Jumaat, Jun 25, 2010

ASW 2020 Bandar bantu miskin tegar

Seramai 4,976 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin bandar di seluruh negara menjadi kumpulan pertama menerima saham Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 Bandar yang dilancarkan semalam dengan masing-masing diperuntukkan RM10,000 sebagai wang prinsipal pelaburan.

Program khas ASW 2020 Bandar yang membabitkan RM100 juta peruntukan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri itu adalah satu lagi usaha kerajaan mengeluarkan rakyat miskin tegar serta miskin di bandar daripada kepompong kemiskinan ke arah mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi.

Semua penerima, termasuk 196 di Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada 5,466 miskin tegar dan 2,973 miskin di bandar yang berdaftar dengan program e-Kasih Fasa 1 dan Fasa II. Penerima akan menerima dividen serta pulangan lain setiap tahun daripada pelaburan 10,000 unit saham itu sepanjang hayat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkannya, berkata unit saham itu akan diberikan kepada KIR lain yang layak apabila penerima terbabit meninggal dunia.

Saham ini tidak dijadikan harta pusaka kerana mungkin anak mereka sudah menjadi doktor, jurutera atau tidak layak menerima, katanya.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. Najib turut menyampaikan Buku Pelaburan ASW 2020 Bandar kepada 196 penerima berkenaan.

Melalui skim bantuan itu, wang prinsipal pelaburan tetap hak milik kerajaan. KIR tidak layak dipertimbangkan menyertai program itu jika pernah menerima bantuan sebarang program saham oleh mana-mana agensi, sudah mempunyai simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) atau mana-mana skim amanah saham melebihi RM1,000 dan pernah muflis.

Sambil menjelaskan skim itu berbeza daripada yang lain, Perdana Menteri memberi contoh jika dividen tahun ini 6.5 peratus, maka setiap penerima akan memperoleh RM650 pada Ogos atau September depan.

Mudah-mudahan mereka yang menerima skim ini dapat menampung pendapatan mereka. Saya tahu RM600 atau RM700 setahun bukanlah mencukupi tetapi ini adalah tambahan kepada pendapatan lain mereka, katanya.

Najib juga berkata, baki KIR dalam senarai e-Kasih yang layak, tidak dapat didaftarkan untuk menerima skim berkenaan mungkin kerana sudah berpindah dari alamat asal atau mereka sendiri tidak berminat menerima bantuan seperti ASW 2020 Bandar.

Najib berkata, 50,931 KIR sudah dimasukkan dalam pendaftaran e-Kasih Fasa I dan Fasa II bagi kategori miskin tegar tetapi berkurangan kepada 33,417, manakala bagi kumpulan miskin, berkurangan daripada 68,468 kepada 66,848.

Jumlah itu dapat dikurangkan kerana kerajaan tidak mengambil sikap bahawa negara kita adalah negara kebajikan. Kerajaan hanya memberi bantuan kepada golongan miskin dan daripada program seperti itu, kira-kira 17,000 kini berdikari dan tidak lagi tergolong sebagai miskin tegar, katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Nor zaiton Zainal, 34, dari Flet Sri Kelantan, Sentul di sini, amat bersyukur kerana bantuan itu dapat mengurangkan beban kewangan sekeluarga kerana suaminya, Hadi Awang, 39, tiada pendapatan tetap kerana akibat sakit pinggang dan sendi.

- BERITA HARIAN

'1Funny Malaysia' terbitan Malaysiakini diharamkan


Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharam buku terbitan Malaysiakini oleh kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selain buku '1Funny Malaysia', yang diterbitkan oleh Kinibooks yang merupakan anak syarikat Malaysiakini, dua lagi komik Zunar - Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun - turut diharamkan.

Ketua setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata buku-buku tersebut diharamkan kerana ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Ketiga-tiga bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

"Ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," katanya.

Bagaimanapun, Mahmood tidak menyebut mengenai satu lagi buku terbitan Malaysiakini - 'Where is Justice?' - yang telah dirampas bersama dengan '1Funny Malaysia' dari kedai buku empat bulan lalu.

'1Funny Malaysia' merupakan kompilasi kartun Zunar, manakala buku 'Where is Justice' adalah mengenai kematian atau kekejaman dalam tahanan polis dengan fokus terhadap empat kes besar - Teoh Beng Hock, A Kugan, Altantuya Shaariibuu, dan Anwar Ibrahim

Di bawah akta tersebut, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

- MALAYSIAKINI

Elak keluarga bertelingkah rebut pusaka

AmanahRaya tawar khidmat bantuan rungkai kekusutan bahagi harta secara adil

Pertelingkahan antara anak beranak, isteri, bekas isteri serta adik beradik sering berlaku apabila seseorang itu meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat atau menamakan pengurus wasiat.

Subhan (bukan nama sebenar) seorang usahawan berjaya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada di sebuah kelab golf. Beliau meninggalkan dua anak perempuan dan seorang bekas isteri yang diceraikan ketika masih hidup. Beliau juga mempunyai empat adik, tiga perempuan dan seorang lelaki.

Kematian mengejut arwah yang tinggal bersendirian menimbulkan pertelingkahan antara adik dengan anak perempuan simati yang tinggal bersama bekas isteri. Adik simati mengambil keputusan membahagikan barangan di rumah arwah antara mereka.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati anak perempuan arwah kerana merasakan harta mereka dirampas. Masalah mula timbul apabila ada harta arwah tidak boleh diperoleh kerana memerlukan surat kuasa.

Antara harta itu ialah wang tunai di beberapa bank tempatan, kereta, keahlian kelab golf, saham amanah serta saham CDS (Bursa Malaysia) yang turut dituntut anak perempuannya. Semua harta berjumlah kira-kira RM500,000 dan arwah turut meninggalkan hutang berjumlah kira-kira RM100,000.

Keadaan yang berlaku mendorong adik arwah mendapatkan khidmat Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) bagi membolehkan mendapatkan hak daripada harta abang mereka. AmanahRaya menjelaskan prosedur permohonan termasuk menyediakan dokumen yang diperlukan.

AmanahRaya kemudian memanggil semua waris Subhan terdiri daripada adik dan anak perempuannya untuk menyelesaikan pembahagian harta membabitkan wang tunai milik simati, wang khairat kematian, derma kematian, saham serta empat keahlian kelab golf.
Pada pertemuan itu waris bersetuju menyerahkan semua wang tunai milik simati kepada AmanahRaya untuk disimpan sementara menunggu penyelesaian beberapa isu antaranya kenderaan pacuan empat roda yang didakwa anak simati adalah hadiah pemberian bapanya yang belum sempat ditukar nama.

Isu lain, hak milik keahlian dua daripada empat kelab golf, buku akaun atas nama kedua-dua anak perempuan simati dan saham CDS (Bursa Malaysia) yang dibeli simati. Isu itu tidak dapat diselesaikan pada pertemuan yang diadakan kerana waris tidak mencapai kata sepakat sama ada hendak memindah milik atau menjual harta berkenaan.

Enam bulan selepas permohonan dibuat, kedua-dua anak perempuan simati memohon bantuan kewangan daripada AmanahRaya untuk menanggung kos sara hidup dan membayar yuran pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Bagaimanapun, permohonan itu tidak dapat dipenuhi kerana Surat Kuasa Mentadbir masih belum dikeluarkan disebabkan pengesahan dari kelab golf belum diperoleh. Sebulan selepas itu, bekas isteri simati, Sulimah, melalui peguamnya menuntut AmanahRaya menyenaraikan harta pusaka simati bagi membolehkan beliau membuat tuntutan ‘hiwalah’ atau harta sepencarian sebelum mereka bercerai.

Setahun selepas permohonan, dua daripada empat kelab golf mengesahkan mengikut peraturan kelab, keahlian simati gugur secara automatik jika penama tidak dilantik dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh kematian. Pengesahan itu menyebabkan dua daripada empat keahlian kelab gugur secara automatik.

Anak perempuan simati menuntut supaya dua lagi keahlian kelab golf diberikan kepada mereka kerana ia sebahagian harta sepencarian antara arwah dengan ibu mereka. Alasan itu tidak dipersetujui adik simati yang turut berminat memiliki keahlian kelab berprestij itu.

Selepas hampir dua tahun setengah tiada persetujuan dicapai antara dua anak perempuan dan empat adik simati, AmanahRaya mengambil inisiatif mengadakan pertemuan kedua dengan semua waris simati.

Namun, pertemuan itu menimbulkan lebih ketegangan apabila pelbagai isu berbangkit dan tiada persetujuan dicapai. Selaku pentadbir, AmanahRaya akhirnya berjaya memujuk serta menyedarkan waris untuk menyelesaikan isu itu demi kepentingan semua pihak.

Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia, dan amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Perbincangan berlangsung selama lebih dua jam dalam suasana kekeluargaan berjaya menghasilkan penyelesaian dan antara persetujuan dicapai ialah kereta yang dikatakan dihadiahkan simati kepada anaknya dipindahmilik kepada anak berkenaan.

Keahlian dua kelab golf yang masih aktif dipindah milik kepada anak perempuan, akaun simpanan amanah yang tertera nama anak dikembalikan kepada waris yang berhak, sementara semua wang tunai dibahagikan secara faraid selepas ditolak hutang dan zakat yang wajib ke atasnya.

Adik lelaki simati memperoleh 2/15 daripada jumlah wang tunai, adik perempuan (3/15) dan anak perempuannya masing-masing memperoleh 5/15 bahagian.

Proses pembahagian harta Subhan berjaya diselesaikan selepas tiga tahun kematiannya. Selain menyelesaikan perebutan harta pusaka, AmanahRaya juga berjaya menyatupadukan semula ahli keluarga Subhan.

- BERITA HARIAN

Ahmad Said rombak portfolio EXCO Terengganu

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam mengumumkan pertukaran lima portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bagi memantapkan jentera eksekutif dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pertukaran portfolio yang tidak membabitkan sebarang pengguguran itu berkuat kuasa 1 Julai ini dan surat arahan pertukaran kepada pengerusi portfolio sudah dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam, berkata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini disandang oleh Yahya Khatib Mohamad akan digantikan oleh Datuk Za'abar Mohd Adib sementara Yahya akan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.

Portfolio itu sebelum ini dijawat oleh Ashaari Idris yang kini dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, manakala jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri yang sebelum ini disandang oleh Za'abar akan digantikan oleh Datuk Rahin Mohd Said.

Tempat Rahin yang sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, akan digantikan Rozi Mamat yang sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Pertukaran ini diharap dapat memberi pendedahan dan pengalaman baru dan ia adalah satu proses pengupayaan yang berterusan bagi barisan EXCO kerajaan negeri.

Saya percaya gandingan semua barisan EXCO yang terbabit dengan penyusunan semula ini dan yang kekal dengan portfolio masing-masing akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam usaha kerajaan negeri untuk merakyatkan pentadbiran dan pembangunan, katanya.

- BERITA HARIAN

Kementerian Pelajaran belum cadang henti sistem matrikulasi

Meskipun diakui wujud beberapa kelemahan dalam sistem matrikulasi, beberapa naib canselor universiti dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berpendapat ia perlu diteruskan Kementerian Pelajaran kerana masih relevan dalam menyediakan peluang kemasukan ke universiti untuk pelajar Bumiputera.

Alimuddin berkata, matrikulasi sebenarnya diwujudkan sebagai trek pantas kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memasuki universiti dan kurikulumnya juga disediakan dengan keperluan untuk memenuhi tujuan itu.

Selain itu, katanya, memang diakui semua pelajar matrikulasi perlu sedar persaingan yang wujud antara mereka dengan pelajar lepasan diploma dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), namun atas kapasiti sebagai pelajar cemerlang dalam kalangan lepasan SPM, mereka sepatutnya mampu menempatkan diri dalam kalangan pesaing terbaik menerusi kiraan merit.

“Pelajar matrikulasi terdiri dalam kalangan mereka yang terpilih antara terbaik dalam keputusan SPM. Justeru, secara teorinya mereka mesti boleh mengikuti program itu dengan baik serta mampu menempatkan diri dalam kalangan terbaik.

“Kurikulum di matrikulasi bukan sebarangan, penyediaannya disertai semua naib canselor institusi pengajian tinggi (IPT). Keperluan IPT dimasukkan dalam kurikulum itu dan persefahaman itu sepatutnya sudah dikira mantap. Namun, saya tak nafikan wujudnya kelebihan dan kekurangan dalam mana-mana program yang ada.

“Program diploma memberi peluang kepada pelajar untuk memasuki bidang yang lebih khusus berbanding pelajar matrikulasi yang lebih terbuka peluang mereka menyertai jurusan lain. Justeru, untuk memastikan mereka berjaya ditempatkan dalam program yang mereka mahu, kenalah berusaha untuk mendapat keputusan terbaik,” katanya sambil mengakui pengambilan pelajar matrikulasi akan bertambah setiap tahun.

Pandangan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar mengenai kurang berkesannya matrikulasi dalam memberi laluan sesuai kepada pelajar ke universiti disangkal dua rakan sejawatannya dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berpendapat program itu perlu diteruskan untuk menyediakan pilihan kepada pelajar merencanakan masa depan mereka.
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata pengajian tinggi sebenarnya bukan sekadar bermatlamat melahirkan tenaga mahir dalam sesuatu bidang tetapi turut berperanan membina insaniah bakal graduan supaya mempunyai karakter yang matang serta mampu berkomunikasi dengan cemerlang.

Justeru, isu kegagalan pelajar mendapat jurusan yang mereka minati bukanlah perkara besar dan sewajarnya dijadikan soal kedua kerana sudah terbukti ramai individu berjaya dalam kerjaya yang diceburi meskipun mempunyai ijazah dalam bidang berbeza.

“Ramai yang sudah berjaya, sedangkan dia tidak belajar pun bidang itu di universiti. Ramai tokoh korporat hebat tidak pernah pun belajar mengenai organisasi. Ramai juga ahli perniagaan yang langsung tidak pernah mengikuti bidang ekonomi atau perniagaan. Tengok sekeliling kita betapa ramai yang berjaya dengan memiliki ijazah dalam bidang berbeza.

“Jangan terlalu vokasional dalam menyediakan pendidikan. Pelajar kita selama ini terlalu banyak disuap.

“Kita perlu lebih fokus memikirkan bagaimana mahu mengeluarkan hasil berkualiti bukan mempersoalkan mengenai kemasukan. Tidak perlu bagi kementerian menutup opsyen yang ada ketika ini.

“Sistem di Malaysia sebenarnya menyediakan ruang yang pelbagai dan sewajarnya kita meraikan kepelbagaian itu. Ia memberi peluang kepada semua orang untuk membuat pilihan bergantung kepada kemampuan dan keupayaannya. Sudah sampai masa semua universiti mula memberi fokus kepada melatih kepemimpinan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Abdullah, berkata meskipun ada kebenaran dalam kenyataan Naib Canselor UiTM itu, realiti yang perlu diambil kira ialah pelajar di matrikulasi adalah golongan cemerlang dalam SPM dan sewajarnya mereka tiada masalah untuk cemerlang ketika mengikuti program itu.

“Diakui memang sukar untuk memasuki bidang perubatan tetapi jika seseorang pelajar itu mampu lulus cemerlang dan layak, rasanya tiada masalah untuk dia menempatkan diri dalam kalangan mereka yang terpilih secara merit.

“Sistem sedia ada sekarang adalah satu sistem terbaik yang wajar diteruskan. Pelajar terbaik dalam SPM biasanya dapat tawaran ke seberang laut. Selebihnya akan mengikuti program matrikulasi yang saya anggap sebagai sumber penting sebagai laluan ke universiti.

Berita Harian cuba mendapatkan dua jabatan yang berperanan secara langsung dalam isu ini iaitu Jabatan Pengajian Tinggi dan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran, namun kedua-dua pihak enggan mengulas dengan alasan ia adalah isu sensitif dan akan diselesaikan pada peringkat dalaman yang membabitkan perbincangan lanjut.

- BERITA HARIAN

Siling Kompleks Mahkamah Runtuh


Siling kompleks Mahkamah Kuala Lumpur roboh hari ini menyebabkan kafeteria bangunan itu dibanjiri air kerana saluran paip yang pecah.

Selain itu, kebocoran buat kali kedua itu juga memusnahkan sebuah pejabat pos mini di kompleks berkenaan.

Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur Azizah Mahamud berkata runtuhan itu berlaku berikutan tekanan air terlalu tinggi dan kerosakan itu telah diperbaiki kontraktor yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

Wakil Jabatan Kerja Raya pula dijangka hadir di kompleks itu esok bagi memantau keadaan.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan kejadian sama berulang, Azizah berkata "kami sentiasa bersiap sedia 24 jam.”

Sementara itu, ketua pos, Rosnita Muda berkata kerugian pihaknya ditaksirkan di antara RM30,000 hingga RM50,000.

"Saya dikejutkan oleh pihak keselamatan berhubung kebocoran itu dan dengan segera cuba menyelamatkan beberapa surat, surat berdaftar, dokumen, bil yang semuanya sudah basah.

“Komputer di pejabat pos ini juga rosak,” katanya yang turut memberitahu bahawa berikutan kerosakan itu, pejabat pos akan ditutup sehingga esok.

Kebocoran yang dikatakan berlaku semalam, tetapi telah dibaiki dan siap kira-kira jam 5 pagi ini.

Namun ia bocor kembali dua setengah jam kemudian iaitu pada jam 7.30 pagi ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Seri Judin Abdul Karim ketika mengulas kejadian itu berkata, kebocoran tersebut disebabkan penutup paip yang pecah dan bahan yang digunakan tidak mengikut spesifikasi.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan Hakim Besar Malaya
Tan Sri Ariffin Zakaria yang kebetulan melawat kompleks berkenaan, turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Kompleks mahkamah bernilai RM500 juta ini yang kedua terbesar di dunia dan dilengkapi peralatan canggih, sebelum ini pernah dilanda beberapa kerosakan dan masalah.

Pada 30 April, 2007 - tiga hari sebelum pembukaan rasminya, siling panel termasuk lampu-lampunya runtuh.

Seminggu kemudian, rekahan sepanjang tiga meter kelihatan di luar Mahkamah Majistret Empat.

Selain itu, sepanjang Mei 2007 pula, sistem penghawa dinginnya mengalami masalah, berlaku kegagalan bekalan elektrik dan juga sistem pembetungannya melimpah.

- MALAYSIAKINI

Pelajar Tingkatan 4 MTD Maut Dipercayai Akibat Buli, Dera

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi di sini meninggal dunia awal pagi tadi dipercayai dibuli dan didera oleh pelajar senior maktab tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah ketika mengesahkan kejadian itu berkata siasatan awal mendapati wujud unsur jenayah dalam kes kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16.

"Kita akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan masih menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata polis belum mengambil sebarang keterangan dan sedang mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) menyebut suatu kejadian yang melibatkan kematian pelajar itu berlaku antara 11.30 pagi semalam sehingga 1.20 pagi ini.

Mindef telah menubuhkan satu lembaga siasatan untuk mengenalpasti punca insiden itu.

Mohammad Naim Mustaqim didapati tidak sedarkan diri dan dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia sejurus tiba di situ.

Mayatnya kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Besi pukul 2 pagi tadi.

"Keluarga Allahyarham telah dimaklumkan akan keadaan itu dan satu lembaga siasatan telah ditubuhkan sebaik kejadian itu berlaku bagi mengenalpasti punca kejadian," kata kenyataan itu.

Beberapa pelajar yang dikenalpasti bersama-sama mangsa semasa kejadian telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Siasatan awal polis sedang dijalankan untuk keperluan dalaman Angkatan Tentera, bahagian penyiasatan khas dari Cawangan Provos Marsyal untuk menjalankan siasatan susulan, kata kenyataan itu.

Allahyarham akan dikebumikan di Baling, Kedah pada hari ini.

- BERNAMA

World Cup FIFA 2010 Result - 24 June 2010

Game 1 : (25' 73' R. Vittek, 89' K. Kopunek) Slovakia 3 - 2 Italy (81' A.D. Natale, 90' F. Quagliarella)

Game 2 : Paraguay 0 - 0 New Zealand

* Paraguay & Slovakia qualified to the second round (Group F)

Game 3 : (81' J.D. Tomasson) Denmark 1 - 3 Japan (17' K. Honda, 30' Y. Endo, 87' S. Okazak)

Game 4 : (65' S. Eto´o (penalty) Cameroon 1 - 2 Netherlands (36' R.v. Persie, 83' K.J. Huntelaar)

* Netherlands & Japan qualified to the second round (Group E)

Khamis, Jun 24, 2010

Layak Terima Pinjaman Penuh PTPTN Jika Pendapatan Keluarga Bawah RM4,000

Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang pendapatan bulanan bersih keluarga mereka RM4,000 ke bawah layak mendapat pinjaman penuh iaitu meliputi yuran dan sara hidup dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Julai ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kadar pendapatan bersih bulanan keluarga pelajar yang layak mendapat pinjaman penuh sebelum ini ialah RM3,000 ke bawah.

"Sebelum ini juga keluarga pelajar berpendapatan bersih RM3,000 hingga RM5,000 sebulan mendapat pinjaman yang meliputi yuran dan sebahagian sara hidup, manakala yang berpendapatan RM5,000 ke atas hanya dapat pinjaman untuk yuran.

"Langkah PTPTN untuk meningkatkan kadar pendapatan bersih keluarga ini akan memperluaskan lagi peluang pelajar IPT yang layak untuk diberi pinjaman penuh berasaskan kepada kriteria yang memang telah ditetapkan seperti kursus yang diambil ada akreditasi dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Halatuju Pembangunan Keusahawanan IPT di sini hari ini.

Seminar sehari anjuran kementerian itu bertujuan memberi kefahaman kepada pihak pengurusan atasan IPT mengenai cabaran dan halatuju pembangunan keusahawanan di peringkat pengajian tinggi dan kepentingannya kepada pembangunan sahsiah pelajar.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyerahkan peruntukan RM5.55 juta bagi penubuhan Pusat Keusahawanan dan pelaksanaan program pembudayaan keusahawaan kepada setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara.

Selain 20 IPTA dalam negara, kolej komuniti, politeknik dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut terlibat dalam pemberian peruntukan berkenaan, katanya.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM150,000 bagi tujuan penubuhan Pusat Keusahawanan dan RM100,000 bagi pelaksanaan program pembudayaan keusahawanan untuk setiap IPTA negara.

"Penubuhan pusat keusahawanan ini amat signifikan sebagai entiti yang akan merancang, menyelaras, memantau dan menilai segala program pembangunan keusahawanan dan bertindak sebagai 'contact point' dalam hal ehwal pembangunan keusahawanan IPT," katanya.

Mohamed Khaled berkata semua IPT termasuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu menubuhkan pusat keusahawanan masing-masing kerana ketika ini hanya tiga IPTA yang mempunyai pusat keusahawanan iaitu Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

"Negara memerlukan ramai usahawan untuk menjayakan agenda Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh, dan peranan IPT bukanlah kecil. Jika IPT dapat memberi latihan dan pendedahan kepada pelajar yang mempunyai potensi keusahawanan yang tinggi, mereka inilah yang akan mempunyai prospek paling cerah untuk menjadi usahawan setelah bergelar graduan," katanya.

- BERNAMA

Lebih 153,000 Kenderaan Perdagangan Disaman Dalam 3 Bulan

Sebanyak 153,847 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas kenderaan perdagangan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, saman tersebutmeliputi pelbagai kesalahan seperti membawa lebih muatan bagi kenderaan barangandan lebihan penumpang bagi kenderaan awam serta melanggar syarat permit yangditetapkan di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334/ALPKP).

Kesalahan lain, katanya, ialah lesen memandu dan lesen Vokasional (GDL) palsu atau lesen kenderaan motor palsu atau tamat tempoh.

Beliau menjawab soalan Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) yang ingin tahu bidangkuasa JPJ dalam menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) yang melibatkankenderaan perdagangan serta jumlah tangkapan dan jenis kesalahan kenderaan inisejak 2008.

Abdul Rahim berkata, bagi tahun 2008, jumlah saman yang dikeluarkan JPJ ke atas kenderaan perdagangan adalah sebanyak 501,991 saman manakala 608,171 samandikeluarkan sepanjang tahun lepas.

Menyentuh mengenai bidang kuasa JPJ, beliau berkata antara tugas dan tanggungjawab JPJ menerusi peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) ialah menentukan spesifikasi pembinaan dan penggunaan sesebuah kenderaan dan mewajibkan pendaftaran dan pelesenan kenderaan.

Katanya, JPJ juga mempunyai bidang kuasa bagi mewajibkan pemandu kenderaanperdagangan mempunyai lesen memandu kompeten dan vokasional dan menguatkuasakanperuntukan undang-undang berkaitan dengan kesalahan lalu lintas di bawah APJ termasuk kegiatan 'ulat'.

Menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai tindakan pengusaha van dari Thailand pada 8 Mei lepas yang menyekat kira-kira 30 bas dari Malaysia memasuki negara itu sebagai bantahan terhadap tindakan saman oleh JPJ negara ini terhadap mereka, Abdul Rahim berkata penguatkuasaan perlu dilakukan kerana ada sesetengah dari mereka menyalahgunakan kebebasan keluar masuk yang diberikan.

"Kita pernah mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya dihapuskandua kilometer zon bebas di sempadan Bukit Kayu Hitam dan Thailand kerana iamenimbulkan rungutan di kalangan penyedia perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelancong ke Thailand.

"Ini ekoran ada di kalangan penyedia pengangkutan di Thailand yang bertindakberani melebih dua kilometer yang diisytiharkan sebagai zon bebas.

"Namun, kabinet belum memberikan kata putus dan kelmarin pihak berkuasa Thailand telah datang ke ibu pejabat JPJ bagi membincangkan masalah tersebut," katanya.

- BERNAMA

Keharusan Menziarahi Orang Kafir Yang Sakit

Hadith :

Anas r.a berkata:”Seorang anak Yahudi yang berkhidmat dengan nabi s.a.w telah jatuh sakit, maka baginda s.a.w telah datang melawatnya. Baginda duduk di sisi kepala serta berkata kepada anak itu:”Terimalah Islam (iaitu masuklah kamu ke dalam agama Islam)”. Anak itu melihat kepada bapanya yang berada di sisinya, lalu bapanya itu berkata kepadanya:”Patuhlah kepada seruan Abu al-Qasim ini.“ (mendengar bapanya berkata demikian) dia terus menerima agama Islam (dengan mengucapkan dua kalimah syadahadah). Selepas itu nabi s.a.w keluar dari tempat itu lantas bersyukur kepada Allah dengan ucapan:”Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan dari api neraka.” (Bukhari)

Huraian:

Ulama’ telah membahagikan golongan kafir ini kepada empat golongan iaitu kafir harbi, kafir zimmi, kafir muahad dan kafir musta’min.

Sama ada golongan kafir ini adalah terdiri dari kalangan saudara-mara, jiran atau mereka yang berminat dengan Islam, kita amat digalakkan menziarahi mereka semasa hidupnya lebih-lebih lagi ketika dia sedang sakit.

Hal ini termasuk dalam lingkungan tanggungjawab sosial yang perlu diberi perhatian sebagai lambang syiar Islam selaku agama yang menyuruh umatnya mengamalkan kehidupan yang harmoni.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Landasan berkembar elektrik operasi bulan depan

Projek landasan berkembar elektrik Sentul-Batu Caves oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejauh 7.5 kilometer yang dimulakan sejak akhir 2006 dijangka mula beroperasi pertengahan bulan depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata projek itu adalah tambahan kepada laluan antara Pelabuhan Klang-Sentul sedia akan yang akan memberikan manfaat kepada kira-kira 10,000 pengguna setiap hari dengan 98 perkhidmatan ulang alik.

Katanya, projek pembangunan dengan kos kira-kira RM520 juta itu meliputi pembinaan laluan sepanjang 7.5 kilometer dengan lima jejambat jalan raya, empat jejantas motosikal dan pejalan kaki.

Beliau berkata, projek itu turut membabitkan pembinaan empat stesen merangkumi Stesen Taman Wahyu, Batu Kentonmen, Kampung Batu dan Batu Caves.

“Laluan ini juga dijangka menyumbang terhadap pembangunan industri pelancongan kerana lokasi Stesen Batu Caves terletak bersebelahan Kompleks Kuil Batu Caves yang menjadi lokasi sambutan Thaipusam setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Sentul di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruzzaman Mohd Noor dan Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan.

Ketika ini tambang yang dikenakan kepada pengguna laluan Pelabuhan Klang-Sentul adalah RM4.80 dan tambahan laluan terus dari Sentul ke Batu Caves dikenakan RM1.
Kong berkata, dengan siapnya laluan tambahan itu nanti, ia akan dapat membantu meningkatkan tahap penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang selaras dengan sasaran ditetapkan kerajaan iaitu 16 peratus ketika ini kepada 25 peratus menjelang 2012.

Katanya, kekerapan perkhidmatan untuk laluan itu juga akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan, terutama ketika waktu puncak dan ketika sambutan perayaan Thaipusam.

“Kemudahan sedia ada di empat stesen baru laluan itu juga dipertingkatkan, termasuk menyediakan kawasan letak kereta lebih luas, kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), kafeteria serta sistem jualan tiket automatik,” katanya.

KTMB juga dijangka dapat menambah pendapatannya sebanyak RM7 juta dalam tempoh setahun selepas laluan itu dibuka kepada umum pertengahan bulan depan.

- BERITA HARIAN

Isu-Isu Akhbar Cina

Bahagi Sama Rata Sumber Kewangan Pendidikan

Peruntukan bantuan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dalam pengumuman Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) menjadi perhatian akhbar Sin Chew Jit Poh, 21 Jun 2010 (Isnin) lalu.

Di bawah tajuk “Sumber Kewangan Pendidikan Sepatutnya Diberi Secara Adil,” penulis Teng Ji Choi mengulas pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini bahawa dalam masa lima tahun mendatang, apa-apa bantuan yang diterima oleh SRJKC tidaklah banyak.

Kata Ji Choi, setiap sekolah Cina akan menerima RM2,000 untuk pembiayaan elektrik dan air. Di seluruh negara mempunyai 884 buah SRJKC, kos penyelenggaraan diberi sebanyak RM70 juta, bermakna setiap sekolah hanya mendapat peruntukan bantuan sebanyak RM80,000.

Kata Ji Choi, Perdana Menteri langsung tidak sebut tentang bantuan pembiayaan kos elektrik dan air untuk sekolah-sekolah menengah Cina, serta tidak sentuh masalah kekurangan guru-guru di sekolah Cina dan pengiktirafan sijil-sijil sekolah menengah Cina.

Jika dibandingkan dengan RMK-9 (2005-2010); keadaan itu sama sahaja. Dalam rancangan tersebut peruntukan keseluruhan untuk pendidikan sebanyak RM4.83 bilion ringgit, SRJKC hanya mendapat RM170 juta.

Jika dibandingkan dengan nisbah bilangan murid di SRJKC iaitu sebanyak 20.96 peratus daripada keseluruhan murid sekolah, sepatutnya mendapat peruntukan sekurang-kurangnya sebanyak 1 bilion ringgit.

Mengikut sumber kewangan yang dikeluarkan untuk pendidikan, dalam RMK-10, apa yang diberikan kepada SRJKC terlalu sedikit, ia kembali di tapak yang asal, tidak bergerak selangkah pun ataupun tidak ada sebarang perubahan.

Selain itu unsur-unsur yang diambil kira adalah bagaimana pembahagian sumber kewangan pendidikan yang saksama serta tidak berbelah bahagi dilakukan.

Cukai-cukai pendapatan dibayar oleh semua rakyat, sepatutnya sumber kewangan dibahagi sama rata kepada rakyat itu sendiri. Ini adalah perkara paling asas yang sepatutnya mereka nikmati, memang ia sangat berpatutan.

Ji Choi berpendapat pembahagian sumber kewangan pendidikan dalam RMK-10 didapati hanya perubahan kecil. Kerajaan beri peruntukan sedikit sahaja, langsung tidak ada sebarang rombakan secara besar-besaran.

Mengharap konsep "1Malaysia" berjaya, buanglah pemikiran yang sinis dan dari segi politik, sepatutnya sumber kewangan pendidikan itu dibahagikan sama rata, bina sebuah sistem "sama-sama menikmati sumber" supaya pendidikan ini dapat disalurkan kepada semua rakyat dan memberi kesan yang paling maksimum kepada rakyat, perkuatkan rakyat serta perkukuhkan kekuatan negara.

Perubahan Sistem Peperiksaan

Cadangan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR menjadi bahan Opinion Corner akhbar Sin Chew Jit Poh 22 Jun 2010 (Selasa).

Timbalan Editor akhbar ini Lim Swee Guan menjangkakan pelajar akan lebih malas, dan bagaimana ibu bapa hendak menilai prestasi anak-anak mereka?

Bagi penulis itu, orang ramai tidak perlu risau terhadap sesuatu perubahan, yang dirisaukan ialah setiap kali ada perubahan pemimpin dalam bahagian pendidikan, setiap kali itulah maka perubahan dilakukan. Langsung tidak menampakan satu kesinambungan.

Pada tahun 1980-an dahulu pihak Kementerian Pelajaran menggunakan sylibus baru (3M) dan seterusnya mengubah mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Sudah berapa ramai yang menjadi mangsa perubahan yang kita lalui.

Menurut penulis ini, Dasar Pelajaran Negara ini mementingkan keputusan peperiksaan dan sistem pendidikan mengikut telunjuk apa yang diajar. Tetapi jika UPSR dan PMR dimansuhkan, adakah sistem pendidikan dapat mendidik insan yang lebih lengkap? Adakah kita dapat mengubah sikap murid-murid yang pasif selama ini, supaya anak-anak menerima pendidikan secara gembira dan dengan sendiri mahu mencari ilmu?

Jika sylibus pelajaran dan cara pendidikan dari guru-guru yang menyampaikan itu masih tidak berubah, dikhuatiri walaupun peperiksaan itu dimansuhkan, sudah tentu masih tidak dapat memberi apa-apa motivasi kepada murid-murid untuk mengembangkan ilmu, dan tidak dapat tingkatkan diri mereka lebih inovasi dalam pelajaran.

Dalam ruangan itu, Swee Guan berpendapat pihak kerajaan sepatutnya secara langsung mengiktiraf sijil-sijil peperiksaan gabungan sekolah menengah Cina. Dengan itu dapat hindar daripada syarat lulus bahasa Melayu SPM, barulah mereka layak melepasi halangan memasuki maktab perguruan. Dari situ barulah dapat melatih cerdik pandai ini secara segera, dan dapat menggerakkan paksi perubahan dalam pendidikan.

“Tetapi saya agak risau, kerana kementerian masih mengutamakan perkara yang remeh temeh, dan bukan tumpukan kepada matlamat perubahan pendidikan yang lebih lurus.

Pada tahun 2011 pihak Kementerian Pelajaran akan lancarkan perubahan sylibus mata pelajaran di peringkat sekolah SRJKC dan SRJKT, menekankan mata pelajaran bahasa Melayu serta penambahan masa pembelajaran bahasa Melayu, termasuk mencadangkan sama ada kertas soalan menggunakan bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris, serta melaksanakan sylibus baru (Malaysia Negara Ku).

Pihak kerajaan langsung tidak menyediakan peralatan hardware serta guru-guru tenaga pengajar yang layak, tetapi mahu terus laksanakan kanak-kanak berumur 5 tahun dimasukan ke sekolah; seterusnya mengumumkan hapus biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ini semata-mata telah menidakkan konsep terbuka dalam pendidikan.

Sebenarnya, bukan perkara baru dalam cadangan mahu mansuhkan peperiksaan, pada September 2008, pada masa itu Hishamuddin menjadi Menteri Pelajaran mengumumkan satu blue print pelajaran 2006-2010 menyatakan, bagi menyahut perubahan dan kesesuaian sylibus, pihak Kementerian Pelajaran membuat satu rombakan secara besar-besaran “SPPK", bagi mengatasi sistem mengutamakan keputusan peperiksaan bertulis.

Selepas dua tahun, kita masih membincangkan isu yang sama, pihak kerajaan mahu ubah pendidikan. Sampai bila hendak yakinkan orang ramai?

BN Akan Terima ‘Kad Merah’

Isu penarikan pingat Datuk oleh Istana Johor menarik perhatian China Press 20 Jun 2010 (Ahad). Dengan tajuk “Jika BN Tidak Mahu Insaf, Seterusnya Akan Terima Kad Merah,” akhbar ini memetik kenyataan Chua Jui Meng yang berkata, pilihan raya Mac 2008, BN telah menerima tamparan kad kuning, sehingga hari ini masih tidak mahu insaf. Pilihan raya akan datang, pasti akan diketepikan oleh rakyat seterusnya akan menerima “kad merah" kehilangan kerajaan.

Politik boleh diumpamakan seperti pasukan bola sepak, rakyat nampak lebih jelas sama ada pemain bola itu menyepak bola ataupun menyepak pemain lain.

Sempena musim Piala Dunia ini, Jui Meng mengambil kesempatan memberitahu orang ramai BN tidak peka dengan kebajikan rakyat.

China Press melaporkan walaupun beliau tidak mahu berterus terang adakah UMNO main peranan terhadap penarikan pingat-pingat itu, tetapi beliau berkata "yang penting ialah apa yang difikirkan oleh rakyat terhadap isu ini.”

Beliau percaya, kerana isu penarikan balik pingat ini, UMNO akan dituduh oleh orang ramai dan akan semakin ramai rakyat menyokong Pakatan Rakyat, dan mereka akan rasa menyesal.

Beliau memberi amaran kepada UMNO, jangan gunakan penarikan pingat itu sebagai isu untuk mengugut beliau dan mahu beliau berundur.

“Saya bukan sahaja tidak akan berundur, malah saya akan terus maju ke hadapan, pertahankan sehingga Pakatan Rakyat ambil alih pemerintahan Kerajaan Pusat di Putrajaya.”

- UTUSAN

Gerhana bulan separa malam Sabtu (26 Jun) ini


Orang ramai berpeluang menyaksikan gerhana bulan separa antara pukul 7.22 malam hingga 10.20 malam Sabtu ini.

Menurut Bahagian Komunikasi Korporat Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) di Kuala Lumpur hari ini, gerhana bulan itu akan bermula pada pukul 4.57 petang.

“Tetapi orang ramai tidak dapat melihatnya disebabkan bayangan penumbra bumi yang kurang gelap dan bulan belum terbit dari ufuk. Ia hanya boleh dilihat apabila bulan mulai terbit pada pukul 7.22 malam,” tambah kenyataan itu.

Pada amnya, gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa sama bulan melintasi bayang Bumi.

Kali terakhir gerhana bulan separa berlaku pada 1 Jan lalu.

“ANGKASA akan menyediakan beberapa teleskop untuk orang awam menyaksikan gerhana bulan separa secara percuma dari jam 8 malam hingga 10 malam di Planetarium Negara,” tambah kenyataan itu lagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 0322734301/4303/5484 atau layari laman web www.angkasa.gov.my/planetarium

World Cup FIFA 2010 Result - 23 June 2010

Game 1 : Slovenia 0 - 1 England (23' J. Defoe)
Game 2 : (90' L. Donovan) United States 1 - 0 Algeria
* USA & England qualified to the second round

Game 3 : Ghana 0 - 1 Germany (60' M.Ozil)
Game 4 : ( 69' T.Cahill, 73' B. Holman) Australia 2 - 1 Serbia (84' M. Pantelic)
* Germany & Ghana qualified to the second round

Recent Posts