingga ia menjadi gelap sepenuhnya jam 03.22 pagi dan di tengah-tengah fasa penuh pada jam 04.13. Tempoh bulan mengalami fasa gelap sepenuhnya selama 100 minit.

“Bulan mula meninggalkan bayang umbra dan memasuki penumbra secara perlahan-lahan pada jam 5.02 pagi. Ia mula kelihatan bercahaya sedikit demi sedikit sehingga penuh sejam kemudian dan kembali normal pada 07:02 pagi. Gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa perlu menggunakan penapis,” katanya.

- BERITA HARIAN

Selasa, Jun 14, 2011

Cuti Umum Terengganu sempena Kemenangan Piala FA & Kejuaraan SUKMA 2011 pada Ahad 19 Jun 2011

Menteri Besar Terengganu mengumumkan CUTI UMUM sempena Kemenangan Piala FA dan Kejuaraan SUKMA 2011 bagi seluruh Negeri Terengganu pada hari AHAD, 19 JUN 2011.

Sementara itu, Hadiah Penghargaan untuk pemain-pemain Bolasepak Terengganu ialah sebuah Komputer Riba, Wang Tunai RM10,000 seorang & lawatan ke Eropah. Untuk Atlet SUKMA ialah RM5,000 bagi pemenang Pingat Emas, RM3,000 untuk Pingat Perak & RM2,000 untuk Pingat Gangsa.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu di satu majlis di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Semakan Keputusan rayuan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011/12

Keputusan rayuan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan yang setaraf untuk sesi akademik 2011/2012 boleh disemak mulai jam 12.00 tengah hari 14 Jun 2011 di http://upu.mohe.gov.my/. Keputusan rayuan adalah muktamad dan rayuan calon dianggap gagal jika mereka tidak menerima sebarang tawaran rasmi sehingga 3 Julai ini.

Untuk sebarang pertanyaan, pemohon diminta hubungi talian 03-88835858 dan 03-88835848.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI (KPT)

Semakan Keputusan Peperiksaan MUET 2011

Semakan Keputusan Peperiksaan MUET boleh dibuat mulai jam 9.00 pagi pada 13 Jun 2011 (Isnin) di Laman Web MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA (MPM) di : http://www.mpm.edu.my/ . Semak melalui SMS mulai 12:01 tengah malam, 13 Jun 2011: taip MUET RESULT<> No. K/P hantar ke 15888 atau MUET<>No.K/P hantar ke 36363

MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA (MPM)

KTMB Tamatkan Perkhidmatan Antara Bandar KL-Ipoh-KL

KTM Berhad bakal menamatkan perkhidmatan kereta api antara bandar Kuala Lumpur-Ipoh-Kuala Lumpur mulai 1 Julai.

Koc-koc perkhidmatan terbabit akan dialihkan ke laluan yang memiliki densiti penumpang yang lebih tinggi.

Penumpang yang menggunakan laluan itu selepas ini boleh memilih perkhidmatan Ekspress Rakyat, Ekspress Sinaran Utara, Ekspress Senandung Langkawi dan Ekspress Senandung Mutiara dari KL Sentral ke Ipoh dan Ipoh ke KL Sentral.

Orang juga boleh menggunakan komuter dan tren elektrik (ETS) yang memiliki perkhidmatan di laluan sama.

Untuk maklumat lanjut, bakal penumpang boleh melayari www.ets-train.com.my atau www.ktmb.com.my atau www.ktmintercity.com.my

JPA Telah Tawarkan 4,000 Biasiswa Kepada Pelajar Cemerlang SPM

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menawarkan 1,500 biasiswa di bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan 2,500 biasiswa di bawah Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, seramai 882 pelajar bumiputera dan 618 pelajar bukan bumiputera mendapat biasiswa di bawah PILN.

Seramai 1,301 pelajar bumiputera dan 1,199 pelajar bukan bumiputera pula mendapat biasiswa di bawah PIDN tahun ini, katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin. Nazri berkata, peruntukan 10 peratus tempat bagi kategori Bumiputera Sabah dan Sarawak masih dikekalkan dan terdapat 75 pelajar Sabah telah ditawarkan penajaan ke luar negara di bawah kategori itu.

Selain itu, beliau juga berkata pelajar Sabah turut ditawarkan penajaan ke luar negara di bawah kategori Kecemerlangan Akademik, menjadikan keseluruhan pelajar Sabah yang ditaja di bawah PILN 2011 adalah 77 orang.

"Kerajaan juga telah memperuntukkan RM1.44 bilion bagi penajaan JPA tahun ini untuk lepasan SPM tahun 2010 dengan pecahan RM0.36 bilion bagi pengajian dalam negara dan RM1.08 bilion bagi pengajian luar negara," katanya.

Nazri menjelaskan bahawa antara faktor yang menyebabkan ramai pelajar cemerlang tidak berjaya ditawarkan penajaan ke luar negara adalah kerana bilangan pelajar cemerlang yang semakin bertambah dan penajaan yang terhad mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

"Ramai juga pelajar cemerlang memilih bidang yang popular seperti perubatan dan kejuruteraan berbanding bidang yang kurang dipohon seperti sastera dan sains turut menyebabkan mereka gagal ditawarkan penajaan ke luar negara kerana ia mengikut keperluan guna tenaga sektor awam dan negara.

"JPA akan sentiasa mengkaji semula dan menambah baik dasar sedia ada untuk pelaksanaan pada tahun akan datang bagi menangani isu pemberian biasiswa ini yang bangkit setiap tahun," katanya.

Nazri juga berkata, kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai JPA berhubung isu pelaksanaan pemberian biasiswa kerana tiada sebarang bukti kukuh berlakunya kesilapan atau salah urus oleh mereka.

Beliau menambah, tiada salah guna kuasa oleh pegawai JPA dalam menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang, memandangkan pelaksanaannya telah dijalankan secara telus dan teratur selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Januari 2009.

"Adalah juga menjadi dasar kerajaan untuk tidak mendedahkan senarai penerima biasiswa dan markah merit yang mereka peroleh kepada umum untuk memelihara kerahsiaan dan hak individu tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) mengenai punca utama masih wujudnya masalah pemberian biasiswa dan tempat di universiti di kalangan pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Terdapat juga kekeliruan di kalangan masyarakat yang menyangka bahawa JPA turut menawarkan tempat atau kursus pengajian di samping penajaan.

"Pada hakikatnya, JPA hanya menawarkan penajaan manakala tempat atau kursus bagi pengajian di matrikulasi dan universiti dalam negara ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi," katanya lagi.

- MSTAR

Recent Posts