Jumaat, Jun 25, 2010

Rosyam Nor nafi RNG terbabit skim cepat kaya

Pelakon yang juga Duta Power Root, Rosyam Nor menegaskan Rosyam Nor Group (RNG) yang diketuainya cuma bertindak sebagai jenama kumpulan yang menggerakkan aktiviti keahlian untuk Power Impian International Sdn Bhd dan bukan syarikat skim cepat kaya.

Rosyam menjelaskan, RNG menyokong Power Impian yang berdiri di bawah Kumpulan Power Root dalam menjalankan aktiviti perniagaan jualan langsung (MLM) menerusi produk kesihatan yang memerlukan setiap ahlinya membayar RM1,160 sebagai yuran keahlian.

Sehubungan itu, Rosyam menafikan beliau cuba menipu ahli yang berdaftar di bawah RNG seperti didakwa pengirim e-mel, Iman seperti yang dilaporkan dalam B*Pop iaitu sisipan akhbar Berita Minggu pada 20 Jun lalu.

Menjelaskan situasi sebenar, Rosyam berkata, mereka bukannya menjual rangkaian atau downline, sebaliknya menjual produk dan setiap ahli perlu sama-sama menjana pendapatan untuk mendapatkan pulangan.

Saya pula melakukan semua ini bagi membalas jasa baik peminat serta berkongsi rezeki bersama mereka. Jika saya hendak menipu, saya boleh meletakkan 3,000 ahli berdaftar di bawah RNG di bawah nama saya seorang. Tetapi, saya tidak berbuat demikian kerana saya ingin berkongsi bersama mereka. Jadi, saya amat sedih apabila saya dituduh sedemikian, katanya.

Antara lain, pengirim e-mel berkenaan mendakwa pelakon itu gagal menunaikan janjinya memberikan pulangan kepada ahli kumpulan itu selepas dua minggu atau selewat-lewatnya sebulan setelah menjadi ahli.

Masalahnya, sebahagian peserta terus mendaftar tanpa mendengar keseluruhan ceramah yang saya berikan. Mereka tersilap pemahaman. Kami sebenarnya akan membayar bonus pada setiap dua minggu itu, bukannya mendapat duit pulangan. Bonus itu pula berdasarkan kemasukan ahli baru, katanya.

Mengenai pengirim e-mel, Rosyam mengaku beliau tidak mengenali penulisnya.

- BERITA HARIAN

La Nina dijangka landa Sabah Julai

Jabatan Meteorologi Sabah meramalkan fenomena La Nina melanda negeri ini mulai Julai hingga September dengan hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Pengarahnya, Abdul Malek Tussin, berkata ada petunjuk fenomena itu akan berlaku dan pihaknya sentiasa memantau serta akan membuat pengumuman mengenainya dari semasa ke semasa.

Katanya, hujan, panas dan ribut petir bulan lalu dan sekarang adalah disebabkan peralihan Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya.

"Ada tanda La Nina akan berlaku dan kami akan memantau perkembangan ini. Kejadian tanah runtuh di Jalan Penempatan, Luyang dan tanah jerlus menyebabkan sebuah rumah runtuh di Kampung Tebobon, Menggatal baru-baru ini adalah akibat hujan berterusan kesan peralihan monsun," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Abdul Malek berkata, hujan dan ribut petir pada waktu petang menyebabkan struktur tanah lemah dan kemungkinan runtuh.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk negeri ini berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini, terutama yang mengancam keselamatan.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu melakukan persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir, terutama menyediakan bot bagi memudahkan pemindahan mangsa banjir.
"Fenomena El Nino di Sabah sudah berakhir awal bulan ini. Selepas dilanda musim panas yang panjang, kita perlu bersedia menghadapi musim hujan sekarang.

"Saya yakin penduduk negeri ini sudah bersedia menghadapi perubahan cuaca dan sentiasa berjaga-jaga ketika musim banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

- BERITA HARIAN

Permudah pengambilan guru: KSN

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mahu proses pengambilan guru dipermudahkan dan dilakukan secara terus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), pada masa depan.

Mohd Sidek berkata, langkah ini perlu kerana semakin ramai siswazah berminat untuk mengikuti kursus Diploma Pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekarang.

Beliau berkata, melalui kaedah ini calon guru tidak perlu lagi melalui proses lantikan Kementerian Pelajaran (KPM) sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) dan boleh terus menikmati manfaat sama seperti guru yang sudah disahkan jawatannya.

"Tindakan ini boleh dilaksanakan dulu dalam opsyen tertentu khususnya kepada calon yang mengikuti kursus Diploma Pendidikan di IPTA.

"Walaupun proses ini dipermudahkan, kita tidak boleh bertolak ansur dalam aspek kualiti dan perlu dipertingkatkan lagi," katanya berucap pada majlis penutupan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sidek berkata, beliau juga meminta SPP, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengintegrasikan sistem pangkalan data masing-masing bagi membolehkan perkongsian maklumat secara pintar dan memudahkan urusan masing-masing.

Mohd Sidek berkata, beliau percaya langkah itu akan memberi manfaat besar kepada ketiga-tiga agensi berkenaan untuk berkomunikasi tanpa sekatan dan menguruskan hal ehwal perkhidmatan pendidikan dengan lebih luas, cepat dan tepat.
Beliau berkata, sebagai contoh SPP boleh mengendalikan urusan pengambilan dan perkhidmatan dengan lebih cepat dan cekap memandangkan semua maklumat berkaitan guru pelatih dapat dicapai dengan lebih cepat daripada sistem pangkalan data Kementerian Pelajaran (KPM).

"Seterusnya KPM dan KPT boleh membuat analisis dan mengambil tindakan lebih proaktif berasaskan maklumat yang boleh dicapai daripada sistem pangkalan data SPP, katanya.

"Berikutan itu, saya berharap proses mengintegrasikan sistem pangkalan maklumat ketiga-tiga agensi berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin dengan bantuan kepakaran dan nasihat daripada Unit Permodenan Tadbiran Malaysia (MAMPU)," katanya.

- BERITA HARIAN

ASW 2020 Bandar bantu miskin tegar

Seramai 4,976 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin bandar di seluruh negara menjadi kumpulan pertama menerima saham Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 Bandar yang dilancarkan semalam dengan masing-masing diperuntukkan RM10,000 sebagai wang prinsipal pelaburan.

Program khas ASW 2020 Bandar yang membabitkan RM100 juta peruntukan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri itu adalah satu lagi usaha kerajaan mengeluarkan rakyat miskin tegar serta miskin di bandar daripada kepompong kemiskinan ke arah mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi.

Semua penerima, termasuk 196 di Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada 5,466 miskin tegar dan 2,973 miskin di bandar yang berdaftar dengan program e-Kasih Fasa 1 dan Fasa II. Penerima akan menerima dividen serta pulangan lain setiap tahun daripada pelaburan 10,000 unit saham itu sepanjang hayat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkannya, berkata unit saham itu akan diberikan kepada KIR lain yang layak apabila penerima terbabit meninggal dunia.

Saham ini tidak dijadikan harta pusaka kerana mungkin anak mereka sudah menjadi doktor, jurutera atau tidak layak menerima, katanya.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. Najib turut menyampaikan Buku Pelaburan ASW 2020 Bandar kepada 196 penerima berkenaan.

Melalui skim bantuan itu, wang prinsipal pelaburan tetap hak milik kerajaan. KIR tidak layak dipertimbangkan menyertai program itu jika pernah menerima bantuan sebarang program saham oleh mana-mana agensi, sudah mempunyai simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) atau mana-mana skim amanah saham melebihi RM1,000 dan pernah muflis.

Sambil menjelaskan skim itu berbeza daripada yang lain, Perdana Menteri memberi contoh jika dividen tahun ini 6.5 peratus, maka setiap penerima akan memperoleh RM650 pada Ogos atau September depan.

Mudah-mudahan mereka yang menerima skim ini dapat menampung pendapatan mereka. Saya tahu RM600 atau RM700 setahun bukanlah mencukupi tetapi ini adalah tambahan kepada pendapatan lain mereka, katanya.

Najib juga berkata, baki KIR dalam senarai e-Kasih yang layak, tidak dapat didaftarkan untuk menerima skim berkenaan mungkin kerana sudah berpindah dari alamat asal atau mereka sendiri tidak berminat menerima bantuan seperti ASW 2020 Bandar.

Najib berkata, 50,931 KIR sudah dimasukkan dalam pendaftaran e-Kasih Fasa I dan Fasa II bagi kategori miskin tegar tetapi berkurangan kepada 33,417, manakala bagi kumpulan miskin, berkurangan daripada 68,468 kepada 66,848.

Jumlah itu dapat dikurangkan kerana kerajaan tidak mengambil sikap bahawa negara kita adalah negara kebajikan. Kerajaan hanya memberi bantuan kepada golongan miskin dan daripada program seperti itu, kira-kira 17,000 kini berdikari dan tidak lagi tergolong sebagai miskin tegar, katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Nor zaiton Zainal, 34, dari Flet Sri Kelantan, Sentul di sini, amat bersyukur kerana bantuan itu dapat mengurangkan beban kewangan sekeluarga kerana suaminya, Hadi Awang, 39, tiada pendapatan tetap kerana akibat sakit pinggang dan sendi.

- BERITA HARIAN

'1Funny Malaysia' terbitan Malaysiakini diharamkan


Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharam buku terbitan Malaysiakini oleh kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selain buku '1Funny Malaysia', yang diterbitkan oleh Kinibooks yang merupakan anak syarikat Malaysiakini, dua lagi komik Zunar - Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun - turut diharamkan.

Ketua setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata buku-buku tersebut diharamkan kerana ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Ketiga-tiga bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

"Ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," katanya.

Bagaimanapun, Mahmood tidak menyebut mengenai satu lagi buku terbitan Malaysiakini - 'Where is Justice?' - yang telah dirampas bersama dengan '1Funny Malaysia' dari kedai buku empat bulan lalu.

'1Funny Malaysia' merupakan kompilasi kartun Zunar, manakala buku 'Where is Justice' adalah mengenai kematian atau kekejaman dalam tahanan polis dengan fokus terhadap empat kes besar - Teoh Beng Hock, A Kugan, Altantuya Shaariibuu, dan Anwar Ibrahim

Di bawah akta tersebut, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

- MALAYSIAKINI

Elak keluarga bertelingkah rebut pusaka

AmanahRaya tawar khidmat bantuan rungkai kekusutan bahagi harta secara adil

Pertelingkahan antara anak beranak, isteri, bekas isteri serta adik beradik sering berlaku apabila seseorang itu meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat atau menamakan pengurus wasiat.

Subhan (bukan nama sebenar) seorang usahawan berjaya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada di sebuah kelab golf. Beliau meninggalkan dua anak perempuan dan seorang bekas isteri yang diceraikan ketika masih hidup. Beliau juga mempunyai empat adik, tiga perempuan dan seorang lelaki.

Kematian mengejut arwah yang tinggal bersendirian menimbulkan pertelingkahan antara adik dengan anak perempuan simati yang tinggal bersama bekas isteri. Adik simati mengambil keputusan membahagikan barangan di rumah arwah antara mereka.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati anak perempuan arwah kerana merasakan harta mereka dirampas. Masalah mula timbul apabila ada harta arwah tidak boleh diperoleh kerana memerlukan surat kuasa.

Antara harta itu ialah wang tunai di beberapa bank tempatan, kereta, keahlian kelab golf, saham amanah serta saham CDS (Bursa Malaysia) yang turut dituntut anak perempuannya. Semua harta berjumlah kira-kira RM500,000 dan arwah turut meninggalkan hutang berjumlah kira-kira RM100,000.

Keadaan yang berlaku mendorong adik arwah mendapatkan khidmat Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) bagi membolehkan mendapatkan hak daripada harta abang mereka. AmanahRaya menjelaskan prosedur permohonan termasuk menyediakan dokumen yang diperlukan.

AmanahRaya kemudian memanggil semua waris Subhan terdiri daripada adik dan anak perempuannya untuk menyelesaikan pembahagian harta membabitkan wang tunai milik simati, wang khairat kematian, derma kematian, saham serta empat keahlian kelab golf.
Pada pertemuan itu waris bersetuju menyerahkan semua wang tunai milik simati kepada AmanahRaya untuk disimpan sementara menunggu penyelesaian beberapa isu antaranya kenderaan pacuan empat roda yang didakwa anak simati adalah hadiah pemberian bapanya yang belum sempat ditukar nama.

Isu lain, hak milik keahlian dua daripada empat kelab golf, buku akaun atas nama kedua-dua anak perempuan simati dan saham CDS (Bursa Malaysia) yang dibeli simati. Isu itu tidak dapat diselesaikan pada pertemuan yang diadakan kerana waris tidak mencapai kata sepakat sama ada hendak memindah milik atau menjual harta berkenaan.

Enam bulan selepas permohonan dibuat, kedua-dua anak perempuan simati memohon bantuan kewangan daripada AmanahRaya untuk menanggung kos sara hidup dan membayar yuran pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Bagaimanapun, permohonan itu tidak dapat dipenuhi kerana Surat Kuasa Mentadbir masih belum dikeluarkan disebabkan pengesahan dari kelab golf belum diperoleh. Sebulan selepas itu, bekas isteri simati, Sulimah, melalui peguamnya menuntut AmanahRaya menyenaraikan harta pusaka simati bagi membolehkan beliau membuat tuntutan ‘hiwalah’ atau harta sepencarian sebelum mereka bercerai.

Setahun selepas permohonan, dua daripada empat kelab golf mengesahkan mengikut peraturan kelab, keahlian simati gugur secara automatik jika penama tidak dilantik dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh kematian. Pengesahan itu menyebabkan dua daripada empat keahlian kelab gugur secara automatik.

Anak perempuan simati menuntut supaya dua lagi keahlian kelab golf diberikan kepada mereka kerana ia sebahagian harta sepencarian antara arwah dengan ibu mereka. Alasan itu tidak dipersetujui adik simati yang turut berminat memiliki keahlian kelab berprestij itu.

Selepas hampir dua tahun setengah tiada persetujuan dicapai antara dua anak perempuan dan empat adik simati, AmanahRaya mengambil inisiatif mengadakan pertemuan kedua dengan semua waris simati.

Namun, pertemuan itu menimbulkan lebih ketegangan apabila pelbagai isu berbangkit dan tiada persetujuan dicapai. Selaku pentadbir, AmanahRaya akhirnya berjaya memujuk serta menyedarkan waris untuk menyelesaikan isu itu demi kepentingan semua pihak.

Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia, dan amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Perbincangan berlangsung selama lebih dua jam dalam suasana kekeluargaan berjaya menghasilkan penyelesaian dan antara persetujuan dicapai ialah kereta yang dikatakan dihadiahkan simati kepada anaknya dipindahmilik kepada anak berkenaan.

Keahlian dua kelab golf yang masih aktif dipindah milik kepada anak perempuan, akaun simpanan amanah yang tertera nama anak dikembalikan kepada waris yang berhak, sementara semua wang tunai dibahagikan secara faraid selepas ditolak hutang dan zakat yang wajib ke atasnya.

Adik lelaki simati memperoleh 2/15 daripada jumlah wang tunai, adik perempuan (3/15) dan anak perempuannya masing-masing memperoleh 5/15 bahagian.

Proses pembahagian harta Subhan berjaya diselesaikan selepas tiga tahun kematiannya. Selain menyelesaikan perebutan harta pusaka, AmanahRaya juga berjaya menyatupadukan semula ahli keluarga Subhan.

- BERITA HARIAN

Ahmad Said rombak portfolio EXCO Terengganu

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam mengumumkan pertukaran lima portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bagi memantapkan jentera eksekutif dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pertukaran portfolio yang tidak membabitkan sebarang pengguguran itu berkuat kuasa 1 Julai ini dan surat arahan pertukaran kepada pengerusi portfolio sudah dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam, berkata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini disandang oleh Yahya Khatib Mohamad akan digantikan oleh Datuk Za'abar Mohd Adib sementara Yahya akan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.

Portfolio itu sebelum ini dijawat oleh Ashaari Idris yang kini dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, manakala jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri yang sebelum ini disandang oleh Za'abar akan digantikan oleh Datuk Rahin Mohd Said.

Tempat Rahin yang sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, akan digantikan Rozi Mamat yang sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Pertukaran ini diharap dapat memberi pendedahan dan pengalaman baru dan ia adalah satu proses pengupayaan yang berterusan bagi barisan EXCO kerajaan negeri.

Saya percaya gandingan semua barisan EXCO yang terbabit dengan penyusunan semula ini dan yang kekal dengan portfolio masing-masing akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam usaha kerajaan negeri untuk merakyatkan pentadbiran dan pembangunan, katanya.

- BERITA HARIAN

Kementerian Pelajaran belum cadang henti sistem matrikulasi

Meskipun diakui wujud beberapa kelemahan dalam sistem matrikulasi, beberapa naib canselor universiti dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berpendapat ia perlu diteruskan Kementerian Pelajaran kerana masih relevan dalam menyediakan peluang kemasukan ke universiti untuk pelajar Bumiputera.

Alimuddin berkata, matrikulasi sebenarnya diwujudkan sebagai trek pantas kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memasuki universiti dan kurikulumnya juga disediakan dengan keperluan untuk memenuhi tujuan itu.

Selain itu, katanya, memang diakui semua pelajar matrikulasi perlu sedar persaingan yang wujud antara mereka dengan pelajar lepasan diploma dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), namun atas kapasiti sebagai pelajar cemerlang dalam kalangan lepasan SPM, mereka sepatutnya mampu menempatkan diri dalam kalangan pesaing terbaik menerusi kiraan merit.

“Pelajar matrikulasi terdiri dalam kalangan mereka yang terpilih antara terbaik dalam keputusan SPM. Justeru, secara teorinya mereka mesti boleh mengikuti program itu dengan baik serta mampu menempatkan diri dalam kalangan terbaik.

“Kurikulum di matrikulasi bukan sebarangan, penyediaannya disertai semua naib canselor institusi pengajian tinggi (IPT). Keperluan IPT dimasukkan dalam kurikulum itu dan persefahaman itu sepatutnya sudah dikira mantap. Namun, saya tak nafikan wujudnya kelebihan dan kekurangan dalam mana-mana program yang ada.

“Program diploma memberi peluang kepada pelajar untuk memasuki bidang yang lebih khusus berbanding pelajar matrikulasi yang lebih terbuka peluang mereka menyertai jurusan lain. Justeru, untuk memastikan mereka berjaya ditempatkan dalam program yang mereka mahu, kenalah berusaha untuk mendapat keputusan terbaik,” katanya sambil mengakui pengambilan pelajar matrikulasi akan bertambah setiap tahun.

Pandangan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar mengenai kurang berkesannya matrikulasi dalam memberi laluan sesuai kepada pelajar ke universiti disangkal dua rakan sejawatannya dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berpendapat program itu perlu diteruskan untuk menyediakan pilihan kepada pelajar merencanakan masa depan mereka.
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata pengajian tinggi sebenarnya bukan sekadar bermatlamat melahirkan tenaga mahir dalam sesuatu bidang tetapi turut berperanan membina insaniah bakal graduan supaya mempunyai karakter yang matang serta mampu berkomunikasi dengan cemerlang.

Justeru, isu kegagalan pelajar mendapat jurusan yang mereka minati bukanlah perkara besar dan sewajarnya dijadikan soal kedua kerana sudah terbukti ramai individu berjaya dalam kerjaya yang diceburi meskipun mempunyai ijazah dalam bidang berbeza.

“Ramai yang sudah berjaya, sedangkan dia tidak belajar pun bidang itu di universiti. Ramai tokoh korporat hebat tidak pernah pun belajar mengenai organisasi. Ramai juga ahli perniagaan yang langsung tidak pernah mengikuti bidang ekonomi atau perniagaan. Tengok sekeliling kita betapa ramai yang berjaya dengan memiliki ijazah dalam bidang berbeza.

“Jangan terlalu vokasional dalam menyediakan pendidikan. Pelajar kita selama ini terlalu banyak disuap.

“Kita perlu lebih fokus memikirkan bagaimana mahu mengeluarkan hasil berkualiti bukan mempersoalkan mengenai kemasukan. Tidak perlu bagi kementerian menutup opsyen yang ada ketika ini.

“Sistem di Malaysia sebenarnya menyediakan ruang yang pelbagai dan sewajarnya kita meraikan kepelbagaian itu. Ia memberi peluang kepada semua orang untuk membuat pilihan bergantung kepada kemampuan dan keupayaannya. Sudah sampai masa semua universiti mula memberi fokus kepada melatih kepemimpinan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Abdullah, berkata meskipun ada kebenaran dalam kenyataan Naib Canselor UiTM itu, realiti yang perlu diambil kira ialah pelajar di matrikulasi adalah golongan cemerlang dalam SPM dan sewajarnya mereka tiada masalah untuk cemerlang ketika mengikuti program itu.

“Diakui memang sukar untuk memasuki bidang perubatan tetapi jika seseorang pelajar itu mampu lulus cemerlang dan layak, rasanya tiada masalah untuk dia menempatkan diri dalam kalangan mereka yang terpilih secara merit.

“Sistem sedia ada sekarang adalah satu sistem terbaik yang wajar diteruskan. Pelajar terbaik dalam SPM biasanya dapat tawaran ke seberang laut. Selebihnya akan mengikuti program matrikulasi yang saya anggap sebagai sumber penting sebagai laluan ke universiti.

Berita Harian cuba mendapatkan dua jabatan yang berperanan secara langsung dalam isu ini iaitu Jabatan Pengajian Tinggi dan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran, namun kedua-dua pihak enggan mengulas dengan alasan ia adalah isu sensitif dan akan diselesaikan pada peringkat dalaman yang membabitkan perbincangan lanjut.

- BERITA HARIAN

Siling Kompleks Mahkamah Runtuh


Siling kompleks Mahkamah Kuala Lumpur roboh hari ini menyebabkan kafeteria bangunan itu dibanjiri air kerana saluran paip yang pecah.

Selain itu, kebocoran buat kali kedua itu juga memusnahkan sebuah pejabat pos mini di kompleks berkenaan.

Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur Azizah Mahamud berkata runtuhan itu berlaku berikutan tekanan air terlalu tinggi dan kerosakan itu telah diperbaiki kontraktor yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

Wakil Jabatan Kerja Raya pula dijangka hadir di kompleks itu esok bagi memantau keadaan.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan kejadian sama berulang, Azizah berkata "kami sentiasa bersiap sedia 24 jam.”

Sementara itu, ketua pos, Rosnita Muda berkata kerugian pihaknya ditaksirkan di antara RM30,000 hingga RM50,000.

"Saya dikejutkan oleh pihak keselamatan berhubung kebocoran itu dan dengan segera cuba menyelamatkan beberapa surat, surat berdaftar, dokumen, bil yang semuanya sudah basah.

“Komputer di pejabat pos ini juga rosak,” katanya yang turut memberitahu bahawa berikutan kerosakan itu, pejabat pos akan ditutup sehingga esok.

Kebocoran yang dikatakan berlaku semalam, tetapi telah dibaiki dan siap kira-kira jam 5 pagi ini.

Namun ia bocor kembali dua setengah jam kemudian iaitu pada jam 7.30 pagi ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Seri Judin Abdul Karim ketika mengulas kejadian itu berkata, kebocoran tersebut disebabkan penutup paip yang pecah dan bahan yang digunakan tidak mengikut spesifikasi.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan Hakim Besar Malaya
Tan Sri Ariffin Zakaria yang kebetulan melawat kompleks berkenaan, turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Kompleks mahkamah bernilai RM500 juta ini yang kedua terbesar di dunia dan dilengkapi peralatan canggih, sebelum ini pernah dilanda beberapa kerosakan dan masalah.

Pada 30 April, 2007 - tiga hari sebelum pembukaan rasminya, siling panel termasuk lampu-lampunya runtuh.

Seminggu kemudian, rekahan sepanjang tiga meter kelihatan di luar Mahkamah Majistret Empat.

Selain itu, sepanjang Mei 2007 pula, sistem penghawa dinginnya mengalami masalah, berlaku kegagalan bekalan elektrik dan juga sistem pembetungannya melimpah.

- MALAYSIAKINI

Pelajar Tingkatan 4 MTD Maut Dipercayai Akibat Buli, Dera

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi di sini meninggal dunia awal pagi tadi dipercayai dibuli dan didera oleh pelajar senior maktab tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah ketika mengesahkan kejadian itu berkata siasatan awal mendapati wujud unsur jenayah dalam kes kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16.

"Kita akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan masih menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata polis belum mengambil sebarang keterangan dan sedang mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) menyebut suatu kejadian yang melibatkan kematian pelajar itu berlaku antara 11.30 pagi semalam sehingga 1.20 pagi ini.

Mindef telah menubuhkan satu lembaga siasatan untuk mengenalpasti punca insiden itu.

Mohammad Naim Mustaqim didapati tidak sedarkan diri dan dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia sejurus tiba di situ.

Mayatnya kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Besi pukul 2 pagi tadi.

"Keluarga Allahyarham telah dimaklumkan akan keadaan itu dan satu lembaga siasatan telah ditubuhkan sebaik kejadian itu berlaku bagi mengenalpasti punca kejadian," kata kenyataan itu.

Beberapa pelajar yang dikenalpasti bersama-sama mangsa semasa kejadian telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Siasatan awal polis sedang dijalankan untuk keperluan dalaman Angkatan Tentera, bahagian penyiasatan khas dari Cawangan Provos Marsyal untuk menjalankan siasatan susulan, kata kenyataan itu.

Allahyarham akan dikebumikan di Baling, Kedah pada hari ini.

- BERNAMA

World Cup FIFA 2010 Result - 24 June 2010

Game 1 : (25' 73' R. Vittek, 89' K. Kopunek) Slovakia 3 - 2 Italy (81' A.D. Natale, 90' F. Quagliarella)

Game 2 : Paraguay 0 - 0 New Zealand

* Paraguay & Slovakia qualified to the second round (Group F)

Game 3 : (81' J.D. Tomasson) Denmark 1 - 3 Japan (17' K. Honda, 30' Y. Endo, 87' S. Okazak)

Game 4 : (65' S. Eto´o (penalty) Cameroon 1 - 2 Netherlands (36' R.v. Persie, 83' K.J. Huntelaar)

* Netherlands & Japan qualified to the second round (Group E)

Khamis, Jun 24, 2010

Layak Terima Pinjaman Penuh PTPTN Jika Pendapatan Keluarga Bawah RM4,000

Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang pendapatan bulanan bersih keluarga mereka RM4,000 ke bawah layak mendapat pinjaman penuh iaitu meliputi yuran dan sara hidup dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Julai ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kadar pendapatan bersih bulanan keluarga pelajar yang layak mendapat pinjaman penuh sebelum ini ialah RM3,000 ke bawah.

"Sebelum ini juga keluarga pelajar berpendapatan bersih RM3,000 hingga RM5,000 sebulan mendapat pinjaman yang meliputi yuran dan sebahagian sara hidup, manakala yang berpendapatan RM5,000 ke atas hanya dapat pinjaman untuk yuran.

"Langkah PTPTN untuk meningkatkan kadar pendapatan bersih keluarga ini akan memperluaskan lagi peluang pelajar IPT yang layak untuk diberi pinjaman penuh berasaskan kepada kriteria yang memang telah ditetapkan seperti kursus yang diambil ada akreditasi dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Halatuju Pembangunan Keusahawanan IPT di sini hari ini.

Seminar sehari anjuran kementerian itu bertujuan memberi kefahaman kepada pihak pengurusan atasan IPT mengenai cabaran dan halatuju pembangunan keusahawanan di peringkat pengajian tinggi dan kepentingannya kepada pembangunan sahsiah pelajar.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyerahkan peruntukan RM5.55 juta bagi penubuhan Pusat Keusahawanan dan pelaksanaan program pembudayaan keusahawaan kepada setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara.

Selain 20 IPTA dalam negara, kolej komuniti, politeknik dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut terlibat dalam pemberian peruntukan berkenaan, katanya.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM150,000 bagi tujuan penubuhan Pusat Keusahawanan dan RM100,000 bagi pelaksanaan program pembudayaan keusahawanan untuk setiap IPTA negara.

"Penubuhan pusat keusahawanan ini amat signifikan sebagai entiti yang akan merancang, menyelaras, memantau dan menilai segala program pembangunan keusahawanan dan bertindak sebagai 'contact point' dalam hal ehwal pembangunan keusahawanan IPT," katanya.

Mohamed Khaled berkata semua IPT termasuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu menubuhkan pusat keusahawanan masing-masing kerana ketika ini hanya tiga IPTA yang mempunyai pusat keusahawanan iaitu Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

"Negara memerlukan ramai usahawan untuk menjayakan agenda Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh, dan peranan IPT bukanlah kecil. Jika IPT dapat memberi latihan dan pendedahan kepada pelajar yang mempunyai potensi keusahawanan yang tinggi, mereka inilah yang akan mempunyai prospek paling cerah untuk menjadi usahawan setelah bergelar graduan," katanya.

- BERNAMA

Recent Posts