Khamis, Mac 24, 2011

Keputusan SPM 2010 terbaik dalam masa 4 tahun


PUTRAJAYA 23 Mac - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 adalah yang terbaik dalam empat tahun ini dengan seramai 9,239 orang atau 2.28 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran memperoleh gred cemerlang ( A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 363 calon berjaya mendapat gred cemerlang tertinggi iaitu A+ dalam semua mata pelajaran.

''Sebanyak 368,559 orang atau 91.2 peratus calon berjaya mendapat sijil berbanding 90.8 peratus calon pada tahun lalu.

''Sebanyak 81 daripada 103 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi yang menggalakkan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP)," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2010 di sini hari ini.

Mengenai pelajar terbaik, beliau berkata, seramai empat calon berjaya mendapat A+ dalam kesemua 12 mata pelajaran yang diambil dan 47 lagi mendapat A+ dalam semua 11 mata pelajaran.

''Terdapat 207 calon yang mendapat A+ dalam semua 10 mata pelajaran dan 105 calon mendapat A+ dalam semua sembilan mata pelajaran," katanya,

Abd Ghafar berkata, sebahagian besar sekolah di Malaysia dikategorikan dalam pencapaian sekolah cemerlang, baik dan memuaskan.

''Hanya sebilangan kecil iaitu 66 buah sekolah atau 3.1 peratus sahaja yang memperoleh pencapaian berpotensi," katanya.

Menurutnya, seramai tujuh calon berkeperluan khas termasuk yang rabun, buta dan pekak berjaya mendapat keputusan cemerlang bagi semua mata pelajaran.

''Seorang calon rabun telah berjaya mendapat lapan A+ dan tiga A dalam 11 mata pelajaran yang diduduki dan seorang lagi calon buta mendapat enam A+, tiga A dan satu A-," katanya.

Tambahnya, pelajar paling cemerlang dalam SPM 2010 akan diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis yang akan diadakan di Lembaga Peperiksaan di Kuala Lumpur pada 1 April ini.

- UTUSAN

Tarikh Pilihan raya Sarawak 16 April 2011


KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 6 April sebagai tarikh penamaan calon dan 16 April sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 21 Mac lalu berhubung pembubaran DUN Sarawak.

“Dengan ini kita mengumumkan 23 Mac tarikh keluar writ iaitu hari ini (semalam), 25 Mac tarikh notis pilihan raya, 6 April hari penamaan calon dan 16 April tarikh pengundian,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, SPR akan menggunakan daftar pemilih suku pertama, kedua, ketiga dan empat tahun 2010 yang diwartakan pada 25 Mac iaitu membabitkan seramai 979,796 pengundi iaitu 961,433 pemilih biasa dan 18,363 pemilih pos.

Katanya, pengundi boleh membuat semakan maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui laman web rasmi SPR, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau menghubungi terus ke pejabat SPR.

- KOSMO!

RM377.8 Juta Caruman KWSP Tidak Dituntut

Sebanyak RM377.8 juta caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dituntut sehingga Disember tahun lepas membabitkan 188,733 ahli berumur 75 tahun ke atas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata berdasarkan rekod KWSP, hampir keseluruhan maklumat tentang pencarum terbabit adalah tidak lengkap memandangkan rekod pencarum yang terdahulu tidak mempunyai maklumat negeri.

Katanya daripada jumlah pencarum itu hanya 1,960 boleh dikenal pasti mengikut negeri.

Negeri-negeri itu ialah Johor 124 kes, Kedah (101), Kelantan (26), Melaka(33), Negeri Sembilan (43), Pahang (76), Perak (141), Pulau Pinang (148), Sabah(236), Sarawak (371), Selangor (340), Terengganu (41) dan Wilayah PersekutuanKuala Lumpur (280).

"Jumlah keseluruhan caruman bagi negeri-negeri yang dikenal pasti itu berjumlah RM195.9 Juta, manakala selebihnya yang berjumlah RM358.2 juta adalah jumlah caruman daripada 186,773 kes yang tiada maklumat negeri," katanya menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan).

Awang Adek berkata caruman yang tidak dituntut itu akan disimpan dalam akaun KWSP sehingga ahli berumur 80 tahun iaitu lima tahun selepas ahli tidak mencarum dengan KWSP.

Katanya selepas pencarum mencapai umur 80 tahun, caruman tersebut akan dipindahkan kepada bahagian pendaftar wang tidak dituntut iaitu selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

"Bagaimanapun, sekiranya pencarum atau waris ingin membuat tuntutan caruman selepas caruman itu dipindahkan, KWSP akan membantu dengan mengeluarkan dokumen dan maklumat sebagaimana prosedur tuntutan ditetapkan," katanya.

Mengikut undang-undang, wang yang tidak dituntut oleh pemunya akan dipindahkan daripada Akaun Amanah Disatukan kepada Akaun Hasil Disatukan selepas 15 tahun dari tarikh penerimaan oleh Pendaftar Wang Tak Dituntut.

- BERNAMA

Semua Faktor Diambil Kira, Harga Barang Sentiasa Diawasi

'Sudah habis!' Begitulah tanda yang digantung pada pemicu minyak RON95 di beberapa buah stesen minyak di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Ini kerana pemicu warna kuning itu menjadi tumpuan ramai pemilik kenderaan kerana harganya yang lebih padan dengan kemampuan mereka iaitu RM1.90 seliter berbanding RON97 dengan nilai oktan lebih tinggi, dijual pada harga RM2.50 seliter.

Walaupun sebenarnya tiada kekurangan, bekalan RON95 cepat habis kerana permintaan yang tinggi dan pengisian semula di stesen minyak lambat dilakukan.

Bagaimanapun rakyat Malaysia masih beruntung kerana minyak RON95 bersubsidi.

Kerajaan mengeluarkan hampir 75 sen (setakat 14 Mac 2011) untuk setiap liter RON95 sejak harga minyak dunia naik semula melepasi USD$100 setong.

Menurut sumber di unit analisa perakaunan, Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK), RON97 turut disubsidi sejak seminggu lepas sebanyak 17 sen.

MINYAK MASAK PUN SERUPA

Rak-rak yang pernah dipenuhi berbotol-botol minyak masak pelbagai jenama tanpa putus, didapati kosong di kebanyakan lokasi penghujung tahun lepas.

Situasi yang serupa berlaku, sebenarnya tiada kekurangan bekalan minyak masak, tetapi ada pihak yang cuba mengaut untung dan kelewatan membekalkan semula minyak menjadi punca kekurangan berlaku.

Keadaan sudah pulih seperti sediakala dengan harga minyak masak yang disubsidi sekitar RM13 sen untuk sebotol 5kg.

"Harganya terkawal dan sentiasa dipantau, rakyat tak perlu bimbang. Kesedaran masyarakat terhadap harga barang memang kami alu-alukan kerana aduan yang mereka buat bila berlakunya penyelewengan aspek harga dan bekalan oleh peniaga, membantu kami membuat tangkapan dan rampasan.

Pemberitahuan sebegini banyak kebaikannya," kata Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Penguatkuasa di KPDNKK Iskandar Halim.

KAWALAN HARGA

Tetapi dari segi realiti, tidak semua barang pengguna dikawal harganya oleh kerajaan.

Kawalan harga ke atas transaksi barang keperluan terbahagi kepada dua jenis iaitu yang dikawal sepanjang masa dan yang dikawal pada musim perayaan.

Ia termasuk gula pasir, petrol RON95, gas petroleum cecair atau LPG, tepung gandum, beras dan minyak masak.

Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Tan Lian Hoe yang hadir pada majlis penutup sebuah Forum Kepenggunaan anjuran KPDNKK Wilayah Persekutuan baru-baru ini, mengingatkan pengguna bahawa selain produk di dalam senarai subsidi, selebihnya ditentukan pasaran dan peristiwa dunia.

"Harga barangan seperti kelapa, cili, bawang dan produk makanan lain tidak dikawal dan bergantung kepada pasaran. Ini termasuk fenomena alam iaitu cuaca dan berlakunya bencana, selain itu elemen meningkatnya permintaan daripada bertambahnya populasi dunia.

"Pengguna perlu menangani krisis kenaikan harga dengan matang dan peniaga pula perlu bersikap tidak mengeksploitasi isu kenaikan harga dan menjalankan semua transaksi perniagaan mereka secara beretika," katanya.

Kenyataan yang tidak dapat dinafikan ialah kos kehidupan kini meningkat, danmemberi kesan kepada kuasa membeli serta mengurangkan kualiti hidup.

TIDAK BIMBANG

Keadaan dunia yang tidak menentu terutama yang menjejaskan negara pengeluar bahan mentah dan bahan makanan turut disalahkan menjadi penyumbang kepada peningkatan harga barang di pasaran dunia.

Rakyat Malaysia juga sedar yang perubahan corak cuaca dunia turut memberi kesan terhadap bekalan dan harga barangan perlu seperti bawang dan kentang.

Oleh itu secara semulajadinya ramai yang membuat jangkaan gempa bumi dan bencana tsunami yang melanda Jepun baru-baru ini sudah pasti mendatangkan kesan ke atas barang pengguna dari negara yang terkenal dengan produk berteknologi tinggi itu.

"Harga barangan di negara ini tidak seharusnya naik semata-mata kerana bencana tsunami dan gempa bumi yang melanda negara Jepun baru-baru ini," kata Menteri KPDNKK Datuk Seri Ismail Sabri mengendurkan kebimbangan pengguna.

Katanya kementerian sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan harga barang pengguna terutama yang berkaitan bahan makanan bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kos kehidupan yang tinggi.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai turut memberikan perhatian kepada keselamatan bahan makanan yang diimport dari Jepun selepas kebocoran yang dilaporkan berlaku di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi.

"Kementerian Kesihatan akan memastikan makanan yang diimport dari Jepun selamat digunakan, tidak terdedah kepada kesan radiasi akibat kebocoran itu," kata Liow.

Malaysia mengimport lebih 48,000 tan metrik produk makanan dari Jepun setiap tahun, kebanyakannya produk laut, buah-buahan, makanan bijirin dan minuman serta makanan dalam tin.

TINDAKAN PENGUATKUASAAN

Akta Kawalan Harga 1946 menjadi asas penguatkuasaan yang diterima pakai KPDNKK.

Pada tahun 2010, sebanyak 963 kes aduan pengguna disiasat dan rampasan yang dibuat bahagian penguatkuasaan bernilai lebih RM790,000.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2009 dengan rampasan sebanyak RM635,000 daripada 777 kes.

Selain itu, terdapat juga Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana lebih 1,300 kes disiasat pada tahun 2010; meningkat sekali ganda berbanding 2009.

Rampasan pula bernilai hampir empat kali ganda berbanding rampasan tahun 2009 dan nilai setinggi RM11 juta yang dicatatkan pada tahun 2010 membuktikan kesungguhan bahagian penguatkuasa KPDNKK mengawal selia perihal harga dan bekalan di negara ini.

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur menasihatkan kaum wanita, yang sememangnya dikenali dengan kebolehan mengurus perbelanjaan seisi rumah, supaya berusaha untuk beroleh pendapatan yang lebih.

"Kaum wanita perlu mengambil kesempatan daripada usaha kerajaan membantu rakyat menjana perolehan yang lebih untuk kehidupan yang lebih sejahtera. Ada program asas tani, asas niaga, asas khidmat dan asas kerja di bawah NKRA yang mengajak rakyat mempertanggungjawabkan diri secara ekonomi.

"Di kementerian ini, bermacam-macam program dijalankan di peringkat negeri dan kebangsaan untuk membantu wanita berkecimpung di dalam bidang perniagaan," kata Dr Noorul.

Program selama 3 hingga 6 bulan ini membantu masyarakat termasuk ibu tunggal menjana pendapatan untuk memastikan hidup mereka sekeluarga lebih selesa dan sekurang-kurangnya mereka mampu mendapatkan keperluan yang paling asas.

HARGA

Kenaikan harga barang makanan tidak terhad kepada Malaysia sahaja. Kenaikan secara mendadak merupakan fenomena global seperti yang ditunjukkan dalam indeks bulanan harga barang makanan dunia untuk bulan Disember 2010 dan Januari 2011.

Menurut kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB yang diumumkan bulan lepas, indeks harga barang makanan melonjak lebih 3.4 peratus dan merupakan catatan tertinggi sejak indeks ini diperkenal pada tahun 1990.

FAO menjangkakan indeks ini akan terus menunjukkan kadar menaik di dalam bulan-bulan yang terdekat ini.

Tambahan pula, kajian FAO mendapati harga makanan dunia meningkat sebanyak 32 peratus pada setengah tahun pertama 2010 akibat faktor cuaca buruk yang melanda negara pengeluar bahan mentah makanan.

Apapun akhirnya pengguna yang akan menentukan bagaimana mereka akan berdepan dengan kenaikan harga. Bijak berbelanja mengikut bajet dan membeli hanya barang yang perlu akan turut membantu menstabilkan harga.

Dan ini akan turut memastikan perubahan harga barang pada waktu-waktu yang tidak dijangkakan, dapat dihadapi dengan lebih matang dan selesa.

- BERNAMA

Setiap Amalan Bergantung Dengan Niat

Hadith:

RASULULLAH saw bersabda yang maksudnya:Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya.

Riwayat Bukhari Muslim

Huraian Hadith:

Peranan niat adalah amat penting dalam kehidupan manusia, kerana niat menentukan segala galanya samaada jujur atau tidak jujurnya, sama ada ikhlas atau tidak iklas seseorang itu atau sebagainya, semuanya bergantung dengan niat.

Ulama' kaum muslimin meletakkan niat itu sebagai rukun pertama dalam semua ibadat. Bahkan untuk membedakan antara ibadat dengan adat hanyalah dengan niat. Jika niatnya baik, baiklah amalannya dan begitulah seterusnya.

Sesuatu perbuatan adat jika diniatkan mengikut tuntunan dan keredaan Allah dan Rasulullah maka ia berubah menjadi ibadat dan mendapat pahala.

Penghijrahan manusia dari satu tempat kesatu tempat dari satu tugas kesuatu tugas. Dari satu hajat kesuatu hajat semuanya akan dilaksanakan mengikut apa yang diniatkan.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Mekanisme menerbangkan belon udara panas


Oleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN

Pada 19 September 1783, seorang saintis dari Perancis, Pilatre De Rozier mengejutkan penduduk bandar Metz apabila dia memperkenalkan belon udara panas pertama di dunia yang digelar Aerostat Reveillon.

Penumpang belon udara panas itu pula terdiri daripada beberapa ekor haiwan seperti kambing biri-biri, itik dan ayam jantan bahkan, belon berkenaan berada kira-kira 15 minit di udara sebelum terhempas ke tanah.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian, nasib tidak menyebelahi De Rozier apabila percubaan untuk menyeberang Selat Inggeris gagal, setelah belon ciptaannya meletup setengah jam ketika berada di ruang udara Wimereux, Perancis sehingga menyebabkan dia terkorban.

Punca kemalangan disebabkan oleh reka bentuk ujikaji ciptaan beliau menggunakan belon hidrogen dan belon udara panas yang diikat bersama-sama.

Biarpun peristiwa hitam kematian De Rozier mengejutkan banyak pihak, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat para intelek memikirkan teknologi terbaik yang lebih selamat dan mengekalkan belon udara panas lebih lama di ruang angkasa.

Jika diteliti reka bentuknya, belon udara panas terdiri daripada sebuah belon atau karung beg yang digelar envelope serta berupaya menampung udara panas dalam jangka masa tertentu.

Tergantung di bawah envelope adalah sebuah gondola atau bakul diperbuat daripada rotan berfungsi sebagai pembawa penumpang serta sumber bahan api bagi menggerakkan belon udara panas.

Pada hari ini, kebanyakan envelope diperbuat daripada fabrik jenis nilon, manakala permukaan mulut belon (skirt) berhampiran penunu gas (burner) diperbuat daripada bahan tahan panas seperti Nomex.

Di Malaysia, pendedahan mengenai belon udara panas bermula sejak 16 tahun lalu melalui penganjuran sukan berkenaan di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Bercerita lebih lanjut mengenai perkembangan sukan udara jenis itu di negara ini, juruterbang belon berpengalaman, Nordin Hussain memberitahu, bahan pembakar yang sesuai digunakan bagi menggerakkannya adalah gas asli cecair (LPG).

“Disebabkan iklim yang agak panas di negara ini, kita cenderung menggunakan bahan pembakar LPG berbanding gas nitrogen yang digunakan secara meluas di negara luar terutama di Eropah.

“Namun, bagi memastikan prestasi penerbangan belon lebih berkuasa, kami menggunakan sebanyak 20 peratus gas nitrogen,” katanya ketika ditemui di Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2011 baru-baru ini.

Program selama empat hari itu dianjurkan oleh Malaysian Sport Aviation Federation (MSAF) dan AKA Balloon Sdn. Bhd., dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj).

Nordin yang juga Naib Presiden Majlis Leisure dan Rekreasi Malaysia (Marfima) berkata, bermula pertengahan 1970-an, sejarah terukir apabila belon udara panas dicipta dalam pelbagai bentuk.

Antaranya hot dogs, kapal angkasa serta beraneka bentuk produk komersial namun, bentuk asal tetap popular dalam kalangan peminat sukan itu.

Menurut Nordin lagi, penganjuran kali ini di Putrajaya juga tidak terlepas dengan pelbagai rupa belon. Antaranya belon berbentuk pokok dari Amerika Syarikat, watak kartun Doremon (Jepun) dan watak filem Drath Vader (Perancis).

“Sebanyak 27 belon udara panas daripada 14 buah negara yang dihiasi dengan pelbagai corak dan bentuk mewarnai ruang udara Putrajaya. Daripada jumlah itu, sebanyak tiga buah belon dari Malaysia.

“Selain itu, kebanyakan belon yang terdapat di negara ini diimport dari United Kingdom termasuk bakul rotan,” dedahnya yang aktif dengan sukan tersebut sejak tahun 1995.


Teknologi belon udara panas

Dalam pada itu, menyentuh aspek teknologi yang digunakan agak mudah namun, peminat sukan ini perlu mengeluarkan modal yang agak besar memandangkan hampir semua peralatannya diimport dari luar negara.

Menurut Nordin, berat tangki termasuk gas kebiasaannya sekitar 25 hingga 30 kilogram (kg) yang diletakkan bersama penumpang dan juruterbang di dalam bakul rotan.

Selain itu katanya, sumber tenaga daripada burner berfungsi seperti enjin kepada belon udara panas malah, terdapat pelbagai burner digunakan, antaranya jenis tunggal, sepasang dan sistem burner segi empat.

Ada juga peminat sukan udara ini berpendapat, sistem dua burner paling popular kerana ia mampu bergerak lebih pantas bahkan, burner boleh ditambah bergantung kepada bentuk dan berat belon.

“Ia juga bergantung pada saiz belon, bakul dan bilangan penumpang. Bukan itu sahaja, belon standard boleh dinaiki di antara dua hingga tiga orang manakala, belon yang lebih besar mampu dinaiki sehingga empat orang.

“Memandangkan cuaca di negara kita agak panas, kaedah menaikkan envelope agak berlainan. Pada peringkat awal, kita akan menggunakan kipas elektrik berkuasa tinggi bagi mengembangkan envelope sebelum burner digunakan,” ujarnya.

Tambahnya, selain kemahiran mengendalikan belon udara panas, seorang juruterbang itu perlu mempunyai kepakaran melihat keadaan cuaca seperti bentuk awan, kelajuan angin dan sebagainya.

“Beberapa keadaan yang tidak membenarkan belon udara panas beroperasi iaitu dalam keadaan hujan, kelajuan angin melebihi 15 knot dan cuaca yang sangat panas.

“Untuk mendaratkan belon ini, ia memerlukan kawasan terbuka tanpa ada sebarang halangan seperti kabel elektrik, telefon atau pokok,” katanya.

- KOSMO!

Budak tiga tahun miliki berat 59.87kg


BEIJING, China - Seorang kanak-kanak, Lu Hao yang berusia tiga tahun memiliki berat sebanyak 59.87 kilogram (kg), lima kali lebih berat daripada kanak-kanak seusia dengannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Hao yang dilahirkan normal dengan berat badan hanya 2.6kg.

Bagaimanapun, dia membesar dari semasa ke semasa sehingga mencecah usia tiga bulan sehingga tubuhnya gemuk dan setinggi 107 sentimeter.

Selera makan kanak-kanak yang berasal dari wilayah Guangdong itu cukup tinggi apabila dia boleh menghabiskan tiga mangkuk nasi semasa waktu makan.

Menurut bapanya, Lu Yuncheng, tabiat pemakanan Hao lebih besar berbanding dia dan isterinya.

Keluarga Hao dilaporkan cuba untuk memantau amalan diet anaknya sejak dia berusia setahun.

Jelas ibu Hao, Chen Yuan, dia dan suami sebaliknya terpaksa akur dengan kehendak anaknya yang akan menangis tanpa henti jika tidak diberi makanan.

Keluarganya juga memasang jaring bola keranjang di halaman rumah dan membawa Hao melakukan aktiviti renang di sebuah sungai berhampiran bagi menggalakkan Hao melakukan aktiviti sukan supaya badannya kurus.

Namun, latihan yang dilakukan oleh Hao hanya membuatkan dia menjadi lebih lapar selain berat badan kanak-kanak itu terus meningkat.

Yuncheng telah membawa Hao ke hospital sebanyak tiga kali.

Seorang doktor menyatakan anaknya itu mengalami tumor di kepala manakala dua doktor lain menyatakan dia tidak mempunyai tumor.

Doktor juga mendakwa hormon kanak-kanak itu normal. Cuma, mereka tidak tahu punca Hao menjadi gemuk.

"Harapan terbesar kami adalah untuk melihat Hao kurus suatu hari nanti," jelas ibunya.

- Agensi

Mazra Ayu Ramli - Usahawan tudung online


Kegemaran membeli tudung secara online telah membuka hati Mazra Ayu Ramli,29, untuk menceburi perniagaan ini. Walaupun ia hanyalah pekerjaan sampingan yang diusahakan bersama suami tercinta, Syariman Rahmat melalui blog tetapi sambutan yang diberikan pelanggan amat menggalakkan.

Jelas ibu muda ini, pada peringkat permulaan dia hanya menjual selendang sahaja, tetapi apabila mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan dia mula menjual tudung siap pakai syria dan denim.

Menurutnya, tudung yang menggunakan material denim paling mendapat sambutan pada waktu ini kerana ia selesa dan sesuai digayakan dengan pelbagai jenis pakaian.

Jelas beliau, tudung yang diperolehinya di sekitar Kuala Lumpur dan juga Kelantan turut mendapat sentuhan rekaan daripada daya imaginasinya sendiri.

"Kebanyakan tudung turut mendapat sentuhan reka bentuk berdasarkan kesesuaian dan permintaan pelanggan di samping penggunaan fabric lycra, denim, cotton velvet dan T-shirt yang berkualiti tinggi," katanya yang memulakan perniagaan tersebut sejak tiga tahun lalu.

"Terdapat hampir 40 jenis rekaan tudung dengan pelbagai corak ataupun kosong dengan gabungan warna yang menarik dalam bentuk 'U' mahupun 'V' dipamerkan di dalam blog," katanya.

Ditanya rahsia sambutan menggalakkan daripada pelanggan jelasnya, kualiti menjadi keutamaannya. Dia juga memastikan setiap tudung yang dijual adalah rekaan terbaru dan masih belum diketengahkan.

Selain gambar-gambar yang diletakkan di dalam blog juga sangat menarik dan sentiasa dikemas kini, beliau juga menunjukkan demonstrasi cara-cara memakai selendang.

Sebarang maklumat mengenai rangkaian tudung ini, sila layari miastuffz.blogspot.com atau facebook miastuffz.

Lepasan PISMP - Generasi baru perguruan


Graduan sulung Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang kini telah mula berkhidmat sebagai pendidik diharap dapat membawa perubahan serta menjadi sebahagian daripada pemacu kepada kegemilangan pendidikan di negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, kemenjadian guru keluaran sulung yang dilahirkan oleh Institut Pendidikan Guru (IPG) ini akan menjadi penanda aras untuk dinilai oleh masyarakat dalam memberikan kepercayaan mereka terhadap tugas yang akan dilaksanakan oleh para graduan.

"Gunakanlah pemikiran kritis dan kreatif yang diperoleh semasa pembelajaran di bilik kuliah atau semasa menimba pengalaman dalam pelbagai aktiviti luar kampus seperti praktikum dan pengalaman berasaskan sekolah untuk dicurahkan kepada anak didik masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Keempat Majlis Konvokesyen PISMP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, baru-baru ini.

PISMP yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran (KPM) pada 2007 itu melibatkan seramai 1,987 pelajar yang ditempatkan di 27 buah IPG seluruh negara dan kumpulan pertama ini telah berjaya menamatkan pengajian mereka pada November 2010.

Kesemua graduan ini telah pun ditempatkan di sekolah-sekolah rendah seluruh negara bermula pada 7 Februari lalu.

Menurut Abdul Ghafar, pendidik dan pendidikan amat perlu serta relevan sepanjang masa kerana ia elemen utama untuk membina dan membentuk kemanusiaan.

"Guru seperti para graduan hari ini perlu mempertingkat dan melengkapkan diri dengan kemahiran asas sebagai pendidik seperti memahami konsep pengetahuan kandungan pedagogi.

"Semua guru hendaklah sentiasa siap siaga dengan ilmu, kemahiran serta seni pengajaran dan juga pengetahuan kandungan serta perlu mencari, meneliti dan membuat penyelidikan agar ilmu pengetahuan dapat dipertingkatkan jika terdapat kekurangan," katanya.

Beliau memberitahu, konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi seseorang guru amat penting bagi mencari, mengkaji dan menyelidik ilmu dan kemahiran pengajaran bagi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak didik mereka.

"Para guru perlu peka bahawa kemahiran mendidik sentiasa berubah dan bertambah serta disesuaikan dengan perubahan semasa dan persekitaran.

"Jika usaha tidak dibuat untuk bergerak serentak dengan perkembangan ilmu, maka para guru akan ketinggalan dalam banyak hal terutamanya dalam aspek pembangunan manusia.

"Oleh itu, diharap agar semua guru yang telah lulus pengajian di IPG tidak merasakan mereka telah mempunyai ilmu yang cukup sebaliknya terus meneroka ilmu dan pengalaman bagi memastikan diri sentiasa kemas kini dengan perkembangan serta teknik menyampaikan ilmu," jelasnyanya.

Terangnya lagi, cabaran guru pada masa kini lebih berat berbanding dahulu di mana guru hanya mengajar tulis baca bagi mengatasi masalah buta huruf.

"Masyarakat kini memerlukan guru yang lebih berkualiti tinggi dari sudut keilmuan dan sahsiah, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

"Saya amat yakin bahawa guru mempunyai keupayaan untuk membentuk personaliti kukuh di kalangan muridnya ditambah dengan bentuk latihan persediaan yang diterima sebelum menyertai PISMP ini," ujarnya.

Hal ini, jelasnya, dibuktikan oleh inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah berjaya meningkatkan taraf pendidikan dan prestasi pencapaian murid sekolah kebangsaan tahun lalu.

- UTUSAN

Import alat ganti terpakai diharamkan

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kerajaan akan mengharamkan pengimportan barangan alat ganti dan komponen kereta terpakai secara berperingkat-peringkat mulai 1 Jun depan bagi melindungi industri tempatan dan memelihara keselamatan pemandu

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Rebecca Fatima Sta Maria berkata, bagi fasa pertama, empat alat ganti dan komponen import yang dikategorikan paling kritikal menjejaskan industri akan diharamkan.

Katanya, keempat-empat komponen itu adalah pencengkam brek, penggalas brek, tayar dan bateri.

Menurut beliau, pengharaman itu dilaksanakan setelah mengambil kira pandangan industri dan para pengusaha bengkel tempatan.

''Pengharaman ini bagi memastikan kualiti barangan alat ganti dan komponen berada dalam piawaian yang ditetapkan.

''Fasa kedua pengharaman alat ganti dan komponen terpakai itu dalam proses perbincangan dan akan dimaklumkan kemudian,'' kata beliau selepas menghadiri mesyuarat bersama pemain industri automotif di sini, hari ini. Turut hadir pada majlis ialah Presiden Gabungan Persatuan Peniaga Alat Ganti Kejuruteraan dan Kenderaan Malaysia (FEMPTAM), Lim Wei Fook.

Kerajaan pada 28 Oktober 2009 lalu memutuskan pengharaman pengimportan alat ganti dan komponen terpakai secara berperingkat-peringkat melalui penilaian semula Dasar Automotif Kebangsaan (NAP).

Keputusan itu bertujuan memastikan keselamatan jalan raya terjamin selain melindungi pengeluar alat ganti dan komponen terpakai.

Perangkaan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) pada tahun lalu mendapati sebanyak 15 juta kenderaan berada di jalan raya di negara ini melebihi usia 10 tahun.

Ketika ditanya kemungkinan pengharaman itu akan menjejaskan industri pengeluar alat ganti kereta tempatan, Rebecca menjawab, perkara itu tidak berlaku tetapi sebaliknya akan meningkatkan pengeluaran tempatan.

Beliau menambah, jangka hayat minimum alat ganti tempatan antara lima hingga 10 tahun.

Sementara itu, Wei Fook ketika memberikan pandangannya berkata, lebih 5,000 pengendali bengkel di negara ini dijangka terjejas sedikit dalam perniagaan masing-masing berikutan pengharaman itu.

Katanya, pendapatan tahunan kesemua pengendali itu kira-kira RM12 bilion setahun dan ia merupakan penjana pertumbuhan ekonomi yang sangat besar kepada negara.

''Ia akan memberi impak besar kepada ekonomi negara berikutan pengguna pada waktu ini banyak bergantung kepada alat ganti dan komponen terpakai import yang ternyata 10 kali ganda lebih murah berbanding yang baru,'' ujarnya.

- UTUSAN

Sarapan baik untuk minda


Sarapan yang baik akan menyediakan tenaga segera untuk sel-sel otak berfungsi pada waktu pagi. Ia juga mengelakkan tubuh menjadi lesu.

Sebaliknya, ramai yang memilih makanan atau snek yang kurang berkhasiat dan berkalori tinggi untuk bersarapan. Sesetengah orang percaya mereka boleh menggantikan sarapan pagi yang tertinggal dengan mengambil kuantiti yang banyak pada waktu makan tengah hari.

Malah ada juga yang berpendapat mereka boleh mengurangkan berat badan dengan meninggalkan sarapan pagi. Hakikatnya tanpa disedari mereka boleh mengekalkan berat badan dengan amalan sarapan pagi yang kaya protein dan serat.

Contoh kombinasi sarapan yang berkhasiat ialah telur rebus, sebiji buah oren dan semangkuk bijirin. Bersarapan dengan susu rendah lemak atau sekeping roti penuh bijirin dengan mentega kacang, potongan lobak merah dan yogurt rendah lemak juga antara amalan yang sihat,

Secara umum, wanita Malaysia yakin dan prihatin dengan kepentingan mengalas perut dengan sarapan pagi yang berkhasiat untuk diri dan keluarga.

Meskipun sebahagian besar wanita bandar terdiri daripada mereka yang bekerja, namun kesibukan mengimbangkan masa antara urusan tugas, rumah dan keluarga bukan alasan mengabaikan sarapan.

Rumusan tersebut dibuat berdasarkan tinjauan ke atas sepuluh orang wanita yang bekerja sama ada bujang atau sudah berkahwin. Mereka berumur di antara 27 hingga 33 tahun dan menetap di sekitar Kuala Lumpur.

Alternatif mudah

Sarapan pagi yang disediakan sendiri lebih berkhasiat berbanding membelinya. Bagi yang ingin melawan kesibukan pada waktu pagi, roti dan susu adalah pilihan ideal yang paling ringkas.

Sesekali pada hari minggu, Hartini Yahya akan menunaikan permintaan anak-anaknya untuk bersarapan di luar, sekali gus dapat bermesra dengan keluarga serta menghilangkan tekanan.

Menurut seorang ibu kepada dua anak kecil, melihat anak gembira memang cukup berbaloi asalkan mereka makan sarapan.

Tetapi pada hari lain, Penolong Setiausaha di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu akan memastikan anaknya dibekalkan dengan sarapan yang dimasak sendiri.

Kesibukan sebagai pegawai perubatan tidak menghalang seorang lagi ibu muda untuk menekankan kepentingan sarapan kepada anaknya yang berusia tujuh dan empat tahun sebelum ke sekolah.

Dr. Rohaya Abdul Razak akan memastikan ahli keluarganya bersarapan dengan makanan yang disediakan di rumah seperti bijirin dengan susu, telur atau bihun goreng.

Bagaimanapun, beliau sama sekali tidak akan membawa anaknya ke restoran makanan segera untuk bersarapan kerana menganggap makanan segera mempunyai kandungan lemak yang terlalu tinggi.

Rakannya, seorang pengurus syarikat telekomunikasi, Shakila Imran juga enggan membenarkan anak-anaknya makan makanan segera yang disifatkan terlalu berminyak dan tiada sayur-sayuran.

Beliau menolak untuk menjadikan makanan segera sebagai hadiah atau insentif kepada anak-anaknya. Sebaliknya Shakila lebih gemar memasak sendiri jika anak-anaknya meminta makanan segera seperti kentang goreng termasuk hash brown, burger dan nugget.

Anak Shakila telah terbiasa dengan rutin menghabiskan susu yang disediakan setiap pagi sebelum ke sekolah atau tadika.

Ia cukup mengenyangkan mereka sehingga waktu rehat sekali gus menyediakan makanan seimbang yang penting sebagai permulaan hari yang baik.

Jika teringin untuk bersarapan di luar pada hujung minggu, Shakila lebih selesa memilih kedai biasa seperti kedai mamak untuk menjamu makanan seperti tose atau capati yang kurang berminyak.

Perkembangan minda

Khasiat daripada sarapan telah terbukti memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan minda dan sahsiah manusia terutama bagi kanak-kanak.

Satu daripada kajian yang menyentuh isu tersebut ialah Relationship Between Hunger and Psychosocial Functioning in Low-Income American Children yang disiar dalam Journal of the American Academy of Child and Adolescent Psychiatry pada Februari 1998.

Ia membuktikan bahawa pelajar sekolah yang bersarapan setiap pagi mendapat keputusan yang lebih baik dalam ujian standard, bersikap lebih sopan dan kurang hiperaktif berbanding pelajar-pelajar yang tidak bersarapan.

Bagaimanapun, sarapan yang manis seperti bijirin yang bergula, penkek dan sirap maple biskut cip coklat perlu dielakkan kerana ia akan menyebabkan mereka cepat lapar, mudah meragam dan makan lebih banyak pada waktu tengah hari.

Sama seperti kanak-kanak, pelajar dan orang dewasa juga menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam akademik dan kerja jika mereka memulakan hari dengan bersarapan.

- Bernama

Recent Posts