Khamis, Jun 09, 2011

Saringan Ketat Bagi 35,000 Rayuan Kemasukan Ke Program Matrikulasi

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran menjalankan saringan ketat berdasarkan merit ke atas 35,000 rayuan bagi kemasukan ke program matrikulasi sesi 2011/2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi berkata angka itu adalah amat besar bagi memenuhi tempat yang terhad selain terlalu ramai pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang.

Beliau berkata saringan berdasar merit itu selain melihat keputusan peperiksaan SPM, turut mengambil kira aktiviti kokurikulum pelajar dan latar belakang keluarga mereka.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan majlis taklimat mengenai pengambilan pelajar ke program matrikulasi kementerian itu bagi sesi 2011/2012.

Keputusan rayuan memasuki program matrikulasi telah keluar pada 4 Jun lalu dan pelajar yang berjaya diminta melaporkan diri sebelum akhir minggu ini.

Kementerian menerima 25,000 pelajar dan kuota pengambilan pelajar bagi bukan bumiputera ditetapkan sebanyak 10 peratus sejak 2003.

- BERNAMA

Daftar kes TTPM melalui SMS

Pengguna yang berasa tertipu dan ingin mendapatkan ganti rugi terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan kini boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi membuat aduan dan pendaftaran kes masing-masing di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemudahan tersebut bertujuan menarik lebih ramai golongan muda dan pengguna di luar bandar mengemukakan tuntutan.

“Kaedah alternatif ini diharap dapat digunakan sepenuhnya oleh pengguna di luar bandar kerana banyak kes yang melibatkan mereka.

“Saya harap lepas ini lebih banyak pengguna yang rasa diri tertipu akibat pembelian barangan, perkhidmatan boleh membuat aduan untuk mengambil tindakan undang-undang melalui TTPM,’’ katanya selepas melancarkan portal 1Malaysia Pengguna Bijak (1MPB) di sini semalam.

Turut hadir ialah timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe dan Pengerusi TTPM, Pretam Singh.

Ismail Sabri berkata, SMS yang dihantar tidak dikira sebagai pemfailan kes kerana ia hanya sebagai pendaftaran.

Sebaliknya pengguna perlu memfailkan tuntutan mereka di cawangan TTPM atau di laman web http://ttpm.kpdnkk.gov.my.

APMM Adalah Agensi Tunggal Penguatkuasaan Perairan Negara

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)yang kini menjangkau usia enam tahun pada 14 Februari lepas bakal menjadi sebuah agensi penguatkuasaan tunggal mengawal perairan negara menjelang Ogos depan. Sebelum APMM ditubuhkan, terdapat lapan agensi maritim yang menguatkuasakan lebih 100 undang-undang persekutuan, peraturan dan perjanjian.

Agensi-agensi itu ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Marin, Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen.

APMM ditubuhkan pada 15 Februari 2005 untuk menangani pertindihan dalam fungsi maritim, perundangan dan operasi agensi-agensi berkenaan.

Dengan pembentukan APMM, penguatkuasaan kini akan dapat diselaraskan dengan lebih baik berbanding terdahulu.

Bagaimanapun dalam usaha untuk menjadi sebuah agensi tunggal dan mengawal perairan yang mempunyai keluasan lebih 614,000 km persegi, pelbagai usaha yang berterusan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Antaranya menangani masalah kekurangan pegawai, kekurangan peralatan dan pengkalan udara milik mereka yang masih lagi kekal satu iaitu di Subang.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish ketika ditemubual oleh Bernama baru-baru ini menjelaskan sememangnya pelbagai usaha dirancang bagi memastikan agensi dapat menjalankan tugas dengan lebih baik, seterusnya menjadi agensi tunggal mengawal perairan negara. PERANCANGAN

Mohd Amdan berkata, APMM mempunyai banyak perancangan untuk memastikan ia berada dalam tahap operasi yang tinggi dan menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

Antara perancangan itu ialah mendapatkan kapal, pesawat serta aset lain yang baru daripada kerajaan di samping membina pengkalan udara yang baru.

"Tentunya kalau nak cakap pengkalan udara sememangnya tak cukup dengan satu sahaja di Subang... seharusnya kita mempunyai satu pengkalan di sini (semenanjung Malaysia) dan satu lagi di wilayah timur untuk Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun di wilayah Sabah dan Sarawak masih belum tahu di mana kita nak bina," katanya.

KAPAL DAN BOT BARU

Ditanya mengenai aset yang dimiliki oleh APMM, Mohd Amdan berkata, ia masih kurang selain kebanyakannya sudah lama.

Beliau berkata, perolehan kapal dan aset baru daripada kerajaan dilihat sangat penting bagi membolehkan pihaknya menjalankan tugas dengan lebih baik iaitu dalam mengawal dan menyelamat di perairan negara.

Sehingga kini, APMM hanya memiliki 138 aset iaitu 130 buah kapal dan bot manakala pesawat dan helikopter sebanyak lapan buah.

Bagaimanapun, kebanyakannya adalah pemerolehan hasil peralihan aset daripada agensi penguatkuasaan laut lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kebanyakannya sudah lebih daripada jangka hayat.

"Aset (kapal) kita ni memang dah lebih daripada jangka hayat... contohnya kapal-kapal yang kita terima daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Umur kapal-kapal itu kalau kita lihat rata-ratanya ada yang dah 38 tahun dan 40 tahun... jadi sudah tiba masanya kita menggantikan kapal-kapal itu," katanya.

Mohd Amdan berkata, kapal-kapal itu perlu digantikan kerana ia bukan sahaja kurang cekap untuk beroperasi malah memerlukan kos yang tinggi untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

TANGANI PENYELUDUPAN

Sememangnya sejak dari dahulu lagi APMM begitu prihatin dengan menjalankan pelbagai langkah untuk memastikan aktiviti penyeludupan barang, senjata api dan dadah tidak berlaku secara berleluasa.

Contohnya di wilayah utara yang melibatkan sempadan Malaysia-Thailand, aktiviti menyeludup masuk warga asing melalui laut dan penyeludupan keluar barang kegunaan harian iaitu minyak masak dan diesel kerana harganya murah berbanding di negara jiran.

Bagaimanapun sudah pasti banyak cabaran yang dihadapi oleh APMM dalam menjalankan tugas itu terutama di tempat kemasukan pendatang haram dan penyeludupanyang memerlukan rondaan dan penempatan pegawai perisik.

- MSTAR

Persatuan Pengguna Ancam Boikot Astro Bantah Kenaikan Caj Langganan

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengancam akan menggerakkan usaha memboikot Astro ekoran langkah stesen televisyen berbayar itu untuk menaikkan caj langganan mulai Julai ini.

Sambil menyifatkan kenaikan itu sebagai membebankan pengguna, Penasihat PPIM Tengku Azwil Tengku Abdul Razak meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyiasat apa yang dinamakan oleh Astro itu sebagai "penyelarasan caj langganan" yang baru.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa sebagai pengendali stesen televisyen berbayar eksklusif di negara ini, Astro tidak sepatutnya mengenakan caj tambahan ketika rakyat dibebani kenaikan harga barangan.

Astro pada Isnin lepas mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

Tengku Azwil berkata PPIM menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai kadar pelarasan itu serta juga mengenai perkhidmatan Astro.

Beliau berkata sekiranya Astro gagal mengekalkan yuran langganan sedia ada, PPIM serta ahli gabungan akan memboikot syarikat penyiaran berbayar itu.

"Kita ada 2.5 juta ahli gabungan di bawah PPIM. Banyak lagi berita serta hiburan yang boleh kita peroleh daripada stesen televisyen percuma," katanya.

Tengku Azwil juga berkata kebanyakan program sukan yang membabitkan kepentingan negara seperti Liga Super telah diambil alih oleh Astro.

"Semua diambil oleh Astro pasal mereka berkemampuan untuk membeli program berkenaan. Justeru, rakyat yang ingin menonton program-program berkenaan harus melanggan kepada Astro, katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menyediakan suatu ruangan kepada pengguna Astro di negara ini mengenai komen mereka terhadap syarikat penyiaran berkenaan.

"Dalam ruangan yang boleh dilayari di www.muslimconsumer.org.my itu, mereka (pelanggan Astro) boleh memberi maklumat balas kepada PPIM mengenai perkhidmatan Astro," katanya.

- BERNAMA
Posted in

Jihad Perjuangan Paling Utama

Hadith:

RASULULLAH saw bersabda yang bermaksud:

"Ada seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah siapakah orang yang paling utama?. Jawab Baginda saw, iaitu orang mukmin yang berjihad dengan dirinya sendiri pada jalan Allah, lelaki itu bertanya lagi, selepas itu siapa lagi? Baginda saw Menjawab yang mengasingkan dirinya dilereng lereng bukit untuk beribadat kepada Tuhannya. Dalam satu riwayat yang lain, iaitu orang bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan (mengasingkan dirinya) daripada orang yang melakukan kejahatan".

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian hadith: 1. Sebenar benar jihad ialah orang yang sentiasa berusaha memperbaiki dirinya untuk bertaqwa kepada Allah S.W.T. serta membelanjakan hartanya ke jalan yang diredhai.

2. Islam menuntut umatnya menyeru kearah kebaikan dan menentang kemungkaran. Usaha ini hendaklah dilakukan secara berperingkat seperti yang dilakukan oleh syarak.

3. Jihad dalam erti kata yang luas ialah kita dikehendaki sama-sama memperjuang dan memperlengkapkan diri bagi mencapai hasrat untuk kemajuan agama bangsa dan negara serta mempertahankannya dari sebarang ancaman musuh baik dari dalam mahupun dari luar.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Fahaman kepelbagaian agama alat penyatuan

Oleh Teo Kok Seong
Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia

Pemupukan negara bangsa, yakni rakyat yang bersatu dan pembinaan negara itu sendiri agar terus maju dalam masyarakat berbilang kaum perlu didorong oleh satu matlamat murni yang menjangkaui kepentingan mana-mana kaum. Untuk ini, beberapa tema diutarakan bagi mendukung peranan penyatuan dan pembangunan negara.

Bangsa dan bahasa adalah dua tema yang didapati mampu menyatukan pelbagai unsur dalam sesebuah negara majmuk. Di Malaysia, bangsa digunakan untuk mewujudkan bangsa Malaysia, iaitu pemikiran bahawa semua kaum memiliki takdir sama, justeru kita harus bersatu. Bahasa Melayu pula dijadikan bahasa kebangsaan, yakni bahasa negara yang bukan saja mewakili semua kaum, tetapi yang digunakan untuk menyatukan kita semua.

Agama sebagai tema penting dalam ideologi penyatuan negara, khususnya dalam negara majmuk, sering dianggap sebagai sesuatu yang tidak realistik. Ini adalah kerana agama, walaupun yang dianuti bersama, didapati boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan penganutnya.

Oleh itu, apatah lagi cadangan untuk menggunakannya, lebih-lebih lagi fahaman kepelbagaian agama sebagai ideologi penyatuan dalam negara majmuk. Ia dianggap bukan saja tidak berpijak di bumi nyata, tetapi boleh mengundang kekacauan yang akhirnya membawa kepada konflik agama.

Sesungguhnya hal begini tidak semestinya berlaku. Malah, ia boleh dilaksanakan dan Malaysia boleh membuktikannya. Ini antaranya adalah kerana Rukun Negara, yakni ideologi nasional mengenai cara negara berdaulat ini diurus tadbir selain menjadi amalan hidup rakyatnya, boleh dimanfaatkan bagi tujuan penyatuan negara. Prinsip pertamanya, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, digubal atas dasar kesedaran bahawa agama dan kepercayaan kepada Tuhan adalah perkara penting dalam kehidupan manusia.

Sebetulnya rakyat Malaysia rata-ratanya adalah orang yang berpedoman, iaitu dalam pengertian terdapat di kalangan kita yang mempercayai wujudnya Tuhan Yang Esa atau beberapa Tuhan. Sesetengah daripada kita pula mempercayai sistem kepercayaan tertentu, manakala ada juga antara kita yang mempercayai apa yang secara longgarnya dianggap sebagai kuasa ajaib.

Dengan ini, walau apa juga agama, sistem kepercayaan dan kuasa ajaib yang kita semua anuti, percayai dan yakini, boleh dikatakan bahawa sudah wujud asas teguh kerohanian dalam jiwa rakyat Malaysia. Oleh sebab inilah, prinsip pertama dalam Rukun Negara disusun untuk dipromosikan bukan saja sebagai satu asas mengurus tadbir negara. Tetapi yang lebih penting ialah untuk rakyat Malaysia menjalani hidup agar lebih bermakna lagi dari segi rohaniah.
Untuk tujuan penyatuan negara, khususnya fahaman kepelbagaian agama sebagai temanya, prinsip Rukun Negara yang pertama ini perlu disemat untuk terus diterokai bagi dimanfaatkan dalam kita mencari formula keharmonian kaum di Malaysia.

Malangnya, sudah lama Rukun Negara tidak dipromosikan, sama ada secara agresif mahupun sebaliknya. Walaupun ramai pihak menyebutnya, rujukan kepada Rukun Negara adalah sebagai formaliti semata-mata.

Mungkin masanya sudah tiba untuk kita meneliti semula semua prinsip pada Rukun Negara, untuk dipupuk di kalangan golongan muda agar mereka bukan saja lebih bersatu. Tetapi lebih penting lagi ialah mereka bersama-sama membangunkan negara melalui satu identiti unik, yakni bersatu dalam kepelbagaian sebagai amalan hidup rakyat Malaysia yang istimewa sifatnya.

Walaupun agama berkenaan dengan akidah, prinsip kepercayaan kepada Tuhan ini boleh kita terus manfaatkan dari segi peranan agama dalam masyarakat, khususnya yang majmuk. Sehubungan ini, agama perlu banyak dibicarakan dari sudut fungsi yang dapat dimainkannya dalam kehidupan manusia.

Antara yang terpenting adalah kesan agama, sama ada ajaran mahupun amalannya, dalam kehidupan manusia. Ini boleh diteliti dari segi pelbagai fungsi yang dimainkan oleh semua agama. Sesungguhnya banyak fungsi ini didapati sama. Persamaan inilah yang perlu diangkat untuk dianjurkan dalam pencarian formula keharmonian kaum di Malaysia.

Secara ringkasnya, semua agama didapati mempunyai peranan untuk memenuhi beberapa keperluan psikologi dan sosial yang penting. Antaranya ialah agama dapat memberi ketenangan kepada manusia ketika berlakunya krisis. Ia juga menetapkan pelbagai jenis kelakuan manusia, sama ada sebagai baik atau sebaliknya.

Yang paling penting dalam konteks perbincangan ini ialah agama mempunyai peranan memupuk dan mengekalkan solidariti sosial.

Peranan ini berkaitan dengan tindakan membantu antara satu sama lain atas asas kita semua tanpa mengira kaum adalah makhluk Tuhan, yang dicipta-Nya untuk saling menyokong antara satu sama lain. Dalam konteks sebagai bangsa Malaysia, solidariti ini adalah pemilikan perasaan, pandangan dan tujuan bersama. Dengan kata lain, kita semua sebagai bangsa Malaysia mempunyai takdir ini sama di bumi Malaysia.

Sehubungan ini, kuasa agama yang mampu membawa integrasi sosial perlu dieksploitasi secara positif untuk membolehkan rakyat Malaysia yang berlainan agama, memahami keadaan unik di Malaysia, khususnya dari segi kerohanian. Ini dapat dilakukan berdasarkan nilai, kepercayaan dan norma yang dipelajari daripada setiap agama sebagai pegangan oleh penganutnya.

- BERITA HARIAN
Posted in

Selasa, Jun 07, 2011

Pakej Astro Naik Sehingga RM15 Mulai 11 Julai 2011

Astro melakukan beberapa pelarasan kepada pakej-pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai 2011. Bagaimanapun, Pek Famili dikekalkan pada harga RM37.95 sebulan (atau hanya RM 1.30 sehari) untuk akses ke 38 buah saluran.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Astro di sini hari ini, bergantung kepada pakej pilihan pelanggan, sesetengah pelanggan mungkin akan mengalami kenaikkan harga sekitar RM1 hingga RM15.00 sebulan.

“Terdapat penjimatan dari RM4 hingga RM14.95 sebulan dalam yuran langganan mereka. Pelarasan berkenaan adalah seiring dengan komitmen Astro untuk terus menawarkan nilai, pilihan dan perkhidmatan yang berkualiti kepada para pelanggan,” jelas kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, pelanggan Astro kini boleh menikmati nilai wang yang lebih baik dengan pelancaran Super Packs yang telah direka khas bagi menawarkan pakej Astro yang terbaik termasuk perkhidmatan HD dan PVR.

“Untuk hanya RM125, para pelanggan boleh memanfaatkan perkhidmatan HD dan rakaman, 3 pilihan pek mini, sukan, movies, Mustika dan Astro Tayangan Hebat sambil membuat penjimatan yang hebat sehingga RM45.85,” katanya.

Para pelanggan boleh menikmati lebih banyak program hiburan yang menarik pada masa akan datang, seperti acara sukan ditawarkan dalam HD termasuk Rugby World Cup 2011, London Olympics 2012, Barclays Premier League, EURO 2012 dan Copa America Argentina 2011 dalam teknologi definisi tinggi.

Saluran baru melibatkan saluran HD pula adalah Discovery World HD, Sundance HD, sebuah saluran sukan sukan HD dan lebih banyak filem-filem dalam bentuk HD.

Program-program tempatan yang lain adalah Salih Yaacob….I Follow, MasterChef Malaysia, Ustazah Pilihan, Tutor TV dan banyak lagi program pembelajaran.

Para pelanggan juga akan menikmati Personal Video Recording (PVR) serta Remote Recording yang membolehkan program kegemaran pelanggan dirakam dengan hanya menggunakan telefon bimbit walau di mana sahaja anda berada.

SENARAI PENUH PAKEJ & CAJ : http://www.astro.com.my/mypackages/articles/art_5154.html

– Mynewshub.my

Isnin, Jun 06, 2011

Jadual Waktu Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah - PMR 2011

Sila klik "download" untuk muat turun Jadual Waktu Peperiksaan PMR 2011

Jadual Waktu Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah PMR 2011

Khamis, Jun 02, 2011

Badan dunia dakwa telefon bimbit penyebab kanser

PARIS – Pengguna-pengguna telefon bimbit berisiko menghidap kanser otak dan mereka dinasihatkan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan alat pendengaran telefon, kata beberapa pakar barah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut WHO, penggunaan SMS dan alat pendengaran telefon itu akan mengurangkan si pengguna terdedah pada gelombang telefon bimbit.

Medan frekuensi elektromagnetik radio yang dibebaskan telefon bimbit berisiko menyebabkan kanser pada manusia,” kata kenyataan Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) selepas persidangan lapan hari diadakan di Lyon Perancis kelmarin.

Pakar-pakar membuat rumusan itu berdasarkan penelitian ke atas kajian melibatkan manusia dan kajian epidemiologi yang menunjukkan peningkatan berlakunya glioma iaitu sejenis kanser otak,” kata Presiden IARC, Jonathan Samet.

Dua kajian utama menunjukkan mereka yang paling kerap menggunakan telefon bimbit lebih berisiko dijangkiti kanser otak, katanya dalam satu sidang akhbar melalui telefon.

Beberapa individu berisiko tinggi yang dipantau dalam kajian-kajian tersebut telah menggunakan telefon bimbit mereka pada kadar purata 30 minit sehari selama 10 tahun.

“Kami tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku sekiranya orang ramai menggunakan telefon bimbit untuk tempoh masa yang lebih lama dan sepanjang hayat mereka,” kata Samet.

Terdapat sekitar lima bilion telefon bimbit berdaftar di dunia dan jumlah itu serta masa penggunaannya semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jelas IARC, bukti saintifik menunjukkan telefon bimbit berpotensi menyebabkan kanser tetapi ia masih perlu dibuktikan.

– AFP

Rabu, Jun 01, 2011

Jadual Waktu Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah - UPSR 2011

Sila klik "download" untuk muat turun Jadual Waktu Peperiksaan UPSR 2011

Jadual Waktu Peperiksaan Ujian ian Sekolah Rendah UPSR 2011

Skim Latihan 1Malaysia Untuk Siswazah Menganggur Dilancar 1 Jun 2011

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Skim Latihan 1Malaysia (SLIM) yang akan dilancar oleh beliau esok akan membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah di negara ini.

Perdana Menteri berkata berdasarkan program itu, siswazah akan diberi latihan dan bimbingan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mereka yang terpilih akan dibimbing selama setahun, dan selepas itu, dibenarkan mencari kerja lain atau diserapkan oleh syarikat berkenaan, katanya pada jamuan tengah hari sempena Forum Tindakan Belia di sini Selasa.

"Kumpulan pertama 3,000 siswazah akan diambil secara beransur-ansur, dan ini bagi menentukan bahawa kita mempunyai bilangan siswazah menganggur yang paling minimum," kata Najib.

Skim Latihan 1Malaysia dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Najib juga berkata Sidang Kemuncak Belia Negara dan Forum Tindakan Belia merupakan satu wadah berguna dan berkesan bagi golongan muda menyatakan pendapat dan pandangan serta bagi kerajaan dan sektor korporat mendengar cadangan mereka.

"Ia membolehkan remaja di Malaysia memberikan impak kepada masyarakat.

"Anda mahu satu platform menyuarakan pendapat kepada pembuat dasar tertinggi (Perdana Menteri)...tuan-tuan dan puan-puan, anda berjaya mendapatnya," kata beliau sambil diberi tepukan gemuruh oleh lebih 350 pemimpin belia yang hadir.

Najib berkata sidang kemuncak dan forum berkenaan adalah kaedah baru bagi mewujudkan peluang bagi menarik penyertaan lebih banyak belia.

Pada acara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, melancarkan Dana Makro myHarapan, yang menyediakan geran kepada belia ke arah membolehkan mereka dipertimbangkan menerima Dana Belia 1Malaysia bagi golongan muda menggunakan bakat dan tenaga mereka untuk kemajuan beliia selain menyelesaikan isu-isu sosial.

myHarapan adalah sebuah yayasan amanah yang menyokong belia dan projek-projek belia yang menyumbang kepada kemajuan sosio ekonomi negara.

Mengenai Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya hujung minggu lepas, Perdana Menteri berkata beliau telah melawat beberapa ruang pameran dan menyertai pelbagai aktiviti bersama belia.

"Malah, lutut saya terseliuh tetapi yang memberi saya semangat ialah melihat anak-anak muda kita begitu bertenaga dan dinamik," katanya.

- BERNAMA