Isnin, Ogos 30, 2010

BSN sasar agih RM300 juta

Keupayaan penerimanya terus berkembang merupakan antara penekanan diberikan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam meluluskan pembiayaan mikro untuk memastikan pinjaman itu dimanfaat sewajarnya.

Naib Presiden Ketua Jabatan Mikro Kewangannya, Nilammasri Ja'afar berkata, seperti yang diketahui umum, pembiayaan mikro terdiri daripada peniaga-peniaga kecil yang tidak mempunyai pendidikan tinggi dan dokumen perniagaan yang lengkap dan teratur untuk mendapatkan pinjaman.

''Sehubungan itu, kami telah mengambil inisiatif sendiri dengan memberikan latihan sewajarnya kepada peminjam dalam mendapatkan pinjaman dan menguruskan dana yang diterima.

''Ini adalah salah satu cara kami mendekati pelanggan dan menjaga hubungan baik tersebut, selain sering melawat mereka dan memberikan khidmat nasihat. Modul latihan keusahawanan ini adalah asas perniagaan tetapi ianya penting,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Pinjaman mikro diberikan kepada pengusaha kecil dengan pulangan jualan tidak melebihi RM200,000 setahun dan mempunyai bilangan pekerja tidak melebihi lima orang untuk sektor perkhidmatan.

Manakala bagi sektor pembuatan pula adalah pulangan jualan sebanyak RM250,000 dengan jumlah pekerja sama.

Pinjaman diberikan pada kadar minimum sebanyak RM5,000 hingga RM50,000, dengan kadar faedah efektif antara 14 peratus hingga 17 peratus.

Tambah Nilammasri, hanya peminjam yang layak dipilih untuk menyertai program sehari dengan latihan diberikan oleh konsultan luar yang dilantik.

''Latihan tersebut diadakan di pusat latihan BSN dan pada satu-satu masa seramai 30 peserta akan menyertai program itu.

''Untuk separuh kedua tahun ini kami menyasarkan untuk mengadakan lima atau lapan latihan dan semua perbelanjaan ditanggung oleh BSN,'' jelasnya.

Selain itu, kelebihan pembiayaan mikro BSN adalah pemberian rebat satu hingga tiga peratus kepada peminjam yang membayar balik pinjaman mengikut jadual dan tanpa tunggakan.

''BSN memberikan rebat ini bagi menggalakkan peminjam membayar mengikut waktu ditetapkan. Dua peratus rebat diberikan pada kadar faedah kepada mereka yang membayar tepat pada waktunya.

''Dalam pembiayaan mikro BSN, kami juga mempunyai unsur tabungan sekiranya mereka mempunyai tabungan dan membayar pinjaman tepat pada waktunya, peminjam itu layak menerima rebat sebanyak tiga peratus,'' katanya.

Nilammasri berkata, sejak dilancarkan pada 2007, BSN telah mengagihkan pinjaman lebih daripada RM230 juta kepada 15,000 peminjam.

Permohonan yang diterima oleh BSN sejak penubuhan skim ini bernilai RM1 bilion tetapi bukan semua permohonan dapat diproses dan diluluskan, katanya.

''Kadar penolakannya agak tinggi, permohonan itu tidak dapat diproses sekiranya risiko kredit mereka tinggi dan tidak memenuhi kriteria pinjaman yang ditetapkan.

''Oleh sebab pinjaman yang diberikan datangnya daripada dana kami sendiri, BSN perlu berhati-hati terutama dalam proses menawarkan pinjaman tanpa sebarang cagaran,'' tambahnya.

Pada tahun ini, BSN menyasarkan pengagihan pinjaman hampir RM300 juta ketika berlakunya kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) adalah tinggi.

Sambil menyatakan pihak bank akan lebih telus membuat penilaian pinjaman, Nilammasri menambah, mereka akan terus mengadakan promosi untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan mengetahui mengenai produk tersebut.

Ini termasuk mengadakan promosi bulanan dan ceramah kepada peniaga dan pasaran sasaran, membuka kiosk penerangan di kawasan tumpuan selain di cawangan-cawangan BSN dan pusat-pusat pinjaman mereka, katanya.

''Kami juga akan memantau peminjam dengan turun ke padang bertemu dengan mereka. Dari segi kutipan pinjaman pula, BSN mempunyai sistem kutipan bergerak dengan pegawai kami akan pergi kepada peminjam dan menerima bayaran dengan resit dikeluarkan dengan serta merta,'' jelasnya.

Buat masa ini, BSN tidak mempunyai masalah besar dalam NPL bagi pembiayaan mikro ini kerana terdapat pemantauan pegawai terhadap peminjam, jelasnya.

- UTUSAN

Emas pengganti duit raya?


Tradisi pemberian duit raya sempena Hari Raya Aidilfitri mungkin patut diubah kepada pemberian kepingan emas (gold bar) yang mampu memberi keuntungan pada masa akan datang.

Pengurus Besar Habib Jewels Sdn. Bhd. (Bahagian Jualan Persendirian), Gary Joseph berkata, pelaburan logam berkenaan amat menguntungkan dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini harganya tidak pernah merosot.

"Lebih baik berikan kepingan emas berbanding wang tunai kerana ia boleh disimpan dan dijual pada bila-bila masa dengan harga yang lebih tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, amalan ini telah diamalkan di kalangan kaum Cina yang memberikan angpow dalam bentuk kepingan emas.

Menurut Gary, Habib Jewels kini menawarkan pembelian kepingan emas yang berbeza dengan apa ditawarkan oleh bank di negara ini.

Syarikat itu membenarkan pembeli membawa pulang kepingan emas terbabit dan mereka boleh menggadainya semula di mana-mana kedai emas ataupun Ar-Rahnu bagi mendapatkan wang tunai.

"Kebanyakan bank tidak benarkan pelanggan bawa pulang emas terbabit, pelanggan beli dan hanya simpan resit pembelian atau buku bank, dan penjualan emas berkenaan hanya terhad kepada itu sahaja," katanya.

Tambah Gary, Habib Jewels menawarkan kepingan emas dengan berat minimum lima gram sehingga sekilogram.

Ia ditawar mengikut harga pasaran emas semasa dan ketika ini Habib Jewels menjual kepingan emas jenama Pamp Suisse pada harga sekitar RM145 segram.

Menurut Gary, emas adalah sumber pelaburan yang tidak pernah menghampakan pelaburnya untuk meraih keuntungan.

Katanya, walaupun harga emas ketika ini mengalami pembetulan namun ia masih stabil dan dijangka terus meningkat kira-kira lima peratus menjelang November ini.

"Ketika krisis ekonomi yang lalu, harga emas melonjak sehingga 30 peratus tetapi sekarang ia kian stabil dan mampu memberi pulangan pelaburan sekitar lima peratus hingga lapan peratus.

"Ini adalah masa terbaik untuk membeli emas sama ada emas fizikal ataupun barang kemas kerana harganya kompetitif namun mampu memberi pulangan pelaburan pada masa akan datang," ujarnya.

Apa yang menarik mengenai pelaburan emas, harganya akan naik mendadak didorong oleh beberapa faktor luaran yang negatif seperti ketidaktentuan ekonomi, kelembapan pasaran kewangan dan peningkatan harga minyak, jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya, faktor-faktor ini menunjukkan trend positif, harga emas akan terus stabil tetapi ia belum pernah jatuh menjunam dan merugikan pelabur-pelaburnya.

"Apabila berlaku ketidaktentuan ekonomi terutama pasaran global, orang ramai akan mula membeli emas kerana mereka yakin harga emas tidak akan jatuh dan mereka tidak akan mengalami kerugian," katanya.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Habib Jewels mempromosikan kempen 'Rantaian Kasih' yang mana pelanggan boleh mendapat diskaun terbaik bagi barang-barang kemas yang dijualnya.

Pada tahun ini, Habib Jewels membuka ruang pameran di hadapan kedainya di pusat membeli belah Alamanda, Putrajaya selama sebulan bagi tujuan promosi 'Rantaian Kasih'.

Dijangkakan seramai 24,000 pelanggan akan mengunjungi ruang pameran berkenaan.

- UTUSAN

Pancing ikan piranha di Sungai Thames


MARLOW, Britain - Seorang pemancing, Richard Salmon tidak menyangka dia dapat menangkap seekor ikan piranha yang mempunyai gigi tajam dengan menggunakan jorannya di Sungai Thames, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Ikan itu yang berasal dari Amerika Selatan mungkin telah dibuang ke dalam sungai tersebut oleh seorang pengumpul haiwan.

Ikan itu digambarkan dalam filem-filem Barat gemar memakan daging manusia.

"Saya membawa pulang ikan itu ke rumah bagi membuktikan saya berjaya menangkap seekor ikan piranha dari Sungai Thames," kata Richard.

Richard yang bekerja sebagai seorang artis grafik menangkap ikan itu di Marlow berdepan dengan Hotel Compleat Angler, Buckinghamshire.

Ikan piranha itu sepanjang 10.16 sentimeter (sm) dan panjangnya boleh mencecah 45.72sm.

- Agensi

Sejarah Pembukaan kota Makkah

Pembukaan kota Makkah antara peristiwa besar dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan, tahun ke-8 hijrah. Pembukaan kota Makkah dilihat sebagai kejayaan penting dalam peribadatan dan perkembangan syiar Islam kerana di sini terletak kiblat orang Islam, Kaabah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salahmu yang lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu serta menambahkanmu hidayah ke jalan lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuhnya dan sehebat pertolongan (yang tidak ada tolok bandingnya).” (Surah al-Fath, ayat 1-3)

Peristiwa ini berlaku apabila Bani Bakr dalam naungan Quraisy menyerang Bani Khuzaah dalam naungan Islam pimpinan Rasulullah SAW. Serangan Bani Bakr dibantu pihak kafir Quraisy.
Tindakan ini menimbulkan kemarahan orang Islam kerana dengan pertolongan itu, pihak Quraisy melanggar perjanjian Hudaibiyah yang dipersetujui mereka. Serangan itu juga menyebabkan hampir 20 orang daripada Bani Khuzaah terbunuh.
Oleh kerana serangan itu dibantu pihak Quraisy, maka Amru bin Salim bersama rakannya daripada Bani Khuzaah bergegas ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah SAW.

Apabila pihak Quraisy mendengar permintaan Bani Khuzaah kepada Rasulullah SAW, mereka begitu menyesal lalu menghantar Abu Sufian bin Harb bertemu Baginda untuk merayu dan memohon maaf namun, Rasulullah SAW dan sahabat tidak menghiraukannya. Dengan keputusan itu, beliau pulang dengan perasaan hampa dan kecewa ke Makkah.

Oleh kerana perjanjian Hudaibiyah dilanggar pihak Quraisy, maka Rasulullah SAW menyiapkan angkatan Muslimin dengan jumlah mencecah hingga 10,000 orang berangkat ke Makkah. Keberangkatan Rasulullah SAW dan sahabat ke Makkah dapat dijangka oleh pihak Quraisy.
Catatan sejarah menjelaskan bahawa sahabat dapat mematahkan cubaan Hatob untuk mengutuskan surat ke Makkah bagi memaklumkan keberangkatan Muslimin.

Apabila Hatob dihadapkan kepada Rasulullah SAW, beliau menjelaskan bahawa tujuan mengutus surat ke Makkah melalui seorang wanita untuk memaklumkan keluarganya mengenai keberangkatan Muslimin dan bukan berpaling tadah atau murtad. Alasan ini diterima Rasulullah SAW kerana beliau adalah salah seorang pejuang di medan Badar yang Allah SWT janjikan keampunan.

Setiba Rasulullah SAW di Makkah, orang Islam berjaya memasukinya tanpa tentangan sengit. Walaupun pertempuran berlaku, ia dapat dipatahkan oleh Khalid Ibn Walid dan sahabat lain.

Baginda menghancurkan berhala di sekeliling Kaabah sebagai simbol berakhirnya penyembahan berhala di Makkah.

- BERITA HARIAN

Ahad, Ogos 29, 2010

Program Sahur Ambang Merdeka 2010 Parlimen Kuala Terengganu

Warga Kuala Terengganu dijemput ke Program SAHUR AMBANG MERDEKA yang akan diadakan pada 30 OGOS 2010 (ISNIN) JAM 10.00 MALAM - 2.00 PAGI bertempat di WATERFRONT JALAN BALIK BUKIT, KUALA TERENGGANU. Jamuan makan disediakan.

Program ini adalah anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu. Penganjuran ini adalah kali kedua setelah berjaya dilaksanakan buat kali pertama pada tahun lalu. Program ini diadakan di seluruh negeri Terengganu mengikut kawasan Parlimen masing-masing.

Kehadiran anda amatlah dialu-alukan bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan dan Ramadhan tahun ini.


Info oleh : Nortetirozi Omar

Ramadhan Dibuka Pintu syurga Dan Ditutup Pintu Neraka

Hadith :

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”

(Bukhari & Muslim)

Huraian:

1. Kelebihan bulan Ramadhan ialah meluasnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan pada masa yang sama Allah SWT menutup pintu neraka dan merantai segala syaitan yang berkeliaran.

2. Umat Islam yang berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengamalkan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah serta tidak berpuasa melainkan kerana iman dan tidak kerana riya' (agar dilihat orang), sum'ah (agar didengar orang), ikut-ikutan, maka baginya keuntungan dan pahala yang berlipat ganda banyaknya bahkan syaitan sedikitpun tidak diberi kesempatan untuk menggoda atau menghasut mereka.

3. Bagi orang yang berpuasa tetapi masih bergelumang dengan dosa bermakna bahawa puasanya sama sekali tidak bermanfaat baginya. Yang diperolehinya hanyalah lapar dan dahaga dan Allah SWT tidak akan menerima amalannya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tol LDP percuma, tiga tawar diskaun

Sempena ulang tahun ke-53 kemerdekaan negara, syarikat konsesi Lingkaran Transkota Sdn Bhd (Litrak) memberi laluan percuma bagi pengguna Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) manakala tiga syarikat lain memberikan diskaun sebanyak 20 peratus.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, tol percuma untuk semua jenis kenderaan yang menggunakan LDP itu akan bermula dari pukul 12.01 pagi 31 Ogos sehingga tengah malam hari kemerdekaan.

“Sebanyak 450,000 kenderaan yang menggunakan LDP bakal menikmati faedah itu,’’ katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa di Kampung Bangkahulu, Gemas semalam.

Sementara itu katanya, Plus Expressway Berhad (Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson), Linkedua Sdn. Bhd. (Johor Bahru ke Singapura) serta Elite Sdn. Bhd. (Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah) bersetuju memberi diskaun 20 peratus pada 31 Ogos dan 1 September ini.

Menurut Shaziman, diskaun itu hanya untuk kereta persendirian yang melalui lebuh raya berkenaan dari 12 tengah malam hingga 7 pagi pada 31 Ogos dan 1 September.

- KOSMO!

Projek Susu Sekolah disambung Oktober

Projek Susu Sekolah (PSS) di sekolah kebangsaan di Semenanjung yang dihentikan dua tahun lalu akibat pelbagai masalah pembekalan hingga menyebabkan ada susu basi akan disambung semula Oktober ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan menyambung semula program itu bagi memastikan murid, terutama daripada keluarga berpendapatan rendah dan di luar bandar, memperoleh zat mencukupi untuk mengikuti pembelajaran.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementeriannya menerima cadangan Kerajaan Sabah yang memiliki pengeluaran susu terbesar di negara ini untuk menyambung semula program itu demi kesihatan murid.

“Sabah pengeluar susu terbesar di negara kita sekarang. Ada lebihan pengeluaran susu di negeri ini. Kementerian akan berbincang dengan kerajaan negeri bagaimana susu itu akan diedarkan.

“Skim ini dihentikan dua tahun lalu berikutan masalah pembekalan. Ada susu basi yang diberikan kepada murid. Ibu bapa tidak puas hati. Kalau boleh, skim itu akan dilaksanakan semula Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar taklimat pembangunan daerah ini daripada Pegawai Daerah, Zulkifli Nasir, di Hotel Executive, di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan beberapa Menteri Kabinet negeri.

Muhyiddin berkata, walaupun PSS dihentikan di Semenanjung pada 2008, program itu tetap diteruskan di Sabah dan Sarawak berikutan pembekalan susu berterusan dan berkualiti melalui pengeluar susu di negeri ini.

Ketika berucap pada majlis berbuka puasa di masjid Al-Rauddah anjuran UMNO Zon Enam membabitkan Bahagian Silam, Semporna, Tawau dan Kalabakan, Muhyiddin mengumumkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di daerah ini dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

- BERITA MINGGU

Soal Jawab Agama : Aidilfitri, Aidiladha ada fadilat tersendiri

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Soalan:

Saya ingin tahu, antara Aidilfitri dan Aidiladha mana lebih utama?

Jawapan:

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Dan supaya kamu bertakbir (membesarkan Allah) kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” Menurut Tafsir Ibnu Kathir ayat ini berkenaan pensyariatan Takbir Aidilfitri.

Dalam ajaran Islam hanya ada dua hari besar yang disebut dalam hadis Nabi SAW, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Malah, kedua-duanya agung atau penting. Kita mungkin boleh mengatakan Aidilfitri adalah hari raya peletakan batu asas pertama bangunan ajaran Islam kerana ia diadakan sesudah Ramadan iaitu wahyu pertama diturunkan pada bulan itu.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat-185 yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah.”
Aidiladha pula adalah peletakan batu yang terakhir bangunan Islam kerana pada tarikh 9 Zulhijjah, iaitu sehari sebelum Aidiladha, turun ayat yang dinilai banyak oleh ulama sebagai wahyu terakhir.

Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: “Pada hari ini , Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku sudah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku sudah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Atas dasar itu, amat sukar untuk kita menentukan yang mana antara kedua-duanya lebih utama. Memanglah ada hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa syaitan tidak pernah dilihat sebagai kecil dan hina sepanjang tahun seperti berlaku pada Hari Arafah (kecuali pada hari kekalahan kaum musyrik dalam Perang Badar).

Namun demikian, banyak juga yang menyebut mengenai keistimewaan Ramadan, bahkan al-Quran memuji bulan ini sebagai bulan yang istimewa kerana di sana ada malam yang penuh berkat iaitu malam Lailatulqadar.

Justeru, ada sesetengah tempat seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan lain-lain yang menyambut Aidilfitri lebih besar daripada Aidiladha. Negara lain pula seperti masyarakat Arab di Asia Barat meletakkan Aidiladha lebih besar daripada Aidilfitri.

Mungkin jugalah kita di Malaysia merayakan sedemikian kerana berasakan sudah memperoleh kebebasan selepas berjaya menahan nafsu selama sebulan demi kerana Allah SWT. Mungkin juga masyarakat Arab di Asia Barat membesarkan Aidiladha kerana menilainya yang turut dikenali Hari Raya Haji sebagai kesempurnaan agama.

Wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

Merdeka untuk apa?


Pada bulan Ogos tiap-tiap tahun, bendera Malaysia akan berkibaran di suluruh negara, suatu ekspresi semangat patriotik anak Malaysia. Di tepi bangunan, di atas kereta, di depan rumah, bendera ini simbolik akan kami merayakan kebebasan kami sebagai negara yang sudahpun mencapai kemerdekaan.

Pada saya, 31 Ogos 1957 merupakan detik paling penting dalam sejarah tanahair. Tanpa perjuangan Allahyarham Tunku Abdul Rahman, hidup kami akan amat berlainan sekali.

Siapa boleh bayangkan Malaysia di 2010 yang masih dijajah kuasa luar? Adakah kami akan dibenarkan untuk memilih jalan hidup sendiri? Hidup mengikut budaya bangsa? Mencipta undang-undang sendiri? Kemungkinan besar penduduk Malaysia tidak punya banyak pilihan, dan pilihan ialah asas kebebasan.

Saya sempat bersembang dengan seorang pelakon tambahan dari Bosnia tempoh hari. Katanya sejak akhirnya perang di negaranya itu, orang luar telah datang, mengambil alih kerajaan dan mencipta undang-undang baru.

Undang-undang seperti : Untuk penduduk Bosnia meminda atau mencipta undang-undang, mereka perlu mendapat persetujuan dari tiga bangsa utama Bosnia iaitu Bosnia, Serb dan Croat.

Seperti mana kami di Malaysia boleh bayangkan, betapa susahnya untuk mendapat persetujuan majority apatah lagi dari 3 kaum yang dah berperang sekian lama. Jadi kebebasan untuk penduduk Bosnia mencipta undang-undang mereka dikunci oleh kuasa luar.

Kami di Malaysia mempunyai kebebasan untuk memilih jalan hidup, tapi masalah di sini ialah bila dan bebas dan mempunyai pilihan, ramai tidak tahu apa yang ingin dibuat dengan kebebasan itu.

Bila ditanya pemuda-pemudi tanahair apa itu Merdeka, jawapan yang paling biasa didengar ialah 'Bebas dari dijajah'. Itu betul, negara yang merdeka memang negara yang bebas dari jajahan. Tapi itu merdeka daripada sesuatu. Soalan yang lebih bermakna ialah merdeka untuk apa?

Merdeka untuk mengejar impian. Bebas untuk menjalani hidup mengikut adat resam sendiri. Bebas untuk memilih jalan hidup sendiri. Bebas untuk mengekspresi keunikan diri. Bebas untuk mencipta sesuatu biar baik atau buruk. Malangnya, bebas juga untuk membuat perkara yang tidak berfaedah, perkara yang memudaratkan.

Sebenarnya itulah asas kemerdekaan. Dengan kebebasan datangnya tanggungjawab. Kalau kita tidak punya kebebasan, kita tidak perlu runsing kerana bila tiada pilihan, tiada tanggungjawab, tetapi bila kita miliki kebebasan, kita perlu menanggung kesan dari tindakan kita sendiri. Seperti mana kita bebas untuk mencipta hidup yang indah, kita juga bebas untuk menghancurkan hidup kita dan orang di sekeliling kita.

Pada umur 53 tahun, Malaysia masih negara yang muda. Terlalu banyak peluang dan kemungkinan untuk kita cipta dan gunakan. Kita negara yang aman dan kaya dengan sumber semulajadi.

Akan tetapi, saya sedih bila saya dengar berita. Kes mencuri, menyamun, korupsi, rasuah, buang bayi, rogol anak sendiri dan lain-lain gejala sosial adalah antara contoh penyalahgunaan kebebasan kita ini. Setiap manusia berhak memilih jalan hidupnya sendiri asalkan dia tidak menyusahkan kehidupan orang di sekelilingnya.

Jadi, pada moyang kita yang telah berjuang untuk kemerdekaan negara ini, jutaan terima kasih saya ucapkan kerana berjuang untuk kita anak Malaysia. Saya nekad, saya akan gunakan kebebasan ini untuk mencipta sesuatu yang berguna untuk tanahair yang ku cinta ini.

Jehan Miskin seorang pelakon, penerbit dan pengacara yang tahu hidupnya tak mungkin begitu indah tanpa kemerdekaan negara 31 Ogos 1957.

- MINGGUAN MALAYSIA

Malaysia tak pernah berlembut - PM

Malaysia tidak pernah berlembut dalam menangani isu demonstrasi melibatkan sekumpulan rakyat Indonesia yang mencemarkan kedaulatan negara di Jakarta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, berikutan itu, beliau mahu pemerintah Indonesia mengambil langkah- langkah perlu bagi membendung insiden di negara itu daripada berlarutan.

Beliau mengingatkan bahawa jika demonstrasi tersebut berlarutan, ia mungkin menimbulkan kemarahan dan reaksi negatif rakyat negara ini.

''Tidak, kita tidak berlembut dalam soal ini. Apa yang penting adalah tindakan pihak berkuasa Indonesia untuk tidak membiarkan perkara ini berlarutan terutama sekali terhadap mereka yang melakukan demonstrasi, kawalan di Kedutaan Malaysia dan apa-apa tindakan lain yang perlu diambil pemerintah Indonesia.

''Kita boleh jamin bahawa kita akan kawal keadaan di Malaysia tetapi kalau keadaan di Indonesia keterlaluan sangat, ia akan menjadi satu yang menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia. Kalau berterusan, ia akan mengundang reaksi daripada rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB), Tanam Semula Komersial (TSK) dan zakat RISDA di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan sebuah pertubuhan di Indonesia, Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang berazam meneruskan perjuangan mereka dan tidak akan berhenti daripada melakukan protes terhadap Malaysia.

Isnin lalu, sekumpulan rakyat Indonesia bertindak memijak Jalur Gemilang dan melemparkan najis manusia ketika berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Najib memberitahu, beliau telah menerima sepucuk surat daripada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berhubung isu yang sedang berlaku itu.

''Saya belum tengok lagi apa isi kandungannya tetapi saya percaya ia melahirkan rasa dukacita Indonesia terhadap apa yang berlaku.

''Apa yang penting adalah kita tidak biarkan perkara ini menjadi satu yang merosakkan hubungan dua hala antara Indonesia dan Malaysia.

''Hubungan ini saling menguntungkan dan Indonesia pun faham bahawa mereka mempunyai dua juta pekerja mereka di Malaysia dan banyak pelaburan Malaysia di Indonesia yang memberi faedah kepada perkembangan ekonomi mereka,'' katanya

Beliau berkata, kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama dan tidak akan membiarkan perkara itu menjadi satu yang boleh mengancam hubungan dua hala.

Ditanya tindakan pihak media Indonesia yang sering memperbesarkan isu berkaitan soal pekerja mereka di Malaysia, Najib menjelaskan, pihak berkuasa Malaysia sentiasa menangani isu yang timbul itu mengikut undang-undang.

- MINGGUAN MALAYSIA

Recent Posts