Rabu, November 03, 2010

Orang Malaysia paling popular di internet

Rakyat Malaysia merupakan orang yang paling popular dalam carian di Internet, sementara rakyat Jepun berada di tempat tercorot, berdasarkan kaji selidik global yang menunjukkan bagaimana budaya nasional mencerminkan kelakuan secara dalam talian.

Kajian Digital Life oleh firma penyelidikan global, TNS merumuskan rakyat Malaysia memenangi pertandingan populariti Internet dengan purata 233 rakan-rakan di rangkaian sosial mereka, berbanding 68 di China dan hanya 29 di Jepun.

Penemuan itu bukan merupakan satu kejutan bagi sebuah negara terdiri daripada pelbagai budaya yang suka berkawan dan mempunyai tradisi majlis 'rumah terbuka' di mana ia terbuka untuk semua serta membawa kepada pertemuan kenalan baru.

"Cara rakyat Malaysia ialah menjemput semua orang yang anda kenali.

"Dan orang-orang yang anda akan kenali dan mempertimbangkannya sebagai rakan merupakan satu konsep yang jauh lebih luas berbanding komuniti lain," kata pelakon dan penulis Malaysia, Chacko Vadaketh yang mempunyai 1,010 rakan-rakan yang mengagumkan dalam akaun facebooknya.

Malaysia juga mempunyai satu diaspora (kumpulan perantau) profesional besar yang cuba mencari peluang-peluang di luar negara, dalam satu 'penghijrahan cendiakawan' yang menjadikan laman rangkaian sosial sangat tinggi nilainya bagi mengekalkan hubungan dengan rakan-rakan jauh.

Vadaketh, yang berketurunan India dan Syria, menuntut di Britain, mempunyai keluarga dan rakan-rakan di beberapa benua serta kini menetap di Amerika Syarikat, bukan generasi Malaysia yang biasa.

"Saya menentang facebook untuk seketika tetapi saya tidak mempunyai pilihan kerana ia mendahului emel dalam beberapa cara.

''Saya tidak mahu ketinggalan dalam beberapa acara atau dijemput ke parti dan banyak perkara hanya diketahui menerusi facebook," katanya.

Pengarah wawasan digital dengan Nielsen's Online Division berkata, setiap negara yang diliputi dengan media sosial ditentukan oleh ciri-ciri kebangsaannya tersendiri.

''Jadi negara-negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia memberikan reaksi berbeza dengan budaya-budaya Asia Timur yang lebih konservatif seperti China, Jepun dan Korea Selatan,'' ujarnya.

Di Malaysia, di mana sebahagian besar media arus perdana dikawal oleh kerajaan telah menunjukkan perkembangan kewujudan portal berita bebas, blog-blog politik dan maklum balas prolifik Twitter berkenaan hal ehwal semasa.

Rakyat Malaysia juga tidak malu menggunakan laman-laman sosial seperti itu sebagai alat pemasaran dan rangkaian perhubungan untuk perniagaan kecil.

- AFP

Kempen mendalami punca strok

Serangan strok atau angin ahmar boleh mengubah kehidupan seseorang untuk sepanjang hayatnya. Ini kerana jika mangsa serangan strok terselamat daripada maut, kebiasaannya akan mengalami lumpuh dan lemah anggota badan sama ada sebelah tubuh atau keseluruhan badan.

Presiden Persatuan Neurosains Malaysia, Prof. Dr. Hamidon Basri berkata, ramai yang mengetahui kewujudan penyakit ini tetapi tidak ramai yang mengetahui sejauhmana ia boleh menyerang dan kekerapan serangannya terhadap mangsa.

''Penyakit strok tidak boleh dipandang mudah, ia mampu merubah kehidupan seseorang dan lazimnya pesakit memerlukan penjagaan yang rapi sepanjang hayatnya,'' katanya

Beliau yang juga seorang pakar runding neurologi, berkata, kira-kira 40,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa mereka mempunyai risiko besar terhadap penyakit tersebut.

Malah hanya segelintir sahaja yang mengetahui tanda amaran atau maklum tentang apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.

Tegasnya lagi, strok merupakan masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah tersumbat dan gangguan bekalan darah ke bahagian-bahagian otak yang mengakibatkan bahagian tersebut tidak mendapat cukup oksigen.

Biasanya penyakit ini menyerang seseorang secara tiba-tiba sehingga boleh menyebabkan kematian atau lumpuh separuh badan.

Strok juga dikenali sebagai 'serangan otak' kerana strok berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu.

"Kejadian ini boleh berlaku dalam dua cara yang berbeza, apabila salur darah di dalam otak pecah (dikenali sebagai strok berdarah) atau apabila terdapat salur darah tersekat (yang dikenali sebagai strok iskemia),'' kata Dr. Hamidon lagi.

Menurut beliau, orang ramai juga perlu memahami bahawa strok, khususnya strok iskemia boleh dirawat secara berkesan untuk mengurangkan kerosakan kepada otak.

Jelasnya lagi, serangan strok boleh berlaku secara tiba-tiba dan pesakit tidak mengalami sebarang tanda amaran kedatangan penyakit ini sehinggalah tiba waktunya dia mengalami rasa lemah-lemah dan lumpuh sebelah badan sama ada kiri atau kanan.

''Lemah dan lumpuh akibat strok ini akan menyebabkan mangsa mengalami kesukaran untuk bercakap atau kemungkinan kehilangan terus keupayaan bercakap atau dikenali sebagai aphasia.

''Antara masalah lain ialah kemungkinan berlakunya gangguan pada bahagian otak yang lebih penting peranannya,'' katanya ditemui pada majlis pelancaran Kempen 1 Misi 1 Juta Mendalami Punca Strok.

Menurut Dr. Hamidon lagi, lagi, bukan semua jenis strok akan menyebabkan lumpuh. Ini kerana gangguan saraf berlaku jauh daripada bahagian otak yang mengawal pergerakan.

Katanya lagi, otak sama seperti bahagian tubuh yang lain, harus menerima bekalan berterusan melalui pembuluh darah dan arteri.

''Jika salah satu daripada arteri tersumbat, bahagian otak yang tidak mendapat bekalan darah akan mati kerana tidak mendapat bekalan oksigen," katanya.

- UTUSAN MALAYSIA

Apa beza wakil rakyat dengan pegawai kerajaan?

Oleh Mohamad Ghazali Zainal Abidin

STRATEGI keempat Bajet 2011 ialah memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan awam. Ia merupakan usaha kerajaan yang berterusan untuk memastikan sistem penyampaian (delivery system) jabatan kerajaan lebih berkesan. Jika rakyat berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan, seharusnya ia bersifat lebih menyenangkan bukan bertambah menyusahkan.

Setiap kita adalah 'rakyat' lantaran itu seorang pegawai kerajaan berjawatan tinggi apabila berurusan dengan jabatan lain, mereka juga akan menjadi 'rakyat' di kaunter kerajaan. Oleh itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) haruslah sentiasa membuat lawatan mengejut terhadap agensi-agensi kerajaan agar mereka lebih mengetahui masalah yang selalu dihadapi oleh rakyat biasa.

Tersembunyi di sebalik langkah memastikan sistem penyampaian ini, pegawai kerajaan adalah penyelesaian strategik bagi sebarang masalah dan penyelewengan. Pegawai kerajaan sering memberi reaksi yang sangat sinis terhadap kenyataan dan desakan wakil-wakil rakyat baik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ataupun Ahli Parlimen.

Kata pegawai kerajaan, jika hendak membanteras rasuah, hendaklah didahulukan tindakan terhadap golongan ADUN atau Ahli Parlimen. Jika makin banyak surat sokongan yang dikeluarkan oleh wakil rakyat sama ada ADUN atau Ahli Parlimen yang ditujukan kepada pegawai kerajaan di peringkat atasan, maka bertambah jijiklah mereka.

Mungkin mereka yang berpendidikan dan berpangkat tinggi belum faham 'apakah peranan' wakil rakyat yang mereka pilih. Kepada rakyat Malaysia, wakil rakyat yang baik ialah yang berjaya dan cepat menyelesaikan masalah harian rakyat seperti masalah orang miskin tiada rumah, jalan berlubang dan yang boleh diajak minum petang bersama dan sebagainya. Malah bil telefon tertunggak pun mohon wakil rakyat menjelaskannya.

Wakil rakyat yang baik pada hemat rakyat adalah yang dapat menyelesaikan hal-hal sedemikian dengan cepat dan kalau boleh serta-merta. Tidak mengapa kalau wakil rakyat tersebut ponteng sidang Dewan Rakyat atau DUN, asalkan dapat menyelesaikan masalah mereka ini.

Walau sebaik mana pun 'prestasi' wakil rakyat, jika mereka tidak dapat segera menyelesaikan masalah rakyat, mereka mungkin kalah dalam pilihan raya akan datang. Begitu sinis bunyinya tapi itulah realiti cara pemikiran sebahagian rakyat Malaysia mengenai peranan wakil rakyat.

Rakyat lupa bahawa yang sebenarnya peranan wakil rakyat ialah penggubal undang-undang atau 'pembuat dasar' dan mereka akan memastikan setiap undang-undang atau dasar negara yang digubal dilaksanakan oleh pegawai kerajaan (eksekutif).

Jika di Britain (asas kepada sistem ini di Malaysia), apabila timbul sesuatu kes berkaitan masalah rakyat, akan dicari jalan dalam bentuk penggubalan undang-undang dan pengubahan dasar agar ia 'tidak menyusahkan' dan 'menekan' rakyat.

Pada suatu masa di Britain, terjadi satu peristiwa seorang kanak-kanak dibaham hingga mati oleh seekor anjing. Wakil rakyat Britain yang baik bukan wakil rakyat yang bergegas ke tempat kejadian, sebaliknya dia segera menimbulkannya dan berdebat di Parlimen dan mendesak Parlimen serta Kerajaan Britain supaya menggubal satu undang-undang supaya mereka yang memelihara anjing agar dikenakan tindakan tegas jika binatang peliharaan mereka mencederakan atau membunuh rakyat Britain.

Hari ini pun begitu, bila tanah runtuh dan adanya berlaku kematian, maka wakil rakyat kita pun bergegas ke tempat kejadian. Bila ada berlakunya kemalangan maut, mereka ke sana. Walhal ini bukan pertama kali rakyat berhadapan dengan peristiwa tanah runtuh dan kemalangan yang menyebabkan kematian.

Jika sudah ada undang-undang, di Parlimen akan dipersoalkan kebertanggungjawaban pihak eksekutif iaitu pegawai kerajaan (pihak peguat kuasa yang melaksanakan undang-undang dan peraturan itu). Jika ada kecuaian, dewan akan memastikan mereka mesti dihukum atau dilucutkan jawatan.

Jika ada orang lapar kerana miskin, wakil rakyat yang baik bukan serta-merta memberi wang untuk mereka dapat makan. Wakil rakyat yang baik ialah memastikan kerajaan dan Parlimen menggubal undang-undang supaya tidak ada rakyat lapar kerana kemiskinan. Selepas undang-undang digubal, wakil rakyat yang baik sentiasa memantau dasar itu terlaksana melalui sistem penyampaian berkesan oleh pegawai kerajaan.

Oleh kerana rakyat tidak faham peranan sebenar wakil rakyat seperti sekarang, maka wakil rakyat yang ada sekarang perlu memiliki banyak wang untuk diberikan kepada rakyat yang datang meminta. Gaji wakil rakyat tidak mencukupi untuk melakukan itu semua. Mereka terdedah kepada permainan para 'penaja' yang membantu mereka sewaktu pilihan raya dan jika wakil rakyat tidak membantu 'penaja' ini, mereka akan kalah dalam pilihan raya yang akan datang.

Sedangkan, pihak jentera eksekutif (KSN atau KSU serta pegawai kanan kerajaan) pula dilantik oleh wakil rakyat yang menjadi Ahli Kabinet setelah memenangi pilihan raya bagi setiap lima tahun. Berkesan atau tidak berkesan setelah dilantik, mereka boleh terus berkhidmat sehingga bersara atau tamat kontrak. Tak mengapa jika mereka tidak ikut arahan wakil rakyat atau Menteri kerana mereka tetap ada di sana sehingga bersara.

Sebahagian pegawai kerajaan sangat selamat dan mungkin tidak pernah pun berasa bersalah jika berlakunya rasuah di kalangan mereka. Inilah yang menjadi penyebab utama berlakunya ketirisan sistem penyampaian sehingga rakyat yang tidak memahami sistem kerajaan, percaya rasuah adalah angkara wakil rakyat atau Menteri.

Sistem penyampaian kita mesti mendahulukan rakyat sebagaimana harapan Perdana Menteri. Apakah salah jika pegawai kerajaan bertindak seperti wakil rakyat - turun padang dan menyelesaikan masalah rakyat bersama?

Jika semua wakil rakyat dan pegawai kerajaan boleh menjalankan fungsinya dengan baik, mungkin tidak timbul lagi istilah wakil rakyat yang tidak menjalankan kerjanya kerana semua kerja adalah tanggungjawab bersama. Jangan sampai rakyat yang terpaksa menunggu lama di kaunter-kaunter agensi kerajaan mengeluh dan mengeluarkan ungkapan 'inilah kerajaan Barisan Nasional', lambat dan lembab serta menyusahkan rakyat.

- UTUSAN MALAYSIA

Selasa, November 02, 2010

Imigresen Perkenal Permohonan Pasport Secara Online

Jabatan Imigresen akan memperkenalkan permohonan pengeluaran pasport secara online bagi memberi kemudahan kepada mereka yang mempunyai perkhidmatan internet dan sibuk dengan tugasan harian.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) jabatan itu, Che Din Yusoh, berkata perkhidmatan percubaan itu akan diperkenalkan di kawasan Lembah Klang, bermula Disember depan.

"Ini adalah salah satu perkhidmatan baru yang diperkenalkan Jabatan Imigresen dalam usaha mempercepatkan proses permohonan dan pengeluaran pasport di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Imigresen Zon Timur, di sini, Selasa.

Menurutnya, usaha ini juga dilakukan ke arah penambahbaikan mutu perkhidmatan yang disediakan kerajaan kepada rakyat, selaras gagasan kerajaan menerusi slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Beliau berkata, setakat ini jabatannya mengambil inisiatif memperkenalkan perkhidmatan pengeluaran passport dalam masa singkat iaitu selama sejam di 47 pejabat utama di seluruh negara yang dianggap kawasan panas, seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Pulau Pinang.

Katanya, perkhidmatan itu akan diperluaskan di semua Jabatan Imigresen di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang menggunakan teknologi moden dalam proses permohonan dan pengeluaran pasport yang mempunyai ciri-ciri cip keselamatan canggih yang tidak digunakan di kebanyakan negara lain.

Ditanya sama ada Jabatan Imigresen bercadang untuk memperluaskan bidang kuasa pejabat imigresen di pintu masuk antarabangsa mengeluarkan pasport sebagai ibu pejabat negeri, Che Din berkata, setakat ini pihaknya belum bercadang untuk berbuat demikian.

"Setakat ini permohonan boleh dibuat di semua pejabat cawangan, termasuk di pintu masuk utama, tetapi ibu pejabat negeri sahaja bertanggungjawab mengeluarkan passport berkenaan melalui prosedur," katanya.

Bagaimanapun, dengan penubuhan sebuah pejabat cawangan Gua Musang semalam, ia dapat mengatasi masalah orang ramai untuk mendapatkan pasport dengan mudah tanpa perlu datang ke ibu pejabat negeri.

Pejabat baru di Gua Musang adalah satu-satunya pejabat Imigresen cawangan di daerah atau jajahan di Kelantan selepas ibu pejabat negeri di sini.

"Dengan adanya pejabat baru yang mempunyai fungsi yang sama dengan ibu pejabat negeri orang ramai yang tinggal di kawasan Hulu Kelantan, termasuk di daerah Kuala Lipis, Pahang tidak perlu mengambil masa untuk datang ke ibu pejabat untuk membuat permohonan passport atau urusan berkaitan," katanya.

- BERNAMA

Harga petrol Ron 97 naik 5 sen


Harga petrol RON 97 dinaikkan 5 sen lagi mulai esok. Berikutan itu, harganya kini RM2.15 seliter, demikian menurut laporan.
.
Bagaimanapun harga pertrol RON 95 dan diesel tidak berubah.

Tidak seperti sebelumnya, tidak ada pengumuman dibuat mengenai kenaikan tersebut.

Khabar angin mengenai kenaikan harga RON 97 itu tersebar sejak tengahari tadi dan pemilik stesen minyak berkata arahan mengenainya telah dikeluarkan.

Malaysiakini memetik satu pekeliling dari sebuah syarikat minyak yang memaklumkan kepada peniaga mengenai kenaikan harga itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe mengesahkannya ketika dihubungi oleh beberapa akhbar.

Ini adalah kenaikan pertama harga minyak selepas kenaikan "5-dalam-1" pada 15 Julai tahun ini, yang bertujuan untuk mengurangkan beban subsidi kerajaan.

Pemotongan subsidi merupakan sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi untuk barangan keperluan seperti yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Jala telah memberi amaran awal tahun ini bahawa Malaysia menghadapi prospek muflis pada 2019 - seperti yang berlaku di Greece dan Iceland kerana beban hutang - sekiranya subsidi tidak dikurangkan.

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menegaskan bahawa pengurangan subsidi adlah perlu, tetapi para pengkritik berkata usaha untuk memaksa pengguna berjimat, tanpa tindakan yang sama di pihak kerajaan, tidak membawa sebarang makna.

Lewat bulan lalu, Najib mengumumkan senarai projek baru - termasuk pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat bernilai RM5 bilion, yang menurut kerajaan akan menarik pelabur dan membuat Malaysia lebih menarik kepada pelancong.

- MALAYSIAKINI

Sudah masanya Anwar bersara 'politik' - Dr Asri

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata sudah sampai masanya untuk ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' kerana banyak rentak tari politiknya makin 'tidak seimbang'.

Menulis dalam blognya di bawah tajuk 'Politik kita memerlukan anjakan baru', Dr Mohd Asri menegaskan "politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas".

Mereka yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai 'al-quwwah' (kemampuan), al-Amanah (amanah) dan mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik tauke, tulisnya lagi.

"Kita perlu politik idea iaitu politik yang berteraskan kebijaksaan dan pemikiran yang bernas dalam memajukan masyarakat dan negara.

"Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat.

"Kita mahu ahli-ahli politik kita berkualiti sehingga kita rasa mereka layak mewakili kita atas kebolehan kepimpinanan mereka yang berteras ilmu dan budi," tambahnya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Asri menyarankan semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, "berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat."

"Sama ada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan. Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi 'hero' dalam pentas baru politik hari ini.

"Biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik kita dengan kadar sumbangan yang telah dibuat. Jika Tun Abdulllah (Ahmad Badawi) pun bersara, makin mereka yang 'sewaktu' dengannya dalam pembangkang pun perlu bersara," tulisnya.

Mengenai saranannya supaya Anwar bersara politik, Dr Mohd Asri berkata zamannya mungkin makin menyusur pergi dan "saya tidak fikir generasi baru terus bertahan untuk melihat 'story-design' politik yang sama."

"Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Demi untuk mewjudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan. Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini.

"Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar," tambahnya.

Sambil memohon maaf, Dr Mohd Asri berkata beliau apa-apa kepentingan kedudukan ataupun jawatan atas pandangan yang seperti ini.

"Saya tahu sesetengah pembangkang cepat 'melenting' jika ada pandangan yang mereka tidak setuju.

"Namun, mereka kena ingat banyak pandangan yang saya tajam terhadap kerajaan, alhamdulillah mereka tidak melenting, sebaliknya berinteraksi dengan baik," tulisnya.

- MALAYSIAKINI

Isnin, November 01, 2010

Peperiksaan Khas Memasuki Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41


Calon-calon SPA yang telah mendaftar untuk memohon jawatan Pegawai Tadbir & Diplomatik (PTD) M41 boleh membuat semakan dan mencetak slip peperiksaan khas yang akan diadakan pada 13 NOVEMBER 2010 (SABTU). Semakan boleh dibuat di: SEMAKAN & SLIP PEPERIKSAAN KHAS PTD NOV 2010

* Calon boleh mencetak Maklumat Peperiksaan melalui Portal SPA untuk dibawa semasa menghadiri peperiksaan



Tarikh lihat anak bulan Aidiladha 6 November 2010


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia menetapkan tarikh melihat anak bulan Zulhijjah pada 6 Nov ini, bersamaan 29 Zulkaedah.

Perkara itu telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Majlis Raja-Raja juga turut mempersetujui cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Sementara itu, 30 lokasi di seluruh negara ditetapkan untuk melihat anak bulan Zulhijjah, iaitu:

1. Pontian Kecil, Johor.
2. Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.
3. Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
4. Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor.
5. Pulau Angsa, daerah Kuala Selangor, Selangor.
6. Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor.
7. Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, selangor Darul Ehsan
8. Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak.
9. Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
10. Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah.
11. Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah.
12. Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah.
13. Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu.
14. Bukit Kemuning, Kemaman, Terengganu.
15. Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.
16. Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu.
17. Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan.
18. Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, daerah Olak Jeram, Kuala Krai,
Kelantan.
19. Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Baharu, Kelantan.
20. Tanjong Lubang, Miri, Sarawak.
21. Teluk Bandung, Kuching, Sarawak.
22. Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak.
23. Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah.
24. Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang.
25. Gunung Berincang, Cameron Highlands, Pahang.
26. Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang.
27. Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan.
28. Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
29. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya.
30. Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah akan membuat perisytiharan mengenai tarikh Hari Raya Qurban, menerusi radio dan televisyen pada malam itu juga.

- BERNAMA

Saman JPJ boleh dibayar di Pejabat Pos mulai 1 November 2010


Mulai 1 November 2010, pemilik saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Lembah Klang boleh membayar saman mereka di lima pejabat pos di Selangor dan ibu negara.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata sebagai percubaan, lima kaunter yang dibuka untuk pembayar saman adalah Pejabat Pos Shah Alam, Pejabat Pos Daya Bumi, Pejabat Pos Wangsa Maju, Pejabat Pos Jalan Sultan Salahuddin dan dan Pejabat Pos Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Beliau berkata bagi pengguna di tempat lain pula, mereka boleh berbuat
demikian di 688 pejabat pos di seluruh negara selewat-lewatnya pada akhir bulan
depan.

"Usaha ini boleh menggalakkan orang ramai terutamanya penduduk luar bandar untuk membayar saman kerana sebelum ini mungkin mereka sukar membayarnya sebab ia hanya boleh dibayar melalui kaunter JPJ yang kesemuanya terletak di tengah bandar selain saluran e-Khidmat," katanya kepada pemberita selepas menutup program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Lepar Utara di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya JPJ telah mengadakan perbincangan dengan Pos Malaysia untuk merealisasikan langkah ketiga itu selepas cukai jalan dan lesen memandu diperbaharui di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, Solah berkata orang ramai juga boleh membayar saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua kaunter JPJ di seluruh negara dan saman JPJ itu juga boleh dibayar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) menjelang akhir tahun ini.

"Jika sebelum ini saman polis hanya boleh dibayar di IPD atau IPPK manakala saman JPJ hanya boleh dibayar di kaunter JPJ tapi selepas ini kedua-dua saman itu boleh dibayar di mana-mana saja kaunter JPJ atau polis," katanya.

Katanya dengan pelaksanaan kedua-dua kaedah berkenaan, ia dilihat tidak lagi menyusahkan orang ramai malah ia lebih cekap.

- BERNAMA

Gambaran nikmat di syurga


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh al-Maraghi berkata: "Semua ini menunjukkan bahawa makanan ahli neraka adalah sesuatu yang sesuai dengan keadaan di akhirat.

"Hal ini digambarkan dengan benda-benda yang ada di dunia adalah bermaksud untuk menggambarkan kepada kita betapa buruknya jenis makanan itu, agar kita menjauhi dan menghindari malapetaka tersebut, sehingga kita terjauh daripada perbuatan rosak dan merugikan."

Firman Allah SWT: (sebaliknya) Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.

Ibn Kathir berkata: Mereka mendapat kurniaan nikmat kerana usaha mereka di dunia.

Firman Allah SWT: Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia).

Al-Hasan berkata: Dia akan reda dengan usahanya. Benarlah kata al-Maraghi: Mereka berasa puas kerana mereka dahulu beramal semata-mata kerana Allah SWT dan mereka diberi balasan baik.

Hal ini umpama seorang yang berbuat baik lalu mendapat hasil atau balasan baik dan pujian yang menyenangkan, maka tercetuslah ucapan: Alangkah baiknya amalku dahulu. Sesungguhnya amalku itu sesuai dengan kebenaran.

Firman Allah SWT: (Mereka tinggal menetap) di dalam syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya).

Dalam hal ini al-Mawardi menyebut dua wajah bahawa syurga lebih tinggi dari neraka kedudukannya. Dengan sebab itu dinyatakan ketinggiannya seperti kata al-Dahak. Sedangkan pendapat kedua dengan maksud di syurga-syurga yang tinggi dan bilik-biliknya.

Atas asas inilah ketinggian mereka dalam dua bentuk, iaitu supaya mereka berlazat dengan kedudukan dan keduanya supaya mereka menyaksikan apa yang Allah SWT sediakan kenikmatan untuk mereka.

Firman Allah SWT: Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.

Ulama telah khilaf berkenaan dengan tafsiran lagha di sini, di mana al-Farra' dan al-Ahfash berpendapat ahli syurga tidak mendengar walaupun sepatah kalimah lagha.

Berkenaan dengan lagha ada tujuh pendapat:

* Dusta. Seperti pendapat Ibn Abbas.

* Dosa. Seperti pendapat Qatadah.

* Mencela. Seperti pendapat Mujahid.

* Kebatilan. Seperti pendapat Yahya bin Salam.

* Maksiat. Seperti pendapat al-Hasan.

* Sumpah. Seperti pendapat al-Qalbi.

* Ahli syurga tidak mendengar dalam ucapan mereka kalimah lagha. Seperti pendapat al-Farra'.

Firman Allah SWT: di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir.

Al-Maraghi berkata: Dalam syurga itu terdapat mata air yang selalu mengalir airnya. Air yang jernih menggembirakan hati dan mententeramkan mata yang memandangnya.

Firman Allah SWT: Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya).

Kedudukan tinggi ini ada tiga wajah:

* Kerana sebahagiannya berada lebih tinggi daripada yang lain.

* Kerana tempatnya berada di puncak.

* Tempat yang tinggi kerana kedudukannya dan martabatnya yang tinggi.

Ibn Syajarah berkata: Supaya mereka berlazat dengan kedudukannya.

Firman Allah SWT: dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka).

Sayid Qutub berkata: Gelas-gelas itu siap diatur dan siap disajikan untuk diminum tanpa perlu diminta dan disediakan.

Firman Allah SWT: dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar).

Al-Maraghi berkata: Dalam syurga terdapat juga bantal-bantal yang tersusun rapi. Mereka boleh mendudukinya, bersandar padanya atau berteleku di atasnya apabila dikehendaki.

Firman Allah SWT: serta hamparan-hamparan yang terbentang.

Al-Maraghi berkata: Ketika permaidani (hamparan) terhampar di tempat duduk, maka setiap tempat duduk dapat dilihat hamparan permaidani seperti yang terdapat di rumah-rumah kaum bangsawan lagi hartawan di dunia ini.

Sayid Qutub berkata: "Semuanya itu merupakan nikmat-nikmat kesenangan yang dapat dilihat manusia contoh-contoh seumpamanya di bumi."

Nikmat-nikmat itu disebut sedemikian rupa untuk mendekatkan kepada kefahaman manusia di bumi, sedangkan hakikat yang sebenar terpulanglah kepada selera di sana yang dikurniakan Allah SWT kepada golongan manusia yang berbahagia.

Di antara usaha yang sia-sia ialah membuat perbandingan dan penyelidikan yang halus mengenai bentuk dan sifat nikmat atau azab di akhirat kerana penduduk bumi berfikir dengan fikiran yang terikat dengan keadaan yang wujud di bumi ini.

Andainya mereka berada di akhirat, maka segala hijab dan dinding akan terhapus, segala roh dan fikiran terlepas bebas, segala makna akan berubah mengikut perubahan selera manusia di sana.

Ini kerana segala yang berlaku di akhirat di luar kemampuan kita untuk mengetahuinya.

Sifat-sifat nikmat yang dijelaskan oleh Allah SWT hanya berguna untuk menolong kita memahami dan menggambarkan kemuncak kelazatan, kemanisan dan kenikmatan hidup yang kita tidak mampu mencapainya selama kita berada di sini.

Ketika di akhirat barulah kita mengetahui dan mengenal hakikatnya apabila Allah SWT memuliakan dengan limpah kurnia dan keredaan-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita syurga Firdaus sebagai nikmat-Nya. Amin.

- UTUSAN MALAYSIA

Khidmat nasihat CyberSecurity


Apabila sesebuah organisasi disaran mengambil langkah- langkah keselamatan siber, ia bukanlah semata-mata melindungi komputer daripada serangan virus, kecurian maklumat dalam talian oleh pihak luar atau mengelakkan penurunan prestasi komputer.

Hakikatnya, penjenayah siber bukanlah semata-mata individu yang duduk di meja komputernya dan menggodam dari jarak jauh.

Hakikatnya, penjenayah siber sebahagian besarnya adalah individu terdekat yang kita kenali dan bekerja dalam persekitaran yang sama.

Motif pencurian data terjadi atas niat mencari keuntungan yang ditawarkan pihak ketiga atau organisasi lain. Semua itu terjadi atas kepentingan peribadi atau perniagaan.

Maklumat peribadi organisasi boleh menjadi bahan dagangan yang penting untuk organisasi pesaing. Justeru, ada pihak yang sanggup menjadi perisik atau pengintip bagi memperoleh keuntungan yang ditawarkan.

Ketua Konsultan, Pengurusan Projek dan Konsultansi HeiTech Managed Services Sdn. Bhd., Kavitha Muthy memberitahu, individu dalaman yang terbabit dengan jenayah siber kebanyakannya ialah pekerja yang tidak lagi gembira dengan pekerjaannya.

“Pekerja berkenaan sukar menolak perbuatan mencuri data kerana mereka mungkin dijanjikan habuan yang besar. Mungkin ia ditawarkan pekerjaan di syarikat pesaing atau upah yang berjumlah ribuan ringgit.

“Ternyata, data organisasi amat ‘diburu’ pihak tertentu kerana ia mengandungi segala maklumat kewangan, pelan pembangunan, strategi dan sebagainya,” kata Kavitha.

Selain menjual data kepada individu atau organisasi lain, wujud juga penjenayah siber dalaman yang menggodam maklumat peribadi individu lain untuk tujuan peras ugut. Mangsa selalunya didesak membayar sejumlah wang bagi mengelakkan maklumat peribadi dirinya didedahkan kepada umum atau di Internet.

Justeru katanya, sebelum berlaku sebarang kejadian kecurian maklumat atau sistem digodam orang dalaman, polisi berkaitan perlu diwujudkan dan dilaksanakan supaya individu terbabit dapat dikesan dan didakwa.

“Pengurusan organisasi memerlukan sistem kawalan keselamatan yang berterusan bagi merancang, melaksanakan dan memeriksa setiap aktiviti dalaman terutamanya penggunaan komputer dan pengurusan fail-fail dalam talian.

“Selain itu, terdapat undang-undang yang dapat menghukum penjenayah siber di bawah Akta Komputer 1997, Akta Hak Cipta 1997, Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan beberapa lagi,” jelasnya.

Peranan CyberSecurity

Kavitha memberitahu, ramai pihak tidak sedar mengenai peranan CyberSecurity Malaysia dalam membantu pihak yang terbabit serangan penjenayah siber. Selain laporan kes kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), laporan sokongan CyberSecurity Malaysia penting untuk membantu siasatan.

“CyberSecurity Malaysia dapat memberi khidmat nasihat kepada individu atau organisasi yang menjadi mangsa jenayah siber serta menjalankan siasatan melalui makmal forensiknya.

“Laporan sokongan CyberSecurity Malaysia pula dapat menjadi maklumat sokongan kepada PDRM di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersialnya,” jelas Kavitha.

Dalam pada itu, CyberSecurity Malaysia boleh dihubungi melalui pusat bantuan Cyber999 di talian 1-800-88-2999 atau layari laman web www.cybersecurity.my. Orang ramai juga boleh melihat statistik terkini laporan jenayah siber yang boleh didapati di laman web www.mycert.org.my di bawah CyberSecurity Malaysia.

Sementara itu, kehilangan data peribadi organisasi bukan sahaja menjadi kebimbangan organisasi berkenaan tetapi juga orang ramai. Antara organisasi yang berisiko adalah organisasi yang menyimpan maklumat peribadi pelanggan seperti maklumat kad keahlian pasar raya.

“Adakah kita yakin maklumat peribadi yang kita berikan ketika mengisi borang keahlian akan selamat? Pernahkah kita terfikir maklumat peribadi berkenaan mungkin disalahgunakan individu berkepentingan?

“Pasti ramai yang pernah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel daripada pihak yang tidak dikenali terutamanya yang menawarkan produk-produk tertentu. Kita pula berasa hairan pihak berkenaan begitu mudah memperoleh maklumat peribadi kita,” katanya.

Oleh yang demikian, perisian sahaja tidak cukup untuk melindungi sebarang maklumat digodam individu tidak bertanggungjawab.

Kesedaran individu, masyarakat dan organisasi adalah amat kritikal bagi memastikan sebarang maklumat penting tidak terlepas kepada pihak ketiga sewenang-wenangnya.

“Peranan kerajaan sahaja tidak mampu menangani masalah jenayah siber dan kecurian maklumat. Ia memerlukan sokongan semua pihak supaya kejadian serupa tidak berulang.

“Pihak yang terbabit menguruskan data juga perlu memastikan persekitaran yang selamat supaya maklumat yang disimpan tidak digodam dengan mudah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ulasnya.

- KOSMO!