Selasa, Mac 08, 2011

Hanya 30 peratus rakyat guna perpustakaan

Hanya 30 peratus rakyat di negara ini menggunakan perpustakaan dan kebanyakannya adalah pelajar, sedangkan kadar celik huruf melebihi 90 peratus.

Petunjuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) itu hakikatnya belum lagi menepati kriteria sebenar masyarakat berilmu diinginkan.

Menyedari hakikat itu, kerajaan memperuntukkan RM1.8 juta bagi menjayakan pelbagai kempen membaca terutama di luar bandar termasuk Jelajah Kelab Membaca Sinar Pintar ke perpustakaan desa terpilih di seluruh negara.

Selain itu adalah perkhidmatan pintu ke pintu selain beberapa lagi aktiviti yang berkaitan.

Bagi membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan perpustakaan desa sahaja, kerajaan membelanjakan RM150 juta dari 2005 hingga 2007.

Bermula dengan pembinaan 50 perpustakaan desa pada 2007, kini terdapat sebanyak 1,089 buah keseluruhannya. Daripada jumlah itu, 925 buah dibekalkan dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Bagaimanapun, matlamat menerapkan budaya membaca dan melahirkan masyarakat berilmu seolah-olah masih jauh untuk dicapai.

Lihat sahaja di sekeliling kita terutama apabila menggunakan pengangkutan awam atau semasa menunggu seseorang di restoran.

Kebanyakannya hanya membazirkan waktu begitu sahaja dengan 'bermain' telefon bimbit. Jarang sekali melihat mereka membaca buku.

Sama ada disedari atau tidak, hidup kita sentiasa dikawal oleh tabiat. Tabiat membentuk gaya kehidupan individu - positif atau negatif.

Mengulas perkara ini, Felo Amat Utama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady berkata, dalam mengejar kejayaan, individu harus membina dan mengawal tabiat diri.

Katanya, walaupun membaca adalah tabiat yang menjadi asas kecemerlangan hidup seseorang itu, namun ramai di kalangan masyarakat terutama orang Melayu lebih tertarik dengan pelbagai bentuk hiburan.

"Ini tabiat yang perlu kita perbetulkan bagi menggelakkan keadaan lebih mendatangkan kesan negatif kepada pembentukan peribadi dan moral masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.

Kanak-kanak lebih tahu menghargai buku

Kajian terhadap tabiat membaca di kalangan pengguna perpustakaan desa mendapati, kanak-kanak lebih menghargai buku apabila mereka merupakan golongan teramai mengunjunginya.

Soal selidik ke atas 800 pengguna perpustakaan desa di seluruh negara oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan, responden 10 hingga 12 tahun tertinggi iaitu 263 orang atau 33 peratus.

Ini diikuti responden 13 hingga 19 tahun iaitu 254 orang (31.7 peratus), 20 hingga 40 tahun (25.7 peratus), 41 hingga 50 tahun (7.6 peratus) dan 16 responden, 51 tahun ke atas.

Responden paling ramai pula kaum Melayu iaitu 96 peratus (768 orang) diikuti Cina, 2.6 peratus (21 orang), India, 1.1 peratus (sembilan orang) dan lain-lain (tiga orang).

Sebanyak 97 peratus atau 773 orang responden suka membaca manakala tiga peratus tidak suka membaca.

Terdapat empat tujuan utama membaca iaitu menambah ilmu (34.3 peratus), mengisi masa lapang (26.6 peratus), tujuan pembelajaran (19.6 peratus) dan mendapatkan keseronokan (15.7 peratus).

Hanya 51 orang yang memilih membaca untuk tujuan pekerjaan.

Seramai 699 (70 peratus) responden memilih bahan bacaan bercetak seperti buku dan majalah sebagai bacaan digemari, 225 orang (22 peratus) memilih bacaan dalam talian.

Walaupun kajian ini meliputi ahli perpustakaan desa namun terdapat kelompok responden yang mengakui tidak suka membaca (27 orang).

Antara alasan atau faktor diberi ialah tiada masa lapang (lima orang) dan lebih berminat kepada aktiviti lain (22 orang).

Perlu dinyatakan, keahlian perpustakaan desa di seluruh negara ketika ini adalah kira-kira 1.3 juta orang.

- UTUSAN

Kisah Nabi Harun a.s

HARUN adalah abang kandung Nabi Musa. Kisahnya dalam al-Quran selalu disebut bersama dengan kisah adiknya itu. Baginda mendampingi Nabi Musa menemui Firaun untuk meminta agar Firaun melepaskan Bani Israil daripada perhambaan.

Mereka menyampaikan wahyu daripada Allah kepada raja Mesir itu dan mengingatkannya serta meluruskan jalan hidupnya yang melampaui batas (tidak rela melepaskan Bani Israel daripada perhambaan) serta menyimpang daripada ajaran Allah SWT.

Dengan lemah lembut, Musa dan Harun menghadapi keangkuhan Firaun yang mengaku dirinya Tuhan. Akhirnya, Musa dan Harun berjaya membawa keluar Bani Israil dari Mesir.

Ketika sampai di sekitar Gunung Sinai, Nabi Musa meninggalkan Bani Israel selama 40 hari untuk menemui Tuhan di puncak Gunung Sinai.

Harun ditugaskan menjaga kaumnya. Baginda sempat mengingatkan mereka agar tidak menyembah berhala lagi.

Ketika Musa masih berada di Gunung Sinai, Harun mendatanginya.

Setelah mendapatkan tugas dan perintah daripada Allah SWT, kedua-duanya segera berangkat ke Mesir. Dengan ketabahan dan keteguhan iman, mereka menemui Firaun di istananya.

Dalam pertemuan itu, Nabi Musa menyampaikan wahyu Allah SWT kepada Firaun dan meminta agar Firaun membebaskan Bani Israel daripada perhambaan.

Harun memiliki kemampuan berbahasa lebih fasih daripada adiknya. Oleh hal demikian itu, Musa memohon kepada Allah SWT agar mengutuskan Harun mendampinginya menemui Firaun. Permohonan itu bermaksud untuk membenarkan kata-kata yang disampaikan Musa, kerana baginda khuatir Firaun tidak mahu menerima kata-katanya.

Harun diangkat oleh Allah SWT menjadi nabi dan rasul untuk membantu tugas kerasulan Nabi Musa a.s.

Ketika hendak mendatangi Firaun, mereka diperintahkan oleh Allah agar mengaku sebagai utusan Allah kepada Firaun. Mereka menghadap Firaun dengan membekalkan bukti-bukti kerasulan mereka daripada Allah.

Bani Israel menyembah patung lembu yang diperbuat daripada emas dan melupakan Tuhan ketika Musa berada di puncak Gunung Sinai untuk bertemu Tuhan. Harun tidak berdaya menggalas tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Nabi Musa.

Ketika hendak menerima wahyu Allah SWT di Gunung Sinai, Harun diserahkan untuk memikul amanah oleh Musa untuk memimpin Bani Israel. Selama ditinggalkan oleh Musa, kaumnya membuat kekacauan.

Dalam suasana itu, muncul Samiri yang mengaku layak menjadi pemimpin Bani Israil. Dia membuat patung anak lembu emas sebagai sembahan. Melihat kaumnya yang kufur itu, Harun berusaha mengingatkan akan kesesatan mereka. Baginda berusaha menghentikan kekufuran kaumnya, namun hati mereka benar-benar keras.

Setelah pulang dari Gunung Sinai, Musa marah kepada kaumnya dan menegur abangnya, Harun.

Oleh sebab berasa marah dan sedih, seperti dikisahkan di dalam al-Quran, Musa melemparkan 'loh-loh' (Taurat) yang baru diterimanya daripada Allah dan memegang rambut Harun, sambil menariknya ke arahnya.

Sesudah amarahnya reda, barulah diambilnya kembali 'loh-loh' (taurat) itu, kerana di dalam tulisan Taurat itu terdapat petunjuk dan rahmat untuk orang-orang yang takut kepadanya.

Nabi Harun a.s wafat terlebih dulu daripada Nabi Musa a.s dan dimakamkan oleh Nabi Musa a.s di Bukit Hur (Jabal Harun) di Semenanjung Sinai.

- UTUSAN

Panduan tahap keselamatan pada zon Internet Explorer (IE)

Bagaimanakah cara untuk memastikan pelayar web Internet Explorer selamat digunakan?
Dalam program Internet Explorer (IE) terdapat empat bahagian tahap keselamatan yang anda boleh konfigurasikan iaitu bahagian Trusted, Restrict, Internet dan Intranet atau setempat. Ia bergantung kepada zon mana anda mengetahui status keselamatan atau percaya kepada laman-laman web yang akan dilayari menerusi IE.

Konfigurasi ini juga dikenali sebagai zon keselamatan yang boleh dikonfigurasikan dalam menu keselamatan pada program IE.

Konfigurasi ini membolehkan anda melayari laman web di Internet menggunakan program IE dengan lebih selamat.

Seterusnya diperincikan langkah-langkah konfigurasi tersebut iaitu:-

* Klik pada butang Tools yang terdapat pada menu di atas program IE.

* Klik pada butang Internet Options atau Option yang terdapat di menu Tools.

* Apabila tetingkap Internet Options dibuka, klik pada tab Security.

* Di sini anda boleh membuat pilihan untuk salah satu zon keselamatan program IE iaitu sama ada Internet, Local Intranet, Trusted Site atau Restricted Site Zones untuk anda konfigurasikan.

* Untuk mengkonfigurasikan kesemua jenis zon keselamatan tersebut, anda boleh memilih pilihan untuk konfigurasi secara lalai iaitu konfigurasi yang telah ditetapkan oleh pihak Microsoft pada IE sekiranya tidak mahir.

Ini boleh dilakukan dengan memilih dan klik pada menu Default Level untuk setiap zon atau klik pada menu Reset all zones to default level.

* Zon keselamatan yang penting adalah pada zon Internet.

Pada zon ini anda boleh menetapkan tahap keselamatan ketika melayari Internet iaitu sama ada memilih tahap Medium, Medium-high atau High.

* Di samping itu, disetiap zon keselamatan ada pilihan untuk kita konfigurasikan keselamatan pelayar web secara manual atau kendiri iaitu pada menu atau butang Custom Level. Pastikan anda mengetahui berkenaan apa yang anda konfigurasikan pada menu ini.

Tahap keselamatan pada zon internet IE

Medium- Tahap pelayaran web di Internet secara selamat dan ada fungsi-fungsi tertentu boleh dilarikan tetapi akan ada paparan amaran terlebih dahulu seperti memuat turun sesuatu kandungan yang berpotensi tidak selamat.

Tidak akan memuat turun sebarang program komputer yang mempunyai kawalan Active X kecuali dimasukkan konfigurasinya secara manual ke dalam menu Custom Level.

Medium-high- Tahap pelayaran web di Internet secara selamat dan sesuai untuk hampir kesemua laman web yang ada Internet.

Seperti pada tahap Medium, paparan amaran akan ada sebelum sesuatu kandungan yang berpotensi tidak selamat dimuat turun dan tidak akan memuat turun sebarang program komputer yang mempunyai kawalan Active X.

High - Tahap pelayaran web di Internet paling selamat dalam IE. Ia sesuai digunakan untuk menyekat pelayaran laman-laman web yang kandungannya boleh mendatangkan kerosakan kepada komputer.

Konfigurasi keselamatannya secara lalai adalah pada tahap yang maksimum dan dengan itu banyak fungsi lain pelayaran web tidak dapat dijalankan.

Bagi program IE yang versi lama, ia mempunyai tahap seperti Low dan Medium Low. Tahap-tahap ini sudah tidak ada lagi dalam program IE versi yang baru.

Pada menu Internet Options juga terdapat menu atau butang Privacy.

Pada fungsi Privacy ini juga terdapat pilihan tahap keselamatan untuk zon Internet iaitu Accept All Cookies, Low, Medium, Medium-High, High dan Block All Cookies.

Cookies ini adalah satu cara untuk laman-laman web mendapatkan maklumat berkenaan dengan sesiapa sahaja yang melayari laman web mereka.

Biasanya kita set pada pilihan Medium sahaja untuk menu Privacy ini bagi mendapatkan tahap keselamatan pelayaran web yang baik.

Di samping itu, terdapat juga fungsi Sites, Import dan Advance untuk mengkonfigurasikannya secara manual dan lebih spesifik lagi.

Pastikan anda mengetahui tentang apa yang anda konfigurasikan. Terdapat juga fungsi Default untuk anda dapatkan konfigurasi yang telah ditetapkan oleh pihak Microsoft.

Pada menu privacy ini juga terdapat fungsi Pop-up Blocker dan InPrivate untuk mengukuhkan lagi tahap keselamatan pelayar web IE pada bahagian Privacy ini.

Pop-up Blocker akan menghalang mana-mana tetingkap atau window yang akan dibuka secara automatik ketika sedang melayari mana-mana laman web.

Manakala, InPrivate pula terdapat dua fungsi pilihan iaitu InPrivate Filtering dan InPrivate Browsing. Fungsi InPrivate Browsing akan menghilangkan atau tidak menyimpan jejak-jejak pelayaran Internet, Fail sementara, data, Cookies, kata laluan dan kata nama pada pelayar web IE.

Fungsi InPrivate Filtering pula digunakan untuk melihat dan menghalang kandungan web daripada pihak ketiga berada pada bilangan yang banyak ketika sedang melayari sesebuah laman web. Fungsi ini dinyah aktifkan secara lalai dan perlu diaktifkan bagi setiap sesi sekiranya mahu menggunakannya.

Akhir sekali, pastikan program IE yang anda gunakan adalah versi yang terkini dan dikemaskinikan sentiasa menerusi laman web Microsoft.

Inilah perkara-perkara asas keselamatan yang perlu diketahui dalam menggunakan program pelayar web IE untuk melayari laman web di Internet.

- UTUSAN

Risiko penghidap diabetes mati awal

Kencing manis atau diabetes dipercayai meningkatkan risiko kematian yang dikaitkan dengan saluran darah seperti kanser payu dara dan radang paru-paru.

Kes yang pernah dirujuk kepada sebuah pusat kesihatan di New York membuktikan penghidap diabetes yang berusia 50 tahun meninggal dunia enam tahun lebih awal berbanding individu yang tidak menghidap penyakit itu.

Kajian yang dijalankan untuk menyukat tahap diabetes itu mendapati penyakit tersebut turut meningkatkan risiko kematian pramatang yang disebabkan kegagalan fungsi sistem saluran darah.

Ujar seorang penyelidik dari Universiti Cambridge di Britain, Dr. John Danesh, diabetes semakin mengancam kesihatan masyarakat dunia.

"Ketika kebanyakan orang beranggapan masalah jantung menjadi punca utama kematian, diabetes pula mengejutkan kita apabila muncul sebagai pemangkin utama kepada penyakit lain di dalam tubuh manusia," katanya.

Tambahnya, perokok jangka panjang juga menjadi penyebab pengurangan jangka hayat manusia selama 10 tahun berbanding individu yang tidak merokok.

Diabetes tersenarai sebagai tujuh penyakit utama penyebab kematian di Amerika dengan 26 juta rakyatnya menghidap penyakit itu.

Diabetes terjadi apabila kadar insulin dalam badan dihasilkan terlalu sedikit atau langsung tidak boleh digunakan untuk menghasilkan gula dalam darah.

Selain itu, diabetes dikaitkan dengan obesiti melampau yang menyebabkan risikonya bertambah dua kali ganda untuk pesakit diserang lemah jantung atau strok.

Namun, mereka juga mendapati 25 peratus pesakit diabetes lebih berisiko menderita kanser dan maut akibat kehadiran pelbagai penyakit lain termasuk jangkitan, komplikasi jantung dan buah pinggang selain kemalangan.

Dalam kes jangkitan penyakit berbahaya, diabetes melemahkan sistem imunisasi badan pesakit sekali gus memudahkan peluang virus menyerang sistem tubuh.

Diabetes juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan kegagalan sistem saraf pada kaki seterusnya mendorong seseorang itu terlibat dalam kemalangan.

- KOSMO!

Burger gergasi untuk hidangan pelanggan


NORWICH - Satu burger gergasi yang didakwa terbesar di Britain mengandungi 13,000 kalori menjadi menu hidangan tengah hari di Restoran Over De Flames, Norwich, lapor sebuah akhbar semalam.

Mempunyai diameter berukuran 30 sentimeter, burger yang diberi nama Over de Flames itu mengandungi tiga kilogram daging lembu dan 40 keping keju serta dihidang bersama sos tomato, mayonis, dua biji bawang, tiga biji tomato dan salad.

Pemilik restoran itu, Sudeep De yang mewarisi perniagaan daripada bapanya pada bulan September tahun lalu mendapat inspirasi menghasilkan burger gergasi itu selepas menonton rancangan televisyen Amerika yang bertajuk Man v Food.

Burger Over De Flames itu berharga £30 (RM148.70) tetapi ia percuma jika pelanggan berjaya menghabiskan makanan itu dalam masa dua jam.

Dia kini menawarkan £200 (RM989.70) kepada sesiapa yang berjaya menyahut cabaran menghabiskan burger tersebut.

Sehingga kini hanya 26 orang yang tampil untuk mencuba menghabiskan burger dan hidangan sampingan seperti kentang goreng.

Namun, mereka semuanya gagal untuk menghabiskan burger tersebut.

- Agensi

Ahad, Mac 06, 2011

Hari ATM - Rahsia negara tanggungjawab bersama

Oleh JENERAL TAN SRI DATUK SRI AZIZAN ARIFFIN
Panglima Angkatan Tentera Malaysia

Perubahan ke atas persekitaran strategik, perkembangan teknologi maklumat dan revolusi dalam hal ehwal ketenteraan telah mencorakkan wajah peperangan masa hadapan. Sejajar itu, rancangan pembangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah direncanakan secara capability-based yang menyaksikan proses memperkasakan ATM melibatkan perolehan peralatan dan persenjataan baru dibuat secara berperingkat.

Kesinambungannya, ATM sedang giat melaksanakan pelan peningkatan keupayaan angkatan yang merupakan dimensi keempatnya ataupun lebih dikenali sebagai Fourth Dimension Malaysian Armed Forces. ATM yakin usaha ini akan melonjakkan keupayaannya pada masa hadapan dari segi pelaksanaan operasi, cegah rintang yang kredibel serta kelebihan asimetri dan penggandaan kekuatan yang akan mengurangkan jurang keupayaan masa kini.

Sesungguhnya, hanya ketumbukan yang mantap akan dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa ATM benar-benar mampu melindungi kedaulatan dan kepentingan strategik negara. Keprihatinan berterusan kerajaan terhadap keperluan tersebut amat ATM hargai. Hasilnya, dapat dilihat pada hari ini di mana sistem pertahanan negara kini diperkuatkan lagi dengan kehadiran aset-aset kapital pertahanan yang moden dan berteknologi tinggi.

Tujuan pemodenan tersebut bukanlah untuk kita berlumba atau bermegah dengan mana-mana negara, tetapi semata-mata demi menentukan pembangunan ekonomi dan sosial yang stabil, keselamatan dan kedaulatan negara kekal di tahap yang tinggi serta membolehkan kita menyumbang terhadap keselamatan dan kestabilan serantau dengan efektif.

Dalam proses transformasi keupayaan ini, ATM akur akan keperluan untuk berbelanja secara berhemah. Langkah untuk mengubah rancangan perolehan peralatan berdasarkan ancaman (threat-based) kepada keupayaan (capability-based) merupakan satu langkah yang bertepatan. Pembangunan keupayaan secara capability-based mampu mempersiapkan ATM untuk menghadapi ancaman yang lebih meluas (multi spectrum) dengan kos yang lebih rendah.

Sungguhpun demikian, perolehan peralatan ketenteraan dewasa ini bukannya murah, malahan semakin hari semakin meningkat. Ini kerana nilai bagi setiap peralatan dan persenjataan bergantung kepada teknologi yang khusus untuk keperluan ATM serta menghadapi dinamisme perkembangan keselamatan serantau yang mempengaruhi keselamatan negara.

Pihak pengeluar persenjataan dan peralatan lazimnya akan membuat penyesuaian bagi memenuhi keperluan yang digariskan oleh ATM. Pakej sebegini semestinya mempunyai kos yang jauh berbeza dengan peralatan atau persenjataan yang dibeli secara off the shelf (mengikut spesifikasi pihak pengeluar). Kos tersebut belum mengambil kira aspek nilai tambah seperti kos penyelidikan dan pembangunan (R&D), perolehan teknologi, pemindahan teknologi, perkhidmatan sokongan dan sebagainya.

Secara jelas, adalah tidak wajar untuk membuat perbandingan bajet pertahanan sesebuah negara dengan negara-negara lain secara emotional equation tanpa memahami keperluan khusus sebenar negara tersebut, terutama sekali kepada negara-negara membangun. Sebagai pengguna dalam bidang pertahanan yang telah sekian lama mendokong keperluan pertahanan negara, ATM sentiasa mematuhi prosedur yang ketat serta melakukan pertimbangan dan kajian yang terperinci di antara kos dan keupayaan sebelum mengesyorkan setiap rancangan perolehan kepada kerajaan.

Keupayaan pertahanan negara adalah rahsia negara yang perlu dipertahankan oleh setiap lapisan warga Malaysia yang mempunyai akses terhadapnya. Rahsia keupayaan pertahanan negara boleh diibaratkan seperti rahsia keselamatan rumah kita. Melalui pandangan mata kasar, orang luar boleh mengetahui bahawa rumah kita berpagar dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lain.

Namun begitu, mereka tidak akan mengetahui ciri-ciri terperinci mengenai keselamatan dan hal ehwal dalaman rumah kita, jika tidak diberitahu. Apabila rahsia atau ciri-ciri terperinci ini diketahui umum, secara langsung aspek keselamatan dan rahsia dalam rumah kita akan dikompromi dan terdedah kepada pelbagai ancaman seperti jenayah, tohmahan dan fitnah.

Begitulah juga dengan kerahsiaan keupayaan ATM termasuk perolehan kelengkapan, sistem dan teknologi pertahanan tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia akan menjejaskan kesiagaan pertahanan negara dan semangat juang pasukan keselamatan. Sehubungan itu, rancangan pemilikan aset strategik ATM yang merupakan maklumat berdarjah perlu dilindungi kerahsiaannya.

Pendedahan maklumat berhubung keupayaan dan rancangan aset-aset pertahanan negara sewenang-wenangnya, tanpa ada kesedaran tentang implikasi negatif terhadap kewibawaan ATM dan kemampuan pertahanan negara pada masa hadapan, tidak sepatutnya berlaku.

Umum perlu sedar bahawa sebarang kompromi mengenainya akan menjejaskan tahap kesiagaan dan keupayaan ATM dalam melindungi kedaulatan negara. Secara sedar atau tidak, tindakan tersebut juga jelas bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi Negara.

ATM, seperti mana-mana organisasi kerajaan yang lain, mengikuti proses perolehan yang ditetapkan kerajaan. ATM juga akur, sebagai stake-holder, rakyat perlu maklum akan perolehan aset-aset utama pertahanan negara. Namun, ciri-ciri terperinci sistem pertahanan tidak sepatutnya dihebahkan, kerana ia adalah rahsia dan strategi ketenteraan untuk ATM menghadapi musuh ketika krisis atau peperangan.

Pendedahan rahsia tersebut adalah umpama pucuk dicita ulam mendatang kepada musuh, ini kerana bukanlah mudah untuk mendapatkan rahsia negara seumpama ini. Tiada mana-mana negara secara sukarela mendedahkan rahsia ketenteraan mereka, melainkan melalui tindakan pengintipan, sabotaj atau pengkhianatan. Secara sedar atau tidak, usaha keterlaluan dalam mempolemik serta mendedahkan perolehan dan keupayaan ATM, umpama mencemuh dan memperlekehkan pasukan keselamatan.

Harus diingat bahawa pasukan keselamatan inilah yang selama ini telah menjamin kedaulatan dan keselamatan negara semasa era konfrontasi dan darurat. Pasukan keselamatan inilah juga yang akan sentiasa berjuang di masa hadapan demi memastikan negara kita kekal berdaulat dan rakyat hidup dengan aman sejahtera.

Keghairahan mempersenda dan mendedahkan keupayaan sistem pertahanan negara akan meletakkan pasukan keselamatan berada dalam kedudukan yang 'disadvantage', kerana segala rahsianya telah didedahkan. Natijahnya, tindakan mendedahkan rahsia negara seperti ini tersasar jauh daripada semangat patriotisme yang sejati.

- UTUSAN

Barisan Nasional menang di DUN Kerdau dan Merlimau

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau (N27) dan DUN Kerdau (N28) dalam pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan itu hari ini dengan meraih majoriti undi yang lebih besar.

Di DUN Merlimau, calon BN Roslan Ahmad, 44, memperoleh majoriti 3,643 undi menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah, 38. Di DUN Kerdau pula, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, mendapat majoriti 2,724 undi mengalahkan calon Pas, Hassanuddin Salim, 43.

Kejayaan itu meneruskan momentum sokongan rakyat kepada BN selepas pilihan raya kecil Batang Air (April 2009), Bagan Pinang (Oktober 2009), Parlimen Hulu Selangor (April 2010), Galas (November 2010), Parlimen Batu Sapi (November 2010) dan Tenang (Januari 2011).

Bagi DUN Merlimau, majoriti yang diperoleh oleh calon BN meningkat kepada 3,643 undi berbanding Pilihan Raya Umum 2008 sebanyak 2,154 undi. Begitu juga di DUN Kerdau, majoriti undi BN bertambah daripada 1,615 undi pada tahun 2008 kepada 2,724 undi pada pilihan raya kecil kali ini.

Pada pilihan raya kecil ini, BN memenangi kesemua 22 saluran mengundi di DUN Kerdau, manakala 21 saluran di DUN Merlimau.

Kekalahan yang dialami oleh calon Pas pada pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau merupakan kali keempat berturut-turut sejak pilihan raya kecil DUN Galas, November lalu.

Calon Pas di Merlimau, Yuhaizad memperoleh 2,319 undi manakala calon Pas di Kerdau, Hassanuddin mendapat 2,336 undi.

Keputusan Pilihan Raya Kecil N27 itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Merlimau, Roslan Eusoff di Dewan Platinum Politeknik Merlimau di sini, pada pukul 8.15 malam.

Keputusan Pilihan Raya Kecil N28 pula diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman pada pukul 8.30 malam di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh.

Sebanyak 83.2 peratus pengundi DUN Kerdau keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sementara 78.98 peratus keluar mengundi di DUN Merlimau.

Di Dewan Platinum Politeknik Merlimau, calon BN meraikan kemenangan bersama Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Syed Ibrahim pula meraikan kemenangan bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pengumuman kemenangan kedua-dua calon turut dirai dengan sorakan penyokong-penyokong BN yang berada di luar dewan.

- UTUSAN

Iklan Pengambilan Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) Ambilan Jun 2011


* Klik imej untuk lihat lebih jelas.






KURSUS PERGURUAN LEPAS SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
AMBILAN JUN 2011



Kementerian Pelajaran Malaysia mempelawa calon lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti program yang ditawarkan dalam Kursus Perguruan Lepas Sijil Pelajaran Malaysia seperti di bawah :

A. Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) :
. Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Kepujian)

B. Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke Universiti Terkemuka Luar Negara :
. Fizik
. Kimia
. Biologi
. Matematik
. Pendidikan Khas
. Bahasa Cina

C. Program Kembar Bahasa Perancis :
. Bachelor of Arts Degree in Sciences of Language and Information Specializing in Teaching French As Foreign Language

D. Program Kembar Bahasa Jerman :
. Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Jerman Dengan Pendidikan


1. SYARAT DAN KELAYAKAN ASAS

1.1 Warganegara Malaysia.

1.2

Umur tidak melebihi 20 tahun pada 20 Jun 2011 iaitu lahir pada atau selepas 20 Jun 1991.


1.3

Calon hendaklah sihat fizikal dan mental.


1.4 Calon hendaklah aktif dalam kegiatan kokurikulum.

1.5
Mempunyai kelayakan akademik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan cemerlang dalam mana-mana tiga mata pelajaran.


DAN sekurang-kurangnya kepujian dalam tiga mata pelajaran berikut :


1.5.1 Bahasa Melayu


1.5.2 Sejarah


1.5.3 Satu mata pelajaran yang lain serta ;


1.5.4 lulus Bahasa Inggeris

1.6

Memenuhi syarat dan kelayakan khusus bidang pengajian yang dipohon (Rujuk e-Panduan Permohonan).




2. PROGRAM PENGAJIAN YANG DITAWARKAN

2.1 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)


2.1.1
Program ini dikhususkan untuk melatih guru-guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi-institusi lain yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam pelbagai bidang bagi keperluan di sekolah rendah.


2.1.2
Sebagai prasyarat, calon dikehendaki mengikuti Kursus Persediaan selama lapan belas bulan di institut berkenaan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.


2.1.3
Calon perlu lulus Kursus Persediaan sebelum ditawarkan untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan selama empat tahun di Institut Latihan Perguruan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

2.2 Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke Universiti Terkemuka Luar Negara


2.2.1
Program ini ditawarkan kepada calon-calon lepas SPM yang menepati syarat asas dan syarat tambahan yang ditetapkan bagi mengikuti program Ijazah Pertama di universiti terkemuka di luar negara dalam bidang Fizik, Kimia, Biologi, Matematik, Pendidikan Khas dan Bahasa Cina.


2.2.2
Bagi mengikuti Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke Universiti Terkemuka Luar Negara (PPC), calon hendaklah memiliki sekurang-kurangnya, 7 cemerlang termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

2.3 Program Kembar Bahasa Perancis


2.3.1 Program ini terbuka kepada calon yang mempunyai pengetahuan asas bertutur dan menulis Bahasa Perancis serta memiliki sekurang-kurangnya Delf 1.

2.4 Program Kembar Bahasa Jerman


2.4.1 Program ini terbuka kepada calon yang mempunyai pengetahuan asas bertutur dan menulis dalam Bahasa Jerman.



3. BIDANG PENGKHUSUSAN YANG DITAWARKAN:

3.1 Sekolah Kebangsaan (SK)


1. Pendidikan Prasekolah 12. Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah
2. Bahasa Melayu Pendidikan Rendah 13. Pendidikan Khas Masalah Penglihatan Pendidikan Rendah
3. Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua Pendidikan Rendah 14. Pendidikan Sejarah Pendidikan Rendah
4. Bahasa Arab Pendidikan Rendah 15. Pendidikan Bimbingan Pendidikan Rendah
5. Bahasa Tamil (SK) Pendidikan Rendah 16. Pendidikan Islam Pendidikan Rendah
6. Bahasa Cina (SK) Pendidikan Rendah 17. Pendidikan Seni Visual Pendidikan Rendah
7. Bahasa Iban Pendidikan Rendah 18. Pendidikan Jasmani Pendidikan Rendah
8. Bahasa Kadazan Dusun Pendidikan Rendah 19. Reka Bentuk dan Teknologi Pendidikan Rendah
9. Matematik Pendidikan Rendah 20. Pendidikan Pemulihan Pendidikan Rendah
10. Sains Pendidikan Rendah 21. Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah
11. Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Pendidikan Rendah





3.2 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)


1. Pendidikan Prasekolah 10. Pendidikan Sejarah Pendidikan Rendah
2. Bahasa Melayu Pendidikan Rendah 11. Pendidikan Bimbingan Pendidikan Rendah
3. Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua Pendidikan Rendah 12. Pendidikan Islam Pendidikan Rendah
4. Bahasa Cina Pendidikan Rendah 13. Pendidikan Seni Visual Pendidikan Rendah
5. Matematik Pendidikan Rendah 14. Pendidikan Jasmani Pendidikan Rendah
6. Sains Pendidikan Rendah 15. Reka Bentuk dan Teknologi Pendidikan Rendah
7. Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Pendidikan Rendah 16. Pendidikan Pemulihan Pendidikan Rendah
8. Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah 17. Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah
9. Pendidikan Khas Masalah Penglihatan Pendidikan Rendah





3.3 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)


1. Pendidikan Prasekolah 10. Pendidikan Sejarah Pendidikan Rendah
2. Bahasa Melayu Pendidikan Rendah 11. Pendidikan Bimbingan Pendidikan Rendah
3. Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua Pendidikan Rendah 12. Pendidikan Islam Pendidikan Rendah
4. Bahasa Tamil Pendidikan Rendah 13. Pendidikan Seni Visual Pendidikan Rendah
5. Matematik Pendidikan Rendah 14. Pendidikan Jasmani Pendidikan Rendah
6. Sains Pendidikan Rendah 15. Reka Bentuk dan Teknologi Pendidikan Rendah
7. Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Pendidikan Rendah 16. Pendidikan Pemulihan Pendidikan Rendah
8. Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah 17. Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah
9. Pendidikan Khas Masalah Penglihatan Pendidikan Rendah



4. CARA MEMOHON

4.1
Permohonan hanya boleh dibuat secara dalam talian (online) dengan melayari laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat : http://www.moe.gov.my mulai 07 Mac 2011.

4.2

Permohonan dalam talian boleh dibuat dengan menggunakan Nombor Pengenalan Individu (PIN) yang boleh dibeli di Bank Simpanan Nasional di seluruh negara dengan bayaran RM 6.00 (Ringgit Malaysia Enam sahaja) melalui saluran kaunter, mesin ATM, Perbankan Internet dan Perbankan Sistem Maklumat Ringkas (SMS). Pembelian nombor PIN melalui saluran mesin ATM, Perbankan Internet dan Perbankan Sistem Maklumat Ringkat (SMS) adalah bagi pemohon yang mempunyai akaun dengan Bank Simpanan Nasional.


4.3

Pemohon dinasihatkan melayari laman sesawang : http://www.moe.gov.my bagi mendapatkan maklumat iklan, bidang pengkhususan dan gred minimum serta kalendar aktiviti sebelum membuat permohonan.


4.4
Calon dibenarkan mengemukakan SATU permohonan sahaja.

4.5
Calon boleh menggunakan nombor PIN yang sama untuk membuat pindaan butiran kepada permohonan yang telah dihantar. Pindaan butiran permohonan dihadkan tiga kali sahaja dan hendaklah dibuat sebelum tarikh tutup permohonan.

4.6
Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap boleh mengakibatkan permohonan ditolak.



5. TARIKH TUTUP PERMOHONAN : 21 MAC 2011



6.

Sila hubungi alamat berikut sekiranya ada sebarang pertanyaan berkaitan dengan permohonan :





BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
ARAS 3, BLOK E13, PARCEL E
KOMPLEKS PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA
(u.p : Unit Pengurusan Pengambilan Pelajar)
No. Telefon : 03-888441260/1254/1253/1371/1235




URUS SETIA BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
Cawangan Sabah
d/a Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya
Peti Surat 10491
88805 Kota Kinabalu, Sabah
No Telefon : 088 236804




URUS SETIA BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
Cawangan Sarawak
Jalan College
93259 Kuching, Sarawak
No Telefon : 082 258045



7. MAKLUMAN DAN PERHATIAN

7.1
Calon yang dipanggil temu duga dikehendaki menduduki ujian Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK) semasa menghadiri temu duga.

7.2 Pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan adalah bergantung kepada kedudukan pencapaian merit skor akademik, prestasi dan temu duga dan keputusan ujian INSAK. Keputusan oleh Jawatankuasa Pemilihan adalah muktamad.

7.3
Kementerian Pelajaran Malaysia berhak menawarkan program atau bidang pengajian bukan pilihan dan menempatkan calon yang berjaya di mana-mana Institut Pendidikan Guru (IPG).

7.4
Calon dinasihatkan menyemak status permohonan mereka dari semasa ke semasa untuk status panggilan temu duga dan juga tawaran ke IPG yang ditetapkan.

7.5
Tiada surat menyurat dikeluarkan untuk panggilan temu duga. Segala perbelanjaan dan risiko menghadiri temu duga adalah tanggungjawab calon sendiri.

7.6
Surat tawaran rasmi bagi calon yang berjaya akan diserahkan di IPG yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia setelah calon melapor diri di IPG.



8. PENDAFTARAN

Calon-calon yang ditawarkan untuk mengikuti Kursus Persediaan akan mendaftar di Institut Latihan Perguruan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 20 Jun 2011 (tarikh tertakluk kepada pindaan). Calon yang telah ditemu duga dan tidak menerima sebarang maklumat dalam tempoh satu (1) bulan selepas tarikh pendaftaran adalah dianggap tidak berjaya. Bahagian ini tidak akan mengeluarkan maklumat secara bersurat kepada calon.



9. IKATAN PERJANJIAN PENDIDIKAN GURU

Calon yang ditawarkan mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru adalah tertakluk kepada ikatan Perjanjian Pendidikan Guru seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Calon hendaklah bersetuju dan patuh dengan kontrak perjanjian untuk berkhidmat di mana-mana sekolah atau institusi pendidikan termasuk di kawasan pedalaman seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan setelah tamat berkursus.




BENTUK PENGAJIAN YANG DITAWARKAN



Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)
Bentuk Pengajian
Tempat
Tempoh
Kursus Persediaan Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan
3 semester
Pengajian Ijazah Pertama (Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian) Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan
8 semester

Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke Universiti Terkemuka Luar Negara
Bentuk Pengajian
Tempat
Tempoh
Kursus Persediaan Kolej Persediaan KPM
2-4 semester (mengikut kolej pengajian)
Pengajian Ijazah Pertama (Matematik, Fizik, Kimia,Biologi, Pendidikan Khas) Universiti Terkemuka Luar negara (UK, Australia atau New Zealand)
6-7 semester (mengikut kolej pengajian)
Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Institut Pendidikan Guru Malaysia yang akan ditetapkan oleh KPM
2 semester
Institusi yang mengendalikan Kursus Persediaan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik, Fizik, Kimia, Biologi dan Pendidikan Khas) :
a. International Education Centre (INTEC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Seksyen 17, Shah Alam, Selangor
b. Taylor's University, Subang Jaya, Selangor
c. Kolej Yayasan United Engineers Malaysia (UEM), Lembah Beringin, Tanjung Malim, Perak.

Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Bagi Bidang Bahasa Cina
Bentuk Pengajian
Tempat
Tempoh
Kursus Persediaan Beijing Foreign Studies University,Beijing, China
2 semester
Pengajian Ijazah Pertama (Ijazah Sarjana Muda Bahasa Cina sebagai Bahasa Kedua) Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan
8 semester
Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan
2 semester

Program Kembar Bahasa Perancis
Bentuk Pengajian
Tempat
Tempoh
Kursus Persediaan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa
2 semester
Pengajian Ijazah Pertama (Bahasa Perancis) Universiti Terkemuka Negara Perancis
6 semester
Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa
2 semester

Program Kembar Bahasa Jerman
Bentuk Pengajian
Tempat
Tempoh
Kursus Persediaan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa
4 semester
Pengajian Ijazah Pertama (Bahasa Jerman) Universiti Malaya
6 semester
Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa
2 semester


Catatan : Bentuk pengajian yang ditawarkan tertakluk kepada perubahan


KALENDAR AKTIVITI PERMOHONAN


1.0
Calon hendaklah menyemak permohonan dari semasa ke semasa untuk mengetahui status permohonan masing-masing. Bersama ini disediakan satu kalendar aktiviti permohonan bagi memudahkan calon menyemak status permohonan. Kalendar yang disediakan ini adalah sebagai panduan dan tarikh boleh berubah mengikut keadaan.


2.0
Kalendar aktiviti bagi permohonan Kursus Persediaan adalah seperti berikut dan tertakluk kepada perubahan semasa. Calon dinasihatkan menyemak status permohonan dari semasa ke semasa pada laman web bagi mendapatkan maklumat terakhir permohonan.


Bil
Aktiviti
Tarikh
1
Iklan akhbar permohonan KPLSPM Ambilan Jun 2011.
06 Mac 2011
2
Permohonan secara online dibuka & Nombor PIN boleh didapati di Bank Simpanan Nasional seluruh negara.
07 Mac 2011
3
Permohonan ditutup (pindaan atau perubahan maklumat permohonan boleh dibuat sehingga tarikh tutup).
21 Mac 2011
4
Semakan nama calon yang berjaya ditemu duga secara dalam talian (pemohon yang berjaya dikehendaki mencetak Surat Panggilan Temu Duga, Borang Butiran Diri dan Helaian Pernyataan Hasrat melalui Internet).
04 April 2011
5
Temu duga KPLSPM Ambilan Jun 2011. (Sila bawa bersama Surat Panggilan Temu Duga, Borang Butiran Diri dan Helaian Pernyataan Hasrat yang dicetak melalui internet yang telah dilengkapi)
11 April hingga 22 April 2011
6
Semakan Tawaran calon berjaya ke Institut Pendidikan Guru (IPG).
(Calon boleh mencetak surat tawaran sementara melalui internet. Surat Tawaran Rasmi boleh didapati selepas melapor diri di IPG).
21 Mei 2011
7
Pendaftaran calon di Institut Pendidikan Guru.
(Calon yang melapor diri boleh mendapatkan Surat Tawaran Berkursus di Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan selepas mendaftar).
20 Jun 2011

Catatan :

  • Sila cetak kalendar aktiviti ini untuk simpanan dan rujukan anda.

  • Tarikh tersebut di atas adalah sebagai panduan calon dan tertakluk kepada perubahan.

CARA MEMOHON (LINK):
Permohonan hendaklah dibuat di : http://www.moe.gov.my atau http://apps.moe.gov.my/kplspm/kplspm2011/index.cfm

PEMBELIAN NOMBOR UNIK ID MELALUI BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN)

Bayaran boleh dibuat di Kaunter BSN atau Mesin ATM BSN / Perbankan SMS BSN (bagi pemegang akaun GIRO sahaja) dengan harga RM6.00.

Jika melalui mesin ATM BSN - Pilih URUSAN LAIN > NO. PIN > Pendidikan > KPLSPM dan masukkan No. Kad Pengenalan anda atau pemohon lain. Boleh juga membeli No. Pin pemohon lain menggunakan Kad ATM anda.

Pemohon juga boleh membeli No. Pin melalui Perbankan Internet BSN : http://www.mybsn.com.my/ - Pin Purchase > Pendidikan > KPLSPM

Nota: Sila simpan slip pembayaran untuk rujukan dan sebagai bukti sah pembelian.

TEMPOH PERMOHONAN & PEMBELIAN NO. UNIK ID (PIN) : 7 MAC – 21 MAC 2011

TARIKH TUTUP PERMOHONAN ON-LINE : 21 MAC 2011

Recent Posts