Ahad, Mei 30, 2010

'Benang' jadikan wajah menarik


Raut wajah mencerminkan diri kita. Sekiranya wajah kita tersenyum ia melambangkan hati yang bahagia. Begitu juga wajah yang sering muram menggambarkan hati yang sedih dan pilu. Pernahkah anda melihat seorang yang gembira dan periang menunjukkan wajah bengis dan muram. Sudah tentu tidak. Ini menunjukkan bahawa ekspresi wajah adalah sangat penting kerana ia mencerminkan perasaan kita.

Sejak saya memperkenalkan Teknik Serdev pada keluaran minggu lepas saya mendapat banyak pertanyaan pembaca yang ingin tahu bagaimanakah teknik ini dilakukan. Kali ini saya akan mengupas lebih mendalam lagi berkenaan isu ini.

Bagaimanakah sebuah wajah itu di anggap menarik? Apakah kriterianya?

Dalam perubatan estetik wajah yang sempurna terbentuk apabila terdapat keseimbangan peratusan pada tiga bahagian muka iaitu:

# Jarak dari dahi ke hidung

# Jarak dari hidung ke mulut

# Jarak dari mulut ke dagu

Sekiranya jarak ketiga-tiga bahagian ini hampir sama maka wajah dianggap sempurna.

Gambar di atas menunjukkan struktur wajah yang tidak simetri. Jarak dari mulut ke dagu adalah pendek. Gambar di sebelah kanan ialah wanita yang sama setelah dagunya dipanjangkan bagi membentuk wajah yang lebih simetri.

Garisan melintang dan menegak menunjukkan simetri jarak wajah yang ideal. Rawatan serdev boleh memberikan raut wajah yang agak simetri.

Cuba lihat gambar topeng

Perhatikan apabila garisan mata bibir dan mulut melendut maka akan terhasil wajah yang suram dan sedih. Manakala apabila garisan diangkat kita dapat menghasilkan wajah yang ceria.

Bila usia beranjak akan terjadilah garisan-garisan halus serta kejatuhan pada otot-otot, segalanya mengendur dan melendut. Keadaan inilah yang menjadikan raut wajah tampak muram seolah-olah seseorang itu sentiasa berada dalam kesedihan. Apabila mengangkat kembali kita berjaya menjadikan wajah tampak lebih muda dan ceria.

Wajah kita terdiri dari struktur tulang dan otot otot muka. Apabila usia meningkat, kandungan kolagen pada kulit turut mengalami perubahan. Jalinan kolagen yang sedikit dan tidak kukuh membuatkan kulit menurun, tidak lagi anjal dan kurang tegang. Otot-otot juga mula mengalami kesan penuaan. Ia mula melendut ke bawah menimbulkan garisan-garisan kecil yang menghala ke bawah.

Teknik Serdev

Teknik serdev menggunakan benang khas yang dimasukkan ke bawah kulit kepala.Benang itu digunakan bagi mengangkat semula muka tanpa memerlukan pembedahan yang menyakitkan. Keistimewaan teknik serdev adalah ia menggunakan benang yang diperbuat daripada protein. Ia terbukti tidak menyakitkan dan hasilnya tahan lama. Benang itu tidak kekal di dalam kulit kita. Dalam masa beberapa bulan ia akan hancur di dalam tubuh namun hasilnya tetap cantik selama 10 tahun kerana berlakunya fibrosis pada bahagian muka yang diangkat. Fibrosis adalah proses semulajadi di mana bahagian muka yang diangkat melekat pada tempat yang betul dengan kekal. Ia langsung tidak memberikan kesan parut kerana dibuat di kulit kepala yang tersembunyi di bawah rambut. Rambut juga tidak perlu digunting atau dicabut kerana teknik ini hanya melibatkan benang yang di sembunyikan di bawah rambut sahaja.

Bagaimanapun jika seseorang itu dikurniakan dengan wajah yang cantik namun personalitinya tidak menarik sudah tentulah kecantikannya itu kurang menyerlah. Keyakinan diri amat mustahak sekali terutamanya bagi wanita.

Faktor lain yang penting adalah senyuman yang ikhlas dan menawan. Senyuman yang ikhlas membuatkan wajah seseorang tidak jemu dipandang. Ia memberikan impak yang penting dalam meningkatkan kecantikan anda.

- MINGGUAN MALAYSIA

Ciri-ciri suami yang soleh ( untuk lelaki yg dah berkahwin, yg bakal bergelar suami dan sedang mencari calon)

1.Suami yang taat dalam melaksanakan perintah serta suruhan Allah dan Rasulnya dan dapat pula membimbing isterinya.

2.Suami yang mampu memberikan nafkah sama ada zahir ataupun batin

3.Suami yang sedia memberikan nasihat, bimbingan, dorongan, didikan dan tunjuk ajar dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawap rumahtangga dan juga terhadap Allah s.w.t

4.Suami yang bijak dalam menyelesaikan permasalahan isteri yang timbul bersama jiran tetangga atau sebagainya.

5.Suami yang dapat memberikan pemerhatian dalam hal keselamatan, kebajikan dan kesihatannya.

6.Suami yang dapat menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan yang sempurna mengikut kemampuanya

7.Suami yang penyabar dan tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau untuk mendapatkan sesuatu.

8.Suami yang tidak cemburu buta tanpa asas terhadap isterinya yang mana boleh merosakkan keutuhan rumah tangga mereka.

9.Suami yang sentiasa memberikan kasih sayang, belas kasihan dan pergaulan yang baik terhadap isterinya

10.Suami yang sentiasa menjaga rahsia isterinya dan tidak di dedahkan kepada orang lain

11.Suami yang ikhlas dan jujur serta dapat menepati janji terhadap isteri dan anak-anak.

12.Suami yang menjauhkan diri dari perbuatan maksiat seperti meminum minuman keras, berjudi, berzina, menipu, mencuri dan sebagainya

13.Suami yang dapat memberikan penjagaan dan pemerhatian yang baik terhadap isterinya penjagaan ini meliputi semua hal termasuk kehormatannya

14.Suami mestilah bijak memahami perasaan dan hati isteri sama ada dengan perbuatan atau perkataan, jangan biarkan dirinya dalam keadaan sedih

15.Suami yang sentiasa mengutamakan kebersihan diri, zahir dan batin

16.Suami mestilah menahan dirinya dari bergaul secara bebas dengan wanita lain

17.Suami yang dapat menyelidik secara cermat dan teliti segala hal yang disampaikan oleh orang lain yang berkaitan dengan isterinya.

18.Suami yang bijak dalam memimpin tumah tangganya dengan penuh amanah serta bertanggungjawab.

sumber:http://www.munzir.net/

Tanjong Pagar warisan terakhir Tanah Melayu


Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

Memindahkan stesen kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Tanjong Pagar ke Woodlands di Singapura bukanlah seperti memindahkan kerusi dan meja. Stesen Tanjong Pagar mempunyai sentimen, nostalgia dan lambang hubungan sejarah antara Malaysia dan Singapura.

Mulai Julai 2011 stesen Tanjong Pagar tidak beroperasi lagi. Perjalanan keretapi dari negara ini akan berakhir di Woodlands yang jaraknya lebih kurang 30 minit perjalanan dengan keretapi ke Tanjong Pagar. Perbincangan dan kata putus antara pemimpin negara ini dan Singapura telah dibuat baru-baru ini.

Banyak yang tersirat daripada yang tersurat, antaranya akan berakhirlah tinggalan Tanah Melayu di bumi Temasik itu. Banyak menganggap pemindahan ini sebagai "menang-menang" tetapi yang penting, selepas ini hubungan kedua-dua negara lebih akrab sekalipun tiada lagi warisan Tanah Melayu di Singapura.

Isu pemindahan stesen Tanjong Pagar ini bukan baru. Misalnya tahun 1998 tercetus ketegangan antara kedua-dua negara kerana Singapura mahu memindahkan stesen itu ke Woodlands. Bagaimanapun Malaysia berjaya menghalangnya kerana ia melibatkan banyak perkara maruah negara.

Sebenarnya stesen Tanjong Pagar ada signifikan dalam hubungan rakyat dengan rakyat di kedua-dua negara. Ini kerana perjalanan menyeberangi Selat Tebrau adalah penuh simbolik lagi nostalgik.

Ia adalah ikatan satu zaman di mana kedua-dua negara itu asalnya satu tetapi kemudian berpecah dua. Semua ini diikat apabila ada sepasang landasan melunjur membelah Singapura dari utara hingga ke selatan. Stesen yang mempunyai senibina di Tanjong Pagar itu melampaui sebuah stesen keretapi.

Walaupun kini bangunan stesen Tanjong Pagar dikelilingi bangunan pencakar langit dengan senibina moden, ia tetap membawa identiti Tanah Melayu. Misalnya mural pada kedua-dua dinding yang tinggi pada ruang menunggu menggambarkan sosioekonomi di Tanah Melayu ketika itu. Lakaran aktiviti perlombongan timah, sawah padi, penanaman getah dan juga tongkang China yang sedang berlabuh mengingatkan asal usul Singapura yang berada dalam Tanah Melayu suatu waktu dulu.

Stesen kereta api Tanjong Pagar adalah mercu tanda sejarah sebuah negara bernama Tanah Melayu. Ketika Singapura menjadi nadi negara ini stesen ini melengkapkan "kewujudan" Tanah Melayu dengan adanya pusat perfileman Melayu di Jalan Ampas, Universiti Malaya (di Singapura) dan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Woodlands.

Kini Universiti Malaya berpindah ke Kuala Lumpur, pusat perfileman juga ke Kuala Lumpur. Ini termasuk juga sebuah organisasi persuratkhabaran Melayu, Utusan Melayu yang berpindah ke Kuala Lumpur pada 1958. Maka stesen Tanjong Pagar menjadi warisan negara yang terakhir "berpindah" menghampiri Selat Tebrau. Tapak stesen yang berkeluasan 32 hektar milik KTMB akan dibangunkan oleh syarikat kedua-dua negara.

Selepas Julai 2011, Tanjong Pagar akan menjadi wajah yang lain. Ini kerana dalam perancangan kedua-dua negara, akan dibina sistem transit pantas yang menghubungkan Woodlands dengan Johor Bahru. Pengangkutan menggunakan kereta api pada masa akan datang akan berakhir di Johor Bahru.

Pada 1998, kerajaan membuat keputusan untuk kekal di Tanjong Pagar walaupun didesak oleh Singapura berpindah ke Woodlands. Tetapi kini pemindahan atau "penghapusan" Tanjong Pagar dilihat sebagai mencabut duri dalam daging yang sering menyakitkan Malaysia.

Berdekad-dekad

Secara positifnya, memindahkan stesen keretapi dari Tanjong Pagar menyelesaikan banyak isu yang tertunggak sejak berdekad-dekad dulu. Selepas laluan keretapi negara ini berakhir di Johor Bahru, tidak ada apa-apa lagi yang menghubungkan negara ini dengan Singapura. Tanjong Pagar yang terletak di Keppel Road dibina pada 1932 dan dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith.

Stesen Tanjong Pagar ini dibina untuk menggantikan stesen kereta api Tank Road yang dibina tahun 1903 dan merupakan terminal keretapi pertama di Singapura. Keunikan Tanjong Pagar adalah hentian terakhir jaringan pengangkutan keretapi di hujung benua Asia. Walaupun berada di tengah-tengah negara lain, stesen Tanjong Pagar adalah pintu masuk ke negara ini bagi mereka yang memilih menggunakan perkhidmatan kereta api.

Stesen ini juga menjadi kelangsungan pada sejarah awal perkhidmatan kereta api ke Singapura. Ia bermula apabila Sultan Johor ketika itu, Sultan Abu Bakar menerima permintaan British untuk membina laluan kereta api dan pembinaannya dirasmikan pada 1909. Apabila berakhirnya riwayat Tanjong Pagar sebagai sebuah stesen, ini bermakna Tanjong Pagar juga menjadi penutup perkhidmatan kereta api di Singapura.

Pembukaan Tambak Johor pada 28 Jun 1924 menjadi pemangkin kepada perkhidmatan keretapi yang menghubungkan Singapura dengan negara ini. Stesen penuh sejarah ini menjadi suatu yang sering mengusik "keamanan dan persefahaman" Malaysia dan Singapura. Akhirnya terusir juga sebuah stesen kereta api milik Malaysia yang membelah republik itu. Semoga Singapura tidak memadamkan sejarah stesen Tanjong Pagar seperti terpadamnya sejarah Temasik.

- MINGGUAN MALAYSIA

Fenomena persuratkhabaran global


Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

Industri persuratkhabaran di seluruh dunia kini mendepani cabaran yang cukup hebat untuk mengekalkan pengedaran akibat penurunan yang konsisten sejak sepuluh tahun lalu. Dalam masa itu secara purata industri persuratkhabaran kehilangan lebih sepuluh peratus pengedaran berbanding dekad sebelumnya. Ini dikesani apabila bermula kepesatan teknologi maklumat menerusi Internet.

Penyampaian maklumat dalam bentuk konvensional menerusi akhbar disaingi dengan sengit oleh akhbar dalam talian. Bukan itu saja malah pertumbuhan laman-laman sesawang yang memuatkan limpahan maklumat juga turut menyumbang kepada penurunan edaran akhbar.

Kajian menunjukkan sedekad kebelakangan ini merupakan era limpahan maklumat yang datangnya dari pelbagai sumber. Selain Internet radio, televisyen dan sekarang gajet wajib guna iaitu telefon bimbit juga menyediakan khidmat penyampaian berita yang sangat pantas kepada pengguna.

Ini merupakan zaman peralihan daripada sumber maklumat yang sedikit dan terhad kepada satu fenomena di mana bahan maklumat boleh didapati dengan mudah, cepat dan kosnya sangat rendah. Percambahan ini adalah suatu yang baik kepada pengguna kerana mempunyai banyak pilihan.

Bagaimanapun kajian yang dibuat oleh Newspaper Association of America, akhbar tidak mungkin pupus sekalipun wujudnya banyak pilihan untuk khalayak mendapat maklumat. Tetapi keadaan menjadi sengit bagi meneruskan survival sesebuah organisasi akhbar.

Keyakinan ini bertolak daripada sifat fizikal akhbar yang begitu toleran dan mesra pembaca kalau dibandingkan dengan gajet elektronik yang menyediakan maklumat. Ini dibuktikan dengan penolakan jualan novel dalam talian kerana komputer tidak toleran seperti fizikal sebuah novel. Bagaimanapun realiti yang melanda banyak akhbar berpengaruh di Amerika Syarikat (AS) misalnya tetap membimbangkan.

Sejak sedekad lalu penurunan pengedaran akhbar berpengaruh seperti The Washington Post, New York Times, Chicago Tribune dan Los Angeles Times dianggap terburuk dalam masa 40 tahun. Penurunan edaran akhbar juga turut dirasai oleh industri persuratkhabaran di Eropah terutama United Kingdom. Sepuluh akhbar berpengaruh di United Kingdom misalnya mengalami masalah yang sama.

Ironiknya ketika pengedaran akhbar menurun, jumlah pengguna Internet di Eropah bertambah 52 peratus sejak tiga tahun lalu menjadikan 418 juta orang mempunyai akses Internet. Angka ini menyumbang kepada 24 peratus pengguna Internet di seluruh dunia. Di United Kingdom saja dengan populasi 61.1 juta telah mencatatkan peningkatan pengguna Internet sebanyak 203 peratus sejak 2000 menjadikan 46. 7 juta pengguna ketika ini.

Sebagai perbandingan, pengguna Internet di Malaysia mencatatkan peningkatan 3.7 juta pada 2000 kepada 15.8 juta tahun 2008 dan populasi 24.6 juta orang. Edaran akhbar dan majalah mengalami penurunan ketara pada tempoh berkenaan. Jadi, masalah yang dihadapi di negara ini adalah sebahagian daripada permasalahan dalam industri persuratkhabaran global.

Saingan

Disebabkan antara faktor penurunan adalah saingan dengan sumber maklumat dari Internet, ada syarikat akhbar cuba mengalih kaedah dalam industri persuratkhabaran daripada bercetak kepada dalam talian. Bagaimanapun jalan penyelesaian tidak semudah yang dijangka. Salah satunya pendapatan pengiklanan menerusi akhbar dalam talian jauh lebih kecil berbanding akhbar konvensional.

Akhbar Daily Mirror di United Kingdom mempunyai sejarah kecemerlangan dan pengaruh yang hebat. Tetapi akhbar ini tidak terkecuali menerima tempias fenomena global yang melanda industri persuratkhabaran. Daily Mirror pada 2000 mencatatkan pengedaran sebanyak 2.3 juta naskhah tetapi pada 2009 hanya mencatatkan 1.4 juta naskhah saja.

Daily Mirror adalah akhbar pertama di United Kingdom yang mencatatkan pengedaran lebih sejuta naskhah sejak tahun 1911. Sementara akhbar The Sun juga mencatatkan penurunan daripada 3.6 juta naskhah pada 2000 kepada 3.1 juta naskhah pada 2009. Begitu juga dengan akhbar Daily Telegraph yang mencatatkan 1.1 juta naskhah pada 2000 kepada 783,000 tahun 2009.

Kalau dua dekad lalu akhbar antara tiga media selain televisyen dan radio yang menjadi penyampai maklumat kepada khalayak, kini peranan itu kelihatan dikongsikan dengan kelahiran media baru yang tumbuh pada era teknologi komunikasi masa kini. Pemilik akhbar sama ada yang besar atau picisan di seluruh dunia juga terpaksa memikir survival masing-masing untuk berperang merebut pembaca dengan media lain yang mudah diakses dan pantas.

Statistik daripada Audit Bureau of Circulation (ABC) juga menunjukkan 379 akhbar harian di AS mencatatkan penurunan pengedaran purata 10.6 peratus atau 30. 4 juta naskhah dalam masa enam bulan berakhir 30 September tahun 2009. Akhbar harian New York Times mencatatkan penurunan 7.3 peratus, Los Angeles Times (11 peratus), Chicago Tribune (9.7 peratus) dan The Washington Post (9.7 peratus). Penurunan pengedaran turut menjejaskan pendapatan daripada pengiklan. Menurut statistik Newspaper Association of America dalam tempoh yang sama pendapatan iklan turun 16.6 peratus.

Statistik pelawat akhbar dalam talian pula mencatatkan peningkatan daripada 60 juta pelawat sebulan tahun 2007 menjadi 72 juta sebulan tahun 2008. Walaupun pelbagai teori dan formula dikemukakan mengenai keadaan yang sangat membimbangkan ini, semua akhirnya menyimpulkan bahawa kelahiran Internet menjadi satu titik mula cabaran baru akhbar konvensional. Tetapi penurunan edaran akhbar bukanlah satu penanda aras turunnya kadar celik maklumat terutama di negara-negara maju. Sebaliknya kedudukan kadar celik maklumat terus meningkat apabila alaf baru membuka satu lembaran baru dengan lambakan maklumat kepada orang ramai.

Pengaruh

Akhbar tetap ada pengaruh dan kekuatan sekalipun mengalami penurunan. Pengiklan tetap memilih akhbar konvensional selain televisyen. Jumlah pengiklan akhbar dalam talian masih terlalu kecil. Maka akhbar perlu menyakinkan pengiklan bahawa walaupun pembacanya sedikit tetapi kualiti pembacanya tinggi.

Suatu ketika dulu ketika radio kemudian televisyen menjadi media popular kerana kepantasan menyampaikan berita, ada yang meramalkan akhbar akan ditutup kerana semua berita sudah diketahui. Tetapi hingga kini akhbar tetap wujud di AS dan Eropah walaupun ada penurunan. Barangkali kata kuncinya adalah kualiti dan sejauh mana akhbar itu menjadi suara rakyat. Akhbar bukan suara kerajaan kerana yang menghidupkan akhbar adalah rakyat.

Ini adalah fenomena global yang melanda industri persuratkhabaran dunia. Keadaan yang seteruk ini tidak boleh dielakkan malah terpaksa diredah untuk mengembalikan keyakinan khalayak. Salah satu kaedah ialah dengan memberikan penambahbaikan editorial untuk memanjangkan jangka hayat sesebuah akhbar. Akhbar barangkali tidak boleh lagi melaporkan yang disebar menerusi Internet. Sebaliknya mengambil pendekatan selangkah ke depan daripada berita yang dilaporkan itu.

- MINGGUAN MALAYSIA

Pelakon kerdil terkenal mati


Gary Coleman dan isterinya, Shannon Price, muncul dalam program televsiyen NBC, Today di New York, Amerika Syarikat.


SALT LAKE CITY - Bintang siri komedi televisyen, Different Strokes yang popular di sekitar tahun 1980-an, Gary Coleman meninggal dunia semalam setelah isterinya, Shannon Price membuat keputusan memilukan untuk mematikan mesin sokongan hayat suaminya, lapor sebuah akhbar.

Pelakon yang tingginya cuma 142 sentimeter itu menghembuskan nafas terakhir di Pusat Rawatan Kawasan Lembah Utah Valley akibat pendarahan otak setelah terjatuh di kediamannya di negeri Utah, Amerika Syarikat (AS) awal minggu ini.

Dia meninggal dunia ketika berusia 42 tahun.

Isterinya, Price, 24, dikatakan membuat keputusan untuk mematikan mesin sokongan hayat suaminya pada pukul 12.05 tengah hari (waktu tempatan) setelah Coleman koma.

Selain isterinya, keluarga terdekat aktor tersebut turut berada di sisinya semasa dia meninggal dunia.

Sepanjang hidupnya, Coleman pernah menjalani dua pembedahan pemindahan buah pinggang dan beberapa kali diserang sawan.

Dia berkahwin dengan Price, seorang wanita kulit putih pada 2007.

Popular dengan ungkapan bermaksud Apa yang kau cakap ni Willis? dalam Different Strokes, Coleman bernasib malang kerana popularitinya merudum setelah meninggalkan siri komedi itu.

Coleman pernah melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi seorang pengawal keselamatan sebelum terpaksa menjual barangan peribadinya kerana masalah kewangan manakala pada 1999 dia memfailkan perintah muflis di sebuah mahkamah di AS.

- Agensi

Sabtu, Mei 29, 2010

UIAM Lancar Saluran Radio Live Stream

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) hari ini melancarkan radio 'IIUM.fm' dengan siaran secara berterusan (live stream) bagi memberitahu masyarakat universiti dan juga orang ramai serta bekas pelajarnya di seluruh dunia mengenai program dan aktivitinya. Berucap pada majlis pelancaran itu, Rektor IIUM Prof. Datuk Dr. Syed Arabi Idid berkata walapun ia beroperasi seperti saluran radio, IIUM.fm tidak menggunakan frekuensi yang biasa digunakan oleh saluran radio untuk melakukan siaran langsung. Katanya, IIUM.fm akan menggunakan live stream untuk membuat siaran di Internet dalam usaha untuk menghubungi bekas pelajar di pelbagai negara di seluruh dunia dan orang ramai bagi berkongsi maklumat terkini mengenai program dan aktiviti universiti.

"IIUM.fm membuat siaran 24 jam setiap hari dan kami menggunakan Inggeris sebagai bahasa perantaraan," kata beliau.

Untuk log maklumat, pendengar boleh mengakses IIUM.fm di http://livestream.iium.edu.my/iiumfm

- BERNAMA

Awas amal perubatan tradisional

Kementerian Kesihatan hari ini mengingatkan orang ramai agar tidak mendapatkan rawatan daripada dukun atau pengamal perubatan tradisional tidak berdaftar kerana ini boleh menyebabkan penyakit bertambah teruk atau mungkin mengakibatkan maut.

"Jika mereka memerlukan rawatan alternatif, mereka boleh ke hospital tertentu kerajaan yang menyediakan perubatan tradisional," kata Pengarah Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&C) Kementerian, Dr. Ramli Abdul Ghani.

Beliau memberitahu, pada masa ini enam hospital - di Kepala Batas, Putrajaya, Johor Baharu, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching menyediakan rawatan sedemikian.

Dua lagi hospital - di Port Dickson dan Alor Star akan mula menyediakan perkhidmatan seumpama itu lewat tahun ini.

Antara khidmat disediakan ialah akupunktur, urut tradisional Melayu dan ubatan herba.

Dr. Ramli mengulas laporan mengenai seorang wanita ditipu oleh seorang dukun yang mendakwa telah mengubati kanser hatinya.

Bagaimanapun, imbasan CT kemudian menunjukkan bahawa kanser itu telah mencapai tahap empat dan penyakit itu telah merebak ke bahagian lain badannya.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan komplementari terkenal, Dr. V.M.

Palaniappan berkata, Malaysia antara segelintir negara di dunia yang menyokong kuat amalan perubatan komplementari.

Beliau berkata, orang ramai tidak harus bimbang jika 'sekali sekala' pengamal perubatan palsu dibongkar.

Keadaan seperti ini biasanya wujud dalam semua profesion. Dr Palaniappan, bekas Profesor Madya University Malaya, mencadangkan kementerian berkenaan menyusun direktori semua pengamal perubatan tradisional bagi memudahkan orang ramai membuat rujukan dan menyekat pengamal perubatan palsu.

- BERNAMA

BSN bakal perkenal khidmat IBFT

KUALA TERENGGANU 28 Mei - Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memperkenalkan produk perbankan internet baru, pemindahan dana antara bank (Inter bank fund transfer - IBFT).

Difahamkan, pada masa ini, inisiatif tersebut masih di peringkat percubaan di kalangan kakitangan untuk memastikan keberkesanan tanpa sebarang masalah sebelum diperkenalkan kepada orang ramai.

Selain itu, perkhidmatan penghantaran dan pemindahan wang ke Indonesia melalui jalinan kerjasama BSN dan Bank Rakyat Indonesia (BRI) akan diperkenalkan.

Menurut satu kenyataan, perkhidmatan seumpama itu dikenal pasti dapat mempermudahkan urusan pembayaran atau transaksi perbankan yang dilakukan oleh pelanggan BSN dan orang ramai.

Katanya, pada masa ini BSN mempunyai lebih tujuh juta pelanggan di seluruh negara dengan simpanan berjumlah RM10.8 bilion.

Kini BSN mempunyai 380 cawangan dengan 780 mesin teller automatik (ATM) dan 107 mesin deposit tunai (CDM) di seluruh negara.

Sementara itu, BSN Negeri Terengganu mengadakan majlis Hari Bersama Pelanggan Korporat BSN semalam dalam usaha merapatkan jalinan perhubungan kerjasama perbankan dengan organisasi korporat, pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Seramai 100 wakil daripada pelbagai sektor hadir pada majlis tersebut yang dirasmikan oleh Pengarah BSN Negeri Terengganu, Hafis Hashim.

Sempena majlis itu juga, pelanggan korporat turut diberi penerangan dan pendedahan mengenai produk-produk BSN seperti mikro kewangan, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, kad kredit dan MEPS.

Majlis itu diadakan di setiap negeri dan akan diteruskan dalam usaha mengekal dan mempertingkatkan lagi hubungan perniagaan di samping menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan bank-bank lain.

"Dengan sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan korporat, BSN akan terus berinisiatif untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang ditawarkan adalah lebih efisien serta berkualiti di samping mempelbagaikan produk yang lebih berinovatif dan dinamik," ujar kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, BSN akan mengadakan Mega Karnival Cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Mei 2010 di Mydin Mall di sini, pada Sabtu ini.

Sempena Mega Karnival itu, pelbagai acara turut diadakan antaranya karaoke terbuka dan persembahan tarian. Selain itu turut disediakan kaunter ekspres dan promosi bagi pembelian SSP secara dalam talian.

- UTUSAN

Jiwa P. Ramlee dalam masyarakat

Oleh JAAFAR ABDUL RAHIM

P. RAMLEE meninggalkan kita sudah 37 tahun lamanya. Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973. Namun namanya tetap gah sehingga kini. Betapa kerap sekalipun filem-filemnya ditayangkan di televisyen tempatan, orang tetap menonton. Penontonnya ramai sekali, daripada kanak-kanak, orang muda hinggalah orang tua. Banyak filemnya yang cukup menarik, walaupun ada juga filemnya yang cukup menjemukan.

Begitulah P. Ramlee dengan filem dan dunia seni nyanyian, gubahan muzik, pengarahan dan sebagainya berjaya mengharumkan namanya sebagai seniman legenda.

Dalam sejarah perfileman Melayu baik filem klasik dan filem moden, belum ada pelakon, pengarah dan penyanyi yang begitu banyak dikaji, diperkatakan dan popular seperti P. Ramlee.

Dengan menyebut kehebatan P. Ramlee dalam berbagai-bagai aspek seni dan kesenimanan, hal ini bukanlah bererti kita menafikan populariti seniman lain terutama yang seangkatan dengannya ataupun yang mendahului beliau.

Tidak siapa pun yang akan menafikan kehebatan Jins Shamsuddin, Aziz Sattar, Ahmad Mahmud, S. Shamsuddin, Salleh Kamel, Mustafa Maarof, Aziz Jaafar dan ramai lagi seniman lain. Mereka cukup hebat dan cukup menonjol sewaktu menampilkan karakter dalam filem. Mereka ada kelebihan masing-masing. Dalam erti kata kehebatan berlakon, seniman-seniman ini ada kelebihan masing-masing. Oleh itu, tidaklah menjadi hasrat penulis untuk membandingkan kelebihan mereka dengan P. Ramlee.

Dalam pada itu, P. Ramlee ada nama dan integriti tersendiri yang membezakan dirinya dengan seniman lain.

Kelebihan ini disebabkan P. Ramlee mempunyai berbagai-bagai keterampilan yang membolehkan beliau dilihat lebih daripada orang lain daripada berbagai segi. Dalam istilah psikologi dan komunikasi, istilah kelebihan ini disebut sebagai high visibility (kebolehan menonjol pada peringkat tinggi).

Istilah ini mengingatkan penulis terhadap kata-kata ahli falsafah Barat bahawa jika kita ingin menjadi popular atau dilihat menonjol (highly visible), kita haruslah berdiri di atas bahu gergasi. Nah! P. Ramlee memang berhasil berdiri di atas bahu gergasi filem yang menyebabkan beliau menjadi cukup menonjol.

Dalam kerjaya, secara tidak langsung beliau banyak membina berbagai-bagai jaringan dengan majikannya Shaw Brothers, dengan rakan sekerja dan dengan rakan rapatnya yang secara tidak langsung ikut menonjolkan nama beliau pada persada perfileman Melayu.

Begitulah pergantungannya pada majikan ditambah dengan bakat seninya yang cemerlang tambah mempopularkan namanya dalam dunia perfileman Melayu.

Sahabat-sahabatnya dalam filem dan di luar filem, sekadar menyebut beberapa nama seperti Datuk Aziz Sattar, S. Shamsuddin dan M. Zain menjadi rakan selakonan yang cukup secocok. Lihatlah lakonan mereka dalam Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Labu dan Labi serta Nasib Si Labu Labi yang cukup menyenangkan dan cukup melucukan.

Malah di Kuala Lumpur, P. Ramlee memanfaatkan penglibatan seniman handalan yang lain seperti A.R. Tompel dan Ibrahim Din melalui lakonan mereka dalam Do Re Mi, Nasib Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi terbitan Studio Merdeka. Lakonan mereka cukup bersahaja, mantap, lucu dan cukup menghiburkan.

Datuk Aziz Sattar, S. Shamsuddin, M. Zain, A.R. Tompel dan Ibrahim Din merupakan beberapa rakan selakonan daripada sekian banyak rakannya yang banyak menaikkan, malah menonjolkan P. Ramlee dalam filem-filemnya. Tanpa lakonan dan kerjasama mereka juga rakan yang lain, tentulah P. Ramlee tidak menjadi bintang legenda.

Jika kita memperkatakan kejayaan P. Ramlee sebagai seniman, kita sebenarnya memperkatakan kredibiliti P. Ramlee sebagai individu dan bintang, kerjasama dan kesepakatan rakan-rakan lain yang ikut mendukung peranan beliau dalam filem.

Hal ini kerana kejayaan P. Ramlee membentuk kerja berpasukan dalam filem dengan baik dan berkesan. Dalam kebanyakan filemnya baik dalam Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok malah dalam Labu dan Labi, Nasib Si Labu Labi, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi, P. Ramlee memainkan peranan utama. Ertinya P. Ramlee adalah 'ketua' kepada pasukan yang dibentuknya dalam filem. Sebagai 'ketua', beliau membawa karakter yang cukup meyakinkan dalam filem-filem tersebut.

Melalui Pendekar Bujang Lapok, P. Ramlee yang menggunakan nama sendiri menyebut "aku yang tua di antara kita, jadi akulah yang patut bertemu Ros". Hal ini dengan jelas memperlihatkan bahawa beliau berhasil memainkan peranannya sebagai peranan utama, sebagai 'ketua'. Akan tetapi tanpa dokongan daripada seniman-seniman tadi, tentulah P. Ramlee tidak akan berhasil menonjolkan dirinya dalam filem. Begitulah cara P. Ramlee membina kerja berpasukannya dalam filem sehingga beliau dan pasukan seniman yang terdekat dengannya menjadi cukup menonjol.

Begitulah kehebatan P. Ramlee yang banyak memegang peranan utama dalam kebanyakan filem arahannya. Ada pula rakan pengkritik filem yang menganggap bahawa P. Ramlee adalah jurupasar yang berkesan (effective marketer) dan jurujual hebat (great salesman).

Keadaan ini dapat kita lihat daripada kebolehan P. Ramlee mengarahkan filem-filemnya yang memanfaatkan tema serius dan lucu termasuk Hang Tuah, Semerah Padi, Sarjan Hassan, Penarik Beca, Antara Dua Darjat, Anakku Sazali, Tiga Abdul, Madu Tiga dan Ali Baba Bujang Lapok dengan begitu berkesan serta cukup meyakinkan. Sebagai jurujual dan jurupasar yang berkesan, P. Ramlee berhasil menarik penonton menonton filemnya tanpa jemu-jemu.

Malah ada sarjana yang mengatakan bahawa P. Ramlee berjaya mempengaruhi pemikiran dan saraf penonton untuk memasarkan filemnya. Dalam kajian terbaharu dalam bidang pemasaran, ada satu bidang yang disebut sebagai pemasaran neuro atau neuromarketing yang menunjukkan orang boleh menjual produknya dengan cara mempengaruhi pemikiran pembelinya.

Jika neuromarketing dikaitkan dengan P. Ramlee, ia secara jelas memperlihatkan bagaimana P. Ramlee menjual produknya (filemnya) dengan begitu berkesan kepada pembelinya (penontonnya) dengan cara mempengaruhi pemikiran penontonnya. 'Jualan' dan 'pemasaran' ini dilakukan secara bersahaja dan tanpa dipaksa dengan mempengaruhi otak kanan penonton yang banyak berfungsi meladeni keseronokan dan hiburan dalam kalangan mereka.

Hal ini dilakukan dengan kemahiran komunikasi yang cukup berkesan dengan mengeksploitasi perasaan penonton mengikut kehendak beliau sebagai pengarah dan pelakon utama. Eksploitasi secara berkesan ini beliau lakukan dalam filem yang bertema serius seperti Anakku Sazali, Penarik Beca, Hang Tuah dan sebagainya termasuk filem berunsur komedi dalam siri Bujang Lapok, Labu dan Labi, Do Re Mi dan Madu Tiga.

Dalam filem-filem ini, P. Ramlee memainkan perasaan penonton dengan begitu berkesan. P. Ramlee memanfaatkan perasaan marah, benci, dendam, rindu (yang menjadi perasaan beliau) dan perasaan lain seperti gembira, lucu, kelakar dan sebagainya untuk menyatukan perasaan beliau dengan perasaan penonton dalam filem.

Jadi, apabila kita marah sewaktu melihat karakter tertentu beraksi dalam filem, itu adalah kemarahan P. Ramlee dan penonton. Misalnya apabila kita melihat Haji Bakhil begitu kedekut (dalam Labu dan Labi), itu adalah kemarahan P. Ramlee dan penonton.

P. Ramlee berjaya menyatukan perasaannya dengan penonton. Keadaan ini membuatkan penonton menjadi terdorong dan tidak berupaya menolak logiknya perasaan yang dilakonkan oleh P. Ramlee dan pelakon-pelakon lainnya.

Dalam istilah pemikiran, perasaan yang digunakan oleh P. Ramlee dalam filem-filemnya diistilahkan sebagai logik emosi (logic of emotion atau logical emotion).

Begitulah dalam Antara Dua Darjat, kita melihat logik Ghazali (lakonan P. Ramlee) dipertemukan dengan logik Tengku Zaleha (lakonan Saadiah). Ertinya, P. Ramlee mempertemukan logik orang kebanyakan dengan logik keturunan bangsawan dalam drama berat yang memenangkan logik orang kebanyakan iaitu dengan kejayaan Ghazali yang bakal memperisteri Tengku Zaleha.

Demikian juga logik orang miskin, Amran (lakonan P. Ramlee) dalam Penarik Beca dengan logik orang kaya, Marzuki (lakonan Udo Umar), dipertentangkan dengan begitu tajam yang akhirnya memenangkan Amran. Hal ini bererti kemenangan kejujuran ke atas kebatilan.

Logik perasaan seorang ayah (lakonan P. Ramlee) dan logik perasaan anak (Sazali lakonan P. Ramlee) dalam Anakku Sazali dimainkan oleh P. Ramlee dengan cukup berkesan sehingga kita bersimpati dengan si ayah dan cukup membenci Sazali.

Logik perasaan permainan P. Ramlee tidak dibuat-buat tetapi dilakonkan secara bersungguh-sungguh melalui peranan ayah dan anak. Kedua-dua karakter ini sungguh berat dari segi mempermainkan perasaan simpati-benci penonton. Akan tetapi dengan kebolehannya, P. Ramlee melakonkannya dengan begitu berkesan.

Hal ini menyebabkan Anakku Sazali sering menjadi bahan untuk orang mendidik anak supaya jangan menderhaka sekali gus menghormati kedua-dua orang tua mereka.

Begitulah keadaannya apabila P. Ramlee membawakan watak lucu dalam filem-filemnya sehingga membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak. Runtunan logik kelucuan itulah yang menyebabkan perasaan lucu penonton sentiasa terusik sewaktu menonton filem P. Ramlee.

Begitulah jika kita memperdalam kajian dalam bidang kebijakan emosi (emotional intelligence) dan mengaitkannya dengan logik emosi P. Ramlee dalam filem-filemnya, maka kita lebih menyedari betapa hebatnya dan kuatnya pengaruh P. Ramlee ke atas jiwa dan perasaan penonton.

Demikianlah penulis ikut merasakan kehebatan logik emosi P. Ramlee melalui karakter yang dilakonkannya dikongsi bersama dengan karakter lain yang dilakonkan oleh rakan sefilem dengannya.

Pada penulis, P. Ramlee ada kelebihan lain yang dapat dikaitkan dengan kejayaan filem-filemnya. Penulis yang banyak membaca buku tentang hukum tarikan (law of attraction) melihat dengan jelas bagaimana P. Ramlee membina hukum tarikan melalui filem.

Ada dua hal (daripada sekian banyak hal) yang boleh mengaitkan P. Ramlee dengan hukum tarikan. Pertama, P. Ramlee adalah individu yang mempunyai daya penarik. Kedua, filem-filem P. Ramlee mempunyai daya dan hukum tarikan. Dalam hukum tarikan yang mengaitkan P. Ramlee sebagai individu yang ada daya penarik, dapat dikatakan P. Ramlee ada aura dan tenaga yang boleh menarik orang menonton. P. Ramlee ada personaliti yang magnetik. P. Ramlee juga dikatakan berfungsi sebagai besi berani yang boleh menarik apa sahaja tidak kira jauh atau dekat untuk melekat padanya.

Sebagai analogi Dianne Ab'quist menyatakan dalam bukunya The Law of Attraction, Complete Idiot's Guide, jika anda magnet, anda akan harus berhasil menarik klip kertas. Demikianlah jika P. Ramlee dianggap sebagai magnet, dia akan menarik segala sesuatu supaya dekat, melekat dan bersatu dengannya.

Justeru, mengikut hukum tarikan, P. Ramlee dengan segala macam kemahiran dan kehebatannya berhasil menarik penonton daripada berbagai-bagai peringkat supaya menghayati perasaan, kepercayaan, misi dan ideologinya yang terserlah dalam filemnya.

Barangkali hal inilah yang menjadi jawapan kepada pertanyaan tentang kejayaan filem P. Ramlee menarik penonton pelbagai peringkat menghayati filem-filemnya untuk sekian lama. Begitulah kisah seniman yang dilahirkan pada 22 Mac 1929 ini. Al-Fatihah.

- UTUSAN

Pelatih PLKN dilindungi insurans

Perlindungan insurans untuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan bermula tiga hari sebelum pendaftaran dan berakhir selepas tujuh hari tamat latihan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata justeru, ibu bapa boleh membuat tuntutan sekiranya anak mereka terbabit dalam kemalangan dan sebagainya, jika kejadian berlaku dalam tempoh berkenaan.

"Sekiranya pelatih terbabit dalam kemalangan atau kematian tiga hari sebelum mendaftar atau tujuh hari selepas menjalani latihan, ibu bapa pelatih boleh membuat tuntutan insurans daripada jabatan," katanya kepada Bernama, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam kes membabitkan kematian pelatih, ibu bapa atau keluarganya juga diberi wang khairat kematian.

Mengulas PLKN Kumpulan 3 Siri 7/2010 yang akan bermula 10 Jun ini, Abdul Hadi berkata, seramai 53,530 pelatih akan mengikutinya.

“Daripada jumlah itu, seramai 12,945 adalah pelatih yang diberi penangguhan daripada mengikuti latihan bagi tempoh 2004 hingga 2006.

“Selain menyemak nama mereka menerusi notis yang disiarkan dalam akhbar bermula hujung minggu ini, pelatih juga boleh berbuat demikian melalui laman web JLKN,” katanya.

Beliau berkata, pelatih boleh membuat semakan penempatan kem dan tarikh melapor diri melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SEMAK KEM nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888 bermula semalam.

“Bagi pelatih penangguhan yang ingin melanjutkan penangguhan, mereka perlu memaklumkannya kepada JLKN.

"Syarat penangguhan terdapat di laman web JLKN. Bagi pelatih penangguhan yang sedang belajar atau menduduki peperiksaan, penangguhan boleh disambung. Mereka perlu maklumkan kepada jabatan," katanya.

– Bernama