Rabu, Julai 28, 2010

Kod Etika Jadikan Penulis Blog Lebih Dihormati - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa penulis blog supaya berpegang teguh dengan kod etika untuk menulis perkara yang benar demi kebaikan masyarakat supaya mereka dan blog masing-masing lebih dihormati.

Bekas perdana menteri itu berkata kod etika berkenaan perlu diwujudkan secara sukarela demi kebaikan penulis blog sendiri kerana ia bakal membina reputasi mereka di mata orang ramai.

Dr Mahathir, yang juga seorang penulis blog berkata, masyarakat kini mempunyai akses kepada blog, satu medium yang hampir di luar kawalan mana-mana pihak berkuasa, dan jika mereka mematuhi kod etika untuk menulis perkara yang benar sahaja, lebih ramai orang awam akan membacanya.

"Jika kita bersandarkan kepada kod etika sebegini dalam setiap penulisan kita, saya fikir lama-kelamaan, orang ramai akan menghormati blog. Jika kita tidak menulis perkara yang benar, mereka akan meninggalkannya seperti yang berlaku kepada media biasa ketika ini," katanya dalam ucap tama pada persidangan Blogger Asia dan Media Sosial 2010 di sini, Rabu.

Persidangan dua hari itu dihadiri 400 peserta dari benua Asia.

Dr Mahathir berkata walaupun blog menyediakan ruang bagi kebebasan menulis apa yang dikehendaki secara mutlak, namun penulisnya masih perlu bertanggungjawab terhadap penulisan mereka serta tidak menyalahgunakannya.

"Tidak boleh menyatakan perkara buruk atau memaki hamun orang lain, jangan buat begitu, orang akan marah dan mereka boleh mengambil tindakan terhadap kita. Kita mesti ada bahan sokongan untuk setiap perkara yang kita nyatakan. Walaupun kita tidak sukakan seseorang, kita tidak boleh menulis perkara tidak benar (mengenai mereka)," katanya.

Beliau berkata penulis blog mempunyai kelebihan daripada segi kebebasan namun mereka mesti menggunakannya dengan penuh tanggungjawab bagi membentuk pemikiran ke arah membina masyarakat dunia yang lebih baik demi kebaikan umum.

"Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang atau membetulkan kita, kerana kita yang berkuasa (kerana) kitalah penulis, penyunting dan juga penerbit. Apabila memiliki senjata, jangan gunakannya (untuk menembak) sesuka hati. Penulis blog mesti berupaya menahan diri dan mengelak daripada menyatakan perkara yang tidak benar serta boleh melukakan hati orang lain," katanya. Dr Mahathir berkata sesetengah blog amat bagus namun ada juga yang tidak berguna, justeru beberapa kemahiran diperlukan untuk mengenal pasti sama ada apa yang ditulis dalam blog itu benar atau hanyalah satu propaganda.

- BERNAMA

Kagum dengan KAFA


Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi persatuan bola sepak pertama di negara ini mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records kerana mempunyai radio online rasminya, TheRedWarriorsFM (Trw.FM) selain mengeluarkan produk perniagaan jenama Warriors.

Sijil rekod tersebut diserahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dan disaksikan oleh wakil Malaysia Book of Records, Leona Paul.

Majlis penyerahan sijil itu diadakan sempena perasmian Karnival The Red Warriors di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Trw.FM dilancarkan oleh Ahmad Shabery pada 21 Mei lalu manakala produk perniagaan jenama Warriors ialah jersi, seluar, jam, baju-T, topi, pelekat kenderaan dan beg.

Selain itu, KAFA juga membuka kafe The Red Warriors Stations yang terletak di bangunan Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu.

Ahmad Shabery pada sidang akhbar selepas majlis tersebut berkata, beliau kagum dengan kemajuan KAFA dalam usaha mengangkat imej bola sepak tanah air setaraf kelab-kelab bola sepak tersohor luar negara.

Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan usaha persatuan itu untuk memastikan bola sepak menjadi sebuah industri perniagaan yang menguntungkan dan mampu menjana pendapatan kepada pasukan.

Tambahnya, keupayaan KAFA dalam menjadikan bola sepak sebagai satu perniagaan memberikan peluang kepada mereka untuk berdikari.

“Di negara maju, konsep ini sudah lama diamalkan apabila pasukan bola sepak menjadikan sukan ini sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Menurut Ahmad Shabery, inisiatif KAFA merupakan contoh yang perlu diteladani oleh persatuan bola sepak lain di negara ini.

“Ini cara baru dan gelombang baru yang bermula di Kota Bharu. Idea ini memberi konsep baru dalam pembangunan sukan bola sepak negara,” ujarnya.

- KOSMO!

Ular dalam mesin basuh


EXETER - Seorang ibu di Britain terkejut apabila dia menemui seekor ular sepanjang 1.5 meter melingkar di dalam mesin basuh di rumahnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita berusia 51 tahun itu, Wendy Foley menemui reptilia tersebut berlingkar di atas timbunan pakaian ketika membuka pintu mesin basuhnya baru-baru ini.

"Saya membuka pintu kaca mesin basuh itu dan ternampak sesuatu. Saya menyangka ia ular mainan yang digunakan oleh kanak-kanak. Namun, ia menjelirkan lidahnya. Sangat menakutkan dan ular itu agak besar. Saya tidak berhenti menjerit," kata Foley.

Dia kemudian menghubungi pihak polis dan persatuan perlindungan haiwan malangnya dia diberitahu bahawa ular tersebut tidak boleh ditangkap kecuali pada keesokan harinya.

Jurucakap persatuan perlindungan haiwan, Jo Barr memberitahu ular itu tidak berbisa dan berbahaya.

- Agensi

Dulu saintis, kini usahawan kelisa


Sebagai seorang saintis yang mengkaji kehidupan flora dan fauna menjadi titik tolak kepada Mohd. Zalalnudin Latipi, 31, membuka sebuah kedai menjual spesies ikan terancam kelisa atau juga dikenali sebagai arowana.

Demi minatnya yang berputik sejak kecil Mohd. Zalalnudin nekad meninggalkan jawatannya sebagai seorang saintis. Minatnya kian bercambah apabila beliau berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sosiologi Pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah.

Ikan kelisa kepada Mohd. Zalalnudin bukan sekadar ikan hiasan malah kepada mereka yang tahu menilainya, ia boleh menjadi sumber pendapatan.

Harganya mampu mencecah ribuan ribu ringgit selain ia digemari oleh kaum Cina di negara ini yang dipercayai membawa tuah kepada pemiliknya.

Namun Mohd. Zalalnudin tidak menyangka hobinya yang suka memelihara ikan itu mampu memberikannya sumber pendapatan tetap kepadanya.

"Dulu saya hanya bela ikan ini di rumah dan saya ada tujuh akuarium di rumah untuk mengisi ikan-ikan ini.

"Namun pada tahun 2005 saya mengambil keputusan untuk berhenti sebagai seorang saintis kerana mahu melibatkan diri secara serius dalam perniagaan menjual ikan kelisa," katanya.

Mohd. Zalalnudin tidak menyangka, kedai yang baru dibukanya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat malah ikan kelisa juga mendapat permintaan daripada orang Melayu.

"Selain orang Cina, orang Melayu juga menunjukkan minat terhadap ikan ini dan sanggup membelinya walaupun pada harga yang mahal.

"Mereka yang datang ke kedai ini sanggup menghabiskan masa berjam-jam semata-mata mahu melihat kecantikan dan kelicikan ikan kelisa," katanya.

Menyentuh penjagaan ikan kelisa, beliau memberitahu, tidak susah untuk membelanya tetapi perlu memastikan air yang digunakan dicampurkan dengan ubat antiklorin.

"Antiklorin perlu dicampurkan mengikut sukatan yang ditetapkan selain memberi makanan kepada ikan mengikut waktu.

"Ikan ini kebiasaannya makan sejenis ulat yang banyak dijual di pasaran. Lipas dan cengkerik juga boleh diberi tapi lebih baik beli sahaja di pasaran kerana ditakuti serangga ini membawa racun dan mati jika memakannya," katanya.

Jelasnya, bagi memenuhi permintaan ikan kelisa di kedainya itu, beliau telah membeli dua buah kolam ikan kelisa di Bukit Merah, Perak.

"Kebanyakan ikan-ikan yang ada di kedai di bawa dari sana dan kita akan pilih ikan-ikan terbaik sebelum dipamerkan di kedai bagi menarik minat orang ramai," katanya.

Di kedainya terdapat lebih 200 ekor ikan kelisa pelbagai variasi seperti Malaysia Gold Cross Back Golden Arowana, Malaysia Super Red Arowana, Indonesia Chili Red dan sebagainya.

Lebih istimewa, harga ikan kelisa semakin meningkat jika ikan itu kian membesar.

"Bagi saya ikan ini memang membawa tuah kepada pemiliknya.

"Ikan ini juga tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui cara-cara penjagaan ikan kelisa mereka boleh datang terus ke kedai saya," katanya.

Bagi mereka yang ingin melihat ikan-ikan yang dijual di kedai Mohd. Zalalnudin, kedainya itu terletak di Star Arowana World di Jalan Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

- KOSMO!

Pulang selepas 7 tahun menghilang


Ku Faridah Ku Man (tengah) gembira disamping dua anak hasil perkahwinan pertamanya sebelum ini, Wan Mohd. Haiman Harith Wan Mohd. Hilmi (kanan) dan Wan Mohd. Hazwan di Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu.


HULU TERENGGANU 27 Julai - Episod duka 'cinta Lombok' melibatkan wanita tempatan dengan pemuda Indonesia belum berakhir apabila seorang lagi wanita tempatan berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas campur tangan pihak berkuasa.

Terbaru, seorang wanita dari Kampung Kuala Pueh di sini, Ku Faridah Ku Man, 33, berjaya dibawa pulang ke pangkuan keluarganya setelah lebih tujuh tahun mengikut suaminya ke Mataram, Lombok, Indonesia.

Ku Faridah selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira pukul 9 malam tadi sambil diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Rozi Mamat dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta, Saima Sipahutar.

Anak kedua daripada lapan beradik itu melarikan diri selepas mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya yang merupakan seorang pemuda Lombok pada 2003 walaupun tidak mendapat kebenaran keluarganya.

Ku Faridah yang kelihatan sebak setiba di halaman rumahnya, tidak dapat menahan air mata apabila berkali-kali mencium pipi ibu dan dua anak hasil perkahwinan pertamanya sebelum ini.

Dia yang telah mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan dengan pemuda Lombok itu berkali-kali menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu kerana membantunya pulang ke tanah air.

"Sebelum ini, ibu pernah mengirimkan wang untuk saya namun ia tidak mencukupi bagi saya pulang ke sini.

"Alhamdulillah dengan bantuan kerajaan negeri, Kedutaan Malaysia (di Jakarta) dan pemerintah Indonesia akhirnya saya kembali ke sini," ujarnya.

Sementara itu, ibunya, Zainab Deraman, 58, bersyukur apabila anaknya yang pernah dianggap telah hilang itu, akhirnya kembali semula ke pangkuannya.

Menceritakan permulaan usaha membawa pulang Ku Faridah, Zainab memberitahu, sebelum ini dia tiada tempat untuk mengadu sehinggalah menemui sendiri ADUN Telemong, Rozi Mamat tiga bulan lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu dia meminta bantuan menyelamatkan anaknya yang telah melarikan di Lombok beberapa tahun selepas anaknya itu berkahwin.

"Hanya tiga bulan lalu, dia (Ku Faridah) telefon saya untuk beritahu hendak pulang. Sedangkan sebelum itu dia menghilangkan diri sejak tujuh tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, Rozi memberitahu, pihaknya akan berusaha membantu Ku Faridah bagi membolehkan ketiga-tiga anaknya yang kini di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta dibawa pulang ke negara ini.

"Kita akan membawa pulang ketiga-tiga anaknya itu melalui permohonan secara sah dan mengikut peraturan negara itu," katanya.

Ujar wanita itu, dia tidak menyangka dapat pulang semula ke kampung halamannya kerana mengakui tidak mampu berbuat demikian jika tidak dibantu oleh pihak yang berkenaan.

Katanya, walaupun tindakan anaknya itu amat menyedihkan, dia telah memaafkan segala perbuatan yang dilakukan Ku Faridah kerana apa yang penting dia sudah insaf dan tidak akan mengulanginya lagi.

- UTUSAN

Dekati pengundi luar bandar

Oleh PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia

Rata-rata ramai yang bercakap mengenai pilihan raya kebelakangan ini. Pelbagai spekulasi mengenai tarikh pilihan raya turut mewarnai dunia politik tanah air walaupun pilihan raya umum akan datang hanya mencapai tempoh matang pada 2013.

Ada pula menganggap bahawa Pilihan Raya Negeri Sarawak yang mesti diadakan sebelum Mei 2011 akan diadakan pada bila-bila masa. Apakah indikator untuk mengadakan pilihan raya? Bilakah masa yang sesuai? Adakah keadaan ekonomi semata-mata boleh membantu prestasi sesebuah parti atau perlu melihat pada faktor lain sebelum benar-benar beradu kekuatan?

Apakah dengan hanya bergantung pada kedudukan dalaman atau faktor luaran, ia akan menjadi faktor penolak dan penarik sebelum keputusan mengadakan pilihan raya dibuat? Adakah laporan penyelidik akan diguna pakai? Jenis pengundi yang manakah boleh menjadi aset atau liabiliti kepada parti politik? Adakah pengundi tradisional, muda, pertengahan, tua ataupun demografi penduduk seperti latar belakang etnik mempengaruhi pola pengundian.

Dalam konteks hari ini, kategori pengundi bandar dan luar bandar turut menjadi indikator penting dalam menentukan kejayaan pilihan raya. Terlalu banyak pendekatan digunakan untuk mendekati pengundi bandar dan pengundi muda dengan harapan kategori ini akan meningkatkan populariti parti.

Persepsi ke atas politik berubah tanpa mahu melihat pencapaian menyeluruh. Bermakna, isu terkini dan kontemporari akan menjadi asas kepada percaturan undian mereka. Prestasi semasa dan keupayaan mentadbir urus kerajaan akan dinilai. Ada yang telah dihukum sebagai tanda ‘protes’ manakala ada pula telah diberi ‘peluang’ sebelum ini.

Ini menyebabkan ramai beranggapan bahawa pengundi bandar telah memainkan peranan yang signifikan dalam pilihan raya lalu sehingga membawa kepada anjakan trend pengundian yang dinamakan ‘politik baru’.

Pengundi bandar yang kebanyakannya merupakan pengundi celik huruf, mempunyai maklumat sampingan menerusi media alternatif dan peka dengan peredaran semasa serta tergolong dalam stratifikasi masyarakat kelas atasan dan pertengahan telah menunjukkan wujud ‘politik kelas’ baru dalam konteks politik arus perdana negara. Dalam erti kata lain, undi mereka berubah-ubah dan penilaian dilakukan mengikut prestasi semasa parti politik. Ada kawasan Parlimen yang berubah 70 hingga 80 peratus undi sehingga membolehkan calon yang sekadar mahu merasa bahang pilihan raya turut menang.

Trend yang sama tidak akan berulang lagi. Selepas melihat perubahan pada pilihan raya lalu, kita melihat tendensi untuk mengundi secara ‘berhati-hati’ akan berlaku dalam pilihan raya akan datang.

Bagaimana pula dengan pengundi luar bandar terutama mereka yang berada dalam perancangan program dan projek kerajaan, peladang, petani, penternak, nelayan dan yang peniaga kecil bersifat mikro.

Adakah sokongan mereka akan berubah akibat penularan maklumat secara sekunder menerusi anak mereka yang berhijrah ke bandar yang mampu menembusi alam maya termasuk Internet, blog dan halaman web.

Sejauhmana penilaian dilakukan supaya ia tidak bersifat emosi tetapi berasaskan kepada rasional daripada apa yang berlaku di sekitar mereka.

Yang menarik adalah dengan memberi tumpuan berlebihan ke atas pengundi bandar, apakah status pengundi luar bandar yang sebenarnya merupakan safe deposit Barisan Nasional (BN) sebelum ini?

Kebanyakan projek dan program serta bantuan dana untuk kumpulan komuniti yang menghuni kawasan geografi ini adalah daripada pihak kerajaan yang cuba membantu dalam apa sahaja bidang yang diceburi. Lantaran itu, ini menyebabkan komuniti tersebut mempunyai nilai ‘kesetiaan’ dan rasa terima kasih yang tinggi ke atas bantuan yang dihulur oleh kerajaan.

Malahan, ada parti pembangkang yang mengakui masih sukar untuk menembusi kelompok masyarakat ini bukan sahaja kerana pendekatan yang tidak diterima tetapi lebih daripada itu, kumpulan itu terdiri daripada kumpulan umur yang secara tradisionalnya telah mengundi BN.

Walaupun kebarangkalian mereka mengundi masih tinggi tetapi ini bermakna tidak akan ada undi protes terutama jika tidak ada usaha berterusan mempertahankan kebajikan mereka. Ini kerana pengundi luar bandar juga peka dengan persekitaran baru yang memerlukan pemimpin terus menjalankan tanggungjawab mereka dan pada waktu yang sama mempertahankan hak kelompok masyarakat tersebut.

Selain itu, masih ramai tergolong dalam kumpulan 40 peratus di bawah paras kemiskinan yang memerlukan sokongan pihak berwajib dalam aktiviti harian mereka. Pembangkang sedar bahawa peralihan sokongan sekurang-kurangnya 5 hingga 7 peratus dari kelompok ini disertai dengan sokongan sama ada pengundi bandar akan membolehkan mereka mencapai kemenangan.

Ada parti pembangkang yang berjaya meneroka kawasan luar bandar baru tetapi tahu ia tidak cukup untuk dijadikan isyarat bahawa mereka akan berjaya memanipulasi sokongan pengundi luar bandar. Ia dijadikan sebagai kayu pengukur oleh mereka ke atas motivasi untuk menguasai kawasan luar bandar sehingga membawa kepada isu Felda baru-baru ini.

Parti kerajaan sudah lama menjayakan Felda yang kini menjadi isu politik tetapi yang perlu ditanya adalah sejauh mana kebenaran dalam konteks mobiliti sosial ke atas peneroka Felda yang dibawa oleh pembangkang sehingga mereka turut diseret dalam perang psikologi politik kepartian.

Pelbagai kemudahan disediakan termasuk bantuan subsidi, serta program diatur untuk pengundi luar bandar dan pembangkang akui ia menyebabkan mereka sukar berhadapan dengan cabaran ini. Apakah pengundi luar bandar mahu melakukan perubahan akibat perang psikologi dengan pembangkang terutama mereka yang secara tradisi bernaung di bawah parti politik kerajaan yang menjadi tempat berunding, mengadu masalah dan mencari jalan penyelesaian.

Apakah perubahan politik yang diinginkan oleh segelintir pengundi luar bandar berpusatkan kepada rasa tidak puas hati ke atas pencapaian kerajaan atau lebih merupakan elemen emosional serta desakan pihak luar. Sudah pasti, kumpulan ini akan membandingkan dengan pentadbiran di bawah kerajaan negeri pimpinan pembangkang. Bagaimanakah BN akan berhadapan dengan rangkaian hubungan peribadi yang digerak oleh pembangkang secara berselerak yang menganggap perjuangan mereka sebagai satu survival.

Ada juga yang cuba sedaya upaya melalui proses sosialisasi sebagaimana seorang penternak, nelayan mahupun anak tani dalam satu tempoh masa pendek seolah-olah mahir dan menjadi arif tentang persekitaran yang dihuni oleh pengundi luar bandar.

Strategi perkampungan ini memberi kesan ke atas psikologi penduduk yang kemudiannya bersedia menterjemah sokongan yang ditunjukkan oleh pihak ini dalam bentuk undi. Adakah BN juga mempunyai strategi yang sama atau masih percaya bahawa pengundi luar bandar akan dengan sendirinya menyokong mereka?

Apa yang akan dinilai oleh pengundi luar bandar adalah sejauh mana nilai kejujuran pemimpin untuk terus memberi keutamaan ke atas komuniti luar bandar.

Jika pemimpin itu berjiwa rakyat dan menunjukkan komitmen serta kesungguhan mempertahankan hak mereka dan memberi pengiktirafan sewajarnya, maka pemimpin parti politik tersebut akan menyerlah dan diterima oleh masyarakat sekelompok. Majoriti pengundi luar bandar adalah pengundi Melayu yang akan memainkan peranan yang cukup besar dalam pilihan raya akan datang dan jika sekiranya tidak ada usaha berterusan ditunjukkan untuk menyemai nilai yang dinyatakan, maka ia akan menyukarkan proses mengurus kepercayaan dan keyakinan masyarakat itu.

Maka, sudah pasti ia kembali kepada persoalan sama ada kerajaan bersedia mengambil risiko selepas kenaikan harga minyak pada minggu lalu untuk mengadakan pilihan raya dalam jangka masa terdekat? Adakah pengundi luar bandar sudah dididik peri pentingnya keputusan tidak popular yang diambil oleh kerajaan?

Pihak berwajib akur ia adalah keputusan yang sukar diterima oleh masyarakat dan ia memerlukan masa untuk menyalurkan maklumat sebenar kepada mereka dan perlu mencari pendekatan melahirkan kefahaman masyarakat bahawa keputusan kerajaan perlu dilakukan sekarang untuk mengelak dari serangan kegawatan ekonomi global.

Sehingga itu, sukar untuk kita bersetuju bahawa pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat termasuk di Sarawak. Pengundi luar bandar juga perlu didedahkan kepada hasil NKRA, PTK, Model Baru Ekonomi dan pencapaian gagasan 1Malaysia supaya mereka tahu kepentingan kedudukan yang kondusif dari segi ekonomi dan politik untuk sekuriti mereka yang menghuni negara ini.

Peratusan sebanyak lima hingga tujuh peratus pengundi Melayu akan menentukan siapakah yang mampu menguasai majoriti dalam pilihan raya akan datang memandangkan pola pengundian masyarakat Cina masih sama, manakala terdapat perubahan dalam masyarakat India sejak Najib mengambil alih kepimpinan negara.

Justeru, tempoh masa 24 bulan boleh digunakan untuk mengembalikan kestabilan sepenuhnya, merancang program bersifat ‘akar umbi’ dan menunjukkan sudah ada perubahan sejak tahun 2008 dalam mempertahankan hak golongan ini, kesungguhan berhadapan dengan pelbagai cabaran.

- UTUSAN

Cara Menyayangi Seseorang :)

1. Sayangi dia dengan hati, bukan dengan perasaan. Jika anda meletakkan sesuatu perhubungan berdasarkan perasaan, ianya akan gagal kerana perasaan sentiasa berubah dari masa ke semasa.

2. Sayangi dia seadanya. Di dunia terdapat hampir 6 billion manusia dengan 6 billion personaliti. Dia sememangnya seorang yang istimewa dan biarkan ianya kekal begitu. Jangan sesekali terfikir untuk mengubah apa-apa tentang dia kerana sekali anda mengubah, selamanya anda akan terus mengubah dirinya. Tentu anda masih ingat, anda terpikat padanya kerana dia adalah dia. Maka, tiada alasan untuk anda mengubah dia untuk menjadi seseorang yang lain.

3. Sayangi dia sepenuh hati. Sesungguhnya dia telah banyak berkorban untuk anda. Dengan kelebihan yang ada padanya, dia berpeluang untuk menjalin hubungan dengan seseorang yang lebih sempurna tapi demi cinta, dia telah memilih diri anda. Maka, jangan sesekali cuba untuk mempermain-mainkan keluhuran cintanya.

4. Hormati pendirian dan keputusan dia. Jangan anda merayu dan jangan mencipta alasan supaya dia menerima cinta anda kerana kelak, yang anda akan dapat darinya hanyalah cinta simpati dan bukannya cinta setulus hati.

5. Yakinkan diri anda akan keistimewaan dia. Dia adalah satu-satunya di dunia ini dan jangan mengharapkan kesempurnaan dari dia kerana dia telahpun cukup sempurna semenjak anda mula terpikat padanya.

6. Percaya akan dirinya. Sentiasa bersangka baik padanya jika kita juga mahukan sebegitu darinya. Pastikan anda akan sentiasa meletakkan diri anda di tempatnya sebelum melakukan apa-apa. Jika anda sendiri tidak dapat menerimanya, apatah lagi dia.

7. Jangan berjanji menyayangi dia untuk selama-lamanya kerana selama-lamanya bagi anda mungkin akan berakhir keesokkan harinya, tapi berjanjilah untuk menyayangi dirinya seolah-olah setiap hari itu adalah hari yang terakhir untuk anda berdua.

8. BERCINTA dengannya adalah seperti memberi hati anda kepadanya untuk dilukai tapi kepercayaan itu penting. Percayalah kepadanya, nescaya dia akan melindunginya sepenuh jiwa dan raga.

9. Jangan sesekali meninggalkan dia tanpa sebarang alasan. Dia bukan hanya akan setakat menangis kecewa dan kemudiannya meneruskan hidup seperti biasa, ketahuilah bahawa jiwanya akan mati secara perlahan.

10. Jangan cepat berbangga dengan diri anda, memenangi hatinya bukanlah satu kejayaan yang mutlak tetapi anugerah itu hanya layak anda perolehi setelah anda berjaya menyayanginya sehingga ke akhir hayat. Ketahuilah, dia memilih anda adalah kerana dia percaya bahawa anda adalah seorang yang jujur dan akan menepati janji. Anda telah bersusah payah dan berusaha sedaya upaya untuk memenangi cintanya, maka dengan itu haruslah juga anda berusaha untuk terus menyintai dirinya dengan apa jua keadaan sekalipun.

Kredit - Puteri Raudah

Rahsia Pemakanan Ilmuan Islam

1) Madu:-
– Al-Quran mengiktiraf madu sbg sumber yg sgt berkhasiat. Ia berkesan menyembuhkan penyakit & memulihkan otak yg penat bekerja spt berfikir, membaca, merancang & bermesyuarat.
– ambil 2 sd kecil / 1sd besar (gunakan sudu plastik) pd awal pagi & sebelum tidur..

2) Kismis:-
– kaya dgn zat besi yg sgt penting utk membina darah & menyalurkan bekalan oksigen ke otak.
– cara makan? ..mengadap Kiblat, baca Bismillah, selawat 3X & doa penerang hati. Kemam & hisap 1 per 1 spt makan gula2 sebanyak 21 biji setiap hari.

3) Susu Segar:-
– susu berguna utk menyihatkan otak, menajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental & fizikal.
– susu mengandungi 3 unsur semulajadi iaitu keju, lemak & air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan & otak.
– susu segar yang terbaik adalah susu kambing, biri-biri & lembu. Ia diminum segelas pada sebelah pagi & malam.

4) Telur:-
– telur sgt baik utk menambah kekuatan otak, badan & menjaga kesihatan secara menyeluruh. Ahli2 kesihatan mengakui ia adalah makanan yang lengkap & berkhasiat.
– telur yang terbaik ialah telur ayam kampung & yang masih baru.

5) Halia:-
– halia sangat mujarab utk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa (spt gula2) & dimakan sedikit saja pd waktu pagi.

6) Buah Delima:-
– Mujarab sbg penerang hati spt mana sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”

Kredit - Yatt Lateef

Ciri-Ciri Isteri Solehah

* Isteri yang sentiasa mencintai dan menghormati keluarga suaminya seperti mana ia menghormati dan menyayangi keluarganya sendiri.

* Isteri yang sentiasa menjaga aurat dari pandangan yang bukan mahramnya dan pandangan matanya sendiri. Tidak membenarkan lelaki bukan mahram memasuki rumahnya ketika ketiadaan suami.

* Isteri sedia menjadikan suami sebagai ketua dalam rumah tangga mereka. Ini kerana sifat semulajadi itu Allah anugerahkan kepada lelaki.

* Isteri sedia memberikan kesetiaan, ketaatan dan kepatuhan kepada suaminya selagi suruhan suami tidak bertentangan perintah agama.

* Isteri sedia memberikan layanan dan kasih sayang yang sepenuhnya sehingga membuatkan suami berasakan rumah tangganya adalah tempat untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan dari sebarang masalah kerja.

* Isteri yang sentiasa menjaga rahsia dan maruah suaminya, begitu juga dengan maruahnya sendiri ketika ketiadaan suami. Isteri mestilah memohon keizinan suaminya untuk keluar dari rumah atau untuk mengerjakan puasa sunat.

* Isteri mestilah bijak menguruskan harta suami dalam berbelanja dengan kadar sederhana dan tidak membazir. Cara ini dapat menyelamatkan suami daripada masalah kewangan.

* Isteri yang sedia menerima pemberian suami dengan penuh keikhlasan dan kerelaan. Isteri tidak meminta sesuatu yang suami tidak mampu menunaikannya.

* Isteri yang sentiasa bersyukur dan tenang, sama ada menerima nikmat atau dugaan daripada Allah. Sedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu serta perintah Allah dengan tabah dan sabar.

* Berdiam diri sambil mendengar bila suami bercakap.

* Isteri yang sedia melayani dan memenuhi kehendak batiniah suami bila diperlukan.

* Isteri yang sentiasa menghias diri bila di hadapan suami dan
sebaliknya pula bila ketiadaan suami.

* Isteri yang sentiasa mendahulukan keperluan suami dari keperluannya sendiri.

* Isteri yang sentiasa bersikap malu terhadap suaminya, bersopan santun dalam perkataan dan juga perbuatannya.

* Isteri yang menemani suaminya ke muka pintu bila ia hendak keluar dan menyambutnya dengan senyuman bila ia pulang.

Kredit - Ide Waheeda

Jangan Tangisi Apa Yang Bukan Milikmu

Dalam meniti liku-liku kehidupan ini, kita seringkali berasa kecewa. Kecewa kerana sesuatu yang terlepas dari genggaman tangan, keinginan yang tidak kesampaian, kenyataan yang tidak dapat diterima dan akhirnya ia mengakibatkan sesuatu yang mengganggu jiwa dan perasaan

Hidup ini ibarat sebuah belantara. Tempat kita mengejar segala keinginan dan sememangnya manusia diciptakan-Nya mempunyai kehendak dan keinginan. Namun, tidak semua yang kita inginkan akan tercapai, tidak setiap yang kita idamkan mampu menjadi realiti. Dan, bukan sesuatu yang mudah untuk menyedari dan menerima kenyataan bahawa apa yang bukan menjadi milik kita tidak perlu kita tangisi. Ramai orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: mesti berjaya, mesti bahagia atau yang lainnya.

Berapa ramai orang yang berjaya tetapi lupa bahawa segalanya adalah pemberian Allah yang Maha Pemurah sehingga kejayaan itu membuatnya sombong dan bertindak mengikut nasfsunya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan tenang dan sabar sedangkan dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi hak kita di dunia, pasti akan Allah tunaikan. Namun apa yang memang bukan milik kita, ia tidak akan mungkin kita miliki, walaupun ia mungkin telah menghampiri kita, walaupun kita telah bermati-matian mengusahakannya. Seorang mukmin tidak akan bersedih ketika ditimpa musibah, malapetaka, dan sebagainya. Tetapi dia bersyukur kepada Allah dan menjadikan musibah itu sebagai peringatan dari Allah terhadap dirinya. Oleh itu, bila seorang mukmin merasa sedih ketika ditimpa musibah, maka dia bukan mukmin sejati.


Sebab, apa pun musibah yang menimpa seorang mukmin, selalu menguntungkan dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadis: Sungguh menakjubkan! Urusan orang mukmin selalu menjadi hal yang menguntungkan bagi dirinya. Dan yang demikian itu hanyalah dialami oleh seorang mukmin.

Seorang mukmin bila ditimpa kesusahan, dan dia mengingat Allah, dengan jalan itu itulah dia akan memperoleh jalan penyelesaian yan terbaik. Dia tidak merasa tekanan batin dalam bentuk apapun, kerana penderitaan yang paling berat sekalipun, pasti ada jalan penyelesaiannya. Seorang mukmin adalah selalu mengingat Allah dalam keadaan ditimpa penderitaan yang amat sangat sekalipun, baik dengan mengucapkan tasbih, takbir, istighfar, doa mahupun dengan membaca Al-Quran, sehingga membuat jiwanya bersih, bening, perasaannya tenang dan tenteram.

Rasulullah pun bersabda: Ingat akan Allah adalah penawar kalbu, diriwayatkan oleh Ad-Dailami oleh Anas.

Maka wahai jiwa yang sedang gundah berduka lara, dengarkan firman Allah SWT; ....Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah Maha Mengetahui kalian tidak mengetahui. (QS. Al-Baqarah 216)

Maka setelah ini wahai jiwa, jangan kau hanyut dalam dalam nestapa yang berpanjangan terhadap apa-apa yang terlepas dari genggamanmu, dari dakapanmu. Kita lihat di sekeliling kita, kemudian cerminlah diri sendiri andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, mulai hari ini ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!

Manusia yang mulia adalah yang menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah hamba, benar-benar hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar-benarnya, baik secara teori mahupun praktikal. Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik bagi kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya, dan lebih dari itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan kecantikan Maha Pemurah.

Andai ternyata keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah SWT, ternyata apa yang diharapkannya esok hari tidak menjadi nyata, malah yang terjadi adalah sesuatu yang sebaliknya, maka kita mesti tetap ikhlas! Kita menerima semuanya dengan senyum yang mengembang, dengan redha yang tidak terhitung. Hidupnya hanya untuk-Nya. DIA-lah tujuan hidup, sebaik-baik tujuan hidup! Sedang yang lainnya adalah wasilah, alat, bekal, modal untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Maka, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu! Kerana, ia memang bukan milikmu! Maka, bersihkan hatimu, ikhlaslah....redha dengan ketentuan-Nya. Kerana, kita ini adalah sebenar-benar hamba! Moga kita lebih kuat dan dekat kepada-Nya..InsyaAllah[-O<

Kredit - Waty Varsha

Awasi bengkak keras


SALMIAH HARUN (bukan nama sebenar) tidak pernah menyangka anak lelakinya yang berusia 11 tahun menghidap kanser tulang. Pada mulanya dia menganggap lebam pada lutut anaknya yang muncul tiba-tiba itu cuma lebam biasa. Tambah pula si anak memang gemar bermain bola sepak dan kecederaan satu perkara lazim.

Apabila anaknya mengadu tidak boleh berjalan, Salmiah, 35, dan suaminya mula berasa risau. Mereka merujuk kepada doktor pakar di sebuah hospital di Selangor. Setelah pemeriksaan demi pemeriksaan yang dijalankan melalui teknik MRI, CT Scan dan Biopsi di hospital berkenaan, anaknya itu disahkan menghidap kanser tulang. Lebih memeritkan Salmiah untuk menerima kenyataan apabila sel kanser tulang anaknya itu telah merebak ke paru-paru.

Hati Salmiah bagai direntap apabila doktor pada awalnya memberitahu anaknya diramalkan hanya punya masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk hidup. Namun, selepas tabah mengikuti rawatan yang disarankan doktor meliputi pembedahan, rawatan kimoterapi dan fisioterapi keadaannya bertambah baik.

Sememangnya apabila bercakap tentang penyakit tulang, ramai orang terfikirkan penyakit osteoporosis yang menyebabkan tulang rapuh, namun kanser tulang merupakan penyakit tulang yang perlu diambil perhatian. Tambah pula kanser tulang primer lazim terjadi pada kanak-kanak.

Media pada 2001 pernah melaporkan nisbah satu dalam 100,000 penduduk didapati menghidap kanser tulang setiap tahun. Walaupun penyakit kanser ini kurang terjadi berbanding penyakit-penyakit kanser yang lain, namun ia masih perlu dirawat segera sebelum terlambat. Kanser tulang yang lewat dirawat boleh menyebabkan tulang retak dan akhirnya membawa maut.

Menurut Pengarah Perubatan dan Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Antarabangsa Wijaya, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim A. Wahid, terdapat dua jenis kanser tulang.

Pertama, kanser tulang primer bermula daripada tulang manakala kanser tulang sekunder ialah kanser yang merebak ke tulang.

Jenis

Kanser tulang primer biasanya berlaku kepada kanak-kanak dan individu bawah 30 tahun manakala kanser tulang sekunder pula banyak terjadi kepada orang dewasa dan tua.

“Setakat ini punca kanser tulang terjadi dan bagaimana mekanismenya masih tidak diketahui. Jika kanser yang lain seperti kanser paru-paru ia mungkin disebabkan oleh amalan menghisap rokok. Kanser payu dara pula mungkin disebabkan oleh pengambilan lemak dalam pemakanan,” ujar Mohamed Ibrahim.

Jelas beliau, kanser yang ‘memakan’ tulang akan menyebabkan komposisi tulang kurang padat dan menjadi reput lalu menyebabkan tulang mudah retak.

Jika tulang belakang retak seperti dalam kes kanser tulang sekunder, keadaan itu boleh menyebabkan saraf tunjang tertekan atau tersepit sekali gus boleh menyebabkan lumpuh.

Mengenai kanser tulang primer, Mohamed Ibrahim berkata, ia paling banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia lapan hingga 12 tahun. Ia masih boleh terjadi kepada orang dewasa namun sangat jarang,

Bahagian tulang lutut merupakan antara kawasan yang paling banyak berlaku kanser iaitu kira-kira 60 peratus, diikuti 15 peratus di kawasan punggung, 10 peratus di bahu dan kurang lapan peratus di bahagian rahang.

Antara simptomnya ialah apabila terasa sakit dan bengkak yang semakin membesar pada bahagian tulang yang diserang kanser.

“Misalnya, ibu bapa boleh mengesan anak mereka mungkin mendapat kanser tulang dengan melihat terdapat bengkak di bahagian lutut sehingga kanak-kanak itu berasa sakit dan sukar atau bermasalah untuk berjalan. Bengkak biasanya keras kerana ia berpunca daripada bahagian tulang.

“Jika kanser berlaku pada tulang tangan, pesakit mungkin berasa sakit apabila menggunakan lengan tangan ketika melakukan aktiviti menggunakan anggota itu,” katanya.

Bagaimanapun, peluang untuk pesakit kanser tulang primer sembuh lebih cerah jika ia masih berada di tahap pertama atau awal.

Kanser tulang sekunder pula banyak berlaku pada bahagian tulang belakang, tulang rusuk dan tengkorak. Ia biasanya dianggap sebagai kanser tahap empat kerana kanser telah merebak daripada satu bahagian lain ke tulang.

Mohamed Ibrahim memberitahu, kanser tulang primer dan kanser tulang sekunder mempunyai perbezaan karakter dan doktor membezakannya dengan karakter tersebut.

“Jika imbasan sinar-X pada tulang menghasilkan imej seperti sinar matahari pada tempat kanser, itu menandakan kanser tulang primer. Sementara kanser tulang sekunder pula akan menunjukkan gambaran tulang hancur atau berlubang-lubang dengan kesan seperti digigit atau dimakan,” jelasnya.

Rawatan

Berhubung rawatan, Mohamed Ibrahim memberitahu, bagi kanser tulang primer, rawatan sebaiknya yang perlu dilalui pesakit ialah pembedahan, kimoterapi dan radioterapi.

“Kalau zaman dahulu, bila sesuatu tempat itu ditumbuhi kanser, anggota badan itu akan dipotong. Kalau kena pada kaki, kaki akan dipotong. Namun, sekarang tidak radikal lagi. Terdapat pembedahan seperti limb salvage surgery, satu kaedah pembedahan yang hanya membuang bahagian yang terkena kanser dan mengekalkan anggota yang sedia ada. Terdapat juga rawatan tulang prostesis untuk membina semula tulang,” katanya.

Bagi kanser tulang sekunder, rawatan yang sama juga diperlukan namun pesakit turut diberikan rawatan tambahan menerusi pengambilan bisphophanat.

Bahan tersebut membantu membaiki tulang dengan meningkatkan aktiviti osteoblast yang bertindak membaiki semula tulang.

“Dalam pertumbuhan tulang, ia melibatkan tindakan dua sel tulang iaitu osteoklast dan osteoblast. Osteoklast bertindak memakan tulang dan osteoblast membina semula tulang. Apabila kanser tulang berlaku, osteoklast bertindak lebih aktif, lalu pengambilan bisphopanat sama ada secara suntikan atau oral membantu meningkatkan aktiviti osteoblast,” ujarnya sambil memberitahu contoh-contoh kanser yang sering merebak ke tulang ialah kanser prostat, paru-paru dan serviks.

“Banyak juga kes di mana pesakit hanya mengetahui mereka menghidap kanser lain setelah dikesan mempunyai kanser tulang,” tambahnya.

- KOSMO!