Ahad, April 03, 2011

Permohonan Pertukaran Guru KPM Secara Atas Talian Sesi Jun 2011


Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian/Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah bagi Pertukaran Jun 2011 untuk guru DGA 29, DG 41, DG 32 (KUP) dan DG 44 (KUP) melalui e-GTukar akan dibuka mulai 1 hingga 22 April 2011. Keputusan Permohonan Pertukaran Guru Jun 2011 dijangka dikeluarkan mulai 25 Mei 2011. Sila ambil maklum bahawa tiada peruntukan disediakan bagi tuntutan elaun pertukaran untuk sesi Jun 2011.

OPSYEN YANG BOLEH DIPERTIMBANGKAN KE NEGERI-NEGERI BAGI PERTUKARAN JUN 2011
SEKOLAH MENENGAH HARIAN (SMK)

Bil

Negeri

Opsyen Yang Boleh Dipertimbangkan

1

Perlis

Bahasa Melayu, Geografi, KH-ERT, KH-SP, ICT

2.

Kedah

Lukisan Kejuruteraan, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Seni Visual, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, ICT, Reka Cipta

3.

Pulau Pinang

Reka Cipta, Sejarah, Pendidikan Seni, PJ&K, Pendidikan Islam, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Geografi, KH-ERT, KH-SP, KH-KMT

4.

Perak

Reka Cipta, LK, TK, Perdagangan, Bahasa Melayu, Geografi, Sejarah, Pendidikan Seni, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, Pendidikan Moral, ICT

5.

Selangor

Kaunseling, MPT-Perdagangan, Bahasa Melayu, Geografi, Sejarah, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, Pendidikan Moral, ICT

6.

Kuala Lumpur

Reka Cipta, LK, Perdagangan, Bahasa Melayu, Pengajian Am, Geografi, Sejarah, Pendidikan Seni, PJ&K, KH-ERT, KH-P&K, Pendidikan Moral, ICT

7.

Putrajaya

LK, Perdagangan, Bahasa Melayu, Geografi, Sejarah, Pendidikan Seni, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, ICT

8.

Negeri Sembilan

Reka Cipta, LK, Prinsip Akaun, Bahasa Melayu, Pengajian Am, Geografi, Sejarah, Pendidikan Seni, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, Pendidikan Moral, ICT

9.

Melaka

Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Geografi, Sejarah, Pendidikan Seni, Bahasa Cina, PJK Lelaki, Rekacipta, Prinsip Akaun,TK,KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, Pendidikan Moral, ICT

10.

Johor

Kaunseling, Reka Cipta, TK, Perdagangan, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pengajian Am, Geografi, Sejarah, Pendidikan Seni, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, Pendidikan Moral, Bahasa Cina, ICT

11.

Pahang

Reka Cipta, LK, Perdagangan, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pengajian Am, Geografi, Sejarah, Pendidikan Seni, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, Pendidikan Moral, ICT

12.

Terengganu

Reka Cipta, LK, Bahasa Inggeris, Pengajian Am, Geografi, Sejarah, Pendidikan Seni, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, ICT

13.

Kelantan

Reka Cipta, LK, TK, Bahasa Inggeris, Pengajian Am, Pendidikan Seni, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, Bahasa Cina, ICT

14.

Sarawak

Kaunseling, Reka Cipta, LK, Perdagangan, Bahasa Melayu, Pengajian Am, Geografi, Sejarah, Pendidikan Seni, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Bahasa Cina, ICT

15.

Sabah

Kaunseling, Reka Cipta, LK, Perdagangan, Pengajian Am, Pendidikan Seni, PJ&K, KH-ERT, KH-SP, KH-P&K, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Bahasa Cina, ICT

16.

Labuan

Kaunseling, Perdagangan, Bahasa Melayu, Pengajian Am, Sejarah, PJ&K, KH-ERT, KH-P&K, Pendidikan Moral, ICT





CARA & TEMPOH PERMOHONAN :

Permohonan dibuka dari 1 - 22 April 2011 dan boleh dibuat di: http://epgo.moe.gov.my/


(Sila gunakan pelayar Internet Explorer sahaja)

Permohonan Pertukaran Kakitangan KPM Bukan Guru Secara Atas Talian Tahun 2011


Pengurusan Pertukaran Kakitangan Bukan Guru
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) menerima permohonan pertukaran daripada kakitangan bukan guru di Kementerian Pelajaran Malaysia. Permohonan yang dikemukakan perlu berdasarkan kepada asas-asas seperti berikut:-

a. Mengikut pasangan bertukar
b. Mencari pengalaman baru
c. Masalah peribadi (cth: jauh daripada tempat tinggal / tidak sesuai dengan persekitaran tempat kerja / ancaman keselamatan dan lain-lain sebab munasabah)

Permohonan Pertukaran Atas Talian
Permohonan atas talian ini merupakan satu lagi inovasi Kementerian dalam mempercepatkan proses permohonan pertukaran disamping dapat meningkatkan penggunaan ICT di dalam urusan perkhidmatan. Sistem ini juga dapat menjimatkan masa dan tenaga pengurus sumber manusia di peringkat Kementerian/Bahagian/Jabatan/Institusi dan sekolah.

Proses permohonan pertukaran melibatkan 3 peringkat yang melibatkan pemohon, ketua jabatan, bahagian / jabatan dan pihak Kementerian. Berikut adalah anggaran tempoh masa yang terlibat di dalam proses permohonan atas talian berkenaan:-

Peringkat Aktiviti Tempoh Masa
1 Permohonan Atas Talian oleh Pemohon 30 hari (4 minggu)
2 Kelulusan di peringkat Pengesah I dan II 30 hari (4 minggu)
3 Pemprosesan kelulusan permohonan diperingkat Bahagian Pengurusan Sumber Manusia 14 hari (2 minggu)
4 Makluman keputusan permohonan pertukaran kepada pemohon 7 hari (1 minggu)


CARA & TEMPOH PERMOHONAN :

Permohonan dibuka dari 1 - 30 April 2011 dan boleh dibuat di: http://apps.moe.gov.my/etukar/


(Sila gunakan pelayar Internet Explorer sahaja)

Iklan Kemasukan ke Politeknik Ambilan Julai 2011


Permohonan kemasukan Politeknik KPT Sesi Julai 2011 dibuka mulai hari Isnin, 10 Januari 2011 untuk pemohon daripada kategori lulusan SPM dan setaraf , manakala bagi Lulusan Sijil Politeknik KPT, Lulusan Sijil Kolej Komuniti KPT, Lulusan Diploma Politeknik KPT dan lulusan Kolej Matrikulasi KPM , permohonan mulai dibuka pada 4 Mac 2011 yang lalu.

Bagi pemohon lulusan SPM, anda perlu memohon Permohonan Kemasukan Politeknik Sesi Julai 2011 melalui kaedah dalam talian (ON-LINE) dengan melayari laman web :

http://upu.mohe.gov.my/

Manakala, bagi lepasan Lulusan Sijil Politeknik KPT, Lulusan Sijil Kolej Komuniti KPT, Lulusan Diploma Politeknik KPT dan lulusan Kolej Matrikulasi KPM, permohonan kemasukan hendaklah dibuat di laman web:

http://www.politeknik.edu.my

  1. Untuk mengakses e-Borang pemohon mesti menggunakan kombinasi nombor kad pengenalan dan nombor PIN.
  2. Pemohon diminta membeli nombor PIN di kaunter atau Mesin ATM Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan harga RM6.00 (Ringgit Malaysia: Enam sahaja) untuk permohonan lepasan Lulusan Sijil Politeknik KPT, Lulusan Sijil Kolej Komuniti KPT, Lulusan Diploma Politeknik KPT dan lulusan Kolej Matrikulasi KPM, manakala bagi lulusan SPM, RM 10.60 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ringgit dan Enam Puluh Sen).
  3. Pemohon perlu mengemukakan Kad Pengenalan atau MyKad semasa membeli nombor PIN di kaunter BSN.
  4. Jika pemohon mewakilkan seseorang untuk membeli nombor PIN, salinan Kad Pengenalan atau MyKad pemohon mesti dikemukakan oleh wakil tersebut kepada pihak BSN. Maklumkan dengan jelas kepada pihak BSN bahawa nombor PIN yang hendak dibeli adalah untuk permohonan kemasukan ke Politeknik KPT.
  5. Pastikan slip pembayaran BSN dicetak nombor Kad Pengenalan atau MyKad pemohon dengan betul serta terdapat nombor PIN enam (6) digit bermula dengan “40? dan diikuti empat angka yang lain sebelum meninggalkan kaunter BSN. Contoh No PIN : 401051
  6. Nombor PIN ini hanya boleh digunakan bagi kemasukan Sesi Julai 2011 dan Disember 2011 sahaja.
  7. Pemohon perlu membeli semula nombor PIN sekiranya lupa.

NOTA:

  • Setelah mengisi e-Borang, pemohon dikehendaki melaksanakan langkah-langkah berikut:
  • Menghantar maklumat e-Borang dengan menekan butang “HANTAR MAKLUMAT PERMOHONAN” sehingga arahan mencetak butiran permohonan dipaparkan.
  • Cetak butiran permohonan sebagai dokumen pengesahan penghantaran. Sila simpan untuk rujukan.
  • Pindaan maklumat pada e-Borang boleh dibuat sebelum tarikh tutup dan ulangi langkah di atas.
  • Pemohon berkeperluan khas (masalah pendengaran) ialah pelajar lepasan tingkatan lima dari Sekolah Pendidikan Khas kelolaan Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atau Program Pencantuman Pendidikan Khas di bawah KPM. Permohonan hendaklah dibuat melalui Bahagian Pendidikan Khas KPM, di alamat :

Pengarah,
Bahagian Pendidikan Khas,
Kementerian Pelajaran Malaysia,
Aras 2, Blok E2, Parcel E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 PUTRAJAYA
Telefon : 03-88849190

  • Borang permohonan boleh didapati dari Jabatan Pelajaran Negeri atau Bahagian Pendidikan Khas
  • Tarikh tutup Permohonan kemasukan ke program pengajian Politeknik KPT Sesi Julai 2011 ditutup pada 04 April 2011 (Isnin)

Sumber: http://beritasemasa.com/

Sabtu, April 02, 2011

Keputusan Perlawanan Liga Super Malaysia - 01-02/04/2011 (Jumaat & Sabtu)

KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA SUPER - 01/04/2011 (JUMAAT)

Kelantan 2 - 1 Harimau Muda 'A'


KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA SUPER - 02/04/2011 (SABTU)

Selangor 2 - 1 Pahang

Negeri Sembilan 1 - 1 Terengganu

Kuala Lumpur 0 - 1 Kedah

Perak 1- 0 Felda United FC

T-Team 3 - 0 Sabah

Perlis 2 - 2 Johor FC

Imej Bumi rakaman AS, Rusia berbeza


LONDON - Imej Bumi yang dirakamkan satelit Rusia, Elektro-L kelihatan berbeza dengan gambar Bumi yang dirakamkan menerusi satelit Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat, lapor sebuah akhbar semalam.

Rakaman gambar Bumi menerusi satelit Rusia itu dianggap lebih tepat berbanding dengan rakaman misi NASA di angkasa lepas.

Menurut seorang ahli astronomi, Dr. Robert Simmon dari Balai Cerap Bumi NASA di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard, Maryland, imej yang dirakamkan satelit Rusia itu merupakan kombinasi penglihatan dan jarak gelombang hampir inframerah.

Keadaan itu menyebabkan Bumi kelihatan berbeza dengan rakaman NASA yang menggunakan pelbagai gelombang inframerah dan ditukar menjadi imej tiga dimensi (3-D).

- Agensi

Kelibat raksasa di Pelabuhan Sydney


SYDNEY - Sejumlah penduduk di sini berada dalam ketakutan selepas seekor raksasa dirakamkan di dalam kawasan perairan dekat sebuah jambatan di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut seorang pegawai polis, Harvey Edison, talian telefon di kebanyakan balai polis tempatan sesak dengan panggilan orang ramai yang memberitahu kewujudan makhluk ganjil itu kelmarin.

Menurutnya, laporan awal mengenai raksasa itu datang daripada orang ramai yang menaiki kapal pesiaran, feri dan bot di Pelabuhan Sydney.

Edison berkata, semua rakaman video dan gambar yang menyiarkan kelibat raksasa itu kini dikaji oleh sekumpulan pakar bagi menentukan sama ada ia benar atau palsu.

Menurut satu kenyataan rasmi, sekumpulan pasukan yang melibatkan ahli biologi terkenal dan penyelam akan tiba di Sydney untuk menyiasat raksasa itu.

Polis di negeri New South Wales turut membatalkan semua perkhidmatan feri dan pelayaran kapal pesiaran buat sementara waktu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak belayar atau menaiki bot mewah di pelabuhan ini.

Raksasa itu mempunyai leher yang panjang seperti kelibat raksasa di Loch Ness di Scotland.

- Agensi

Pengurusan kewangan masa depan

Oleh MUZIR KASSIM
Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna, OCBC Al-Amin Bank Berhad

JIKA anda sudah mencecah usia 40 tahun dan masih belum lagi memikirkan tentang perancangan kewangan, usah resah. Masih belum terlewat tetapi perancangannya perlu disegerakan. Perancangan kewangan bukan hanya untuk orang kaya, anda mungkin perlu mengubah tanggapan segera. Sebenarnya perancangan kewangan lebih penting untuk mereka yang tidak berharta. Alasannya cukup mudah: orang biasa perlu memastikan pendapatan mereka yang terhad mampu menampung pelbagai keperluan hidupnya.

Pada usia 40-an, anda mungkin terpaksa menampung perbelanjaan keluarga yang semakin besar. Sama ada anda sedang memikirkan cara untuk menanggung kos pengajian tinggi anak atau membiayai sara hidup ibu bapa yang lanjut usia, anda mungkin mendapati diri anda kesempitan wang.

Justeru, OCBC Al-Amin ingin berkongsi dengan anda beberapa petua perancangan kewangan untuk menangani masalah kewangan apabila anda mencapai usia berkenaan:

Petua 1: Mula memikirkan persaraan anda

Buat permulaan, anggarkan berapa banyak yang anda perlu untuk hidup semasa bersara. Nilai anggaran sudah pun memadai dan harus merangkumi belanja sara hidup, kos perubatan tertentu dan sebarang hutang yang perlu anda bayar selepas bersara.

Setelah anda mengenal pasti jumlah tersebut, anda akan dapat mengetahui berapakah nilai persaraan anda. Nilai persaraan ialah jumlah wang yang perlu anda ada apabila anda bersara sebagai bekalan untuk menyara hidup anda sepanjang usia emas, apabila anda tiada lagi pendapatan tetap. Contoh kami memang ringkas dan anda sendiri mungkin perlu melakukan penyelidikan lanjut untuk kes anda. Kami membuat pengiraan berasaskan nilai anggaran. Jadi, andaikan anda memerlukan RM48,000 setahun untuk menampung gaya hidup anda semasa bersara, berasaskan andaian kadar pulangan lima peratus setahun, anda memerlukan nilai persaraan RM960,000 (RM48,000 dibahagikan dengan lima peratus setahun).

Langkah seterusnya ialah mengenal pasti jurang antara nilai persaraan dan sumber tabungan, contohnya KWSP apabila bersara dan simpanan anda setakat ini. Tetapkan matlamat untuk merapatkan jurang ini. Anda mungkin perlu mengisi tabungan atau pelaburan.

Hakikatnya, lebih lewat anda mula menabung untuk persaraan, lebih banyak usaha yang anda perlu curahkan untuk mencapai matlamat anda. Ia boleh dilakukan dengan mengambil langkah di atas, jadi jangan biarkan keraguan dan rasa tawar hati menghalang anda daripada bermula sekarang, tanpa mengira usia.

Petua 2: Fikirkan pendidikan anak anda

Jika anda seperti kebanyakan ibu bapa lain, menabung untuk pendidikan universiti anak anda ialah satu keutamaan dan cabaran besar. Apatah lagi dengan cabaran dan persaingan yang perlu dihadapi dalam pasaran kerja kini yang mementingkan segulung ijazah.

Untuk memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak, satu langkah bijak yang boleh diambil ialah dengan menganggapnya sebagai satu matlamat kewangan yang perlu dipenuhi. Buat penyelidikan tentang institusi pengajian tempatan dan asing. Dapatkan maklumat lanjut tentang cara untuk membiayai matlamat ini seperti pinjaman pelajar dan biasiswa. Dengan mengetahui pilihan yang ada, anda dapat mengawal wang anda.

Petua 3: Susun semula perbelanjaan anda

Usia 40an menandakan tempoh peralihan dalam hidup kerana kita menghadapi pelbagai cabaran. Hadapi perubahan ini dengan menentukan keutamaan matlamat anda. Kaedah asas masih boleh diguna pakai dan pada ketika ini, anda boleh mendapat banyak manfaat dengan mematuhi disiplin berikut:

- Mengetahui perbelanjaan anda

- Elakkan berbelanja berlebihan

- Utamakan tabungan

Asas ini sangat penting semasa anda memasuki usia 50an dan persaraan anda.

Petua 4: Dapatkan perlindungan Takaful

Akhir sekali, kami ingin menekankan betapa pentingnya anda mendapatkan perlindungan takaful. Jika anda sudah mempunyai Takaful, nilai semula perlindungan anda untuk memastikan ia masih memenuhi keperluan anda. Jika anda tidak mempunyai Takaful, pastikan anda mendapatkannya sekarang terutamanya jika anda mempunyai orang di bawah tanggungan yang bergantung pada anda untuk sokongan kewangan.

Pemergian anda mungkin sukar dihadapi oleh orang tersayang. Jangan pula mereka terpaksa dibelenggu masalah kewangan apabila anda sudah tiada. Kos pengkebumian juga mungkin menelan belanja besar dan menimbulkan tekanan. Kami mengesyorkan perlindungan asas untuk menampung belanja pengkebumian dan menanggung sara hidup keluarga untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun. Anda juga perlu mempertimbangkan perlindungan seperti pembiayaan rumah, pendidikan anak atau matlamat persaraan suami/isteri anda.

Walaupun kedudukan kewangan bagi orang yang berusia 40an berbeza-beza, ada baiknya anda memikirkan jangkaan kewangan anda untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. Keputusan yang anda buat akan memberi anda jaminan pada masa depan.

- UTUSAN

Talian khas adu harga barang mahal

Mulai hari ini orang ramai boleh membuat aduan mengenai kenaikan harga barang yang dianggap melampau kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui talian 1-800-88-6800 mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 yang baru dikuatkuasakan.

Aduan itu kemudian disalurkan kepada Majlis Penasihat Harga (MPH) yang baru ditubuhkan untuk tindakan lanjut dan jika ada kes, peniaga terbabit boleh didakwa di mahkamah.

Penguatkuasaan undang-undang itu merangkumi semua syarikat dan individu yang menjual barang, menyediakan perkhidmatan dan restoran.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mengikut akta yang diluluskan Parlimen tahun lalu itu, syarikat yang didapati bersalah menjual barangan atau menawarkan perkhidmatan pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran boleh didenda sehingga RM500,000 bagi kesalahan kali pertama.

Bagi kesalahan kali kedua, syarikat sama boleh didenda maksimum RM1 juta manakala bagi individu yang melakukan kesalahan kali pertama boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Individu yang melakukan kesalahan kali kedua pula boleh didenda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Akta baru itu menggantikan Akta Kawalan Harga 1946 yang tidak memberi kuasa kepada kementerian untuk mengambil tindakan ke atas peniaga yang menaikkan harga barang atau perkhidmatan secara melampau.

Ismail Sabri berkata demikian dalam pertemuan dengan pengarang media massa berhubung isu bekalan dan harga barangan di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, kementerian akan berbincang dengan MPH bagi menentukan penanda aras bagi harga sesuatu barang.

Mengenai perbezaan kedua-dua undang-undang berkenaan, beliau berkata akta baru itu memberi kuasa kepada kementerian menguatkuasakan kadar harga semua jenis barang dan perkhidmatan tanpa perlu diwartakan seperti akta lama.

- BERITA HARIAN

Pemilik boleh guna semula nombor kenderaan musnah

Pemilik kenderaan akan dibenarkan menggunakan semula nombor pendaftaran kenderaan milik mereka yang hilang atau musnah dengan mendaftar semula nombor berkenaan ke atas kenderaan baru yang belum pernah didaftarkan.

Ia berikutan pindaan ke atas Seksyen 11 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang diluluskan pada 15 Disember tahun lalu, dengan kebenaran dan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata selain pemilik asal kenderaan yang pernah didaftarkan itu, individu lain tidak dibenarkan mendaftar semula nombor pendaftaran terbabit apabila ia mula dilaksanakan tidak lama lagi.
Katanya, menerusi pindaan akta itu, Ketua Pengarah JPJ diberi kuasa memperuntukkan semula nombor pendaftaran kenderaan yang dilaporkan hilang, dicuri, rosak, binasa atau dihantar keluar negara untuk selama-lamanya kepada kenderaan baru yang belum didaftar.

“Pemilik yang berminat menggunakan semula nombor pendaftaran kenderaannya yang hilang atau musnah boleh mengemukakan permohonan di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan dengan syarat mendapat pelepasan untuk menggunakannya semula dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemohon akan dikenakan caj yang akan ditentukan kelak apabila ia mula dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Cho Ha berkata, pihaknya yakin prosedur baru itu akan mendapat sambutan menggalakkan terutama oleh pemilik kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran bernilai utama, tetapi kenderaan mereka hilang atau musnah.

- BERITA HARIAN

Lebihan guru Sains, Matematik

TANJUNG MALIM: Seramai 26,000 guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.

Menurut sumber, lambakan serius membabitkan 14,000 guru subjek Sains dan 12,000 guru Matematik itu menyebabkan mereka yang diarah mengajar opsyen lain tidak dapat menjayakan tugas dengan penuh semangat.

“Ada antara mereka hilang motivasi diri dan begitu emosi untuk meneruskan kerjaya murni itu. Guru terbabit mengakui, pada peringkat awal bersemangat mendidik pelajar untuk lulus cemerlang Sains dan Matematik. Namun, selepas lima tahun mengajar subjek lain, mereka lemah semangat dan terpaksa melupakan cita-cita untuk bergelar guru Sains dan Matematik berwibawa,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kementerian perlu memanfaatkan lebihan guru itu untuk memperkasakan subjek Sains dan Matematik kepada pelajar luar bandar dan pedalaman dengan menghantar mereka ke sana.

Katanya, ia sejajar Dasar 60:40 2010 iaitu 60 peratus pelajar aliran Sains dan 40 peratus Sastera pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, subjek Sains dan Matematik penting untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020 kerana ia adalah pemangkin kepada pembangunan sains dan teknologi.

“Kerajaan wajar mengoptimumkan lebihan itu supaya jurang pendidikan pelajar bandar dengan luar bandar dirapatkan. Saya terkejut kerana andaian umum selama ini menyatakan kedua-dua opsyen berkenaan menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar,” katanya.

Seorang pelajar Pendidikan Matematik Fakulti Sains dan Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd Rafiz Raymond, 20, berkata beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai lebihan guru bagi subjek berkenaan.

“Saya terkejut dengan perkembangan itu kerana selama ini kami mendapat maklumat subjek Sains dan Matematik adalah mata pelajaran kritikal yang memerlukan lebih tenaga pengajar,” katanya.

Pelajar Pendidikan Perakaunan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Raindy Andurah, 19, pula berkata beliau memilih matematik sebagai kursus pilihan kerana sepanjang pengetahuannya subjek itu memerlukan lebih ramai guru.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Zakaria Kasa, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai lebihan guru untuk dua subjek berkenaan.

Sehubungan itu, katanya UPSI sudah meminta pelajar jurusan itu bertukar opsyen antaranya kepada Sejarah atau Kemahiran Hidup yang memerlukan lebih ramai tenaga pengajar.

“Mungkin pada masa depan mata pelajaran Kemahiran Hidup dipertingkatkan sukatannya dan mempunyai pendidikan reka bentuk kontemporari,” katanya.

- BERITA HARIAN

Jumaat, April 01, 2011

Keberkatan Jumaat 'vs' kejahilan April Fool

Oleh Mohd Ali Muhamad Don
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandar raya Johor Bahru

Setiap tahun 1 April disambut sebahagian besar masyarakat dunia sambil 'menipu' orang lain dengan alasan untuk berseronok. Kebiasaan membohongi rakan dan anggota keluarga ini dikatakan bermula di Perancis, kemudian tersebar ke England dan Scotland, lalu ke Amerika ketika berlaku perpindahan orang Eropah ke sana. Sehingga kini ada pula segelintir daripada umat Islam yang jahil dan terpengaruh dengan budaya songsang, turut mengamalkan budaya pelik ini.

Walau dari mana asal-usul budaya ini, ia tidak begitu penting. Malah jika diperhalusi ia jauh menyimpang daripada syariat yang memerintahkan umat untuk saling menghormati dan berbuat baik kepada sesama manusia.
Lebih-lebih lagi 1 April tahun ini jatuhnya pada Jumaat yang menjadi penghulu segala hari. Pada Jumaat juga, umat Islam disuruh untuk memperbanyak amalan kebajikan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, beristighfar dan pergi awal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat bagi memperoleh rahmat dan keampunan daripada-Nya.
Sedarlah betapa selama ini umat Islam sering diperbodohkan dengan pelbagai dakyah dan penipuan yang ditujukan khususnya kepada golongan belia Islam.

Pelbagai propaganda dan penipuan yang diimport dari luar impak negatif era globalisasi seakan-akan berhasil mengheret ramai remaja dan golongan muda Islam mempraktikkan amalan yang tidak sihat bahkan terkadang bercanggah dengan akidah dan syariat yang suci.

Golongan yang terikut dengan budaya tidak sihat seperti ini seolah-olah tidak punya nilai dan jati diri sendiri sehingga melihat dunia hanya tempat untuk berseronok tanpa mempedulikan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT, tanggungjawab sebagai pelajar dan terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Sikap sebegini bukan saja merosakkan individu terbabit, malah jika dibiarkan bakal mencalar imej Islam di mata masyarakat lain.

Menurut perspektif Islam, setiap bulan dalam Islam adalah bulan yang mulia, malah Allah SWT melebihkan bulan tertentu kerana keutamaannya. Sebagai contoh Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Ramadan dengan lailatulqadar yang menyamai seribu bulan, Zulhijjah ialah bulan tetamu Allah beramai-ramai mengunjungi Baitul al-Haram untuk menunaikan ibadah haji.
Rabiulawal ialah bulan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam. Justeru, tiada hari atau bulan tertentu yang dikhususkan untuk memperbodohkan orang lain apatah lagi kepada sesama Islam.

Nabi SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud: “Kamu akan mengikuti perlakuan umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak sekalipun nescaya kamu akan mengikuti mereka.

Sahabat bertanya: “Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: “Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pernahkah kita terfikir bahawa April bukan bulan yang buruk seperti disangka sesetengah masyarakat malah sebenarnya golongan yang terbabit merayakan hari berkenaan adalah individu yang dangkal khasnya umat Islam apabila tidak mengerti adat budaya sendiri sehingga terikut dengan budaya asing tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

Ada pula kalangan umat Islam yang terpedaya lalu terbabit dalam aktiviti pembohongan yang ditegah oleh syariat, sedangkan amalan berbohong adalah amalan buruk yang ditegah oleh syariat.

Dalam hadis Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda yang bermaksud: “Siapa berbohong kepada kami bererti dia bukan daripada kalangan kami.”

Islam dengan tegas, tidak pernah membenarkan pembohongan dilakukan oleh sesiapa dengan apa jua alasan. Lebih daripada itu, perbuatan berbohong adalah perkhabaran yang dibawa oleh orang fasik yang mesti diperhalusi sebelum diterima.

Allah SWT menegaskan perkara ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman apabila datang orang yang fasik membawa berita kepada kamu, hendaklah kamu berhati-hati.”

Nabi SAW juga diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud: “Kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Sesungguhnya seseorang sentiasa bersifat jujur sehingga ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang jujur, manakala pembohongan membawa kepada kemaksiatan, perbuatan maksiat pula membawa ke neraka. Sesungguhnya seseorang sentiasa berbohong lalu ditulis di sisi Allah SWT sebagai pembohong.”

Oleh itu tidak wajar sesiapapun daripada kalangan orang Islam terikut-ikut menyambut hari ini. Dibimbangi akan mengundang berlaku gejala lain yang lebih buruk dan tidak bermoral. Pepatah ada menyebutkan siakap senohong, gelama ikan duri bercakap bohong lama-lama mencuri.

- BERITA HARIAN

Recent Posts