Selasa, Jun 29, 2010

Adakah Pemandu Takut Dengan Saman Lalu Lintas?

Pemandu yang ingkar terhadap undang-undang lalu lintas sudah tentu biasa dengan perkataan 'saman trafik'.

Kenapa perlu pihak berkuasa mengeluarkan saman itu terhadap mereka yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Jawapannya cukup mudah.

Menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), saman dan denda kesalahan lalu lintas mempunyai peranan sendiri.

"Ia untuk memastikan pemanduan teratur dan berhemah. Satu lagi objektifnya ialah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya".

STATISTIK Pemandu yang melanggar peraturan boleh dikenakan saman atau denda oleh polis, pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan warden trafik pihak berkuasa tempatan.

Tanpa saman terhadap pesalah lalu lintas, sudah tentu angka kemalangan di seluruh negara akan meningkat dan ini boleh dibuktikan melalui statistik.

Menurut polis dan JKJR, terdapat 6,218 kemalangan maut pada tahun 2009, yang paling tinggi dalam masa sembilan tahun dari tahun 2000.

Bagi tahun 2000, terdapat 5,440 kemalangan maut diikuti jumlah l5,230 bagi tahun 2001.

Bagi tahun 2002 pula, jumlah kemalangan ialah 5,378 diikuti dengan 5,634 bagi 2003, 5,674 (2004), 5,604 (2005), 5,711 (2006), 5,672(2007) dan 5,952 (2008).

Bagi mereka yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya, jumlah untuk tahun 2009 merupakan yang paling tinggi iaitu 6,745. Selain tahun 2009, rata-rata angka kematian disebabkan kemalangan jalan raya adalah tinggi dari tahun 2000 hingga 2008.

Bagi tahun 2000, jumlah kematian ialah 6,035 diikuti 5,854 bagi tahun selepasnya. Pada tahun 5,891 (2002), 6,286 (2003), 6,228 (2004), 6,188 (2005), 6,287 (2006), 6,282 (2007) dan 6,527 pada 2008.

Bagi tahun 2009, Johor mencatat jumlah kematian paling tinggi dalam kemalangan iaitu 1,060 diikuti Selangor (976), Perak (829), Kedah (550), Pahang (512), Kelantan (453), Pulau Pinang (395), Negeri Sembilan (377), Terengganu (348), Sabah (345), Sarawak (332), Melaka (248), Kuala Lumpur (230) dan Perlis (90).

SAMAN Menurut aktivis sosial Fatimah Mansur, sesetengah pemandu Malaysia tidak peduli jika mereka dikenakan denda bagi kesalahan jalan raya.

"Kadang kala, pemandu kenderaan tidak hirau jika mereka melanggar had laju dan juga melakukan kesalahan lalu lintas yang lain. Mereka tidak kisah sama ada kena saman atau memandu dengan membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.

"Bagi yang lain pula, apalah RM30 atau lebih untuk bayar saman lalu lintas jika mereka boleh membelanjakan lebih daripada RM200 bila makan di restoran eksklusif," kata beliau.

Menurut Fatimah, sikap pemandu juga merupakan faktor yang penting.

"Sesetengah mereka yang dikenakan saman lalu lintas sanggup tunggu hingga ke hari erakhir untuk menyelesaikan saman mereka walaupun mereka punya masa dan wang untuk menjelaskannya lebih awal," kata beliau.

OPS SIKAP Pihak polis menjalankan sebanyak 15 'Ops Sikap' di antara tahun 2001 dan 2008.

(Ops Sikap ialah operasi keselamatan trafik yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia bagi menjamin keselamatan jalan raya di seluruh negara pada musim perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali, Hari Krismas dan Tahun Baru Cina).

Dalam Ops Sikap 1 yang dijalankan dari 9 Disember hingga 23 Disember 2001, terdapat 9,014 kemalangan dengan 155 kematian. Dalam setiap Ops Sikap yang selanjutnya angka kematian tidak pernah turun dari tahap 150 kecuali pada Ops Sikap XIV (operasi khas) yang mana kematian cuma 22.

Dalam Ops Sikap II (5 Februari-19 Februari 2002) terdapat 183 kematian.

Dalam operasi Ops Sikap selanjutnya yang dijalankan pada musim perayaan dari hujung 2002 hingga awal Januari 2008 (Ops Sikap III hingga Ops Sikap XV), jumlah kematian dalam kemalangan masing-masing 253, 153, 207, 169, 173, 161, 211, 205, 213, 192, 202, 22 dan 192. KENAPA LEBIH BANYAK KEMALANGAN Menurut polis, insiden kemalangan semasa 'balik kampung' di musim perayaan lebih tinggi.

"Dengan itu, maka tinggilah juga risiko terjadinya kemalangan jalan raya," kata seorang pegawai polis trafik.

Menurut statistik JKJR dan polis, jumlah kemalangan jalan raya paling tinggi di jalan persekutuan dan bandaran.

"Hanya 20 peratus mereka yang mati ialah yang dalam kumpulan 'balik kampung' di musim perayaan. Selebihnya merupakan penduduk tempatan di kawasan masing-masing," katanya.

Kenapa sedemikian?

"Biasanya penduduk setempat seperti di kampung-kampung tidak mengamalkan ciri-ciri keselamatan terutama penunggang dan pembonceng motosikal.

"Anda pasti akan terlihat mereka menaiki motosikal tanpa topi keledar dan anak-anak kecil serta wanita berusia menunggang motosikal. Sudah tentu mereka tidak mempunyai lesen.

"Dulu, jika mereka langgar lampu isyarat merah, mereka tidak akan langgar sesiapa tapi bila kenderaan mula banyak balik kampung, sudah tentu akan terjadi kemalangan jika pemandu masih gagal menghormati undang-undang jalan raya," tambah beliau.

- BERNAMA

Pos Malaysia Keluar Setem Definitif Siri Taman Bunga Kebangsaan


Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi baru setem-setem definitif siri taman bunga kebangsaan, Khamis ini sempena tarif baru pos.

Penolong Kanan Pengurus Setem dan Filateli Diyana Lean Abdullah berkata setem-setem yang bertemakan bunga-bungaan taman dijual dengan harga dari 30sen hingga RM1 sekeping.

"Pilihan setem itu terbahagi kepada lapan jenis bunga-bungaan seperti Kembang Pagi, Bunga Kertas, Bunga Raya dan dua reka bentuk baru, Bunga Tasbih (Canana oriental) dan Bunga Cempaka (Allamanda cathartica)," katanya semasa previu media mengenai setem-setem itu di Galeri Setem di Kompleks Dayabumi di sini hari ini.

Katanya setem-setem definitif itu dikeluarkan dalam siri kebangsaan dan negeri menjadikannya setem definitif kebangsaan keenam.

"Pos Malaysia juga akan menjual setem-setem hari pertama khas mengandungi sampul surat dengan enam jenis setem di atasnya. 40,000 set setem ini hanya boleh didapati pada hari pertama dan berharga RM7.10 setiap satu," katanya. Bagaimanapun, baki setem-setem bagi koleksi terdahulu (siri burung) akan terus dijual dan tidak akan dicetak semula.

Diyana berkata respons daripada para pengumpul masih menggalakkan sehingga hari ini.

"Ramai beranggapan bahawa setem sudah tidak relevan lagi tapi tidak bagi para pengumpul kerana mereka sentiasa bersemangat untuk mendapatkan koleksi baru," katanya.

Pengeluaran koleksi setem baru adalah bagi memeriahkan Malaysia sebagai syurga bagi pemandangan menarik dan daya tarikan.

"Bunga-bungaan yang cantik dapat menyentuh perasaan keakraban di kalangan rakyat Malaysia kerana bunga-bungaan ini biasanya kelihatan di taman-taman awam," kata Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Syed Faisal Albar dalam satu kenyataan.

Adalah dianggarkan bahawa lebih 15,000 spesies pokok bunga tumbuh di Malaysia termasuk kira-kira 2,000 jenis pokok seperti palma dan orkid.

- BERNAMA

Bumbung stadium runtuh belum dibersih


Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said sekali lagi melahirkan rasa kecewa kerana kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, masih belum dijalankan.

Sehingga ini, beliau berkata masih belum ada sebarang maklumat berhubung kerja-kerja pembersihan runtuhan itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Saya tak tahulah, JKR yang buat penilaian dan mengeluarkan tender. Saya difahamkan ramai sangat yang masuk untuk mendapatkan kerja-kerja pembersihan itu sehingga 40 kontraktor.

"JKR ada penilaiannya sendiri melalui lembaga tendernya. Kalau saya, senang saja pilih yang murah untuk jimat kos. Nak nilai apa yang lama sangat sehingga lima dan enam bulan belum selesai lagi. Sayapun rasa malu juga," katanya selepas majlis penyerahan E-Book kepada pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Kuala Terengganu.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai kerja-kerja pembersihan bumbung stadium yang runtuh pada 2 Jun tahun lalu masih terbengkalai sehingga kini walaupun laporan kertas siasatan tentang punca kejadian itu diumumkan oleh kerajan negeri April lepas.

Stadium berharga kira-kira RM292 juta itu runtuh setahun selepas ia siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 pada 2008.

Ahmad berkata pada September ini, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan program perhimpunan 40,000 remaja seluruh Terengganu di stadium itu dan sehubungan itu, beliau berharap kerja-kerja pembersihan dilakukan secepat mungkin.

"Saya dah beritahu supaya buat cepat. Kalau mereka buat kerja betul-betul dalam tempoh sebulan boleh siap dan boleh digunakan untuk perhimpunan remaja berkenaan," katanya.

Jika kerja-kerja pembersihan runtuhan itu belum juga dilakukan, Ahmad berkata program perhimpunan remaja "terpaksa diadakan di luar stadium itu".

- Bernama

Jet Israel dilarang terbang di Turki

ANKARA - Turki menutup ruang udaranya daripada digunakan sejumlah pesawat tentera Israel, laporan agensi berita Anatolia semalam.

Tindakan itu dibuat ekoran sebuah kapal bantuan kemanusiaan milik Turki ke Gaza diserang oleh anggota-anggota komando Israel mengakibatkan sembilan orang warga Turki terbunuh pada 31 Mei lalu. Namun larangan itu tidak melibatkan pesawat komersial.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan membuat pengumuman tersebut semasa menghadiri persidangan Kumpulan 20 (G20) di Toronto, Kanada. Pada Ahad lalu, akhbar Israel, Yediot Ahronot melaporkan bahawa Turki tidak membenarkan sebuah pesawat yang membawa 100 anggota tentera Israel menuju ke Auschwitz, Poland melalui ruang udaranya.

Pesawat itu dipaksa membuat lencongan dan tentera Israel enggan memberi maklum balas secara rasmi kerana tidak mahu memburukkan hubungan dua hala yang kini tegang.

Tiada komen diperoleh daripada pejabat Perdana Menteri Israel berhubung kenyataan Erdogan itu.

Turki yang sebelum ini mempunyai hubungan rapat dengan Israel turut memanggil pulang dutanya di Israel selain membatalkan latihan ketenteraan dengan negara berkenaan.

Ia turut menegaskan akan menghantar dutanya dan meningkatkan hubungan ketenteraan dan perdagangan jika Israel memohon maaf berhubung isu berkenaan.

- AP

Gadis 21 tahun jadi doktor


LONDON - Rachael Faye Hill yang baru berusia 21 tahun mencipta sejarah apabila dia menjadi doktor paling muda di Britain selepas memperoleh ijazah sarjana muda bidang perubatan daripada Universiti Manchester pada 14 Julai depan, lapor sebuah akhbar semalam.

Rachael 'merampas' gelaran itu daripada Heenal Raichura yang berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti St. George pada tahun 2008 ketika berusia 22 tahun.

Kebanyakan institusi pendidikan tidak akan menerima pelajar memasuki bidang perubatan sehingga pemohon berusia 18 tahun.

Tempoh pengajian pula memakan masa selama enam tahun menyebabkan graduan bidang itu biasanya berusia 23 atau 24 tahun.

Namun, Rachael dibenarkan untuk mengikuti pengajian perubatan hanya beberapa minggu selepas ulang tahun kelahiran ke-17.

Tidak lama lagi, Rachael akan memulakan latihan selama dua tahun di Hospital Royal Preston.

"Ibu saya merupakan seorang doktor veterinar. Tetapi saya rasa lebih sesuai membantu manusia. Akhirnya saya memohon menyertai sekolah perubatan di England ketika berusia 15 tahun," jelasnya.

Pada mulanya, Rachael belajar di Kolej Colegio Hispano Britanico di Lanzarote sebelum guru-gurunya mengenal pasti potensi dan membenarkannya untuk 'lompat kelas' selama beberapa tahun.

- Agensi

Sultan Johor cipta sejarah mendapat lesen memandu keretapi


GEMAS: "Terima kasih cikgu" Demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kepada Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan sebaik menerima Lesen Kelas 26 di Stesen Gemas di sini semalam.

Baginda diberikan lesen setelah menyempurnakan acara pusingan lokomotif seberat 86 tan menggunakan alat turn table sebagai salah satu syarat mendapat lesen pada hari terakhir Kembara Mahkota Johor (KMJ) semalam.

Syarat itu berjaya disempurnakan oleh Sultan Ibrahim dalam tempoh 10 minit.

Selain lesen Kelas 26, baginda juga menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai sultan pertama memandu kereta api secara rasmi.

Sijil pengiktirafan itu diserahkan oleh Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi.

Baginda dalam titah ucapannya berasa lega dan bangga kerana berjaya menyempurnakan KMJ 2010 dengan memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari sejak Jumaat lalu.

"Saya lega, walaupun sukar memandu kereta api kerana tiada stereng, saya syukur semuanya selamat. Yang penting dapat jumpa rakyat," titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dan permaisuri, Raja Zarith Sofiah ibni Almarhum Sultan Idris bersama anakanda-anakanda baginda iaitu Tunku Aminah dan Tunku Idris bertolak dari Stesen Segamat pada pukul 8 pagi ke Gemas.

Selepas menyempurnakan syarat dan mendengar taklimat tertutup mengenai Projek Landasan Berkembar Elektrik Seremban-Gemas, baginda dan rombongan kemudiannya bertolak ke Stesen Bekok untuk menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar miskin sebelum ke Stesen Layang-Layang.

Di Layang-Layang, baginda melawat pameran perhiasan ikan di Aqualeader Aquarium Corp. Sdn. Bhd. di Kampung Tengah sebelum bertolak ke JB Sentral untuk upacara penutup pada pukul 5 petang.

- KOSMO!

Kadar jenayah babit pelajar, kanak-kanak meningkat

Walaupun kadar indeks jenayah negara menunjukkan penurunan ketara iaitu 15.1 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini, namun perlakuan jenayah membabitkan kanak-kanak dan pelajar termasuk jenayah berat seperti rogol dan bunuh amat membimbangkan.

Lebih mengejutkan, ada kanak-kanak yang terjebak dalam jenayah seawal usia tujuh tahun.

Statistik Bukit Aman mendedahkan sepanjang empat bulan pertama tahun ini, kanak-kanak dan pelajar serta remaja tidak bersekolah berusia 7 hingga 18 tahun terbabit dalam 18 kes bunuh, 198 (rogol), dua (rompak berkumpulan bersenjata api), 185 (rompak berkumpulan tanpa senjata), 19 (rompakan) dan 141 (mendatangkan kecederaan).

Mereka turut terbabit dalam 382 kes kecurian, 584 kes curi kenderaan termasuk 558 membabitkan motosikal, 28 (ragut), 17 (pecah rumah siang hari) dan 232 (pecah rumah malam hari).

Dalam tempoh sama tahun lalu, mereka terbabit dalam 13 kes bunuh, 181 (rogol), tujuh (rompak berkumpulan bersenjata api), 74 (rompak berkumpulan tanpa senjata api); 132 (mendatangkan kecederaan), 324 (curi), 385 (curi kenderaan), 25 (ragut), 28 (pecah rumah malam hari) dan 158 (pecah rumah siang hari).

Secara keseluruhannya, mereka yang berusia tujuh hingga 18 tahun terbabit dalam 1,817 kes jenayah dengan 604 daripadanya adalah murid dan pelajar sekolah sepanjang Januari hingga April tahun ini, berbanding 1,343 kes membabitkan 453 murid dan pelajar bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 50 kes membabitkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, 507 kes (13 hingga 15 tahun) dan 1,360 kes (16 hingga 18 tahun) dengan 42 kes dilakukan perempuan.
Mengulas mengenainya, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis memerlukan bantuan ibu bapa, pentadbiran sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membendung jenayah kanak-kanak dan remaja yang dilihat semakin meningkat.

Beliau juga mencadangkan supaya satu kajian ilmiah dibuat secara bersama oleh semua pihak berkaitan bagi mengenalpasti punca masalah itu dan cara menanganinya.

Bagi saya, masalah ini tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada polis. Tanpa bantuan masyarakat kita akan gagal dalam mengatasi masalah ini, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perangkaan itu memberi isyarat betapa seriusnya masalah sosial dan perlakuan jenayah di kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Bagi saya, faktor utama yang mendorong peningkatan kadar jenayah dan salah laku remaja ialah kurangnya pengawasan dan pemantauan ibu bapa terhadap pergerakan dan aktiviti anak, selain pengaruh filem, televisyen dan internet, katanya.

- BERITA HARIAN

Khidmat baru tempahan servis Perodua

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan mewujudkan perkhidmatan baru dikenali Drop Box Services di semua 39 cawangan terpilih seluruh negara bagi memudahkan pengguna membuat tempahan servis kenderaan, bermula 15 Julai ini.

Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh, berkata menerusi kemudahan itu, pemilik kenderaan yang mengalami masalah atau mahu membaiki kenderaan boleh datang terus di cawangan berkenaan meskipun selepas waktu pejabat, ketika cuti hujung minggu dan cuti umum.

Perkhidmatan ini khas untuk kenderaan yang mengalami masalah pada hujung minggu ataupun cuti umum dan pemiliknya perlu menyertakan nama dan nombor telefon masing-masing. Petugas akan menyiapkan kenderaan berkenaan keesokan hari dan Perodua akan menghubungi pemilik selepas siap dibaiki.

Langkah itu juga adalah tanggungjawab sosial Perodua kepada pengguna dan berharap ia akan memuaskan semua pengguna.

Buat masa ini, kita hanya melakukannya di cawangan Perodua saja, tetapi jika ia berjaya, kami akan memperluaskannya kepada pusat jualan kenderaan Perodua yang lain, katanya pada program Perodua Eco-Challenge Race 2010, yang berlangsung di Litar Motor Antarabangsa Melaka (MIMC), di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Aminar Rashid berkata, Perodua sudah memperuntukkan RM500 juta bagi memperkenalkan Program Teknikal Perodua Remaja khusus untuk pelajar daripada keluarga kurang mampu tetapi berminat dalam bidang teknikal dan automotif.

Beliau berkata, buat permulaan, pihaknya menyediakan 40 tempat untuk pelajar bertuah ini mempelajari segala aspek dalam bidang berkenaan selama enam bulan di pusat latihan Perodua.

Perodua berharap, menerusi program ini, ia akan dapat melahirkan pelajar yang mempunyai kelebihan dalam bidang teknikal dan berpeluang dimasukkan dalam bahagian pembuatan ataupun bengkel kami, katanya.

- BERITA HARIAN

Peranan wanita bangunkan ummah tetap penting

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

ALLAH menjadikan manusia berpasangan, maka sewajarnya lelaki dan perempuan berganding bahu melaksanakan tanggungjawab serta usaha membangunkan kehidupan kerana masing-masing memiliki kemampuan memberi sumbangan demi kebaikan hidup semua.

Firman Allah yang bermaksud: Dan sebahagian daripada tanda kebesaran Allah ialah menjadikan bagi kamu pasangan supaya kamu hidup tenang dan dapat memupuk rasa kasih sayang antara satu sama lain. (Surah ar-Rum, ayat 21).

Melihat besarnya peranan manusia sebagai khalifah memakmurkan bumi Allah, bukan saja lelaki tetapi wanita turut sama berperanan mencapai misi dan visi membina kemajuan serta pembangunan ummah.

Lantaran itu, wanita turut menceburi pelbagai bidang mencabar yang sebelum ini dimonopoli lelaki seperti juruterbang, polis, tentera, ahli bomba, pemandu kenderaan awam dan bidang profesional lain yang mencabar kemampuan golongan hawa.

Tindakan memilih kerjaya seperti itu bukan bertujuan untuk menandingi atau bersaing dengan lelaki, tetapi bersama berjuang membangunkan diri, bangsa dan negara.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah orang yang memuliakan wanita itu kecuali orang yang mulia dan tidaklah menghina wanita itu kecuali orang yang hina pula. (Hadis riwayat Ibnu Asyakir)

Begitu juga dengan lelaki, kini tidak timbul lagi fitnah liar apabila ramai yang menceburi bidang selama ini dikuasai wanita seperti jahit menjahit, andaman dan masakan.
Kedatangan Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman antara lain bertujuan mengembalikan semula peranan wanita sebagai kelompok begitu bermakna dalam menyumbangkan bakti untuk pembangunan ummah.

Jelas Baginda SAW dalam sabda yang bermaksud: Tiga perkara yang dapat memberi kebahagiaan anak Adam ialah wanita yang baik, tempat tinggal baik dan selesa dan kenderaan yang selamat. Tiga perkara boleh merosakkan hidup anak Adam ialah wanita yang jahat, tempat tinggal yang buruk dan kenderaan tidak sempurna.

Wanita turut menyumbang membangunkan ummah dan dalam perkara membabitkan pembangunan rohani, wanita tidak dikecualikan daripada memenuhi tanggungjawab diri kepada Allah, diri sendiri, keluarga dan ahli masyarakat.

Islam tidak membezakan lelaki dan wanita dalam melakukan ibadat kerana apa yang wajib dan sunat bagi lelaki itulah juga hakikatnya kepada wanita. Begitulah terhadap perkara yang harus, haram dan makruh.

Allah SWT menerangkan hal ini dalam sabda yang bermaksud: Barang siapa yang beramal salih daripada lelaki dan wanita dan beriman kepada Allah, maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga Allah dan tidak akan dianiayai sedikit pun (tidak akan dikurangkan balasan pahalanya). (Surah an-Nisa, ayat 124).

Namun, dalam perkara tertentu antaranya menjadi menjadi saksi, wali dan imam, tidak dipertanggungjawabkan kepada wanita. Bagaimanapun, ulama bersetuju bahawa kebanyakan seruan adalah untuk lelaki dan perempuan.

Wanita memainkan peranan cukup besar dalam pembangunan keluarga. Kebahagiaan rumah tangga adalah berkat kesungguhan dan kekuatan ikatan terjalin antara isteri, suami serta anak sebagai amanah Allah.

Seorang suami tidak akan mampu memikul tugas menjaga dan mendidik anak tanpa bantuan isteri. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Kahwinilah wanita itu kerana mereka akan mendatangkan harta kepada kamu.

Selain memberi sokongan moral kepada suami meneruskan sesuatu kerjaya menjadi punca rezeki keluarga, isteri turut berperanan menjadi teman dan sahabat paling akrab kepada anak. Sebahagian besar isteri turut menjadi tulang belakang bersama menghasilkan pendapatan keluarga.

Wanita sentiasa menjadi pelengkap dalam apa juga usaha dirangka dan dilaksanakan. Ini membawa makna dalam banyak perkara memerlukan tenaga atau pembabitan lelaki, kudrat wanita sentiasa diperlukan bagi memenuhi ruang kosong supaya setiap tindakan menjadi padu.

Pada zaman Rasulullah SAW, wanita terutama isteri Baginda kerap kali menjadi jurucakap atau wakil untuk menyampaikan hukum Allah sama ada kepada kaum lelaki dan wanita. Di samping itu, mereka membantu tentera di medan perang.

Rabiah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kami ikut serta dalam peperangan bersama Nabi Muhammad, kami memberi minum kepada satu kaum dan kami berkhidmat kepada mereka dan kami membawa pesakit dan orang terkorban ke Madinah. (Hadir riwayat Bukhari)

Ketika hijrah, Nabi Muhammad SAW bersama Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur daripada pihak kafir Quraisy, Asma binti Abu Bakar menghantar bekalan makanan, menjaga keamanan Rasulullah dan bapanya serta menjadi perisik bagi mengetahui rancangan jahat Quraisy.

Begitulah juga mutakhir ini, kaum wanita memainkan peranan sama penting dengan lelaki melaksanakan apa juga kerja demi pembangunan diri dan bangsa seluruhnya.

Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Muslim lelaki dan wanita, mukmin lelaki dan wanita, lelaki yang taat dan wanita yang taat, lelaki yang benar dan perempuan yang benar, lelaki yang sabar dan wanita yang sabar, lelaki yang khusyuk dan wanita yang khusyuk, lelaki yang bersedekah dan wanita yang bersedekah, lelaki yang berpuasa dan wanita yang berpuasa, lelaki yang memelihara kehormatan dan wanita yang menjaga kehormatan diri, lelaki yang berzikir dan perempuan yang berzikir mengingati Allah akan disediakan mereka keampunan dan pahala yang banyak. (Surah al-Ahzab, ayat 35)

- BERITA HARIAN

Sistem peperiksaan perlu dirombak

Oleh AZMY MOHAMED

Langkah memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), jika dilaksanakan, merupakan satu revolusi dalam sistem pendidikan negara kita. Ia akan mengubah banyak perkara, dari sudut akademik, ekonomi dan sosial secara drastik dan menyeluruh.

Perubahan ini perlu dan wajar disegerakan kerana sistem yang berorientasikan peperiksaan sedia ada sudah mencecah tahap kronik. Kebimbangan ibu bapa terhadap prestasi pelajaran anak-anak semakin melampau. Murid seawal darjah satu sudah dihantar ke kelas tuisyen. Takut ketinggalan berbanding anak jiran atau anak saudara-mara.

Bilangan murid dan pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan menjadi keutamaan berbanding kemahiran insaniah seperti kebolehan berkomunikasi secara berkesan, berfikiran kreatif dan bijak menyelesaikan masalah.

Lambakan pelajar yang mendapat semua A untuk semua mata pelajaran tidak mencerminkan mutu pelajar berkenaan. Ia juga tidak menepati Falsafah Pendidikan Negara yang mahu menghasilkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan intelek.

Sebaliknya, ada yang berpendapat, lambakan pelajar mendapat A ini menggambarkan mudahnya sesuatu peperiksaan itu. Tiada nilai. Malah ada yang mencebik mengatakan graf keputusan dimanipulasi untuk memenuhi kehendak pihak tertentu. Namun, ia sekadar dakwaan atau tuduhan tanpa bukti.

Tanpa UPSR dan PMR, para guru tidak lagi terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan pelajaran sehingga terabai pelajar di kelas belakang. Fenomena ini adalah lumrah dalam sistem sekarang di mana pentadbir sekolah dan guru hanya fokus kepada pelajar kelas 'pandai' sahaja demi memburu prestasi cemerlang sekolah dalam peperiksaan. Natijahnya, pelajar yang kurang cerdik akan terus tercicir.

Kelak, guru boleh menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) mengikut tahap kebolehan pelajar tanpa terlalu terikat kepada silibus. Paling penting setiap pelajar perlu menguasai kemahiran literasi dan numerasi (Linus) atau bahasa mudahnya membaca, menulis dan mengira. Linus adalah salah satu daripada empat bidang keberhasilan utama (NKRA) Kementerian Pelajaran. Semua pelajar normal perlu menguasainya sebelum memasuki Tahap Dua sekolah rendah.

Dalam pada itu, pemansuhan UPSR dan PMR, pastinya akan menjimatkan banyak kos kepada ibu bapa. Tiada lagi yuran tuisyen. Tiada lagi perbelanjaan untuk membeli buku latihan atau bahan rujukan multimedia seperti cakera padat (CD) interaktif dan pembelajaran atas talian. Kos tidak langsung seperti wang saku, tambang pengangkutan dan caj sewaan jalur lebar untuk Internet juga boleh dijimatkan.

Bagaimanapun, pendapatan pengusaha kelas tuisyen termasuk guru-guru yang mengajar secara sambilan di situ akan terjejas teruk. Begitu juga dengan penerbit buku dan pengeluar bahan pengajaran multimedia.

Di negara maju seperti Jepun amalan satu peperiksaan awam sahaja untuk memasuki universiti telah lama dipraktikkan. Sekolah diberi autonomi mengikut daerah atau negeri masing-masing dan bukannya ditadbir secara berpusat seperti kita di sini. Segalanya dikawal selia oleh Kementerian Pelajaran kecuali 20 sekolah berprestasi tinggi (SBT) yang diberi autonomi bersyarat.

Jika model ini yang ingin digunakan, implikasi kos untuk kerajaan melaksanakan sesuatu pembaharuan atau projek rintis adalah sedikit berbanding sekarang. Sebagai contoh, untuk program pembestarian sekolah, kerajaan membelanjakan beratus juta ringgit untuk membekalkan perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ke semua sekolah di seluruh negara. Bayangkan kesan penjimatan jika sekolah ditadbir dalam keluasan geografi yang lebih kecil mengikut daerah atau negeri.

Namun, kerajaan tidak boleh lepas tangan sepenuhnya khususnya dalam menyediakan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman. Andai dibiarkan pasti mereka tercicir dan terbiar tanpa pembelaan. Mujur kerajaan kita tidak culas dalam aspek ini. Buktinya bangunan sekolah di kota dan di desa sama sahaja sehingga menimbulkan tanda tanya kepada pelawat dari luar negara.

Revolusi ini juga akan membebaskan minda ibu bapa dalam memilih hala tuju anak masing-masing mengikut potensi serta kecenderungan mereka. Tidak lagi terkongkong dengan laluan akademik semata-mata.

Hal ini membolehkan bidang lain khususnya sukan dan seni dapat berkembang maju dengan pesat dan pantas. Ibu bapa juga tidak lagi takut untuk melepaskan anak masing-masing menyertai kegiatan kokurikulum.

Pada ketika itu, hasrat Kementerian Pelajaran untuk menjayakan program '1 pelajar 1 sukan' akan terlaksana dengan mudah dan tanpa bantahan.

Hasilnya, ramai bakat baru yang berkebolehan dan berkemahiran akan muncul bukan sahaja dalam sukan malah dalam bidang lain juga. pencarian dan program pembangunan boleh dimulakan sejak di peringkat sekolah rendah lagi sehingga ke sekolah menengah. Pelajar punya banyak masa untuk berinovasi, berkarya dan bersukan dengan sepenuh hati tanpa risau untuk menduduki peperiksaan.

Hanya pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja mereka perlu memberi sepenuh perhatian. Itu pun jika mereka mahu melanjutkan pengajian ke universiti. Jika tidak, mereka boleh meneruskan kerjaya masing-masing dalam industri kreatif, sukan atau menjadi usahawan muda.

Selain itu, pemansuhan ini juga akan mengubah mekanisme pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP). UPSR dan PMR menjadi faktor utama pemilihan pelajar ke SBP sekarang ini.

Sebagai cadangan, berdasarkan tempat yang disediakan di SBP terhad, maka satu ujian khas merangkumi kecerdasan IQ dan EQ perlu diadakan. Ujian ini hanya terbuka kepada pelajar yang layak berdasarkan penilaian tertentu di peringkat sekolah. Ujian khas ini mirip kepada kaedah pemilihan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang diamalkan ketika ini.

- UTUSAN

Recent Posts