Isnin, Ogos 02, 2010

Walimatul Urus: Di Antara Sunnah Dan Yang Ditokok Tambah

Mewujudkan sebuah perkahwinan adalah merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Ini tidaklah seperti mana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, dan pertapaan para sami dari agama budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malahan sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.
Dengan izin dari Allah Subhanhu wa Ta’ala, tulisan ini cuba mengupas sebahagian daripada juzuk perkahwinan yang dimaksudkan. Tulisan ini bakal difokuskan kepada skop perlaksanaan majlis perkahwinan atau disebut sebagai walimatul urus.

Penulis terlintas untuk menulis berkenaan dengan topik ini adalah disebabkan melihat fenomena yang banyak berlaku pada akhir-akhir ini di mana majlis-majlis perkahwinan rata-ratanya semakin meriah tetapi pelik yang dilengkapi dengan kepelbagaian acara. Malah, ia dijadikan sebagai sebuah kebanggan bagi sesebuah pasangan pengantin baru sekiranya mereka berupaya mengadakan majlis perkahwinan mereka secara besar-besaran dengan disertai pelbagai juadah makanan dan acara tertentu yang menarik perhatian.

Ini termasuklah pelbagai bentuk makanan yang dihias dengan pelbagai rupa dan dimeriahkan lagi dengan upacara persandingan, muzik, tari-tarian dan nyanyi-nyanyian, upacara potong kek, adat menyarung cincin, dan seumpamanya. Bentuk upacara seperti ini kelihatannya begitu menyukarkan dan memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Apakah ia merupakan sebuah tuntutan di dalam agama atau sebaliknya, atau bagaimana.

Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahiwnan yang benar-benar dianjurkan oleh Syari’at sebagaimana yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih? Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syari’at dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya?

Dengan itu, maka tulisan ini pun disiapkan dan insyaAllah tulisan ini akan cuba menyampaikan dan menggariskan bentuk majlis perkahwinan (walimatul urus) yang bertepatan dengan agama kita yang suci lagi murni. Sekaligus melihat sejauh manakah majlis perkahwinan masyarakat kita ini yang sebenarnya telah banyak ditokok tambah dengan pelbagai bentuk perbuatan yang mungkar lagi bercanggah dengan syari’at. Lebih parah, ia turut menyusahkan kebanyakan pasangan yang ingin membina mahligai rumahtangga mereka masing-masing kerana diikat dengan perkara-perkara seperti itu.

Dengan mengetahui yang mana yang realiti lagi sahih daripada sunnah, maka seterusnya tiada masalah untuk kita membezakan di mana sebenarnya yang mungkar, yang ditokok tambah dan seterusnya kita berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan itu adalah sebuah majlis yang berhak mendapat keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memisahkannya dari apa yang tidak disyari’atkan (serta yang terlarang).

Definisi Walimatul urus

Menurut Imam ash-Shan’ani:

Kata walimah (وَلِيْمَة) diambil dari kata asal (ولم) yang bererti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagai mana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan yang lainnya. Bentuk kata kerjanya adalah awlama yang bermakna setiap makanan yang dihidangkan untuk menterjemahkan kegembiraan. Dan walimatul urus adalah walimah untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 724, Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:

Al-Walimah ertinya adalah makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada pesta (majlis) pernikahan secara khusus. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 310, Pustaka Ibnu Katsir)

Dari dua penjelasan ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan disebabkan berlangsungnya ikatan perkahwinan (pernikahan) .

Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiyallahu ‘anhu, di mana beliau berkata:

“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadi seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, beliau mengundang orang-orang, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1428)

Juga perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah:

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3219)

Hukum Mengadakan Walimatul Urus

Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan:

“Imam Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah”. Menurut jumhur, walimah itu disunnahkan (mandub). Ibnu Baththal berpendapat, “Aku tidak tahu apabila ada ulama yang mewajibkan, mungkin dia tidak tahu perbezaan ulama tentang hukum tersebut”.

Jumhur mengatakan hukumnya sunnah berdasarkan pendapat asy-Syafi’i rahimahullah.” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)

Manakala sebahagian pendapat mengatakannya sebagai wajib seperti pendapat mazhab Zahiri sebagaimana yang dijelaskan di dalam Subulus Salam, asy-Syafi’i di dalam al-Umm, dan juga pendapat Syaikh al-Albani di dalam Adabuz Zifaf.

Ada pun pendapat yang terpilih adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah:

“Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), bukan wajib.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil 7, m/s. 2)

Siapa Yang Mengadakan Walimah

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh Suami. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri dan turut dicontohi oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Juga dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan:

“‘Abdurrahaman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma)”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan walimah.

Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir. (Rujuk Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Waktu Walimah

Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i menjelaskan bahawa waktunya adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama.

Ibnu as-Subki berkata:

“Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin, perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 727, Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, walimah tidak diadakan ketika perjalanan akad nikah berlangsung atau sebaik akad nikah, tetapi adalah setelah pasangan bersama (bersetubuh) . (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 311, Pustaka Ibnu Katsir)

Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Amru Abdul Mun’im Salim:

“Seseorang hendaklah menyelenggarakan walimah setelah ia berkumpul dengan isterinya.” (Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah Menuju Keluarga Sakinah, m/s. 177, Dar an-Naba’)

Hukum Menghadiri Undangan Walimah

Hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib. Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5173)

Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri undangan walimah juga turut dijelaskan oleh Ibnu ‘Abdil Barr, imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi kesepakatan para ulama.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Walau pun begitu, undangan ke majlis walimah boleh ditinggalkan sekiranya memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan berikut:

1 – Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak), gambar-gambar makhluk bernyawa, dan permainan alat-alat muzik dan nyanyian. Sekiranya ini berlaku, maka seseorang tidak perlu menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut. Sekiranya dia berjaya mencegahnya, maka itu adalah satu kebajikan, dan sekiranya tidak berjaya, hendaklah dia segera beredar.

Ini adalah sebagaimana hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”

Beliau menjawab:

“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3359. Dinyatakan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah dan Adabuz Zifaf)

Juga hadis dari ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja makan yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar).” (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 152, Media Hidayah)

2 – Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir, makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani di mana diizinkan untuk tidak memenuhi undangan walimah “apabila adanya uzur di antaranya, apabila makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat (tidak jelas kehalalannya) , atau diperuntukkan kepada orang-orang kaya sahaja, atau ada orang yang tidak senang dengannya...” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 729, Darus Sunnah)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh meninggalkan solat Juma’at, seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir)

Digalakkan Mengundang Orang Bertaqwa (Soleh)

Ini adalah sebagaimana hadis berikut:

“Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertaqwa.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811. Hadis ini hasan menurut penilaian al-Albani)

Daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa kepada Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya:

“Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang puasa berbuka di tempatmu.” (Hadis Riwayat Ahmad. Lihat: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 157, Media Hidayah)

Dan jangan sekali-kali hanya mengundang orang-orang yang kaya lalu melupakan orang-orang yang memerlukan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Bolehkah Orang Yang Berpusa Menghadiri Walimah?

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu diundang, hendaklah dia memenuhi undangan tersebut, jika dia sedang berpuasa hendaklah dia mendoakan, dan jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1431)

Menurut Imam ash-Shan’ani, hadis ini menunjukkan wajibnya memenuhi undangan walaupun dia sedang berpuasa. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 732, Darus Sunnah)

Dan sebenarnya tidak ada perbezaan akan kewajiban untuk memenuhi undangan walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak. Akan tetapi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa untuk menghadirinya sahaja tanpa menyantap hidangan dan dianjurkan mendoakan orang yang mengundangnya.

Namun, jika dia mahu, dia boleh untuk memakannya, atau tidak memakannya. Dan jika dia membatalkan puasanya, puasa sunat yang ditinggalkannya tidak wajib diganti.

Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika salah seorang dari kamu diundang makan, maka hendaklah dia menghadirinya. Jika mahu, dia dibolehkan makan, jika tidak mahu dia boleh untuk meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1430)

Anjuran Supaya Mendoakan Pasangan Pengantin

Di antara keindahan di dalam Sunnah adalah mendoakan kebaikan, keberkahan, dan memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis makan (walimah).

Di antara doa-doa yang disunnahkan kepada kita untuk berdoa dengannya adalah sebagaimana berikut:

Doa untuk pasangan pengantin:

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, beliau akan berkata:


بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ


“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadis ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Albani di dalam Adabuz Zifaz)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf:


بَارَكَ اللهُ لَكَ


“Semoga Allah memberkahimu. ..” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Doa ketika Rasulullah menikahkan ‘Ali dengan Fatimah:


اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا


“Ya Allah, berkahilah mereka berdua dan berkahilah perkahwinan mereka berdua.” (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani di dalam al-Kabir. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 160, Media Hidayah)

Doa untuk orang yang mengundang makan:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendoakan untuk Abdullah bin Busr radhiyallahu ‘anhu dan keluarganya (ayahnya) di ketika dia selesai dijamu makanan:


اَلَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِر لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ


“Ya Allah, berkahilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1615)

Dan dianjurkan bagi mereka yang diundang untuk mengucapkan terima kasih di atas undangan yang diberikan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811)

Mengucapkan Ucapan Yang Tidak Disyari’atkan

Adalah tidak dibenarkan meninggalkan ucapan-ucapan (doa) yang telah sedia dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seperti yang disebutkan di atas, lalu diganti dengan ucapan-ucapan yang tidak sewajarnya.

Sebagai contoh, pada masa ini begitu ramai yang mempopularkan bentuk-bentuk ucapan seperti:

“Selamat pengantin baru.”

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini telah pun disentuh oleh para ulama sejak awal lagi.

Di antaranya al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan:

“Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” (Fathul Bari, jil. 9, m/s. 222. Rujuk: Abu Hafsh Usamah, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 232, Pustaka Ibnu Katsir)

Ini adalah kerana, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah melarang perbuatan seperti itu sebagaimana yang dijelaskan oleh ‘Uqail bin Abu Thalib.

Ini berlaku di ketika ‘Uqail berkahwin dengan seorang wanita dari suku Jasyam. Lalu orang-orang yang mengunjunginya mengucapkan:

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

‘Uqail pun berkata, “Janganlah kamu mengucapkan seperti itu (kerana Rasulullah telah melarangnya) .” Mereka pun bertanya, “jadi, apa yang harus kami ucapkan, wahai Abu Zaid?”

‘Uqail berkata,

“Ucapkanlah: Semoga Allah memberkahimu di dalam kesenangan atau pun kesusahan”. Begitulah kita diperintahkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, Ahmad. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 162, Media Hidayah)

Disunnahkan Memberi Hadiah dan Membantu Melaksanakan Walimah

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Setelah Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam menikahi Shafiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Berdasarkan hadis ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan:

“Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (bekalan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah)

Demikianlah sesebuah majlis walimah (walimatul urus) yang ditunjukkan oleh Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan diamalkan oleh para sahabat dan generasi awal umat Islam lainnya. Ianya begitu mudah dan ringkas.

Di bahagian seterusnya, tulisan akan difokuskan kepada beberapa contoh amalan di dalam masyarakat Melayu ketika majlis-majlis walimah mereka pasa masa kini. Sekaligus kita akan melihat sama ada ianya harus, sunnah, atau sebaliknya yang membawa kepada larangan syari’at mahu pun bid’ah.


Kemungkaran dan Tokok Tambah (Bid’ah) Di Dalam Majlis Walimah

Bahagian ini ditulis adalah berdasarkan pemerhatian terhadap majlis walimah (walimatul urus) tertentu di sekitar masyarakat Melayu Semenanjung Malaysia.

Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki- Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, 24: 21)

“Waai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)

Manakala tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:

“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1097)

Begitu juga di dalam beberapa hadis yang lain, kita turut diperingatkan.


Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Dengan lebih tepat, “Bid’ah adalah sebuah cara baru di dalam agama yang dibuat menyerupai seakan-akan syari’at dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Imam asy-Syatibi, di dalam al-I’tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)

Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak disyari’atkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar di dalam walimatul urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas bertentangan dan mengajak kepada perbuatan bid’ah. Sekiranya kita menganggap dan berkeyakinan bahawa sesebuah ritual atau sesuuatu amalan yang pada asalnya tidak disyari'atkan ke dalam sesebuah majlis walimah, dan sekiranya amalan tersebut tidak diadakan di dalam majlis walimah tersebut, kita mengatakan bahawa walimah tersebut tidak lagi lengkap, tidak lagi sempurna, kelihatan janggal, atau tidak berseri atau seumpamanya, maka sebenarnya kita telah menuju kepada perbuatan bid'ah. Iaitu menuju kepada perbuatan yang sebenarnya tidak pernah ditetapkan oleh syari'at, tetapi kita telah memandai-mandai sendiri menetapkannya. Ini adalah kerana, walimah adalah sebuah ibadah yang disyari'atkan oleh allah melalui Nabi-Nya Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Apatah lagi sekiranya, perkara yang ditambah itu adalah merupakan perbuatan-perbuatan yang mungkar dan membawa kepada larangan yang berat di sisi Allah.

Perbahasan di dalam bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas mungkin dan padat.


1 – Membuka Aurat

Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain yang tipis.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada... (mahram mereka)...” (Surah an-Nuur, 24: 31)

Untuk lebih lanjut berkenaan perbahasan aurat wanita, bolehlah merujuk tulisan bertajuk: “Pakaian Seorang Wanita Beriman (Muslimah) Menurut al-Qur’an & as-Sunnah” di blog fiqh penulis. Atau boleh juga merujuk sebuah buku yang baik karya Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani bertajuk, “Jilbab al-Mar’atil Muslimah”, dan buku ini telah pun diterjemahkan oleh Media Hidayah dan Pustaka at-Tibyan dengan tajuk “Jilbab Wanita Muslimah”.

2 – Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita

Dari Abu Musa al-Asy’ary radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

“Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)

“Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki.” (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“... Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

3 – Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4886)

4 – Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5889)

Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

“Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 184, Media Hidayah)

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

5 – Mencukur Janggut

Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan di dalam banyak hadis-hadisnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu diikuti.

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5893)

Untuk perbahasan lanjut berkenaan hukum dan sunnah memelihara janggut ini, anda bolehlah merujuk sebuah tulisan yang ditulis oleh Ustaz Rasul Dahri yang telah saya letakkan di dalam blog fiqh saya bertajuk “Pandangan Syari’at Berkenaan Pemeliharaan Janggut”.

6 – Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan

Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam.

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah:

“Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadis yang melarang lelaki mengenakan cincin emas...” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)

Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.

Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syari’at.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

7 – Adat Bersanding dan Pelamin

Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.

Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah:

“Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata:

“Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)

8 – Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga

Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syari’at atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara perkahwinan mereka.

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, 2: 104:

“Allah Ta’ala melarang hamba-hamba- Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri) , jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)

Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2697)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

9 – Adat Merenjis Air Mawar

Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakina n) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.

10 – Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10 000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syari’at hanyalah memberikan mahar (maskahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan maskahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya nikah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan...” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)

“... Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban...” (Surah an-Nisaa’, 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 24595)

Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadis.

Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya.

11 – Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Di dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa:

“Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (al-Albani, Silsilah Hadis ash-Shahihah, no: 225)

Dan para ulama juga menetapkan serta menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah menyentuh wanita yang tidak halal baginya walau pun di dalam peristiwa bai’ah.

Berkenaan perkara ini juga, telah jelas di dalam al-Qur’an bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya kaum lelaki dan wanita yang beriman supaya tunduk dari memandang kaum berlainan jantina mereka, maka apatah lagi jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan, sedangkan perbuatan pandang memandang sahaja pun sudah ditegah.

12 – Tahlilan dan Kenduri Bacaan Doa Selamat

Amalan ini adalah merupakan bid’ah yang merupakan tokok tambah di dalam agama yang kini sangat banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu. Untuk penjelasan lanjut berkenaan amalan ini, silakan merujuk buku kecil bertajuk “Yasinan dan Tahlilan Menurut Mazhab Syafi’e”, tulisan Abu Farouq Ustaz Rasul Dahri, terbitan Jahabersa.

13 – Sesi Nanyian-nyanyian, Muzik dan Kugiran

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Akan muncul dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras), dan alat-alat muzik...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5590)

Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu menjelaskan dengan tegas bahawa muzik dan nyanyian adalah termasuk perkara yang tidak berguna.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan persoalan muzik dan nyanyi-nyanyian ini, dipersilakan merujuk kitab karya Imam Ibnul Qayyim, bertajuk Ighaatsatul Lahfan atau Syaikh al-Albani, bertajuk Tahriim Alath ath-Tharb, dan kitab syaikh al-Albani ini telah ada terjemahannya.

14 – Permainan Kuda Kepang

Permainan kuda kepang adalah merupakan amalan yang bermula dari masyarakat kaum Jawa. Ia kini agak popular di beberapa kawasan seperti di di Johor dan Selangor.

Ada pun sebenarnya, sebahagian amalan yang dilakukan di dalam permainan kuda kepang ini adalah perbuatan yang boleh membawa kepada syirik. Ini adalah disebabkan di dalamnya mengandungi perbuatan berhubungan atau berunding (mengadakan perjanjian) dengan jin dan syaitan, selain pemujaan menggunakan ayam jantan dan asap kemenyan.

Imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah berkata:

“Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah dengan meminta dipenuhi keperluan-keperluan nya, dipenuhi kemahuannya, atau menerima berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya. Sedangkan cara jin mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan pengagungan manusia terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan permohonan keselamatan, serta ketundukan manusia kepadanya.” (Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 98, Pustaka at-Tibyan)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah al-Jin, 72: 6)

Selain itu, permainan kuda kepang ini di dalamnya juga disertai dengan pelbagai bunyi-bunyian tertentu yang menjurus kepada muzik terlarang.

15 – Bomoh Tolak Hujan

Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun. Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan supaya tempat diadakan majlis walimah sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri...” (Surah al-An’am, 6: 59)

Rasulullah Slallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya:

“Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal (bomoh), demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (Imam ath-Thahawi, Aqidah ath-Thahawiyah. Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 90, Pustaka at-Tibyan)

Berkenaan turunnya hujan, banyak hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyarankan kita supaya bersyukur di atas sebab turunnya hujan. Ini adalah sebagaimana di dalam doa yang dicontohkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman, dan binatang).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1032)

Dan penjelasan Rasulullah sendiri sebagaimana berikut:

“Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1038)

Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan doa tersebut sebagaimana berikut:


اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ


“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1013)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan apabila hamba-hamba- Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)

Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan bomoh, pawang, atau pun dukun yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki kelebihan ilmu ghaib tertentu ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan kepada kita melalui sabdanya:

“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

16 – Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar

Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika aku bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, pendapatan (periuk nasi) aku adalah dari hasil kerja tanganku dan kerjaku adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas berkata, “Aku sekadar memberi tahu apa yang aku dengar dari Rasulullah. Aku mendengar beliau bersabda, “Sesiapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya untuk menghidupkannya”. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, aku nasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2110)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Secara ringkasnya:

1 – Dilarang melukis, menggantung, dan membuat gambar berupa makhluk bernyawa seperti manusia atau haiwan, atau apa sahaja yang menunjukkan ia sebagai makhluk bernyawa.

2 – Dibolehkan melukis atau membuat gambar selain makhluk bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, air terjun, bangunan dan kenderaan.

3 – Pengambilan gambar hanya diizinkan untuk perkara yang benar-benar mendesak lagi memerlukan seperti untuk tujuan passport.

4 – Tidak dibenarkan untuk mengambil gambar bagi tujuan kenang-kenangan sebagaimana yang difatwakan oleh Syaikh Ibnu Bazz.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan dengan hukum mengambil, melukis, menggantung, atau membuat gambar ini, dipersilakan merujuk tulisan bertajuk, “Lukisan/Gambar: Larangan Membuat dan Menggantungnya”.

17 – Upacara Memotong Kek Perkahwinan

Perbuatan ini juga bukan berasal dari syari’at Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.

18 – Berbelanja Besar Untuk Set Pakaian

Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan berlebih-lebihan.

Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak menghormati adat.

Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang memberat-beratkan umatnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, 7: 31)

Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular dilakukan (dipraktikkan) di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis perkahwinan mereka. Ada beberapa lagi amalan/perkara yang sebenarnya dapat kita kategorikan sebagai perbuatan yang mungkar, bid'ah dan melanggar syari'at Islam yang kebiasaannya berlaku (dilakukan) ke dalam walimatul urus cuma tidak disentuh di sini seperti adat majlis bacaan berzanji, majlis bacaan doa selamat, majlis yasinan, adat menepung tawar, dan perlakuan ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram). Dengan itu, hendaklah kita berhati-hati dengan perkara-perkara seperti ini dan sentiasa berusaha dengan sedaya upaya menjauhinya. Walau bagaimana pun perkara-perkara mungkar seperti disebutkan berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan menandingi apa yang telah disyari’atkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Dan suatu yang paling penting di dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil dari perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat- Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am, 6: 115-116)

Sebagai penutup, sekali lagi penulis jelaskan bahawa sebenar-benar perkataan adalah perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Dan,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui Kitab-Nya dan Rasul-Nya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaan-Nya dan hindarilah dari kemurkaan-Nya.

Wallahu a’lam...

SUMBER : http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

Kenali Rasulullah SAW Manusia Agong

BIODATA ASAS RASULULLAH SAW

* Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.

* Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).

* Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.

* Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.

* Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.

* Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).

* Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).

* Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN

* Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN

* Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ‘ (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
* Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN

* Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
* Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

* Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
* Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN

* Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘ Sirah ‘ , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun.
* Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
* Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul ‘ ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN

* Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
* Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
* Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN

* Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
* Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.
* Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘ Hajarul-Aswad ‘ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

* Menerima wahyu di gua Hira ‘ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

Cop Mohor Rasulullah s.a.w

USIA 53 TAHUN

* Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
* Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN

* Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

* Khadijah Binti Khuwailid.
* Saudah Binti Zam’ah.
* Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
* Hafsah binti ‘ Umar (anak Saidina ‘ Umar bin Al-Khattab).
* Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
* Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
* Zainab Binti Jahsy.
* Maimunah Binti Harith.
* Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
* Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘ Ummu Al-Masakin ‘ ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra ‘

ANAK TIRI RASULULLAH SAW

* Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy.
* Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

IBU SUSUAN

1. Thuwaibah Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

SAUDARA SUSUAN

1. Halimah Al-Saidiyyah
2. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
3. Abdullah bin Harith bin Abdul ‘ Uzza
4. Syaima ‘ binti Harith bin Abdul ‘ Uzza
5. ‘Aisyah binti Harith bin abdul ‘ Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah ***
5. Al-Abbas ***
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
8. Abdul Ka ‘ bah
9. Hijl
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13. Atiqah ##
14. Arwa ##
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***

*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Mari kita hayati Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud) ini :
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )
Nabi Muhammad SAW - Manusia agong

NABI MUHAMMAD S.A.W. secara lahiriahnya, begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:

* Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw.
* Aku melihat cahaya dari lidahnya.
* Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
* Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
* Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
* Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
* Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
* Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
* Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
* Wajahnya seperti bulan purnama.
* Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
* Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
* Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
* Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
* Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
* Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
* Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
* Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
* Janggutnya penuh dan tebal menawan.
* Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
* Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
* Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
* Rambutnya sedikit ikal.
* Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
* Rambutnya terbelah di tengah.
* Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
* Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
* Seimbang antara kedua bahunya.
* Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik..
* Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
* Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
* Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
* Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
* Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
* Warna putihnya lebih banyak.
* Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
* Warna kulitnya putih tapi sihat.
* Kulitnya putih lagi bercahaya.
* Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
* Badannya tidak gemuk.
* Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
* Perutnya tidak buncit.
* Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

KESIMPULAN
Nabi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman. Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia. Kita mestilah menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola dan contoh ikutan. Banyakkan berselawat ke atas baginda SAW. Semoga baginda memberikan syafa’atnya kepada kita semua di akhirat kelak, insyaAllah.

Kredit - Noly

Ahad, Ogos 01, 2010

Datuk bandar London seru berpuasa


LONDON - Seorang pemimpin politik dari parti Konservatif, Boris Johnson menyeru penduduk London berpuasa selama sehari pada bulan Ramadan bagi memahami ajaran Islam dan menghapuskan persepsi negatif mengenai masyarakat Islam.

Bekas wartawan The Times dan The Daily Telegraph berasal dari New York, Amerika Syarikat itu berkata demikian ketika melawat Masjid East London selepas dilantik menjadi Datuk Bandar London menggantikan Ken Livingstone kelmarin.

"Cuba berpuasa walaupun sehari dan berbuka di masjid, anda pasti lebih memahami ajaran Islam," kata Johnson, 46, dan kemudian turut memuji lebih 600,000 penduduk Islam di London dalam membangunkan ibu negara Britain itu sejak sekian lama.

- Agensi

Kopi baik atau buruk?

Adakah kopi baik atau buruk untuk kesihatan? Hakikatnya ia terpulang kepada pilihan kita.

Menambah tenaga

Kopi dikatakan berguna untuk menambah tenaga dan membuatkan orang terjaga daripada ngantuk. Kandungan utama dalam kopi adalah kafein, yang berfungsi sebagai perangsang susunan saraf pusat (otak), sistem pernafasan, serta sistem pembuluh darah dan jantung. Sebab itu tidak hairan setiap kali kita minum kopi dalam jumlah yang sederhana (1 - 3 cawan), tubuh kita terasa segar, daya berfikir lebih cepat, tidak mudah penat dan mengantuk.

Ubat sakit kepala

Kafein sering kali dijadikan salah satu bahan pelengkap ubat sakit kepala. Ini kerana kafein memiliki kemampuan menyempitkan pembuluh darah ke otak sehingga pelebaran pembuluh darah di daerah otak yang merupakan penyebab sakit kepala berkurangan

Mengurangkan lemak

Lebih menarik, kafein dikatakan dapat menyusutkan lemak. Secara psikologi, tubuh badan yang gemuk kurang mampu membakar lemak ketika bersukan berbanding mereka yang bertubuh normal. Hasilnya, badan akan membakar karbohidrat sebagai sumber tenaga, sehingga kadar gula darah cepat merosot. Sebab itulah orang gemuk rasa lapar berlebihan setelah bersukan atau bersenam dan akhirnya cenderung makan lebih banyak. Dengan minum tiga cawan kopi, tubuh mereka akan bertindak balas untuk membakar lebih banyak lemak. Kafein membantu memecah lemak menjadi sumber tenaga sedia guna. Perkara ini mendorong badan lebih banyak memanfaatkan lemak, sehingga pembakaran karbohidrat menjadi lebih terbatas. Yang perlu diperhatikan kandungan gula dalam kopi terkawal.

- MINGGUAN MALAYSIA

Puasa bina kekuatan diri

Oleh HARUSSANI ZAKARIA

Bersempena dengan kehadiran Ramadan al Mubarak yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi, saya mengambil kesempatan dalam ruangan ini untuk memberi sedikit komentar tentang ibadah puasa yang begitu ditunggu-tunggu oleh mereka yang mengaku beriman dengan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-baqarah ayat 185 yang bermaksud:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."

Sudah menjadi ketetapan dan kebijaksaan Allah SWT melebihkan sebahagian atas sebahagian yang lain, sepertimana Ia melebihkan sebahagian hari ke atas sebahagian hari yang lain, sebahagian malam ke atas sebahagian malam yang lain, begitu juga sebahagian bulan ke atas sebahagian bulan yang lain. Maka, begitulah bulan Ramadan yang bakal menemui kita beberapa hari lagi, Allah SWT melebihkannya dengan beberapa ciri dan keistimewaan melebihi dari bulan-bulan sebelum dan selepasnya. Allah SWT menganugerahkan di dalam bulan yang mulia ini dengan penurunan al Quran yang menjadi penyuluh dari kegelapan kufur kepada cahaya iman. Dari kehinaan kejahilan kepada kemulian pengetahuan. Dari kerapuhan bermasyarakat kepada kekuatan berjamaah. Begitulah anugerah yang tiada tara dan nilainya anugerah dari Allah SWT yang maha agung untuk para warga bumi agar mereka sentiasa memurnikan ibadah hanya kepadaNya.

Allah SWT dengan keagungannya jua telah menetapkan ke atas manusia yang beriman untuk melaksanakan sepanjang siang hari di bulan yang penuh keberkatan ini dengan menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang boleh membawa kepada terbatalnya puasa. Bukan sekadar itu sahaja, malah umat Islam juga dituntut agar menghindarkan diri daripada melakukan pelbagai perkara yang boleh mencacatkan pahala puasa seperti mengumpat, mencaci, memandang perkara mungkar dan lain-lain lagi yang disebut sebagai perkara keji dan mungkar.

Sejarah mencatatkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini juga, berlaku peristiwa pembukaan kota Mekah yang mana pembukaan ini merakam suatu lembaran baru dalam sejarah Islam. Bermula dari lembaran ini, maka tersebar siarnya laungan kalimah Allah ke seperempat semenanjung Arab yang akhirnya membawa Islam berkembang dengan pesat ke serata alam timur dan barat. Natijah dari itu, umat Islam dihormati dan dipandang mulia dengan ketinggian akhlak dan kesopanannya. Pemerintah Islam dan keadilan pemerintahannya menyerlahkan lagi ketinggian martabat Islam ia berjaya menarik minat warga kuffar kepada agama Islam itu sendiri.

Jelas di atas bagaimana Ramadan, merupakan bulan gemilang bagi umat Islam dalam memaksimumkan kualiti dan kuantiti ibadat, malah memperkukuhkan semangat perjuangan dan pengorbanan. Kesemuanya itu terhasil bila manusia dengan kekuatan iman yang ada berjaya mengoptimumkan kekuatan diri dan akhlak dalam menewaskan musuh nafsu dan syahwat yang sentiasa mengikuti mereka.

Engkar

Apa yang dapat kita lihat dan dapati hari ini, bulan Ramadan datang dan pergi setiap tahun. Ramadan tidak pernah engkar untuk datang menemui umat Islam dan kita juga dalam keadaan reda menyambut kedatangan Ramadan biarpun dalam keadaan bersedia atau sebaliknya. Namun apa yang kita lihat hari ini, umat Islam masih berhadapan situasi sukar dengan rantaian permasalahan yang tidak kunjung padam. Isu sosial seperti zina, pembuangan bayi, jenayah,ekonomi dan begitu juga perpaduan ummah masih kabur untuk mencari jalan penyelesaiannya. Inilah yang telah disabdakan oleh baginda nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan bahagian dari puasanya melainkan lapar dan dahaga, dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan bahagian dari ibadahnya melainkan rasa mengantuk saja." Hadis no 8501 ini Riwayat Imam Ahmad menjelaskan bahawa sekiranya kerendahan kualiti ibadat yang sedemikian menempel pada diri umat Islam, nescaya amat sukar untuk mereka menyelesaikan persoalan-persoalan besar dalam kehidupan mereka.

Rupa-rupanya nilaian puasa yang hanya sekadar berlapar dahaga, solat sekadar berdiri menghadapkan diri ke kiblat semata-mata bagi melepaskan diri dari taklif sahaja, sudah pasti tidak ada kesan yang mendalam pada jiwa dan rohani, belum tentu ibadat itu hidup dan kembali menyuburkan roh pelakunya. umpamanya, seorang pelajar yang cuma belajar bagi memperoleh markah lulus 'cukup makan' semata-mata bagi melayakkannya mendapat segulung sijil. Maka, kesannya adalah pelajar tersebut tidak mampu untuk memahami apa yang telah diajar kepadanya dengan baik dan seterusnya gagal untuk mempraktikkan ilmu tersebut di luar sekolah dengan berkesan, apatah lagi mahu mengajarkannya.. Ini kerana ilmu yang difahami dan dihayati sepenuhnya di sekolah mempunyai roh yang tinggi yang terkesan buat jiwa dan pemikiran. Begitulah puasa yang dilakukan tanpa penghayatan dan kerendahan hati memohon keredaan Allah SWT, nescaya tiada nilai di sisi Allah SWT apatah lagi untuk mengharap pengampunan dariNya. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa karena iman dan mengharap pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu".

(Imam Bukhari - hadis no:37)

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan-kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan-kewajipan bathiniyahnya. Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniah puasa itu antaranya :

1) Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pandangan daripada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh Islam dan segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta'ala.

2) Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, berbohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak.

3) Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, kerana setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan.

4) Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa.

5) Jangan membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

6) Hendaklah hati merasa bimbang dan takut, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah SWT , sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT.

Atas adunan enam perkara yang telah disebutkan, bahawa puasa itu puasa mata, telinga, lidah, pemikiran dan hati. Puasa bukan saja dari perkara haram malah dari apa yang makruh dan berlebih-lebihan. Puasa yang semata-mata kerana Allah SWT dan untuk Allah SWT, bukan kerana 'diet' mahupun ikutan atau budaya, puasa inilah yang akan memberikan ganjaran cemerlang untuk kita semua.

Puasa menyatukan umat ini.

Kedatangan bulan Ramadan sepatutnya menyerlahkan perpaduan di kalangan umat Islam. Di pelosok bumi mana pun kita berada, pastinya kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan melaksanakan ibadah yang sama dengan saudara seagama kita di bumi yang lain. Tidak kira apa jua bangsa, warna kulit dan keturunan. Kita bersama-sama berpadu merasai kelaparan bukan kerana menuruti arahan saudara mara mahupun proksi kita, tetapi kita menuruti arahan yang datangnya dari Allah SWT yang Maha Agung. Begitulah hal-hal lain dalam kehidupan kita bermasyarakat, apakah kita masih gagal berpadu dan bersatu atas tali Allah, sedangkan Allah SWT yang esa itulah juga yang menyuruh kita bertindak sedemikian.

Puasa Ramadan juga mengingatkan kita akan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh saudara seagama kita di tempat yang lain. Dugaan yang ditempoh sepanjang Ramadan menimbulkan simpati, kasihan belas, kasih sayang, semangat persaudaraan terhadap umat Islam lain. Dengan kedatangan Ramadan, tidakkah terlintas di dalam hati kita akan mihnah perjuangan rakyat Palestin? Pergolakan yang berlaku di Iraq dan kesusahan umat Islam yang lain. Maka, perasaan sedemikian wajar disematkan dalam diri umat Islam biarpun terdapat sedikit perbezaan pandangan dan ideologi.

Maka oleh kerana itu saya menyeru dan memperingatkan diri saya dan kita semua untuk menilai kualiti ibadah puasa kita apakah ia sudah mencapai markah cemerlang atau sekadar 'cukup makan'. Puasa yang sepatutnya menjadikan diri kita ini bertaqwa, jika ternyata belum berlaku kita sepatutunya memuhasabahkan diri kita selagi kita punya peluang bertemu dengan Ramadan ini. Akhir kata saya ucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam, semoga Allah SWT akan menerima segala ibadat kita nanti, amin ya Rabbal alamin.

- MINGGUAN MALAYSIA

Minoriti dalam majoriti

Oleh DR MOHD RIDHUAN TEE

Umat Islam tanpa mengira bangsa di Malaysia berjumlah lebih kurang 60 peratus. Manakala selebihnya 40 peratus adalah orang bukan Islam yang menganuti pelbagai agama dan ajaran seperti Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Toaism, Konfucianisme dan sebagainya. Secara nisbahnya adalah 1:6 atau lebih.

Sama juga parti Melayu, UMNO adalah satu-satunya, berhadapan dengan 12 parti komponen bukan Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dengan nisbah 1:12 atau lebih.

Sementelahan parti yang dikatakan 'memperjuangkan Islam' juga hanya ada satu iaitu PAS, berhadapan dengan sekutu sekularnya parti ultra kiasu dan PKR dengan nisbah 1:2 atau lebih. Begitu juga dengan persatuan-persatuan (NGO) berasaskan kaum yang lain. NGO Cina (huatuan) sahaja mempunyai hampir 9,000 buah. Ini belum termasuk NGO bangsa lain.

Pendek kata, dalam kedudukan apa sekalipun agama Islam, parti Melayu dan parti Islam, tetap menjadi minoriti dalam majoriti, apabila mereka berada dalam gabungan atau pakatan, kerana mereka hanya ada satu. Jika undian dijalankan dalam barisan atau pakatan, sudah tentu kumpulan ini tidak akan mendapat majoriti. Bukan kerana umat Islam tidak boleh menubuhkan pertubuhan, tetapi disebabkan oleh konsep 'kesatuan' yang menyebabkan kemunculan tidak sebanyak yang lain.

Begitu jugalah penubuhan persatuan agama-agama bukan Islam di sekolah-sekolah yang hangat diperkatakan baru-baru ini terutama dalam media cetak dan elektronik ultra kiasu seperti Malaysia Insider dan sekutunya. Mereka begitu beriya-iya benar menuntut persatuan-persatuan bukan Islam di sekolah-sekolah dikekalkan dan dihidupkan. Bahan berita ini disensasikan, walaupun terpaksa meredah onak duri dan lautan api. Cuba kita fikir sejenak kenapa mereka bersikap sedemikian?

Alangkah baiknya jika kita mempunyai semangat yang kuat seperti mereka. Malangnya, kita hanya hangat-hangat tahi ayam, bila isu telah sejuk, mudah dilupakan. Sedangkan mereka begitu kuat ingatan dan agresif. Malang sungguh jika ada orang Islam yang bersubahat dengan mereka.

Sudah menjadi budaya politik kita, apa yang kurang mahu ditambah. Yang sudah bertambah disenyapkan dan kalau boleh ditambah lebih banyak lagi. Lebih kiasu lagi, mereka mahukan pekeliling tahun 2000 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Kementerian Pelajaran dimansuhkan. Pada mereka, penubuhan persatuan agama-agama tidak perlu melalui Kementerian Pelajaran, cukup sekadar pihak sekolah yang meluluskan. Ultra kiasu sungguh mereka, bersatu hati dalam mempertahankan hak dengan mengambil Rukun Negara sebagai sandaran hujah. Apakah umat Islam tidak dapat melihat muslihat ini?

Selaku Yang DiPertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), penubuhan PIBG pun perlu mengikut prosedur dan kelulusan daripada Kementerian Pelajaran. Sekolah tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kelulusan. Apa jua aktiviti perlu dimaklumkan dan dilaporkan kepada PPD. PIBG tidak boleh bertindak sesuka hati. Apatah lagi pertubuhan seperti yang dibangkitkan ini. Apakah penubuhan persatuan agama-agama perlu dibiarkan begitu sahaja? Apakah justifikasi penubuhan persatuan ini jika bukan ada udang sebalik batu?

Perangkap

Dalam konteks yang lebih besar, keputusan umat Islam untuk tidak menyertai Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme serta membatalkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) adalah satu langkah bijak bagi mengelakkan perangkap. Itupun mereka masih tidak berputus asa, terus-menerus mendesak.

Kita amat bertuah kerana kedudukan agama Islam dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan agama Islam dan umat Islam di tempat yang istimewa. Jika tidak, apakah nasib agama dan bangsa majoriti ini jika hanya bergantung kepada undian.

Cuba senaraikan apa yang bukan Islam belum dapat lagi atau belum puas lagi dari aspek kebebasan keagamaan dan berpersatuan di negara ini? Bilangan rumah ibadat? Hak untuk beribadat? Saiz rumah ibadat? Persatuan bangsa dan agama? Ekonomi serta apa lagi? Boleh dikatakan tidak wujudkan lagi nisbah 1 > 1. Yang saya pasti, hak Islam dan Melayu semakin sedikit dan semakin terhakis, sebab agama Islam hanya ada satu. Begitu umatnya tanpa mengira bangsa, hanya ada satu. Inilah ajaran tauhid, menyembah hanya pada yang satu, Allah Yang Maha Esa. Maka tidak hairan umat Islam tidak banyak kelihatan dalam soal berpersatuan dan berorganisasi sebab matlamatnya sama yakni mencari keredaan Ilahi.

Setiap kali kumpulan ultra kiasu akan membuat perbandingan dengan segala ruang dan peluang dengan mengambil Perlembagaan dan Rukun Negara sebagai hujah. Kenapa tidak banding dengan minoriti di negara lain seperti China, India, Singapura, Thailand, Filipina hatta negara maju seperti Amerika Syarikat dan lain-lain? Saya yakin jika dibuat perbandingan, kita akan pasti bertemu dengan jawapannya. Hak dan kebebasan melindungi kaum minoriti di negara ini jauh lebih baik daripada negara lain.

Keunikan

Bila kita tanya terhadap segelintir daripada mereka, setelah perbandingan dibuat, ternyata mereka lebih bernasib baik, kenapa perlu meminta lebih lagi? Maka mereka akan menjawab atau mematahkan hujah kita dengan berkata "Inilah keunikan Malaysia yang perlu ditunjukkan kepada dunia yang tidak terdapat pada negara lain". Jawapan ultra kiasu sebegini yang selalu saya dengar bila berhadapan dengan persatuan dan individu ultra kiasu. Mereka mahukan Malaysia menjadi unik, lain dari yang lain negara yang ada dalam dunia ini. Namun, bila ada sedikit hak mereka yang terhakis, maka mereka akan berhujah ia bertentangan dengan deklarasi hak-hak asasi manusia sedunia.

Amat nyata sekali, kita berhujah macam mana sekalipun, mereka akan carilah apa jua alasan untuk menghalalkan cara. Islam tidak bersifat sedemikian, matlamat tidak menghalalkan. Islam boleh memberi dan menjamin keadilan kepada menoriti, tetapi bukan sama rata dan sama rasa serta perlulah berpada-pada.

Justeru, membanding dengan Islam, untuk mendapat sama rata dan sama rasa adalah tidak wajar sama sekali sebab Islam adalah agama Tauhid. Jika perkiraan seorang sebiji itulah formula keadilan, maka Islam akan terus menjadi minoriti, kalah dan tidak akan mendapat hak yang sepatutnya.

Formula sepatutnya adalah nilai 1 > 6. Satu untuk orang Islam enam lagi dikongsikan di kalangan bukan Islam mengikut pembahagian agama dan bangsa mana yang lebih ramai, seperti susuan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme dan Konfucianime. Inilah yang dinamakan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Perlu diingat, pelajar-pelajar hanya berada di sekolah 6 hingga 7 jam sehari. Selebihnya 18 jam mereka berada di rumah. Maknanya, hak beribadat lebih lama di rumah daripada di sekolah. Kenapa begitu bersungguh-sungguh hendak diadakan di sekolah? Fikirkanlah. Tak payahlah nak tunjukkan kononnya sayang kepada agama. Buktikan sahaja dengan mengamalkan nilai-nilai moral agama untuk dipraktikkan seperti jangan berzina dan seks bebas.

Kadang-kadang saya terasa pelik, ultra kiasu ini beriaya-iya mahukan hak bertuhan diberikan, sedangkan ajaran tuhan tidak dipatuhi, segelintir pemimpin mereka mempunyai moral yang amat rendah. Saya tidak nafikan orang yang tidak beramal dengan Islam ada juga terlibat.

Kedua, umat Islam adalah indigenous canopy yang menjadi majoriti penduduk di negara ini. Kita sepatutnya lebih memahami mereka, dengan tidak menafikan bahawa umat Islam juga perlu memahami bangsa lain? Tetapi adakah semua ini berlaku? Kita lebih memahami barat dan bangsa sendiri daripada indigenous canopy?

Ketiga, dalam Islam kita ada konsep sembahyang lima kali sehari dan konsep solat jemaah, sedangkan agama mungkin tidak. Bagi bangsa lain, agama mungkin bersifat individu, tetapi Islam lebih dari individu. Kita ada fardu ain dan fardu kifayah.

Saya fikir toleransi kita sudah sampai ke tahap sukar untuk digambarkan sehingga mereka memijak kepala. Sepatutnya mereka menghargai toleransi itu, bukan dengan mengambil kesempatan.

- MINGGUAN MALAYSIA

Disiplin solat kukuh sistem pendidikan Islam

Oleh Abdurrahman Haqqi

Isbir dan istabir adalah dua perkataan dalam bahasa Arab untuk menunjukkan perintah bersabar. Kedua-duanya berasal dari kata ‘sa-ba-ra’ dan digunakan al-Quran dalam memerintahkan beberapa perkara seperti sabar berjihad, sabar menerima dugaan, sabar beribadah dan sabar melakukan solat.

Menariknya dalam al-Quran, dua perkataan ini digunakan jika perintah itu berkaitan dengan perkara selain solat, maka al-Quran menggunakan kata ‘isbir’ sedangkan ketika ia berkaitan dengan solat, maka al-Quran menggunakan kata ‘istabir.’ Apa rahsianya?
Dalam kitab suci al-Quran kita dapati 25 kali penggunaan kata perintah ‘isbir’ dan ‘isbiru’, tapi hanya satu kali penggunaan ‘istabir’. Ada juga penggunaan kata lain yakni ‘sabiru’.

Semua perkataan ‘isbir,’ ‘isbiru’ dan ‘sabiru’ diterjemahkan sebagai ‘bersabarlah’ seperti dalam ayat bermaksud: “Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan.” (Surah Taha: 130). Tapi, kata ‘'istabir’ diterjemahkan menjadi ‘tekun bersabar’ seperti dalam ayat bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Taha: 133) Ada dua kata kunci yang boleh diterapkan dalam sistem pendidikan Islam inspirasi ayat ini yakni peraturan dan teknik atau seni melakukan peraturan.

Perbincangan menarik perhatian jemaah Masjid Muara, Brunei Darussalam ini timbul dalam sesi muzakarah antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei dan jemaah masjid berkenaan sempena aktiviti kokurikulum pelajar UNISSA dalam program ‘Minal Jami'ah ilal Masjid’ (Dari Universiti ke Masjid). Muzakarah atau dialog berkenaan dipimpin Rektor UNISSA, Dr Hj Serbini Metahir.

Kalangan sahabat sudah dididik secara langsung menerusi kepemimpinan mulia Nabi Muhammad SAW dari sejak bermulanya dakwah Islam. Ayat Taha di atas diturunkan di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah yang mana komuniti Islam yang berdaulat sudah diwujudkan. Bagaimanapun, solat dalam komuniti Islam yang belum berdaulat di Makkah sudah menjadi tumpuan utama pelaksanaan jati diri individu Muslim bimbingan Rasulullah.
Baginda diperintah oleh Allah SWT agar memerintahkan kepada keluarga dan umatnya untuk melakukan solat dan bukan hanya itu, tetapi mereka semua diperintah untuk tekun bersabar dalam menunaikannya. Mengapa demikian?

Solat sebagai tiang agama adalah syarat berdirinya satu-satu bangunan. Tidak ada tiang, bangunan tidak wujud. Agar bangunan agama diri kita tetap berdiri dan kukuh maka kita memerlukan untuk sentiasa melakukan solat. Malah solat adalah punca ketenangan jiwa dan ia juga yang mententeramkan hati dan menyejukkan minda yang kemudian akan memberi sinar pada wajah dan menyihatkan badan.

Dalam pelbagai urusan sangat penting, seperti dalam buku La Tahzan, Rasulullah selalu melapangkan hatinya dengan melakukan solat, misalnya, pada ketika Perang Badar, Ahzab dan kesempatan lain.

Ibnu 'Asakir dan Ibnu al-Qayyim menceritakan bahawa seorang hamba salih dihadang oleh seorang perompak di sebuah jalanan di Syam. Perompak itu berusaha untuk membunuhnya. Hamba salih itu meminta diberi kesempatan untuk mengerjakan solat dua rakaat. Maka bangkitlah dia mengerjakan solat. Pada saat itu, dia teringat firman Allah SWT bermaksud: "Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang sedang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya." (Surah al-Naml: 62)

Dia membacanya tiga kali. Maka turunlah malaikat dari langit membawa pedang dan dengan pedang itu dia membunuh perompak itu. Malaikat itu berkata: “Aku adalah utusan Zat Yang Memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan.”

Ketika Ibnu Kathir mentafsir ayat Taha di atas, dia berkata: “Yakni carikan jalan keselamatan untuk keluargamu daripada seksaan Allah SWT dengan melakukan solat dan sentiasa tekun bersabarlah engkau dalam menunaikannya.” Dan mengapa perintah melakukan solat dan bersabar menunaikannya ini dikaitkan dengan rezeki?

Rezeki bukan saja dalam bentuk wang ringgit seperti yang kita bayangkan selama ini. Kesihatan juga rezeki, kebahagiaan juga rezeki, kedudukan juga rezeki, dan ilmu juga rezeki. Jadi, solat akan menjadi penyebab utama kita mendapatkan rezeki kerana dengan jelas ayatnya mengingatkan kepada kita jangan risau dengan masalah rezeki dalam hidup kita kerana ini adalah urusan Allah SWT. Mustahak adalah dirikanlah solat dan bersabar dalam menunaikannya.

Ibn Abi Hatim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad dan juga kalangan nabi yang lain apabila mereka ditimpa kesusahan mereka akan bersegera untuk melakukan solat. Al-Tirmizi meriwayatkan satu hadis maksudnya: “Berfirman Allah Ta'ala: “Wahai anak Adam! Tumpukan seluruh ibadatmu kepada-Ku nescaya Aku penuhi hatimu dengan kekayaan dan Aku jauhkan kemiskinan darimu. Dan jika seandainya kamu tidak melakukan yang demikian itu maka nescaya akan Aku penuhi hatimu dengan pelbagai kesibukan duniawi dan Aku akan membiarkan kemiskinan menghampirimu.”

Dalam situasi penuh pancaroba ini yang mana kita risaukan generasi kita maka panduan al-Quran ini sesuai untuk dipertimbangkan. Apabila kita menghidupkan semua sistem pendidikan Islam dengan semangat solat sudah tentu janji SWT Allah akan kita dapati dengan mudah dan kita akan hidup selesa dan berbahagia.

Wallahu a'lam.

- BERITA MINGGU

Botak masalah keturunan


Setiap kali menyisir rambut, hati Muzliana Safuan, 27, pasti merintih. Umpama igauan ngeri, ikal rambutnya yang gugur semakin banyak, rambutnya semakin menipis sekali gus mendedahkan bahagian tengah kepalanya.

“Sudah banyak cara saya lakukan untuk melebatkan rambut. Daripada penggunaan syampu berjenama terkenal, tonik rambut berasaskan herba, petua tradisi hingga ke rawatan pakar tetapi semuanya gagal.

“Keadaan ini sangat merisaukan lebih-lebih lagi saya bakal mendirikan rumah tangga beberapa bulan lagi. Mujur, saya memilih untuk bertudung sejak sekolah, jadi hanya keluarga dan kawan rapat yang mengetahui masalah saya,” kata Muzliana.

Tambah penjawat awam tersebut, masalah tersebut menyebabkan dia berasa kurang yakin untuk berhadapan dengan bakal suami dan keluarga mentua.

Masalah keguguran rambut ekstrem bukan sahaja dirasai Muzliana tetapi ramai lagi wanita mengalami episod ngeri itu.

Bagi individu yang berpegang kepada konsep rambut mahkota wanita, mereka pasti ghairah untuk memiliki rambut yang sihat dengan gaya terkini.

Menjawab masalah keguguran rambut tersebut, Presiden Persatuan Sains Rambut Malaysia, Dr. Steven Chow berkata, menjaga rambut tidak cukup dengan hanya bersyampu tiga kali seminggu.

Jelas beliau, kulit kepala juga memerlukan perapian dan vitamin yang cukup untuk kekal sihat tanpa sebarang masalah seperti kegatalan, kelemumur dan jangkitan kuman.

“Ramai pihak beranggapan silap memilih syampu, pengambilan serbuk perasa (monosodium glutamate) dalam masakan serta faktor penuaan sebagai sebab utama keguguran rambut, namun itu hanya penyebab sampingan.

“Realitinya, tekanan (stress) dalam kerjaya atau kehidupan menjadi pencetus kepada masalah keguguran rambut yang serius terutama membabitkan golongan lelaki,” jelas Steven.

Genetik

Menurut beliau, pola keguguran rambut lelaki (MPHL) yang biasa terjadi pada kaum Adam sering dikaitkan dengan faktor genetik.

“Mungkin ramai tidak menyangka botak tiada kaitan dengan faktor genetik, tetapi hakikatnya, keturunan kerap menjadi punca keguguran rambut.

“Ia boleh diwarisi daripada sebelah ibu atau bapa dan boleh berlaku terhadap lelaki ataupun wanita. Kedua-duanya cenderung untuk mewarisi gen botak,” ujar Steven.

Akibat daripada warisan gen rambut gugur tersebut, individu terlibat berisiko tinggi untuk berdepan masalah keguguran rambut yang mampu menipiskan rambut namun tidak semuanya berakhir dengan botak.

Namun, keadaan yang dikenali sebagai androgenetic alopeciaini boleh bermula pada usia belasan tahun, 20-an atau 30-an.

Dalam satu kajian jelas Steven, hampir 50 peratus anak-anak kepada lelaki atau wanita botak akan mewarisi gen tersebut.

“MPHL terjadi secara berperingkat-peringkat. Masalah itu bermula dari kawasan tengah kepala, ia mampu merebak hingga ke seluruh kepala. Ramai lelaki memilih untuk berdiam diri dan tidak berasa ia satu keperluan untuk berjumpa dengan doktor hanya kerana masalah rambut semakin menipis.

“Malah, lebih 80 peratus lelaki tidak tahu apa itu MPHL dan menganggap ia berlaku kerana faktor usia sedangkan masalah ini tidak akan melarat jika dirawat daripada awal,” katanya.

Steven menyarankan individu yang mengalami MPHL mendapatkan rawatan berkesan dengan menangani punca asas masalah tersebut.

Masalah keguguran rambut yang berisiko terjadi kepada setiap orang berkenaan turut mendorong ramai penyelidik untuk tampil menjalankan kajian.

Antaranya, beberapa ahli akademik dari dua universiti di Jerman iaitu Universiti Bonn dan Universiti Dusseldorf menjalankan kajian mengenainya. Mereka mendapati gen botak sememangnya diwarisi.

Gelembung berair

Sekumpulan penyelidik di Victoria, Australia mendapati, keguguran rambut di bahagian tengah dan hadapan kepala meningkat selari mengikut usia. Ia memberi kesan sehingga 57 peratus wanita dan 73.5 peratus kepada lelaki yang berusia 80 tahun ke atas.

Laman sesawang Perpustakaan Medem Medical turut melaporkan, kira-kira 40 juta lelaki di Amerika Syarikat berdepan dengan masalah MPHL.

Menurut laman tersebut, seorang daripada empat lelaki mulai botak pada usia 30 tahun, dua pertiga mulai botak pada usia 60 tahun ke atas. Tambah laman itu, nisbah untuk mendapat gen botak adalah empat dalam setiap tujuh orang.

Selain tekanan dan faktor genetik, faktor pemakanan tidak seimbang, penyakit tiroid, masalah sistem imunisasi, pengambilan dadah atau ubat-ubatan tertentu, kurang penjagaan rambut, trauma dan jangkitan kulit kepala boleh menyumbang kepada keguguran rambut dan botak.

Pertumbuhan rambut individu dewasa yang dipengaruhi oleh hormon seks iaitu androgen boleh mengalami fasa pertumbuhan di antara dua hingga enam tahun dengan kepanjangan kira-kira 0.35 milimeter (mm) sehari. Selepas fasa tersebut, proses pertumbuhan akan berehat untuk beberapa bulan.

Rambut yang sihat dan normal memiliki beberapa ciri khas seperti berkilat, mudah lentur, tidak mudah patah dan boleh menyerap air.

Keguguran rambut di antara 50 hingga 100 helai sehari adalah normal namun jika ia tidak dipantau, keguguran mungkin akan menjadi lebih serius lebih-lebih lagi jika individu tersebut berada dalam kelompok berisiko tinggi untuk botak.

Jika terdedah kepada persekitaran kotor dan berhabuk, kulit kepala yang sering gatal boleh mendapat jangkitan kuman atau alahan kepada bahan kimia.

Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, ruam akan timbul dan bagi kes serius, gelembung berisi air kesan daripada radang kulit akan terbentuk. Pada peringkat ini, individu tersebut boleh mengalami kebotakan serius.

Sementara itu, Ketua Trikologi Pusat Rambut Svenson, Teo Kim Teik berpendapat. untuk mendapatkan rambut yang sihat, amalan mengambil makanan seimbang sangat penting.

“Meninggalkan diet secara keterlaluan boleh menyebabkan keguguran kerana hampir 90 peratus komponen rambut terdiri daripada protein.

“Diet yang tidak sihat dan kurang mengambil protein akan menjadikan rambut lemah dan mudah gugur. Banyakkan pengambilan zat seperti kalsium dan zink kerana ia boleh menyihatkan rambut,” katanya.

Penjagaan kebersihan dan kesihatan rambut juga tidak boleh diabaikan. Rutin bersyampu sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan pemilihan sikat yang sesuai mampu mengurangkan risiko keguguran rambut.

- KOSMO!

Liga Super 2010 milik Selangor


Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Terengganu di Stadium Shah Alam, semalam.

Tiga mata berharga itu sudah cukup buat Selangor menafikan hajat Kelantan selepas memungut 63 mata, meninggalkan Red Warriors, lima mata di belakang dengan baki satu perlawanan.

Kelantan berjaya menundukkan Johor 3-1 di Stadium JCorp, namun kemenangan itu tidak mencukupi untuk menghalang Selangor berpesta di Shah Alam.

Gol daripada Mohd. Amirul Hadi Zainal pada minit ke-66 dan jaringan penalti Mohd. Safiq Rahim pada minit ke-74 memastikan kira-kira 30,000 penonton setia Merah Kuning pulang gembira melihat Selangor menjulang trofi di laman sendiri.

Pun begitu, jentera serangan Red Giants kurang bermaya pada separuh masa pertama sebelum mempertingkatkan usaha sebaik babak kedua bersambung.

Gol pertama Selangor hadir melalui gerakan licik pemain kebangsaan, Mohd. Safiq Rahim yang bergerak dari sebelah kanan sebelum memperdayakan seorang pertahanan Terengganu.

Selepas melepasi kawalan pemain Terengganu, Safiq tenang melakukan hantaran silang yang singgah tepat di kepala Mohd. Amirulhadi Zainal sebelum menanduk masuk menewaskan Sharbinee Allawee.

Selangor kian memperkukuhkan kedudukan apabila pengadil menganugerahkan sepakan penaltiapabila pertahanan Terengganu, Zubir Amin menjatuhkan ketua pasukan, Mohd. Amri Yahyah.

Safiq mudah menewaskan Sharbinee selepas melepaskan rembatan deras ke arah sebelah kanan pintu gol Terengganu.

Selaku juara Liga Super, Selangor berjaya meraih wang tunai RM 500,000. Hadiah disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

- MINGGUAN MALAYSIA