Selasa, Mei 24, 2011

JPA beku pengambilan hingga Ogos 2011

KUALA LUMPUR 23 Mei – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan pemansuhan semua jawatan kosong berkuat kuasa 1 Jun ini.

Berikutan keputusan tersebut semua urusan pengambilan dibekukan bermula 20 Mei hingga 31 Ogos.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Sektor Awam (JKK-MPGSA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Mei lalu.

Menurut beliau, pembekuan merangkumi semua kementerian dan Jabatan Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Persekutuan dan Badan Berkanun Negeri.

Bagaimanapun, kata beliau, jawatan-jawatan pada gred kenaikan pangkat dan jawatan yang sedang dalam proses lantikan oleh pihak berkuasa melantik adalah dikecualikan.

‘‘Keputusan (pemansuhan) ini adalah selaras dengan langkah kerajaan untuk merasionalisasi dan mewujudkan perkhidmatan awam yang kejat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu pekeliling yang dikeluarkan kepada ketua setiausaha, ketua jabatan persekutuan, setiausaha kerajaan negeri, setiausaha suruhanjaya perkhidmatan, pihak berkuasa berkanun persekutuan/negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Pekeliling itu diperoleh menerusi laman web JPA.

Abu Bakar menasihatkan semua agensi supaya tidak mengemukakan permohonan penstrukturan semula organisasi dan pengukuhan perjawatan dalam tempoh tersebut.

Katanya, jabatan itu juga akan melakukan auditan perjawatan secara komprehensif di setiap agensi kerajaan semasa pelaksanaan keputusan ini.

‘‘Sehubungan itu, semua pihak dipohon untuk memastikan pelaksanaan arahan ini dipatuhi dengan memberi kerjasama sepenuhnya kepada jabatan ini semasa pelaksanaan auditan perjawatan itu,’’ jelasnya.

- UTUSAN

Wang Kertas Dan Syiling Baru Akan Dikeluarkan Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa satu siri reka bentuk baharu wang kertas dan duit syiling Malaysia akan berada dalam edaran pada awal 2012.

Langkah itu dilakukan secara berkala dalam setiap tempoh 12 tahun.

Reka bentuk mata wang siri baharu itu akan mengandungi ciri-ciri yang khusus bagi Malaysia, kata BNM dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut kenyataan tersebut, siri wang kertas itu juga mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih canggih sejajar dengan kemajuan teknologi wang kertas mutakhir ini.

Reka bentuk wang kertas siri ke-empat yang baharu itu adalah untuk wang kertas dalam denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100.

Reka bentuk terkini wang kertas RM50 yang telah pun berada dalam edaran sejak bulan Disember 2007 bagi memperingati Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia akan terus dikekalkan dalam edaran.

Bentuk baharu itu merupakan siri yang ke-tiga bagi denominasi 5 sen, 10 sen dan 50 sen, kata BNM.

Siri baharu wang kertas dan duit syiling ini akan berada dalam edaran bersama-sama dengan siri yang sedia ada sehingga siri tersebut dikeluarkan secara beransur-ansur dari edaran, katanya.

Dalam membuat persediaan untuk mengeluarkan siri baharu mata wang ini, BNM akan bekerjasama rapat dengan institusi kewangan, perusahaan perniagaan dan vendor yang mengendalikan wang tunai bagi memastikan peralihan kepada siri baharu ini berjalan lancar.

Katanya vendor yang mengendalikan mesin wang tunai akan diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengubah suai mesin mereka bagi memastikan orang ramai dapat menggunakan mata wang baharu itu0 dengan mudah.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang siri baharu mata wang ini, BNM akan mengeluarkan duit syiling peringatan untuk siri ketiga dan mempamerkan reka bentuk wang kertas siri ke-empat yang baharu pada suku ketiga 2011.

- MSTAR

Senarai Nama Mangsa Tragedi Tanah Runtuh Di Hulu Langat

Berikut adalah senarai mangsa tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkas, Batu 14, Hulu Langat pada Sabtu lalu.

Terbunuh:

1. Mohd Azret Azahari, 8

2. Mohd Naerzein M.Nor, 8

3. Mohd Imal Fahad, 9

4. MOhd Riezman Abdul Latif, 9

5. Shahrul Nurimran Adnan, 9

6. Mohd Aiman Abdullah, 10

7. Mohd Hazim Sapri, 10

8. Ahmad Lokman Hakim, 11

9. Mohd Kamarul Amizan, 11

10. Wan Ahmad Hasril Hazim, 11

11. Mohd Mustakim Mamat, 12

12. Mohd Zid Azahari, 14

13. Nurahimi Rosdi, 14

14. Dzahir Haziq M.Muin, 18

15. Zahid Asswal Zamri, 19

16. Farid Ibrahim, 34

Terselamat:

1. Khairul Anuar Nasri, 9

2. Mohd Akmal Mohd Jefri, 10

3. M.Harris Izuddin Shahrul, 11

4. M.Aizat Khusairi Abd Karim, 12

5. Zulkhairi Aminuddin, 13

6. M.Allaudin Sobri, 14

7. M.Syatiq Ibrahim, 21

8. Izzuddin Abdullah, 30

9. Mohd Izuan Zakaria, 33

10. Siti Fatimah Ibrahim, 21

- MSTAR

RTM mungkin diperbadankan

KUALA LUMPUR 23 Mei – Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) mungkin diperbadankan bagi meningkatkan daya saingnya menjelang era penyiaran digital sepenuhnya pada 2015.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perubahan struktur itu akan membolehkan RTM menjadi lebih tangkas, efisien dan profesional di samping memberi kepuasan kepada penonton.

Menurut beliau, penstrukturan itu merupakan salah satu cadangan yang dikemukakan kepada Majlis Ekonomi Negara sebagai rangsangan baru dan penstrukturan masa depan RTM.

“RTM sebagai badan penyiar utama negara harus menjalani beberapa perubahan dan dalam masa sama memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia.

“Dari aspek penyiaran berita dan hal ehwal semasa, kita akan memberi keutamaan dan penjurusan bagi memperkasakan bidang ini.

“Justeru, pihak kerajaan akan menjalin kerjasama lebih erat dengan Media Prima dan Astro,” katanya selepas berucap pada Majlis Perasmian Pemukiman Transformasi RTM di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri, di sini hari ini.

Rais berkata, ini termasuk merealisasikan output atau hasil kakitangan RTM yang berjumlah seramai 4,907 di seluruh negara.

Beliau menegaskan, pihaknya juga akan memastikan kerajaan terus mendapat sokongan positif, di samping menyumbang kepada perpaduan wilayah dan memberi pengisian kepada tuntutan rakyat.

Dalam pada itu, Rais berkata, kerjasama latihan dunia digital antara RTM dengan Astro dan Media Prima turut akan dibincangkan.

“Kita tidak mahu pendigitalan di bawah Astro dan Media Prima berasingan, sedangkan dasar ini dibuat kerajaan berikutan pada 2015 semua stesen televisyen tempatan akan disiarkan secara digital,” katanya.

Rais memberitahu, kerajaan akan membuka bidaan supaya perancangan pembangunan yang kosnya bernilai RM1.2 bilion disumbangkan daripada pelaburan swasta dalam menentukan penyiaran digital RTM dapat dikongsi bersama.

Katanya, RTM akan memperoleh 12 saluran digital manakala Media Prima enam dan keadaan ini tidak dapat menandingi Astro yang mempunyai 151 saluran.

Dalam keadaan begitu, katanya, keadaan menang-menang untuk kerajaan, rakyat dan urusan perniagaan masing-masing perlu diwujudkan dan untuk itu pihaknya kini dalam peringkat penyediaan kertas cadangan yang dijangka siap Julai ini.

- UTUSAN

Menangani peluh berlebihan

Kita digalakkan melakukan senaman tiga kali seminggu untuk cara hidup yang sihat. Ia amat penting dalam penjagaan kesihatan kerana dalam masa yang sama apabila badan mengeluarkan peluh, selain untuk mengawal suhu badan, secara tidak langsung ia juga menjana kesihatan tubuh.

Peluh yang keluar daripada tubuh merupakan satu situasi yang normal tetapi sekiranya peluh keluar lebih banyak daripada yang diperlukan ia adalah tidak normal.

Apatah lagi jika ia keluar ketika berada dalam persekitaran yang sejuk dan tidak menggunakan tenaga.

Dalam hal ini, peluh yang berlebihan terutama di bahagian tapak tangan, kaki dan bawah lengan membuatkan individu tersebut menjauhkan diri untuk bersosial dengan masyarakat.

Masalah peluh yang berlebihan bukan satu perkara normal malah ia boleh dikategorikan sebagai satu penyakit dan istilah perubatannya lebih dikenali sebagai hiperhidrosis.

Menurut Perunding Pakar Bedah Cardiovascular dan Thoracic, iHEAL Medical Centre, Kuala Lumpur, Dr. David Khoo Sin Keat, hiperhidrosis berlaku hampir dua peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Katanya, bagi sesiapa yang menghadapi masalah tersebut, mereka perlu memberi lebih perhatian kerana secara tidak langsung ia menunjukkan wujudnya masalah kesihatan pada tubuh anda.

''Fenomena peluh berlebihan ini merupakan satu jenis penyakit kerana ia tidak terjadi kepada semua orang.

''Lazimnya, pesakit tidak sedar mereka menghadapi masalah ini sehinggalah ia mendatangkan masalah kepada mereka sehingga menyukarkan untuk melakukan pekerjaan.

''Dalam hal ini, peluh berlebihan bukan sahaja dikesan pada tapak tangan, kaki dan di bawah lengan malah ia juga dikesan pada bahagian kepala, muka, dada, belakang tubuh dan pangkal paha,'' ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Komuniti Sosial The Sweat Connection di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, hiperhidrosis biasanya berlaku pada individu dewasa berumur antara 20 hingga 50 tahun, tetapi ia boleh bermula lebih awal iaitu ketika kanak-kanak atau remaja.

Malah seramai 0.6 peratus hingga satu peratus terdiri daripada golongan muda.

Pada majlis pelancaran itu juga, Dr. David turut menjelaskan bahawa penyakit tersebut dapat dirawat melalui teknik rawatan yang dikenali sebagai No Sweat Technique.

Katanya, teknik rawatan tersebut merupakan satu teknik yang melibatkan prosedur selama 15 minit dengan tusukan kecil di bawah kedua-dua lengan.

Rawatan tersebut bukan sahaja memberi keputusan yang cepat malah pesakit boleh meninggalkan hospital pada hari yang sama dengan keadaan tangan, kaki atau mana-mana bahagian yang bermasalah lebih selesa tanpa peluh.

Sebagai doktor yang berpengalaman dia memberitahu, sebenarnya sejak tahun 2001 lagi pelbagai kaedah penyembuhan telah pun dilakukan di Malaysia termasuk pembedahan simpatektomi torasik endoskopi (endoscopic transthoracic sympathectomy atau ETS).

Telah melakukan pembedahan ke atas 500 orang pesakitnya, Dr. David turut menyenaraikan beberapa aspek yang mungkin berkaitan dengan punca masalah kesihatan itu seperti tirotoksikosis (hipertiroidism), menopaus, obesiti dan gangguan psikiatri.

Bagi sesiapa yang menghadapi gejala-gejala seperti peluh yang berpanjangan, berpeluh tanpa sebab yang munasabah, berpeluh ketika tidak melakukan sebarang aktiviti lasak, berpeluh ketika mengalami tekanan serta cuaca panas dan tidak berpeluh ketika tidur, anda dinasihatkan agar cepat bertemu dengan doktor.

Dalam masa yang sama sekiranya mereka yang telah disahkan menghidap penyakit ini dan ingin mendapatkan rawatan, iHEAL Medical Centre Kuala Lumpur turut menawarkan perkhidmatan tersebut.

Untuk itu, anda boleh layari laman web http://www.sweatconnection.com atau hubungi terus iHEAL Medical Centre di talian 03-22877398.

Asiaspace terus kukuh bersaing

Sekiranya anda sering memandu ke seluruh negara, terdapat kemungkinan besar anda akan dapat melihat menara telekomunikasi yang mempunyai reka bentuk unik menyerupai sebatang pokok.

Menara berkenaan sebenarnya dibina oleh Asiaspace Sdn. Bhd. (Asiaspace), satu-satunya syarikat bumiputera yang berkecimpung dalam industri itu sejak 12 tahun lalu. Antara kawasan yang mempunyai menara berbentuk sedemikian adalah Taman Botani dan Taman Wetland di Putrajaya serta Planetarium Negara dan Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Penggerak utama Asiaspace ialah Pengerusi dan pengasas syarikat itu, Datuk Abdul Ghani Abdullah.

Beliau yang berkelulusan undang-undang dari United Kingdom pernah menjadi ahli lembaga pengarah Sirim Berhad, MNI Holdings Berhad dan beberapa syarikat lain yang disenarai di Bursa Malaysia.

Abdul Ghani ialah individu yang mencetuskan idea supaya syarikat telekomunikasi berkongsi menara bagi mengelak bilangan yang terlalu banyak di setiap kawasan.

Idea berkenaan mendapat reaksi positif daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kemudiannya mengarahkan beliau membina menara terbabit untuk disewa kepada syarikat telekomunikasi.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Ghani dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini menjelaskan, sehingga ke hari ini pihaknya telah membina 132 menara telekomunikasi di kawasan-kawasan strategik seluruh negara.

''Ia telah disewakan kepada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi pelbagai jenama seperti Celcom, Maxis, DiGi, umobile, P1 dan yes.

"Kami turut membina menara telekomunikasi untuk kegunaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),'' ujarnya.

Selain berpengalaman dalam pembinaan dan pengendalian menara telekomunikasi, Asiaspace kini maju setapak lagi dalam memperkenalkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar 4G setelah memperoleh lesen spektrum 2.3 gigahertz (GHz) pada Mac 2007 dan 2.6 GHz pada 2010.

Tiga syarikat lain yang turut diberikan lesen untuk spektrum itu bagi menawarkan 4G berasaskan teknologi akses keupayaan saling mengendali bagi gelombang mikro seluruh dunia (WiMAX) adalah Packet One Networks (M) Sdn. Bhd., YTL e-Solutions Bhd. dan REDtone International Bhd.

4G yang menawarkan generasi keempat teknologi jalur lebar tanpa wayar merupakan pengganti kepada standard 3G dan 2G.

Teknologi 4G boleh memberikan 100 megabit sesaat (Mbps), yang membolehkan album muzik dimuat turun sepantas lima saat atau sejam siaran televisyen dalam masa kira-kira 30 saat.

Pada Ogos 2008, syarikat berkenaan telah memperkenalkan perkhidmatan 4G dengan jenama 'amax' yang berasaskan kepada teknologi WiMAX.

Bagaimanapun berikutan perubahan teknologi maka pihak pengeluar peralatan telah menamatkan sokongan terhadap pembangunan teknologi WiMAX.

Oleh itu, syarikat itu memutuskan untuk menghentikan amax yang berasaskan WiMAX pada September 2010 bagi membolehkannya beralih kepada teknologi 4G lebih canggih berasaskan evolusi jangka panjang (LTE).

Jelas beliau, syarikat itu kini dalam proses untuk memasang LTE ujian di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat ini.

4G berasaskan teknologi LTE membolehkan para pengguna memuat turun sehingga 100 Mbps pada telefon mudah alih mereka, berbanding 3G yang membolehkan muat turun sehingga 20 Mbps dan WiMAX sehingga 40 Mbps.

Perkhidmatan 4G berasaskan LTE telah dimulakan secara komersial pada Disember 2009 di Stockholm, Sweden dan Oslo, Norway.

Negara-negara lain yang telah memulakan langkah untuk beralih kepada teknologi LTE ialah Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Korea Selatan, Australia dan Sri Lanka.

Dalam pada itu, beliau melahirkan keyakinan Asiaspace akan berkembang lebih maju pada masa depan setelah ia dipilih untuk dimasukkan dalam Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) Kementerian Kewangan.

Skim berkenaan yang dilaksanakan sejak 2007 bertujuan membantu syarikat bumiputera untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan masa depan syarikat, jelas beliau, pihaknya telah meletakkan sasaran untuk mengambil alih semua menara milik sebuah syarikat telekomunikasi tempatan dengan anggaran kos pengambilalihan sebanyak RM400 juta.

Jelasnya, syarikat berkenaan turut meletakkan sasaran untuk membina 10 menara telekomunikasi baru setiap tahun.

''Kita juga merancang untuk mengembangkan operasi pembinaan menara telekomunikasi ke negara-negara ASEAN dan memastikan 25 peratus daripada menara yang dibina menggunakan teknologi hijau menjelang 2014," ujarnya.

Katanya, syarikat itu juga merancang untuk bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan dalam memperkenalkan perkhidmatan 4G berasaskan teknologi LTE.

''4G ini akan menggunakan spektrum 2.3 GHz dan 2.6 GHz dengan peralatan dibekalkan oleh Qualcomm Incorporated dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.," katanya.

Tambah beliau, kejayaan syarikat itu untuk mengembangkan operasi adalah berikutan kerjasama baik yang diberikan oleh SKMM dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

- UTUSAN

Isnin, Mei 23, 2011

Keputusan Perlawanan Liga Super Malaysia - 22/05/2011 (Ahad)

KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA SUPER - 22/05/2011 (AHAD)

Johor FC 2 - 1 Perlis

Kedah 0 - 0 Kuala Lumpur

Terengganu 3 - 0 N.Sembilan

Pahang 2 - 1 Selangor

Harimau Muda A 2 - 2 Kelantan

Sabah 1 - 3 T-Team

Felda United 0 - 1 Perak

* 5 Teratas - Kelantan (44), Terengganu (44), Selangor (42), Perak (32), Kedah (32)


Suria FM dan Red FM Raih Peningkatan Pendengar Tertinggi


Segmen Breakfast @ Suria telah membuatkan stesen radio Suria FM berjaya memperoleh peningkatan pendengar radio yang tertinggi sebanyak 48 peratus (%) berbanding radio-radio tempatan yang lain.

Berdasarkan penyampaian yang ditunjukkan, segmen yang diacarakan oleh Halim, Shiera dan Zizi meningkat sebanyak 62 % manakala segmen 50 Minit Muzik terbaik Tanpa henti bersama Tyzo juga memberi peningkatan sebanyak 77%.

Jumlah pendengar dikalangan penduduk sekitar bandar meningkat sebanyak 63% dan 40% pendengar dmerupakan dari kalangan pekerja profesional.

Kajian kali ini juga menunjukkan pendengar yang berpendapatan RM2000 hingga RM5000 semakin bertambah sehingga 36%.

Stesen radio Red FM pula menunjukkan peningkatan jumlah pendengar yang puratanya sebanyak 60% setiap tahun.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Red FM dan Suria FM, Azrullah Mohd Nor, keputusan tersebut menunjukkan bahawa perubahan yang diubah suai bagi barisan penyampai yang dilakukan sepanjang enam bulan ini ternyata berhasil kerana diterima di kalangan pendengar.

"Saya percaya Suria FM dan Red FM kini berada di landasan yang betul dan dengan kerjasama pengiklan kami yang menawarkan kempen pengiklanan yang menyeluruh, kedua-dua radio ini berjaya mencatat jumlah pendengar yang menunjukkan peningkatan yamng ketara," katanya

Dalam pada itu, segmen Red FM Breakfast Show merekodkan peningkatan sebanyak 104% manakala segmen Drive Show meningkat sebanyak 94% dan Red FM's Evening Show pula sebanyak 55%.

Stesen ini juga memperoleh peningkatan pendengar berbangsa Melayu terbesar iaitu sebanyak 105% dan bagi pendengar kawasan bandar, eksekutif dan pelajar, masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 102%, 13% dan 65%.

- MSTAR

Naza Bikes tawar harga istimewa


Kepada peminat motosikal keluaran Naza Bikes, jangan lepaskan peluang mengunjungi gerai Naza Bikes yang menawarkan harga istimewa sepanjang kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 dari 26 hingga 29 Mei ini di Putrajaya.

Lebih menarik lagi, gerai jualan Naza Bikes yang dibuka di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya itu akan beroperasi selama 24 jam sepanjang kejohanan tersebut.

Menurut Pengurus Besar Two Wheel Division Naza Motor Trading Sdn. Bhd., Nik Danial Nik Mahmood, Naza Bikes menawarkan harga hebat bagi model-model yang terpilih seperti Blitz 150X dan Flash 125 serendah RM2,988 hingga RM4,000.

Selain itu, ujarnya, dengan pembayaran deposit serendah RM308, pembeli sudah mampu memiliki sebuah motosikal keluaran Naza Bikes dengan stok yang terhad.

“Bagi memudahkan pengunjung yang berminat untuk terus membeli motosikal, urusan pinjaman pula akan diuruskan di sana oleh Naza Credit Leasing.

“Pembeli hanya perlu membawa salinan kad pengenalan, salinan dua bulan penyata gaji terbaru dan salinan penyata akaun simpanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Nik Danial memberitahu, pihaknya juga akan menjual motosikal keluaran terbaharu Naza Bikes, NZ 125R selain menawarkan para pengunjung Kompleks Futsal 1Malaysia peluang menguji motosikal tersebut.

Sebagai penghargaan kepada pembeli, ujarnya, setiap deposit pembelian motosikal dan barangan jualan di gerai pameran Naza Bikes boleh digunakan untuk memenangi hadiah cabutan bertuah yang berupa sebuah motosikal Naza Blitz 150X.

Beliau berkata, kesemua model motosikal keluaran Naza Bikes dijamin berkualiti tinggi dan melalui proses kajian serta pembangunan automotif yang terbaik.

Nik Danial berkata, Naza Biker turut menjual barangan cenderamata khas bersempena kejohanan tersebut seperti kemeja dan topi untuk pengunjung kompleks futsal itu.

- KOSMO!

Makanan segera jadi lambang status

Menduduki tangga keenam di rantau Asia sebagai negara yang mempunyai kadar penduduk obes yang tinggi semestinya fakta yang 'menakutkan'. Apatah lagi jika dilihat rangking di Asia Tenggara di mana Malaysia mendahului senarai. Tentunya perkembangan negatif itu memberi kesan kepada pembangunan negara selain menyanggah matlamat kerajaan mahu mewujudkan rakyat yang sihat mental serta fizikal. Peratusan dan angka telah terbentang. Namun ada kalangan rakyat negara ini enggan mengakui hakikat tersebut. Penjagaan diri dan keluarga terutama dari sudut pemakanan terus diabaikan. Maka lahirlah generasi muda obes, pada masa yang sama orang dewasa turut 'terjerumus'.

Dr. Natasha Ramli ketika ditanya perihal obesiti pantas memberitahu sering dikunjungi pesakit yang mengalami masalah berat badan keterlaluan. ''Jika ada 50 pesakit datang ke klinik, 10 mempunyai masalah berat badan,'' katanya ketika ditemui di Klinik Harmoni, Puchong Permai. Memandang berat masalah tersebut, beliau kini mengkelaskan obesiti sebagai penyakit yang mesti dirawat segera. Namun bagi Dr. Natasha, rawatan tidak akan berjaya tanpa kesungguhan serta kerjasama pesakit.

Atas sebab itu, beliau kini melihat proses merawat obesiti dalam konteks yang lebih luas. ''Jika saya didatangi seorang bapa berhadapan masalah berat badan, maka saya akan melihat juga keadaan anak-anaknya. Cara ini bagi membolehkan rawatan obesiti dijalankan secara holistik,'' katanya.

Dr. Natasha bersetuju bahawa faktor utama obesiti adalah kualiti pemakanan tidak dijaga sehingga makanan kaya gula dan karbohidrat memenuhi rak pasar raya, kantin sekolah/pejabat malah di luar tadika.

Trend masyarakat di negara ini pula tidak peka atau malas menyemak label kandungan menyebabkan pembelian produk makanan dilakukan secara semberono tanpa mengambil kira zat dan khasiat.

Malah, ada yang terlalu percaya pada dakwaan pengiklan produk sehingga menjadikan sesuatu jenis makanan keutamaan untuk anak-anak.

''Ibu bapa sukar membezakan antara makanan yang berkhasiat dengan makanan segera yang kurang zat makanan.

''Besar kemungkinan kesan iklan membuatkan ibu bapa berasakan makanan ringan yang tidak berkualiti sesuai dengan gaya hidup moden,'' katanya yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur.

Dr. Natasha juga melihat kalangan masyarakat menjadikan makan segera sebagai lambang status zaman moden dan seakan satu kebanggaan apabila melangkah masuk ke restoran makan segera yang mahal harganya. ''Oleh kerana kehidupan moden berjalan dengan pantas maka makanan juga perlu pantas disediakan. Maka kita disogokkan makanan segera dengan perasa tiruan dan timbunan kalori yang tinggi,'' katanya.

Beliau menarik perhatian tentang ciri-ciri makanan segera biar pun mungkin perkara itu telah diketahui ramai. Katanya, makan segera biasanya mempunyai perisa yang menggiurkan lidah, cepat dimasak dan amat menyelerakan. Ini berkait rapat dengan proses bio chemical dalam tubuh badan dan tanpa disedari kita menjadi mangsa kegemukan.

Sambil melahirkan kebimbangan tentang obesiti di kalangan kanak-kanak yang disifatkan mangsa paling teraniaya, Dr. Natasha berkata, keadaan itu menyebabkan kanak-kanak yang sepatutnya cergas tetapi kehilangan stamina. Masyarakat pula menerima kanak-kanak obesiti sebagai comel dan mereka sering dimanjakan. Akibatnya sehingga dewasa mereka dibelenggu oleh obesiti melampau.

Sebab itu fokus utama ibu bapa dalam mengawal pemakanan kanak-kanak sepatutnya bermula apabila mula berjalan. Ini kerana kebiasaannya apabila mula berjalan, kanak-kanak akan mengalami penyusutan berat badan.

Berbeza dengan kanak-kanak obes yang tidak mampu bergerak cergas dan fizikal tubuhnya menghalang aktiviti cergas dan lasak.

''Keadaan ini menyebabkan pengumpulan lemak semakin meningkat. Ini adalah satu kitaran obesiti yang sukar dihentikan,'' katanya.

Pemerhatian Dr. Natasya mendapati kalangan kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan 70 peratus akan membesar dan menjadi obes. Sekiranya salah seorang daripada ibu bapanya obes kemungkinan 80 peratus daripada mereka akan menjadi obes.

Di kalangan kanak-kanak dan remaja sering berlaku diskriminasi sosial terhadap si gemuk menyebabkan mereka tidak selesa ke sekolah. Gelaran dan jolokan kawan-kawan membuat dia malu dan berasa tersisih.

''Ibu bapa harus peka dengan situasi begini dan perlu menyuntik semangat serta menggalakkan mereka mengurangkan berat badan.

''Seorang kanak kanak atau remaja yang kecewa dengan keadaan obes seringkali berputus asa. Bila perasaan putus asa, mereka bersikap tidak endah dan marah dengan teguran-teguran mengenai keadaan dirinya.

''Kita perlu peka dengan keadaan ini dan harus mengambil pendekatan psikologi yang betul agar niat untuk membantu golongan ini menguruskan badan tidak dianggap mengkritik atau menghina,'' katanya.

Di kalangan orang dewasa juga wujud diskriminasi terhadap si gemuk tetapi tidak begitu ketara. Orang dewasa lebih bijak menangani emosi jadi jarang timbul isu diskriminasi yang melampau. Namun terdapat juga isu-isu yang menyebabkan orang gemuk tidak menjadi pilihan utama dalam alam pekerjaan.

- MINGGUAN MALAYSIA

Neraka dunia


Tanyalah sesiapa saja - hatta manusia paling kejam sekali pun - tiada siapa yang ingin menjadi penghuni neraka. Ia yang dikaitkan dengan panas, api dan bentuk seksaan mengerikan sudah cukup membuatkan tempat itu tidak ingin dijejaki langsung walaupun sekadar dalam mimpi.

Tidak kira apa jenis gambaran yang timbul mengenai neraka, ia bukan sesuatu yang baik dan molek sesuai dengan kedudukannya sebagai kediaman tetap iblis. Sebagai umat Islam, gambaran neraka cuma diperoleh menerusi al-Quran.
Namun hakikatnya, ada beberapa tempat di dunia ini sebaliknya kerap dilabel atau diumpamakan neraka kerana pelbagai sebab dan pastinya bukan tempat pilihan untuk dikunjungi ketika bercuti. Alasannya, selain membahayakan akibat faktor pelepasan gas beracun, ia juga dikaitkan dengan bahaya berikutan geografi serta rupa fizikalnya yang ekstrem dan cukup menggerunkan. Tidak ketinggalan, bentuk muka buminya yang pelik dan aneh dengan batuan serta tumbuh-tumbuhannya bersaiz gergasi dan tidak menepati aspek geografi fizikal pada masa kini.
Namaskar Pass di Iceland, dikenali sebagai ‘Pintu Masuk ke Neraka’ mendapat gelaran itu kerana landskapnya yang aneh dan pelbagai. Jauh bertentangan dengan negara tempat letaknya yang sepatutnya sejuk, Namaskar Pass, pula dipenuhi kawah gunung berapi yang mendidih, air pancut panas, kolam lumpur malah pembentukan lahar.

Gabungan itu menjadi keseluruhan tempat berkenaan sentiasa hidup dengan tenaga yang mendidih berterusan.

Tidak kurang ngeri ialah Bisti Badlands, padang pasir tandus di New Mexico yang digambarkan seolah-olah memasuki pintu masuk ke satu dunia lain sebaik menjejakkan kaki ke situ. Hampir 70 juta tahun dulu, ia adalah hutan hujan tetapi hari ini tempat itu kekal sebagai kawasan perkuburan kepada haiwan prasejarah, dinosaur.

Satu lagi Pintu ke Neraka terletak di pekan kecil Darvas di Uzbekistan. Kisah mengenai tempat itu sudah tersebar 35 tahun lalu apabila pakar geologi mula menggali untuk mencari gas. Dalam proses itu mereka menemui gua bawah tanah yang cukup besar untuk memuatkan peralatan menggali.
Namun tiada siapa berani memasukinya kerana dipenuhi gas. Mereka membakarnya untuk menghalang gas beracun daripada terlepas dan sejak itu ia tidak pernah terpadam. Tiada siapa tahu berapa tan gas yang dibakar sejak 35 tahun lalu tetapi kelihatannya ia mungkin tidak akan habis.

Satu daripada padang pasir paling ekstrem di dunia - Victoria Dry Valley atau Lembah Kering Victoria di Antartika, adalah kawasan bebas ais paling besar yang ada di benua itu. Paras kelembapan yang amat rendah dan kekurangan liputan ais menjadi sebab utama berlakunya tiupan angin katabatic yang boleh mencecah kelajuan 321 kilometer sejam.

Satu lagi kawasan digelar ‘neraka dunia’ adalah Socotra. Sebagai pulau terbesar daripada empat pulau di Lautan Hindi, Socotra terletak kira-kira 240 kilometer ke timur Afrika Timur. Ia pulau terpencil dan satu pertiga daripada tumbuhan di situ, termasuk pokok gergasi tidak akan ditemui di tempat lain. Socotra amat aneh sehingga digambarkan sebagai tempat paling pelik di bumi.

Bukan sukar untuk berasa tiba-tiba saja kita berada di satu planet lain yang lebih kasar dan lebih mengelirukan apabila melawat Vale de Lua, Brazil. ‘Lembah Bulan’ itu menjadi kawasan paling dilawati di Taman Negara Chapadea de Veadeiros dan dikatakan sudah berusia 1.8 juta tahun. Pembentukan batu yang dihakis oleh air Sungai San Miguel, adalah antara yang tertua dan paling aneh di dunia.

Cuma boleh dilihat daripada angkasa lepas, Richat Structure, adalah paparan pusingan di Gurun Sahara Mauritania berhampiran Ouadane. Ia menarik perhatian sejak misi ke angkasa lepas terawal kerana mudah dilihat dan mempunyai berbentuk mata lembu.

Sementara itu, Mata Air Panas Mammoth di Yellowstone, Amerika Syarikat adalah mata air yang menyimpan karbonat paling besar. Ciri mata air itu yang paling popular, Minerva Terrace, adalah hasil ribuan tahun air panas yang turut kaya hasil kalsium karbonat. Lebih dua tan mengalir ke dalam kawasan ini setiap hari.

Satu lagi lokasi yang digeruni adalah padang geotermal paling aktif di kawasan Rotorua, New Zealand. Ia diberi gelaran Pintu Neraka kerana bau busuk air dicemari belerang dan kolam lumpur. Di sekitar gunung berapi di Pulau Utara New Zealand dan kawasan geotermal, hampir 1,000 spesies bakteria paling pelik ditemui di sebalik suhu, paras asid, alkali, tekanan dan kerapnya tanpa cahaya matahari atau oksigen.

Hakikatnya, semua lokasi ini sememangnya jauh tersasar daripada definisi neraka seperti yang disebutkan dalam al-Quran. Tetapi mungkinkah kewujudannya boleh dijadikan peringatan kepada manusia betapa neraka akhirat jauh lebih menakutkan?

- BERITA MINGGU